Rabu, 19 November 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


AG: Tak dapat dakwa Ibrahim kerana tiada niat

Posted: 19 Nov 2014 03:45 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, yang dikritik kerana tidak bertindak terhadap Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali ekoran gesaannya untuk membakar Bible, menjelaskan sebabnya tidak bertindak bawah Kanun Keseksaan.

Sebagai reaksi terhadap perkara dibangkitkan dalam seminar undang-undang di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (Ilkap), Gani berkata, Ibrahim tidak boleh didakwa bawah Seksyen 505(b) dan (c) Kanun Keseksaan kerana tiada unsur "niat" dalam kenyataan itu.

Justeru, soal Gani (kanan), bagaimana Ibrahim boleh dikatakan melakukan jenayah dalam konteks itu.

Unsur 'niat' itu, tambahnya, seperti diperlukan dalam Seksyen 500 menjadikannya lebih sukar untuk pembuktian kes berbanding Akta Hasutan 1948.

Menurut Gani lagi, Ibrahim juga menjelaskan bahawa kenyataannya bukan bertujuan menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Beliau kemudian memetik kata-kata Ibrahim bahawa gesaannya bertujuan kesucian Islam seperti dinyatakan dalam undang-undang.

PKR: Jalan Persekutuan Sabah dan Sarawak akan lebih teruk

Posted: 19 Nov 2014 03:36 PM PST

 
Ironinya, menteri dan timbalan menteri berkenaan adalah wakil rakyat dari kedua-dua negeri tersebut

Sim Tze Tzin


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin meluahkan kekesalannya kerana peruntukan Kementerian Kerja Raya (KKR) tahun 2015 salah meletakkan keutamaan (priority) dan gagal dalam perancangannya.

Beliau berpendapat pengurangan bajet untuk penyelenggaraan jalan raya persekutuan akan mengundang ancaman terhadap keselamatan pengguna motosikal.

"Dalam sesi perbahasan jawatankuasa KKR semalam, saya telah membangkitkan isu pengurangan peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan yang mendadak. Ekoran pemotongan bajet, saya menjangkakan pada 2015 keadaan jalan raya persekutuan akan menjadi sangat teruk dan merbahaya. Nyawa pengguna terutamanya penunggang motosikal akan terancam," jelasnya.

Katanya, peruntukan penyelenggaraan tersebut melibatkan kerja-kerja seperti penurapan semula, penggantian papan-papan tanda, penampalan pothole, memotong rumput, mencantas pokok, menyapu jalanraya dan membersihkan longkang jalanraya.

Beliau menambah, pengurangan mendadak adalah peruntukan untuk Sabah dan Sarawak. Manakala Labuan paling serius kerana pengurangan RM269 juta akan menyebabkan keadaan jalan persekutuannya yang sudah dalam keadaan teruk akan bertambah teruk.

"Ironinya, kedua-dua menteri dan timbalan menteri adalah wakil rakyat dari kedua-dua negeri tersebut," ujarnya sambil menambah pada masa sama, bayaran Pampasan Tol secara "one-off" untuk tahun 2015 adalah RM458.7 juta.

"Apabila peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan telah berkurangan RM459 juta, bayaran pampasan konsesi pula akan dibayar RM459juta. Adakah ini satu kebetulan? Kementerian harus menjawab soalan tersebut," ujarnya.

Beliau juga berpendapat pengurangan RM459 juta peruntukan penyelenggaraan tetapi membayar RM459 juta kepada konsesi tol adalah amat tidak bijak.

Beliau seterusnya menegaskan, syarikat konsesi tol merupakan syarikat komersial yang mementingkan keuntungan (profit-oriented). Mereka telah mengutip tol berjumlah berbilion ringgit.

Sekarang, kerajaan persekutuan akan membayar mereka secara tambahan. Ini menunjukkan kegagalan kerajaan pusat menangani ketamakan syarikat-syarikat konsesi tol, rakyat menjadi mangsa.

"Adakah kerajaan pusat lebih mendahulukan rakyat atau syarikat-syarikat konsesi besar?" soalnya.

Kawasan Presiden PAS antara terjejas banjir

Posted: 19 Nov 2014 03:18 PM PST

HARAKAHDAILY



 


MARANG: Kawasan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Rhu Rendang dan Rusila di sini antara yang terjejas apabila air banjir mula naik sejak semalam dan mengakibatkan penduduk terpaksa dipindahkan.

Sehingga malam tadi, dilaporkan 49 keluarga dari tiga buah Kampung telah dipindahkan ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Rusila, dekat sini.

Selain Kampung Rusila, Kampung Ru Rendang, turut trjejas termasuk Taman Rashidah.

Malam tadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang membuat lawatan ke pusat pemindahan tersebut.

"Bencana banjir ini telah dijangka dan kita juga telah mengarahkan Jabatan Amal bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku," katanya dipetik BuletinOnline.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penyelaras Pemuda Dun Rhu Rendang, Aswadi Mohammad berkata Bilik Gerakan Operasi Banjir kini dibuka di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat di Bangunan PAS Kawasan Marang berhadapan Masjid Rusila.

Sebarang urusan sumbangan dan bantuan serta khidmat yang diperlukan, bolehlah menghubungi Azmi ditalian 0139219274 atau Fakhrudin 0145207321. - HARAKAHDAILY

Cadangan Wanita Jadi Naib Presiden Umno Terima Pelbagai Reaksi

Posted: 19 Nov 2014 03:17 PM PST

Oleh: JOCELINE TAN
 
 
 
 
 
PETALING JAYA: Gesaan Wanita Umno untuk mewujudkan kerusi keempat jawatan Naib Presiden Umno yang hanya akan ditandingi oleh wanita mendapat sokongan padu pemimpin senior di kalangan kaum itu dalam Umno.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat tentangan daripada pemimpin lelaki dalam parti itu yang tidak melihat keperluan untuk mewujudkan satu kerusi jawatan naib presiden khusus untuk wanita.

Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Rosni Zahari berkata, cadangan itu sebelum ini mendapat sokongan hebat sebanyak 89 peratus atau 171 daripada 192 bahagian Wanita Umno di seluruh negara.

"Resolusi itu tidak akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno kali ini tetapi ia telah dikemukakan kepada Majlis Tertinggi untuk pertimbangan," kata Rosni yang juga Ketua Wanita Umno Pahang.

Walau bagaimanapun ketua bahagian Umno yang kesemuanya adalah lelaki kecuali Ketua Umno Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, telah menimbulkan kebimbangan mereka terhadap cadangan itu semasa pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya.

Mereka berkata, cadangan itu hanya akan mewujudkan 'dua kapten wanita dalam satu kapal'.

Seorang kapten pastinya adalah Ketua Wanita Umno dan seorang lagi ialah sesiapa yang menduduki jawatan naib presiden.

"Tak mengapa jika mereka boleh kerja bersama. Tetapi bagaimana jika mereka tidak boleh bersama? Ketua Wanita Umno akan mempunyai tenteranya sendiri dan naib presiden wanita tentunya juga akan mempunyai tentera yang tersendiri.

"Dua wanita memimpin dalam satu kapal, kapal itu boleh terbelah dua," kata Ketua Bahagian Umno Temerloh, Datuk Shakar Shamsuddin.

Pada masa ini Umno mempunyai tiga jawatan naib presiden yang dipilih dan jawatan itu sentiasa dipegang oleh lelaki.

Tidak ada pemimpin wanita yang pernah cuba bertanding jawatan itu walaupun tiada halangan dari segi jantina.

Namun berdasarkan Perlembagaan Umno, pemimpin tiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri mempunyai status sebagai naib presiden.

Cadangan ini adalah hasil cetusan idea Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang melihat ia sebagai pengiktirafan kepada sayap itu yang menjadi tulang belakang parti.

"Kami akan terus berusaha untuk merealisasikan cadangan ini walaupun bukan pada tahun ini. Idea seperti ini pastinya akan mengambil masa," kata Ketua Wanita Umno Bukit Bintang, Senator Mariany Mohd Yit.

Dalam pada itu Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang bagaimanapun berpendapat, daripada lebih banyak jawatan di bahagian atas disandang oleh wanita, Wanita Umno perlu berjuang untuk menduduki jawatan di peringkat ahli majlsi kerajaan tempatan dan ketua kampung.

" Jawatan naib presiden adalah idea yang baik tetapi ia akan menjadi lebih bermakna untuk memperkasakan wanita di peringkat akar umbi.

"Lebih ramai wanita akan mendapat manfaat dan mereka akhirnya boleh bergerak sehingga jawatan yang lebih besar," kata Azalina.

Rasuah Balak: Banyak Aduan Tapi Tiada Tindakan

Posted: 19 Nov 2014 03:15 PM PST


Oleh: STEPHEN THEN


 
 
 
MIRI: Berpuluh-puluh laporan dikemukakan kepada pelbagai agensi penguatkuasaan dan pencegahan rasuah berhubung industri pembalakan di utara Sarawak, namun hanya sebilangan kecil daripadanya diambil tindakan.

Menurut pengadu, pihak berkuasa dilihat seolah-olah tidak mengendahkan aduan yang dibuat berhubung aktiviti pembalakan haram dan amalan rasuah dalam aktiviti tersebut.

Kumpulan hak asasi manusia daripada masyarakat luar bandar di Sarawak memuji Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem kerana bertindaka tegas menentang amalan rasuah dalam industri pembalakan.

Bagaimanapun mereka mempersoalkan mengapa Jabatan Perhutanan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis tidak bertindak ke atas laporan-laporan yang dikemukakan oleh masyarakat orang asli di sini sejak bertahun-tahun lalu.

Bercakap kepada The Star, Pengerusi Persatuan Orang Ulu Kebangsaan Bahagian Miri, Peter Kallang berkata, beliau membuat sekurang-kurangnya lima laporan masing-masing kepada SPRM dan polis di Miri mengenai pembalakan haram dalam tempoh dua hingga tiga tahun lalu.

"Selain SPRM dan polis saya juga telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Perhutanan untuk memberitahu mereka tentang pembalakan haram di Baram terutama di kawasan hutan di tapak cadangan pembinaan Empangan Baram di Long Kesseh.

"Saya juga telah sertai pemimpin dari beberapa persatuan hak asasi manusia dan alam sekitar apabila mereka membuat laporan kepada SPRM dan polis mengenai pembalakan haram dan menceroboh tanah pribumi.

"Secara keseluruhannya terdapat berpuluh-puluh laporan di seluruh utara Sarawak terhadap pembalakan haram dibuat oleh kumpulan hak asasi manusia, alam sekitar dan penduduk kampung serta individu. Tetapi sehingga hari ini, tiada satu pun daripada laporan-laporan ini disiasat oleh pihak polis, SPRM atau Jabatan Perhutanan," katanya.

Kallang berkata demikian bagi mengulas mengenai usaha Adenan untuk memerangi rasuah termasuk menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bagi agensi-agensi kerajaan dan swasta dalam sektor perhutanan Sarawak.

"Walaupun kami memuji Tan Sri Adenan untuk sikap tegasnya terhadap amalan rasuah, tapi hakikatnya ialah amalan tipu muslihat telah berlaku sejak bertahun-tahun.

"Dalam kes saya pihak berkuasa seperti polis dan SPRM serta Jabatan Perhutanan tidak pernah menemubual saya untuk mendapatkan maklumat lanjut walaupun banyak laporan dikemukakan kepada mereka," katanya.

PAS lancar Anjung Budaya esok

Posted: 19 Nov 2014 03:10 PM PST

MUHAMMAD FAIZAL



 

KUALA LUMPUR: Lajnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat akan melancarkan Anjung Budaya pada 20 November, esok di MyHarakah Bazaar.

Pengerusinya, Dr Muhaimin Sulam ketika dihubungi berkata penyediaan Anjung Budaya ini sebagai usaha atau inisiatif PAS dalam menghargai golongan seni dalam negara ini.

"Sebelum ini PAS tidak menyediakan tempat untuk golongan karyawan mengetengahkan bakat mereka, dengan pelancaran Anjung Budaya ini ada ruang untuk mereka berkarya.

"Dalam pada itu kita telah mempunyai perancangan khusus yang mana program di Anjung Budaya akan diadakan setiap hari Ahad minggu kedua setiap bulan," katanya.

Menurut beliau lagi, dengan perancangan dan tempat yang telah disediakan ini secara tidak langsung PAS dapat mendekati golongan-golongan seni.

"Kita telah menyediakan perancangan selama setahun, kita akan menjemput artis, penyanyi, pelakon mahupun penyair hadir membuat persembahan mereka.

"Kita bukan menolak seni tetapi kita menghargai mereka-mereka yang terlibat dalam industri ini, termasuk juga mereka yang pandai melukis turut kita jemput," sambung beliau.

Sementara itu, pelancaran Anjung Budaya akan dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pada jam 2.30 petang esok.

Selain pelancaran, Harakah turut mengadakan pogram bual bicara bagi membincangkan topik "PAS Peduli Seni".

Antara yang dijemput menjadi panel termasuk Wan Aishah Wan Ariffin, Abby Abadi, Ito Blues Gang dan Dr Muhaimin sendiri.

Manakala moderatornya Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Ridhuan Mohd Nor.

Program itu juga akan diserikan dengan persembahan Busking leh Zuar XPDC. - HARAKAHDAILY

Exco PAS S'gor tak terlibat lulus dana RM2.6 juta

Posted: 19 Nov 2014 03:08 PM PST

MUHAMMAD FAIZAL



 


KUALA LUMPUR: Exco PAS Selangor tidak terlibat dalam kelulusan bayaran pampasan sebanyak RM2.6 juta kepada pembantu-pembantu bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, penafian penglibatan itu dimaklumkan pada pertemuan dengan PAS Negeri Selangor semalam yang turut dihadiri dua bekas exco serta pimpinan negeri dan kawasan.

"Dua bekas exco dan dua exco menafikan telah memberi kelulusan serta terlibat dalam pemberian pampasan kepada orang-orang Khalid.

"Mereka memaklumkan pada mesyuarat 22 Oktober lalu, Khalid‎ hanya memaklumkan pemberian tersebut yang telah dipersetujui pada mesyuarat Lembaga Pengarah Menteri Besar Incorporate (MBI) dengan jumlah tanpa ada pecahan pembayaran," katanya pada sidang media di Parlimen.

Tambah beliau, tindakan mengaitkan PAS dalam isu RM2.6 juta itu hanya bertujuan untuk mencemarkan imej PAS yang sebelum ini mempertahankan Khalid dalam krisis Menteri Besar.

"Kaitkan exco PAS adalah niat jahat Khalid untuk memalitkan PAS dalam isu ini, ia hanya dimaklumkan sahaja dan bukan meluluskan melalui mesyuarat exco.

"Malah pembayaran juga dibuat secara mengejut apabila duit dipindahkan ke akaun masing-masing pada malam itu juga, ini turut mengejutkan exco-exco yang ada ketika itu," sambung beliau lagi.

Beliau yang turut memberitahu, PAS Selangor menggesa agar siasatan terperinci segera dilakukan Kerajaan Negeri Selangor termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani turut menyifatkan ia merupakan satu pembayaran yang keterlaluan dan tidak mengikut undang-undang pekerjaan yang sedia ada.

Katanya, pembayaran dengan jumlah yang besar itu merupakan satu pembayaran yang pertama kali berlaku di negara ini. - HARAKAHDAILY

Apa status pengambilalihan perkhidmatan AES

Posted: 19 Nov 2014 03:04 PM PST

HARAKAHDAILY.

KUALA LUMPUR: Datuk Mahfuz Omar [PAS-Pokok Sena] minta Menteri Kewangan menyatakan:-
(a) apakah status pengambilalihan perkhidmatan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) daripada 2 syarikat penyedia perkhidmatan melalui AES Solution Sdn. Bhd.; dan

(b) apakah terma-terma serta kos pengambilalihan AES oleh Solution Sdn. Bhd. dari dua syarikat penyedia perkhidmatan sedia ada.

Beliau mengemukakan pertanyaan bagi jawab lisan itu pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli-ahli parlimen PAS yang turut mengemukakan soalan sebagaimana di bawah.

Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah [Kuala Terengganu] minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan di dalam projek perlombongan dan pembinaan kilang pemprosesan silika kualiti tinggi di kawasan Bari, Setiu, apakah cadangan langkah-langkah pemulihan semula tapak tersebut memandangkan Setiu Wetlands adalah di antara aset produk pelancongan utama Terengganu dan juga Malaysia.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah rancangan Kementerian untuk meningkatkan lagi peranan OIC yang dilihat lemah, tidak berperanan dan tidak berkesan sekarang.

Idris Ahmad [Bukit Gantang] minta Menteri Pengangkutan menyatakan bilakah Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) daripada Ipoh ke Taiping hendak beroperasi, adakah projek tersebut telah menepati tarikh yang dirancang.

Ahmad Baihaki Atiqullah [Kubang Kerian] minta Menteri Pengangkutan menyatakan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu adalah antara lapangan terbang paling sibuk di Malaysia, walaupun hanya boleh menampung pendaratan kapal terbang yang kecil disebabkan kependekan landasannya. Apakah halangan sebenar pihak MAB dan Kerajaan untuk membina dan memanjangkan landasan lapangan terbang ini walaupun kelulusan tanah telah dibuat sekian lama. – HARAKAHDAILY

Banggol Donas: Kroni dijaga, tanah penduduk dirampas

Posted: 19 Nov 2014 03:02 PM PST

ANIS NAZRI



 


KUALA LUMPUR: Hanya untuk menjaga kepentingan pihak tertentu, 22 penduduk Kampung Banggol Donas kini diselubungi keresahan dan kebimbangan kediaman mereka dirobohkan bila-bila masa.

Kebimbangan itu ekoran projek pembinaan jalan yang sedang giat dilakukan kini sudah semakin menghampiri kampung mereka, yang akhirnya akan menyebabkan mereka bakal kehilangan tanah dan kediaman.

Biarpun penduduk telah mengemukakan rayuan agar jajaran ditukarkan dan dipersetujui kerajaan negeri, pihak pemaju masih enggan mengubah jajaran tersebut.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata penduduk mencadangkan dua laluan alternatif yang tidak melibatkan banyak rumah kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Difahamkan, jajaran alternatif pertama lebih pendek serta melibatkan hanya lima buah rumah sahaja, tetapi melalui tanah milik keluarga bekas Jawatankuasa Kerja Kampung (JKKK).

Manakala, jajaran alternatif kedua pula melalui tanah kosong, serta tiada rumah yang terlibat tetapi melalui tanah milik syarikat korporat, namun rayuan itu tidak dilayan pihak kerajaan,

Dalam masa sama, projek itu dijalankan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan iaitu Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) apabila projek ini tidak diwartakan bawah Seksyen 4 (bahawa tanah kemungkinan diambil) sebelum memulakan projek.

"Pekeliling Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (Bil 1/Tahun 2003) menetapkan bahawa agensi yang memerlukan tanah bagi sesuaatu projek hendaklah mencari dan menentukan tapak atau jajaran yang sesuai dua tahun sebelum pelaksanaan projek.

"Bagaimanapun, projek telah berjalan pada 18 Julai 2010, sedangkan ia diwartakan pada 18 Oktober 2010," tegas beliau pada satu sidang media, di Pejabat Agung PAS petang tadi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kg Banggol Donas, Salleh Embong berkata perjuangan bagi memastikan tanah warisan mereka tidak diceroboh akan terus dilakukan.

Katanya, pihak penduduk kampung telah mengemukakan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dan perbicaraan mengenainya akan berlangsung pada 25 Nov akan datang.

Beliau juga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera bertindak memandangkan kerajaan negeri pernah menyatakan persetujuan untuk menukar jajaran tersebut, namun tidak diendahkan pemaju.

"Senang cerita, dalam kes ini pemaju menang dan lebih besar dari kerajaan negeri. Mungin ada tangan-tangan ghaib di sebalik semua ini, itu saya tidak tahu," kata beliau dengan nada kesal.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah, menegaskan sekiranya kerajaan benar-benar mempunyai kesungguhan, isu berkaitan tanah kampung warisan ini boleh diselesaikan.

Namun, tegasnya kerajaan dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan yang menyebabkan rakyat diancam dan tertindas.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah wakil Pertubuhan Prihatin Asnaf Anak Terengganu (Bantu) dan Gerakan Anak Terengganu Insaf (Ganti).  - HARAKAHDAILY

[VIDEO] Isu 1MBD: Ahmad Maslan Minta Maaf Kelirukan Dewan Tanpa Niat

Posted: 19 Nov 2014 04:27 AM PST

KELAB GREENBOC


 
Ahmad Maslan mohon maaf kepada Dewan Rakyat berhubung 1MDB

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan hari ini membuat permohonan maaf kepada sidang Dewan Rakyat kerana kenyataan yang dikeluarkannya pada 6 November lalu berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kekurangan enam perkataan.

Ekoran kenyataan yang dikeluarkan beliau ketika itu, Ahli Parlimen Pandan (PKR) Rafizi Ramli kemudiannya mengemukakan usul kepada Dewan Rakyat untuk membawa Ahmad kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa beliau mengelirukan Dewan.

"Saya dengan ini memohon maaf kepada Dewan dan menambah enam perkataan itu 'tidak ada surat jaminan lain semua'," kata Ahmad ketika membetulkan kenyataan asalnya.

Hansard Parlimen pada 6 November menunjukkan Ahmad hanya menyebut "tidak ada surat apa semua", apabila menjawab pertanyaan daripada Petaling Jaya Utara (DAP) Tony Pua berhubung sama ada wujudnya surat sokongan daripada kerajaan untuk hutang 1MDB.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudiannya membuat keputusan Ahmad tidak perlu dihadapkan ke jawatankuasa berkenaan memandangkan ahli Parlimen Pontian itu tidak berniat untuk mengelirukan Dewan.

"Mengambil kira semua ini, tidak payah dibahas dan dirujuk mana-mana kerana beliau tidak berniat sama sekali mengelirukan Dewan.

"Saya harap perkara ini selesai kerana tiada niat mengelirukan Dewan," kata Pandikar ketika membuat keputusan tersebut.

Rafizi dan Ahmad sebelum itu diberi peluang mengemukakan hujah masing-masing berhubung perkara itu di dalam Dewan Rakyat.

"Saya menerima kekhilafan atas tertinggalnya enam perkataan tersebut yang menyebabkan salah faham. Saya tidak ada sebarang niat untuk mengelirukan Dewan," kata Ahmad.

"Sesungguhnya yang baik itu datang daripada Allah dan yang lemah itu daripada hambaNya."

Kenyataan daripada Ahmad itu kemudiannya disambut Ahli Parlimen Pokok Sena (PAS) Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Shah Alam (PAS) Khalid Samad, yang turut menerima keputusan Pandikar.

"Mengelirukan tanpa niat sama seperti membunuh tanpa niat," kata Mahfuz.

"Bagi saya, sekiranya kesilapan itu berlaku sekali, beliau tidak sebut apa yang sepatutnya disebut, saya boleh terima. tetapi bagi diri saya, sangsi dengan niat sebenar timbalan menteri," kata Khalid.

Rafizi pada sidang medianya kemudian merakamkan penghargaan kepada Pandikar kerana memberi peluang untuk isu berkennaan dibincangkan di dalam Dewan Rakyat.

"Beliau (Ahmad) minta maaf pun saya merasakan kemenangan besar bagi rakyat. Menteri diharapkan berhati-hati ini selepas ini ketika memberikan kenyataan di Parlimen," kata Rafizi.- TMI


LIHAT VIDEO DI SINI


ULASAN GB

Selama ini jika kesalahan itu dilakukan oleh ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat walau betapa kecil sekalipun, speaker begitu pantas membawa mereka ke JK Hak dan Kebebasan.

Berbanding apabila penipuan itu dilakukan oleh wakil kerajaan seperti kes Ahmad Maslan di atas. Minta maaf sahaja, beres.

Daripada Isu Transgender, Lebih Berpahala Pemuda UMNO Bawa Usul Caj Arak Dalam Tiket MAS

Posted: 19 Nov 2014 04:21 AM PST

shahbudindotcom


Sebagaimana yang dilaporkan media, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, antara usul yang akan dibawa dan dibahas dalam Perhimpunan Agung pergerakan itu tahun ini ialah mengenai transgender.

Isu ini menjadi bualan baru-baru ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa undang-undang syariah Negeri Sembilan yang menjatuhkan hukuman kepada lelaki yang berpakaian wanita di tempat awam adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu turut mendapat kecaman daripada banyak pihak, daripada pemimpin politik, mufti, NGO serta orangramai yang menganggapnya mencabar serta bertentangan dengan hukum Tuhan.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, dalam mewajarkan keputusan membawa usul tersebut berkata, kebimbangan Pemuda sudah tidak dapat dibendung lagi, selain masyarakat mahu tahu pendirian Pemuda dalam isu tersebut.

Lagi pula, jika isu agama dan semasa tidak boleh dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO, apa yang boleh dibincangkan lagi? tegasnya yang terus mempertahankan isu transgender itu walaupun mendapat cemuhan banyak pihak.

Memang tidak dapat dinafikan Perhimpunan Agung UMNOlah tempat paling sesuai membincangkan isu-isu semasa, tetapi isu transgender yang berbangkit baru-baru ini bukanlah isu mendesak bagi Pemuda UMNO untuk menjadi juaranya. 

Tambahan pula, ia adalah perkara berkaitan mahkamah dan masih boleh dirayu ke peringkat yang lebih tinggi. Maka, biarlah ia diselesaikan melalui saluran yang sewajarnya.

Sementara kerajaan Negeri Sembilan sudah menyatakan pihaknya akan membuat rayuan mengenai kes itu, membincangkan sesuatu kes yang sedang dalam proses rayuan secara terbuka juga boleh dianggap menghina mahkamah.

Dalam pada itu, isu transgender juga bukanlah isu yang dekat dengan perjuangan Pemuda UMNO. Jauh lebih mustahak dibawa dan dibahas ialah usul mengenai hal-hal lain yang berkaitan secara langsung dengan keperluan dan kepentingan anak-anak muda seperti perumahan, peluang pekerjaan, kos sara hidup yang meningkat, pendidikan, kemudahan sukan dan sebagainya.

Hal-hal mengenai transgender ini biarlah Sisters In Islam saja yang menjuarai dan memperjuangkannya.

Dengan bertempik memberitahu umum akan usul transgender yang bakal dibawa dan dibahas dalam perhimpunan kali ini, Pemuda UMNO juga patut malu dengan Puteri UMNO yang mahu membahaskan secara detail isu pengangguran di kalangan belia dan anak-anak muda untuk diketengahkan kepada kerajaan.

Namun demikian, jika benar Pemuda UMNO ingin juga turut serta dalam membahaskan isu semasa yang berkaitan agama, adalah lebih wajar dan mendatangkan banyak pahala jika membincangkan isu tiket penerbangan MAS yang didalamnya termasuk caj hidangan  dan juga arak.

Sebagaimana yang didedahkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Abd Aziz Kaprawi di Parlimen ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pas, Khalid Samad sama ada harga tiket kapalterbang MAS termasuk caj hidangan dan arak atau minuman keras itu dikenakan bayaran, jawapan yang diberi sungguh mengejutkan.

Jawapan Abd Aziz ialah, "memang apabila kita membeli tiket kapal terbang, maka ia termasuk juga hidangan yang disediakan."

Mengenai kekhuatiran Khalid Samad bahawa ini bermakna setiap orang yang membeli tiket MAS adalah bersubahat walaupun tidak meminum arak, Abd Aziz berkata lagi, MAS kini dalam proses penstrukturan semula dan akan membuat model perniagaan baru yang lebih rapi dan Islamik yang mungkin menukar semua sistem yang dipertikai itu.

Dengan pendedahan itu, bukan saja Ahli Parlimen, malah rakyat biasa juga mengharapkan MAS melarang terus hidangan arak di dalam pesawatnya yang diberikan secara percuma selama ini.

Sebagai kumpulan pendesak yang penuh idealisme, isu caj arak dalam tiket MAS inilah yang seharusnya diperjuangkan oleh Pemuda UMNO. Pergerakan itu bukan saja boleh mendesak kerajaan agar menghentikan hidangan arak dalam model baru penstrukturan MAS yang sedang dirangka, bahkan seharusnya meminta Perdana Menteri bertindak dengan serta-merta menghentikan amalan yang bertentangan dengan Islam itu.

Barulah ada ummphh perjuangan Pemuda UMNO tetapi jika isu transgender yang mahu diketengahkan, yang ada hanyalah...Auwwww!!

KD Perantau tenggelam ketika diselenggara

Posted: 19 Nov 2014 04:14 AM PST

MALAYSIAKINI



 
 
 
KD Perantau iaitu kapal hidrografi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang diselenggara dilapor tenggelam akibat kebocoran di Limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak malam tadi. 
 
Menurut TLDM, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian pada kira-kira jam 11.17 malam itu dan usaha untuk menyelamatkan kapal itu sedang giat dilaksanakan oleh Limbungan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) dengan dibantu TLDM.
 
"Hampir kesemua peralatan mudah alih seperti motor, pam dan peralatan pengukuran telah dikeluarkan dari kapal tersebut sebelum kejadian berlaku berdasarkan prosedur biasa apabila kapal menjalani pembaikan," demikian menurut kenyataan TLDM hari ini.
 
TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
 
KD Perantau yang digunakan untuk operasi pengukuran hidrografi, pemerhatian meteorologi serta cerapan oseanografi sedang menjalani rutin kerja penyelenggaraan pasang pulih pada 10 November lepas.
 
Ia dijangka siap sebelum dikembalikan kepada TLDM pada 10 Ogos tahun depan, kata TLDM.
 
KD Perantau yang dibina di Limbungan Hong Leong-Lursen, Pulau Pinang, ditauliahkan pada 12 Oktober 1998.- Bernama

Tangguh GST, Najib perlu belajar dari kesilapan Jepun

Posted: 19 Nov 2014 04:11 AM PST

liewchintong03

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan mengambil contoh masalah besar dihadapi Jepun selepas pengenalan cukai jualan.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, kini terdapat elemen baru bagi dasar 'Pandang Ke Timur' iaitu dengan tidak mengulangi kesilapan Jepun memperkenalkan cukai ketika ekonomi berada dalam keadaan rapuh.

"Kedua-dua negara bergantung ekonominya kepada penggunaan domestik, dan apabila dikenakan cukai ia akan mengambil pendapatan boleh guna yang tidak seberapa dari pengguna biasa sekaligus tidak menggalakkan penggunaan.

"Memandangkan bencana dari kenaikan cukai jualan Jepun, Najib harus melakukan perkara terbaik dengan mengambil iktibar dari kesilapan negara Matahari Terbit itu untuk menangguhkan pelaksanaan GST," kata Chin Tong dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe semalam mempertimbangkan mengadakan pilihanraya lebih awal selepas data suku ketiga 2014 menunjukkan kadar pertumbuhan adalah negatif akibat kenaikan cukai jualan kebangsaan daripada 5 peratus kepada 8 peratus pada April.

Kenaikan cukai tersebut mengurangkan perbelanjaan pengguna dan memadam potensi pertumbuhan ekonomi yang kini sudah pun dalam keadaan lemah.

"Ini merupakan perkara mengejutkan untuk Jepun apabila kenaikan cukai jualan pada bulan April boleh merosakkan ekonomi.

"Sebab itu Abe mempertimbangkan untuk mengadakan pilihanraya awal untuk mendapat mandat baru bagi menangguhkan kenaikan cukai jualan kedua daripada 8 peratus kepada 10 peratus, yang dijadual dilaksana 2015 nanti.

"Semoga Najib menjadikan masalah ini sebagai pengajaran dan menangguhkan GST," kata Chin Tong. – Roketkini.com

TI-M harap S'wak tahan dalang kes balak

Posted: 19 Nov 2014 04:09 AM PST

NALAYSIAKINI


 


NGO antirasuah, Transparency International-Malaysia (TI-M) berharap usaha kerajaan Sarawak untuk membanteras rasuah dalam industri pembalakan akan disusuli dengan tindakan konkrit.

Badan itu berharap, kerajaan negeri akan tindakan termasuk penahanan dalang yang terlibat dengan pembalakan haram.

"Dengan pandangan tegas dan visi ketua menteri mahu mewarta lebih banyak kawasan sebagai taman negara, TI-M jangka Jabatan Perhutanan Negeri bersungguh-sungguh menahan dalang yang terlibat dengan pembalakan haram khususnya di Taman Negara Maludam dan Taman Negara Bukit Tiban.

"Peguam besar negeri turut diperlukan untuk mengesyor tindakan undang-undang yang sepatutnya terhadap pelaku ini sebagai merealisasikan permintaan ketua menteri bagi melihat hasil konkrit memerangi pembalak haram," kenyataan NGO itu dipetik.

Badan itu turut menyanjung "ikrar integriti korporat" yang ditandatangani enam syarikat pembalakan besar di negeri dan juga kerajaan negeri untuk mewarta lebih banyak kawasan hutan sebagai taman negara.

TI-M itu menyifatkan tindakan ketua menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebagai langkah mempromosi ketelusan dan tatakelola kerajaan yang baik.

Sehingga kini, kata NGO itu, terdapat seluas 800,000 hektar yang diwartakan sebagai taman negara dalam 37 lokasi di seluruh negeri itu dan pada Jun tahun depan, Adenan mahu melihat sekurang-sekurangnya satu juta hektar diwarta sebagai taman negara.

NGO itu berkata pihaknya turut menyokong tindakan kerajaan negeri mahu menamatkan pemberian lesen pembalakan baru sekalipun daripada syarikat kecil kerana tepat pada masanya untuk mengelak penerokaan hutan berleluasa di negeri itu.

Menurut TI-M, badan itu menyokong penuh jika Adenan mahu "menunaikan apa yang dijanjikannya" dalam menangani aktiviti pembalakan haram dan menghapuskan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Shabery tak perlu berbuih mulut sebut hal lain, jawablah soalan penting – Lip Eng

Posted: 19 Nov 2014 04:04 AM PST

lim lip eng

Roketkini.com.


KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tak perlu mengeluarkan kenyataan menyindir, kononnya Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng tidak tahu perbezaan antara Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

Dalam satu kenyataan Lip Eng berkata, Shabery yang mungkin terlupa bahawa desakan kuat Pakatan Rakyat memungkinkan tarikh 16 September diisytihar sebagai cuti umum.

"Kesilapan saya satu patah perkataan itu yang beliau raikan. Berbeza dengan rakan menterinya yang seorang lagi boleh hilangkan enam perkataan daripada ucapannya.

"Saya perlu perjelaskan bahawa saya tahu betul apa perbezaan antara Hari Merdeka pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

"Tapi tak apa. Saya tak ambil hati," kata Lip Eng dalam satu kenyataan

Shabery hari ini menyindir Lip Eng yang menurutnya keliru dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan Lip Eng yang mencadangkan agar kerajaan mengutamakan sambutan 'Hari Kebangsaan' pada 16 September setiap tahun berbanding sambutan 'Hari Merdeka'

Shabery berkata, beliau berpendapat bahawa parti DAP juga keliru mengenai dua hari kebesaran itu, sepertimana Lim

Lip Eng menegaskan soalan dibangkitkannya di Parlimen hari ini sama ada kerajaan bercadang meraikan 16 September dengan lebih meriah demi perpaduan rakyat Malaysia yang terbentuk hasil perpaduan Semenanjung bersama Sabah dan Sarawak.

"Pastinya perayaan Persekutuan Malaysia lebih besar maknanya bagi warga Sabah dan Sarawak.

"Maka kenapa hanya Hari Merdeka yang disambut meriah. Ini saya dapati daripada jawapan kerajaan sendiri hari ini di Parlimen memberitahu perbelanjaan Hari Kemerdekaan adalah RM20 juta tahun lalu, dan RM17 juta tahun ini," ujarnya.

Namun, kerajaan mengelak soalan tambahan Lip Eng mengenai kemungkinan bertambahnya perbelanjaan menyedia majlis sambutan Hari Kemerdekaan memandangkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tahun depan

"Adakah kerajaan bercadang untuk berjimat memandangkan hakikatnya kerajaan tidak begitu berduit sehingga perlu mencukai rakyat miskin.

"Walaupun parlimen menyatakan perbelanjaan RM17 juta untuk perayaan tahun ini tanda kerajaan berjimat, kita tahu tahun ini memang kerajaan meraikannya secara 'kecil-kecilan', lantaran negara bersedih dengan tragedi MH17 dan MH370.

"Jadi sebenarnya kerajaan tidaklah 'berjimat' sangat," kata Lip Eng.

Justeru itu, beliau sekali mengulangi soalannya sama ada kerajaan akan terus berbelanja besar bagi perajaan Hari Merdeka dan menganaktirikan Hari Malaysia serta unjuran perbelanjaan perayaan tersebut berikutan pelaksanaan GST.

"Tak perlu berbuih mulut sebut perkara yang tak ada kena mengena, jawab dahulu soalan yang lebih penting," kata Lip Eng. – Roketkini.com.

Kos sambutan kemerdekaan kurang RM3 juta

Posted: 19 Nov 2014 03:56 AM PST


Ahmad Shabery Cheek Ahmad Shabery Cheek
 

KUALA LUMPUR - Kerajaan berjaya mengurangkan kos majlis sambutan Hari Kemerdekaan daripada RM20 juta tahun lalu kepada RM17 juta tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Shabery Cheek berkata, kos itu melibatkan pelbagai acara termasuklah doa di Dataran Merdeka, kempen kibar Jalur Gemilang, Memori Chow Kit Road 2.0, amanat merdeka dan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos.

Katanya, daripada jumlah itu kerajaan turut mendapat tajaan daripada syarikat swasta sebanyak RM10 juta.

"Sambutan kemerdekaan menelan belanja besar tapi kita mendapat bantuan daripada syarikat swasta. Ini menunjukkan kita boleh memeriahkan sambutan kemerdekaan tanpa menggunakan peruntukan kerajaan sepenuhnya.

"Misalnya daripada tahun lepas kita minta pawagam memainkan lagu Negaraku sebelum tayangan filem bermula. Pihak pawagam tidak mengenakan sebarang caj untuk tujuan ini," katanya ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di sesi Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab persoalan Lip Eng, Shabery turut menjelaskan, pengurangan kos itu juga tiada kaitan dengan sambutan kemerdekaan yang dilakukan secara sederhana bagi menghormati tragedi MH17 dan MH370.

"Peruntukan sambutan kemerdekaan telah diberi sejak tahun lalu dalam Bajet 2013. Ketika itu, kita pun tidak menjangka tragedi MH17 dan MH370 akan berlaku.

"Jadi kita memang telah berbelanja dengan berhemah," katanya.

Dalam sesi tersebut, Shabery turut menegur Lip Eng yang bertanyakan sama ada kos sambutan kemerdekaan tahun depan akan bertambah susulan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Di mana kita nak bagi GST? Adakah kita nak kutip GST pada orang yang sambut hari merdeka di Dataran Merdeka?

"Saya rasa Yang Berhormat tidak faham soal GST dan soal kenegaraan," katanya.

Pembuli jalan: Pengarah syarikat didakwa

Posted: 19 Nov 2014 03:53 AM PST


Kok An mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret Petaling Jaya. - Foto Sinar Harian oleh SITI AZIELAH WAHI Kok An mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret Petaling Jaya. - Foto Sinar Harian oleh SITI AZIELAH WAHI
 
 
PETALING JAYA - Seorang pengarah syarikat konsultan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap dua pertuduhan melakukan khianat dengan meludah dan membengkokkan pengelap cermin kenderaan serta membuat ugutan jenayah terhadap seorang pembantu peribadi dua hari lalu.

Khoo Kok An, 58, mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret Salamiah Salleh.

Bagi pertuduhan pertama, Kok An didakwa melakukan khianat dengan membengkokkan pengelap cermin depan kereta dan meludah ke arah cermin hadapan kereta Perodua Kenari putih milik Alisa Thean Wei Yun, 45.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bagi mendatangkan kegentaran terhadap mangsa yang sama dengan menghalang laluan perjalanan.

Bagi kesalahan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa berlaku di Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) susur keluar Putrajaya atas jejambat Subang Jaya, jam 8 pagi, 17 November 2014.

Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua kes atas alasan kes itu mendapat perhatian umum.

Bagaimanapun peguam T. Geetha memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM1000 kerana kesalahan itu merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Disember depan untuk sebutan kes.

Sarawak kurangkan tarif elektrik

Posted: 19 Nov 2014 03:44 AM PST

MALAYSIAKINI



 
 
 
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menyemak untuk menurunkan tarif elektrik bagi semua pelanggan domestik di negeri itu berkuatkuasa mulai 1 Januari 2015.
 
Dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri, beliau berkata langkah tersebut akan memberi manfaat besar kepada pelanggan yang berpendapatan rendah.
 
Berikutan itu, kata Adenan, hampir 60,000 lagi pelanggan layak menerima subsidi RM20 dari kerajaan persekutuan, di samping 70,000 pelanggan yang sudah pun menikmatinya.
 
Ini bermakna kira-kira 130,000 pelanggan berpendapatan rendah di Sarawak akan menerima bil bulanan sifar, katanya.
 
Bagi 50,000 pelanggan yang tidak layak mendapat subsidi kerajaan persekutuan dan menggunakan 150 unit sebulan, tarif akan dikurangkan lebih 40 peratus, tegasnya.
 
Manakala 50,000 pelanggannya yang menggunakan antara 150 dan 200 unit akan mendapat pengurangan tarif sebanyak 30 peratus, tambahnya.
 
Adenan berkata 80,000 pelanggan yang kini menggunakan antara 200 dan 300 unit setiap bulan akan mendapat pengurangan tarif di bawah 20 peratus.
 
Selain itu, 50,000 pengguna yang kini menggunakan 300 dan 400 unit setiap bulan akan mendapat pengurangan kira-kira 10 peratus, katanya.
 
Manakala baki 125,000 pelanggan lagi dengan penggunaan bulanan terbesar lebih daripada 400 unit, akan mendapat pengurangan antara 2 peratus dan 4 peratus, tambahnya.
 
Menurut Adenan, 240,000 pelanggan atau hampir 50 peratus daripada pelanggan SEB akan mendapat manfaat daripada pengurangan tarif di antara 20 peratus dan lebih 40 peratus.

Azeez gelar Tony Pua pondan, penakut

Posted: 19 Nov 2014 03:42 AM PST

MALAYSIAKINI


 


Seorang MP BN hari ini menggelarkan MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua "pondan dan penakut" kerana enggan memberi laluan kepadanya untuk bertanyakan soalan.

"Ini penakut, ini pondan. Baling minta laluan tak nak bagi. Ini penakut.

"Tak layak duduk dalam PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara). Malulah," Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) meninggikan suaranya sewaktu cuba mencelah ucapan Pua.

Azeez menghamburkan kata-kata itu sewaktu Pua membahaskan Belanjawan 2015 di peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Pua yang juga pengerusi DAP Selangor sebaliknya memberi laluan kepada MP Shah Alam, Khalid Samad untuk bertanya soalan.

Tindakan itu mengundang kemarahan berterus dari Abdul Azeez.

"Shah Alam (Khalid Samad) dan Petaling Jaya Utara (Tony Pua) pergi main badminton sama-samalah.

"Kenapa tak mahu bagi laluan pada Baling?" bentak Abdul Azeez. 

Banjir: Unit Amal siap sedia buka bilik gerakan

Posted: 18 Nov 2014 10:24 PM PST

ANIS NAZRI 


KUALA LUMPUR: Jabatan Amal Malaysia (Unit Amal) bersedia berhadapan dengan situasi banjir yang biasa berlaku ketika musim tengkujuh setiap penghujung tahun.

Ketua Pengarah Unit Amal Malaysia, Johari Osman, berkata ketika ini jabatan amal di peringkat negeri-negeri sudh diarahkan bersiap sedia bagi menghadapi situasi awal berhubung kejadian banjir.

Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini, Johari menegaskan ketika ini bilik gerakan banjir telah dibuka di Kuantan, Pahang dan juga Terengganu memandangkan kawasan tersebut merupakan kawasan yang selalu dinaiki air.

"Buat permulaan, bilik gerakan banjir sudah dibuka di Kuantan dan Terengganu, yang mana setiap bilik gerakan perlu ada tiga hingga lima petugas Amal yang bersedia 24 jam," tegas beliau.

Tambah Johari, dalam masa sama Jabatan Amal menjalinkan kerjasama erat dengan sebuah NGO yang ditubuhkan PAS iaitu Malaysia Emergency Disaster Management (MEDM) yang diketuai Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Katanya, mesyuarat berkaitan persediaan berhadapan situasi banjir sedang diaturkan bagi membincangkan keperluan khusus bagi persediaan tersebut.

"Utamanya, kita akan berbincang tentang kaedah komunikasi ketika banjir berlaku. Itu yang paling penting bagi memastikan maklumat awal berkenaan banjir diterima dengan baik.

"Kita tidak mahu menggunakan talian telefon kerana mungkin akan mengalami gangguan. Jadi akan ada beberapa kaedah lain yang akan dibincangkan kelak," tegaas beliau yang memimpin lebih 3000 petugas Amal seluruh negara. - HARAKAHDAILY

Berapa nilai import Malaysia terhadap produk Israel

Posted: 18 Nov 2014 10:23 PM PST

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri diminta menyatakan berapakah nilai import Malaysia terhadap produk keluaran dari Israel dan apakah senarai jenis barangan paling utama yang diimport dari Israel.

Demikian pertanyaan bagi jawab lisan daripada Siti Zailah Mohd Yusoff [PAS-Rantau Panjang] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Pertanyaan daripada ahli-ahli parlimen PAS yang disenaraikan hari ini seperti di bawah.

Datuk Kamarudin Jaffar [Tumpat] minta Perdana Menteri menyatakan perincian lagi pengumuman purata pendapatan isi rumah RM5900 sebulan dengan perincian mengikut julat pendapatan bulanan menurut kaum dan negeri.

Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh] minta Menteri Pendidikan menyatakan kemajuan perancangan memindahkan Sekolah Kebangsaan Tok Bali, Pasir Puteh ke tapak baru. Bolehkah pembinaan dipercepatkan.

Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali [Kuala Nerus] minta Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi menyatakan langkah yang akan diambil oleh International Tripartite Rubber Council (ITRC) untuk memperkukuh harga getah di pasaran dunia.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [Pasir Mas] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan langkah untuk memperbaiki profesionalisme pengadil dalam mengendalikan perlawanan bola sepak terutamanya di dalam liga profesional negara.

Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan menyatakan bagaimana kepentingan pendeposit atau ahli Bank Rakyat dapat dilindungi apabila Menteri menggunakan kuasa di bawah Seksyen 16 Akta Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Peruntukan Khas) 1978 untuk mengarahkan Bank Rakyat supaya membenarkan Syarikat Carpet Tile Sdn. Bhd. menjelaskan hutang tertunggak sebanyak 32 juta melalui bayaran bulanan selama 10 tahun tanpa dikenkan sebarang denda lewat (ta'widh).

Dr Siti Mariah Mahmud [Kota Raja] minta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk memastikan kebocoran soalan-soalan peperiksaan tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan adakah Kementerian mempunyai perancangan pelan mencari bakat sukan di luar bandar dalam pelbagai bidang sukan.

Datuk Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan bilangan kes yang dibawa ke Mahkamah mengikut Akta Hasutan 1948 dalam tempoh 10 tahun yang lalu. - HARAKAHDAILY

Caj arak: Pengguna ada hak boikot MAS - Murshid

Posted: 18 Nov 2014 10:19 PM PST

HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Presiden Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berpendapat pengguna berhak menggunakan kuasa mereka untuk memboikot MAS ekoran tidak bersetuju dengan caj arak automatik dalam setiap tiket penerbangan syarikat itu.

Zaharuddin berkata, MAS perlu merubah dasar itu atau bersedia berhadapan resiko diboikot jika mahu terus melaksanakannya.

"Mas perlu pertimbangkan perkara tersebut dan jika ada pengguna yang tidak berpuas hati dengan pendedahan itu dan hendak memboikot MAS, pada saya tidak salah.

"Mereka ada hak dan boleh menggunakan kuasa pengguna yang dimiliki. Jika MAS tidak berganjak dengan keputusan untuk terus menghidangkan arak dalam penerbangan mereka, mereka perlu tanggung akibat," katanya dipetik Akhbar Sinar Harian.

Menurut beliau lagi, kerajaan perlu memainkan peranan dalam merubah dasar itu kerana mereka mempunyai kuasa berbuat demikian.

Lebih-lebih lagi katanya orang bukan Islam sendiripun tidak pernah mengambil kira faktor sama ada sesuatu penerbangan itu ada jual arak atau tidak.

"Apa yang menjadi keutamaan pengguna sewaktu hendak membeli tiket kapal terbang adalah sama ada harga tiket murah atau tidak dan adakah jadual penerbangannya tepat dan keselamatan mereka terjamin?

"Rakan-rakan bukan Islam dan kerap menaiki penerbangan mengaku bahawa mereka tidak pernah mengambil kira faktor sama ada sesuatu penerbangan itu ada jual arak atau tidak, adakah pramugarinya seksi atau tidak, ketika hendak membeli tiket. Tidak pernah ada dalam pertimbangan mereka," lapor akhbar harian berbahasa Melayu itu lagi.

Ditanya, adakah pengguna Islam yang membeli tiket termasuk caj arak tersebut berdosa, Zaharuddin berkata, pembeli tidak menanggung dosa sebaliknya pengurusan MAS yang berdosa dalam keadaan tersebut.

"Niat pembeli hendak beli tiket dan bukan hendak beli arak tetapi pengurusan MAS pula menyediakan caj hidangan yang terdapat arak dalam menu mereka," katanya.

Harakahdaily sebelum ini melaporkan pendedahan Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Abdul Aziz Kaprawi di Dewan Rakyat bahawa harga setiap tiket yang dibeli penumpang adalah termasuk caj hidangan dalam pesawat termasuk arak.

"Tuan Pengerusi, memang apabila kita membeli tiket kapal terbang, maka ia termasuk dengan hidangan yang disediakan dalam kapal terbang," katanya.

Pendedahan mengejutkan itu sekaligus mengundang keresahan pengguna penerbangan itu khususnya beragama Islam, yang melihat tindakan itu seperti memaksa mereka bersubahat dengan minuman beralkohol itu. -HARAKAHDAILY

Banjir, CEDM bersiap sedia sepenuhnya

Posted: 18 Nov 2014 10:13 PM PST

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana PAS (CEDM) hari telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menggerakkan jentera bagi menghadapi banjir yang mula melanda di negeri Pantai Timur.

Pengerusinya, Salahuddin Ayub berkata CEDM telah mengambil langkah-langkah awal dengan menyediakan peralatan komunikasi serta mengadakan taklimat.

"Unit radio amatur telah mengadakan taklimat untuk persiapan serta gerak kerja bagi menghadapi banjir, taklimat yang terbaru kita adakan di Hulu Terengganu.

"Di samping itu juga CEDM telah mengambil inisiatif untuk menambah peralatan radio amatur bagi meningkatkan kecekapan kita dalam menghadapi banjir yang semakin serius," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang turut dihubungi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) memberitahu persatuan itu telah membuka bilik gerakan bagi menjalankan operasi menyelamatan dan kemasyarakatan.

"Tabung akan diwujudkan bagi kita mengumpul dana untuk membantu mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur," sambung beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Amal Malaysia turut mengarahkan seluruh anggota Jabatan Amal di semua negeri khususnya Kelantan, Terengganu dan Pahang bersiap sedia membantu mangsa banjir.

Semalam, kira-kira 45 keluarga di Taman Desa Tanjung Damai, Kuala Nerus, Terengganu dipindahkan apabila rumah kediaman mereka dinaiki air sehingga paras lutut.

Kesemua mangsa dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak.

Sementara itu di Pahang, enam keluarga dari Kampung Cherating Baru menjadi mangsa banjir pertama yang dipindahkan setelah rumah mereka dinaiki air.

Mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan dewasa dipindahkan ke Sekolah Rendah Kebangsaan Cherating kira-kira pukul 4 petang semalam setelah rumah mereka dinaiki air setinggi dua meter.

Hujan lebat dijangka berterusan malam ini melibatkan daerah Dungun, Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman. – HARAKAHDAILY

1MDB: Saya ramalkan Najib tumbang kerananya

Posted: 18 Nov 2014 09:26 PM PST

DR DZULKEFLY AHMAD 


SAYA ramalkan PM DS Najib Tun Razak bakal tumbang akibat 1MDB!

Namun sukar hendak diramal waktunya secara persis. Lebih selamat kalau saya katakan selewat-lewatnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan seawal-awalnya pada Perhimpunan Agung Umno akan datang.

Sengaja saya ambil 'liberty' atau 'kebebasan' untuk membuat congakan ini secara 'intuitif'. Ia pendekatan 'shock therapy' bagi rakyat yang masih lena. Akan tetapi ia punya jalan pikiran atau hujahnya, bukan intuitif atau tembak begitu sahaja.

Saudara boleh sahaja tidak bersetuju. Bagi yang percaya 'nujum' saya ini, rumit buat saya. Saya bakal dituntut untuk 'tunaikan' semacam 'janji' ini, walaupun saya tidak pernah berjanji. Sekadar ramalan.

Saya lebih senangi kelompok ketiga yang tunggu dan lihat. Mungkin sahaja kelompok ini akan berubah sikap setelah membaca penghujahan nanti.

Paling penting PM Najib sendiri mungkin terkesan. Nah, dengan itu mungkin sahaja beliau mahu menyelamat dirinya. Maka ramalan Najib akan tumbang ini, adalah penyebab penyelamatnya. Satu paradoks juga. Itu pun kalau dia segera bertindak. Mari kita mulakan. Penulisan ringkas ini hanya kemaskini naratif yang panjang dan berliku-liku.

Serangan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan mutakhir ini atas 1-MDB telah dilipatgandakan. Di samping Ketua Pembangkang, terkedepan ialah YB Petaling Jaya Utara dan kini dibantu YB Pandan, MP penggal pertama. Penulis sendiri tidak lagi dapat bersuara menyokong kawan-kawannya, sekadar menulis dalam media cetak dan portal. Najib gusar juga.

Sebaliknya, Najib boleh persetankan pelbagai kritikan tajam blogger popular pro-Umno. Akan tetapi, ketika dua tokoh Tun, juga mantan Menteri Kewangan, turut bersuara perihal 1MDB, maka ia bakal mengundang amarah rakyat bukan kepalang dan isyarat 'mala petaka' buat Najib.

Tambahan, setelah beberapa siri penulisan sebuah 'Bisnes dan Pelaburan' terkemuka di tanah air iaitu 'The Edge', maka Najib Tun Razak terus sengkak dan terjerut juga sudahnya.

Dengan rentetan ini meramalkan 'karier politik' bakal berakhir, tidak memerlukan seorang 'pundit politik'. Pun begitu, ada yang kata saya keterlaluan.

1-MDB adalah sebuah 'dana kekayaan negara' atau 'sovereign wealth fund' kedua selepas Khazanah Nasional Berhad. Kedua-dua dimilikki 100% oleh Kementerian Kewangan. Misi korporat kedua-dua adalah 'rakan strategik kerajaan bagi membantu menjana ekonomi berpendaatan tinggi, mapan dan inklusif'. Persamaan dua dana ini terhenti di situ.

Dari segi tadbir-urus kewangan dan prestasinya ia sangat berbeza. 1MDB adalah sangat 'opaque' dan 'tidak telus', berbeza dengan Khazanah. Penulis pernah bertanya kepada pihak Khazanah mengapa berbeza sekali tadbir-urus kedua dana ini? 'No komen' kata mereka. Pelik tapi benar.

Sejak penubuhan penuh kontroversi dengan cubaan kaitan dana Wang Ihsan Terengganu (TIA), IMDB tidak putus-putus mengundang kontroversi pada setiap pinjaman, pelaburan dan perolehan.

Nah, dengan tidak mengulangi apa yang pernah juga saya tulis (rujuk '1MDB: Rakyat tuntut ketelusan pengurusan dana rakyat' - Harakahdaily dan 'All 1MDB has to show is mountain of debt? - Malaysiakini) pertikaian kali ini tertumpu sekitar isu 'Surat Sokongan' sekali gus meletakkan  risiko kepada kewangan negara.

Sedikit kemas kini, 1-MDB sebenarnya sudah empat tahun menanggung kerugian kalau tidak kerana 'penilaian semula aset' yang memberi 'keuntungan atas kertas' (paper profits). Dengan tidak ada 'revaluation' dana pemegang-saham atau 'shareholders funds' pada hakikatnya ialah negatif RM4.7 bilion.

Kerana hutang terlalu besar buat tahun kewangan 2014, 1-MDB gagal menunjukkan keuntungan walaupun kaedah 'penilaian semula aset' dibuat juga. 'Revaluation' aset dibuat sehingga ke paras RM896.8 bilion, tetap 1-MDB untuk tahun kewangan 2014 (FY2014) menanggung kerugian sebanyak RM665.36 bilion!

Masalah besar dengan 'keuntungan atas kertas' atau 'paper profits' dengan revaluation ini ialah ia tidak menghasilkan 'cash-flow' atau 'pendapatan'. Penganalisis menghitung bahawa kadar pulangan pelaburannya masih tidak mencukupi untuk membayar kos pinjamannya.

Anggaran kos pinjaman (kadar faedah) 1-MDB bukan serendah 3.8% kalau setaraf dengan MGS (Sekuriti Kerajaan Malaysia), tetapi lebih tinggi antara 5.73% ke 7.61% tergantung kepada apa yang telah dilakukan secara 'kreatif' oleh penasihat kewangan 1-MDB. Ini parah buat 1-MDB! Mengapa terlalu jauh bezanya?

Nah, dalam kemelut mutakhir ini, PM Najib hanya bersedia mengakui bahawa kerajaannya hanya menjamin pinjaman sukuk oleh 1-MDB bagi jumlah RM5.8 bilion (USD 1.75 bilion) ketika hutangnya berjumlah RM36.25 bilion. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Kewangan di Parlimen baru-baru ini.

Pertikaian menjadi lebih sengit ketika Najib dan disokong oleh Ahmad Maslan pada November 6 lalu di Parlimen, menafikan bahawa kerajaan tidak menjamin pinjaman selain RM5.8 bilion tadi.

YB PJ Utara bersama YB Pandan seperti didakwa oleh Tun M dan kini telah juga didedahkan oleh majalah The Edge, mempertikaikan akan penafian yang dibuat oleh Pentadbiran Najib.

Jelasnya dari Surat Sokongan (Letter of Support) bertarikh 14 Mac 2013, yang dikeluarkan untuk 1-MDB sebagai penerbit (issuer), meskipun ia bukan satu Surat Jaminan, tetapi tertera secara jelas dalam para 3(b)..seandainya 1-MDB gagal untuk membayar  atas apa jua sebab… maka kerajaan Malaysia akan masuk (step-in) untuk menyuntik (inject) sejumlah dana (the necessary capital) bagi melunaskan tanggungjawab penerbit (issuer) yakni 1-MDB kepada mereka yang memberi Hutang (Debt)  tersebut.

Tegasnya, kalau pun Surat Jaminan (Guarantee Letter) tidak diberikan kepada 1-MDB dalam pinjaman kali ini yakni USD3bilion atau RM9.6 bilion oleh kerajaan Najib, jelasnya Surat Sokongan membawa implikasi yang sama.

Seandainya 1-MDB gagal membayar ansuran hutang mereka, maka kerajaan Persekutuan akan terpaksa campur-tangan serta menyuntik dana untuk mereka membayar hutang terebut. Ini pastinya adalah satu proses 'Bailout' atau 'Menyelamat' 1-MDB. Hutang 1-MDB bakal menelan berbilion ringgit wang rakyat!

Ya, terlalu banyak yang menjadi tanda-tanya akan perihal urus-tadbir 1MDB ini termasuk bayaran yuran terlalu mahal kepada pihak Goldman Sachs dan pelaburan berisiko tinggi di Cayman Island yang kini mula di'repratriate' atau dikembalikan meskipun didakwa 1-MDB membuat keuntungan. Bagaimana panel pelaburan boleh mengizinkan dananya dibuat dalam portfolio seperti ini masih menjadi satu tandatnya!

Sementara rakyat diperah dan dibeban bagi membantu mengatasi defisit fiskal dan hutang kerajaan, Najib mengizinkan pelaburan 1-MDB dengan berbillion ringgit di luar negara secara culas atau 'reckless'. Bukan sahaja itu, ia mengundang risiko hutang tak berbayar atau 'corporate debt default' ke paras mencetuskan 'Tipping Point' ke atas kewangan Kerajaan Persekutuan.

Seandainya Najib gagal bertindak maka beliau bakal dihukum rakyat dalam PRU ke-14. Lebih malang dan menggusarkan lagi buat Najib, war-lords dan mantan-mantan Tun dalam Umno sendiri akan mengambil langkah 'intervensi' menyelamatkan parti mereka.

Dari segi itu, nasib Najib akan sama seperti 'boss' yang disingkirkannya. – HARAKAHDAILY

Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidika PAS.

Penduduk tempuh detik cemas rumah dinaiki air

Posted: 18 Nov 2014 09:17 PM PST

MALAYSIAKINI


 


Kira-kira 45 keluarga di Taman Desa Tanjung Damai di Kuala Nerus menempuh detik cemas apabila kediaman mereka dinaiki air semalam.

Kesemua mangsa dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, kira-kira 4.30 petang tadi selepas laluan utama kediaman mereka dinaiki air sehingga paras lutut.
  
Mangsa Zurawati Abdullah, 40, berkata ketika sampai di rumah kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, dia terkejut melihat air bertakung di hadapan kediamannya itu.

Bimbang keadaan bertambah buruk, beliau bersama-sama suaminya mula memindahkan barangan berharga dan tidak sampai dua jam, air semakin naik.

"Tidak sampai dua jam, laluan utama rumah kami semakin teruk dan kami mengambil keputusan berpindah ke pusat pemindahan," katanya kepada Bernama.

Seorang lagi mangsa, Che Kuza Engku Yusoff, 29, berkata dia terkejut selepas menerima khidmat pesanan ringkas daripada rakannya memaklumkan bahawa kawasan rumah mereka dinaiki air.
  
Panik selepas menerima berita tersebut, dia menelefon suaminya dan bergegas pulang ke rumah kira-kira 4.30 petang dan mendapati laluan masuk ke rumah dinaiki air sehingga ke paras lutut.
  
"Saya terus pulang ke rumah dan menyelamat dokumen penting sebelum berpindah ke pusat pemindahan," katanya.
  
Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui laman sesawang
etindakan.terengganu.gov.my memaklumkan bahawa amaran hujan lebat peringkat jingga telah dikeluarkan di Terengganu.
  
Hujan lebat dijangka berterusan malam ini melibatkan daerah Dungun, Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman.
  
Dua sungai di Setiu iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan Sungai Nerus, Kampung Langkap, pula berada pada paras bahaya, masing-masing mencatat paras 9.58m dan 22.58m.
  
Banjir di Pasir Puteh

Sementara itu, di Pasir Puteh, sejumlah 25 orang daripada lima keluarga dari Kampung Tasek dan Kampung Gong Keding, Bukit Awang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja malam tadi.
  
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hassan berkata pusat pemindahan berkenaan dibuka pada pukul 7 malam tadi bagi menempatkan penduduk terbabit.
  
"Kampung berkenaan dinaiki air 1.5 meter akibat limpahan air sungai Petai dan Sungai Jertih berikutan hujan yang berterusan sejak beberapa hari lalu," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Beliau berkata kedua-dua kampung berkenaan yang terletak di kawasan rendah dan berdekatan dengan sungai mudah dinaiki air.
  
Wan Baijuri berkata pihaknya bersama agensi kerajaan lain termasuk polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terus membuat pemantauan berikutan hujan yang kadang kala lebat masih berterusan. - Bernama

Tiada ulasan: