Rabu, 19 November 2014

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


'Masalahnya lelaki itu atasi siapa saja dalam PAS'

Posted: 19 Nov 2014 05:01 AM PST

MP Puchong Gobind Singh Deo memulang paku buah keras kepada Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berhubung isu ketidakhadiran Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

 Gobind memberi amaran supaya Mohd Amar (bawah) lebih berhati-hati daripada menuduh DAP mahu mengeluarkan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat.

 Sedangkan, kata Gobind, parti itu hanya menggesa Hadi hadir dalam mesyuarat itu demi kebaikan gabungan tiga parti PKR-DAP-PAS itu. "Beliau nampaknya tidak faham perkara mudah. Jika tidak ada pertemuan yang bermakna, kewujudan Pakatan Rakyat hanya sekadar khayalan. Ini bukan isu kecil. Ini isu yang cukup serius. Ia melibatkan (kerjasama) dalam Pakatan.

 "Kami dalam DAP telah beberapa kali mengulangi bahawa sekiranya Pakatan mahu berfungsi untuk berjaya, mesti mempunyai usaha serius dari semua parti komponen yang terlibat.

 "Jadi tidak salah meminta beliau (Hadi) hadir dalam mesyuarat, jika keputusan yang hendak diputuskan demi masa depan Pakatan," katanya dalam satu kenyataan.

 Semalam Mohd Amar dilapor mengingatkan DAP supaya tidak mencampuri urusan dalaman PAS dan mengalu-alukan parti itu meninggalkan Pakatan jika tidak senang dengan parti Islam itu.

 Tak hormat rakan Pakatan9 Timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan itu juga berkata DAP tidak perlu mencari jalan menggunakan "isu kecil" untuk menyingkirkan PAS dari gabungan parti pembangkang itu.

 Berhubung kenyataan Hadi bahawa terpulang kepadanya untuk hadir ke mesyuarat itu ataupun tidak, Gobind menyifatkan sikap itu sebagai "langsung tidak hormat" kepada rakan komponen dan rakyat Malaysia.

 Gobind (bawah) yang juga ketua Biro Undang-undang DAP berkata sikap tersebut berulang ketika kemelut menteri besar berlaku.

 "(Rakyat) berharap bahawa pemimpin dalam Pakatan akan bersatu hati dan fikiran bersama-sama demi membina parti alternatif yang boleh memimpin negara ini menggantikan BN.

 "Kami bukan menjatuhkan Hadi secara peribadi, tetapi daripada apa yang kami perhatikan sebelum ini, jelas PAS ditadbir oleh seorang lelaki, namanya Hadi.

 "Beliau sahaja boleh mengatasi sesiapa saja dalam parti itu," katanya.

 Anak lelaki kepada mendiang Karpal Singh itu turut menegaskan mesyuarat yang diadakan tidak bermakna jika individu utama tidak endah soal kehadiran dan semua perbincangan yang diputuskan tidak bermanfaat pada akhirnya.sumber

Ambil iktibar peristiwa kejatuhan Datuk Asri Muda

Posted: 18 Nov 2014 10:28 PM PST

PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951, telah mengalami pasang surut dalam perjuangan. Kalah berganti menang, menang berganti kalah. Kita bersyukur sewaktu menang dan kita bersabar sewaktu kalah. Dan kita kalah teruk pada tahun 2004 adalah kerana ramai antara kira yang angkuh dan ego. Lebih ramai yang menyalahkan pihak luar tanpa menyedari kelemahan dan mengakui kelemahan diri kita. 

 Setiap kali kalah, kita akan mengatakan pihak lawan main kotor, pengadil berat sebelah, media massa memanipulasi kenyataan kita. Seolah-olah tidak ada secebis pun kesilapan di pihak kita. Seolah-olah kita adalah manusia maksum yang bersih daripada salah dan silap. 

 Sehingga hari ini, penyokong PAS di peringkat cawangan tidak didedahkan kepada 'post mortem' bagi menganalisa punca kita kehilangan kuasa di Terengganu dan kenapa leher kita hampir terjerut tali gantung di Kelantan. 

Puncanya, kita memilih pemimpin yang terdiri daripada golongan yang hanya pandai berceramah mengkritik dan menyalahkan parti lawan, tetapi tidak mempunyai ilmu politik dalam membuat kenyataan. 

 Apakah tidak bebal namanya jika sewaktu kempen pilihanraya, kita mengatakan perdana menteri tidak menjadi imam solat jenazah ibunya, maka dengan itu, beliau kurang 'keIslamannya'? 

 Tidak bebalkan namanya apabila kita memilih untuk menghentam DAP dengan mengatakan pemimpin mereka adalah ubat yang sudah luput tarikh, sedangkan sasaran kita bukannya DAP.

 Apakah cerdik jika kita mengatakan kita kalah kerana penghuni kawasan setinggan, pekerja kilang, serta peniaga pasar malam tidak mengundi kita. Dan kita mendakwa siaran berita RTM hanya sesuai untuk orang-orang yang disebutkan itu, selain daripada orang yang buta huruf? 

 Mengapakah tidak keluar sepatah kenyataan pemimpin kita bagi mengulas laporan Suruhanjaya Penambahbaikan Polis walhal ia adalah satu isu besar yang boleh dimanfaatkan sehingga pilihanraya umum 2008? 

 Itu hanyalah contoh-contoh kecil tentang bagaimana pemimpin yang kita pilih lebih sibuk bergaya dengan kereta mewah, walhal masih terlalu banyak penyokong kita yang hidup secara kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang dan pada yang sama, menabung bagi menguatkan parti.

 Sewaktu diberi kuasa di Terengganu, kita sombong dengan pihak media dan kalau boleh tidak mahu diwawancara agar tembelang kita mengenai isu semasa, tidak diketahui pihak media. 

 Kita menyangka dengan membahagi-bahagi lesen sementara menduduki tanah kerajaan, rakyat akan terus menyokong kita, walhal mereka menjadi cuak dan muak apabila pemimpin di semua peringkat daripada yang berpejabat di Wisma Darul Iman hinggalah kepada Jawatankuasa Syura Rakyat sibuk mengikis setiap inci hasil mahsul negeri Terengganu, sehingga ada cawangan membentangkan dalam mesyuaratnya penyata pendapatan daripada hasil balak. 

 Sebahagian besar daripada kita tidak berada di muktamar ke-28 pada 23 Oktober 1982 di balai seminar Dewan Bahasa dan Pustaka, yang menjadi titik-tolak kewujudan kepimpinan ulama dalam PAS. Pada muktamar tersebut kita memilih untuk menolak presiden parti, Datuk Asri Haji Muda hanya kerana beliau tidak mendengar suara orang muda dalam PAS. 

 Apakah tidak mungkin pada hari ini, sekali lagi kita membuat keputusan untuk menyedarkan presiden bahawa rakyat Terengganu menolak cara berpolitik beliau sehingga PAS hilang kuasa di Terengganu, dan beliau sendiri tewas di Parlimen Marang, dan hampir tewas di Rhu Rendang, maka ahli-ahli PAS memohon dengan penuh hormat agar beliau menurut jejak langkah orang yang bermaruah, iaitu mengundurkan diri daripada terus memegang jawatan presiden. 

 Politik menyalahkan orang dan politik melabelkan Pemuda sebagai 'buih-buih Pepsi Cola', bukanlah politik orang tua yang bijak. Pencalonan dan pemilihan pada penggal ini berjalan dengan penuh hipokrit. Cadangan Mursyidul Am tidak diendahkan. 

 Presiden berlepas tangan asalkan dirinya tidak ditentang, kempen-kempen dibuat secara tidak bertanggungjawab. Parti bukan lagi menjadi sebuah bangunan yang kukuh, bahkan tidak lebih daripada menjadi dangau menunggu durian luruh di dusun.3 Jun 2005 -  SUMBER

Tiada ulasan: