DUNIACACAMARBA |
- E-Rokok Meletup: Kaki Berlubang, Rumah Rosak
- Ingat Kes Pembunuhan Chee Gaik Yap? Anak Datuk Diarah Bela Diri
- Lelaki Cuba Curi Peralatan TNB Melecur Hampir Seluruh Badan
- Warga Nepal Dibunuh Memadu Kasih dengan Isteri Orang
- MP BN Ditertawa Bangkit Fasal Kereta Perisai LGE
- Penoreh Getah Dituduh Liwat Isteri Sendiri
E-Rokok Meletup: Kaki Berlubang, Rumah Rosak Posted: 13 Oct 2014 11:20 PM PDT TINDAKAN seorang perokok beralih kepada e-rokok kerana faktor kesihatan bertukar tragedi apabila alat itu meletup dan mencederakan kakinya. Kejadian itu berlaku selepas David Aspinall dari Wigan mengecas alat itu terlalu lama hingga ia meletup dan serpihan besi terkena pada beberapa bahagian kakinya. Malahan, sebahagian besar perabot rumah pangsa lelaki berusia 48 tahun itu juga rosak akibat letupan itu. Akibat kejadian itu, Aspinall terpaksa menerima rawatan selama sembilan hari di hospital. Dia mendakwa kakitangan dan doktor yang merawatnya menganggap kecederaan yang dialami itu umpama luka tembakan. "Kaki saya berlubang akibat terkena serpihan alat e-rokok itu dan pakar bedah memberitahu ia umpama luka terkena tembakan," katanya. Akibat kecederaan itu, lelaki itu terpaksa menjalani rawatan kulit selama tiga tahun. Dia bagaimanapun bernasib baik kerana ketika kejadian masih mampu memaklumkan kejadian itu kepada jirannya dengan menggambarkan insiden itu umpama babak ngeri dalam filem. Berikutan kejadian itu, Aspinall akhirnya membuat keputusan untuk menggunakan rokok biasa yang dianggap lebih 'selamat'. Dia juga mendakwa pekedai yang menjual alat e-rokok itu patut dipersalahkan kerana menyediakan bateri yang rosak. Pada Ogos lalu, seorang lelaki berusia 62 tahun dari Merseyside meninggal dunia akibat kejadian sama, sekali gus kes pertama di United Kingdom membabitkan letupan e-rokok. -14/10/14 | ||
Ingat Kes Pembunuhan Chee Gaik Yap? Anak Datuk Diarah Bela Diri Posted: 13 Oct 2014 08:58 PM PDT [Utusan Malaysia] PUTRAJAYA 13 Okt. - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan seorang ahli perniagaan membela diri terhadap tuduhan membunuh eksekutif pemasaran, Chee Gaik Yap yang mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel di kawasan perumahan elit Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah, lapan tahun lalu. Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Linton Albert yang bersidang bersama Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud. Kuorum itu sebulat suara berpuas hati, wujud kes prima facie terhadap Shahril Jaafar, 33, (responden) yang memerlukannya membela diri terhadap tuduhan membunuh. Shahril yang merupakan anak seorang kenamaan bergelar Datuk didakwa membunuh Gaik Yap di kawasan kelab tersebut antara pukul 5.30 petang, 14 Januari 2006 dan pukul 3.05 pagi, keesokannya. Sehubungan itu, panel tersebut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Jun tahun lalu yang melepas dan membebaskan Shahril tanpa dipanggil membela diri terhadap tuduhan membunuh. Panel itu menetapkan 19 Oktober ini bagi sebutan kes di Mahkamah Tinggi Alor Setar manakala responden yang dilarang jamin kini direman di Penjara Alor Setar sementara menunggu perbicaraan. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Terdahulu, Awang Armadajaya berhujah supaya kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar responden dipanggil membela diri terhadap tuduhan yang sama. Pendakwa raya menghujahkan, hakim bicara gagal menimbang secukupnya bukti keterangan yang paling penting berhubung ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang boleh dikaitkan dengan responden. Hujah Awang Armadajaya, keterangan ahli kimia menunjukkan empat daripada lima profil ujian DNA melibatkan sampel darah dan air mani yang diambil daripada mangsa adalah sepadan dengan profil yang dimiliki oleh responden. Sehubungan itu, beliau berhujah, dapatan fakta oleh hakim bicara yang mengatakan wujud penglibatan pihak ketiga dalam kejadian itu tidak wajar diterima kerana tidak selari dengan bukti keterangan yang dikemukakan. Selain itu, pendakwa raya juga menghujahkan responden telah berlepas ke Australia tanpa memaklumkan kepada pihak polis sedangkan ketika itu kes berkenaan masih dalam siasatan. Hujah beliau, tindakannya itu seolah-olah menunjukkan dia mempunyai rasa bersalah dan cuba melarikan diri meskipun kes tersebut dalam siasatan polis. Dalam pada itu, peguam Shamsul Sulaiman yang mewakili responden berhujah, isu berhubung pemergian anak guamnya ke Australia tidak dibangkitkan dalam petisyen rayuan. Mangsa yang merupakan bekas penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) dibunuh dengan kejam selepas dipercayai dirogol dan mayatnya ditemui pada awal pagi 15 Januari 2006 dalam keadaan separuh bogel di Jalan Kelab Cinta Sayang. Pembunuhan kejam itu berlaku semasa Gaik Yap keluar berjoging bersama adik perempuannya berusia 24 tahun. Selepas enam tahun, kes berkenaan kembali menjadi perhatian apabila akhbar pada Januari 2012 melaporkan seorang ahli perniagaan yang melarikan diri selama enam tahun ketika disiasat dalam kes rogol dan bunuh seorang gadis, akhirnya berjaya dikesan dan ditangkap polis. -Oleh NORLIZAH ABAS/14/10/14
| ||
Lelaki Cuba Curi Peralatan TNB Melecur Hampir Seluruh Badan Posted: 13 Oct 2014 08:43 PM PDT [Mstar] MELAKA: Seorang lelaki melecur hampir seluruh badan selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri peralatan di sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bachang di sini, Isnin. Pengurus Besar TNB Melaka Datuk Baderul Sham Saad berkata tindakan lelaki berusia 39 tahun itu mengakibatkan dirinya terkena renjatan elektrik dan berlaku letupan serta menyebabkan berlaku gangguan elektrik hampir satu jam di kawasan sekitar Bachang. Beliau berkata kejadian kira-kira pukul 1 petang tadi menyebabkan gangguan terhadap 12 pencawang elektrik di kawasan itu dan TNB turut mengalami kerugian kira-kira RM200,000 bagi menggantikan peralatan serta suis pencawang yang rosak. "Lelaki berkenaan dipercayai menceroboh masuk ke pencawang tersebut dengan memecahkan kunci mangga pada pintu untuk mencuri peralatan milik TNB," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya telah membuat laporan polis di Balai Polis Malim di sini dan meminta orang awam menyalurkan maklumat ke talian 15454 sekiranya melihat individu atau kumpulan mencurigakan di kawasan pencawang TNB. Sementara itu Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Low Liang Seong berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.16 petang dan sembilan anggota dengan satu jentera serta Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) kemudian bergegas ke lokasi. Beliau berkata ketika tiba lokasi kejadian kira-kira lapan minit kemudian, lelaki berkenaan terbaring di sebuah warung berhampiran dalam keadaan 80 peratus badannya melecur akibat renjatan eletrik berkenaan. "Mangsa dilaporkan keluar sendiri dari kawasan pencawang dan kemudian dibantu orang awam yang berada di kawasan berhampiran," katanya. Beliau berkata pasukan EMRS telah memberi rawatan awal kepada lelaki itu sebelum dibawa ke Hospital Melaka menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut. -14/10/14 | ||
Warga Nepal Dibunuh Memadu Kasih dengan Isteri Orang Posted: 13 Oct 2014 08:17 PM PDT [Bernama] KULIM - Seorang warga Nepal ditemui mati dipercayai akibat ditikam di rumah kekasihnya yang merupakan isteri orang di Taman Bersatu di sini awal pagi tadi. Lelaki tersebut dipercayai telah diserang oleh anak lelaki wanita itu dan beberapa rakannya yang menyedari mangsa berada di rumah tersebut. Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata mayat mangsa yang dikenali sebagai Kamal Singh, 27, dijumpai tertiarap dalam sebuah bilik di rumah teres di kawasan perumahan itu oleh seorang keluarga wanita tersebut kira-kira 4 pagi tadi. "Anggota keluarga berkenaan telah melaporkan kejadian itu kepada polis yang berkejar ke tempat kejadian dan menemui mangsa berlumuran darah akibat kesan tikaman dengan senjata tajam di dalam bilik berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini. Abdullah berkata siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan rakan sekerja wanita tersebut di sebuah kilang di sini dipercayai mempunyai hubungan intim dengan wanita berusia 37 tahun itu sejak akhir-akhir ini. "Terdahulu mangsa bersama wanita berkenaan telah pulang ke rumah tempat tinggal wanita tersebut dan seorang lelaki berusia 18 tahun dipercayai anak wanita tersebut telah menyedari kehadiran mangsa lalu memanggil beberapa orang rakannya. "Mereka dikatakan telah menyerang mangsa dengan senjata tajam menyebabkan mangsa maut dan berlumuran darah," katanya. Katanya anggota polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa telah meninggal dunia dan setelah pemeriksaan dibuat terdapat satu kesan tusukan senjata di dada kiri mangsa. "Mayat mangsa telah hantar ke Hospital Kulim untuk tujuan bedah siasat," katanya. Abdullah berkata suspek dipercayai telah melarikan diri dan polis sedang mengesan mereka. "Senjata yang digunakan masih belum dijumpai. Pihak polis kini menyiasat kes tersebut di bawah Kanun Keseksaan 302 kerana membunuh," katanya. - 13/10/14 | ||
MP BN Ditertawa Bangkit Fasal Kereta Perisai LGE Posted: 13 Oct 2014 08:03 PM PDT [Malaysia Kini] Datuk Zahidi Zainul Abidin (BN-Padang Besar) diketawakan sebilangan MP Pakatan Rakyat kerana menyoal tentang berita olok-olok membabitkan kenderaan rasmi ketua menteri Pulau Pinang. Zahidi bertanya tentang perkara itu sewaktu mencelah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membahaskan Belanjawan 2015 tengah hari ini. Zahidi (kanan) bertanya tentang pembelian kereta rasmi Lim Guan Eng yang menurutnya dilengkapi perisai kalis peluru. Pertanyaan itu membuatkan Khalid Samad (PAS-Shah Alam) berdiri dan mula ketawa pada beliau. Menurut Khalid, berita olok-olok itu mula disebarkan oleh blog pro-Umno dan Zahidi kini mempercayainya. "Padang Besar (Zahidi) ini tertipu dengan propaganda Umno sendiri yang mengatakan ketua menteri beli kereta harga RM2 juta. "Ini bila dah cukup banyak sangat penipuan, dia sendiri pula percaya. "Inilah satu kes yang agak kelakar bila dah banyak sangat penipuan, yang menipu itu pun percaya dengan penipuan mereka sendiri. "Jangan percaya sangat tentera siber Umno ini semua. Tak ada gunalah," kata Khalid mengundang kemarahan dari seorang lagi MP Umno. Kenderaan Lim RM300,000 Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) bangkit dan membidas Khalid. "Permatang Pauh (Anwar), tak usik Umno langsung. Hujah itu baik. Janganlah kacau daun," katanya. Khalid membalas, "Cara Shah Alam, cara Shah Alam. Cara Permatang Pauh, cara Permatang Pauh". Anwar (kiri) kemudian menegaskan bahawa tuduhan pembelian kenderaan bernilai RM2 juta itu tidak benar. Menurutnya, Lim tiada apa-apa yang mahu disorokkan tentang pembelian kenderaannya yang bernilai RM300,000. Beberapa blog pro-Umno minggu lepas mengedarkan gambar Conquest Knight IV yang didakwa dibeli Lim pada harga RM2,298,263.75. Berita itu pada mulanya muncul di Facebook dengan penafian yang ia adalah satu berita olok-olok - namun perkara itu gagal difahami oleh blog yang menyebarkannya. -Ahmad Fadli KC/13/10/14 | ||
Penoreh Getah Dituduh Liwat Isteri Sendiri Posted: 13 Oct 2014 07:25 PM PDT [TV3] Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini atas pertuduhan meliwat isterinya sendiri. Tertuduh, Adnan Ramli, yang berusia 48 tahun, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan menuntut dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat. Dia didakwa melakukan hubungan seks secara luar tabii tanpa kerelaan isterinya setelah melakukan hubungan seks secara normal di rumahnya sendiri di Perumahan Kilang Sawit Charuk Puting, Temerloh. Hakim membenarkan Adnan diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 November untuk sebutan semula kes. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377(C) Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan kerana meliwat. -Siti Norfairuz S Mohamed/14/10/14 Berkaitan: Penoreh getah mengaku tidak salah liwat isteri Tertuduh dibawa keluar dari perkarangan mahkamah selepas dituduh meliwat isteri sendiri. [Sinar Harian] TEMERLOH – Seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan meliwat isteri sendiri. Tertuduh dituduh meliwat isterinya di rumah mereka kira-kira jam 2 pagi 7 Oktober lalu. Tertuduh mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah. Lelaki terbabit yang berusia 48 tahun dan mempunyai empat anak hasil perkongsian hidup bersama isteri ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh selepas isterinya membuat laporan polis. Berdasarkan laporan, kejadian itu bukan kali pertama sebaliknya sudah beberapa kali berlaku tanpa kerelaan isteri. Mangsa bekerja sebagai buruh am membuat laporan polis selepas mendakwa mengalami tekanan akibat kejadian itu. Hakim Jamaludin Mat memerintahkan tertuduh diikat jamin RM5,000 selepas tertuduh merayu wang jaminan dikurangkan sebelum menetapkan 13 November depan sebagai sebutan semula kes. Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. -14/10/14 |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan