Rabu, 29 Oktober 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Timbalan speaker baharu dilantik pada Sidang Dun

Posted: 29 Oct 2014 08:06 AM PDT

SINAR HARIAN

Hannah Yeoh Hannah Yeoh
 
 
KUALA LUMPUR - Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor yang baharu akan dilantik pada persidangan dewan undangan negeri akan datang 24 November tahun ini, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh.

Proses pencalonan telah bermula apabila kesemua 11 Adun menerima surat meminta mereka mencalonkan timbalan speaker baharu, katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Bangunan Parlimen hari ini.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengumumkan jawatan timbalan speaker akan diisi Adun Pas setelah timbalan speaker sebelum ini Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik sebagai anggota exco.

Yeoh juga berkata, Adun Morib Hasnul Baharuddin dan Adun Hulu Kelang Saari Sungib, yang digantung daripada Pas, akan kekal sebagai Adun parti itu pada persidangan dewan undangan negeri akan datang kerana beliau tidak menerima sebarang surat rasmi daripada Pas tentang kedudukan mereka.

"Sepanjang yang melibatkan kami, saya tidak menerima sebarang surat rasmi daripada Pas dan oleh itu, mereka kekal sebagai Adun Pas di dalam dewan," katanya.

Hasnul dan Saari digantung daripada Pas kerana menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor dalam krisis baru-baru ini, yang bercanggah dengan pendirian Pas. - Bernama

Najib berselindung isu jaminan kerajaan terhadap hutang 1MDB

Posted: 29 Oct 2014 08:03 AM PDT

Tony Pua

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak berkata benar sepenuhnya apabila menyatakan bahawa kerajaan hanya menjamin RM5.8 bilion dari keseluruhan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengulas jawapan Kementerian Kewangan semalam bahawa 1MDB tidak menerima sebarang jaminan daripada kerajaan melainkan hutang RM5.8 bilion tersebut.

"Jawapan itu hanyalah 'separuh benar', kerana Kementerian Kewangan turut mengeluarkan surat sokongan (yang berfungsi sebagai jaminan) untuk pinjaman lain 1MDB," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memetik laporan The Edge Malaysia Weekly minggu ini berhubung surat sokongan daripada kerajaan Persekutuan kepada 1MDB Global Investment Limited untuk membuat pinjaman berjumlah RM9.6 bilion pada Mac 2013.

"Surat itu menyatakan 'jika 1MDB sebagai pemegang saham juga tidak mampu menyuntik dana agar 1MDB Global Investments mampu membayar hutang, (kerajaan) Malaysia perlu campur tangan untuk menyuntik dana secukupnya agar peminjam mampu membuat pembayaran.

"Tanpa menyebut secara langsung, surat sokongan itu secara praktikalnya menjamin hutang 1MDB," katanya dalam satu kenyataan.

Malah, surat tersebut menimbulkan isu baru – jumlah sebenar bebanan yang ditanggung kerajaan melalui jaminan seumpama itu.

"Sementara jaminan rasmi kerajaan terhadap hutang (1MDB) tidak secara langsung dianggap hutang kerajaan, ia sekurang-kurangnya didokumenkan sebagai bebanan luar jangka kerajaan.

"Namun, surat sokongan meragukan ini tidak didaftarkan dalam mana-mana penyata kewangan kerajaan, walaupun kesannya besar dan buruk. Rakyat Malaysia dan penganalisis tidak tahu sebanyak mana jaminan dibuat kerajaan melalui surat sebegini," katanya lagi.

PKFZ guna cara sama

Pengerusi DAP Selangor itu menambah, cara yang sama digunakan bekas Menteri Pengangkutan Tun Ling Liong Sik dan Tan Sri Chan Kong Choy dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bernilai RM4.6 bilion.

Empat surat sokongan dikeluarkan dua bekas Presiden MCA itu bagi membolehkan kontraktor Kuala Dimensi Sdn Bhd meraih RM4.6 bilion dalam bentuk bon bagi projek penuh masalah itu.

"Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bersama Jawatankuasa Kira-kira Awam mengesahkan surat tersebut sama seperti jaminan hutang. Akibatnya, kerajaan terpaksa membayar bon berjumlah RM4.6 bilion bagi menyelamatkan projek itu," katanya lagi.

Kata Pua, berdasarkan skandal PKFZ itu, jelas kerajaan bertindak menjamin hutang-hutang 1MDB, malah mungkin kepada syarikat dan agensi kerajaan lain.

"Maka Najib perlu memberi penjelasan dan membuat penafian, bahawa surat sokongan yang dikeluarkan itu tidak bermakna jaminan kepada hutang.

"Beliau juga perlu memberi komitmen bahawa kerajaan tidak akan membayar hutang 1MDB," ujar Pua. – Roketkini.com

Blog Pun Kena GST - Blog GB Bakal Ditutup?

Posted: 29 Oct 2014 07:42 AM PDT

KELAB GREENBOC



Menurut maklumat dari melvister.com, pemilik laman blog (web) atau forum turut kena GST bermula 1 April 2015.

Setelah pelaksanaan GST dijangka akan dilaksanakan mulai awal bulan April 2015, kesemua pemilik blog (website) atau forum yang menjana pendapatan menerusi platform tersebut tidak akan terkecuali untuk membayar cukai GST.

Manakala, platform online yang tidak menjana menjana pendapatan atau dibina sebagai untuk tujuan peribadi tidak akan dikenakan GST.

Seperti sedia maklum, pelaksanaan GST yang menggantikan sistem cukai sedia ada iaitu SST adalah berkonsepkan menyeluruh dan adil dimana semua perkhidmatan/ perniagaan secara online mahupun offline wajib membayar cukai tersebut.

Admin blog Kelab Greenboc belum lagi membuat keputusan samada akan meneruskan blog ini atau tidak apabila GST dikenakan kelak. Sebenarnya, pendapatan dari blog tidaklah sebesar mana, sekadar membantu membayar talian streamyx/broadband yang umum mengetahui harga internet dan jalur lebar di negara ini adalah terlalu mahal berbanding kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

Setelah sekian lama berjuang di pesada siber, berkemungkinan besar ramai para blogger akan terpaksa menutup blog masing-masing, apatah lagi selama ini, perjuangan para blogger ini sekalipun diakui telah banyak membantu khususnya Pakatan Rakyat untuk memenangi pilihanraya, namun tiada rancangan khusus dari parti untuk membela dan menyokong usaha para blogger ini. Cukup malang nasib kami... tapi apakan daya... hanya Allah tempat kami berpaut selama ini.

Dalam perkembangan berasingan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) nampaknya sudah mula memandang serius isu perniagaan-perniagaan online yang tidak berdaftar.

Siakapkeli.com melaporkan, melalui sebuah notis yang dipaparkan E-Commerce Milo, pihak SSM sudah mula mengadakan pemantauan kepada beberapa peniaga di laman Facebook bagi memeriksa sama ada mereka ini memaparkan nama dan nombor pendaftaran syarikat.



Menurut blog tersebut, SSM telah sudah mula menekankan tentang perkara ini di dalam Peraturan Peniaga Dalam Talian sejak Julai 2013 lagi. Tetapi setelah melihat peniaga-peniaga online seperti tidak mengendahkan perkara ini, kerajaan akhirnya mula mengambil serius bagi menguatkuasakan peraturan ini.

Selain dari perniagaan di Facebook, apa-apa perniagaan yang berlaku di atas rangkaian termasuklah di laman perkongsian gambar Instagram juga perlu memaparkan nama serta nombor pendaftaran syarikat mereka.

Sekiranya gagal, pemilik perniagaan tersebut akan dikenakan penalti sehingga RM5,000.

Tiada bukti Anwar guna tuala, berus gigi

Posted: 29 Oct 2014 07:36 AM PDT


Datuk Seri Anwar Ibrahim Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
 
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan diberitahu tiada sebarang bukti daripada saksi polis yang menunjukkan perayu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan tuala 'good morning', berus gigi dan botol minuman sewaktu berada di dalam tahanan di lokap.

Peguam bela, Sangeet Kaur Deo dalam hujahannya berkata, barangan tersebut diberikan kepada Anwar, 67, bagi mendapatkan asid deoksiribonukleik (DNA) tanpa pengetahuan Ketua Pembangkang itu.

"DNA yang ditemui pada barangan adalah sepadan dengan DNA yang ditemui di dalam rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan, 29, yang dilabel sebagai 'Lelaki Y," katanya.

Beliau berkata, pihak pendakwaan telah mengaitkan DNA "Lelaki Y" itu dengan Anwar berdasarkan bukti keadaan iaitu hanya beliau sahaja tahanan tunggal pada masa itu.

"Pendakwaan tidak boleh bergantung kepada bukti keadaan ketika terdapat bukti langsung," katanya.

Sangeet berkata, DNA "Lelaki Y" itu tidak semestinya milik Anwar dan berkemungkinan milik sesiapa sahaja.

Shafee: Saiful Bukhari saksi berkredibiliti

Posted: 29 Oct 2014 07:34 AM PDT


Saiful Bukhari Saiful Bukhari
 
 
PUTRAJAYA - Ketua Pasukan Pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu bahawa bekas pembantu peribadi Ketua Pembangkang, Saiful Bukhari Azlan, 29, adalah saksi yang mempunyai kredibiliti.

Menurutnya, kredibiliti Saiful Bukhari yang juga pengadu dalam kes liwat ini telah diputuskan semasa prosiding di mahkamah tinggi dan Mahkamah Rayuan yang lepas.

"Saya lihat beberapa isu yang dibangkitkan oleh peguam bela hari ini adalah bukan isu baru dan ianya adalah seperti yang dijangkakan.

"Kami sudah bersedia dengan jawapan untuk menjawab isu tersebut," katanya kepada wartawan di luar kamar Mahkamah Persekutuan semalam.

Ditanya adalah ini kali pertama beliau 'beraksi' bersama Peguam Utama Pembelaan Tan Sri Gopal Sri Ram, Muhammad Shafee menafikannya.

"Saya pernah bersamanya dalam kes pecah amanah dan pada waktu itu saya memegang jawatan Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

'Gopal Sri Ram paling layak ketuai peguam bela'

Posted: 29 Oct 2014 07:32 AM PDT


Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
 
 
PUTRAJAYA - Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram merupakan orang yang paling layak untuk mengetuai pasukan peguam pembelaan kes liwat II.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memerlukan 'pertahanan' yang kuat untuk mewakilinya dalam kesnya itu.

"Pemilihanya adalah wajar selepas saya kehilangan Karpal Singh, dia adalah calon yang memenuhi syarat setelah apa yang dilakukan semalam.

"Prestasinya menakjubkan, dia yang terbaik dan keutamaan saya ialah pertahanan yang baik dalam usaha untuk menangkis konspirasi ugutan dan gangguan," katanya kepada pemberita selepas perbicaraan rayuan kes Liwat II di Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, demikian mengulas pelantikan Gopal sebagai ketua peguam Anwar pada perbicaraan rayuan kes liwat II yang bermula semalam.

Harapan Anwar Bebas Cerah?

Posted: 29 Oct 2014 07:29 AM PDT

shahbudindotcom


Kes rayuan Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan sudah pun masuk hari kedua sejak bermula semalam. Sehingga ini pihak pembela Anwar yang diketuai Sri Ram Gopal belum pun habis lagi mengemukakan hujah pembelaan, kemudian baru diikuti dengan hujah balas pihak pendakwa oleh Shafee Abdullah.

Selepas itu, kedua-dua pihak akan menutup hujah penggulungan masing-masing sebelum lima hakim membuat keputusannya.

Walaupun semalam Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan untuk melanjutkan perbicaraan sehingga Khamis, berbanding ketetapan awal hanya dua hari iaitu 28 dan 29 Oktober saja tetapi berdasarkan perkembangan yang berlaku tidak mustahil ia berlarutan sehingga Jumaat atau disambung lagi pada minggu hadapan.

Dalam hujahan awal semalam, pihak peguambela Anwar membangkitkan isu kredebiliti Saiful yang diragui. Saiful didapati bukan saja menemui pegawai polis bernama Mohd Rodwan dua hari sebelum mendakwa diliwat dan membuat laporan polis, bahkan gambarnya menghidangkan teh dengan wajah selamba kepada tetamu Anwar sehari selepas kejadian liwat yang didakwa berlaku itu turut juga didedahkan.

Selain itu, meskipun mendakwa diliwat secara paksa dan mendatangkan kesakitan kepadanya, perbuatan Saiful membawa gel pelincir dan menyapu di bahagian sulitnya juga ditimbulkan untuk meragui kredebilitinya.

Beberapa isu lain seperti seluar dalam yang tidak dipakai tetapi ada kesan air mani, tumpahan air mani di karpet, kaitan pertuduhan dengan konspirasi politik turut juga dibangkitkan dalam mahkamah semalam.

Dalam masa yang sama, dapatan dari pemeriksaan di Pusrawi yang mengatakan tiada penembusan pada bahagian sulitnya ketika Saiful mendapatkan rawatan tetapi doktor yang memeriksanya tidak dipanggil sebagai saksi, dibangkitkan sama dalam mahkamah semalam.

Jika semalam isu kredebiliti Saiful dibangkitkan, pada hari kedua iaitu hari ini isu sampel DNA Anwar pula dipertikaikan kesahihannya. Selain DNA Anwar didakwa diambil secara tidak sah iaitu melalui botol air mineral, berus gigi dan tuala "good morning" ketika Ketua Pembangkang itu ditahan di penjara, peguambela juga membangkitkan tiada bukti kukuh menunjukkan ia digunakan oleh Anwar.

Oleh itu, pihak peguambela berhujah kemungkinan ia bukanlah DNA Anwar yang sebenar-benarnya.

Isu lain yang ditimbulkan hari ini ialah mengenai sampel DNA yang hanya disimpan dalam laci  dan bukan dalam peti sejuk serta mungkin terdedah kepada pencemaran atau kerosakan.

Sehingga ini, ramai yang melihat bukan saja hujahan peguambela Anwar  kemas dan teratur tetapi juga dilihat mampu meyakinkan lima hakim yang arif lagi bijaksana itu untuk membuat keputusan membebaskannya.

Sementara menanti pihak pendakwa mengemukakan hujah balasnya pula, di laman  sosial pula tersebar surat permintaan pelbagai pihak yang mahukan Anwar diberikan keadilan dan dibebaskan. Antaranya ialah daripada Ketua Ulama Sedunia, Yusuf Al Qardawi,  Maulana Ihsan Hendrick, ulama tersohor Afrika Selatan, Datuk Bandar Manila, Joseph Estrada, Profesor Georgetown Universiti di mana anak Najib pernah belajar di universiti berkenaan iaitu John Esposito serta banyak lagi.

Sebelum ini, beberapa negara Barat dan NGO yang berpengaruh di seluruh dunia juga telah pun menyatakan sokongan kepada Anwar serta menuntut beliau dibebaskan.

Sejauh mana semua ini mendatangkan impak kepada keputusan mahkamah masih lagi menjadi persoalan tetapi adalah jelas sorotan dunia makin meluas kepada apa yang berlaku di negara kita sekarang.

Di luar Istana Kehakiman pula, ribuan penyokong Anwar terus berhimpun dan menyatakan solidariti kepada Ketua Pembangkang itu. Kumpulan penyokong Saiful dengan memakai T-Shirt khas turut juga berhimpun sejak dua hari lalu sehingga menimbulkan persoalan siapakah yang menaja dan membiayai mereka itu?

Tidak seperti Anwar yang mendapat sokongan parti dan rakan-rakan gabungan dalam PR, Saiful hanyalah rakyat biasa yang sebenarnya tiada keperluan langsung untuk mengeluarkan wang daripada poketnya sendiri bagi menghimpunkan orangramai dan menunjukkan adanya penyokong yang ramai bersamanya.

Jika ditaja pula, siapakah penajanya dan apakah kepentingan mereka dalam kes ini?

Penyokong Anwar bagaimanapun terus bertambah pada hari ini berbanding semalam dan dijangka terus bertambah menjelang hari keputusan diumumkan nanti.

Pakatan wajib bersatu

Posted: 29 Oct 2014 07:21 AM PDT






Oleh SELENA TAY


TIDAK lama lagi Pakatan Rakyat akan menghadapi cabaran yang genting. Oleh itu, semua phak dalam Pakatan harus bersatu dan menggembeleng tenaga untuk menghadapi cabaran ini.

Semua perbezaan peribadi dan perbezaan pendapat harus diketepikan apabila musuh dari luar membuat serangan. Juga tidak perlu lagi mengungkit isu perbalahan yang telah berlalu. Semua ini hanya akan melemahkan tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat.

Jika pada saat yang genting ini parti-parti komponen Pakatan masih lagi bertelagah, maka hilanglah harapan Pakatan untuk menang pilihan raya umum yang akan datang nanti. Bukan itu sahaja malah banyak kerusi Pakatan yang akan ditawan oleh pihak musuh nanti.

Justeru, Pakatan mesti mengambil langkah yang bijak untuk mengukuhkan saf pimpinan dan mengeratkan perpaduan di antara semua ahli-ahli di peringkat akarumbi.

Setiap langkah strategi mesti dilaksanakan bersama.

Jangan ada yang terasing kerana ini hanya akan melemahkan Pakatan dan memberikan kekuatan kepada pihak musuh. Sudah tiba masanya untuk Pakatan bertindak dengan cerdik supaya dapat meraih kembali momentum yang wujud seperti zaman pasca pilihan raya tahun 2008.

Najib patut bagi medal kepada Wahidah

Posted: 29 Oct 2014 12:48 AM PDT

MSO

Kediaman Wahidah dibakar. 


Saya sungguh terkesima melihat gambar sebuah rumah milik setinggan kampung Chubadak yang dibakar hangus oleh aparat seperti dipaparkan dalam Malaysiainsider malam tadi. Mata saya tanpa disedari tiba-tiba digenangi air jernih apabila melihat gambar api sedang memamah rumah setinggan itu. Genangan menjadi berat apabila terpandang pula pemiliknya, Wahidah Mat Salleh, 73 yang kesayuan melihat rumahnya dibakar tanpa bisa berkata-kata lagi.


Wahidah mampu melihat
Rumah Wahidah itu dikatakan rumah terakhir yang dimusnahkan oleh aparat, setelah lebih 160 buah rumah lain sudah lenyap dan hilang dari bumi kampung Chubadak, Sentul Kuala Lumpur. Beliau merupakan satu-satu pemilik dan penduduk kawasan setinggan dibangunkan lebih 50 tahun itu yang bertahan hingga ke saat akhir.

Sebelum ini rumah asalnya sudah pun dimusnahkan oleh pihak berkuasa, tetapi ia dibina semula secara gotong royong oleh para aktivis mahasiswa yang simpati dengan nasibnya. Orang ramai yang bersimpati dengan nasibnya menghulur derma untuk tujuan itu.

Semalam aparat terus menjadi keparat, bertindak membakar untuk memusnahkan tempat tinggal Wahidah agar ia bebas untuk dibangunkan dengan projek yang sudah dirancang.

Semua orang menerima hakikat, aparat atau pihak berkuasa adalah berkuasa dengan kuasa yang ada. Apakah tindakan pihak berkuasa itu adil atau tidak, ia subjektif. Tetapi yang pastinya tindakan meroboh dan membakar rumah Wahidah itu dibuat dengan kuasa yang ada kandatipun naluri yang diberi tugas itu tidak mahu melaksanakannya.

Apa yang berlaku dan menimpa Wahidah itu adalah lambang kepada kerakusan pihak berkuasa dan betapa kecil dan kerdilnya rakyat dalam mempertahankan hak. Begitulah nasib orang miskin, tidak berduit dan tidak mampu untuk membayar bagi melindungi dirinya. Orang miskin dalam segala hak tidak bernasib baik.

Saya yakin kalau Wahidah kaya raya dan mempunyai wang dia akan dapat menyelamatkan kediamannya. Dia akan menawarkan wang kepada DBKL yang berkuasa ke atas tanah itu dengan harga lebih tinggi daripada pulangan keuntungan yang dikira DBKL jika tanah itu dibangunkan secara komersil.

Khemah sementara untuk Wahidah berlindung dibina.
Tetapi kerana dia miskin, seorang setinggan, apa lagi hukum Allah tidak lagi menjadi perhitungan, maka Wahidah terpaksa melepas kepunyannya begitu sahaja penuh kepiluan dan apa yang mampu dibuat hanya melihat dan merenung dengan sejuta kedukaan. Walhal kalau mengikut hukum dan peraturan Allah bumi ini adalah untuk semua manusia tanpa mengira siapa mereka itu. Tetapi pemerintah moden genetik Firaun kini jarang atau tidak lagi mengambil kira apa yang Allah anjurkan.

Saya tidak mahu mencatat panjang di sini cuma ingin memberi tahu kepada Perdana Menteri Mohd Najib Razak agar menghargai semangat dan kegigihan Wahidah dalam mempertahankan hak dan hartanya. Semangat teguh dan keberanian yang ada kepada wanita itu patut dipuji dan dijadikan contoh. Seandai bangsa Melayu negara ini bersemangat seperti beliau nescaya tidak akan ada seinci pun bumi ini akan terlepas kepada orang asing.

Eloklah kalau Najib menemui Wahidah memberikan medal sanjungan sebagai mengkaguminya dan menghargai jiwa beraninya. Wahidah bukan degil tetapi dia berjiwa besar sebagai bangsa Melayu. Apa dilakukannya, mempertahankan hak itu satu ibadat dan pengorban.

Sebaik-baik medal untuk beliau ialah menyediakan kediman yang istimewa kepadanya, setidak-tidak lebih selesa daripada rakan-rakannya (setinggan) yang sudah mendapat habuan dan tawaran rumah pengungsian daripada syarikat yang diberikan tanah itu untuk dimajukan, tanpa sanggup mempertahankan hak ke titisan keringat terakhir. Orang berani, ikhlas dan jujur patut disanjungi.

Orang seperti Wahidah yang patut diharga kerana ia menjadi lambang keberanian dan keutuhan jiwa Melayu sejati. Apa lagi Najib, carilah dan jumpalah Wahidah seorang lagi serikadi sejati negara dan telah menjadi ikon keberanian. Dan saya percaya kes Wahidah ini akan mendapat perhatian daripada perdana menteri, kerana Najib pemimpin yang memandang ke bawah.

Catatan: Dua foto ehsan MalaysiaInsider.

Dua kapal kontena di Pelabuhan Barat terbakar

Posted: 29 Oct 2014 12:39 AM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Dua kapal kontena yang berlabuh di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang dekat sini terbakar kira-kira pukul 7.30 malam Selasa.
 
Pegawai Pasukan Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Aidil Ab Majid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 7.38 malam.
 
Menurutnya, pasukan bomba yang tiba pada 8.17 malam telah menarik salah sebuah kapal tersebut kira-kira satu kilometer ke tengah laut dari dermaga bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.
 
"Sebuah lagi kapal masih berada di Dermaga 20 dan kerja-kerja memadam kebakaran masih dijalankan pada saat ini namun tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas malam Selasa.
 
Sehingga pukul 10 malam Selasa, operasi memadam kebakaran masih dijalankan dan maklumat lanjut mengenai status kapal belum diperolehi.

Insiden tolak menolak kerana polis enggan benarkan himpunan

Posted: 29 Oct 2014 12:24 AM PDT

Oleh: Lyn Nasir



KUALA LUMPUR : Insiden tolak menolak yang berlaku di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya hari ini disebabkan tindakan polis yang enggan membenarkan penyokong Datuk Seri Anwar berhimpun lebih dekat dengan perkarangan Mahkamah Persekutuan.

Penyokong Anwar berkumpul di seberang Istana Kehakiman seawal jam 7 pagi iaitu kira-kira 300 meter daripada mahkamah, lebih jauh daripada kedudukan mereka semalam.

Ekoran itu berlaku kekecohan apabila penyokong cuba merempuh pagar yang dipasang di sekeliling perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad bersama Naib Presiden, Tian Chua kemudian memasuki pagar berkenaan untuk berjumpa pihak polis bagi meminta kebenaran berhimpun. Bagaimanapun permohonan mereka ditolak.

Ketika penyokong menolak halangan, kira-kira 50 anggota polis dilihat menahan pagar berkenaan daripada terus dirempuh.

Bagaimanapun Nik Nazmi cuba mententeramkan mereka dan keadaan kembali terkawal apabila Tian Chua berucap di atas sebuah lori pikap kepada mereka yang hadir.

"Tadi saya minta untuk berada berdekatan dengan mahkamah. Hari ini kita lagi jauh. Hari ini kita diarah untuk berada di belakang sini. Kita minta supaya kita berada di depan mahkamah untuk lakukan himpunan tapi polis tak benarkan," jelas Tian Chua di hadapan lebih 1,000 penyokong yang hadir.

Terdahulu, Anwar yang berbaju kemeja putih dan kot hitam ditemani isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuannya tiba di perkarangan mahkamah Putrajaya, kira-kira jam 9 pagi.

Mereka sempat bertemu penyokong sebelum menghadiri sesi pendengaran rayuan fitnah 2.

Ketika Anwar ingin melepasi kawasan Istana Kehakiman, berlaku sedikit kekecohan apabila penyokong cuba merempuh pagar halangan. Namun, pihak polis hanya membuka pagar tersebut bagi memberi laluan kepada Anwar dan menghalang orang awam melepasi kawasan tersebut.

Shafee Abdullah patut malu dibayar guna wang rakyat – Johari

Posted: 29 Oct 2014 12:21 AM PDT

Oleh: Lyn Nasir


PUTRAJAYA: Pejabat Peguam Negara (AG) mempunyai ratusan Pendakwaraya namun melantik Tan Sri Shafee Abdullah yang juga peguam kanan Umno untuk mengetuai pendakwaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Sungai Petani, mempersoalkan pelantikan peguam luar sebagai pendakwaraya kes Anwar sedangkan terdapat ramai pendakwa yang lebih layak di pejabat AG.

"Saya tanya Kementerian Kewangan dan JPM (Jabatan Perdana Menteri), berapa kamu bayar Shafee, kamu bayar dengan duit rakyat, dari cukai termasuk GST akan datang.

"Malu, sebagai sebuah negara yang nak mencapai status negara maju, tak ada orang yang berkelayakan langsung sehingga terpaksa ambil peguam luar," katanya ketika berucap di hadapan 1,000 penyokong Anwar berhampiran istana Kehakiman Putrajaya..

Jelasnya, ia merupakan kali pertama dalam sejarah apabila peguam negara 'mengimport' peguam dari luar bagi menjadi pendakwa untuk pihak kerajaan.

"Kita hantar pegawai untuk latihan, bagi gaji tinggi, bagi kelengkapan, tapi tak ada sorang pun berani berhadapan dengan kes Anwar," katanya ketika berucap.

"Tapi ini bukan salah pegawai-pegawai, kerana pegawai tahu tak ada kes nak sebut.

"Cuma ada orang tak malu kerana duit, kerana nama, kerana nak berhadapan dengan Perdana Menteri, dan nak sebelah PM, kerana itu semua, Shafee sanggup gadai maruah sebagai seorang peguam," katanya disambut tepukan hadirin.

Beliau menggesa rakyat bersatu kerana jelasnya, tidak ada seorang pun yang mampu mendapat keadilan jika Anwar sendiri diperlakukan sedemikian rupa.

Lagi kes kanak-kanak tersepit

Posted: 29 Oct 2014 12:17 AM PDT


Pasukan bomba sedang mengeluarkan kaki murid darjah dua yang tersepit di penutup longkang sekolah, semalam. Pasukan bomba sedang mengeluarkan kaki murid darjah dua yang tersepit di penutup longkang sekolah, semalam.
 
 
NILAI - Kelmarin kita melihat wajah takut dan sedih seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun apabila kepalanya tersepit di antara dua besi katil.

Semalam, berlaku lagi kes 'tersepit'. Tetapi kali ini melibatkan murid perempuan darjah dua yang tersepit di besi penutup longkang sekolahnya.

Kejadian yang dipercayai berlaku sekitar 3.45 petang itu, berjaya diselesaikan kurang lima minit oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Nilai.

Menurut Ketua Operasi, Fauzi Shamir, semasa tiba di lokasi kejadian, beliau mendapati seorang murid perempuan sedang menangis sambil memegang kakinya yang tersepit di besi penutup longkang tersebut.

"Dengan menggunakan pemotong besi, kaki murid itu  berjaya dikeluarkan dengan cepat dan selamat," katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, kejadian dipercayai berlaku semasa murid itu sedang bermain dengan rakannya.

Tiada sebarang kecederaan berlaku, namun pihak sekolah tetap membawa murid tersebut ke klinik untuk pemeriksaan, sebelum memaklumkan kepada penjaganya.

Kes denggi naik 212% dari Jan hingga 18 Okt

Posted: 29 Oct 2014 12:14 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Jumlah kumulatif kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara dari Januari sehingga 18 Oktober tahun ini meningkat sebanyak 212 peratus kepada 82,738 kes berbanding 26,527 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.
 
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kumulatif kematian sehingga 18 Oktober ialah sebanyak 157 berbanding 59 bagi tempoh yang sama tahun lepas.
 
Hasil pemantauan kementerian dari Januari sehingga 11 Oktober, sebanyak 3.99 juta premis telah diperiksa di seluruh negara dan 13,013 kompaun dikeluarkan bernilai melebihi RM6 juta.
 
Mengenai perkembangan kes denggi berdasarkan mingguan pula, beliau berkata terdapat peningkatan sebanyak 19 peratus dalam tempoh tujuh hari dari 12 Oktober hingga 18 Oktober dengan 2,160 kes dilaporkan kes berbanding 1,822 kes pada minggu
sebelumnya.
 
Katanya, terdapat 10 negeri telah mengalami peningkatan kes demam denggi dalam tempoh berkenaan iaitu Selangor, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Terengganu, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor. - Bernama

Hasil penjimatan pergi ke mana?

Posted: 29 Oct 2014 12:07 AM PDT


Lim Guan Eng Lim Guan Eng
 
 
GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggesa Kerajaan Pusat menjelaskan penjimatan yang diperoleh daripada penarikan semula subsidi bahan api akan dipulangkan kepada rakyat ataupun sebaliknya.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, menurut Laporan Ekonomi 2014/2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, penjimatan untuk bahan api setelah subsidi ditarik semula berjumlah RM23.2 bilion untuk tahun ini.

"Oleh demikian, kerajaan negeri ingin tahu, adakah penjimatan RM23.2 bilion itu akan dipulangkan kepada rakyat semula? Sepatutnya, penjimatan itu perlu disalurkan kepada rakyat terutamanya kepada yang memerlukan.

"Kita minta kerajaan Pusat menjelaskan perkara ini kepada semua rakyat supaya mereka tahu, ada penjimatan tetapi tidak disalurkan semula kepada rakyat," katanya kepada media semalam.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng memberi saranan kepada kerajaan Pusat agar mengadakan rundingan dengan rakyat dan persatuan untuk membincangkan mekanisme yang sesuai untuk digunakan dalam usaha melaksanakan skim rasionalisasi subsidi bahan api tahun depan.

Menurutnya, perkara itu perlu diadakan secara menyeluruh bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan serta subsidi yang diperuntukkan diberi kepada golongan yang memerlukan.

"Sekiranya kerajaan ingin melaksanakan mekanisme itu, mereka perlu mengadakan rundingan secara menyeluruh bersama rakyat dan persatuan bagi mengelakkan sebarang penyelewengan serta subsidi dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan.

Sehingga ini, kita masih tidak tahu bagaimana ia (mekanisme) itu akan dilaksanakan. Bagi saya, banyak isu berhubung pelaksanaannya dan apa jaminan kerajaan Pusat bahawa tidak akan berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Adalah lebih baik rundingan dibuat supaya prinsip keadilan, kesaksamaan ekonomi dapat ditegakkan," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengumumkan skim rasionalisasi subsidi bahan api yang akan dilaksanakan tahun depan akan dibahagikan kepada tiga peringkat, bergantung kepada pendapatan bulanan.

Menurutnya, mereka yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan, akan terus menikmati subsidi bahan api manakala yang berpendapatan melepasi RM10,000 tidak layak.

Ahmad Husni berkata, mekanismenya masih dikaji secara terperinci oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPNDKK).

Penyokong Anwar cuba rempuh halangan

Posted: 29 Oct 2014 12:01 AM PDT


Penyokong Ketua Umum PKR,  Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba merempuh halangan polis, pagi ini namun keadaan semakin terkawal dan reda. - Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN Penyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba merempuh halangan polis, pagi ini namun keadaan semakin terkawal dan reda. - Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN
 
 
PUTRAJAYA - Suasana di pekarangan Istana Kehakiman di sini sedikit kecoh apabila penyokong Ketua Umum PKR,  Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba merempuh halangan polis, pagi ini.

Mereka yang mula bergerak dari Masjid Besi jam 8.30 pagi tadi dan berarak menuju ke lokasi perbicaraan Anwar itu sambil melaungkan 'bebaskan Anwar' dan 'reformasi' cuba menimbulkan suasana tegang.

Bagaimanapun pihak polis dengan kerjasama petugas AMK berjaya mengawal keadaan dengan membuat 'tembok manusia' untuk mengelakkan mereka menembusi halangan itu.

Sungguhpun agak kecoh namun keadaan semakin terkawal dan reda apabila beberapa pemimpin PR yang hadir mula memberi ucapan semangat kepada penyokong yang hadir pada hari ini.

Hari ini masuk hari kedua sesi pendengaran rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kes Liwat II: Penyokong Saiful Bukhari Naik Mendadak, Nafi 'Dibayar'

Posted: 28 Oct 2014 11:53 PM PDT

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
 
PUTRAJAYA: Penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan di Istana Kehakiman pada hari kedua prosiding kes liwat Datuk Anwar Ibrahim yang meningkat mendadak hadir dengan perancangan lebih teratur.
  Berbanding hari pertama, kehadiran penyokong Saiful dengan poster dan sepanduk menuntut keadilan dilihat bertambah kira-kira pukul 11 pagi, Rabu.

Sambil itu, mereka turut melaungkan slogan 'Tangkap Anwar', 'Dia Mangsa Kezaliman' dan sebagainya.

Namun, rata-rata mereka menafikan dibayar oleh pihak tertentu untuk datang memberikan sokongan terhadap Saiful.

Seorang surirumah, Rogayah,68, berkata, dia hadir di bangunan Mahkamah Persekutuan pada Rabu kerana mahukan keadilan ditegakkan.

Dia yang datang menaiki bas dari Ampang bersama penyokong lain bertolak pada pukul 8 pagi untuk ke Putrajaya.

"Saya tidak sokong siapa-siapa tetapi hanya menuntut keadilan, tetapi dalam kes ini saya yakin Saiful tidak bersalah dan perlu mendapat keadilan.

"Kami datang dengan kerelaan hati, tidak dibayar oleh sesiapa," katanya.

Seorang lagi penyokong Saiful, Abd Rahman, 59,  menyatakan harapannya agar Anwar dihukum penjara, bagaimanapun sebaliknya yang berlaku, dia tetap menerima keputusan itu dengan hati terbuka.

Dia yang menaiki motosikal dari Sepang turut menafikan dibayar oleh pihak tertentu untuk menyokong Saiful.

"Saya datang secara sukarela, tak ada arahan mana-mana pihak atau mendapat bayaran," katanya.

Ramlah, 69, yang datang menaiki bas dari Pandan berkata, dia adalah seorang yang menyokong keamanan dan keadilan.

"Sebab itulah saya berada di sini dan menyokong Saiful.

"Kedatangan saya tak ada kaitan dengan mana-mana pihak kerana saya datang secara sukarela" katanya.

Kahwin 'China Doll' anak sukar dapat kerakyatan

Posted: 28 Oct 2014 11:50 PM PDT

MALAYSIAKINI


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan 'perkahwinan sementara' individu bukan Islam dengan 'China doll' adalah antara punca anak-anak yang dilahirkan sukar diberi taraf warganegara Malaysia.
  
Beliau berkata selain itu, perkahwinan pasangan Islam di luar negara, yang tidak didaftarkan selepas kembali ke Malaysia, juga menyumbang kepada isu berkenaan.
  
"Ini masalah yang banyak datang kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Kita melihat masalah ini secara satu per satu dan saya mohon supaya kesedaraan keagamaan, dan patuh kepada undang-undang diberi keutamaan supaya anak-anak tidak dimangsakan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
  
Beliau menjawab soalan tambahan Alice Liau Kiong Yieng (DAP-Lanang) mengenai bagaimana kerajaan menangani masalah kanak-kanak tanps bernegara khususnya di Sabah dan Sarawak.

Ahmad Zahid berkata JPN mempunyai unit bergerak yang sentiasa bersedia untuk turun padang dan membantu urusan permohonan kewarganegaraan untuk kanak-kanak berkenaan.
  
Terdahulu, beliau menjelaskan  bukan semua kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia dianugerahkan taraf warganegara Malaysia secara automatik kerana ia bergantung kepada status perkahwinan dan kewarganegaraan ibu bapa.
  
Bagaimanapun, individu di bawah usia 21 tahun yang dijadikan anak angkat termasuk mereka yang memiliki taraf pemastautin tetap boleh memohon kewarganegaraan Malaysia.
  
"Penganugerahan warganegara adalah anugerah tertinggi terhadap seseorang individu dan tidak diberi sewenang-wenangnya. Kita akan buat pertimbangan dan penelitian terperinci, dan hanya akan beri kepada individu yang benar-benar layak," jelasnya.
  
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata seramai 23,628 orang telah dilucut kewarganegaraan Malaysia sejak 1957 hingga kini.
  
Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) mengenai masalah kanak-kanak tanpa bernegara di Sabah, Ahmad Zahid berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah akan mengemukakan laporan siasatannya tidak lama lagi.
  
"RCI telah tamatkan kerja-kerja siasatan. Penyelesaian masalah ini ada terdapat dalam laporan. Jika persoalan itu tidak dipolitikkan, masalah boleh diselesaikan," katanya.- Bernama

Pemuda Umno anjur forum isu sentuh anjing

Posted: 28 Oct 2014 11:48 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata isu berhubung hukum menyentuh anjing perlu dibahaskan secara tertib dan bukannya dengan penghinaan atau kejian.

Beliau berkata demikian dalam pengumumannya berhubung forum bertajuk 'Keterbukaan vs Sensitiviti Lazim' yang akan mengetengahkan penganjur acara kontroversit itu, Syed Azmi Alhabshi.

"Ini adalah perbincangan untuk mendengar semua segi pandangan, Lebih baik dibincangkan dengan cara ilmiah berbanding ugutan atau penghinaan ke atas sesiapa dengan menggunakan bahasa kesat," kata Khairy.

Forum berkenaan dianjurkan oleh Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (Akhi) dan menampil tokoh ulama pergerakan itu, Fathul Bari Mat Jahaya.

Akhi merupakan akademi politik Pemuda Umno yang turut menganjurkan latihan politik ke atas barisan kepimpinannya.

MP: Najib tak terus terang isu hutang 1MDB

Posted: 28 Oct 2014 11:46 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


MP Petaling Jaya Utama Tony Pua mempersoalkan penjelasan perdana menteri berhubung tanggungjawab kerajaan ke atas jaminan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Pua, Datuk Seri Najib Razak tidak menjawab sepenuhnya persoalan sama ada hutang 1MDB, yang kini mencecah hampir RM37 bilion ditanggung oleh pembayar cukai.

Beliau membangkitkan persoalan itu dengan merujuk kepada isu surat sokongan yang dikeluarkan kerajaan bagi mendapatkan dana 1MDB.

Menurutnya, Najib hari ini menyatakan  bahawa kerajaan hanya menjamin sejumlah RM5.8 billion dari hutang 1MDB.

"(Jawapan itu) tidak melibatkan satu surat sokongan yang dikeluarkan oleh kerajaan kepada 1MDB Global Investment untuk mendapatkan pinjaman bernilai RM9.5 bilion, Mac tahun lalu," katanya.

Kenyataannya dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini merujuk kepada jawapan bertulis Najib, yang juga menteri kewangan kepada MP Bagan, Lim Guan Eng.

Perbezaan semantik

Pua berkata surat itu didedahkan dalam satu laporan akhbar mingguan bisnes The Edge pada hari Sabtu lalu.

Menurut laporan itu, surat berkenaan menjelaskan bahawa kerajaan akan membayar sekiranya 1MDB gagal memenuhi tuntutan kewangannya.

"Surat sokongan itu secara jelas menjamin pinjaman itu. Perbezaan antara jaminan dan surat sokongan hanyalah semantik semata," kata beliau.

Beliau menambah bahawa walaupun jaminan kerajaan direkodkan dan diletakkan dalam laporan, surat sokongan tidak akan dimasukkan dalam rekod.

Pua seterusnya membandingkan isu berkenaan dengan skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Katanya, kenyataan oleh peguam negara dalam siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan surat sokongan menteri dan kerajaan adalah sama seperti jaminan.

Kerajaan tanggung hutang?

"Dalam kes ini, kita tahu dari kira-kira RM37 bilion hutang 1MDB, sekurang-kurangnya RM15.4 bilion telah dijamin kerajaan," kata beliau.

Justeru, beliau menuntut agar Najib menyatakan dengan jelas sekiranya kerajaan tidak akan membayar kembali hutang 1MDB itu.

Dalam jawapannya hari ini, Najib antara lainnya mempertahankan kedudukan kewangan 1MDB dan kedudukan kewangan syarikat itu juga didakwa masih kukuh.

Najib juga berkata, sebagai syarikat liabiliti terhad, hal kewangan 1MDB tidak dimasukkan dalam kiraan liabiliti kerajaan, sebaliknya tanggungjawab syarikat itu sendiri.

Peguam: Pendakwa gagal buktikan 'Lelaki Y' adalah Anwar

Posted: 28 Oct 2014 11:40 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
LAPORAN LANGSUNG:

1pm: Ram berkata, Seah bersifat selektif dalam apa yang dilaporkannya sebagai 'stutter' kerana ia boleh mendedahkan banyak lagi pihak sebagai "Lelaki Y"

"Dia (Seah) tidak lapor bacaan tertinggi (peak) yang lain. Dia lapor bacaan tertinggi 13 tetapi tidak 17 dan 18."

Hakim Arifin meminta penangguhan untuk makan tengah hari. Mahkamah akan bersambung pada 2.30 petang.

12.55pm: Ram berkata, alel datang secara berpasangan.

Katanya, Seah datang ke mahkamah tanpa menunjukkan garis panduan daripada jabatan.

"Hasil akhir bahawa dapatannya adalah tidak boleh dipercayai," katanya.

12.45pm: Ram berkata setiap orang mempunyai profil DNA berbeza dan terdapat terdapat kemungkinan kecil, ia dikongsi bersama orang lain.

"Mahkamah tidak dapat menentukan bukti Seah daripada aspek stutter dan peratusan.

"Beberapa dokumen ini tidak tersedia kepada pembelaan untuk soal balas."

Katanya, 12 sampel diambil daripada Saiful dan ditanda oleh Dr Siew Shueu Feng daripada JKL.

Ia meliputi bahan uji daripada rektum, perianal, rektum tinggi dan rektum rendah.

12.40pm: Beberapa anggota parlimen Pakatan Rakyat tiba di mahkamah, antara mereka Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Johari Abdul (Sungai Petani).

Ram kemudian berhujah berkaitan alel (allele) dan stutter yang diamalkan oleh Jabatan Kimia.

"Ia belum diiktiraf sejak 2005," katanya.

Dua ahli kimia memberi keterangan dalam perbicaraan sebelum ini, iaitu Dr Seah Lay Hong dan Noraidora Saedon.

12.25pm: Ram Karpal berkata terdapat "Lelaki Y" dalam sampel yang ditemui dan ini seterusnya dikaitkan dengan sampel DNA yang diambil dari sel lokap Anwar.

Beliau berkata pihak pendakwa gagal membuktikan tanpa keraguan bahawa "Lelaki Y" adalah perayu.

12.15pm: Sangeet berhujah bahawa terdapat satu siri dokumen yang tidak diberikan kepada pihak pembelaan.

Beliau berkata tidak ada asas bagi hakim untuk menolak permohonan pihak pembelaan untuk mendapatkan dokumen tersebut bagi memastikan ada kedudukan yang sama.

Pada peringkat awal perbicaraan, Hakim Zabidin tidak membenarkan pihak pendakwaan untuk menyediakan dokumen-dokumen tersebut.

Sangeet berhujah bahawa tidak ada perbicaraan yang adil dan penangkapan itu dibuat secara tidak sah.

Sekarang Ram Karpal mula berhujah mengenai DNA.

12.02pm: Sangeet berkata waran tangkap asal yang dikemukakan semasa perbicaraan utama adalah tidak sah.

Katanya, waran itu hanya dikeluarkan di balai (polis) dan menambah bahawa hakim silap apabila memutuskan untuk menerima bukti itu semasa perbicaraan utama berdasarkan dokumen yang sama (iaitu waran tangkap asal).

Oleh itu, katanya, perolehan (tiga) barangan tersebut juga harus dianggap sebagai haram.

11.45am: Sangeet berkata ada bukti (langsung) lain yang pihak pendakwa telah dan ia tidak seharusnya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan (circumstantial evidence).

Pihak pendakwaan, katanya, tidak boleh bergantung kepada perbicaraan utama untuk membantah apa yang berlaku dalam 'bicara dalam perbicaraan'.
11.35pm: Sangeet berkata, hakim perbicaraan memutuskan bahawa barang-barang itu diperoleh dengan tujuan tidak adil.

Katanya, keputusan awal dibuat ketika beliau memilih menggunakan budi bicara tetapi perbicaraan utama menerima bukti-bukti itu.

"Kemasukan barang itu melalui cara tidak sah," katanya.

Hakim Mohd Zabidin pada mulanya tidak menerima tiga barang itu – tuala, berus gigi dan botol air – sebagai bukti semasa perbicaraan dalam perbicaraan tetapi berubah selepas itu.

10.47am: Bagaimanapun, Hakim Arifin berkata, memperoleh bukti secara tidak sah juga diterima di Malaysia.

Sangeet berkata, pihak perayu ditahan di Jalan Segambut dan bertemu Jude di balai polis kira-kira ham 8 malam dan dibawa ke HKL.

"Anwar enggan beri DNA dia di hospital. Dia menggunakan hak yang dijamin perlembagaan untuk tidak berbuat demikian.

"Keseluruhan prosedur adalah salah kerana ia bertentangan dengan peraturan lokap (kerana tahanan harus berada dalam lokap sebelum jam 6 petang)."

Sangeet berkata, polis menahan Anwar semalaman ketika mereka tahu mereka berada di sana hanya untuk merakamkan kenyataan.

Tetapi, kata Sangeet, Anwar diberika tiga barang itu dan kemudian dikeluarkan secara berhati-hati.

10.45am: Peguam bela Sangeet berkata, tiga barang itu diperoleh secara tidak sah melalui muslihat dan penipuan manakala tangkapan pula tidak sah.

"Terdapat tangkapan tetapi waran hanya dikeluarkan oleh IPK KL. Taufik kata tangkapan dibuat berdasarkan Seksyen 377B (Kanun Keseksaan)."

Sangeet berkata, hakim pada mulanya membuat keputusan menyebelahi mereka dengan tidak menerima tiga barang itu.

"Beliau memutuskan barang-barang itu digunakan secara tidak adil."

10.40pm: Sangeet berkata, perbicaraan dalam perbicaraan diadakan untuk menentukan kebolehterimaan tiga barang itu.

"(Peguam pembelaan) Sankara Nair dan R Sivarasa memberi keterangan dan mereka menceritakan bagaimana kereta Anwar diserbu (polis) ketika tahanan.

"Seorang superintenden Taufik memberi keterangan bahawa dia mendapat arahan untuk menangkap Anwar.

"Tiada alasan diberikan oleh Taufik untuk membuat tangkapan, yang memberi keterangan sebagai satu-satunya saksi dalam pendakwaan," kata Sangeet.

10.30am: Sangeet berkata 'Lelaki Y' boleh jadi sesiapa sahaja dan tidak semestinya Anwar.

Sangeet berkata, semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, penyiasat di tapak berlaku jenayah Supt Amidon diminta memberikan bukti dan timbalan pendakwaraya (DPP) meminta tiga barangan itu diserah.

"Bagaimanapun (ketua pembelaan ketika itu) Karpal Singh membantah. Penerimaan tiga barang itu adalah salah. Mahkamah Tinggi tidak mahu menerima barang-barang itu.

"Bagaimanapun, hakim menyemak semula permohonan sejurus sebelum pendakwaan menutup kes."

10.20am: Hakim Abdull Hamid bertanya, bilakan botol itu diberikan. Sangeet berkata ia diberi ketika soal siasat.

10.15am: Hakim Arifin bertanya sama ada terdapat sebarang barang ditinggalkan dalam sel sebelum Anwar memasukinya.

Peguam pembelaan Sangeet merujuk diari lokap yang menyebut ia kosong dan tiada tahanan lain.

Seorang lagi panel, Hakim Md Raus berkata, ketiga-tiga barang itu diberikan kepada Anwar tetapi Sangeet bertanya kembali sama ada ia digunakan oleh dia.

10.10am: Peguam pembelaan Sangeet berkata, penghakiman Mahkamah Tinggi menyatakan pegawai polis melihat Anwar menggunakan toilet sel dan memberus gigi pada 17 Julai 2008.

Bagaimanapun, kata Sangeet, pegawai polis itu hanya mendengar dan tidak melihatnya sendiri.

10.05pm: Sangeet, diari lokap menyatakan Anwar tidur pada waktu malam, bangun dan bersandar pada palang lokap sebelum mengambil air sembahyang dan bersembahyang sunat.

Anwar ditahan pada 16 Julai 2008 selepas pergi ke Hospital Kuala Lumpur dan tidur semalam di lokap ibu pejabat polis Kuala Lumpur.

"Terdapat bukti langsung dan pendakwaan tidak boleh bergantung kepada bukti keadaan ketika terdapat bukti langsung."

10am: Sangeet berkata, berus gigi, sabun dan tuala diberikan kepada Anwar semasa di dalam lokap.

Sangeet berhujah, tiada sebarang bukti daripada saksi polis menunjukkan bahawa Anwar menggunakan barang-barang itu.

"Diari lokap hanya menyatakan Anwar berada dalam penjara dan bersembahyang pada waktu pagi," katanya,

"Tuala Good Morning", berus gigi dan botol air mineral didakwa digunakan oleh polis bagi mendapatkan DNA Anwar tanpa pengetahuannya.

9.50am: Peguambela Sangeet Kaur Deo pula memulakan penghujahannya.

Katanya, peguam utama Gopal Sri Ram berhujah bahawa Saiful bukan saksi berwibawa.

angeet menegaskan tindakan Mahkamah Rayuan mendapati Saiful sebagai saksi berwibawa tidak boleh dipertahankan kerana dia tidak membuat pengakuan.

Sangeet berkata, DNA daripada Anwar diperoleh daripada sel tempat dia ditahan sebelum ini.

Pendakwaan, katanya, gagal menghubungkan "male Y" kepada kes itu.

"Mahkamah Rayuan tidak boleh bergantung kepada keadaan di mana bukti langsung datang daripada pengakuan pegawai polis yang menjaga sel itu," katanya.

9.45am Surendran memulakan penghujahan dengan memetik kenyataan pelbagai pihak berhubung keadaan daripada kandang tertuduh yang turut memberi kesan.

Anwar satu-satunya pihak yang memberi kenyataan daripada kandang tertuduh, yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati beliau tidak bersalah sebelum ini.

Tertuduh mempunyai tiga pilihan untuk pembelaannya sama ada memberi keterangan daripada kandang saksi, berdiam diri atau memberi kenyataan tidak bersumpah daripada kandang yang tidak boleh disoal balas.

"Mahkamah patut mempertimbangkan kenyataan Dr Mohd Osman yang bertentangan dengan Saiful. Mahkamah Rayuan patut mengambil kira kekuatan pengakuan Anwar di mahkamah yang mana ia sepenuhnya tidak endahkan.

"Ini menyebabkan penyalaharahan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Persekutuan," kata Surendran.

9.40am: Mahkamah mula bersidang selepas ketua hakim negara mengambil tempat.

9.30am: Shafee tiba.

Anggota Parlimen Sepang Mohd Hanipa Maidin yang juga seorang peguam turut berada dalam mahkamah.

Turut kelihatan naib presiden dan setiausaha agung PKR Rafizi Ramli.

9.20am: Mahkamah kini padat dan pihak tidak mendapat pas masuk diminta keluar.

Peguam utama Anwar Gopal Sri Ram semalam membayangkan beliau akan tiba lewat hari ini dan membenarkan peguam lain menjalankan penghujahan terlebih dahulu.

Peguam pendakwaan Tan Sri Shafee Abdullah dijangka tiba tidak lama lagi.

Prosiding mahkamah dijangka bermula 9.30 pagi.

9.00am: Keadaan sedikit kecoh ketika Anwar ingin memasuki kawasan Istana Kehakiman apabila penyokong mula menolak kembali pagar halangan.

Bagaimanapun pihak polis segera membuka pagar tersebut bagi memberi laluan kepada Anwar dan menghalang orang awam daripada melepasi pagar tersebut.

Anwar yang berbaju kemeja putih dan kot hitam ditemani isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dua orang anak perempuannya kemudian melambai kepada penyokong sebelum memasuki mahkamah.

8.57am: Anwar tiba di perkarangan Istana Kehakiman untuk bertemu penyokong sebelum menghadiri sesi pendengaran rayuan kes liwat II.

Kesemua penyokong kini mula mengerumuni Anwar untuk bersalaman dan bergambar dengannya.

8.50am: Naib Presiden PKR Tian Chua kini berucap di hadapan penyokong Anwar.

Tian berkata, beliau sebentar tadi telah cuba meminta kebenaran daripada pihak polis untuk berhimpun di hadapan Istana Kehakiman tetapi tidak dibenarkan.

"Tadi saya minta untuk berada berdekatan dengan mahkamah. Hari ini kita lagi jauh. Hari ini kita diarah untuk berada di belakang sini.

"Kita minta supaya kita berada di depan mahkamah untuk lakukan himpunan tapi polis tak benarkan," kata Tian.

Turut hadir pada perhimpunan hari ini ialah Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Kesemua penyokong pro-Anwar kini dianjak kira-kira beberapa meter ke belakang berbanding semalam.

Jarak penyokong berhimpun daripada Istana Kehakiman kira-kira 300 meter.

8.40am: Peguam wakili Anwar mulai masuk ke mahkamah. Antara mereka Eric Paulsen, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal.

Wartawan pula duduk di bahagian kiri mahkamah sementara pemerhati antarabangsa, yang mula sampai, di sebelah kanan.

Semalam, hari permulaan pendengaran rayuan akhir, dewan mahkamah padat dengan kira-kira 80 orang hadirin, termasuk wartawan, pemerhati dan penyokong Anwar.


8.38am: Ketika tiba di perkarangan Istana Kehakiman, penyokong mula menolak pagar halangan yang diletakkan oleh Perbadanan Putrajaya bagi menghalang orang ramai daripada memasuki mahkamah.

Mereka mula menarik pagar halangan itu dengan menjerit "tolak".

Bagaimanapun pasukan polis menahan pagar berkenaan daripada dirempuh.

Seramai kira-kira 50 orang anggota polis mengawal di pagar halangan.

Selepas itu, keadaan mulai terkawal selepas Nik Nazmi meminta supaya semua penyokong bertenang.

8.25am: Kira-kira 300 orang berpakaian kemeja-t merah dan hitam, diketuai pemimpin PKR Nik Nazmi Ahmad dan Tian Chua berarak daripada Masjid Tuanku Mizan ke Mahkamah Kehakiman tidak jauh daripada tempat itu.

Mereka membawa kain rentang bertulis "Rakyat Hakim Negara" dan plakad "Keadilan untuk Anwar".

Kira-kira 200 orang lagi berkumpul di kompleks mahkamah.

8.20am: Sudah berada di dewan mahkamah ialah timbalan ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Hanafiah Zakaria dan peguam Saiful Zamri Idrus.

8:05am: Kakitangan mahkamah tiba awal dan mereka melalui sekatan yang dibuka oleh polis di pintu masuk belakang kompleks mahkamah.

Beberapa ahli politik PKR dan PAS yang sudah berada di dalam bangunan. Ia termasuk MP Kelana Jaya Wong Chen, Naib Presiden PAS Sallehuddin Ayub, Ketua Penerangan PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, ADUN Batu Buruk Syed Azman Syed Mohamad dan bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

8.00am: Jumlah penyokong di luar Masjid Mizan Zainal Abidin Tuanku semakin ramai dan kini mencecah 100. Antara mereka ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad dan aktivis Hishamuddin Rais dan Adam Adli.

Adam dan empat orang lain bermain muzik untuk memberi semangat kepada orang ramai pada awal pagi.

Turut kedengaran teriakan 'Allahuakhbar', 'Reformasi' dan 'Bebas Anwar'.

7.20am: Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berkumpul di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di seberang jalan dari Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di negara ini.

Antara mereka ialah anggota NGO Royalti dari Kelantan. Yang lainnya datang dari Kedah dan Pulau Pinang semalam dengan menaiki bas sewa khas.

Ramai yang menjangkakan keputusan dibuat hari ini walaupun prosiding boleh berlarutan sehari lagi atau lebih.

Sepertimana semalam, kelihatan kehadiran anggota polis yang ramai dan kawalan keselamatan yang ketat dengan sekatan di jalan-jalan utama menuju ke kompleks mahkamah.

Latar kes

Rayuan terakhir terhadap sabitan kes liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersambung hari ini di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.

Pasukan pembelaan akan turut merayu terhadap hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar dan pendakwaan akan membuat rayuan balas untuk memanjangkan tempoh penjara terhadap ketua pembangkang.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria mengetuai panel lima anggota dalam perbicaraan yang turut menyaksikan kehadiran pemerhati antarabangsa di samping sambutan luar biasa hadirin dalam mahkamah.

Paling mengejutkan semalam apabila bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram yang bersara pada 2010, mengepalai pasukan pendakwaan Anwar.

Beliau menggantikan peguam Datuk Sulaiman Abdullah yang tidak sihat.

Gopal semalam menyampaikan hujahnya dengan mencabar kewibawaan Mohd Saiful Bukhari Azlan sebagai saksi utama.

Peguam pembelaan N Surendran akan meneruskan hujahnya hari ini.

[Laporan penuh menyusul]

  Laporan oleh Hafiz Yatim, Zulaikha Zulkifli dan Koh Jun Lin.
 

 

Tiada ulasan: