SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu dikembalikan dalam kerajaan bukannya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.
Tan Sri Zainuddin Maidin
Beliau berkata, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat lemah apabila diancam daripada sudut perkauman, agama dan tekanan ekonomi.

Menurutnya, kehadiran Dr Mahathir diyakini mampu memulihkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan hari ini.

"Kehadiran Dr Mahathir bukan sahaja mampu memulihkan kekusutan yang timbul pada hari ini, tetapi juga kepada BN untuk menghadapi PRU14," katanya.

Zainuddin berkata, aura Dr Mahathir masih kuat sehingga ke hari ini apabila generasi muda juga tertarik dengan setiap pandangan yang diutarakan bekas perdana menteri itu.

Ditanya adakah Najib benar-benar dalam keadaan tertekan sehingga perlu bekas pemimpin negara itu duduk bersama dalam barisan kepimpinan hari ini, beliau berkata, kenyataan dua pemimpin iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya ISA dikembalikan membuktikan betapa seriusnya ancaman keselamatan dalam negara.

"Kenyataan mereka ini dipandang berat oleh seluruh rakyat dan perdana menteri perlu memikirkan langkah yang tepat dalam menangani masalah ini.

"Sekalipun ISA dikembalikan, jika tiada ketegasan politik dalam melaksanakan secara bijak, berani dan tegas, maka ISA tidak berkesan," katanya.