SIASAH |
Apa yang sedang berlaku di Yaman? Posted: 25 Sep 2014 09:51 PM PDT Oleh HARIS ZALKAPLI Apa yang sedang berlaku di Yaman berkait langsung dengan perubahan kepimpinan dan aliansi selepas kebangkitan massa yang akhirnya menyebabkan Presiden Ali Abdullah Saleh yang telah memerintah selama 33 tahun diundurkan. Perkembangan ini turut berkait langsung dengan persaingan kuasa-kuasa serantau Asia Barat, yang juga dikesankan oleh kebangkitan rakyat yang bermula pada 2011. Konflik yang telah berlangsung sejak hujung tahun lalu ini juga berkait dengan kepentingan kuasa-kuasa serantau di sana, yang lebih meluas daripada persaingan proksi antara Arab Saudi dan Iran - atau Sunni dengan Syiah - seperti yang dilihat oleh sesetengah pihak. Banyak pihak terlibat dalam krisis terbaharu ini, walaupun tumpuan banyak diberikan pada kumpulan pemberontak Houthi yang beraliran Syiah Zaidiyah dengan kubu kuat di utara Yaman bersempadan dengan Arab Saudi. Politik Yaman kuat dicorakkan oleh kuasa puak-puak berpengaruh yang menguasai kerajaan sejak pemerintahan Syiah Zaidiyah ditamatkan dan Yaman muncul sebagai sebuah negara republik, satu-satunya di Semenanjung Arab. Aliran Zaidiyah yang disebut hakikatnya bukan garis pemisah atau penentu paling utama - walaupun tidak dinafikan peranan pentingnya - seperti tanggapan sesetengah pihak, kerana Houthi turut mendapat sokongan Sunni, dan Ali Abdullah yang memerangi Houthi selama pentadbiran beliau juga bermazhab Syiah Zaidiyah. Selain Houthi, kumpulan lain yang terlibat termasuk kelompok Salafi yang mempunyai pengaruh kuat di Yaman selama ini, dan Ikhwan al-Muslimin, yang bersama Salafi dan keluarga berpengaruh al-Ahmar - keluarga paling kuat dalam gabungan puak Hashid - membentuk Parti Islah yang ditubuhkan pada 1990, sekutu kuat Presiden Ali Abdullah sehingga beliau berundur. Salafi mempunyai pengaruh kuat di Yaman hasil hubungan baik dengan kerajaan Ali Abdullah dan kerajaan Saudi, yang menggunakan mereka sejak sekian lama untuk menangani pesaing seperti Parti Sosialis Yaman - yang menguasai Yaman Selatan sehingga penyatuan pada tahun 1990 - dan kumpulan-kumpulan lain. Salafi, dipimpin Abdul Majid al-Zindani merupakan seteru kuat Houthi, yang menjadi satu punca tindakan keras Houthi terhadap Universiti al-Iman, pusat kegiatan Salafi dan dikaitkan juga dengan al-Qaeda, yang kini menjadikan Yaman sebagai salah satu pangkalannya. Houthi terlibat dalam konflik bersenjata dengan kerajaan, terbaharu sejak 2004 hingga 2011, dan berhasil mencapai matlamat mereka sedikit demi sedikit terutama melibatkan wilayah dikuasai. Perkembangan terkini menyaksikan Houthi mendapat kelebihan paling besar. Islah yang kini dikuasai Ikhwan memainkan peranan penting dalam menjatuhkan Ali Abdullah hasil kebangkitan yang bermula pada 2011, menjadi satu sebab permusuhan bekas presiden itu terhadap Islah. Islah menjadi broker penting dalam perjanjian mengundurkan Ali Abdullah - yang turut melibatkan Arab Saudi, pihak yang membantu presiden itu berundur dengan selamat - dan menyerahkan jawatan presiden kepada orang nombor dua, Abd Rabbuh Mansur Hadi. Ikhwan yang tidak berpuas hati dengan aturan itu, hingga menjejaskan hubungan Islah dengan Riyadh dan mendorong Qatar berusaha melebarkan pengaruh di Yaman bermula 2011 dengan memberikan sokongan kepada Islah, selari dengan dasar menyokong Ikhwan di Mesir dan Syria sepanjang kebangkitan. Bermula 2011, Islah merapatkan diri dengan Qatar dan Turki, dua pemain serantau yang mempunyai agenda untuk meluaskan pengaruh di seluruh rantau Arab, dan pada sekaligus melebarkan lagi jurang dengan sekutu lama Arab Saudi. Ali Abdullah turut memusuhi keluarga al-Ahmar, setelah dikhianati oleh Jeneral Ali Mohsen al-Ahmar semasa kebangkitan yang akhirnya menjatuhkan Ali Abdullah. Puak Ali Abdullah dan keluarga al-Ahmar kedua-duanya daripada puak yang sama, Sanhan, dan kedua-duanya mempunyai pengaruh masing-masing dalam gabungan puak Hashid. Persaingan Ali Abdullah dengan keluarga al-Ahmar - walaupun mengekalkan kerjasama demi kepentingan kuasa - sejak sekian lama akhirnya menjadi permusuhan yang jelas ekoran perubahan politik yang dramatik pada 2011. Pemberontak Houthi berkongsi kepentingan dengan Ali Abdullah dan penyokongnya dalam hal Islah dan keluarga al-Ahmar, yang menjadi penentang kuat Houthi selama ini. Hal ini menyebabkan Ali Abdullah dilihat berperanan aktif dalam membantu kemaraan Houthi ke Sanaa dan keupayaan menguasai ibu negara dalam masa sebulan tanpa tentangan yang setara. Kepentingan yang pelbagai dilihat dalam krisis terbaharu ini, yang memperlihatkan pihak yang tidak sehaluan selama ini berkongsi kepentingan yang sama, seperti Tehran dan Riyadh yang masing-masing mendapat manfaat melalui peningkatan pengaruh Houthi dan pengunduran Ikhwan al-Muslimin. Saudi mengetuai kempen serantau bersama Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait dalam mematahkan kemaraan Ikhwan yang disokong Qatar, sebelum ini di Mesir dan kini di Yaman. Pengaruh Saudi merosot di Mesir dan Yaman ekoran perubahan politik sepanjang kebangkitan yang bermula pada 2011, tetapi perkembangan di Mesir dan Yaman membantu memelihara kembali kepentingan Riyadh. Perkembangan terbaharu di Yaman ini bakal membawa implikasi yang berpotensi memanjangkan lagi pertembungan, mengundang reaksi balas yang keras daripada kumpulan-kumpulan yang melihat kebangkitan Houthi - dan kepentingan Syiah Zaidiyah serta perluasan pengaruh Iran yang dikaitkan dengannya - sebagai satu ancaman besar. Perjanjian yang dicapai membuka ruang kepada satu proses pemulihan dan pembinaan negara yang baharu, tetapi rasa tidak puas hati antara pihak yang bermusuh selama ini dijangka akan terus kekal. Hal ini jelas dapat diperhatikan berdasarkan kelebihan yang diperolehi oleh Houthi hasil perjanjian yang telah dicapai, yang memberikan pihak Houthi perkara-perkara penting yang menjadi tuntutan mereka termasuk lebih diwakili dalam pemerintahan baharu, termasuk suara dalam pemilihan perdana menteri. Pada masa sama, situasi tidak stabil yang telah berlarutan sejak sekurang-kurangnya lima tahun lalu bakal menyuburkan lagi elemen militan di negara itu, yang menjadi semakin meluas ekoran peningkatan aktiviti bersenjata kebelakangan ini. Politik identiti yang dibawa oleh pemberontak Houthi, golongan Salafi yang semakin tercabar dan cuba dipinggirkan, dan pemain-pemain penting daripada puak-puak dan keluarga-keluarga berpengaruh yang turut tergugat bakal meningkatkan elemen sektarian dalam kekacauan di Yaman. Persaingan antara kuasa-kuasa serantau juga mampu menjadi lebih sengit, apabila pihak-pihak bertelagah kini mempunyai keperluan yang lebih besar untuk menharapkan sokongan daripada pihak yang sedia membantu, terutama kuasa-kuasa serantau yang memiliki kemampuan kewangan dan bantuan lain termasuk senjata. - September 25, 2014 |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan