Jumaat, 26 Disember 2014

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Jangan hilang anak kunci itu (26/12/14)

Posted: 25 Dec 2014 07:44 PM PST

Alhamdulillah Putrajaya dan Shah Alam telah pun membatalkan majlis perayaan sambutan Tahun Baru 2015 masing-masing. Apa guna kita berhibur, bergembira sedang saudara-mara kita berlapar, berdahaga, bertarung nyawa meredah kesusahan banjir besar 2014 ini.

Syukur diketika ini bantuan dari berbagai sumber turun mencurah-curah ke negeri-negeri dilanda banjir khasnya ke negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang. Semoga ianya terus digerakkan demi meringankan bebanan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh saudara-saudara kita disana lantaran musibah yang menimpa mereka.

Sewajarnya juga pemimpin-pemimpin turut memberi tumpuan kepada bencana ini. Setiap kekuatan dan tenaga yang ada di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri harus dikerah dan disalurkan ke kawasan-kawasan malang ini.
Jangan dipolitikkan bencana dari Allah swt ini. Turunlah semua pemimpin tanpa warna parti, menghulurkan bantuan dan mengambil tahu penderitaan rakyat yang rata-rata majoriti orang Melayu beragama Islam. Tidak perlulah mendabik dada, parti ini dan itu yang turun dengan sumbangan terbesar, tetapi atas bencana Negara ini turunlah bersama-sama demi meringankan derita dan nestapa rakyat kita.

Pada hari Jumaat ini masjid-masjid seluruh Negara difahamkan bakal mengadakan solat hajat, ini satu bukti bahawa kita boleh bersatu disaat krisis. Kita batalkan semua program hiburan kerana simpati di atas kesusahan sesama warga Malaysia, syabas.
Disamping mempertingkatkan bantuan dan pertolongan ke kawasan-kawasan terjejas, tautan kita pada Allah swt jangan sekali-kali kita putuskan. Teruslah memohon kasih sayang dan pertolongan Nya. Saya mahu berkongsi tweet dari YB Ustaz Nik Mohamad Abduh, ahli Parlimen Pasir Mas, yang kawasannya turut terjejas dengan bencana ini:

"Kunci bencana banjir kini di tangan Empunya hujan. Anak kuncinya adalah doa. Walau sejuta tangan menghulur  bantuan, jangan dihilang anak kunci itu"
Dalam suasana penuh mencabar ini sama-samalah kita genggam kuat anak kunci itu.

 

Tiada ulasan: