DIALOG RAKYAT |
- 3 DUN agih baucer Anak Masuk Sekolah kepada 1,700 peserta TAWAS
- Kalau berani samanlah Mahathir – Guan Eng
- Khairy : UMNO perlu beri ruang kepada generasi muda
- ESSCOM giat buru dalang penyeludupan di ESSZone
- Gambar kereta Guan Eng parkir secara haram cetus viral
- Noh perlu panggil Pas untuk kuatkan Umno Selangor
- Balak bukan sebesar mancis, tak tahu pembalakan haram?
- Akta Hasutan relevan untuk kawal blogger
- PRN11: Hasrat tawan Sarawak, 1 lawan 1 dengan BN
- MB Pahang saman Utusan RM15 juta
- DAP desak Najib jawab skandal 1MDB di Parlimen Isnin ini
- Dyana sindir Puteri Umno cuma penganjur acara
- Tindakan undang-undang tak gugat DAP bongkar isu 1MDB
- 7 Dis penghujahan akhir kes saman Hadi
- Serangan tak jejas semangat Malaysiakini
- ‘Bailout’ PKFZ sekurang-kurangnya hingga tahun 2036
- Dewan Ulama tegur PKR, DAP 'serang' Hadi
- DAP gesa PM tak sekat bahas 1MDB
3 DUN agih baucer Anak Masuk Sekolah kepada 1,700 peserta TAWAS Posted: 23 Nov 2014 03:39 PM PST Oleh: LIZAWATI MADFA KLANG: Lebih 1,700 anak Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) hari ini diraikan dalam program pemberian baucer Anak Masuk Sekolah membabitkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sementa, Meru dan Sepinang. Penerima bersama ibu bapa dan keluarga turut ditemani wakil rakyat kawasan masing-masing antaranya ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi dan ADUN Meru, Dr Abdul Rani Othman. Daroyah yang juga Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga berkata, program yang dilaksanakan itu bukti Kerajaan Negeri menunaikan janji melalui TAWAS. "Jadi, kita harap mereka yang masih belum mendaftar untuk berbuat demikian sama ada melalui ketua kampung, pejabat khidmat DUN atau secara atas talian. "Diharap anak yang lahir di Selangor tidak terlepas peluang seperti ini," katanya kepada Selangor Kini. Beliau yang bergegas daripada program lain di Sepang sebelum itu sempat berbual mesra dengan kanak-kanak dan ibu bapa. Pada masa sama, beliau juga sempat mempromosikan program kebajikan lain di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) kepada pengunjung seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE). Pada 16 November lalu, Dato' Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali merasmikan Program Bantuan Masuk Sekolah untuk anak TAWAS di pasaraya Econsave, KL Festival City. Seramai 21,298 ahli TAWAS kelahiran 2008 akan menerima bantuan ini secara berperingkat melalui beberapa pasaraya di setiap DUN dengan peruntukan lebih RM 1 juta. TAWAS adalah bantuan khusus untuk anak yang dilahirkan di Selangor dengan caruman RM1,500 yang boleh dituntut apabila mereka genap 18 tahun.-NFN- | ||
Kalau berani samanlah Mahathir – Guan Eng Posted: 23 Nov 2014 03:28 PM PST FREE MALAYSIA TODAY Kami akan berdiri bersama Tony Pua, yang mahukan jawapan daripada 1MDB BUKIT MERTAJAM: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak menyaman Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Beliau mengeluarkan cabaran itu selepas Perdana Menteri dilaporkan menuntut permohonan maaf daripada Ahli Parlimen DAP-Petaling Jaya Utara, Tony Pua berhubung kenyataannya mengenai 1MDB. Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendakwa Tony Pua hanya mahukan jawapan daripada 1MDB berhubung pelaburan mereka yang banyak mendatangkan kerugian. BERNAMA melaporkan beliau sebagai berkata: "Kami akan berdiri bersama Tony Pua, yang mahukan jawapan daripada 1MDB tentang pinjaman dan perniagaan yang tidak mendatangkan keuntungan." Katanya, pertanyaan Tony Pua adalah sama seperti mana sebelum ini yang ditanya oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. "Kami akan berdiri bersama Tony Pua, yang mahukan jawapan daripada 1MDB tentang pinjaman dan perniagaan yang tidak mendatangkan keuntungan. "Kami bukan senang dibuli, kalau berani samanlah Mahathir," katanya dalam ucapan di konvensyen DAP Pulau Pinang di sini. Dalam laporan Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan notis tuntutan terhadap Pua, yang juga Pengerusi DAP Selangor, supaya menarik balik kenyataannya berhubung 1MDB. Najib juga mahu Pua menyiarkan permohonan maaf dalam masa 14 hari dalam dua akhbar tempatan. | ||
Khairy : UMNO perlu beri ruang kepada generasi muda Posted: 23 Nov 2014 03:23 PM PST Langkah itu juga dilihat sebagai menunaikan janji UMNO kepada golongan muda dalam proses meremajakan parti. Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Rembau berkata, langkah itu juga dilihat sebagai menunaikan janji UMNO kepada golongan muda dalam proses meremajakan parti. "Kalau kita lihat kadar urbanisasi, penghijrahan anak muda dari kawasan luar bandar ke bandar sudah mencecah 60 peratus dan trend ini akan berterusan. "Mereka memerlukan seorang pemimpin atau barisan pemimpin yang memahami mereka dan yang dapat memperjuangkan mereka," katanya memetik dari laporan Bernama semalam. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 (PEMANAS) di Pusat Dagangan Dunia Putra. Beliau yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan turut bersetuju dengan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai usaha meremajakan parti itu harus diterjemah dengan memberi peluang kepada generasi muda menyertai barisan kepimpinan parti. Ketika merasmikan Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perdana Menteri berkata aspek 'politik Y' membuka lebih ruang kepada generasi muda terlibat dalam UMNO. Katanya golongan tersebut perlu diberi panduan dan bimbingan untuk memimpin supaya UMNO dilihat sebagai sebuah parti yang inklusif, moden, progresif dan dinamik. | ||
ESSCOM giat buru dalang penyeludupan di ESSZone Posted: 23 Nov 2014 03:16 PM PST ANTARAPOS.COM LAHAD DATU: Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mempertingkatkan kawalan bagi memburu dalang aktiviti penyeludupan yang dipercayai menyumbang kepada jenayah rentas sempadan termasuk kes penculikan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone). Komander ESSCOM, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, penculikan yang kerap berlaku di kawasan perairan Sabah dipercayai berhubung kait dengan aktiviti penyeludupan kerana melibatkan wang tebusan. Katanya, ia adalah berdasarkan risikan keselamatan dan pertahanan yang dilakukan pihaknya. "Sebab itu, pihak ESSCom meletakkan isu penyeludupan sebagai antara keutamaan dalam usaha untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah. "Kalau kita dapat banteras penyeludupan, termasuk mengesan dalang penyeludupan ... kita percaya boleh mengurangkan kebarangkalian berlakunya jenayah penculikan, khususnya di ESSZone," katanya ketika menyampaikan taklimat keselamatan sempena lawatan kerja Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Shukry Salleh dan rombongannya ke ibu pejabat ESSCOM di sini, hari ini. Berhubung operasi bersepadu, Abdul Rashid berkata ESSCOM berjaya menyelaras 31 Ops Gasak sejak November tahun lepas yang menyaksikan 2,206 pendatang asing tanpa izin ditangkap kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Beliau berkata daripada jumlah itu, 1,452 adalah lelaki dewasa, 369 perempuan dewasa, 171 kanak-kanak lelaki dan 215 kanak-kanak perempuan. Seramai 6,155 orang diperiksa sepanjang tempoh itu yang tertumpu di kawasan penempatan kampung air dan pusat-pusat peranginan, katanya sambil menambah Ops Gasak yang bertujuan membersihkan ESSZone daripada pendatang asing tanpa izin akan diperhebat dan diperluaskan. Rombongan ICU itu turut melawat Kem Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu dan beberapa pos keselamatan, termasuk di Pulau Adal dan Mabul. ESSZone merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau. | ||
Gambar kereta Guan Eng parkir secara haram cetus viral Posted: 23 Nov 2014 03:10 PM PST ANTARAPOS.COM GEORGE TOWN: Gambar kereta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang diparkir secara haram mencetuskan viral di laman sosial. Kenderaan rasmi beliau yang bernombor pendaftaran PG1 dilihat dipakir di lorong basikal berhadapan Depoh Hin Bus di Jalan Gurdwara. Laporan mengenai kesalahan meletakkan kenderaan di lokasi larangan itu dibuat di laman Facebook Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Watch. Di laman sosial Facebook, ramai yang memberikan maklum balas terhadap gambar kereta Setiausaha Agung DAP itu yang kini tersebar secara meluas. Ada di antara menulis komen sinis dengan mengatakan siapa yang mahu mematuhi undang-undang sekiranya ketua menteri sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik. Sebelum ini, Guan Eng juga pernah dikritik kerana isu yang sama, dan gambar keretanya turut dimuatnaik dalam laman sosial Facebook. Gambar yang dimuat naik pada Ogos tahun lalu itu menunjukkan kereta berkenaan diparkir di tepi jalan yang terang-terang terpapar papan tanda 'Zon kunci' berhampiran Lebuh Campbell. | ||
Noh perlu panggil Pas untuk kuatkan Umno Selangor Posted: 23 Nov 2014 07:19 AM PST MSO Noh Omar memberi tahu yang Mohd Najib Razak masih mahukan beliau terus memimpin Umno Selangor. Menurutnya, walaupun beliau tidak keberatan sekiranya digugur sebagai Pengerusi Umno Selangor, tetapi Najib tetap mahukan dia memimpin Umno Selangor. Ertinya Najib masih ada kepercayaan kepada bekas Menteri Pertanian dan Asas Tani itu.
Jaminan daripada Najib itu diperolehi Noh ketika beliau bertemu dengan Najib empat biji mata Selasa lalu. Pertemuan empat biji mata itu dianggap sebagai penting dan eksklusif. Bagaimana pun disamping diberi peluang memimpin Umno Selangor, Noh diminta agar melakukan pembaikipulihan dalam Umno Selangor ini bagi memastikan parti itu dapat menawan semula Selangor dalam pilihan raya akan datang. Apa yang dapat disimpulkan dengan jaminan Najib supaya Noh meneruskan pimpinan Selangor menunjukkan Umno ketandusan pemimpin di negeri terkaya di Malaysia itu. Dengan mengekalkan Noh itu menggambarkan Noh adalah pemimpin terbaik setakat ini. Sekiranya ada tokoh yang lebih baik daripada Noh sudah pasti Najib sedia membubarkan Umno dan mencari ketua baru. Menarik juga apabila Noh diminta melakukan pembaikkan itu. Apakah agaknya idea Noh dalam hal ini. Noh sudah pasti diberi peluang terakhir untuk membawa kejayaan kepada Umno Selangor. Sekiranya Umno masih gagal ini bermakna nyawa dan nafas politik Noh akan berakhir. Dalam hal ini suka saya mencadangkan kepada Noh untuk kelangsungan riwayatnya dalam politik di Selangor. Jalan lain untuk mengukuhkan kedudukan Umno Selangor dirasakan payah. Bukan senang juga untuk Noh menggerakan semangat Umno Selangor termasuk pemimpin peringkat bahagian agar bersamanya. Khabarnya bukan semua ketua-ketua bahagian senang dengan Noh, manakala anak-anak muda tidak melihat Noh sebagai ketua yang ada idea dan wawasan. Hanya satu cara yang saya nampak bagi Noh memulihkan keadaan dan seterusnya mengatur jalan untuk merampas Selangor daripada PKR dan DAP. Caranya Noh mesti berusaha untuk membawa Pas bersama Umno. Itu sahaja caranya. Noh memerlukan bantuan Pas untuk merampas Selangor. Umum tahu sesetengah pemimpin Pas Selangior berminat untuk bergabung dengan Umno atas maslahat untuk kepentingan agama dan bangsa. Perkara ini bukan menjadi rahsia lagi. Kenapa tidak Noh merapatkan diri dengan mereka ini. Bukankah sebelum ini sudah ada gagasan dan agenda untuk menyatukan Pas dengan Umno. Nah, Noh boleh mengambil kesempatan atas minat sesetengah pemimpin Pas ini. Keinginan sesetengah pemimpin Pas ini juga tidak dapat dibendung lagi. Penentangan terhadap Dr Wan Azizan Wan Ismail untuk mengambil alih jawatan MB daripada Khalid Ibrahim memberi petunjuk yang mereka itu senang dengan Umno. Apakah gerak bawah ini tidak difahami Noh? Bagi memudahkan usaha Noh berbaik dan berpakat dengan Umno ini Noh boleh merisik khabar dengan beberapa personaliti berwajah ustaz dan ulama dalam Pas. Mereka yang mempercayai kedudukan Islam dan bangsa Melayu terancam waktu ini pasti sedia membuka jabatan tangan dengan Noh. Mungkin Noh boleh mencari dan bermuzakarah dengan beberapa pemimpin Dewan Pemuda Pas yang pernah menghadiri dialog cendekiwan pada dua tiga tahun lepas yang turut mencari formula bagaimana hendak menggabungkan Pas dengan Umno. Dalam masa sama juga mungkin Noh boleh swastakan Umno kepada bekas MB Selangor, Khalid Ibrahim yang dikatakan disayangi oleh rakyat. Aset yang ada kepada Khalid itu sepatutnya dimanfaatkan oleh Noh. Noh dan Umno perlu menggunakan kehebatan Khalid. Ia tidak sukar kerana Khalid sendiri adalah bekas ahli parti Umno. Sudah pasti kehadiran Khalid dan beberapa pemimpin Pas akan menguatkan dan membantu Umno untuk merampas kerajaan Selangor. Mereka juga akan menjadi penyelamat kepada Melayu dan Islam di Selangor yang digambar-gemburkan dalam keadaan terancam muasir ini.Perjuangan Khalid dan beberapa pemimpin Pas yang obses kepada agama dan Islam juga sejalur sejalan dengan Umno. Saya rasa kalau Noh berjaya memancing Khalid dan beberapa pimpinan Pas Selangor dan juga beberapa pemuda Pas Malaysia itu sudah pasti Umno akan mendapat result yang baik dalam pilihan raya akan datang? Untuk tujuan ini Noh juga boleh cuba merintis jalan dan merisik pendirian beberapa ahli Majlis Syura Ulamak (MSU) yang kini sangat jelas kemiringan menara imannya, kemudian kemukakan cadangan atau pelan ini kepada Najib. Itulah cara bagi Noh untuk menguatkan Umno dan menjamin riwayat politiknya panjang. | ||
Balak bukan sebesar mancis, tak tahu pembalakan haram? Posted: 23 Nov 2014 07:12 AM PST Dari kerosakan bukit Cameron Highlands sehingga penyeludupan barangan dan manusia ke dalam negara serta semaraknya penyakit sosial adalah musibah yang berpunca dari rasuah yang tidak dibanteras dengan berkesan dan ketamakan yang menjadi nilai yang menguasai sebahagian peneraju kuasa negara. Akibat persekongkolan antara tauke dan segelintir pihak berkuasa serta ahli politik yang berkepentingan, rasuah nampaknya menjadi sebahagian dari urusan pentadbiran dan pengurusan negara. Khazanah negara menjadi komoditi paling direbut oleh mereka yang mencari peluang meraih keuntungan lumayan. Pendedahan terbuka mengenai kepincangan pengawasan Cameron Highlands yang mengakibatkan bencana alam terbaru dan meragut nyawa tidak boleh dipisahkan dari gejala rasuah yang berleluasa. Kerosakan Cameron Highlands bukan baru. Malah ia bukan tidak boleh dikesan dengan mata kepala para pegawai yang mengawasi kawasan tersebut. Sudah berapa kali tanah runtuh dapat dilihat di merata Cameron Highlands. Akan tetapi pihak berkuasa masih menganggap perlu mengumpul data untuk membuktikan kerosakan bukit tersebut sudah parah dan tidak mungkin boleh dipulih. Malangnya sementara proses mengumpul data dilakukan, kawasan bukit yang menjadi khazanah negara itu sudah musnah dirosakkan oleh kegiatan penerokaan tanpa izin. Natijahnya bencana alam berulang lagi dan pihak berkuasa dan ahli politik mula saling menuding jari. Demikian juga jika dilihat isu pembalakan. Ia kononnya digelar 'pembalakan haram' yang juga berleluasa. Tidak masuk akal pihak berkuasa tidak tahu, pada hal balak bukannya sebesar mancis api yang tidak boleh dikesan. Namun kerana ada pihak yang dibayar untuk menutup mata, maka hutan yang terbaki akhirnya dijadi sasaran untuk dieskploitasi dengan rakus. Kini menteri yang berkenaan dan pihak media heboh mendedahkan satu kepincangan demi satu kepincangan dalam pengurusan Cameron Highlands. Kewujudan ratusan pekerja luar dan lereng bukit yang ditukar kepada kawasan pertanian yang sensitif telah mengakibatkan penggondolan bukit tersebut secara meluas dan berleluasa sehingga akhirnya berlaku tanah runtuh yang berterusan. Bagaimana pekerja asing boleh berada di Cameron Highlands dengan seramai itu? Tidak munasabah pihak berkuasa tidak tahu. Kegiatan pertanian dilereng bukit itu boleh dilihat dengan jelas dan pekerja asing memenuhi kawasan itu. Kenapa kegiatan yang bertahun-tahun lamanya itu terlepas pandang oleh pihak yang bertanggungjawab? Soalnya insiden bencana alam yang kerap berlaku bukan tidak boleh dielakkan. Pembangunan yang dihadkan, prosedur yang diketatkan serta penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas sepatutnya boleh mengelakkan bencana dari berlaku. Namun akibat penyelewengan dan persekongkolan antara pengusaha yang tamak dan pentadbir yang mudah disogok, kerosakan alam berleluasa dan negara kerugian berjuta ringgit. Kini pihak SPRM telah mengumumkan akan menempatkan pejabat cawangan di Cameron Highlands yang dikatakan akan mengawasi perlakuan rasuah. Pertanyaan kami ialah, bagaimana pula dengan sekian banyak kawasan lain yang juga sedang berhadapan dengan pemusnahan alam. Apakah tidak ada kemungkinan gejala rasuah banyak berlaku. Adakah SPRM akan menempatkan pegawai di kawasan-kawasan tersebut? Betapa banyak aduan yang telah disampaikan kepada SPRM mengenai pelbagai kes salah guna tanah dan kelulusan yang tidak mengikut prosedur, namun rakyat yang mengadu masih menyaksi projek yang dibantah terus dilaksanakan tanpa sebarang tindakan. Kami memang mengalu-alukan laporan audit negara yang dikeluarkan saban tahun yang mendedahkan kepincangan dalam pentadbiran pelbagai agensi kerajaan. Ketua Setiausaha Negara telah mengumumkan bahawa tindakan corrective (menambahbaik) dan punitive (tindakan disiplin) sedang dilakukan. Namun kami mendapati masih banyak kes yang terlepas dari tindakan untuk membanteras penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku dan kecuaian. Ia bukan sahaja merugikan berbilion ringgit wang awam tetapi juga mengakibatkan kerugian harta dan kehilangan nyawa manusia. Kami menegaskan jika kerajaan tidak serius membanteras rasuah sehingga ke akar umbi, lambat laun negara akan hancur dan tergadai di tangan pemberi dan penerima rasuah. Menjadi pengetahuan umum betapa banyak projek yang mendapat penilaian yang kritikal dari agensi kerajaan sendiri, namun akibat lobi dan pengaruh yang kuat dari pihak syarikat ke atas pihak yang memegang kuasa dan berkepentingan, projek yang membawa risiko kepada kemusnahan alam sekitar tetap diteruskan. Pengumuman terakhir ialah apabila Perdana Menteri mengeluarkan arahan agar seangkatan anggota PDRM dan ATM dihantar ke kawasan Cameron Highlands supaya mengawasi dan mengesan pekerja asing tanpa izin (Pati) yang dikatakan berkeliaran di Cameron Highlands. Sekali lagi kami menegaskan reaksi seumpama ini yang bersifat spontan hanya di kala media mendedahkannya secara meluas tidak akan menyelesaikan isu tersebut. Menghantar angkatan tentera bagaikan suatu operasi perang besar belum boleh dikatakan kerajaan serius. Inti kepada masalah yang perlu diatasi sebenarnya terletak di tangan penguasa di pentadbiran Kuantan dan Putrajaya. Kesungguhan melakukan pembersihan dalam pentadbiran dan memastikan campur tangan politik tidak berlaku adalah tindakan utama jika kerajaan benar-benar serius mahu memelihara kawasan sensitif seperti Cameron Highlands. - HARAKAHDAILY (*) Penulis ialah Presiden Mapim. | ||
Akta Hasutan relevan untuk kawal blogger Posted: 23 Nov 2014 07:09 AM PST KUALA LUMPUR - Blogger terkenal, Datuk Ahirudin Atan atau lebih dikenali Rocky Bru menegaskan Akta Hasutan 1948 masih relevan untuk mengingatkan blogger dan keyboard warrior agar tidak keterlaluan dalam memuat naik sebarang kenyataan di media sosial. Beliau berkata, tiada keperluan untuk memansuhkan akta tersebut kerana ia bukan sahaja masih relevan malah lebih relevan pada masa kini. "Akta Hasutan lebih relevan pada masa ini (berbanding sebelum ini). Kerana trend semasa yang dihadapi lebih bahaya dan lebih senyap. Kalau dulu hasutan berada dalam ruang lingkup yang lebih kecil tetapi sekarang lebih mudah luas untuk disebarkan. "Orang ramai boleh sebarkan khabar angin dari internet dan telefon dengan mudah. Jadi adakah anda rasa perlu untuk dihapuskan?," katanya. Namun, beliau bersetuju akta itu dimansuhkan jika ada akta pengganti yang lebih berkesan untuk membendung perkara menghasut. "Kalau tidak (ada akta pengganti) lebih baik dikekalkan," katanya selepas menjadi panel di Persidangan Mahasiswa Nasional 2014. Ahirudin berkata, dalam sejarah perkembangan internet negara, penggunaan akta hasutan dilihat memberi impak yang sangat berkesan terutamanya kepada blogger. "Kerajaan telah guna akta itu hanya beberapa kali. Setiap kali akta itu digunakan impak sangat berkesan. Contohnya dalam satu kes seorang blogger terkenal lari ke luar negara sebab akta hasutan. "Disebabkan itu, blogger yang banyak mengutarakan komen yang boleh memecahbelahkan bangsa dan agama di negara terus mendiamkan diri. Maksudnya akta ini efektif, jadi kenapa perlu buang kerana kalau buang akan beri peluang lebih besar kepada pihak yang mahu manipulasikan sesuatu keadaan," katanya. | ||
PRN11: Hasrat tawan Sarawak, 1 lawan 1 dengan BN Posted: 23 Nov 2014 07:01 AM PST BINTULU: Bendahari PAS Sarawak, Mohd Azwani Abdul Rani berkata, semua jentera PAS negeri bersiap siaga menghadapi pilihan raya negeri (PRN) ke-11 yang akan diadakan tahun depan atau selewat-lewatnya awal 2016. Menurutnya, bagi PAS zon utara, sasaran sekurang-kurangnya akan bertanding 3 kerusi Dun di bahagian Utara Sarawak meliputi Senadin, Lambir dan Jepak. Dengan menggunakan formula, setiap Parlimen atau Dun akan diwakili oleh Pakatan Rakyat (PR), sekiranya dalam Parlimen itu terdapat 3 Dun, maka salah satu daripadanya mesti diwakili oleh setiap parti komponen kecuali dalam kawasan itu tidak ada ahli parti atau cawangan parti dalam PR. "Ini menujukkan kesepakatan dalam PR untuk pertandingan satu lawan satu dengan parti BN," ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Bintulu. Tambahnya, walaupun pembahagian kerusi belum selesai sepenuhnya tetapi kesepakatan dalam melawan BN adalah matlamat utama PR untuk menawan Sarawak dalam PRN11 nanti. Beliau juga memberitahu lebih daripada 60 orang peserta dari Miri, Sibuti, Limbang, Bintulu, Mukah dan Sibu telah menghadiri Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS untuk Zon Utara Sarawak. Pada munaqasyah itu, ucapan dasar Presiden PAS diulas oleh Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli. Selain munaqasyah, program kebajikan juga turut dianjurkan oleh PAS Bintulu di Dun Jepak. Seramai 20 orang warga emas dan OKU menerima sumbangan yang disampaikan oleh Dr Hatta dan Haji Kiprawi, Ketua Penerangan PAS Bintulu. - HARAKAHDAILY | ||
MB Pahang saman Utusan RM15 juta Posted: 23 Nov 2014 06:44 AM PST MALAYSIAKINI Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob memfailkan saman terhadap Utusan Malaysia berhubung tulisan "Hebat Sangatkah Adnan?' yang disiarkan pada 9 November lalu. Utusan menerima surat 18 November daripada syarikat guaman Manjeet Singh Dhillon dengan nilai tuntutan saman sebanyak RM15 juta, lapor akbar Umno itu. Utusan tidak akan mengeluarkan sebarang komen mengenai saman tersebut memandangkan ia bakal menjadi kes mahkamah. Perkara itu dinyatakan oleh Awang Selamat, yang dianggap sebagai suara Utusan, dalam kolumnya hari ini. Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan Adnan baru menghantar pernyataan tuntutan kepada Utusan. Awang Selamat sebelum ini, tanpa menafikan peranan dan kerja keras Adnan, berkata ramai berpendapat BN di Pahang boleh menang lebih besar jika beliau umumkan berundur selepas PRU-13. Menurut kolumnis itu, Utusan sebelum ini menerbitkan laporan khas tentang kebanjiran 30,000 warga asing terutama Bangladesh di Cameron Highlands. Adnan kemudian dikatakan berang dan mengaitkannya dengan agenda media untuk menjatuhkan pemimpin selain mahu melariskan akhbar bagi mengelakkan syarikat akhbar rugi dan tutup. | ||
DAP desak Najib jawab skandal 1MDB di Parlimen Isnin ini Posted: 23 Nov 2014 06:40 AM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR: DAP menyarankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan kewibawaannya dengan membuat kenyataan menteri di Parlimen Isnin ini berhubung skandal 1MDB. Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, tindakan Najib mengancam untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dalam isu terbabit jelas bertujuan untuk mengelakkan diri, sekaligus menunjukkan kepada umum sikapnya yang tidak bertanggungjawab. "Najib tidak harus memberikan contoh yang buruk kepada menteri lain dengan melarikan diri dari melaksanakan tanggungjawabnya. Beliau harus membuat kenyataan menteri di Parlimen bagi persoalan mengenai skandal 1MDB. "Beliau wajar menjawab 11 persoalan yang masih kekal menjadi misteri dalam skandal berbilion ringgit ini," kata Kit Siang dalam satu kenyataan. 11 persoalan dibangkitkan Kit Siang antaranya merangkumi persoalan mengapa kerajaan mengeluarkan 'surat sokongan' bagi bon 1MDB bernilai USD3.0 bilion yang dikeluarkan pada Mac 2013, pembayaran purata lebih 10 peratus sebagai 'komisen tertentu, bayaran dan perbelanjaan' untuk mendapatkan pinjaman berjumlah USD3 bilion dan USD1.75 bilion pada Mei 2012. "Saya juga ingin tahu mengapa 1MDB mengalihkan USD1.1 bilion daripada USD3 bilion diperoleh anak syarikatnya, 1MDB Global Investment Limited untuk membayar balik hutang sendiri dan menampung perbelanjaan operasinya? "Mengapa 1MDB bersetuju menerima jaminan pinjaman korporat korporat oleh International Petroleum Investment Corporation (IPIC) dengan syarat membebankan? "Apakah sebabnya 1MDB melabur USD1 bilion dalam usaha sama dengan PetroSaudi pada 2009, sebuah syarikat tanpa rekod prestasi dan latar belakang yang meragukan? Kit Siang turut menggesa Najib mengatur perdebatan penuh di Parlimen pada kenyataan menterinya dalam isu terbabit. "Walaupun sidang belanjawan parlimen berakhir 27 November ini, ia menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Pengerusi dan Lembaga Penasihat 1MDB apabila lari dan mengelak dari menjawab soalan yang begitu banyak," ujarnya. -Roketkini.com | ||
Dyana sindir Puteri Umno cuma penganjur acara Posted: 23 Nov 2014 06:37 AM PST MALAYSIAKINI Pemimpin muda DAP Dyana Sofya Mohd Daud berkata, golongan wanita dalam Pakatan Rakyat sedang meningkat naik berbanding dengan Umno yang menurutnya hanya berperanan sebagai penganjur acara. Penolong Setiausaha Wanita Umno Rosni Sohar semalam dilapor menggelar Dyana dan golongan wanita Melayu dalam DAP sebagai "pemimpin mi segera". "Saya tidak terkejut dengan kenyataan Rosni kerana saya tahu tanggapan bahawa pengupayaan anak muda sebagai konsep asing, ada dalam parti yang tiada had umur ketua Pemuda. "Bagaimanapun, amat malang bagi orang muda yang dinamik dan berkemampuan seperti Puteri Umno hanya dihadkan untuk program lawatan masyarakat, mengajak orang ramai ke acara parti dan menganjurkan acara kebajikan. "Walaupun kerja ini penting, saya percaya wanita muda juga harus diberdaya dan diberi peluang memimpin," kata setiausaha politik kepada anggota parlimen Gelang Patang Lim Kit Siang. | ||
Tindakan undang-undang tak gugat DAP bongkar isu 1MDB Posted: 23 Nov 2014 06:34 AM PST Roketkini.com KOTA KINABALU: Notis tuntutan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Uata Tony Pua tidak menggugat DAP untuk terus membongkar kepincangan dan salahurus pentadbiran 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Setiausaha Agung Lim Guan Eng berkata, DAP akan terus memberi tekanan kepada kerajaan terutamanya mengenai penggunaan berpuluh-puluh bilion ringgit bagi penyelesaian hutang dan pembiayaan operasi 1MDB, demi kepentingan awam. "Cadangan saman Perdana Menteri tidak menjejaskan kecekalan kami dalam mempersoal dan terus mendedahkan 1MDB," kata Guan Eng dalam ucapannya sempena konvensyen tahunan DAP Sabah di Kota Kinabalu senalam. Ujarnya, tindakan Najib adalah kes bersejarah kerana pertama kalinya pertama seorang Perdana Menteri memfailkan saman terhadap ahli parlimen pembangkang. "Jelas sekali ini bukannya tindakan fitnah biasa berhubung dengan kedudukan peribadi Perdana Menteri, tetapi mempunyai kesan meluas bagi implikasi politik," kata Guan Eng. Beliau turut memalkumkan, Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan yang juga Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo akan bertindak sebagai peguam untuk mempertahankan Pua. Dalam pada itu kata Guan Eng, meskipun notis undang-undang terhadap Pua dibuat secara peribadi, sebarang keputusan dibuat 1MDB dan Kementerian Kewangan melibatkan kepentingan awam "Ia tidak akan menyekat perbincangan awam atau memadamkan sebarang liputan media mengenai 1MDB, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hutang RM42 bilion dan RM 49 bilion liabiliti. "Ini hanya menyebabkan kerugian kepada 30 juta rakyat Malaysia dan bertentangan dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban," ujarnya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengemukakan notis tuntutan terhadap Pua atas satu ucapan yang didakwa menggambarkannya sebagai pemimpin korup. Notis tuntutan menyebut, ucapan Pua dibuat pada satu majlis anjuran DAP Petaling Jaya pada 3 November menunjukkan Najib tidak layak mengetuai pentadbiran negara. Notis berkenaan menuntut Pua memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang mendakwa "Najib mencipta skandal terbesar dalam sejarah Malaysia. Ia turut menuntut agar rakaman ucapan berkenaan, yang disiarkan oleh media pro-Pakatan Rakyat, Media Rakyat, dikeluarkan dari dalam talian Youtube. – Roketkini.com | ||
7 Dis penghujahan akhir kes saman Hadi Posted: 23 Nov 2014 06:32 AM PST MALAYSIAKINI Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu menetapkan 7 Dis ini bagi penghujahan akhir permohonan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengetepikan penghakiman ingkar terhadapnya dalam kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi Mohd Mohd Shamsul Mat Amin. Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu berikutan kegagalan kali kedua pihak plaintif mengemukakan seorang lagi saksi daripada akhbar Kosmo untuk memberi keterangan. Peguam mewakili Abdul Hadi, Asmuni Awi memberitahu pemberita, mahkamah menetapkan tarikh itu berikutan seorang saksi plaintif daripada akhbar Kosmo tidak hadir sungguhpun waran tangkap telah dikeluarkan, tetapi waran tangkap itu tidak dapat dilaksanakan. Abdul Hadi tidak hadir pada prosiding mahkamah hari ini, bagaimanapun kira-kira 300 penyokong beliau hadir di perkarangan mahkamah. Pada 28 Okt lalu, Abdul Hadi dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Alur Limbat Ariffin Deraman memberi keterangan sebagai saksi defendan manakala plaintif memanggil seorang saksi iaitu Adun Bandar Azan Ismail bagi memberi keterangan. Pada 23 Feb lepas, Abdul Hadi diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab atau memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Shamsul pada 5 Dis tahun lalu. Pada 27 Feb lepas, Abdul Hadi memfailkan permohonan bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar itu. Mohd Shamsul menyaman Abdul Hadi berhubung kenyataannya bahawa ada calon PKR menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum ke-13 tahun lepas sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru. Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan. - Bernama | ||
Serangan tak jejas semangat Malaysiakini Posted: 23 Nov 2014 06:30 AM PST MALAYSIAKINI Serangan demi serangan yang dihadapi Malaysiakini sejak 15 tahun lalu tidak berjaya menjejaskan semangat portal berita bebas itu, kata seorang pengasasnya, Steven Gan. Dalam ucapannya kepada lebih 1,000 orang penyokong yang hadir ke majlis sambutan ulang tahun ke-15 itu, Gan berkata, laman web itu akan meneruskan misinya untuk menyatakan kebenaran. Beliau mengumpamakan Malaysiakini sebagai "budak-budak sekolah nakal" yang tidak serik melawan pembuli dan tidak akan berganjak. "Dan kami tidak ingin berundur sekarang atau pada bila-bila masa pun. Dengan sokongan anda, kami berhasrat untuk terus kekal untuk masa-masa mendatang," katanya. Tambahnya, Malaysiakini akan meneruskan tugas untuk memastikan ahli politik yang dipilih oleh pengundi bertanggungjawab. Ketika Gan memulakan ucapannya, bunyi alat modem yang sering digunakan di awal penubuhan Malaysiakini, 15 tahun lalu kedengaran melalui corong pembesar suara. "Tidakkah bunyi itu menggamit memori lama?" kata Gan yang juga ketua pengarang Malaysiakini. Katanya, melalui modem 56K itulah laman Malaysiakini berjaya dicapai oleh seluruh dunia pada waktu itu. "Pada masa ini, kita ada kelajuan data 400 kali lebih laju daripada modem ini. Tentulah ia satu dunia berbeza pada masa itu. "(Perdana menteri pada waktu itu, Tun Dr) Mahathir Mohamad berkuasa. Rakyat dalam ketakutan kerana dibayangi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). "Politik dibincangkan dengan berbisik. Polis cawangan khas di merata-rata. "Tiada blog, tiada Facebook, tiada Twitter, tiada Instagram. Apa yang kita ada hanyalah telefon bimbit sebesar bata – dan Malaysiakini," katanya. Katanya, Malaysiakini membuat liputan dua perbicaraan kes liwat, tiga perdana menteri, empat pilihan raya umum, siri pilihan raya kecil dan juga penahanan ke atas dua wartawannya. "Kami digelar pengkhianat oleh seorang perdana menteri, Mahathir, dan disaman oleh seorang lagi, (Datuk Seri) Najib Razak," katanya. Beliau turut mengimbau semua siri serangan siber dan tindakan pihak yang menghalau Malaysiakini dari sidang media, selain operasi polis yang turut merampas 19 komputernya. "Bila serangan ini gagal menggugat semangat kami, mereka turut menggunakan ilmu hitam dengan melemparkan cat merah dan meninggal itik yang hampir mati di tangga pejabat kami. "Itik tersebut – seperti juga Malaysiakini – masih hidup lagi," katanya yang turut memperkenalkan 70 orang kakitangan Malaysiakini. | ||
‘Bailout’ PKFZ sekurang-kurangnya hingga tahun 2036 Posted: 23 Nov 2014 06:27 AM PST Roketkini.com KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming berkata, liabiliti jangka panjang Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) hanya dapat diselesaikan melalui 'bailout' yang dijangka sekurang-kurangnya sehingga tahun 2036. "Berdasarkan kedudukan kewangan semasa PKA, keupayaannya menyelesaikan liabiliti-liabiliti jangka panjang tertakluk kepada bantuan kewangan berterusan daripada kerajaan," lapor kenyataan tersebut. Kata Kian Ming. PKA kini terbeban akibat komitmen kewangan besar berkait pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). "Dalam empat tahun sejak 2010, PKA mengalami kerugian bersih RM674 juta. Pada 2013, keseluruhan pembiayaan kewangan yang dibayar PKA berjumlah RM203.8 juta, kurang sedikit dari pendapatan PKA yang berjumlah RM217.4 juta," ujarnya. Menurut Kian Ming, pinjaman jangka masa panjang PKA bertambah dari RM3.5 bilion pada 2010 kepada RM4.24 bilion pada 2013, manakala jumlah keseluruhan pinjaman PKA termasuk pinjaman jangka pendek bertambah dari RM4.06 bilion pada 2010 kepada RM4.41b pada 2013. Laporan Tahunan 2013 PKA menyatakan, pada 19 Disember 2013 Kementerian Kewangan bersetuju menstruktur semula baki pinjaman kerajaan kepada Lembaga Pelabuhan Klang dengan kadar faedah empat peratus dan penalti dua peratus setahun. Manakala tempoh penangguhan selama empat tahun bermula 2014 sehingga 2017 dengan syarat pembayaran semula selama 19 tahun bermula 2018 sehingga 2036. Namun kata Kian Ming, dalam tempoh penangguhan PKA masih perlu membuat bayaran faedah kira-kira RM285 juta setahun untuk 19 tahun bermula dari 2018 sehingga 2036. "Sedangkan pendapatan semasanya hanya RM217.4 juta, dan PKA masih perlu membayar perbelanjaan lain seperti kos kakitangan dan kos susut nilai. "Keupayaan PKFZ menjana pendapatan mencukupi bagi bayaran faedah yang dipersoalkan. Ini kerana pendapatan PKFZ bagi tahun kewangan 2013 hanya RM10.1 juta dan keuntungannya hanya RM209,615," ujar Kian Ming. Ketua Pegawai Eksekutif PKFZ, Chia Kon Leong menyatakan satu perjanjian besar akan dibuat bersama syarikat China, SM International Wholesale (China) Center yang akan mengubah PKFZ menjadi hab borong antarabangsa. Manakala bekas pengerusi PKA, Lee Hwa Beng dalam temubual bersama The Edge menyatakan keraguannya sama ada PKFZ mampu menjana keuntungan bagi kos pelaburan yang tinggi. "Sama ada pelaburan dijamin dan mendatangkan keuntungan kepada PKA masih belum jelas. Kita tidak mahu melihat PKFZ gagal dan mengakibatkan wang pembayar cukai dibelanjakan untuk menyelamatkan PKA. "Mungkin kerajaan perlu menstruktur semula pinjamannya kepada PKA. Dengan kata lain, pembayar cukai perlu terus menanggung akibat skandal PKA sehingga sekurang-kurangnya 2036," kata Kian Ming. – Roketkini.com | ||
Dewan Ulama tegur PKR, DAP 'serang' Hadi Posted: 23 Nov 2014 06:22 AM PST MALAYSIAKINI Dewan Ulama PAS hari ini menegur pemimpin pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang "menyerang" Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana didakwa gagal menghadiri mesyuarat majlis pimpinan pusat pakatan parti pembangkang itu. Pemangku ketua dewan ulama PAS Datuk Ahmad Yakob berkata jika benar mereka mahu membangkitkan isu berkenaan, rakan strategik PAS itu boleh menyalurkannya melalui forum dalaman pakatan berkenaan. "Tidak comel kita bangkitkan perkara yang boleh menimbulkan keraguan di kalangan ahli dalam Pakatan Rakyat. "Kita boleh selesai secara peringkat dalaman kerana kita ada forum di dalamnya (untuk meluahkan pendapat)," kata Ahmad, yang juga Menteri Besar Kelantan kepada pemberita selepas melawat Pameran Ular di Muzium Negeri di Kota Baharu. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Datuk Md Anizam Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan. Berikutan serangan terhadap Abdul Hadi (kiri) itu, seorang demi seorang pimpinan PAS tampil mempertahankan beliau. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan berkata "perkara bodoh untuk memaksa seseorang yang sakit hadir dalam mesyuarat". Mengulas lanjut, Ahmad berkata sebagai seorang presiden, Abdul Hadi juga mempunyai tugasan yang sibuk di luar negara seperti membentangkan kertas kerja dan sebagainya. "Tidak semua masa dapat kita (presiden) suaikan. Sebagai ahli parti kita kena hormat dan sayang kepada presiden," katanya. Pameran ular itu yang bermula sejak 3 Nov lalu dan akan berakhir 3 Dis ini turut mempamerkan keberanian Rahiza Abdul Rahman, 28, atau lebih dikenali sebagai 'Baby Andryanna' tinggal bersama 60 spesies ular senduk. Lebih 45,000 orang telah mengunjungi pameran itu. - Bernama | ||
DAP gesa PM tak sekat bahas 1MDB Posted: 23 Nov 2014 06:20 AM PST MALAYSIAKINI Lim Kit Siang menggesa perdana menteri tidak menyekat perbahasan parlimen berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap anggota parlimen DAP yang membangkitkannya. Lim, ketua anggota parlimen DAP, berharap ancaman saman Datuk Seri Najib Razak tidak digunakan terhadap anggota parlimennya Tony Pua (kanan) untuk "menyekat soalan umum berhubung sebarang aspek 1MDB". "Najib tidak patut menghukum pembawa khabar hanya kerana mesej Tony yang menggesa ke arah kebertanggungjawaban dan ketelusan penuh berhubung skandal 1MDB," katanya. Lim juga menyenaraikan tiga "urusan tidak selesai" yang perlu ditangani Najib sebelum berakhirnya sidang parlimen untuk tahun ini. Pertata, kata Lim, adalah pembentangan laporan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung pendatang haram Sabah, yang sudah selesai tetapi dijangka tidak dibentangkan sehinggalah bulan depan. Jika itu berlaku, kata Lim lagi, ia tidak dapat diteliti dan dibahaskan di parlimen. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan