DUNIACACAMARBA |
- [PANAS] MB Baharu Angkat Sumpah Selasa Depan
- Perwakilan Tuntut Insiden Boikot Mat Sabu Disiasat
- Saari, Hasnul PertahanTindakan Sokong Azizah, Sedia Dihukum
- Budak 13 Tahun Didakwa Jalin Hubungan dengan Amah, Jadi Bapa Termuda
- Nenek Terjun ke dalam Kolam Buaya
- Jokowi Tunjuk Kasut Baharu, Harganya...Wow!!!
- Harga Perawan Dinilai RM16 000 Selepas Wanita Menyaman Teman Lelakinya
- Perjanjian Air yang Ditandatangani TSKI Boleh Dipertikai Kerana...
- Digertak 15 Konco Gores dan Menang
- UPSR Bocor: Dua Lagi Guru Ditahan Malam Tadi
[PANAS] MB Baharu Angkat Sumpah Selasa Depan Posted: 18 Sep 2014 02:13 AM PDT [Malaysia Kini] Menteri besar baru Selangor akan mengangkat sumpah pada 10 pagi, Selasa depan di Istana Alam Shah, Klang, kata sumber istana. Kad undangan untuk upacara itu dilapor sudah dihantar kepada pemimpin-pemimpin negeri, wakil rakyat dan orang-orang kenamaan. Menurut sumber lagi, pilihan menteri besar baru itu akan didedahkan kemudian dan keputusan akhir telah dibuat. Sumber juga enggan mendedahkan menteri besar baru itu daripada parti mana. Istiadat itu akan diadakan di Balairong Seri istana dan tetamu undangan dikehendai memakai pakaian kebangsaan dan bersongkok hitam. - 18/9/14 | ||
Perwakilan Tuntut Insiden Boikot Mat Sabu Disiasat Posted: 18 Sep 2014 02:01 AM PDT [Malaysia Kini] Perwakilan Kuala Krai Zulkifli Yacob mahu Jawatankuasa Pemerkasaan Parti supaya menyiasat dan mengambil tindakan terhadap sekumpulan perwakilan Pemuda yang memboikot ucapan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dua hari lalu. "Jika benar ia berlaku, ambil tindakan (terhadap) Pemuda negeri (yang terlibat). "Diberi alasan ambil wuduk (untuk solat asar), wah, alimnya mereka! Itu jawapan politik. Tidak pernah berlaku dalam parti. "Jangan jadi isu-isu (tertentu) untuk melaga-lagakan pemimpin kita. Tak kira ulama atau profesional kerana mereka adalah pemimpin kita," kata Zulkifli ketika mempersoalkan berhubung laporan tahunan Muktamar PAS 2013. Tindakan beliau itu mengundang campur tangan Pengerusi Tetap Hussain Mohamad yang meminta beliau tidak mengulas panjang memandangkan sesi itu berkaitan perkara teknikal yang berbangkit dalam laporan tahunan. 'Siapa kamu nak boikot Mat Sabu?' Bagaimanapun, Zulkifli memohon tempoh selama dua minit untuk beliau menghabiskan ucapan dan pertanyaannya. "Jangan setengah pemimpin kita wala' (setia), dan pemimpin lain kita tak wala'. Saya tidak ada kepentingan apa-apa dengan beliau, tapi saya sokong beliau atas dasar beliau pemimpin kita. "Beliau banyak jasa, siapa kamu (untuk boikot beliau)," kata Zulkifli. Pada Muktamar Pemuda PAS dua hari lalu, dipercayai perwakilan Pemuda antaranya daripada Pahang, Terengganu dan Selangor keluar Dewan Chon Moi sewaktu Mohamad memulakan ucapan perasmian sayap parti itu. Ada antara mereka memakai vest hitam yang bertulis : "Kami bersama presiden dan Majlis Syura Ulama". Tindakan kumpulan itu dipercayai keputusan Mohamad yang tidak dilihat mempertahankan Abdul Hadi. Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali kemudiannya menjelaskan bahawa perkara itu adakan dijawab oleh pengerusi jawatankuasa yang terlibat - Salahudin Ayub - dalam ucapan penggulungan. - Abdul Rahim Sabri/18/9/14 | ||
Saari, Hasnul PertahanTindakan Sokong Azizah, Sedia Dihukum Posted: 18 Sep 2014 12:26 AM PDT [Mstar] PETALING JAYA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) menegaskan mereka berada di pihak benar dan sedia menghadapi sebarang kemungkinan daripada Jawatankuasa Disiplin parti berhubung tindakan membelakangi parti dalam krisis politik di Selangor. Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengakui tiada sebarang panggilan telefon mahupun surat tunjuk sebab diberikan supaya tampil memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Disiplin yang diketuai oleh Datuk Wan Mutalib Embong, walaupun pelbagai amaran dan desakan dikeluarkan. "Sehingga hari ini masih tak ada sebarang panggilan telefon mahupun surat rasmi yang saya terima. Yang ada hanyalah khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan dan hinaan daripada pihak-pihak yang berang dengan tindakan saya menandatangani akuan bersumpah (SD) menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat Selangor. "Jika dipanggil saya bersiap sedia, hadir dengan membawa saksi dan peguam jika diperlukan. Saya akan memberikan penjelasan dan membela diri berhubung pendirian yang dinyatakan pada sidang media 14 Ogos lalu," kata Saari kepada mStar Online pada Khamis. Beliau turut melahirkan kenyakinan bahawa tidak gentar terhadap sebarang ancaman dan sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya Jawatankuasa Disiplin parti mengambil tindakan tatatertib ke atas dirinya. "Saya yakin di pihak yang benar. Saya akan pertahankan diri...Sekali lagi saya jelaskan keputusan menandatangani SD menyatakan sokongan kepada calon menteri besar Selangor ketika itu adalah untuk menyelamatkan kedudukan PR di Selangor dan untuk mengelakkan PAS daripada bergabung dengan Umno. "Hal ini kerana, Tan Sri Khalid Ibrahim (menteri besar Selangor) mengakui beliau mempunyai majoriti ketika itu," ujarnya. Mengulas lanjut Saari turut melahirkan kenyakinan terhadap kredibiliti dan ketelusan Jawatankuasa Disiplin PAS pusat dalam menyelesaikan kemelut dan krisis yang berlaku. "PAS sebuah parti yang adil dan telus. Keputusan presiden juga tidak mendapat sokongan semua pihak. Ingin juga saya tegaskan keputusan tandatangani SD tersebut adalah pendirian masing-masing tanpa ada pengaruh daripada mana-mana pihak," katanya. Sementara itu, Hasnul turut menegaskan beliau tidak akan menarik balik kenyataan sebelum ini biarpun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak. Beliau juga bersedia memberi penjelasan dalam isu berkenaan sekiranya dipanggil untuk memberikan keterangan dalam isu berkenaan. "Sehingga hari ini tak ada apa-apa yang saya terima daripada mereka (Jawatankuasa Disiplin). Keputusan masih sama saya berpegang kepada SD yang ditandatangani sebelum ini dan ia dibuat demi menyelamatkan Pakatan Rakyat di Selangor. Hasnul turut mengakui dirinya tidak menghadapi masalah dengan rakan-rakan Adun yang lain sejak namanya menjadi bualan pihak media. "Saya tidak ada masalah, hari ini pun saya hadir Muktamar PAS pusat ke-53 di Batu Pahat sebagai pemerhati," katanya. Pada Rabu, Dewan Ulama PAS pusat sebulat suara meluluskan usul agar parti mengambil tindakan disiplin terhadap Saari dan Hasnul kerana didakwa membelakangi keputusan yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama dan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyokong Abdul Khalid dikekalkan sebagai menteri besar Selangor. Wakil Dewan Ulama dilaporkan berkata sayap parti turut melihat bahawa tindakan kedua-dua Adun PAS itu boleh dikenakan tindakan termasuk dipecat daripada parti. - Nurul Ain Mohd Hussain/18/9/14 | ||
Budak 13 Tahun Didakwa Jalin Hubungan dengan Amah, Jadi Bapa Termuda Posted: 17 Sep 2014 07:41 PM PDT [Harian Metro] Manama: Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang berusia 32 tahun melahirkan anak selepas hamil hasil hubungan dengan anak lelaki majikannya yang berusia 13 tahun. Kejadian itu sekali gus menjadikan budak terbabit bapa paling muda di Bahrain. Amah berkenaan yang kini dibicarakan di negara Teluk itu, mulanya mendakwa budak itu merogolnya tetapi kemudian menukar pengakuan selepas disoal siasat oleh polis. Peguam budak berkenaan, Ibtisam Al-Sabbagh memberitahu stesen televisyen CNN Arabia, pembantu rumah itu berjaya menyembunyikan kehamilannya daripada majikannya selama beberapa bulan sehingga dia hampir menaiki pesawat untuk terbang pulang ke negara asalnya. "Dia melahirkan bayi itu sebelum berlepas pulang. Dia melahirkannya seorang diri di bilik air majikannya. "Dia mulanya mendakwa dirogol oleh anak majikannya. Tetapi sebenarnya, dia menjalinkan hubungan cinta dengan budak itu," kata Ibtisam. - Agensi/16/9/14 | ||
Nenek Terjun ke dalam Kolam Buaya Posted: 17 Sep 2014 07:17 PM PDT [Harian Metro] Bangkok: Seorang wanita tua membunuh diri dengan terjun ke dalam kolam buaya. Menurut laporan akhbar Bangkok Post, Wanpen Inyai, 65, terjun ke kolam berkenaan yang mempunyai lebih 1,000 buaya di Ladang dan Zoo Buaya Samut Prakarn di ibu negara Thai ini. Kejadian berlaku Jumaat lalu selepas dia meninggalkan rumahnya di Bangkok pada hari sama. Saksi mendakwa melihat wanita itu sengaja melompat ke dalam kolam berkenaan sementara kamera keselamatan mengesahkan dia menanggalkan kasutnya dan berjalan menuju ke kolam berkenaan sebelum terjun. Jurucakap polis, Preecha Iamnui berkata, pemilik dan kakitangan ladang berkenaan menggunakan galah panjang untuk menghalang puluhan buaya membaham Samut, tetapi gagal. Adik mangsa, Sunan Tharmnat berkata, kakaknya kelihatan murung dan tidak bercakap dengan sesiapa selama beberapa hari sebelum dia menghilangkan diri. Dia dan keluarganya membuat laporan orang hilang selepas Wanpen tidak pulang pada malam hari berkenaan, tetapi disuruh menunggu 24 jam seperti ditetapkan undang-undang. - Agensi/17/9/14 | ||
Jokowi Tunjuk Kasut Baharu, Harganya...Wow!!! Posted: 17 Sep 2014 07:12 PM PDT
[Harian Metro] Jakarta: Presiden terpilih Joko Widodo (Jokowi) kelmarin menunjukkan kasut barunya, yang beliau beli di Cibaduyut, Bandung, dengan harga Rp400,000 (RM108). "Ini jenama Grutty. Lebih mahal berbanding kasut lama saya. Yang dulunya hanya Rp200,000 (RM59). Yang ini Rp400,000. Beli di Cibaduyut," kata Jokowi sambil menunjukkan kasut barunya itu kepada wartawan. Menurut Jokowi, pembantunya membelikan kasut itu sebulan lalu. "Saya tidak perlu ke Cibaduyut untuk membeli kasut. Isteri saya juga boleh membelikannya untuk saya. Anak saya juga boleh membelikannya. Hendak membeli menerusi Internet juga boleh. Tetapi yang ini, pembantu saya yang membelinya," katanya. Menurut Jokowi, beliau sanggup membeli kasut yang harganya lebih mahal asalkan ia buatan tempatan. "Kalau harga kasut ini Rp5 juta juga saya sanggup bayar kerana dia buatan tempatan, dari Cibaduyut. Kalau keluaran dalam negara, harus dibeli," katanya. Selama ini bakal presiden baru Indonesia itu sering memakai kasut coklat jenama Everbest. "Asyik coklat saja. Sudah bosan. Bagaimanapun, saya tetap suka kasut lama saya kerana lebih ringan," katanya.- Agensi/17/9/14 | ||
Harga Perawan Dinilai RM16 000 Selepas Wanita Menyaman Teman Lelakinya Posted: 17 Sep 2014 07:09 PM PDT [Harian Metro] Shanghai: Seorang wanita yang menyaman seorang lelaki kerana 'mencabuli haknya terhadap keperawanan' selepas lelaki berkenaan memikatnya dengan janji palsu, menerima hampir RM16,000 sebagai pampasan. Pasangan berkenaan berpacaran, tetapi selepas wanita itu, Chen, mendapati teman lelakinya itu sudah berkahwin, dia menyamannya atas tuduhan menipu serta menuduh dia berpura-pura bujang dan berjanji untuk berkahwin dengannya. Seorang jurucakap Mahkamah Rakyat Pudong mengesahkan kes itu dan keputusan berkenaan. Pasangan berkenaan berkenalan menerusi laman sosial pada 2009, tetapi mula berpacaran pada 2013 sebelum kedua-duanya bercuti bersama-sama ke Singapura dan mengadakan seks. Apabila lelaki itu, Li, tiba-tiba memutuskan hubungan mereka, Chen menyerbu rumahnya dan mendapati dia sudah beristeri. Chen menyamannya dengan menuduh dia mencabuli 'haknya terhadap keperawanan' dan kesihatan serta menuntut ganti rugi RM261,000 atas alasan mengalami gangguan psikologi. Mahkamah bagaimanapun hanya mengarahkan Li membayar RM16,000 kerana meragut perawan Chen dengan janji palsu. -18/9/14 | ||
Perjanjian Air yang Ditandatangani TSKI Boleh Dipertikai Kerana... Posted: 17 Sep 2014 07:05 PM PDT [Harian Metro] Shah Alam: Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Abdul Aziz Bari mendakwa segala keputusan atau perjanjian yang ditandatangani oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepanjang beliau hilang sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh dipertikaikan. Menurutnya, ia termasuk perjanjian air yang baru ditandatanganinya 12 September lalu kerana selepas Abdul Khalid kehilangan sokongan majoriti, beliau sudah tidak boleh membuat sebarang keputusan berkaitan pentadbiran negeri. "Mengikut peraturan, sebaik saja beliau (Abdul Khalid) kehilangan sokongan majoriti itu, beliau wajib meletakkan jawatannya dan tiada sesiapa boleh memberikan arahan supaya beliau meneruskan tugasnya kerana sokongan majoriti sudah tiada. "Jadi, apa saja keputusan yang dibuat beliau sama ada perjanjian air, atau apa saja walau dalam mesyuarat EXCO sekalipun, akan ada komplikasi terhadap keputusan itu kerana ada yang anggap beliau mentadbir Selangor secara haram (tanpa sokongan majoriti)," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel dalam program sebuah wacana berjudul Kerusi Panas MB Selangor di sini, semalam. Turut hadir sebagai ahli panel, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Timbalan Speaker DUN Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad. Menurut Dr Abdul Aziz, status Abdul Khalid patut dipersoalkan kerana jelas beliau kehilangan sokongan majoriti yang bermakna DUN hilang kepercayaan terhadapnya. Terdahulu, Abdul Aziz ketika menjawab soalan moderator wacana itu Dr Maszlee Malik berkenaan sejauh mana kuasa raja dalam menentukan kerusi menteri besar, beliau berkata, jika mengikut undang-undang perihal menukar kerajaan adalah perihal parti dan ia adalah hak DUN dan bukannya hak istana. -Na'imah Mohamed/18/9/14 | ||
Digertak 15 Konco Gores dan Menang Posted: 17 Sep 2014 07:00 PM PDT LELAKI disyaki ejen syarikat gores dan menang membawa kayu mengancam mangsa. [Harian Metro] Seremban: "Sebelum ini kami ditampar ejen gores dan menang, kali ini diugut pula dengan kayu dan besi sepanjang satu meter," kata Low Beng Yen selepas dia mencuba nasib kali kedua menuntut supaya wang isterinya dipulangkan dalam kejadian di syarikat gores dan menang di Taman Bukit Kepayang, di sini, semalam. Low, 54, berkata, dia dan rakannya, Kong Chee Tern, 50, datang ke pejabat syarikat berkenaan jam 11.30 pagi selepas tidak puas hati dengan keengganan ejen gores dan menang memulangkan semula wang RM1,200 walaupun dituntut pada Isnin lalu. "Malangnya sekumpulan 15 lelaki disyaki ejen gores dan menang menyedari kehadiran kami dan menghalang dengan mengacu paip besi dan kayu," katanya di sini, semalam. Menurutnya, kumpulan terbabit mahu menghalang dia daripada memasuki pejabat di tingkat satu premis perniagaan itu dan mendakwa akan memukul sekiranya mereka berdegil. "Bimbang keselamatan kami, saya menghubungi Ahli Jawatankuasa Pemuda MCA Jason Lee Kee Chong meminta bantuan, " katanya. Sementara itu, Jason berkata, beliau bimbang keselamatan kedua-dua sahabat itu berikutan tindakan ejen gores dan menang seperti samseng itu. Menurutnya, selepas dimaklumkan mengenai kejadian, beliau segera menghubungi polis meminta bantuan. "Saya kesal dengan kejadian itu yang menggambarkan seolah-olah sindiket gores dan menang tidak dapat dibendung lagi," katanya ketika ditemui di Balai Polis Jalan Campbell, di sini, selepas membuat laporan polis mewakili mangsa, semalam. Beliau berharap pihak berkuasa memandang serius perkara itu sebelum kejadian lebih buruk berlaku kerana sindiket terbabit sanggup bertindak membahayakan nyawa orang ramai. -18/9/14 Berkaitan: Mangsa Gores Menang Diancam Guna Senjata Jason (dua, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat kepada media, sambil diperhatikan Low (kiri) dan Kong (kanan). [Sinar Harian] SEREMBAN - Cubaan dua lelaki untuk berbincang dengan sebuah syarikat gores dan menang di Pusat Komersil Bukit Kepayang, dekat sini, semalam tidak kesampaian apabila mereka diancam menggunakan senjata. Pengadu hanya mahu dikenali sebagai Low, 54, berkata, kedatangan mereka sekitar jam 11.30 pagi itu bukanlah hendak bertelagah, sebaliknya untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah dihadapi sejak Isnin lalu, membabitkan tuntutan ganti rugi berjumlah RM1,500. "Malangnya, kehadiran kami tidak disenangi pihak syarikat. Beberapa lelaki berwajah bengis sambil bersenjatakan batang paip sepanjang kira-kira 1.2 meter yang muncul entah dari mana, menghalang kami mendekati bangunan tersebut. "Bimbang diapa-apakan, kami segera menghubungi ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda MCA Kebangsaan, Jason Lee Kee Chong untuk mendapatkan bantuan dan nasihat," katanya yang mengesyaki kesemua lelaki terbabit diupah pihak syarikat untuk menakutkan mereka berdua. Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan keselamatan masing-masing, Low dan Kong (bukan nama sebenar), 50an, akhirnya mengambil keputusan untuk beralah dan beredar dari premis berkenaan atas nasihat Jason. "Kami sempat mengambil beberapa gambar di lokasi sebagai bukti. Mujurlah telefon bimbit kami tidak dirampas," katanya kepada pemberita, di sini, semalam. Sementara itu, Jason yang ditemui pemberita di Balai Polis Jalan Campbell, dekat sini, semalam turut mengesahkan aduan Low dan Kong. "Perkara pertama yang saya fikirkan selepas menerima panggilan Low kira-kira jam 11.50 pagi adalah keselamatan mereka berdua. Sebab itu saya suruh mereka cepat-cepat beredar dari situ. "Saya turut memaklumkan kepada polis kejadian menimpa mereka berdua melalui panggilan telefon sekitar jam 12.55 tengah hari. Laporan secara bertulis pula dibuat kira-kira jam 2.23 petang," katanya yang berharap tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap syarikat terbabit. Isnin lalu, media melaporkan insiden melibatkan Low dan Kong yang dikepung hampir 12 lelaki ketika mahu menyerahkan surat tuntutan tribunal kepada sebuah syarikat gores dan menang, ekoran didakwa menipu isteri Low sebanyak RM1,500. Tidak cukup dengan itu, kedua-duanya mendakwa ditampar dan dimaki oleh beberapa lelaki terbabit, selain diberitahu bahawa pihak syarikat sama sekali tidak akan membayar semula wang yang dituntut. - KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB/18/9/14 | ||
UPSR Bocor: Dua Lagi Guru Ditahan Malam Tadi Posted: 17 Sep 2014 06:56 PM PDT [Bernama] KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lagi individu malam ini berhubung kes kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi matapelajaran Sains dan Bahasa Inggeris, menjadikan jumlah tangkapan 12 orang setakat ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata dua individu terbabit merupakan seorang guru wanita berusia 26 tahun dan seorang guru lelaki berusia 31 tahun. "Guru wanita itu ditahan pada 7 malam di Labis, Johor manakala guru lelaki itu ditahan pada 7.30 malam di Nilai, Negeri Sembilan untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini. Turut dirampas daripada mereka ialah gajet komunikasi milik kedua-dua guru itu. Gan berkata mereka akan dibawa ke mahkamah Putrajaya pagi esok untuk direman. Sehingga kini, seramai 18 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk enam pegawai Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), sembilan guru, dan masing masing seorang wartawan, ejen insurans dan jurutera. Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid mendudukinya Khamis lepas manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan sebelum pelajar mendudukinya pada hari yang sama. Lembaga Peperiksaan Malaysia menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu. -18/7/14 |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan