Jumaat, 5 September 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Harga Rokok NAIKKK!!!!

Posted: 05 Sep 2014 06:22 AM PDT


Berdasarkan maklumat di atas, harga runcit rokok bagi jenama dinyatakan dalam senarai akan dinaikkan mengikut harga yang ditetapkan mulai 8 September 2014.

Kepada perokok, selain harga barangan keperluan yang meningkat, anda juga perlu berhadapan dengan kenaikan harga rokok yang agak membebankan.

Nasihat admin, berhentilah merokok demi kesihatan dan ekonomi rumah tangga anda.



Cara Politik PAS 'Ketinggalan' - Agus

Posted: 05 Sep 2014 06:17 AM PDT


[Sinar Harian] SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan Pas sudah jauh tersasar daripada permainan politik abad ke-21 apabila sering dilihat berubah fikiran dalam kerjasama politik PR.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff mengulas perkembangan terkini membabitkan calon jawatan menteri besar yang dikemukakan Pas kepada istana Selangor.

"Pas kena jelas pendirian, ini tidak dalam mesyuarat PR dinyatakan lain, di media lain.

"Pas boleh berbeza pendirian dan pendapat, tapi keputusan yang dibuat oleh Pas itu mestilah jelas dan tetap pendirian, jika asyik tukar pendirian susah, hilang kepercayaan rakyat nanti," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Semalam tersebar spekulasi yang mendakwa kononnya Pas turut menghantar calon mereka untuk menjadi menteri besar.

Dakwaan ini dikuatkan lagi dengan laporan portal yang mengatakan Pas menghantar satu nama pemimpin parti itu selain dua nama calon dari PKR. Ada pula yang mendakwa Pas menghantar tiga nama pemimpin mereka.

Antara nama pemimpin Pas yang paling kerap disebut-sebut sebagai calon ialah Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad yang berpengalaman sebagai Exco Kerajaan Negeri sejak 2008. Selain beliau, dua exco lain iaitu Dr Ahmad Yunus Hairi dan Salehen Muhyi turut diramal mampu menggalas tugas itu jika dipilih sultan.

Namun, Iskandar ketika ditemui Sinar Harian menafikan namanya dicalonkan Pas Pusat sebagai salah seorang calon menteri besar, seperti yang dicanangkan.

Dalam perkembangan terkini, satu lagi kenyataan media Timbalan Presiden Pas menjadi viral di aplikasi WhatsApp mendakwa AJK Pas Pusat tidak tahu menahu mengenai senarai terbaru yang dihantar Pas ke istana Selangor pada 3 September.

"Saya tegaskan sekali lagi berdasarkan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 17 hb Ogos bahawa senarai calon yang sebulat suara diputuskanoleh ahli Pimpinan Pusat yang dipengerusikan Presiden parti ialah pertama Dr Wan Azizah dan kedua Mohamed Azmin Ali," ujar Mohamad Sabu. -MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI/5/9/14



"Muktamar" Kuasa Paling Tinggi dalam PAS Bukan Majlis Syura - Zulhazmi

Posted: 05 Sep 2014 06:12 AM PDT


Rujuk Fasal 7. Perlembagaan PAS 

Fasal 7. Hukum dan Kekuasaan 

(1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK 'ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata,dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan. 

(2) Dengan tertakluk kepada hukum-hukum dalam ceraian (1) itu segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar, akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan muktamar atau mesyuarat Agung PAS. 

Peruntukkan Fasal 7 (1) ini mempunyai dua (2) aspek iaitu :- 

a) Berkaitan Hukum rujukan tertinggi iaitu Kitabullah (al-Quran), Sunnah Rasul (Hadith), Ijmak Ulamak serta Qias yang terang dan nyata. 

b) Berkaitan kekuasaan PAS iaitu Muktamar Tahunan. 

Fasal 7 (1) dengan JELAS, TERANG dan NYATA menegaskan bahawa KEKUASAAN PAS adalah dipegang oleh MUKTAMAR TAHUNAN. 

Fasal 7 (2) juga jelas bahawa segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar. 

Itu jelas. 

Apa pula kedudukan Majlis Syura Ulamak (MSU)? 

MSU ditubuhkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang telah meminda Perlembagaan PAS dengan memasukkan Fasal 8 iaitu Majlis Syura Ulamak. 

Fasal 8. Majlis Syura Ulamak 

(1) Bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukan dalam Fasal 7(2) di atas dan badan-badan yang diberikan kepadanya kuasa oleh Muktamar Tahunan PAS dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini, tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 3 Perlembagaan ini, maka hendaklah ditubuhkan sebuah majlis yang dinamakan "Majlis Syura 'Ulamak" dan diberi kepadanya kuasa-kuasa seperti berikut: 

(a) Menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS dan mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan ini yang menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya dan membuat ketetapan mengenainya. 

(b) Mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan itu dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak dalam 8 Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS. 

(c) Mendengar dan memutuskan semua rayuan semula tatatertib yang dikemukakan oleh ahli PAS mengikut Fasal 83 Perlembagaan ini. 

Fasal 8 (1) menyebutkan bahawa MSU ditubuhkan adalah dengan tujuan untuk menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukan dalam Fasal 7(2) di atas dan badan-badan yang diberikan kepadanya kuasa oleh Muktamar Tahunan PAS dan oleh mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan ini, tidak terkeluar daripada kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS seperti yang diperuntukan dalam Fasal 3 Perlembagaan ini. 

Jelas bahawa penubuhan MSU adalah untuk menjamin Kekuasaan PAS seperti yang diperuntukkan dalam Fasal 7 (2) supaya tidak terkeluar daripada landasan yang ditetapkan dalam Fasal 7 (1) dan tidak berlawanan dengan dasar PAS di dalam Fasal 3. 

MSU bertanggungjawab memastikan perjalanan semua badan di dalam PAS iaitu Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (JKPP), Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) dan Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP) tidak terkeluar dari hukum pegangan PAS dalam Fasal 7 (1) iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias serta tidak terkeluar daripada perintah dan kekuasaan PAS di dalam Fasal 7 (2) iaitu keputusan Muktamar. MSU juga bertanggungjawab memastikan perjalanan semua badan di dalam PAS supata tidak berlawanan dengan dasar Pas di dalam Fasal 3 iaitu ISLAM. Walaubagaimana pun MSU sendiri tetap tidak boleh terkeluar daripada kekuasaan tertinggi PAS iaitu Muktamar Tahunan PAS. 

Fasal 8 (1) (a) memberikan kuasa kepada MSU menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS iaitu ISLAM dan mana-mana peruntukkan Perlembagaan yang samar. 

Fasal 8 (1)(b) memberikan kuasa kepada MSU mengeluarkan arahan dan perintah supaya ketetapan yang dibuat melalui Fasal 8 (1)(a) dipatuhi dan dilaksanakan oleh semua badan di dalam PAS. 

Fasal 8 (1)(c) memberikan kuasa mendengar rayuan tatatertib yang dikemukakan oleh ahli. 

Berpandukan Fasal 8 tersebut adalah jelas bahawa penubuhan MSU dan fungsi MSU adalah sebagai "Supreme Council" yang mengawal perjalanan PAS supaya tidak terkeluar daripada landasan ISLAM. 

Bagi mengesahkan lagi entiti mana yang tertinggi di dalam PAS mengikut Perlembagaan PAS, maka peruntukkan Fasal 88 Perlembagaan Pas perlu dibaca bersama. 

FASAL 88. Lain-lain Perkara 

(1) Segala perkara yang berbangkit dan perselisihan faham dan pendapat di atas tafsiran Perlembagaan ini, serta Aturan dan Peraturan yang diperbuat mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukan dalam Perlembagaan ini hendaklah dirujukkan kepada 'MAJLIS SYURA 'ULAMAK' dan sebarang keputusannya adalah muktamad, jika tidak diubah oleh Muktamar. 

(2) 'MAJLIS SYURA 'ULAMAK' adalah berkuasa membuat sebarang keputusan di atas perkara-perkara yang tidak diperuntukan dalam Perlembagaan ini dengan syarat keputusan itu hendaklah tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan PAS seperti yang termaktub dalam Perlembagaan ini dan tertakluk kepada kuasa tertinggi Muktamar 

Fasal 88 (1) menyatakan bahawa MSU adalah badan tertinggi yang menjadi rujukan tentang apa saja perkara berbangkit yang menimbulkan perselisihan berkaitan Perlembagaan, Aturan dan Peraturan yang dibuat dan keputusan MSU adalah muktamad. Tetapi dalam masa yang samakeputusan muktamad MSU tersebut boleh diubah oleh Muktamar. Ini sekali lagi jelas menunjukkan bahawa kekuasaan tertinggi dalam PAS mengikut Perlembagaan PAS ialah Muktamar kerana Muktamar boleh mengubah keputusan MSU. 

Fasal 88 (2) juga jelas menunjukkan bahawa Muktamar adalah kekuasaan tertinggi di dalam PAS apabila memperuntukkan bahawa MSU berkuasa membuat sebarang keputusan atas perkara-perkaya yang tidak diperuntukkan di dalam Perlembagaan (lacuna) dengan syarat keputusan itu tidak bercanggah dengan dasar PAS dan yang paling penting ianya tertakluk kepada kuasa tertinggi Muktamar. 

Sejauh mana kekuasaan Muktamar? 

Muktamar mempunyai kuasa yang paling tinggi dan paling luas serta paling muktamad. Muktamar boleh memansuhkan kewujudan Majlis Syura Ulamak jika mahu. Perlu diambil perhatian bahawa Majlis Syura, JKPP dan semua badan di dalam PAS hatta PAS sendiri boleh dimansuhkan atau dibubarkan atas kehendak Muktamar. 

Rujuk Fasal 87. 

Fasal 87. Cara Memansuhkan PAS 

(1) PAS ini tidaklah boleh mansuh atau bubar melainkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima daripada jumlah bilangan ahli-ahli PAS yang telah menyatakan persetujuan mereka dengan bersendiri ke dalam Muktamar yang diadakan kerana maksud tersebut, atau dengan persetujuan sebulat suara dari perwakilan yang mewakili tiga perlima daripad ahli-ahli PAS Kawasan di dalam Muktamar PAS kerana maksud tersebut. 

(2) Jika persetujuan bagi memansuh dan membubarkan PAS ini dipersetujukan, maka segala hutang-hutang PAS hendaklah dijelaskan dan segala wang waki harta-harta dan apa jua yang berkait dengannya terserahlah kepada keputusan Muktamar itu. 

(3) Kenyataan berkenaan dengan memansuh dan membubarkan PAS ini hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam tempoh empat belas hari dari tarikh diambil keputusan itu. 

Fasal 87 (1) jelas menegaskan bahawa PAS boleh dimansuhkan atau dibubarkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima ahli Pas yang membawa menyatakan persetujuan bersendiri ke Muktamar. 

Sejauh itulah kekuasaan Muktamar. Bukan sekadar memansuhkan MSU atau mana-mana badan di dalam PAS tetapi sehingga ke tahap memansuhkan PAS. 

Kesimpulan. 

Kekeliruan tentang kekuasaan tertinggi PAS ini timbul kerana tidak faham apa itu kekuasaan. Konsep syura di dalam PAS bukan hanya terletak pada Majlis Syura Ulamak tetapi dalam semua badan di dalam PAS baik JKPP, DUPP, DPPP, DMPP dan DHPP. Malah konsep syura yang tertinggi di dalam PAS ialah Muktamar Tahunan PAS dan itulah kekuasaan tertinggi PAS. 


[Kelab GB] Krisis MB Selangor mendedahkan banyak perkara. Dan di dalam entri ini, GB cuba mendedahkan siapa sebenarnya pembuat keputusan (decision maker) paling tinggi di dalam PAS. 

Ada yang menyatakan Jawatankuasa PAS Pusat, ada yang menyatakan Majlis Syura Ulamak dan ada juga yang menyatakan Presiden parti. Sedangkan kesemuanya itu adalah tidak benar jika masing-masing merujuk semula Perlembagaan PAS.

Fasal 7 (1) dengan JELAS, TERANG dan NYATA menegaskan bahawa KEKUASAAN PAS adalah dipegang oleh MUKTAMAR TAHUNAN. 

Muktamar mempunyai kuasa yang paling tinggi dan paling luas serta paling muktamad. Muktamar boleh memansuhkan kewujudan Majlis Syura Ulamak jika mahu. Perlu diambil perhatian bahawa Majlis Syura, JKPP dan semua badan di dalam PAS hatta PAS sendiri boleh dimansuhkan atau dibubarkan atas kehendak Muktamar. Pemegang jawatan Presiden dan AJK PAS Pusat juga ditentukan oleh Muktamar.

Fasal 88 jelas menggaris peranan 'MAJLIS SYURA 'ULAMAK' (MSU) dimana MSU adalah berkuasa membuat sebarang keputusan di atas perkara-perkara yang tidak diperuntukan dalam Perlembagaan ini dengan syarat keputusan itu hendaklah tidak bercanggah dengan dasar dan tujuan PAS seperti yang termaktub dalam Perlembagaan ini dan tertakluk kepada kuasa tertinggi Muktamar 

Oleh itu jika tak tahu hujung pangkal bab kekuasaan, rujuk Perlembagaan PAS semula, jika tak reti baca, rujuk peguam.



[PANAS] Isu MB Selangor: Istana SAHKAN Terima 3 Nama daripada PAS, Apa Reaksi PKR? Apa Cerita di Baliknya?

Posted: 05 Sep 2014 05:57 AM PDT


[Bernama] SHAH ALAM - Istana Selangor hari ini mengesahkan Pas menghantar tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu. 

Bagaimanapun sumber dari Istana, ketika dihubungi Bernama, tidak mendedahkan nama calon-calon berkenaan. 

Perkara itu turut diakui sumber terdekat kerajaan negeri bahawa Pas telah menghantar tiga nama kepada pihak istana.

"Urusan surat-menyurat mengenai nama calon itu juga dikendalikan secara peribadi oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah," kata sumber itu. 

Akhbar hari ini melaporkan Pas dikatakan menghantar tiga nama anggota Exco kerajaan negeri Selangor daripada parti itu sebagai calon untuk jawatan tertinggi pentadbiran Selangor.

Tiga calon yang dilaporkan ialah Iskandar Abdul Samad, Sallehen Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi. Bagaimanapun ketiga-tiga mereka mendakwa tidak tahu menahu mengenai perkara itu. 

Pada 26 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah agar parti-parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PKR dan Pas mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu. 

Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai. 

PKR dan DAP bagaimanapun sehingga kini kekal dengan keputusan mereka mahukan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar yang baharu. 

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata pihaknya tidak mengetahui sama ada nama Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak terkandung dalam senarai nama menteri besar yang telah dihantar itu. 

"Kami, ahli jawatankuasa Pas Pusat tidak tahu menahu akan nama baharu ini kerana ia tidak diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 17 Ogos lepas," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Adun Ijok daripada PKR, Dr Idris Ahmad enggan mengulas ketika ditanya sama ada namanya turut disenaraikan oleh Pas sebagai calon menteri besar yang baharu. - 5/9/14


Berkaitan:

Calon MB: Tindakan Pas Kecewakan PKR

[Bernama] PETALING JAYA - PKR melahirkan kekecewaan terhadap Pas kerana tidak menghormati keputusan muafakat PR dalam mencalonkan nama Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution berkata, keputusan pemuafakatan itu sebenarnya telah dicapai antara pemimpin tertinggi PKR, Pas dan DAP dalam satu mesyuarat khas 17 Ogos lepas.

"Saya berpendapat tidak sukar untuk memahami peri pentingnya muafakat itu dijaga," katanya kepada Bernama selepas mesyuarat biro politik parti dan pertemuan 13 Adun Selangor di ibu pejabat PKR, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal akhbar tempatan hari ini mengatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghantar tiga nama terdiri daripada anggota Exco Selangor kepada pihak istana untuk dipertimbang bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

Media itu dipetik melaporkan Adun Pas yang dicalonkan ialah Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad manakala dua lagi nama ialah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan ketiga-tiga parti pakatan pembangkang menghantar lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. - 5/9/14

Kecewa dengan Azmin, Hadi Calonkan Sendiri 3 Adun PAS

[The Malaysian Insider] Kecewa dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil langkah sendiri mencalonkan tiga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS kepada istana sebagai calon menteri besar Selangor.

Hadi mengambil tindakan itu selepas Azmin yang menjadi calon pilihannya menolak secara terbuka kerana mahu memberi laluan kepada presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Lebih mengecewakan Hadi apabila PKR dan DAP juga menolak mentah-mentah keputusan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat 17 Ogos lalu melalui keputusan bersama Pakatan Rakyat pada hari yang sama.

Keputusan itu diambil PR walaupun Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (juga dikenali sebagai Mat Sabu) turut berada dalam mesyuarat itu mewakili parti Islam itu.

"Dia sudah malukan PAS, jadi takkan hendak letak nama Azmin lagi? PAS pun ada maruah," kata sumber daripada kerajaan negeri.

Sumber itu turut mengesahkan semua tiga nama Adun terbabit adalah daripada PAS dan tidak ada seorang pun daripada PKR.

Katanya, Hadi menghantar surat pencalonan itu kepada istana pada 2 dan 3 September atas keputusannya sendiri tanpa pengetahuan AJK PAS Pusat dan PAS negeri. Pada 2 September, surat Hadi mencalonkan ketiga-tiga Adun PAS untuk menjadi menteri besar Selangor.

Namun keesokan harinya pada 3 September, Hadi menghantar surat pencalonan baru menamakan dua Adun PKR dan seorang Adun PAS.

Menurut sumber dari Pejabat Menteri Besar Selangor itu, tidak ada seorang pun pemimpin PAS Pusat, termasuk Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali, pernah melihat isi kandungan surat yang ditandatangani dan dihantar Hadi ke istana pada 2 dan 3 September lalu.

"Surat-menyurat diuruskan secara terus antara Hadi dan istana tanpa melalui pejabat Setiausaha Agung," katanya.

Mat Sabu hari ini mengesahkan beberapa laporan media mengatakan PAS tidak menamakan Adun PKR dan menghantar nama seorang lagi Adun mereka dan perkara itu berada di luar pengetahuannya dan AJK Pusat parti.

"Laporan tentang kenyataan itu juga ada menyebut Setiausaha Agung mengakui PAS menyenaraikan salah seorang exco PAS sebagai calon menteri besar.

"Kami, AJK PAS Pusat tidak tahu menahu akan nama baru ini kerana ia tidak diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai badan eksekutif yang mengendalikan urusan harian pentadbiran dan strategi parti," katanya kepada The Malaysian Insider.

Mustafa semalam berkata PAS menghantar dua nama Adun PKR dan seorang Adun PAS kepada istana, tetapi tidak mendedahkan calon terbabit.

Sumber dalaman PAS kemudian memberitahu, surat pencalonan pertama Hadi kepada Sultan pada 2 September dihantar sendiri melalui pejabatnya.

Bagaimanapun, selepas Majlis Syura Ulama yang bermesyuarat di Kota Baru membuat keputusan menamakan dua calon PKR dan seorang calon PAS, Hadi keesokannya membuat pusingan 'U', menghadap Sultan dan menghantar surat kedua menarik balik senarai calon sebelumnya.

"Kandungan surat kedua itu kemudiannya baru dimaklumkan kepada pemimpin PAS lain, termasuk Mustafa," katanya.

Laporan Utusan Malaysia hari ini memetik kenyataan Mustafa mengatakan keputusan menghantar nama dua Adun PKR dan seorang Adun PAS dibuat Majlis Syura Ulama.

Namun, dua nama PKR itu bukannya Dr Wan Azizah dan Azmin, sebaliknya Dr Idris Ahmad (Adun Ijok), Yaakob Sapari (Adun Kota Anggerik) serta Exco negeri yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad.

Bagaimanapun, Mustafa enggan mendedahkan nama ketiga-tiga Adun yang dihantar parti itu kepada istana kerana ia berkaitan dengan Majlis Syura Ulama.

Laporan The Star Online semalam mengatakan PAS menghantar nama tiga Adun daripada partinya iaitu Iskandar serta dua rakan Exconya, Sallehen Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi untuk dipertimbangkan sebagai menteri besar baru, dipercayai merujuk kepada surat pertama yang dihantar Hadi.

Mustafa dalam responsnya semalam bagaimanapun menafikan laporan itu atas alasan nama terbabit sudah dibatalkan.

"Laporan itu tidak betul kerana cadangan untuk mencalonkan ketiga-tiga nama itu sudah dibatalkan," katanya kepada The Malaysian Insider. –  JAMILAH KAMARUDIN/5/9/14.


P/s: Takziah DAP dan PKR kerana dikhianati geng Pak Lebai. 

Wanita Penggal Kepala Bayinya yang Berusia 16 Bulan

Posted: 04 Sep 2014 11:40 PM PDT

Tempat bayi malang itu ditanam.

Wanita Tidak Kesal Penggal Anak

[Harian Metro] Anguo (China): Seorang ibu yang memenggal kepala anaknya yang berusia 16 bulan dengan pisau memberitahu polis, dia tidak menyesal membunuh kanak-kanak itu.

Feng Tai, 31, mengaku dia mulanya mencekik bayi itu sehingga mangsa pengsan di rumah keluarganya sebelum memenggalnya ketika dia masih bernyawa.

"Memang saya membunuhnya dan tidak menyesal. Dia tidak perlu menderita kerana dia sudah bebas," katanya kepada polis.

Abang wanita itu, Feng Tsao, 34, berkata: "Adik saya tertekan sejak melahirkan anak itu dan suaminya bekerja jauh serta jarang balik.

"Keluarga kami membantunya. Keluarga mentuanya juga bantu. Tetapi, dia sering tertekan. "Dia menelefon saya pada tengah malam untuk memberitahu dia membunuh anaknya. Saya mulanya tidak percaya, tetapi apabila tiba di rumahnya, dia menunjukkan kepala anaknya. Sungguh mengerikan." Polis menemui mayat mangsa tertanam di belakang rumah keluarga itu di bandar Anguo di wilayah Hebei, timur laut China.

"Feng Tai mengaku membunuh anaknya, tetapi dia jelas kelihatan tidak sihat. Kami meneruskan siasatan sementara wanita itu dihantar untuk pemeriksaan psikiatrik," kata jurucakap polis.

Bercakap menerusi telefon dengan wartawan tempatan, bapa bayi itu. Liu Yen, berkata: "Ia tragedi buruk. Saya tidak ada pilihan lain kecuali bekerja jauh dari keluarga. Saya tahu isteri saya tidak gembira, tetapi kami perlukan wang." - Agensi/5/9/14

Lanjut di sini.

Ngerinya Cara Bunuh Diri...

Posted: 04 Sep 2014 11:34 PM PDT


Lelaki Penggal Kepala Sendiri

[Harian Metro] Bronx (Amerika Syarikat): Seorang lelaki memenggal kepalanya dalam satu tindakan membunuh diri apabila mengikat kepalanya pada sebatang tiang sebelum memecut keretanya.

Polis berkata, lelaki berkenaan, Tomas Rivera, 51, dari Port Jervis, mengikat hujung rantai pada tiang lampu dan satu lagi pada lehernya sebelum memecut kereta Honda CRV.

Sebaik kereta itu bergerak laju, rantai itu menjerut lehernya dan menyebabkan kepalanya putus daripada badannya sementara kereta itu terus bergerak merempuh beberapa kereta di sekitar kawasan berkenaan.

Sumber polis berkata: "Ia sungguh mengerikan. Dia mahu memastikan tindakannya berjaya."

Siasatan awal menunjukkan lelaki itu membunuh diri dan polis tidak mengesyaki ada orang lain terbabit. - Agensi/5/9/14


Pelajar Tahfiz Dakwa Diliwat Guru

Posted: 04 Sep 2014 09:20 PM PDT


[Sinar Harian] IPOH – Harapkan pegar, pegar makan padi. Pelajar sepatutnya ke sekolah menuntut ilmu dengan bimbingan guru namun berlaku sebaliknya. 

Guru yang diharap mencurah ilmu menjadikan pelajar tempat melampias nafsu.

Itu yang berlaku kepada seorang pelajar sebuah pusat tahfiz di Taiping mendakwa diliwat seorang daripada guru dalam tiga kejadian berasingan pada Julai dan Ogos lalu.

Dalam tiga kejadian berasingan itu, seorang guru berusia 23 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan keji itu terhadap pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah bilik tidur dan asrama pusat tahfiz berkenaan pada jam 1.30 pagi, 6.30 pagi dan 3.30 petang.

Dalam kejadian pertama, Julai lalu, guru berkenaan dikatakan telah menahan mangsa yang ketika itu dalam perjalanan ke surau, sebelum dibawa ke bilik tidurnya.

Sumber memberitahu Sinar Harian, guru berkenaan mengarahkan mangsa membuka seluar sebelum melakukan aktiviti luar tabii sebelum menyerahkan RM80 sebagai wang sogokan agar merahsiakan hal itu.

"Kejadian kedua dan ketiga berlaku pada Ogos lalu dan mangsa cuba melawan, namun diugut pukul.

"Pelajar berkenaan membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah mengesahkan menerima laporan yang dibuat, 1 September lalu dan berdasarkan pemeriksaan awal doktor, tiada kecederaan akibat diliwat dikesan pada mangsa.

"Buat masa ini, siasatan lanjut masih diteruskan," katanya. -5/9/14


Majlis Syura Ulama Larang PAS Calonkan Wan Azizah, Azmin Jadi MB Selangor - Utusan

Posted: 04 Sep 2014 08:05 PM PDT



[The Malaysian Insider] Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam PAS selepas muktamar membuat keputusan untuk turut menghantar nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di samping nama dua Adun PKR, dedah Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dalam Utusan Malaysia hari ini.

Nama dua Adun PKR yang dihantar kepada istana Selangor bukan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Mohamed Azmin Ali seperti yang dipersetujui jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos lalu.

Difahamkan, dua Adun PKR yang dimaksudkan itu adalah Dr Idris Ahmad (Adun Ijok) dan Dr Yaakob Sapari (Adun Kota Anggerik) manakala Adun PAS ialah Iskandar Abdul Samad, exco kerajaan negeri Selangor yang juga pesuruhjaya PAS Selangor.

Bagaimanapun, setiausaha agung PAS itu tidak mahu mendedahkan nama ketiga-tiga Adun yang dihantar parti itu kepada istana Selangor kerana ia berkaitan dengan Majlis Syura Ulama.

"Tidak seharusnya saya mengulas lanjut. Nama itu terserah kepada pertimbangan saudara sendiri atau bertanyakan kepada Majlis Syura Ulama," katanya kepada Utusan Malaysia.

Mustafa berkata, beliau dimaklumkan mengenai keputusan itu oleh Majlis Syura Ulama yang jelas berbeza dengan pendirian Jawatankuasa PAS Pusat yang hanya mahu mencalonkan Dr Wan Azizah dan Azmin.

"Surat yang dipersembahkan kepada baginda sememangnya ditandatangani Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Pihak presiden yang menguruskan penghantaran, tidak melalui Pejabat Setiausaha Agung PAS.

"Ini suatu amalan biasa, sebagaimana dalam pelantikan menteri besar Selangor selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008 dan 2013 apabila setiap parti menamakan calon pilihan masing-masing," kata Mustafa, sebagaimana dilaporkan akhbar milik Umno itu.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh ketika dihubungi mengesahkan kepada Utusan Malaysia senarai calon itu dihantar Pejabat Presiden PAS ke istana Selangor, semalam.

Bagaimanapun, beliau enggan memperincikan nama ketiga-tiga calon berkenaan sambil menambah ia terserah kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memuktamadkan perkara itu.

Ditanya kemungkinan salah satu daripada 2 nama calon PKR itu adalah Dr Wan Azizah, beliau hanya menjawab:

"Itu saya tak tahu, saya tak nak komen. Mungkin juga ada (Wan Azizah), mungkin juga tak ada. Tunggulah, kita serah kepada Tuanku Sultan Selangor (putuskan)."

Mustafa memberitahu The Malaysian Insider semalam, pihaknya menafikan laporan The Star Online yang mengatakan PAS menghantar nama tiga Adun mereka sebagai calon menteri besar Selangor.

Menurut laporan portal itu, PAS menghantar nama Iskandar, Sallehen Mukhyi dan Dr Yunus Hairi untuk dipertimbangkan sebagai menteri besar Selangor yang baharu untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat PKR.

"Laporan itu tidak betul kerana cadangan untuk mencadang ketiga-tiga nama itu sudah dibatalkan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, Mustafa pada masa ini enggan mendedahkan nama yang dicalonkan PAS kepada istana.

Malam tadi selepas mesyuarat biro politiknya PKR berkata akan mengambil "langkah yang perlu dan sesuai" dalam tempoh 48 jam akan datang berikutan teguran pihak istana Selangor kerana hanya mencalonkan presidennya Dr Wan Azizah bagi jawatan menteri besar Selangor.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang enggan menjawab sama ada parti berbilang kaum itu akan menghantar lebih 2 nama seperti yang diminta Sultan Selangor mengakui PKR menerima surat daripada istana dua hari lalu.

"Kami akan mengambil langkah yang perlu dan sesuai. Kami akan bertindak sewajarnya dalam tempoh 48 jam akan datang," katanya di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya malam tadi.

Perkembangan terbaru itu menggugat lagi hubungan parti Pakatan Rakyat (PR) PKR, PAS dan DAP yang sudah tercalar dalam krisis menteri besar Selangor ini.

Pada 6 Ogos lalu, Majlis Syura yang bermesyuarat di Kota Baru membuat keputusan mengekalkan Khalid selepas pendirian itu juga dibuat Hadi dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Keputusan itu dibuat sebelum mesyuarat AJK PAS Pusat yang dijadualkan berlangsung 10 Ogos dan kemudiannya dianjakkan ke 13 Ogos dan seterusnya menjadi kenyataan pada 17 Ogos.

Pada mesyuarat yang sama, majlis syura juga membuat keputusan agar PAS terus kekal bersama Pakatan Rakyat.

Krisis menteri besar Selangor bermula sejak pelantikan Khalid buat kali keduanya selepas pilihan raya umum ke 13 pada Mei 2013 lalu apabila Azmin juga mendesak agar beliau dipilih untuk memegang jawatan itu.

Namun ketiga-tiga parti bertegas mahukan Khalid.

Pada 22 Julai, Anwar mengumumkan keputusan Majlis Pimpinan Pusat PKR untuk mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai MB Selangor. Ia kemudiannya dimaklumkan kepada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat pada keesokan harinya.

Pimpinan PAS, khasnya Mustafa dan Iskandar sebelum ini mengumumkan PAS tidak akan mencalonkan pemimpinnya sebagai menteri besar.

Namun keputusan kini dibuat Majlis Syura untuk turut mencalonkan Iskandar.

Keputusan itu dikatakan diambil berikutan permintaan istana Selangor. – 5 September, 2014.

Pengacara Bermulut Lancang, Joan Rivers Mati

Posted: 04 Sep 2014 05:58 PM PDT



[Astro Awani] Pengacara bermulut celupar Joan Rivers mati di sebuah hospital di New York pada Khamis. Dia berusia 81 tahun.

Pengacara program Fashion Police itu dimasukkan ke Hospital Mount Sinai sejak 28 Ogos lalu apabila dia berhenti bernafas selepas menjalani satu pembedahan yang melibatkan peti suara di sebuah klinik di New York.

"Dengan dukacita, saya mengumumkan berita kematian ibu saya, Joan Rivers. Dia meninggal dunia pada 1.17 petang dan keluarga serta teman rapatnya berada di sisinya sewaktu menghembuskan nafas terakhir," menurut kenyataan anaknya Melissa Rivers.

Rakan selebriti seperti Whoopi Goldberg, Dolly Parton turut mengucapkan takziah atas kematian tersebut.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut menghantar perutusan takziah atas kematian ikon komedi yang telah menggembirakan jutaan penonton di seluruh dunia.
Rivers juga merupakan penyokong lantang Israel.

Sebelum ini, pengacara bermulut celupar itu pernah mengeluarkan kenyataan tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

Rivers bukan sahaja mempertahankan tindakan Israel malah menyifatkan tentera Hamas sebagai pengganas dan merendah-rendahkan serta menghina penduduk Palestin. - AFP/5/9/14


P/s: Ketika Israel menyerang Gaza baru-baru ini, artis pro-Israel ini mengeluarkan kenyataan bahawa "rakyat Palestin wajar mati". Kini, dia yang benar-benar mati.


[Wajib Baca] Awas Kemunculan 'Golongan Baharu' dalam PAS, Projek Langgar Golongan Profesional - Khalid Samad

Posted: 04 Sep 2014 05:53 PM PDT


Bagi saya, sebagai seorang yang telah berada dalam PAS selama 30 tahun lebih, saya melihat PAS sedang berhadapan dengan masalah dalaman yang agak kronik sepertimana tidak pernah di hadapi sebelum ini. Saya sebenarnya lebih selesa berhujjah dari melabel mana-mana kumpulan sekalipun. Walaubagaimanapun saya terpaksa berbuat demikian setelah melihat munculnya golongan baru, yang tidak diketahui secara tepat kefahaman mereka berhubung kaedah dan pendekatan perjuangan PAS dalam membawa mesej Islam. Mereka merupakan muka baru yang muncul kebelakangan ini, iaitu pada tahun-tahun akhir 90an dan awal 2000. Tindakan mereka dilihat tersusun dan mengikuti strategi tertentu ke arah mencapai matlamat tertentu.

Matlamat disebalik strategi yang sedang dilaksanakan adalah supaya pendekatan inklusif yang diguna-pakai sekian lama oleh PAS sejak terlaksananya konsep kepimpinan ulama' akan ditukar dengan pendekatan yang lebih syadid dan tertutup. Ke arah tercapainya matlamat ini maka beberapa langkah dilaksanakan mengikut strategi mereka. Saya menamakan strategi ini 'Langgar Golongan Profesional'.


LANGKAH PERTAMA STRATEGI 'LANGGAR GOLONGAN PROFESIONAL'
Langkah pertama mereka adalah menaikkan panji 'kepimpinan ulama' yang mana maksud dan tafsirannya adalah terpesong dari kefahaman asal golongan yang memperjuangkannya, termasuk diri saya sendiri.

Matlamat dari kefahaman asal tercapai dengan penubuhan Majlis Syura Ulama yang memantau perjalanan Parti untuk menentukan parti tidak terkeluar dari landasan syariat. Kefahaman ini memberi ruang yang begitu luas bagi semua yang ingin memperjuangkan Islam untuk menyertai PAS dan berperanan diperingkat perlaksanaannya, termasuk golongan profesional dan aktivis masyarakat. Maka cogan-kata "gandingan ulama' dan profesional" sering kedengaran pada zaman itu.

Kefahaman yang dibawa golongan baru adalah lebih mirip kepada fahaman 'Theocracy Barat' di mana yang bergelar ulama' (sebenarnya ustaz) perlu diberikan jawatan dan kedudukan walaupun mereka sendiri tidak begitu mahir dalam bidang yang ingin ditugaskan kepada mereka. Kononnya mereka sebagai 'pewaris Nabi' disebabkan ada ijazah dari Azhar, atau sebagainya, termasuk lulus 4 sanawi lebih layak walaupun jawatan yang diinginkan lebih bersifat eksekutif atau perlaksanaan. Ianya menyempitkan ruang keterlibatan semua pihak dan dengan sendirinya cogan-kata "gandingan ulama' dan profesional" sudah lama tidak kedengaran.

Setelah ahli biasa mula keliru berhubung konsep kepimpinan ulama', maka langkah kedua dilaksanakan.

LANGKAH KEDUA STRATEGI 'LANGGAR GOLONGAN PROFESIONAL'
Setelah menggelar diri mereka sebagai ulama' atau pembela kepimpinan ulama', golongan baru memulakan serangan terhadap pimpinan lama, khususnya yang terdiri dari golongan profesional yang pro-PR. Mereka bergerak melalui saluran tertentu di dalam Parti, melabel pimpinan sasaran mereka ini dengan label kononnya menentang ulama', tidak wala' pada Presiden, lebih wala' pada PR/PKR, liberal, penaja projek langgar Presiden dan sebagainya. Pimpinan sasaran mereka, adalah terdiri dari golongan profesional yang kuat menyokong pendekatan tahaluf siyaasi dan kerjasama melalui PR.

Hujjah mereka disebar luas melalui program tertutup dalam mana pemikiran golongan muda diracuni untuk memusuhi pimpinan tertentu ini. Dengan menggunakan emosi dan sentimen, harapan mereka adalah supaya pimpinan sasaran mereka ditolak ahli PAS.

Pada masa yang sama, hubungan rapat antara profesional dan ulama' juga dirosakkan dengan dimasukkan jarum syak dikalangan ulama' terhadap profesional. Segala perbezaan pendapat yang merupakan suatu kebiasaan tempoh hari, ditonjolkan sebagai tindakan biadap terhadap ulama' dan sebagainya. Mereka akan digambarkan sebagai lebih wala' pada DSAI dari TGHH sendiri. Sedangkan mereka adalah ahli PAS dan bukan ahli PKR!

Dengan itu, harapan golongan baru adalah golongan profesional yang pro-tahaluf siyaasi bersama PR akan tersisih dari golongan ulama' dan ahli biasa dan tidak lagi serapat seperti dahulu.

LANGKAH KETIGA STRATEGI 'LANGGAR GOLONGAN PROFESIONAL'
Setelah langkah kedua mula berkesan,golongan baru ini akan mulakan langkah ketiga. 

Langkah ketiga adalah menyerang rakan PAS dalam PR. Pada awalnya PKR dan kemudiannya DAP juga. Peribadi Anwar Ibrahim turut menjadi sasaran sehingga tidak dapat dibezakan serangan mereka dengan serangan UMNO/BN terhadap beliau. Ketegangan antara parti PR adalah matlamat mereka dan dengan penuh emosi dan sentiment mereka laungkan "PAS yang terkuat, kita tidak perlukan PR, PAS dikudakan PR, tiada makna bersama PR" dan sebagainya, kesemuanya sama seperti yang dilaungkan macai UMNO.

Keadaan menjadi begitu keliru sehingga seolah-olah kesanggupan menyerang DSAI, PKR dan DAP menjadi bukti kesetiaan dan wala'nya seseorang kepada Presiden dan parti. Yang tidak sanggup menyerang dilihat sebagai kurang jelas fahaman mereka dan yang membela dan mempertahankan akan dilabel tidak wala' atau lebih wala' pada PR dari PAS. Akhirnya PAS dilihat lebih berlawanan dengan PKR dan DAP dari dengan UMNO/BN. Dan UMNO/BN sekadar melihat dan mentertawakan.

Oleh kerana usaha mereka ditumpukan kepada menyerang pimpinan Profesional pro-PR dan juga rakan-rakan dalam PR, golongan baru ini langsung tidak berperanan dalam menyerang UMNO/BN. Malahan sikap mereka terhadap UMNO/BN itu sendiri kelihatan lebih lunak dan mesra berbanding terhadap pimpinan sasaran mereka dan rakan dalam PR. Tidak salah kalau dikatakan bahawa sejak kemunculan golongan baru ini, UMNO/BN merasakan jauh lebih selesa kerana kerja UMNO sedang dilakukan oleh golongan ini!

Berselindung di sebalik slogan 'cintakan Presiden, cintakan ulama' dan sebagainya, mereka mengapi-apikan sentimen ahli untuk bersama mereka. Sedangkan yang dibawa mereka bercanggah dengan apa yang telah dan sedang diperjuangkan Presiden dan TGNA selama ini. Mereka membawa isu seperti 'senario satu', 'menjentik bukan Islam' dan 'ketuanan Melayu' yang kesemuanya begituasing bagi PAS dan hasil pemikiran otak yang jauh terpesong dan terkeluar dari PAS.

MATLAMAT DI SEBALIK STRATEGI ADU-DOMBA GOLONGAN BARU
Mereka begitu konsisten dengan usaha melaga-lagakan di antara pimpinan dan juga antara PAS dan PR maka semestinya adanya matlamat tertentu yang ingin dicapai. Melalui strategi yang tersusun sebegini akhirnya kehendak mereka sebenar, iaitu untuk PAS tinggalkan PR, akan tercapai. Tinggalkan PR, samada untuk PAS bersama dengan UMNO atau bersendirian, itu belum jelas lagi. Dan semestinya, sekiranya bersama UMNO adalah apa yang diinginkan, mereka sudah pasti tahu bahawa ianya tidak mudah dilakukan dalam suasana sekarang. Oleh itu ianya akan dinafikan dan dinafikan tetapi hakikatnya serangan terhadap UMNO/BN semakin tidak kelihatan.

Namun yang jelas, yang diinginkan adalah supaya PAS tinggalkan PR dan dengan itu, secara sedar atau tidak sedar, UMNO/BN akan kembali bernafas lega. Igauan UMNO selama ini akan berakhir. Ini adalah kerana yang mampu mengalahkan UMNO/BN setakat ini adalah hanya PR. Oleh itu sesiapa sahaja yang berusaha menggagalkan PR sebenarnya membantu UMNO/BN.

Saya tidak tahu samada golongan baru ini sengaja ingin menggagalkan PR atas sebab mereka disokong UMNO/BN atau mereka berpegang kepada fahaman chauvanis-Islam seperti ISMA atau fahaman dan pendekatan yang seakannya.

INGATAN KEPADA SEMUA AHLI PAS
Saya mengingatkan ahli dan pimpinan supaya berwaspada dengan golongan baru ini. Siapa mereka sebenar tidak diketahui. Satu ketika dahulu, ahli-ahli PAS diberi amaran supaya awasi golongan 'musta'jiluun', iaitu golongan gopoh yang ingin membawa perubahan melalui kekerasan. Ahli diingatkan, mereka mungkin SB yang telah menyusup dalam PAS pada tahun 80an.

Hari ini saya juga ingin memberikan amaran, supaya ahli PAS supaya berwaspada dengangolongan baru ini. Mereka juga mungkin SB atau diperalat SB. Apa yang saya gambarkan di atas semua dapat lihat bahawa ianya sememangnya sedang berlaku. Kalau golongan baru ini bukan SB sekalipun, mereka paling kurang merupakan orang yang mahu merongkai kembali segala yang telah dibina PAS selama ini. 

Dengan itu akan hilang segala yang tercapai sekian lama, termasuk kejayaan PAS menzahirkan corak politik Islam yang berprinsip, bersih, adil dan bebas perkauman.

Mungkin tanggapan saya terhadap mereka sebagai SB dan sebagainya tersilap, tetapi yang pasti mereka muka baru dengan sikap dan pendekatan baru. Dan sikap dan pendekatan mereka adalah kontra sikap dan pendekatan yang dibawa pimpinan lama. Sikap dan pendekatan mereka, sepertimana yang dizahirkan melalui 'senario satu', 'jentik bukan Islam' dan 'ketuanan Melayu' lebih mirip kepada Islam-chauvanis yang dibawa ISMA.

JEMPUTAN BERDEBAT/BERFORUM DENGAN GOLONGAN ADU-DOMBA
Untuk mengatasi masalah adu-domba melalui amalan label-melabel ini, saya di sini mengesyorkan supaya diadakan satu forum/debat tertutup di antara golongan yang digelar 'profesional, erdogan, anwarinas' dan sebagainya dengan golongan yang kononnya menggelarkan diri mereka sebagai penyokong ulama' tersebut. Mari kita bertemu di medan perbahasan ilmiah dan tidak lagi di medan FB dan Blog. Biar hujjah kedua-dua pihak diuji kesahihan dan keabsahannya dimedan perbahasan secara bersemuka supaya dengan itu akan berakhir segala amalan tuduh menuduh yang merosakkan jemaah.

Melalui debat/forum ini akan kita nilai sejauh mana hujjah mereka tepat dan benar atau hanya sekadar ingin membawa kearah perpecahan demi agenda tersirat. Adakah mereka sanggup dan berani? InsyaAllah saya sanggup.

Saya mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana pihak sanggup menganjurkannya, lebih-lebih lagi sekiranya di bawah naungan Dewan Pemuda Pusat.

WaLlahu 'Alam 

Tiada ulasan: