Sabtu, 11 Januari 2014

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Persengketaan Tan Sri Khalid dan Azmin Ali kembali memuncak

Posted: 11 Jan 2014 09:01 PM PST


KLANG: Persengketaan lama antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali dilihat kembali memuncak apabila Menteri Besar itu menggugurkan Timbalan Presiden Parti Keadilan (PKR) berkenaan daripada jawatan ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Walaupun sumber PKNS mendakwa keputusan tersebut untuk 'mengukuhkan' perbadanan itu, pengikut setia Mohamed Azmin sebaliknya mendakwa keputusan itu bertujuan melemahkan pemimpin berkenaan menjelang pemilihan parti tahun ini.
"Pengguguran (Mohamed) Azmin adalah satu keputusan perniagaan untuk mengukuhkan kedudukan penyumbang ekonomi terbesar negeri ini," tegas sumber PKNS itu.
Bagaimanapun ternyata penyokong Azmin menolak alasan ini dengan mendakwa Abdul Khalid bertindak dengan sewenang-wenangnya untuk menghapuskan musuh politiknya.
Sehubungan itu mesyuarat khas dijangka akan diadakan di Ibu Pejabat PKR pada Ahad malam bagi membincangkan mengenai kedudukan Mohamed Azmin dan beberapa isu lain di Selangor.
Salah seorang daripada mereka berkata Mohamed Azmin selalu memberikan tekanan kepada Menteri Besar ketika mesyuarat ahli lembaga pengarah.
"Azmin bertanya banyak soalan dan sering mencabar kenyataan dan keputusan Khalid yang diputuskan dalam mesyuarat.
"Itulah sebabnya beliau digugurkan," katanya.
Seorang lagi penyokong Mohamed Azmin berkata: "Jika anda seorang ahli politik, adalah penting untuk anda memegang jawatan dalam syarikat atau organisasi berkaitan kerajaan untuk mendapatkan pengaruh.
"Apa yang Tan Sri (Abdul Khalid) lakukan adalah untuk sekat sayap Azmin sebelum pemilihan PKR."
Tambahnya Abdul Khalid juga m -menghantar mesej kepada ahli akar umbi parti bahawa beliau lebih berkuasa daripada Timbalan Presiden PKR itu. - mStar

Kes Tembakan di Kota Kinabalu: Musa Minta Orang Ramai Tidak Panik

Posted: 11 Jan 2014 09:36 AM PST


Rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki berpakaian hitam dan memakai hud hitam terlibat dalam insiden tembakan itu.
KOTA KINABALU: Sekumpulan lelaki yang terlibat dalam insiden tembakan di Kota Kinabalu berpakaian hitam atau memakai hud hitam untuk menyembunyikan muka mereka.
Rakan kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah hotel bajet di Damai, Luyang menunjukkan sebuah kereta memecut laju selepas beberapa das tembakan dilepaskan ke arah pintu masuk hotel tersebut kira-kira tengah malam Jumaat.
"Mereka kelihatan seperti sekumpulan remaja, mereka memandu laju selepas insiden tembakan itu.
"Anda tidak dapat melihat imej itu dengan jelas tetapi mereka kelihatan muda," kata seorang penyelia sebuah restoran, Dominic Peter yang menyaksikan rakaman CCTV itu.
Seorang pengawal keselamatan di salah sebuah bank yang menjadi sasaran kumpulan tersebut berkata, dia terdengar sesuatu mengenai pintu kaca.
"Ketika saya ingin memeriksa, cermin tingkap itu berkecai," katanya.
Pengawal keselamatan tersebut yang enggan namanya didedahkan berkata, pada mulanya dia menyangka seseorang membaling objek keras ke arah cermin tingkap itu.
"Kadangkala cermin tingkap ini boleh retak dan saya fikir itu yang terjadi," katanya.
Rakyat di negeri itu dihantui kebimbangan selepas 30 tempat di Kota Kinabalu, Inanam dan Penampang dijadikan sasaran tembakan misteri, dipercayai angkara tiga kumpulan yang melepaskan tembakan menggunakan pistol angin dan guli sebagai peluru.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Polis menolak dakwaan kejadian tembakan di Kota Kinabalu mempunyai kaitan dengan kumpulan bersenjata Sulu atau percubaan menceroboh Lahad Datu.
Mereka percaya insiden tembakan itu dilakukan oleh budak nakal (juvana) dan meminta penduduk di negeri tersebut untuk bertenang.
KENINGAU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menasihatkan orang ramai supaya tidak cemas dan panik dengan kejadian tembakan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu lewat malam tadi yang memecahkan kaca beberapa premis.
Musa yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri berkata orang ramai perlu bertenang kerana polis sedang menyiasat dengan teliti dan memantau keadaan itu.
"Sekarang ini pihak polis sedang membuat siasatan lanjut. Yang penting orang ramai jangan panik tetapi mesti bertenang. Kita menaruh keyakinan terhadap kemampuan pasukan keselamatan untuk menangani masalah itu," katanya.
Musa bercakap kepada pemberita selepas membuat tinjauan terhadap pembinaan jambatan di Kampung Bandukan, Bingkor, di sini Sabtu.
Turut hadir pada lawatan berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun dalam sidang akhbarnya berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tembakan menggunakan senapang angin berpeluru guli itu dilakukan kumpulan enam remaja nakal bermula jam 11.45 malam.
Jauteh berkata kumpulan remaja yang menaiki tiga buah kereta itu menyasarkan premis bank, hotel, pusat kecantikan, pusat hiburan, pejabat dan restoran makanan ringan sehingga menyebabkan 27 premis di sekitar bandaraya rosak termasuk cermin pecah.
Musa meminta pasukan keselamatan supaya meningkatkan lagi pemantauan mereka di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai bermasalah namun yakin anggota keselamatan dapat menyelesaikan masalah berkenaan dengan baik.
"Pihak polis tadi sudah membuat kenyataan (berkenaan kejadian itu). Jadi kita perlu dengar apa yang dikatakan pihak polis.
"Jangan dengar khabar angin atau cerita yang kadang-kadang dilebih-lebihkan. Polis akan membuat kenyataan dari semasa ke semasa," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: