Rabu, 5 November 2014

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Isu SIS : PAS seakan mendukung biawak hidup (5/11/14)

Posted: 04 Nov 2014 09:14 PM PST


Punca kontraversinya adalah fawa berikut yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Selangor (MAIS) dan digazetkan pada 31 Julai 2014 dengan Nombor Rujukan:  [MAIS/SU/BUU/01-2/002/2013-3(4); P.U. Sel. (ADV) PS 05/4/12]
Tarikh Keputusan:  17 Jul, 2014

Keputusan:
1. SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

2. Mana-mana bahan terbitan yang berunsur pemikiran-pemikiran fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
 3. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman-laman sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.

4. Mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.
Pada 31 Oktober baru-baru ini SIS memfailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan ‎Azzat dan Izzat semakan kehakiman ‎terhadap fatwa di atas. SIS menamakan tiga responden, Jawatankuasa Fatwa‎ Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (Mais), dan kerajaan Selangor.

SIS memohon ‎membatalkan pengisytiharan fatwa itu, dan sebaliknya mahu diiktiraf sebagai badan yang dijamin mengikut Akta Syarikat 1965 dan tidak terikat dengan fatwa itu.
Menurut satu laporan Pengarah Eksekutif SIS Ratna Othman dilaporkan berkata:

"Kami kecewa ker‎ana tidak diberitahu atau dipanggil untuk memberi penjelasan sebelum jawatankuasa fatwa mengisytiharkan SIS sebagai menyeleweng.
"Tidak ada satu pun alasan daripada ‎fatwa mengenainya, malah tidak menjelaskan maksud 'liberalisme', 'pluralisme', yang bertentangan dengan 'ajaran Islam dan hukum Syarak'."

Beli‎au menyifatkan tindakan itu sebagai salah guna kuasa badan agama di Malaysia menggunakan fatwa bagi mengekalkan pemerintahan agama secara diktator. Tegasnya, sebarang perbezaan ‎pandangan tentang agama Islam perlu didebat secara terbuka dan bukan dipaksa melalui fatwa dan hukuman Enakmen Jenayah Syariah Selangor. 31 Okt 2014

Sesungguhnya aktiviti dan peranan SIS bukanlah sesuatu yang baru atau tidak diketahui umum. NGO ini telah banyak mengeluarkan kenyataan khususnya apabila sahaja ada satu-satu isu berhubung dan berkaitan dengan Islam seolah-olah mahu menumpang menjadi jurucakap kononnya mewakili sebuah NGO Islam.

Masalahnya kenyataan SIS yang dikeluar sering mencerminkan pendirian dan sikap mereka yang liberal dalam mentafsirkan satu-satu isu berkitan Islam dan lebih mahu mempromosi pluralisma agama (penganut fahaman Pluralisme menisbahkan bahawa semua agama secara asasnya adalah sama kerana terbit dari sumber yang sama iaitu dari yang mutlak ( the absolute, the ultimate and the real one). Tujuan akhir kewujudan agama – agama juga ialah untuk menuju dan menyerah diri kepada hakikat yang sama iaitu the ultimate, the truth walaupun diungkapkan oleh pelbagai agama yang berbeza dengan nama-nama yang berbeza.).
* pejelasan detail "Pluralisma agama" sila rujuk http://permaijordan.com/mmyv2/index.php/typography/2012-11-06-12-58-28/2012-12-20-19-04-39/fahaman-pluralisme

Blog ini telah berkali-kali mengkritik dan menegur SIS kalau boleh saya cabut beberapa posting berkaitan SIS sejak 2005 lagi:

31 Oktober 2014
http://n32.blogspot.com/2014/10/nak-laksana-islam-pun-diserang-311014.html

15 Jun 2009
http://n32.blogspot.com/2009/06/jika-terbukti-sis-bermasalah-terhadap.html

17 Nov 2006
http://n32.blogspot.com/2006/11/siapa-dibelakang-sisters-in-islam.html

3 Ogos 2005
http://n32.blogspot.com/2005/08/siap-sisters-in-ayah-pin-pada-14-julai.html

SIS banyak membawa isu yang mengelirukan malah seolah membawa tafsiran baru terhadap Islam secara terbuka dengan mengenepikan semua ulamak dan "authority" dalam Islam, semua diberi tafsiran baru ikut selera mereka.
Dalam isu murtad SIS menyelarnya malah menuntut kebebasan agama secara mutlak hatta di dalam Islam sekalipun, orang Islam wajar diberikan hak memilih untuk keluar dari agamanya.

Begitu juga SIS tegas menentang perlaksanaan syariat Islam termasuklah Hukum Hudud yang bagi mereka sesuatu yang zalim dan di luar perikemanusiaan.
SIS juga menutut dirobah hukum berkenaan perceraian dengan mahu memberikan hak bagi wanita menuntut cerai selain hak sama rata buat wanita dalam pembahagian harta pusaka di bawah hukum faraid.

Banyak sungguh tindakan SIS yang telah menyinggung perasaan dan malah mencemarkan maruah dan nama baik Islam dan penganutnya.
Lantas apabila MAIS mengeluarkan fatwa sedemikian terhadapnya, saya yakin ramai umat Islam yang merasa lega dan saya mendapat tahu pihak Jabatan Mufti Perak juga telah pernah memanggil SIS berdailog dan bakal mengeluarkan fatwa yang serupa.

Anehnya apabila ramai umat Islam mengalu-alukan tindakan terhadap SIS ini, tiba-tiba keluar kenyataan dari 3 orang ahli Parlimen (yang sepatutnya mewakili) PAS, yang mempersoalkan tindakan Majlis Fatwa Negeri Selangor.
Mereka adalah ahli Parlimen Parit Buntar, Shah Alam dan Sepang.

Menurut wakil Parit Buntar:
Tindakan Majlis Fatwa Negeri Selangor itu bertentangan dengan peraturan mengeluarkan fatwa itu sendiri daripada sudut Islam.

Katanya, fatwa sepatutnya mempunyai sifat yang menyeluruh dan umum dan bukan hanya ditujukan kepada badan tertentu.

"Fatwa itu sepatutnya secara umum, ia menyeluruh, namun apa yang berlaku kini ia dikeluarkan bagi mengharamkan atau mematikan sesuatu badan yang berbeza fahaman,"
Wakil Shah Alam pula berkata:

Mais sepatutnya melakukan perbincangan atau dialog bersama dengan pihak terlibat sebelum fatwa dikeluarkan.
"Adakah pihak Mais sudah berdialog dengan pihak yang dikatakan mengamalkan 'pluralisme' dan 'liberalisme' sebelum sesuatu tindakan diambil ke atas mereka? "

"Kami memohon pembuat fatwa tidak terburu-buru tanpa adanya muzakarah dengan pihak yang dikatakan mengamalkan 'pluralisme' dan 'liberalisme' supaya ada ruang untuk salah faham dibetulkan,".
Dengan senang hati mereka menggunakan nama PAS lalu menyatakan sebagaimana dilaporkan oleh akhbar The Star hari ini, bahawa PAS bersedia membantu menganjurkan muzakarah antara pihak MAIS dan SIS kerana pada pandangan mereka keputusan MAIS dibuat tanpa perbincangan.

PAS yang selama ini di hadapan menentang dan mengkritik sebarang usaha menyerang, memperlekeh dan menyalah tafsirkan Islam tiba-tiba hari ini diseret oleh ketiga ahli Parlimen ini untuk memberi simpati kepada NGO yang paling biadap terhadap Islam. Selain itu mereka juga menyeret PAS agar bertembung dan berbalah dengan Majlis Fatwa Negeri dan MAIS.
Sungguh mengaibkan PAS punya ahli Parlimen yang sedemikian. SIS bukan sekadar memilih untuk berbeza pendapat, tetapi SIS memberi dan mencipta tafsiran baru buat Islam yang jelas sesat dan terpesong. Malah Muktamar PAS tahun 2009 telah pernah melulus usul sebulat suara menuntut pengharaman SIS. (Tidakkah tindakan 3 MP ini bertentangan keputusan Muktamar?)

Siapalah SIS berbanding anggota Majlis Fatwa Negeri yang senarai dan kelayakkannya saya catatkan di bawah ini:
Sahibus Samahah Dato' Setia Haji Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid Dato' Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor, Sahibus Samahah Dato' Haji Abdul Majid bin Omar ( Timbalan Pengerusi ) Timbalan Mufti Negeri Selangor, Y. B. Datin Paduka Zauyah Be bt. T. Loth Khan( Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor ), Y. Bhg. Dato' Seri Prof. Dr. Zaleha bt. Kamaruddin (Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Y. Bhg. Prof. Madya Dato' Haji Mohd Saleh bin Haji Muhammad @ Ahmad (Mantan Fellow Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ), Y. Bhg. Prof. Madya Dato' Haji Mohd. Mokhtar bin Haji Shafii (Pensyarah Sambilan, Universiti Malaya ), Y. Bhg. Dato' Dr. Ab. Halim bin Tamuri (Pensyarah Jabatan Kepimpinan  dan Polisi PendidikanFakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia), Y. Bhg. Dato' Dr. Amran bin Kasimin( Mantan Pensyarah, Universiti Kebangsaan Malaysia ), Y. Bhg. Dato' Haji Abdul Aziz bin Andik Achok (Mantan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor ), Y. Bhg. Prof. Dr. Mujaini bin Tarimin( Dekan Fakulti Pendidikan Dan Sains Sosial Universiti Selangor)

Majlis Fatwa Negeri bukanlah badan setengah tiang atau separuh masak, tetapi diwakili oleh para ulamak, wakil profesyional dan undang-undang yang selayaknya berkelayakan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.
Saya bersetuju dengan kenyataan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abd Hadi bahawa:

"Kesemua tindak-tanduk dan pendirian SIS mewajarkan ia diharamkan serta merta tanpa kompromi lagi setelah barah ini berpanjangan dan kedegilan SIS mencetus pelbagai polemik fahaman dan pegangan umat Islam Negara ini."
Dan dalam waktu yang sama tindakan ketiga-tiga ahli Parlimen (yang sepatutnya mewakili) PAS itu sangat dikesali. Semoga mereka ini dapat kembali mempertahankan prinsip dan dasar perjuangan PAS yang mereka wakili atau memilih untuk bebas berkata seikut hati dan perasaan dengan mengangkat kaki keluar secara terhormat.

 

 

 

 

Tiada ulasan: