Khamis, 20 November 2014

.

.


Menjejaki Aceh selepas 10 Tsunami

Posted: 19 Nov 2014 11:33 PM PST

CATATAN PERJALANAN                                                                             

Kawasan ini merupakan kubur besar mangsa Tsunami.
Sejak hampir satu dekad lalu saya telah beberapa kali menjejaki dan menyinggahi bumi Nanggroe Aceh Darussalam. Barang kali Aceh adalah propinsi atau negeri yang paling kerap saya kunjungi berbanding dengan propinsi lain di Indonesia. Indonesia mempunyai 23 propinsi atau pun wilayah.

Di kubur ini pula tersimpan 45,000 mayat Tsunami.
Barang kali mudah untuk difahami kenapa saya kerap ke sana. Kekerapan itu menyebabkan ada kawan yang cemburu dan meragui, kononnya saya berbini muda dengan orang Aceh. Tidak.

Jolokan Serambi Makkah yang diperolehi oleh negeri berbentuk rencong itu, adalah faktor utama. Sebagai seorang Islam, saya mudah cair dengan jolokan berkenaan. Ada kesinoniman Aceh dengan negeri kelahiran saya, Kelantan Darul Naim.

Selain itu musibah yang menimpa Aceh kerana bencana Tsunami hampir 10 tahun lalu menjadikan saya jinak dan mesra alam dengan Aceh. Tsunami telah meragut lebih 250,00 (ada maklumat mengatakan hingga 500,000) jiwa rakyat Aceh dan ratusan lain yang cedera. Tidak terhitung berapa nilai harta benda yang musnah. Musibah itu dicatatkan sebagai tragedi paling malang dan terbesar di Indonesia. Ia mencatatkan sejarah kehilangan nyawa yang terbesar dalam sejarah kewujudan negara berkenaan.

Tentunya kejadiah itu memberi kelukaan maha dalam kepada rakyat Aceh khasnya. Lantaran itu rasa simpati maha dalam juga mengalir ke segenap pembuluh darah saudara seagama di seantero dunia termasuk juga saya. Bukan itu sahaja mereka yang memiliki keunggulan perasaan kemanusiaan akan terkedu dan bersimpati kepada apa dialami rakyat Aceh.

Masjid Kg Lampuuk yang tidak hancur dibahan Tsunami.
Itulah faktor kenapa saya menjadi mesra dengan Aceh dan seluruh kesakitan dan kepedihan dialami saudara kita di Aceh dirasai sampai kapan pun oleh saya, dan saya yakin orang lain juga. Ini terbukti bukan sahaja saya yang sering ke Aceh tetapi kunjungan dari luar juga tidak putus-putus.

Masjid Kg Lampuuk yang sudah diperindahkan kini.
Barang kali tidak perlu disebut apakah sumbangan kecil saya untuk membantu rakyat Aceh. Hampir setiap tahun saya menghulurkan bantuan sekadar termampu, berupa kain baju, sedikit wang untuk anak-anak yatim dan pasentren ataupun sapi untuk dikorbankan pada hari raya Aidiadha. Ternyata masih banyak rakyat Aceh yang daif, miskin dan belum merasai keenakan dan kelazatan daging korban.

Bantuan dan sedekah saya itu amat kerdil jika dibanding dengan bantuan pihak lain yang nilainya jutaan ringgit. Itu pun, apa terbuat oleh saya dengan kerjsama dan bantuan rakan-rakan khasnya penjengok blog ini juga. Salah satu penyumbang yang perlu saya sebut di sini ialah daripada sebuah pubrik atau pengeluar minyak seribu hikmah beribu pejabat di Selatan tanah air.

Disebutkan hanya tahun ini saya tidak sempat untuk memberi apa-apa sumbangan, kerana kebetulan saya ke Makkah. Masih ada rakan yang prihatin meminta saya atau mahu berkongsi sedekah dengan saya bagi melakukan korban untuk anak-anak Aceh yang terpencil. Tetapi malangnya tidak terlakukan disebabkan kesuntukan masa.

Melihat dari dekat.

Bia menyebut Aceh dan musibah tsunami, saya menjadi orang bernasib baik kerana dapat melihat dari dekat dan dalam waktu masih panas akan kejadian yang mengejutkan bukan sahaja rakyat Aceh dan Indonesia, tetapi dunia lain juga. Hari ke empat kejadian saya sudah berada di Aceh. Saya tidak percaya bagai mana saya boleh sampai ke sana dalam saat hubungan udara ke Banda Aceh terputus? Itulah kuasa Tuhan dan kehendakNya. Tuhan mendengar rintihan dan doa saya waktu itu untuk bersegera ke Aceh.

Saya tiba di Aceh menaiki pesawat Herculis TNI.
Agak unik dan mengejutkan juga bagaimana saya sampai ke Banda Aceh pada 30 Disember 2004 itu. Saya menumpang pesawat Herculis milik Tentera Nasional Indonesia (TNI). Saya berlepas dari "bandara" Hadi Perdana Kesuma di Jakarta menuju ke Banda Aceh. Pesawat TNI itu membawa bersama berbagai-bagai barangan bantuan berupa makanan, peralatan memasak serta pakaian untuk mangsa Tsunami. Bersama saya ketika itu juga bekas Exco Kanan Kelantan Husam Musa dan bekas Adun Limbongan Drs Zainuddin Awg Hamat yang membawa bantuan daripada kerajaan Kelantan.

Sewaktu saya tiba di Aceh sungai ini dipenuhi mayat.
Semasa saya tiba di Banda Aceh suasana masih belum diurus sepenuhnya. Mayat bergelimpangan di jalan-jalan raya. Ada mayat bayi tersangkut dijulai kayu yang belum diturunkan. Di beranda masjid Baitulrahman dan masjid-masjid lain juga dijadikan tempat himpunan mayat. Bertimbun timbun mayat yang belum diuruskan.

Malahan kawasan masjid Baitulrahman menjadi hancur lumat. Waktu saya tiba itu juga kerja-kerja mengorek kubur besar untuk disimpan mangsa Tsunami sedang dilakukan. Ah, tidak sanggup untuk saya mengenang apa yang sudah bersemen dalam mata dan ingatan saya itu. Saya menjadi emosi apabila mengenang kembali setiap apa yang disaksikan.

Seperti mana setiap kali saya ke Aceh, saya akan catatkan mengenai rasa kagum saya kepada rakyat Aceh. Mereka mempunyai jiwa yang kuat untuk menghadapi musibah berkenaan. Dalam tempoh tidak sampai lima tahun, bayangan peristiwa malang itu seakan dilupakan. Rakyat Aceh hidup seperti sedia kala. Mereka membina semula penempatan mereka, tanpa melayan kesenduan musibah itu. Kegigihan dan kekentalan jiwa rakyat tanah rencong ini memungkinkan bumi itu kembali seperti sedia kala hari ini.

Inilah satu sikap yang membawa kepada perubahan dan kemajuan Aceh. Tsunami yang memberi natijah negatif dan postif bagi rakyat Aceh. Tsunami dalam memberi hiba yang besar juga membawa keceriaan yang banyak. Di sinilah keadilan Ilahi dan kebijaksanaan Tuhan Azajawala. Beberapa aspek yang tidak mungkin dicapai Aceh selama ini, berjaya diraih selepas berlakunya Tsunami. Kerana itu Tsunami bukan sahaja musibah, tetapi ia datang bersama rahmat. Tuhan itu Maha Adil dan Maha Mengetahui.

Gambaran Banda Aceh sebelum Tsunami, padat.
Perkara paling jelas, selepas Tsunami wujudnya perdamaian di Aceh. Peperangan dan perbalahan lebih 40 tahun antara rakyat Aceh yang menyertai Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang telah meragut puluh ribu nyawa terhenti. Rakyat Aceh juga mendapat kuasa aotonomi yang diperjuangkan selama ini. Aceh dibenarkan mengadakan pilihan raya daerah dan negeri sendiri. Inilah antara rahmat di sebalik kejadian pada 26 Disember 2004 itu.

Gambaran Banda Aceh selepas Tsunaimi, renggah.
Dan setelah hampir 10 tahun tragedi itu berlaku Aceh hari ini mengalami banyak perubahan. Bukan saja ia memberi gambaran keketalan jiwa orang Aceh dikenali dengan berani dan hidup bersaudara, tetapi muka buminya juga berubah. Maksudnya pembangunan infrastrukturnya boleh dibanggakan. Aceh belajar bukan sahaja bagaimana untuk menjadi lebih tabah daripada musibah Tsunami, tetapi ia memberi kesempatan untuk rakyatnya berintraksi dengan masyarakat luar yang mengunjungi ke negeri berkenaan.

Betapa tidak gara-gara Tsunami ratusan ribu warga asing, terdiri dari pelancong, peniaga, pengkaji dan sebagainya sejak hampir 10 tahun lalu mengunjungi Aceh.

Hari ini kalau tidak ada situs-situs atau pun memorial mengenai Tsunami yang disimpan dan dijadikan daya tarikan pelancong serta bahan sejarah, orang tidak akan menyangka yang Aceh pernah dilanda Tsunami besar berskala 9.3 ritcher. Hampir semua rutuhan dibangunkan semula dengan wajah lebih gagah dan baru. Antaranya ialah Pasar Aceh dan beberapa buah masjid yang disumbangkan oleh kerajaan-kerajaan Islam dari Timur tengah juga menambahkan keserian wajah Aceh. Begitu juga dengan perumahan, penempatan baru penduduk yang ditimpa musbah itu yang dibina oleh negara-negara di dunia mewujudkan taman perumahan baru bagi rakyat Aceh.

Paling merujakan ialah perubahan lapangan terbang Sultan Iskandar Muda, yang dahulu ia persis sebuah setesen teksi sahaja, kini ia menjadi ikon atau pun mercu tanda pembangunan moden bagi Aceh disamping menara dan bumbung masjid raya (Baiturahman) yang menjadi kebanggaan rakyat Aceh.

Sesuatu yang perlu disebut, dalam proses pembangunan yang sedang rancak berlaku di Banda Aceh pada masa kini, pihak pemerintah tidak sesekali mengabaikan konsep Islam yang diwarisi sejak berabad lalu. Di mana pembinaan bangunan baru, tidak akan melebihi daripada menara masjid di Banda Aceh. Mungkin kita akan bertanya kenapa di Aceh tidak ada bangunan yang tinggi. Kita mengira ia tidak dibina kerana berhadapan dengan risiko gempa bumi yang kerap berlaku. Tanggapan itu tidak tepat dan ketiadaan mercu tinggi itu bukan itu alasannya.

Apa yang berlaku pemerintah tidak akan membenarkan mana-mana bangunan dibina dengan ketinggianya melebihi daripada menara masjid. Ertinya pemerintah Nenggaroe Aceh Darussalam tetap meletakkan syair agama itu lebih atas berbanding dengan lain-lain binaan. Konsep atau pendirian inilah sesuatu yang menjadikan Aceh masih utuh dengan budaya Islam. Pertahanan ini juga melambangkan akan keulitan rakyat Aceh yang dikenali sebagai bangsa yang kuat beragama.

Md Alwi menghulurkan derma untuk pasentren.
Kemasukan Islam di Aceh dan terdirinya kerajaan Islam di Pasai dan Perlak dan lain-lainnya telah membentuk jiwa Islam yang kuat di bumi tanah rencong itu.

Pada 26 Disember nanti akan genaplah 10 tahun tragedi Tsunami melanda Aceh. Dan kebetulan kedatangan saya bersama rombongan dari Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) kali ini memberi kesempatan kepada saya untuk menyaksikan Aceh satu dekad selepas pasca Tsunami. Mungkin ahli rombongan seramai 37 orang diketaui Pengerusi Md Alwi Che Ahmad tidak dapat menghayati penderitaan dan kehancuran Banda Aceh 10 tahun lalu, tetapi saya yang berkebetulan berada di bumi itu tetap mengingatinya segala momen-momen yang berlaku.

Di setiap sudut perjalanan dan rombongan itu singgah menyaksikan monumen-monumen tsunami, seperti pusara besar, kapal dihempas arus, kapal terdampat atas rumah dan sebagainya, tetapi bagi saya setiap kali itu juga hati saya menangis dan merintih tatkala menyaksikan segala macam monumen itu.

Rintihan saya mungkin tidak disedari sesiapa kerana apa yang mereka lihat hari ini adalah kesan dan replika situs-situs Tsunami sedangkan saya melihatnya secara realiti dengan kapala mata sendiri. Semisalnya sewaktu melalui jambatan Kota Raja, telinga saya persis terdengar laungan dan jeritan hiba meminta tolong dari ribuan mangsa yang lemas dan karam di situ. Pada hari saya tiba di situ sungai berkenaan seolah-olah menjadi kolam himpunan mayat.

Tsunami yang ditafsirkan oleh rakyat Aceh sebagai Tuhan Suruh Umat Nabi Muhammad Insaf, telah membuka sejarah baru di Aceh dan mengeratkan persahabatan sesama agama antara kita, disamping mengukuhkan ikatan kemansuiaan. Bagi kita pula Tsunami adalah petanda kebesaran dan kekuasaan Allah yang ke atas hamba-Nya. [wm.kl.2:41 pm 20/11/14]

Tiada ulasan: