Isnin, 22 September 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


PKR Setuju Saya Jadi MB Selangor - Azmin

Posted: 22 Sep 2014 06:01 AM PDT


[The Malaysian Insider] Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali hari ini mengatakan partinya sebulat suara bersetuju menerima pelantikannya sebagai menteri besar Selangor, sekaligus menamatkan kemelut yang berlaku di negeri tersebut.

Azmin ditemui selepas mesyuarat di ibu pejabat PKR yang turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail petang tadi berkata mendapat lampu hijau daripada partinya.

"Parti terima sebulat suara bersetuju pencalonan saya sebagai menteri besar yang baru," kata Azmin semasa ditanya wartawan. – MD IZWAN/22 September, 2014.

'Saya mohon maaf, jika Hadi minta maaf pada Azizah' - Tony Pua

Posted: 22 Sep 2014 04:38 AM PDT


[Malaysia Kini] Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata beliau bersedia memohon maaf kerana memanggil Datuk Seri Abdul Hadi Awang 'nyanyuk' jika presiden PAS itu meminta maaf kepada Presiden PKR atas komennya terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Biar saya katakan secara terbuka - saya tidak teragak-agak untuk menjadi orang pertama memohon maaf secara terbuka kepada Tok Guru Hadi Awang jika beliau juga memohon maaf kepada Kak Wan...," katanya.

Dalam Facebooknya, Pua berkata itulah perkara yang betul untuk dilakukan oleh seorang pemimpin agama.

Beliau dilaporkan memanggil Hadi nyanyuk kerana presiden PAS itu berkata beliau tidak menyokong Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor kerana beliau tidak mahu 'ahli-ahli PAS masuk neraka'.

"Dah nyanyuk ke?" itulah respon Pua terhadap kenyataan Hadi itu, menurut laporan pada Rakyat Post.

Pua mengulas surat terbuka dari individu yang kelihatan seperti penyokong PAS, yang menggesa MP Petaling Jaya Utara itu memohon maaf.

Kenyataan Hadi itu dibuat dalam muktamar tahunan PAS minggu lalu di Johor, di mana kumpulan ulama terus menentang pencalonan Wan Azizah dan juga ahli PAS yang menyokong presiden PKR itu.

Pua berkata beliau merindui "PAS lama PAS" yang telah bekerjasama rapat dengan rakan-rakan dalam Pakatan.

Katanya, beliau ada ramai kawan baik dalam PAS yang merupakan pemimpin yang hebat, tetapi mendakwa mereka jelas dipinggirkan walaupun oleh parti mereka sendiri. -22/9/14


P/s: Kes fil kuda pun sanggup ke mahkamah, masakan kes mengaibkan WAWI dia akan tunduk dan minta maaf.


Sah, Azmin Ali MB Selangor Baharu

Posted: 22 Sep 2014 04:35 AM PDT


Surat pelantikan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor yang bertarikh hari ini. – Gambar The Malaysian Insider, 22 September, 2014.Azmin, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada jam 10.30 pagi esok.

[The Malaysian Insider] Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai menteri besar Selangor yang ke-15, menurut sepucuk surat yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Datuk Mohamad Munir Bani petang ini.

Menurut surat itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan pelantikan Azmin menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Surat daripada istana itu dihantar ke kediaman Azmin di Ampang hari ini dan jawatannya akan berkuatkuasa esok.

"Sehubungan itu, Tuan diminta hadir ke Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor yang akan diadakan pada 23 September, jam 10.30 pagi di Istana Alam Shah, Klang," surat itu dipetik.

Pemimpin tertinggi PKR kini sedang bermesyuarat di Ibu Pejabat di Petaling Jaya, dipercayai sama ada mahu 'merestui' pelantikan Azmin sekali gus melupakan hasrat mahu menjadikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Khalid.

Munir ketika dihubungi mengesahkan surat tersebut dihantar secara terus kepada Azmin, namun menafikan bertanggungjawab menyebarkan kandungan surat tersebut kepada umum.

"Saya hanya bagi surat itu kepada calon itu (Azmin). Orang dia yang sebarkan surat itu, itu bukan hak dan kawalan saya lagi, ikut dialah," katanya.

Azmin mula menjadi Adun Hulu Klang atas tiket PKR sejak 1999 sebelum bertukar ke kerusi Bukit Antarabangsa sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008.

Istana pada mulanya dijangka mengemukakan kenyataan media pada hari ini bagi mengumumkan nama calon yang akan mengangkat sumpah esok, tetapi membatalkannya pada saat akhir selepas dilarang Sultan.

Raptai penuh angkat sumpah dijangka diadakan malam ini di istana.

PKR sebelum ini berkali-kali menyatakan pendirian mereka untuk mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar tidak berubah seperti yang diputuskan dalam mesyuarat.

Parti itu juga memberi alasan Azmin tidak mendapat sokongan majoriti Adun yang akan melayakkannya menjadi menteri besar berbanding Dr Wan Azizah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat pada 17 Ogos lalu mahu mencalonkan nama Azmin dan Dr Wan Azizah, tetapi mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) pada sebelah petangnya sebulat suara memutuskan Adun Kajang itu sebagai calon tunggal.

Azmin juga dalam kenyataan terbukanya juga pernah menolak mentah-mentah pencalonan itu atas alasan menghormati Dr Wan Azizah sebagai presiden dan pendirian parti. – 22 September, 2014.


Tabung Haji Nafi Melabur di Detroit, Amerika Syarikat

Posted: 22 Sep 2014 01:28 AM PDT


[Bernama] KUALA LUMPUR, 22 Sept -- Lembaga Tabung Haji (TH) pada Isnin menafikan telah membuat pelaburan di Amerika Syarikat.

"TH hari ini menyatakan rasa kesal atas kenyataan berbentuk spekulasi mengenai pelaburan TH di Amerika Syarikat baru-baru ini.

"TH sehingga kini tidak membuat sebarang komitmen pelaburan di Detroit atau mana-mana bandar lain di Amerika Syarikat," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Oleh itu, TH berkata, tidak ada sebarang transaksi atau pembayaran telah dibuat bagi tujuan pelaburan di Amerika Syarikat.

"Oleh yang demikian, orang ramai sewajarnya tidak mempercayai sumber-sumber tidak rasmi yang hanya berbentuk spekulasi yang tidak mencerminkan keadaan sebenar," katanya.

TH setakat ini telah membuat pelaburan di Arab Saudi, United Kingdom, Australia dan negara-negara Asia untuk mempelbagaikan pelaburannya, katanya.

Berikutan pulangan yang memberangsangkan daripada pelaburan di negara-negara tersebut, TH akan terus mencari peluang pelaburan yang serupa di negara-negara lain berdasarkan kepada rangka kerja Strategi Alokasi Asetnya, katanya.

"Pelaburan luar negara, sebagaimana pelaburan domestik, adalah tertakluk kepada proses kelulusan pelaburan yang ketat.

"TH sentiasa menekankan kepentingan Ummah dan para pendeposit dalam semua aktiviti-aktiviti pelaburannya," katanya.

Aktiviti utama TH adalah dalam pengurusan haji, tabungan dan pelaburan.

Antara sektor pelaburan terasnya adalah kewangan Islam, perladangan, hartanah, pembinaan, teknologi maklumat, minyak dan gas, hospitaliti, perkhidmatan dan makanan halal.

TH mempunyai 120 cawangan di seluruh negara dan satu cawangan di Jeddah, Arab Saudi. -22/9/14

Berita awal di sini.


Ke Mana Hala Tuju Ahli Progresif dalam PAS? Ke Mana Hala Tuju PAS?

Posted: 22 Sep 2014 01:22 AM PDT



Ke Mana Hala Tuju Ahli Progresif dalam PAS?

[The Malaysian Insider] Soalan sebenar selepas berakhirnya Muktamar Tahunan PAS Ke-60 yang penuh hangat semalam bukan mengenai hala tuju parti itu, tetapi tindakan yang akan diambil ahli progresif dan liberal selepas ini. 

Apakah mereka yang tidak setuju dengan cara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang konservatif itu akan terus berdiam diri atas nama wala' dan taat kepada pemimpin, atau mengambil sesuatu tindakan. 

Berbeza dengan kebiasaan pemimpin tertinggi parti melafazkan ikrar perpaduan dan kesatuan pada penutup persidangan, Hadi pada hari terakhir muktamar melontarkan cabaran kepada mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan beliau agar meninggalkan parti itu. 

"Dalam jamaah (parti) hanya ada satu imam. Kalau nak jadi imam juga, cari tanah lain dan buat masjid lain," katanya ketika memberikan ucapan penggulungan semasa muktamar di Batu Pahat, Johor semalam. 

Ucapan itu adalah yang paling ketara menunjukkan sikap beliau terhadap pihak yang berbeza pendapat dengannya. 

Sikap Hadi ini sangat berbeza dengan pimpinan PAS yang lain, termasuk pimpinan PAS sebelum ini. 

Bekas presiden, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dalam usaha menyatukan dua kumpulan besar dalam PAS mengambil pendekatan memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional.

Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali sewaktu penggulungan muktamar semalam berkata, PAS tanpa ulama buta, tanpa profesional tempang. 

Ucapan penutup lazimnya digunakan oleh pimpinan PAS untuk menyatukan perbezaan pendapat dalam parti, tetapi Hadi pula mengambil sikap "menghalau" mereka yang tidak bersetuju dengannya.

Awal bulan ini, ketika berdialog dengan penyokongnya di Terengganu, Hadi juga membuat ungkapan hampir sama ketika ditanya mengenai badan bukan kerajaan (NGO) baru, PasMa. 

"Penubuhan parti baru, ini perkara biasa dalam negara demokrasi berparlimen, siapa-siapa yang nak tubuh parti, sila tubuh. 

"Jadi mereka yang berlainan pendapat dalam PAS ni, dia nak tubuh parti, sila. Baik dia keluar, dia tubuh parti sendiri, senang tak payah duduk dalam," katanya dalam satu sesi penjelasan isu semasa di Rusila, Marang. 

Sejak kebuntuan kes menteri besar Selangor, para pemimpin dalam Jawatankuasa PAS Pusat banyak berbeza pendapat dengan Hadi. 

Ia bermula apabila presiden parti Islam itu mengumumkan sokongan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor, selepas PKR dan DAP memutuskan menyingkir Khalid dan menggantikannya dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Pada waktu itu, sokongan yang dibuat Hadi terhadap Khalid sebelum mesyuarat yang dijadualkan pada 17 Ogos mengejutkan ramai pemimpin PAS.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar kemudiannya berkata, ia adalah pandangan peribadi Hadi kerana keputusan rasmi belum dibuat. 

Ekoran itu, para penyokong Hadi terus menerus menyerang mereka dan memomokkan mereka sebagai tidak wala' dan taat kepada presiden sehinggalah ke muktamar tiga hari yang berlangsung di Batu Pahat, Johor. 

Dalam muktamar kali ini, sekurang-kurangnya tiga kejadian besar menjadi bukti perkara ini. 

Pertama, peristiwa 50 perwakilan Pemuda PAS yang memakai jaket "Kami sokong presiden dan Majlis Syura" meninggalkan dewan ketika Mat Sabu memulakan ucapan perasmian muktamar sayap itu. 

Kedua, perwakilan Wilayah Persekutuan Dr Azhar Yaakub berdoa sambil melaknat mereka yang tidak wala' dan tidak taat kepada Hadi. 

Ketiga, ketika Pengerusi Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS (Luham), Mohamed Hanipa Maidin berkata PAS perlu menolak jika dilantik sebagai menteri besar Selangor, beliau dicemuh dengan seruan "boo" oleh pengikut fanatik Hadi.

Sesuatu yang di luar dugaan apabila beliau dicemuh kerana yang diperkatakannya ialah keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat. 

Ketiga-tiga peristiwa ini menjadi titik hitam dalam muktamar itu. 

Ke Mana Hala Tuju PAS Selepas Ini?

Ramai berpendapat cara Hadi memberi ucapan penutup di muktamar itu menunjukkan PAS sedang merancang satu tindakan yang lebih besar dalam hubungannya dengan Pakatan Rakyat selepas ini. 

Namun, mereka tidak mahu membuat demikian dalam muktamar. 

Ini dibayangkan melalui ucapan penutup beliau dan ucapan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din semasa merasmikan Muktamar Dewan Ulama. 

Haron ketika itu berkata tahaluf siyasi dengan Pakatan ada syaratnya. Jika syarat itu dilanggar, ia perlu dikaji semula. 

Namun, ketika muktamar panas pada hari kedua sidang, Haron bangkit dan memberi arahan agar tidak dibincangkan lagi soal perbezaan antara presiden dengan pucuk pimpinan PAS yang lain. 

"Tindakan besar mahu diambil tetapi tidak mahu dibincangkan dalam muktamar. 

"Sebab itu semua usul berkaitan dengan kedudukan PAS dalam Pakatan dan isu menteri besar Selangor tidak dibahaskan," kata seorang pemimpin PAS yang tidak mahu dinamakan. 

Persoalannya kini, apakah ahli parti yang tergolong dalam kumpulan liberal dan progresif, dan tidak bersetuju dengan Hadi akan terus wala' dan taat kepada beliau? 

Kumpulan yang fanatik ulama jelas mengambil sikap 'mahu membunuh' semua yang berbeza pendapat dengan mereka. Ini diperlihatkan melalui laman Facebook El-Haraki, yang digunakan sepenuhnya untuk menyerang lawannya dalam PAS.

Sebab itulah apabila timbul sahaja isu PasMa, El-Haraki membariskan semua yang dianggap berbeza pendapat dengan Hadi, memegang jawatan dalam NGO baru yang dituduh berhasrat menubuhkan parti politik baru ini. 

Kini semua menunggu dengan penuh debaran, apakah sikap yang akan diambil oleh mereka? Berdiam diri dengan wala' dan taat sehingga mereka 'dipenggal' dalam muktamar tahun depan atau bertindak dari sekarang?

Semua mata tertumpu kepada kumpulan yang dilabelkan sebagai Erdogan, progresif atau profesional ini. - 21/9/14

Berkaitan:

Taksub kerana menganggap seseorang pemimpin sebagai dewa.

Politik negara kita kacau kerana ramainya pentaksub parti. Pentaksub inilah yang memecah belahkan perpaduan sesama kita kerana mereka suka melabel orang, mengata orang dan mencaci orang.

Sepatutnya, sebagai pentaksub parti, peranan kita ialah untuk memujuk orang menyokong kita, bukannya membenci atau menjauhi parti kesayangan kita.

Sepatutnya sebagai pentaksub parti, isu yang kita angkat ialah keadilan, kebenaran dan kesejahteraan rakyat dan negara. Saya fikir pendekatan ini lebih afdal dalam menarik sokongan rakyat kepada parti kita. 

Akhirnya, jika kita adalah pentaksub parti, jadilah pentaksub parti yang jiwanya berisi bukannya beremosi. 

Salam. -Prof Dr Muhammad Agus



Tiada ulasan: