Rabu, 24 Disember 2014

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Kit Siang guna "peluru" percuma tembak PAS (24/12/14)

Posted: 24 Dec 2014 06:58 AM PST

Beberapa jam lepas dalam posting terakhir saya "Jangan cabut nyawa PAS" saya menulis:

"Tambah gawat lagi apabila ada pula pimpinan PAS, setakat ini 3 AJK Pusat (yang juga ahli Parlimen PAS) yang membangkitkan secara terbuka bahawa konon-kononnya usaha terbaru kerajaan PAS di Kelantan tidak mendapat "restu" JK PAS Pusat?! Mengapa ianya dibangkitkan secara terbuka diperingkat ini? Bagi saya tiada rasional yang dapat dijelmakan selain "pendedahan tidak matang" ini menambahkan lagi persepsi buruk terhadap PAS, seakan bukan sahaja DAP dan PKR tidak setuju malah PAS sendiri tidak sekata dalam membawa perkara ini!"
Ternyata tindakan mereka (3 AJK PAS Pusat itu)sengaja memberi peluru untuk menembak PAS, seakan suatu tindakan yang terancang, apabila sebuah portal berita melaporkan kenyataan Ketua Pembangkang DAP di Parlimen, Lim Kit Siang berkenaan isu ini. Laporan itu menyebut:

If the Kelantan assembly special meeting to push through the implementation of hudud, which even the PAS central committee is unaware of, is held, I see no purpose in my attending any future Pakatan Rakyat presidential council meetings, and I leave it to the party to decide on its next course of action," Lim said in a statement today.
("Jika mesyuarat khas Dewan Undangan Negeri Kelantan yang bersidang bagi meluluskan perlaksanaan hudud, yang Jawatankuasa PAS Pusat pun tidak tahu menahu, diadakan, saya tidak nampak apa gunanya saya menghadiri mesyuarat majlis presiden PR yang akan datang dan saya serahkan kepada parti untuk memutuskan tindakan seterusnya," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini)

Pemimpin-pemimpin PAS berkenaan (ahli-ahli Parlimen Parit Buntar, Kuala Kerai dan Shah Alam) secara terbuka mendakwa kononnya tindakan kerajaan negeri Kelantan itu tidak pernah dibincang atau dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat. Tak lama setelah itu Kit Siang pun terbit dengan kenyataan mahu memboikot mesyuarat majlis presiden PR dan mendakwa "even the PAS central committee is unaware…." (malah Jawatankuasa PAS Pusat pun tidak tahu menahu).
Tidakkah seakan terancang tampaknya?

Diwaktu orang-orang PAS keseluruhannya sepatutnya bersatu berdiri teguh mempertahankan usaha untuk melaksanakan hukum hudud ini, tiba-tiba terbit kenyataan dari 3 "kepala" ini sengaja mahu mengeruhkan suasana dan menggambarkan seakan semuanya bagai otokratik dan kuku besi belaka dalam PAS!
Kalau pun marah dan tidak berpuas-hati dengan Presiden PAS atau Pemangku Ketua Dewan Ulamak (yakni MB Kelantan), janganlah sampai menghulurkan peluru untuk menembak parti sendiri, membantu mencabut nyawa PAS!

Anehnya salah seorang mereka itu ahli Parlimen mewakili kawasan di negeri Kelantan!
Saya sangat kesal dengan tindakan mereka itu, gelagat mahu menjatuhkan individu tertentu dalam parti kelihatan terbawa-bawa sehingga sanggup mengonarkan parti sendiri di mata umum. Saya percaya kekesalan saya ini turut dirasai oleh ramai samada di dalam mahupun diluar PAS terutama dikalangan mereka yang tertunggu-tunggu mahu melihat hukum Allah terlaksana sekurang-kurangnya buat permulaan di sebuah negeri.

Disaat para pejuang Islam seluruh Negara bermunajat dan berdoa mohon Allah memudahkan perjalanan bagi perlaksanaan hukum ini, tiba-tiba ada yang dari dalam PAS mahu mengeruhkan suasana.
Pada bulan April 2014, Tok Guru Mursyidul Am PAS dalam satu laporan media dipetik berkata:

"Tak berlaku lagi (hudud), tapi doakan mudah-mudahan pembentangan itu berjaya. Ini satu kemajuan yang sudah lama kita tunggu, bukan senang untuk Kelantan dan negeri-negeri bawa perkara seperti ini ke Parlimen," katanya sambil menegaskan wajib bagi wakil rakyat Islam menyokong rang undang-undang ini.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/nik-aziz-yakin-dap-pkr-akur-pas-laksana-hudud-di-kelantan

Semoga doa dan cita-cita umat Islam di Malaysia diperkenankan Allah swt.  

Jangan cabut "nyawa" PAS (24/12/14)

Posted: 24 Dec 2014 02:52 AM PST

Timbalan Mursyidul Am PAS Dato Dr Haron Din baru-baru ini telah dipetik media sebagai berkata:

"PAS tidak terbelenggu oleh komen lawan mahupun kawan. Hudud nyawa PAS dan ini perjuangan asas yang tidak pernah lekang."
Kenyataan ini menegaskan pendirian, sikap dan prinsip perjuangan PAS sejak ia ditubuhkan sehingga kini. Matlamat melaksanakan sistem dan peraturan Islam tidak pernah luput atau luntur dari perjuangan PAS, samada dalam keadaan ia susah dengan suara yang kecil apalagi ketika ia kuat dan punya suara yang lantang.
Siapa pun yang bermusuh atau berkawan dengan PAS tahu bahawa itulah perjuangan PAS. Ketika PAS mula-mula menaiki pentas politik dalam Pilihanraya Persekutuan Tanah Melayu tahun 1955, itulah slogan perjuangan PAS, dan obornya terus membakar dan dijulang sehingga ke hari ini.
PAS menang cuma satu kerusi tahun 1955 melalui Almarhum Tuan Guru Hj Ahmad Tuan Hussien di Kerian, Perak (dan Almarhum Prof Zulkifli Muhammad hilang wang pertaruhan di Kelang), atas slogan yang sama. Menang di negeri-negeri Kelantan dan Terengganu Pilihanraya Umum Pertama Malaya Merdeka 1959 terus dengan slogan yang sama sehinggalah hari ini dengan suara di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan hampir kesemua Dewan Negeri-negeri di Malaysia juga dengan slogan yang sama.
Berdasarkan kenyataan Dr Haron Din itu keseluruhan ahli dan penyokong PAS sedar dan akur bahawa PAS tanpa Hudud akan mati dan tidak lagi menepati prinsip dan dasar perjuangannya lagi.
Allah swt telah mentakdirkan PAS menang di Kelantan, atas slogan ini, sejak 1990 lagi dan kini sudah lebih 24 tahun ia berterusan berkuasa di Kelantan. Kerajaan PAS Kelantan telah pun meluluskan melalui proses demokrasi di Dewan Undangan Negeri, Kanun Undang-Undang Jenayah Syariah Kelantan II untuk memulakan tapak bagi perlaksanaan Hukum Hudud di Negeri berkenaan.
Dan baru-baru ini MB Kelantan Ustaz Dato Ahmad Yakub telah pun mengumumkan bahawa satu sidang DUN Khas akan di adakan pada 29 Disember ini untuk meminda Kanun berkenaan sebagai salah satu langkah bagi membuka ruang membawa "Private Bill" atau "Rang Undang-undang persendirian" ke Parlimen tahun hadapan bagi merintis jalan ke arah perlaksanaan hukum berkenaan di Kelantan
Saya yakin jangankan rakyat Kelantan dan umat Islam di Malaysia, malah seluruh umat Islam di dunia yang mengikuti perkembangan ini ternanti-nanti tarikh dimana hukum Islam ini akan terlaksana di Kealntan.
Namun kesungguhan PAS ini seperti dijangkakan mendapat kritikkan dan ancaman pihak-pihak tertentu. Jika dahulu musuh tradisi PAS yakni Umno lah yang akan ke hadapan menyerang cita-cita PAS ini. Dalam keadaan begitu pun PAS terus istiqomah memacu perjuangan bagi mencapai cita-citanya. Bila berkuasa kembali di Kelantan 1990, PAS tidak menoleh ke belakang lagi, samada Umno BN suka atau tidak cita-cita ini mesti diperjuangkan dan demikianlah sehingga dilulus dan digazetkan Kanun Undang-Undang Jenayah Syariah Kelantan II.
Kini kemungkinan perlaksanaannya sudah berada diperingkat akhir. Anehnya Umno kelihatan kendur tetapi rakan-rakan PAS pula bangkit mencemuh dan mengancam.
Persepsi yang cuba digambarkan bahawa kononnya jika cita-cita PAS ini diteruskan, PR akan dihukum khasnya oleh pengundi-pengundi bukan Islam, dan akibatnya jalan ke Putrajaya akan terhalang.
Sudah semestinya perkembangan ini meletakkan PAS dalam situasi "ditelan mati emak diluah mati bapa".
Tambah gawat lagi apabila ada pula pimpinan PAS, setakat ini 3 AJK Pusat (yang juga ahli Parlimen PAS) yang membangkitkan secara terbuka bahawa konon-kononnya usaha terbaru kerajaan PAS di Kelantan tidak mendapat "restu" JK PAS Pusat?! Mengapa ianya dibangkitkan secara terbuka diperingkat ini? Bagi saya tiada rasional yang dapat dijelmakan selain "pendedahan tidak matang" ini menambahkan lagi persepsi buruk terhadap PAS, seakan bukan sahaja DAP dan PKR tidak setuju malah PAS sendiri tidak sekata dalam membawa perkara ini!
Apa pun, tolak ketepi pandangan fraksi minoriti yang sangat kecil ini, PAS mesti dilihat terus beristiqamah.
Bukan risiko kematian emak atau bapa yang berada di hadapan kita tetapi memohon dan mengharapkan keampunan dan redha Allah swt. PAS sudah berjuang dan bertarung dalam politik tanahair sekian lama, lebih lama dari rakan-rakannya, semata-mata untuk mendapat suara bagi melaksanakan Islam.
Berjuang mereka yang terdahulu (dalam PAS), memikul kesusahan dan penderitaan, bergenang-berderai airmata, bergolok-bergadai harta sehingga tercedera tubuh dan tertumpah darah semata-mata kerana yakin menegakkan panji-panji perjuangan Islam ini. Kerana itu walau susah walau menghadapi berbagai rintangan, halangan dan ancaman, mereka terus mengusung dan mengheret perjuangan ini, kerana redha Allah lebih utama dari redha manusia, ancaman Allah lebih digeruni dari ancaman manusia.
Hari ini cita-cita itu itu semakin hampir setelah diatur dan disusun dengan tertib dan teliti. Kita tidak memaksa tetapi menjunjung proses demokrasi, menang kuasa di negeri, mendapat persetujuan suara teramai dalam dewan dan memperoleh perkenan Tuanku Sultan. Hari ini kita semakin dekat dengan keampunan dan redha Allah, lalu apalah sangat rintangan dan ancaman hari ini yang boleh diatasi dengan kesungguhan dan istiqamah kita.
Teruslah PAS merestui dan mempertahankan sidang DUN Kelantan 29 Disember ini. Teruslah diangkat "private Bill" setelah itu dengan harapan sokongan semua wakil rakyat (ahli Dewan Rakyat) beragama Islam selain yang bukan Islam (kerana hukum ini kelak dikecualikan ke atas rakyat yang bukan Islam). Teruslah semua kita berdoa dan bermunajat memohon laluan sebaik-baiknya dari Allah swt.
Rakan-rakan yang menentang, kita mohon agar mereka faham dan menghormati dasar dan prinsip perjuangan kita. Itulah adat berkawan, hormat dan tolak-ansur. Kita mahu terus berkawan dan meneroka peluang politik seterusnya akan tetapi jangan sehingga memaksa kita menggadai dasar dan prinsip perjuangan yang istiqamah didokong selama ini. Kita yakin majoriti masyarakat pengundi Islam akan merestui langkah ini dan kita juga yakin masyarakat bukan Islam yang tidak terikat pun dengan hukum ini akan faham dan terus menyokong kita.
Walaubagaimanapun jika ada dalam PAS sendiri yang cuba menggagalkan atau memacu adu-domba kerana mengejar agenda peribadi yang lain, maka atas tangan ahli-ahli PAS lah untuk memperbetulkannya, kerana hudud ini sebagaimana ditegaskan Timbalan Mursyidul Am PAS adalah "nyawa" PAS. Orang lain boleh mengancam dan menggugatnya, kita sabar tetapi jika orang dalam yang mahu mencabutnya, maka biarlah dicabut nyawa politik mereka terlebih dahulu dari "nyawa" PAS ini dicabut.
 

Tiada ulasan: