Rabu, 1 Oktober 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


MB umum penjenamaan baru portfolio Exco

Posted: 01 Oct 2014 08:16 AM PDT

MALAYSIAKINI


Barisan Exco baru Menteri Besar Azmin Ali mengumumkan barisan exco barunya dengan penjenamaan baru beberapa portfolio Exco negeri.

Azmin turut mencantumkan beberapa portfolio untuk tingkatkan prestasi dan jamin produktiviti Exco terbabit.

Beliau memberi contoh Exco kanan Datuk Teng Chang Kim dan Iskandar Ab Samad yang memegang portfolio yang baru dijenamakan dan dicantumkan.

Teng kini memegang portfolio baru iaitu Perindustrian (Industri Kecil & Sederhana) dan Perdagangan di sampig melepaskan portfolio Kerajaan Tempatannya.

"Datuk Teng Chang Kim sebelum ini tumpukan kepada perindustrian  pelaburan. Kita rasakan IKS ini sesuatu yang penting untuk jana pertumbuhan ekonomi Selangor.

"Dengan pengalaman dan kepakarannya, beliau ada boleh membantu pertumbuhan negeri," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

Sementara itu Iskandar pula mendapat portfolio yang dijenamakan semula iaitu Kehidupan Bandar yang sebelum ini dikenali sebagai Peneroka Bandar.

Di bawah adalah senarai penuh Exco Selangor dan portfolio mereka.

 

Elaun MB, exco S'gor akan dikaji semula

Posted: 01 Oct 2014 08:02 AM PDT

MALAYSIAKINI

 


Menteri besar dan exco Selangor bakal mengusulkan untuk mengkaji kenaikan elaun yang dinaikkan secara kontroversi tahun lalu.

Bagaimanapun menteri besar Azmin Ali menyatakan kajian itu hanya melibatkan empat jawatan tertinggi iaitu jawatan beliau, exco, speaker serta timbalan speaker dewan undangan negeri.

"Kami putuskan untuk kaji semula kenaikan elaun yang diputuskan pada 22 November 2013.

"Usul itu akan dikemukakan dalam sidang dewan November ini," kata beliau dalam sidang media selepas mesyuarat exco pertamanya di Shah Alam hari ini.

Bagaimanapun beliau nampak berdolak-dalik beberapa kali apabila wartawan berulang-kali menyoal sama ada kajian itu bakal memotong elaun sebelum ini atau tidak.

"Ya, potong (elaun)," kata beliau.

Kenaikan sebelum ini diusulkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendapat kritikan dari rakyat kerana elaun beberapa jawatan seperti speaker naik sehingga 300 peratus.

Azmin yang ketika itu menjadi ketua whip DUN antara paling lantang meminta kajian semula dilakukan.

Bagaimanapun kesemua ADUN lain yang turut mendapat kenaikan elaun tidak diusik kerana kenaikan itu dirasakan berpatutan oleh Exco. 



"Kita merasakan kenaikan itu berpatutan aesuai dengan tanggungjawab yang mereka galas," kata beliau

Taklimat Air KDEB esok

Sementara itu, Azmin turut mengumumkan akan kerajaan negeri akan mendapatkan taklimat daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) berhubung penstrukturan semula industri air negeri.

Beliau berkata KDEB akan hadir ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) esok untuk sesi pertama sejak perjanjian induk pengambilalihan konsesi air dimeterai bulan lalu.

"Buat masa ini, keutamaan kita adalah penstrukturan air. Kita perlu tengok perjanjian terlebih dahulu," katanya.

Faekah dakwa k'jaan S'gor beku peruntukan Khalid

Posted: 01 Oct 2014 07:58 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Pegawai Khas ADUN Pelabuhan Klang Faekah Hussin menganggap pentadbiran Menteri Besar Selangor Azmin Ali memulakan "langkah sumbang" apabila mendakwa kerajaan negeri mengarahkan bank membekukan akaun bantuan negeri kepada kawasan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Faekah mendakwa Azmin mengarahkan Bendahari Negeri Selangor meminta bank membekukan akaun bank Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi parlimen Bandar Tun Razak dan DUN Pelabuhan Klang pada 25 September lalu.

"Nampaknya Menteri Besar baru mahu menghukum bukan sahaja Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi seluruh rakyat di Pelabuhan Klang dan Bandar Tun Razak.

"YAB Azmin Ali memulakan karier dengan langkah sumbang dan akan menghancurkan sifat hormat rakyat dan pegawai kerajaan kepada pemimpin negeri," kata Faekah yang juga bekas ketua pegawai eksekutif MBI.

Dalam kenyataannya Faekah menganggap tindakan itu sebagai "tindakan keras dan politik dendam" kepada Khalid yang berkhidmat kepada rakyat, parti dan Pakatan Rakyat sebelum ini.

"Tindakan keras sebegini tidak pula dilakukan kepada Umno tetapi kepada rakan sekutu yang telah sama-sama berjuang untuk rakyat dan amat menyedihkan tindakan ini dilakukan terhadap bekas menteri besar yang selama ini bertungkus lumus memperkasa program-program kebajikan rakyat di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

"Ternyata segala jasa-jasa Tan Sri Khalid selama lebih enam tahun menerajui Selangor dilupakan begitu sahaja kerana politik dendam yang disemai oleh menteri besar baru," katanya.

SMUE diperkenalkan oleh pentadbiran Khalid pada 2008 sebagai bantuan dan khairat kematian kepada keluarga warga tua yang meninggal dunia bertujuan mengurangkan beban kewangan keluarga.

Ia terbuka kepada semua warga Selangor atau rakyat yang lahir di Selangor termasuk Kuala Lumpur sebelum dijadikan Wilayah Persekutuan pada 1974.

Tahun lalu skim itu diluaskan pula kepada program 'Jom Shopping' memberi belanja RM 100 kepada warga tua sekitar Selangor.

Sehingga kini lebih RM 11 juta telah diberikan di bawah SMUE.
 

Banjir kilat landa KL, kereta tenggelam

Posted: 01 Oct 2014 07:51 AM PDT

MALAYSIAKINI




 
 
 
Banjir kilat melanda di tengah bandar Kuala Lumpur petang ini tatkala warga kota mula bergerak pulang dari pejabat.

Laporan dan gambar banjir mula terbit di media sosial selepas jam 5 petang semasa hujan turun dengan lebat kira-kira sejam.

Menurut akaun twitter Star Radio @mytraffic jalan yang dibanjiri termasuk Jalan Sultan Ismail, Jalan Chan Sow Lin, stesen LRT Jelatek dan terowong bulatan Cheras.

Sementara itu akhbar tabloid bahasa Melayu Kosmo, dalam tweet mereka menyatakan lebih 100 kenderaan rosak ditenggelami air di Jalan Pinang.

Jalan lain yang dilaporkan banjir termasuk Jalan Ampang dan sekitar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Beberapa pengguna media sosial mengeluh kerana banjir kilat ini berlaku masa sama dengan kenaikan harga minyak tengah malam ini.

"Harga minyak naik, air banjir naik, kemarahan rakyat naik (tapi) ranking bola sepak tak naik.

"Semua salah (Ketua Umum PKR) Anwar Ibrahim," kata tweet dari @DeeyaHazard yang merujuk kegemaran Anwar menyindir pengkritiknya yang selalu menyalahkan beliau dalam pelbagai perkara dan masalah.

Satu lagi pengguna Twitter, @beautifulnara menulis,"Sudahlah banjir, sekarang nak kena beratur untuk isi minyak. Dugaan."
 

Harga petrol RON95, diesel naik 20sen

Posted: 01 Oct 2014 07:46 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Harga minyak petrol RON95 dan diesel akan naik 20sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Mulai 12.01 tengah malam ini, RON95 akan dijual pada harga RM2.30 seliter dan diesel pula RM2.20.

Sekarang ini RON95 dijual pada harga RM2.10 seliter dan diesel pula RM2.

Penyelarasan harga itu dibuat ekoran pengurangan subsidi sebanyak 20sen.

Perkara itu diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui kenyataannya hari ini.

 

"Walaupun dengan pengurangan kadar subsidi ini, kerajaan menganggarkan masih perlu membelanjakan lebih RM21 bilion bagi subsidi petrol RON95, diesel dan LPG untuk tahun 2014," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, kerajaan sedar bahawa langkah itu memberi kesan ekonomi kepada masyarakat.

Justeru, jelas kementerian, kerajaan akan terus menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk meringankan beban rakyat, terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Sehubungan itu, salah satu langkah yang akan diambil oleh kerajaan adalah untuk menaikkan kadar pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang akan diumumkan dalam Bajet 2015," menurut KPDNKK.

Antara langkah-langkah lain dipertimbangkan untuk meringankan beban rakyat, termasuk:

  • Meneruskan bantuan persekolahan, subsidi harga rumah serta insentif percukaian.
     
  • Memastikan barangan keperluan harian dijual pada harga berpatutan dan mengambil tindakan tegas ke atas golongan yang mengaut keuntungan berlebihan.

PEMBERITAHAUN

Posted: 01 Oct 2014 07:32 AM PDT

DIALOG RAKYAT  gagal dikemaskini sejak beberapa hari lalu berikutan internet terlibat ganggungan/ kerosakan bekalan sistem dasar laut Telekom Malaysia. Harap maaf .

Tiada ulasan: