Isnin, 8 September 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Wan Azizah: "Saya sedikit terguris dengan serangan peribadi..."

Posted: 08 Sep 2014 03:28 AM PDT


[Malaysia Kini] Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui beliau sedikit terguris dengan kritikan dan "serangan peribadi" yang dibuat presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap beliau.

Bagaimanapun beliau tidak marah dan menganggap komen bahawa beliau "tidak berkelayakan" menjadi menteri besar, sebagai teguran dan meminta ahli partinya tidak membuat sebarang kenyataan balas.

"Saya sedikit terguris dengan serangan peribadi yang dibuat terhadap saya walaupun saya menghormati pendapat Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai kebolehan dan kemampuan saya.

"Walau bagaimana pun, tidak timbul kemarahan dan saya menerimanya sebagai teguran agar boleh memperbaiki diri Insya-Allah," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. -8/9/14


P/s: Mulia hati wanita ini. Inilah akhlak seorang pemimpin.

Walaupun diaibkan oleh geng Pak Lebai, ramai percaya wanita ini mampu membuktikan keupayaannya sekaligus menepis tohmahan berdasarkan persepsi yang menjatuhkan maruahnya semalam.

Salut #kakwan #WAWI #wanazizah


KENYATAAN MEDIA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam reformasi.

Saya mendoakan kesejahteraan dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia. Sebuah masyarakat yang melalui kemajuan dan kematangan akan terus berhadapan pelbagai ujian dan beberapa perkembangan politik yang berlaku akhir-akhir ini adalah sebahagian dari proses itu.

Saya sedikit terguris dengan serangan peribadi yang dibuat terhadap saya walaupun saya menghormati pendapat Dato' Seri Abdul Hadi Awang mengenai kebolehan dan kemampuan saya.

Walau bagaimana pun, tidak timbul kemarahan dan saya menerimanya sebagai teguran agar boleh memperbaiki diri InsyaAllah.

Oleh itu, saya menasihati semua supaya tiada lagi sebarang kenyataan balas dibuat berhubung kenyataan Dato' Seri Abdul Hadi Awang itu. Fokus kita sewajarnya bersatu membela rakyat dari pelbagai tindakan Umno/Barisan Nasional yang menekan rakyat.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan keluarga atas jasa beliau dan bantuan kepada saya sejak tahun 1999 lagi. Saya juga tidak akan lupa budi baik pimpinan dan anggota PAS yang lain yang banyak membantu saya dan keluarga.

Saya mendoakan Dato' Seri Abdul Hadi Awang dipanjangkan umur dan seluruh perjuangan kita dibantu Allah SWT dan diberikan kemenangan.

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

8 September 2014

Pelajar IPT Cuba Setubuh Luar Nikah Didenda

Posted: 08 Sep 2014 03:22 AM PDT

Sekadar hiasan.

[Harian Metro] Kuala Terengganu: "Sebagai seorang yang terpelajar, perbuatan tidak bermoral itu tidak sepatutnya dilakukan tertuduh yang sudah bijak berfikir dan membezakan baik buruk sesuatu perkara," kata Hakim Tinggi Syarie Rosdi Harun dalam penghakiman sebelum menjatuhkan hukuman denda RM2,300 terhadap seorang remaja perempuan yang didapati bersalah terhadap pertuduhan cuba melakukan persetubuhan luar nikah pada Jun tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 18 tahun selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Rosdi turut menjatuhkan hukuman penjara dua bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan satu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah dengan pasangannya, Muhamad Azmil Mohd Zalzali, 20, di dalam sebuah kereta di kawasan Taman Awam Pulau Warisan, di sini, pada jam 6.50 petang, 5 Jun 2013.

Sebelum ini, Muhamad Azmil yang bekerja sendiri dan berasal dari Marang dikenakan hukuman denda RM2,800 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof manakala tertuduh diwakili peguam syarie Nurul Aini Abd Malik. - 8/9/14


Lelaki Tidak Mengaku Salah Empat Tuduhan Rogol Anak

Posted: 08 Sep 2014 03:20 AM PDT



[Harian Metro] Kuala Terengganu: Seorang bapa kepada lima anak mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan merogol anaknya sejak mangsa berusia 13 tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Terdahulu, tertuduh yang berusia 41 tahun dan bekerja sebagai jurujual mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram terhadap mangsa yang kini berusia 16 tahun tujuh bulan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun lima bulan di bilik tidur di sebuah rumah di Besut, pada jam 2 pagi, 19 Jun 2011.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh mengulangi kesalahan sama terhadap mangsa di alamat sama pada jam 2 pagi, 20 Jun 2011.

Dalam pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh mengulangi kesalahan sama terhadap mangsa yang berusia 16 tahun tujuh bulan di alamat sama jam 2 pagi masing-masing pada 25 Ogos dan 27 Ogos lalu.

Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. -8/9/14


[Video] 'Baiah PAS Setia kepada Allah, Bukan Pemimpin' - Khalid Samad

Posted: 07 Sep 2014 11:21 PM PDT


[Malaysia Kini] Baiah yang disebut-sebut dibuat oleh anggota PAS sebenarnya dilakukan untuk mengikrarkan taat setia kepada Allah dan Rasul dan bukannya mana-mana pemimpin, kata anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Khalid Samad.

Khalid berkata demikian dalam satu wawancara denganMalaysiakini sewaktu menjelaskan pandangan yang mendakwa mereka yang berhujah dan berbeza pendapat dengan presiden parti dan Majlis Syura sebagai tidak taat kepada parti.

Menurut Khalid, dalam PAS kini wujud segolongan "ustaz muda" yang cuba mewujudkan persepsi bahawa perbezaan pendapat dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai satu kesalahan - demi agenda peribadi mereka.

"Baiah itu adalah untuk memberikan taat setia kepada Allah dan Rasul - bukan kepada mana-mana pemimpin atau sokongan tanpa syarat kepada mana-mana pemimpin.

"Mereka (ustaz muda) ini tidak faham.

"Selagi mana presiden itu patuh pada ajaran Islam, ia OK.

"Namun ia bukan bermakna kita kena dengar dan patuh pada semua kata-katanya," kata MP Shah Alam.

Menurutnya, badan pembuat keputusan tertinggi (legislatif) dalam PAS sebenarnya adalah muktamar tahunan parti.

Sementara, Jawatankuasa Pusat PAS pula bertindak sebagai pelaksana (eksekutif) dan Majlis Syura pula memberikan panduan umum bagi memastikan PAS tidak terkeluar dari landasan syariah.

Menurutnya, ramai sebenarnya keliru di antara kuasa eksekutif dan legislatif dan ramai juga yang tidak sedar bahawa seorang presiden parti tidak semestinya merupakan seorang ulama.

"Kertas kerja asal penubuhan PAS memperincikan dengan jelas bahawa Jawatankuasa Pusat PAS adalah eksekutif, Majlis Syura pula adalah organisasi yang memberi panduan dan memantau legislatif sendiri iaitu muktamar," katanya.

Oleh sebab itu, keputusan bersifat polisi yang penting seperti keputusan untuk terus kekal bersama Pakatan Rakyat diputuskan sewaktu muktamar tahunan.- 8/9/14


Mengapa Khalid Samad menarik sokongan terhadap TSKI?


Kelayakan MB Hanya Sokongan MAJORITI - Aziz Bari

Posted: 07 Sep 2014 11:14 PM PDT


[Malaysia Kini] Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari menegaskan kelayakan tunggal seorang menteri besar sama ada beliau mendapat sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).


"Syarat tunggal untuk seorang MB – atau PM atau KM (ketua menteri) – adalah majoriti.

"Gender, kelayakan akademik, malah kehendak peribadi sultan, juga tiada tempatnya," katanya.

Malah, Aziz berkata, syarat bahawa menteri besar harus seorang Melayu dan Islam juga boleh diketepikan bagi memilih calon mendapat sokongan majoriti.

Aziz mengulas kenyataan istana yang menyebut sultan akan meneliti nama-nama lain anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Pakatan Rakyat sebagai pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim. -8/9/14

P/s: Apa pandangan Faekah, SU TSKI?


Sultan Selangor Terikat Deklarasi 1992, Perlu Lantik Wan Azizah - Aziz Bari

Posted: 07 Sep 2014 09:45 PM PDT


Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari berkata Deklarasi Prinsip Perlembagaan yang ditandatangani ayahanda Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri mengatakan baginda perlu mengikut nasihat kerajaan negeri dalam melantik menteri besar Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 September, 2014.

[The Malaysian Insider] Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari berkata Sultan Selangor perlu melantik calon Pakatan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar (MB) kerana terikat dengan deklarasi pada 1992.

Kata Aziz, menurut Deklarasi Prinsip Perlembagaan yang ditandatangani ayahanda Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri, baginda perlu mengikut nasihat kerajaan negeri dalam melantik MB.

"Kandungan tersebut mengikat baginda hingga hari ini. Tiada kesan undang-undang dalam dokumen tersebut, tetapi secara moralnya akan memalukan baginda jika mengabaikannya.

"Jadi di Selangor, Sultan perlu melantik (Dr Wan Azizah). Meminta lebih nama serta enggan melantik beliau adalah membelakangi deklarasi 1992 dan lebih penting lagi, (membelakangi) perlembagaan itu sendiri," katanya.

Deklarasi tersebut ditandatangani sebelum ini bersama enam Sultan lain.

Minggu lepas, Sultan Selangor menangguhkan penerimaan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan meminta lebih daripada dua nama sebagai calon MB baru.

Menurut setiausaha sulit Sultan Selangor, peruntukan mengikut Perkara LI (1), Perkara LIII (2) (a), (4) dan LV (2) (a) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Sultan Selangor diperuntukkan dengan kuasa budi bicara mutlak di dalam pelantikan MB bagi kerajaan negeri Selangor yang pada pendapat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

"Sultan Selangor menitahkan agar setiap pemimpin parti PAS, PKR, dan DAP mencadangkan lebih dua nama daripada parti-parti PR sebagai calon MB bagi memudahkan baginda menentukan calon berkelayakan dan seterusnya memberi perkenan melantik mana-mana calon yang difikirkan layak."

Pakatan mengemukakan nama Dr Wan Azizah ke istana walaupun PAS, salah satu parti komponen, memilih menghantar lebih dari satu nama calon MB.

Sehingga kini Dr Wan Azizah masih menunggu untuk diperkenan menghadap Sultan.

Adun Kajang itu mendapat sokongan 29 daripada 56 wakil rakyat dalam DUN untuk memegang jawatan tertinggi di negeri terkaya di negara ini. – JENNIFER GOMEZ/1 September, 2014.

Sultan Selangor Murka DAP, PKR Derhaka

Posted: 07 Sep 2014 09:42 PM PDT


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) murka DAP dan PKR ingkar arahan hantar lebih 2 nama sebagai calon pengganti Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (kiri). Gambar fail The Malaysian Insider.

[The Malaysian Insider]  Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dengan tindakan PKR dan DAP yang mengingkari arahannya supaya mengemukakan lebih 2 nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada masa sama, baginda tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lain daripada parti Pakatan Rakyat (PR) yang berkelayakan untuk dilantik memimpin negeri terkaya itu.

"Sultan Selangor amat merasa dukacita di atas tindakan parti DAP dan PKR yang ingkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos 2014.

"Tindakan parti DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor," kata Sultan Selangor melalui kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani, hari ini.

Munir berkata, Sultan Selangor akan meneliti senarai calon yang dikemukakan PAS, PKR, dan DAP dan mengambil kira segala aspek sebelum keputusan dibuat.

"Dalam masa yang sama memandangkan kuasa melantik menteri besar Selangor terletak pada budi bicara Sultan Selangor, maka baginda juga akan meneliti nama-nama Adun yang lain daripada Pakatan Rakyat yang berkelayakan dan pada fikiran Sultan Selangor mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri," katanya.

Katanya, hanya PAS yang akur dengan titah Sultan Selangor dengan menyenaraikan 3 nama calon menteri besar Selangor.

Manakala DAP dan PKR masing-masing mengemukakan hanya 1 nama saja, iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya, titah baginda supaya mengemukakan senarai lebih 2 calon adalah amalan bagi membolehkan baginda membuat pilihan dengan melihat bukan saja sokongan majoriti Adun malah daripada segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang Adun tersebut.

"Ciri ini amat penting bagi menjamin perjalanan pentadbiran negeri agar berjalan dengan baik dan lancar demi keharmonian rakyat negeri Selangor.

"Sultan Selangor berkeyakinan terdapat ramai calon dalam parti Pakatan Rakyat yang mempunyai ciri kepimpinan yang tinggi seperti disebutkan tadi bagi menerajui kerajaan negeri Selangor," katanya.

Sultan Selangor pada 27 Ogos lalu menitahkan ketiga-tiga parti dalam PR mencadangkan lebih 2 nama sebagai calon menteri besar sebelum 3 September bagi memudahkannya membuat pilihan, namun DAP dan PKR bertegas mahu menghantar nama Dr Wan Azizah saja.

PKR pada 3 September kemudiannya menerima surat amaran daripada istana yang mengingatkan mereka supaya menghantar lebih 2 nama selain Dr Wan Azizah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam penjelasan terbuka di Marang, Terengganu pada Jumaat minggu lalu berkata, keengganannya mengikut kata DAP dan PKR dan menghantar 3 nama adalah kerana tidak mahu ingkar titah Sultan sambil menegaskan parti itu menghormati prinsip Raja Berperlembagaan. – JAMILAH KAMARUDIN/8 September, 2014.

Berkaitan:

Tiga exco PAS dipanggil mengadap Sultan Selangor, kata sumber

[The Malaysian Insider] Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Selangor daripada PAS dipanggil mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mulai hari ini, esok dan lusa secara bergilir-gilir, bermula dengan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad hari ini, kata sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, esok Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabak Sallehen Mukhyi pula akan mengadap Sultan Selangor manakala Adun Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi dijangka mengadap baginda pada Rabu.

Difahamkan, Sultan Selangor mahu bertemu ketiga-tiga Adun PAS ini berhubung kekecohan berhubung pelantikan menteri besar baharu untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketiga-tiga exco dari PAS itu dinamakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon menteri besar Selangor dalam surat pertamanya kepada istana yang dihantar pada 2 September lalu.

Bagaimanapun, selepas berlaku sedikit kekecohan dalaman PAS, Hadi menghantar surat kedua kepada Sultan Selangor pada 3 September dan menamakan 2 Adun PKR dan seorang daripada PAS.

Difahamkan, nama calon dihantar Hadi dalam surat keduanya adalah Adun Ijok Dr Idris Ahmad (PKR), Adun Kota Anggerik Yaakob Sapari (PKR) dan Adun Cempaka Iskandar.

Semalam Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata parti Islam itu akan menolak sekiranya Sultan Selangor melantik seseorang daripada Adun mereka untuk menjadi menteri besar.

Ketika mengulas tindakan menamakan Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pula berkata, ia tidak akan menjadi isu.

"Nama tak apa...Tuanku cuma minta cadangan. Nama tak jadi persoalan," kata Mustafa ketika mengulas kedudukan pencalonan Adun PAS itu.

Mustafa berkata, mesyuarat semalam juga mengesahkan jawatan menteri besar Selangor adalah hak PKR.

"PAS bersetuju jawatan menteri besar Selangor adalah untuk PKR," kata Mustafa pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat berlangsung lebih 5 jam. – 8 September, 2014.


PJ PAS nafi dipanggil menghadap di sini.


Tiada ulasan: