Selasa, 30 September 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


PAS Digesa Pulih Hubungan atau Keluar Pakatan Rakyat

Posted: 30 Sep 2014 12:45 AM PDT


[Malaysia Kini] Sekumpulan anak muda mencadangkan PAS keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya parti itu gagal bertindak tegas terhadap kelompok dalam parti yang terus menerus mewujudkan konflik sesama Pakatan Rakyat berhubung isu menteri besar Selangor.


Koordinator Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) Ekhsan Bukharee berkata pihaknya yakin kepercayaan masyarakat kepada PAS dapat dikembalikan jika parti itu mengambil tindakan tegas terhadap ahli yang menggugat keutuhan Pakatan.

Memberi contoh kenyataan beberapa pemimpin PAS yang dianggap "merugikan" Pakatan Rakyat berhubung isu itu, Ekhsan turut menyarankan supaya PAS menggesa semua pemimpinnya berhenti mengeluarkan kenyataan memudaratkan hubungan dengan Pakatan.

"Hal ini penting bagi mewujudkan tempoh bertenang seterusnya memberi ruang kepada komponen Pakatan Rakyat memperkukuhkan permuafakatan.

"LENSA khuatir sekiranya pertembungan dalaman Pakatan ini tidak diuruskan segera, maka masyarakat akan hilang kepercayaan kepada Pakatan dan secara khusus kepada PAS.

"Ini berikutan tanggapan umum terhadap PAS yang dilihat membelakangkan semangat Pakatan seterusnya menyebabkan krisis mejadi semakin rumit," katanya.


Cadangan itu dinyatakan dalam surat mereka kepada PAS supaya pemimpin parti itu menghentikan tindakan mencetuskan ketegangan dengan Pakatan Rakyat.

Surat tersebut diserahkan kepada Pegawai Penerangan Pas Pusat Mohamad Shahir Abu Hasan di Pejabat PAS, di ibu negara pagi ini.

Menurut Ekhsan lagi, berdasarkan maklum balas dan analisa dalam siri forum mengenai krisis Selangor juga menunjukkan pengundi bukan Islam kecewa dan mempertikaikan sikap PAS dalam kemelut itu.

Sehubungan itu, aktivis siswa itu mengesyorkan agar PAS menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap ahli atau pemimpin yang mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat Pakatan.

"Hal ini bagi membuktikan ketelusan PAS bersama Pakatan Rakyat sekaligus menunjukkan pandangan yang tidak pro-pakatan sebagai pandangan minoriti dan terpencil dalam PAS.

"Sekiranya ini dapat dilaksanakan, pihak LENSA yakin kepercayaan masyarakat umum dapat dikembalikan," katanya. -Anne Muhammad/30/9/14


Tiada ulasan: