Khamis, 6 November 2014

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Jangan hanya menerima pendapat kelompoknya sahaja dan menyalahkan pendapat kelompok lain

Posted: 06 Nov 2014 02:14 PM PST


Ayat sebelum ini (19) yang menyebut bahawa hanya Islam agama yang diredhai di sisi Allah. Perselisihan yang berlaku antara orang berilmu menyebabkan seseorang menyekat berkembangnya ajaran ilmu orang lain. Dia cuma menerima pendapat dirinya sahaja dan menyalahkan pendapat orang lain. Sepatutnya, perbezaan dalam kefahaman ilmu boleh dilihat sebagai satu bentuk keluasan dalam memahami AL-Quran, dan hadis. Sesungguhnya, orang itu telah menyempitkan sifat keluasan yang ada pada sesuatu ilmu.

 Imam Malik menolak ketika diminta oleh Khalifah Harun Ar-Rashid agar kitab hadisnya iaitu Kitab Al-Muwattak dijadikan sebagai kitab yang wajib diikut oleh seluruh umat Islam. Imam Malik luas pandangannya dan beliau tidak mahu menyempitkan ilmu hadis dengan apa yang terkandung dalam kitabnya sahaja. Katanya: 

"Sahabat Nabi SAW itu ada di mana-mana, dan ada yang aku tidak berjumpa dengan mereka untuk mengambil sanad hadis Nabi SAW. Sekiranya kitab ini diwajibkan menjadi pegangan semua umat Islam, tetapi ada sahabat Nabi SAW menyebut hadis yang tidak terdapat dalam kitab ini, tetapi hadisnya memang benar. Maka kebenaran hadis Nabi SAW daripada sahabat itu akan 'didustakan' oleh kerana ianya tidak terdapat dalam kitab ini".

 Ilmu itu luas sifatnya. Ilmu tidak boleh dihadkan seperti yang difahami oleh individu atau satu kelompok sahaja. Khilaf (perbezaan) pendapat perlu dihormati dan diraikan, dan tidak memenangkan kepada satu pihak sahaja. 

Pada zaman dahulu, antara anak murid dan guru juga boleh berbeza pendapat. Imam Abu Hanifah belajar dengan Imam Jaafar As-Saddiq selama 2 tahun, tetapi dia banyak berbeza pendapat dengan gurunya. Tetapi Imam Abu Hanifah tidak pernah mengatakan yang cuma pendapatnya yang benar. 

Imam Syafie pernah berguru dengan Imam Malik dan mereka berbeza pandangan dalam banyak hal. Imam Hambali juga sangat banyak memuji Imam Syafie walaupun mereka banyak berbeza pendapat. Perbezaan pendapat antara mereka tidak sekali-kali menyebabkan mereka hilang hormat antara satu sama lain atau menuduh ajaran orang lain yang bertentangan dengan fahaman mereka sebagai sesat.

 Sebaliknya hari ini, ramai orang yang baru sahaja memahami sedikit tentang pandangan Imam Syafie berkenaan masalah yang tidak difahaminya betul-betul, sehingga berani mengeluarkan kenyataan yang tidak beradab tentang Imam Syafie. Contohnya dalam hal batal wudhuk ketika melakukan tawaf. Pandangannya yang sempit menyebabkan dia nampak pemahaman Imam Syafie pun sempit. Sepatutnya dia perlu memahami dasar-dasar yang dipandang oleh Imam Syafie dan darjat taqwa Imam Syafie terlebih dahulu.

Dalam kisah yang masyur sekali, Imam Syafie pernah ke Baghdad, ke Masjid Imam Abu Hanifah dan diminta menjadi imam solat Subuh di situ. Diriwayatkan bahawa ketika Imam Abu Hanifah meninggal dunia, lahir seorang imam yang baru iaitu Imam Syafie. Hubungan Imam Syafie mesra dengan anak murid Imam Abu Hanifah, walaupun mereka berbeza pandangan. 

Ketika menjadi imam, Imam Syafie tidak menjaharkan bacaan Basmallah ketika membaca Fatihah dan beliau juga tidak membaca doa Qunut. Selesai solat, dia ditanya:

 "Adakah kamu telah keluar mazhab kamu sendiri?" 

Jawabnya, "Tidak. Dalam pegangan saya membaca Basmallah masih termasuk rukun dalam solat dan perlu dijaharkan dan doa Qunut merupakan sunat muakkad". 

Orang bertanya lagi, "Jadi, mengapa tadi tidak didengari Basmallah dan ditinggalkan Qunut?". 

Kata Imam Syafie, "Aku menghormati tuan punya maqam di masjid ini". 

Imam Syafie merujuk kepada Imam Abu Hanifah yang dikebumikan di masjid tersebut. Imam Syafie tetap menghormati pandangan Imam Abu Hanifah, walaupun Imam Hanifah sudah pun meninggal. Inilah contoh akhlak yang ditunjukkan oleh Imam Syafie.

 Oleh itu, adalah sangat tidak patut apabila ada generasi hari ini yang tidak beradab dalam menyebut perkara berkaitan Imam Syafie. Tidak salah jika seseorang itu tidak setuju dengan pendapat, atau pandangan Imam Syafie, tetapi jangan diperli atau direndah-rendahkan martabatnya orangnya sekali. Itu perbuatan melampaui batas. 

Imam Syafie berakhlak mulia bukan semata-mata kepada orang yang hidup bahkan kepada orang yang telah meninggal juga.

Orang yang menerima pendapat dirinya sahaja sama seperti Firaun. Ketika memburu Nabi Musa dan bani Israel, sepupu Firaun yang beriman berkata kepadanya :

 "Adakah kamu akan membunuh seorang hanya kerana dia berkata tiada Tuhan selain Allah, sedangkan dia mendatangkan bukti-bukti terhadap apa yang disampaikan itu? Kalau dia berdusta, biarkan dia berdusta. Tetapi kalau dia benar, aku khuatir akan turun azab kepada kita". 

Jawab Firaun, "Tiada pengetahuan selain apa yang aku tahu. Kamu salah. Aku ini tak tunjuk kepada kamu kecuali jalan yang lurus". 

Firaun menyangka jalannya itu yang betul dan menolak jalan orang lain. Tidak, Allah tidak hadkan pemahaman sesuatu berdasarkan apa yang difahami oleh seorang individu sahaja. Oleh sebab itulah, setiap orang diberikan akal agar masing-masing dapat berfikir dan memahami.

 Perselisihan yang berlaku antara ahli kitab, antara ahli agama bukanlah berdasarkan ikhtilaf dan ijtihad, tetapi lebih kepada sikap untuk memenangkan pendapat dirinya dan menyalahkan pendapat orang lain. Inilah sumber malapetaka dan kehancuran umat Islam. Silapnya bukan pada perbezaanya tetapi pada tujuan dalam perbezaan itu.

 Perselisihan antara orang agama bukanlah kerana salah agama, tetapi kerana seseorang itu ingin mengikut hawa nafsunya sendiri. Ketika zaman Rasulullah SAW, ada beberapa kisah di mana sahabat berbeza pendapat dalam memahami arahan Nabi. Mereka masing-masing melakukan mengikut pemahaman mereka dan Nabi SAW membenarkan kedua-duanya. Antara mereka tiada yang menyalahkan pemahaman pihak lain.

 Inilah yang Allah maksudkan bahawa perselisihan yang berlaku antara mereka adalah mengikut hawa nafsu semata-mata (daripada hujung ayat 19 surah Ali-Imran).~ Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid MTDM 08.03.2013

Bekas pembantu Anwar itu diliwat dua orang? Siapakah orang itu?

Posted: 06 Nov 2014 03:32 AM PST


Saiful bohong, mungkin diliwat dua orang, kata peguam 

Tidak pernah dibuktikan DNA yang ditemui dalam rektum pengadu liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah milik Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata pihak pembelaan hari ini di Mahkamah Persekutuan dalam kenyataan penutup perbicaraan rayuan Anwar terhadap sabitan dikenakan kepadanya.

 Hakikat ini, dan kewujudan DNA pihak ketiga dalam rektum Saiful, mencadangkan kemungkinan yang bekas pembantu Anwar itu diliwat dua orang, membuatkan tuduhannya terhadap pemimpin politik itu satu pembohongan, hujah pihak pembela.

 Peguam bersama Sangeet Kaur Deo menyambung keterangan balas penutup dari pagi tadi dengan berhujah mengenai rantaian bukti yang terputus mengaitkan Anwar kepada 'Lelaki Y' – profil DNA dalam rektum Saiful yang didakwa pihak pendakwa sebagai milik Anwar.

 Sangeet mengulangi hujahnya tiada bukti Anwar menggunakan tiga barang dalam lokap polis ketika beliau ditahan untuk siasatan. Profil DNA pada tiga barang itu padan dengan profil Lelaki Y dalam rektum Saiful, dan pihak pendakwa menggunakan rantaian itu sebagai asas kepada kes mereka terhadap Anwar. Barangan itu ialah botol air, berus gigi dan tuala, dan semuanya berada dalam lokap pada malam Julai 2008 itu di mana Anwar ditahan kerana didakwa meliwat Saiful.

 Sangeet berkata, ada kamera litar tertutup (CCTV) dalam sel lokap tetapi ia tidak berfungsi pada waktu itu, dan pegawai polis yang ditugaskan mengawasi Anwar tidak dipanggil memberi keterangan sama ada mereka melihat Anwar menggunakan barangan itu atau tidak.

 Seorang anggota polis mendakwa mendengar Anwar menggosok gigi, dan maka pasti beliau menggunakan berus gigi, juga tidak boleh disahkan kerana tidak ada sumber air atau sinki dalam sel, kata Sangeet.

 Beliau memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan bersandar kepada keterangan ikut keadaan yang menyatakan Anwar adalah Lelaki Y.

 Pihak pendakwa tidak membuktikan rantaian bukti itu dan tidak boleh meminta mahkamah bersandar kepada bukti ikut keadaan yang 'lemah', kata Sangeet.

 Beliau juga berhujah polis memperolehi DNA Anwar menerusi cara tidak mengikut undang-undang dengan menggunakan tiga barang itu sebagai bukti kerana ketua umum PKR itu enggan memberikan sampelnya secara sukarela.

 "Tidak ada alasan untuk menahannya sepanjang malam kerana beliau bersedia untuk kembali semula ke balai polis keesokan harinya. Di sini timbulnya niat tersembunyi.

 "Bukti ikut keadaan itu sangat longgar, ia tidak mempunyai bukti keterangan," katanya kepada mahkamah.9 Peguam Gobind Singh Deo kemudian mengambil alih hujah penutup pihak pembelaan dengan membangkitkan mengenai beberapa bahagian dalam kes itu di mana pihak pendakwa meletakkan beban bukti ke atas tertuduh.

 Mereka meminta pihak pembelaan membuktikan Anwar bukan Lelaki Y, beliau tidak menggunakan barangan dalam lokap, dan menjelaskan bagaimana spermanya (milik Lelaki Y) boleh berada di dubur Saiful.

 Gobind berkata Mahkamah Tinggi dan juga Mahkamah Rayuan silap dalam membuat kesimpulan yang memandangkan Anwar satu-satunya penghuni lokap itu, DNA Lelaki Y itu pasti miliknya.

 Katanya, pihak pembelaan membuktikan sampel DNA diusik dengan adanya DNA pihak ketiga - Alel 18, yang tidak bersumberkan sama ada Saiful atau Anwar.

 Gobind menamakannya sebagai "satu kebetulan yang begitu tepat" kerana alel yang sama juga ditemui di dalam rektum Saiful dan pada barangan dalam Anwar lokap. Beliau kemudian mengkritik pendakwa utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, kerana bertindak lebih kepada seperti seorang peguam bela kerana beliau lebih banyak menanyakan soalan dalam penghujahannya daripada memberikan jawapan.

 Gobind berkata pihak pendakwaan tidak mengecualikan Alel 18 dari kes itu, maka persoalan tentang DNA tercemar atau diusik itu masih timbul.


 Oleh kerana bukti saintifik menunjukkan terdapat DNA Lelaki Y dan Alel 18 dalam rektum Saiful, ia boleh membawa maksud beliau melakukan aktiviti seksual dengan dua orang.

 Gobind berkata ini menunjukkan Saiful berbohong tentang tuduhannya terhadap Anwar. – 6 November, 2014. MENYUSUL LAGI -  sumber

Tiada ulasan: