Selasa, 14 Oktober 2014

edyesdotcom

edyesdotcom


Penubuhan Forum Selatan Satu Idea Yang Baik

Posted: 14 Oct 2014 02:08 AM PDT

Kenyataan Umum
14 September 2014

Penubuhan Forum Selatan Satu Idea Yang Baik

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Negeri Johor menyambut baik cadangan Kerajaan Johor untuk menubuhkan Pusat Persuratan Melayu Nusantara atau Forum Selatan. Idea untuk memperkasakan bahasa Melayu Johor ini sememangnya sesuatu yang amat penting dalam mencipta ruang pengukuhan tamadun kenegeraan. 

Forum Selatan yang akan menggabungkan Johor-Riau-Singapura di atas satu platform untuk mengungkap kembali sejarah kebudayaan, bahasa dan penulisan memang wajar disokong oleh segenap lapisan rakyat negeri ini. Ini memandangkan ikatan sejarah dan hubungan antara 3 wilayah ini yang telah terjalin berkurun lamanya. Tiada yang dapat menyangkal fakta ini. 

SAMM Johor juga amat berharap agar idea ini tidak terhenti dengan satu aspek sahaja. Ia harus berkembang dengan penyatuan kebudayaan dan keseniaan serta jalinan hubungan diplomatik dan ekonomi yang utuh antara 3 wilayah ini. Kerajaan Johor juga perlu memulakan inisiatif pembangunan pusat sehenti kebudayaan dan keseniaan Johor-Riau-Singapura. 

Begitu juga dalam aspek pembangunan kebudayaan dan keseniaan semua segmen masyarakat yang ada di bumi Johor. Dalam pada kita memacu kemajuan berasaskan pembangunan ekonomi dan fizikal, usaha-usaha untuk turut membawa bersama perkembangan bahasa, budaya dan adat resam juga tidak boleh dipinggirkan. 

Sememangnya usaha ke arah perkembangan dan pengukuhan bahasa, budaya, keseniaan dan adat resam Johor ini menjadi antara intipati yang akan dikemukakan SAMM Johor kepada Kerajaan Negeri supaya diangkat sebagai antara agenda Bajet Negeri 2015. 

Sebagai rekod, terdapat satu rancangan wilayah pembangunan ekonomi yang meliputi ketiga-tiga wilayah ini dan dikenali dengan nama SIJORI yang telah agak lama tidak disebut atau dijayakan. Adalah menjadi harapan SAMM Johor agar rancangan Forum Selatan ini dapat memulakan semula rancangan pembangunan ekonomi yang telah lama sepi itu.

SAMM Johor berharap agar segala usaha ini menjadi kenyataan supaya kegemilangan tamadun Johor yang berusia ratusan tahun ini dapat dikembalikan semula. 

Hadzril Rizal
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor

Bajet 2015 : Wanita dan Belia

Posted: 14 Oct 2014 01:38 AM PDT

Kenyataan Media
14 Oct 2014

Bajet 2015 : Wanita dan Belia

Bajet 2015 membawa sedikit impak positif kepada wanita. Antaranya Pembelian premis Rumah Perlindungan Khas Wanita Seluruh Malaysia, Pusat penjagaan kanak-kanak di premis pejabat swasta dibenarkan unruk diperluas dan program latihan kemahiran untuk suri rumah (1Malaysia Support For Housewives ) untuk kembali ke pasaran kerja.

Namun begitu, sasaran untuk memperkukuh program pengarah wanita dengan sasaran 30% penglibatan wanita dalam lembaga pengarah dan kumpulan pengurusan agak tidak realistik untuk dicapai dalam tempoh setahun perlaksanaannya. Ini kerana pada masa ini, peratusan wanita dalam kelompok ini hanyalah 10% sahaja.

Program Women Career Comeback pula hanya menumpukan kepada golongan wanita  professional yang mempunyai kelayakan. Bagaimana dengan wanita bukan profesional? Tiada dasar jelas mengenai halatuju kumpulan wanita ini. 
Sementara itu, penambahbaikan cuti menjaga anak juga tidak menyeluruh. Hanya tertumpu kepada penjawat awam. Tiada insentif untuk majikan sektor swasta untuk menambahbaik cuti menjaga anak kepada wanita di sektor swasta. Seharusnya Bajet 2015 perlu merangka dasar yang menyeluruh.

Bagi anak muda pula, perkara positif dalam Bajet 2015 antaranya adalah kajian semula PLKN walaupun idea ini berasal daripada Belanjawan 2015 Pakatan Rakyat namun Segmentasi Wanita Muda SAMM turut menyambut baik pengumuman Kerajaan. Selain itu, penambahbaikan program Rakan Muda dan program Agropreneuer muda juga merupakan perkara positif dalam menggalakkan anak muda terlibat secara aktif dalam aktiviti sukarela dan pertanian.

Sungguhpun begitu, Segmentasi Wanita Muda SAMM berpandangan Akademi Kepimpinan Belia adalah satu pembaziran. Adakah program di universiti tidak mencukupi? Seharusnya pihak Kerajaan memberikan tumpuan untuk memberikan nilai tambah kepada program kepimpinan belia di peringkat universiti. Aspek kepimpinan ini patut dipupuk dari zaman universiti dan tidak perlu ditambah lagi program lain.

Program kesukarelawan antarabangsa pula boleh diibaratkan sebagai kera dihutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Hakikatnya, banyak lagi kawasan dalam negara ini yang memerlukan sukarelawan terutama di kawasan-kawasan pedalaman.

Selain itu, pengumuman Program keusahawanan yang sama seperti tahun-tahun lepas melalui MaGIC dan sebagainya yang sehingga kini tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan.

Idea 1 Malaysia Youth City juga nampak absurd. Apakah kawasan ini akan hanya menempatkan orang muda? Apa rasionalnya? Ekosistem yang sesuai perlulah merangkumi populasi penduduk yang seimbang dari segi taburan umur.

Satu lagi aspek adalah skim perumahan belia. Walaupun, skim ini baik untuk membolehkan belia memiliki rumah namun Segmentasi Wanita Muda ingin mengemukakan persoalan, di kawasan manakah rumah-rumah ini akan ditawarkan? Pemilikan rumah pertama tidak melebihi RM 500,000?

Subsidi RM200 sebulan untuk bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan adalah idea yang albagus tetapi apakah ia adil untuk keseluruhan belia dalam negara apabila skim ini hanya terhad kepada 20,000 pemohon sahaja. 

Tambahan pula, permohonan adalah berdasarkan siapa cepat dia dapat. Mungkinkah Kerajaan melihat diri mereka umpama sebuah syarikat korporat yang menawarkan pelan seperti jualan murah ini?

Kesimpulannya, walaupun bajet 2015 ini mula memberikan sedikit insentif baik kepada rakyat namun begitu terdapat beberapa kelemahan dasar yang cukup meresahkan dan dibimbangi tidak dapat mencapai objektif yang diharapkan sebaliknya hanya satu lagi bentuk pembaziran perbendaharaan negara.

Young Syefura Othman
Penyeralas Segmentasi Wanita Muda 
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Bajet 2015 : Penstrukturan Semula Kabinet dan Perjawatan Awam

Posted: 13 Oct 2014 11:26 PM PDT

Kenyataan Media
14 Oktober 2014

Bajet 2015 : Penstrukturan Semula Kabinet dan Perjawatan Awam

Pemikir Kaum Muda SAMM (PKM SAMM) melihat ketempangan nyata dalam sistem pentadbiran Kerajaan sedia ada ketika ini. Pertindihan portfolio antara agensi juga menyebabkan peningkatan belanja mengurus kita. Justeru, penstrukturan semula kabinet dan perjawatan awam mampu menjimatkan perbelanjaan pengurusan Kerajaan Persekutuan.

1. Jemaah Kabinet

Zaman pentadbiran Najib mempunyai bilangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang ramai. Ketika ini menjangkau kepada 10 orang Menteri. Ini sudah pasti melibatkan perbelanjaan emolumen bertaraf Menteri yang tinggi termasuklah kepada elaun-elaun dan kemudahan-kemudahan lain yang diterima sebagai Menteri. 

Selain itu, budaya perlantikan 2 Menteri bagi Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran juga menyebabkan berlakunya peningkatan belanja mengurus kementerian terbabit. Umum mengetahui bahawa gaji dan elaun bagi Menteri bukan kecil jumlahnya. 

Apakah Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan tidak mempunyai kecerdikan untuk memacu kementerian ini secara bersendirian? 

Jika bebanan tugas sebagai seorang Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dijadikan alasan untuk melantik seorang lagi Menteri, maka PKM SAMM melihat PM dan TPM perlu melepaskan jawatan mereka sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran. 

Pemikir Kaum Muda SAMM mencadangkan Perdana Menteri sepatutnya melihat semula kesesuaian kesemua Menteri di JPM. Jika Menteri hanya memegang port-folio kecil adalah lebih baik jika port-folio itu diserahkan kepada Timbalan Menteri. Sumber yang ada jika dimanfaatkan sepenuhnya dengan lebih efisyen pasti akan menjimatkan.

Jika di Kementerian Pelajaran terdapat keperluan untuk mengasingkan antara pelajaran peringkat sekolah dan peringkat tertiari, pengasingan ini boleh dibuat diperingkat Timbalan Menteri sahaja. 

2. Perjawatan Awam

Bagi sektor perjawatan awam juga, PKM SAMM juga tidak dapat melihat kewajaran kewujudan dua orang Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pelajaran. KSU ini sama ada berada di gred gaji Turus atau JUSA A yang semestinya menelan perbelanjaan gaji dan elaun yang tinggi. 

Apakah keperluan 2 KSU diwujudkan dan dalam masa yang sama juga KPM mempunyai 3 TKSU iaitu TKSU Pembangunan Pelajaran, TKSU Pengurusan dan TKSU Pembangunan Pelajaran Tinggi. Kesemua mereka ini akan dibantu oleh Ketua Pengarah dan barisan pengarah yang lain mengikut portfolio masing-masing. 

Begitu juga dengan Kementerian Dalam Negeri yang mempunyai 5 orang TKSU iaitu 2 orang TKSU Kanan bertaraf JUSA A dan 3 orang TKSU bertaraf JUSA B. 

Bukankah 5 orang TKSU di sesebuah kementerian terlalu ramai? Pada masa yang sama, KDN juga mempunyai beberapa jabatan yang mempunyai Ketua Pengarah masing-masing. Ketua Pengarah ini masih boleh berfungsi di bawah kawalan KSU dan Menteri. TKSU hanyalah satu peringkat fasilitasi dalam membantu dan mewakili kuasa KSU sahaja. 

Sehubungan itu, Pemikir Kaum Muda SAMM melihat adalah wajar sekali Perdana Menteri menilai semula saiz kabinetnya dan JPA untuk meneliti aspek perjawatan khidmat awam ini. 

Seperti yang didedahkan oleh PKM SAMM selepas pembentangan bajet, yang menunjukkan perbelanjaan mengurus-tadbir negara adalah terlalu tinggi merangkumi 82% dari keseluruhan Bajet 2015.

Dengan penstrukturan semula Kabinet dan Penjawat Awam Tertinggi akan dapat menjimatkan perbelanjaan Pengurusan dan seterusnya penjimatan ini dapat disalurkan kepada perbelanjaan pembangunan yang lebih memberi manfaat langsung kepada rakyat. 

Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Kaum Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tiada ulasan: