Rabu, 5 November 2014

SIASAH

SIASAH


Gerakan Islam, liberalisme dan pasca-Islamisme

Posted: 05 Nov 2014 07:55 AM PST

Oleh MUHAMMAD ATIULLAH OTHMAN

Sungguh mengejutkan pendedahan Mustafa Akyol mengenai hasil kajian Liberal Turkish pada 2006 yang mendapati bahawa tuntutan masyarakat Turki agar kembali kepada syariah menurun dari 21 peratus kepada sembilan peratus dalam tempoh tujuh tahun sejak Islamic Calvinism diperkenalkan.

Islamic Calvinists adalah golongan yang menumpukan nilai dan kesufian tetapi mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Golongan ini ditubuhkan untuk mengambil alih kekuasaan Parti Refah sehinggalah Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, menaiki tangga politik pada 2006.

Kajian tahun 2006 ini jugalah, kehendak masyarakat Turki kepada undang-undang rejam menurun kepada satu peratus sahaja. Malah, idea jihad medan perang sudah bertukar kepada jihad ekonomi, selera tulisan-tulisan pembaca novel pun telah beralih arah dari citra Islam kepada kebejatan moral sekular.

Lebih teruk dari itu lagi, kem Islamis turut mengkritik budaya Islam dan beralih kepada bentuk hidup Muslim yang individualistik, serta mengubah arah dari citra ketaatan kepada agama kepada citra kebebasan. Inilah suasana yang golongan liberal Turki rancang bagi menyediakan AKP sebagai Islamis mengambil pentadbiran kerajaan.

Gerakan liberal memang sah perancangan antarabangsa. Kini, gerakan liberal ini pula mengemukakan satu gerakan baharu sebagai langkah antarabangsa. Satu tesis berjaya dihasilkan bagi mengetengahkan neoliberal antarabangsa, pascamodenisme dan kepelbagaian budaya kepada AKP yang ditulis oleh Burak Ozcetin bagi mendapatkan doktor falsafah di Middle East Technical University pada 2011.

Tidak hairanlah, Akyol menyebut golongan pembangkang menjadi rakan sekular-liberal kerana sekular-liberal gagal dipertahankan oleh pemerintah. Beliau mencadangkan mengubah wajah Islamisme kepada pasca-Islamisme.

Pandangan Akyol bukanlah bersandarkan kepada pandangan Asef Bayat sendiri yang berbicara mengenai sosial, politik dan hak. Beliau bukan bersandarkan pandangan Olivier Roy dan Gilles Kepel mengenai kegagalan Islamisme membuka ruang baharu dimensi politik moden dan menghalang pemikiran radikal.

Beliau lebih jauh mengheret pandangan pasca-Islamisme kepada bentuk liberal iaitu Islam adalah serasi dengan demokrasi, sekular, kapitalisme, hak asasi manusia dan nilai-nilai Barat. Kesemua idea ini diaduk dalam pasca-Islamisme yang pernah dicanang oleh Islamic Rennaisance Front (IRF) oleh pengerusinya iaitu Dr Ahmad Farouk Musa.

Kegiatan liberal ini adalah selaras dengan keinginan Barat. Alain Roussilon menyatakan Barat tengah menunggu dan mendesak rangka kerja pasca-Islamisme disegerakan. Bentuk pasca-Islamisme yang diinginkan adalah menolak pemikiran radikal Islam, lebih mirip kepada pemikiran Protestan Kristian atau pemikiran liberal Muslim, perwatakan masyarakat Muslim yang lebih moderat dan yang paling penting adalah bagi menolak idea negara Islam dan perlaksanaan syariat Islam. Kandungan Islam Liberal ini sudah berjaya dimuatkan dalam pasca-Islamisme oleh Husnul Amin dalam disertasinya yang bertajuk From Islamism to Post-Islamism.

Tanpa syak lagi, terdapat desakan dari pihak Barat dan liberal Turki bagi mengetengahkan Islam Liberal dalam pasca-Islamisme. Persoalan yang timbul adalah mengapakah mereka mendesak pasca-Islamisme disegerakan? Adakah kerana kegagalan Kemalisme di Turki, Jamal Abdul Naser di Mesir dan Zine el-Ebidine Ben Ali di Tunisia mengekalkan hegemoni sekular?

Adakah liberal dan sekular tidak lagi mampu berdepan mengetengahkan idea dan gerakan agar diikuti masyarakat dunia Islam? Atau adakah pasca-Islamisme adalah citra menukar wajah Islamisme kepada mesra liberal dan sekular selepas menyedari sekular dan liberal sudah tiada tempat di hati umat Islam?

Hanya dua negara yang berjaya menukar citra Islamisme kepada pasca-Islamisme iaitu di Turki dan Tunisia. Di Turki, regim tentera Turki yang beraliran sekular telah menahan Recep Tayyip Erdogan selama setahun kerana dikaitkan dengan parti Refah. Apabila keluar dari penjara, Erdogan terus menyebut agar memberi peluang kepada demokrasi dan liberal menyalurkan kepada masyarakat satu suasana menikmati lebih kebebasan.

Masyarakat merasai sendiri kebebasan ini di bawah pentadbiran AKP berbanding Refah yang dilihat sebagai Islamis. Ideanya, demokrasi Barat adalah lebih bebas dari Turki lalu mengajak ke arah demokrasi bebas. AKP dengan bantuan Kemalisme berjaya membuat tekanan sehingga demokrasi Turki berjalan dengan baik. Ini memberi impak baik kepada AKP untuk terus berkuasa.

Di Tunisia pula, gerakan pasca-Islamisme telah lama dan awal. Kenaikan Rached Ghannouchi membuka lembaran kepada puak sekular agar bersama-sama dengan Islamis. Ruang ini telah membuka lembaran pasca-Islamisme diketengahkan.

Malah, Pusat Kajian Islam dan Demokrasi, CSID, di Washington, Amerika Syarikat yang merupakan pusat kajian sekular dan liberal telah berjaya dibawa ke dalam pentadbiran Ghannouchi yang mengetengahkan idea demokrasi, ekonomi bebas dan hak masyarakat sivil.

Kejayaan pasca-Islamisme di Turki dan Tunisia sedang diaplikasikan di dunia Islam. Negara-negara yang sedang giat dimomokkan dengan pasca-Islamisme adalah Mesir, Yaman, Pakistan dan Malaysia. Baki negara-negara Islam yang lain sedang diusahakan. Sebagai contoh, parti Wasat sedang dinaikkan atas nama pasca-Islamisme padahal parti ini adalah berhaluan sekular yang pro-Abdel Fattah al-Sisi.

Atas tujuan inilah, Akyol telah membentangkan kertas kerjanya di Kaherah, Mesir yang bercerita pengalaman Turki menghadapi Islamisme. Justeru, tidaklah pelik, bekas pimpinan Ikhwan al-Muslimin yang dibuang keahliannya iaitu Kamal Helbawi telah bersama bersekongkol dengan pemerintah Mesir bagi menghidupkan pasca-Islamisme. Dengan harapan, keinginan masyarakat Mesir terhadap syariat akan menurun.

Golongan liberal dan Barat sudah mengetahui bahawa ideologi sekular dan liberal sudah gagal. Kini, mereka menggerakkan dua ideologi ini dengan penjenamaan baharu. Jikalau mereka menggunakan ideologi sekular dan liberal bagi berhadapan dengan pencinta syariat Islam, seluruh umat Islam yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sudah mengetahui jawapan-jawapannya dalam karya-karya ulama sejak kurun ke-20 lagi.

Cuma yang tinggal adalah harapan dari anak-anak muda Islam dan menanti kebangkitan semula para pemikir dan cendekiawan abad ke-20 ini mengemudi perjuangan di awal era abad ke-21 ini agar terus berhadapan idea baharu liberal, yang dimunculkan sebagai pasca-Islamisme.

Dr Muhammad Atiullah Othman ialah pensyarah pengajian Islam di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tiada ulasan: