Amir Hussin 
SHAH ALAM – Tidak wajar bagi kerajaan untuk beri subsidi kepada rakyat, kemudiannya memansuhkannya semula.

Pakar ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharudin berkata, sebelum melaksanakan sesuatu subsidi, kajian mendalam perlu dilakukan untuk melihat kesannya dalam jangka panjang.

"Jangan dah bagi, lepas itu tarik balik. Kerajaan perlu selidik golongan yang layak terima subsidi supaya jangan diambil kesempatan oleh orang luar," katanya.

Sebagai contoh kata Amir, pembelian petrol di sempadan oleh warga asing untuk dijual dengan harga yang lebih mahal di negara mereka adalah satu petunjuk bagaimana subsidi yang diberikan kerajaan untuk rakyat negara ini dimanipulasi.

"Ini sesuatu yang amat merugikan kerana subsidi dibayar dengan duit rakyat. Sepatutnya subsidi petrol hanya dinikmati oleh rakyat negara ini," katanya.

Sehubungan itu, Amir meminta kerajaan lebih mengutamakan rakyat sendiri dalam pemberian subsidi di bawah pelan rasionalisasi.

Menurutnya, jika pelaksanaan pelan itu benar-benar memberi keutamaan kepada warganegara, ia akan dianggap bagus.

"Itu yang perlu dilakukan.  Rakyat yang sah taraf kewarganegaraan berhak mendapat hak yang sepatutnya mereka peroleh. Utamakan rakyat sendiri untuk dapat subsidi, barulah dianggap rasionalisasi yang bagus. Yang lain jika turut menerima, akan berlaku pelbagai masalah," katanya.

Ditanya bagaimana langkah itu boleh dilaksanakan, Amir berkata, ia boleh dipraktikkan menerusi fungsi MyKad.