Selasa, 9 September 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Banjir: Jumlah rakyat Malaysia terkandas meningkat 54 orang

Posted: 09 Sep 2014 05:04 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
  
 
NEW DELHI: Jumlah rakyat Malaysia yang terkandas dalam bencana banjir yang melanda Jammu & Kashmir di India meningkat kepada 54 orang berbanding 29 orang semalam.
 
Daripada jumlah itu, 37 adalah pelajar manakala bakinya pula pelancong rakyat Malaysia, kata Chitra Devi Ramiah, Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Tamil Nadu.
 
Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman telahpun menghubungi rakan sejawatannya di India, Menteri Hal Ehwal Luar Sushma Swaraj, dan kerajaan India memberi sepenuh jaminan berhubung keselamatan rakyat Malaysia di sana, katanya.
 
"Kerajaan India menghulur sepenuh bantuan kepada Malaysia berhubung isu ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
 
Chitra berkata agak sukar untuk menghubungi rakan senegara dari Malaysia di sini memandangkan sistem komunikasi terputus sama sekali.
 
"Bekalan air dan elektrik turut terputus. Kami difahamkan sistem komunikasi mungkin pulih semula dalam tempoh 72 jam akan datang dan pejabat Konsul bekerja siang malam untuk membawa pulang rakyat Malaysia dengan selamat," katanya.
 
Menurut Kementerian Luar Malaysia, pelajar terbabit adalah daripada Kampus Perubatan Manipal di Karnataka, sebahagian besarnya ditaja Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA, di samping pelajar swasta.
 
Bencana banjir yang sedang melanda seluruh wilayah Himalaya, yang terburuk dalam tempoh 50 tahun, sehingga kini meragut 150 nyawa.

Serah Pengkalan Kubor cetus kekuatan baru PR

Posted: 09 Sep 2014 05:01 AM PDT

SALMAH MAT HUSAIN 


KOTA BHARU: Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata penyerahan semula Dun N1 Pengkalan Kubor oleh PKR kepada PAS petanda kekuatan baru Pakatan Rakyat akan bermula.

Penyerahan semula Dun berkenaan kepada PAS setelah dua penggal diberikan kepada calon PKR ujarnya, telah membangkitkan semula semangat juang PAS untuk memperkukuh Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Besar Kelantan turut mengucapkan terima kasih kepada PKR di atas laluan yang diberikan kepada PAS.

Katanya, dengan perpaduan yang dicapai bersama melalui PRK Pengkalan Kubor, Dun ini akan dapat diambil semula.

"Ucapan penghargaan dari kami PAS Kelantan dan terima kasih di atas laluan itu,"ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail hari ini memaklumkan parti itu memutuskan memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di Pengkalan Kubor pada PRK 25 September ini.

Menurutnya, ia sebagai mengambil kira perlunya parti-parti Pakatan Rakyat bertolak ansur, memahami dan berjiwa besar demi kesepakatan menentang Umno BN.- HARAKAHDAILY

Forum PasMA jadi medan hentam Hadi, tolak kerjasama

Posted: 09 Sep 2014 04:57 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Rasa tidak puas hati terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kemelut jawatan Menteri Besar Selangor dan prestasi kepimpinannya diluahkan pada forum pertama anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang diadakan malam tadi.
 
Ada peserta yang menuduh prestasi PAS semakin merudum berikutan kegagalan pemimpin itu menyelesaikan isu-isu berbangkit termasuk kemelut jawatan nombor satu di Selangor itu.
 
Malah, ahli panelnya Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa turut diajukan apakah Hadi patut menerima tindakan kerana menentang keputusan parti dalam soal pelantikan Menteri Besar Selangor.
 
Mujahid juga menegaskan, biarpun PAS kini berselisih pendapat dengan PKR dan DAP berhubung isu itu, ia terus komited dengan kerjasama bersama Pakatan Rakyat dan tidak sesekali membuka jalan ke arah kerajaan perpaduan dengan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
"PAS nak bersama dengan Umno, anda boleh mengandaikan apa yang anda ingin andaikan. Saya tidak boleh menyekat anda mengandai demikian.
 
"Saya mahu beritahu pada malam ini di depan kamera dan wartawan. Jangan misquote (salah tulis) saya. PAS tidak ada apa-apa hasrat ataupun niat untuk bersama dengan Umno," katanya di forum yang bertajuk PAS Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju itu.
 
Forum itu turut menampilkan Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi dan pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari sebagai ahli panel.
 
Kata AJK PAS Pusat itu lagi, sesiapa sahaja di dalam parti, termasuk pemimpinnya berhak ditegur, malah menurutnya Hadi juga manusia biasa dan tidak dianggap maksum oleh parti Islam berkenaan.
 
"Kami orang PAS dididik dengan satu hadis Nabi Muhammad, 'ketaatan manusia sesama manusia adalah ketaatan yang tidak mutlak manakala ketaatan kepada Allah dan rasul itu adalah mutlak'," ujarnya.
 
Di dalam forum itu juga, Mujahid turut memberi amaran keras kepada ahli-ahli parti Islam itu untuk tidak membawa 'suara musuh' yakni Umno dalam usaha memecahbelahkan PAS.
 
"Saya tidak menafikan bahawa hari ini Umno menggunakan taktik untuk memecahbelahkan PAS. Saya menyatakan PAS berdiri teguh menentang usaha untuk merosakkan PAS dari dalam.
 
"Pengalaman dan sejarah PAS, siapa yang merosakkan PAS atau menjadi agen yang terkinja-kinja (untuk) bersama Umno, mereka akan mengakhiri karier (politik) dalam PAS," kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Jawatan MB Selangor: DAP sedia kemuka calon selain Wan Azizah?

Posted: 09 Sep 2014 04:54 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: DAP hari ini membayangkan kesediaan menamakan calon tambahan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan Menteri Besar Selangor sebagaimana yang dititahkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah. 
 
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memohon maaf kepada baginda dan berkata beliau akan membincangkan semula isu senarai nama calon MB dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. 
 
Lim berkata keputusan untuk hanya mengemukakan nama Wan Azizah sebelum ini diambil selepas perbincangan dengan Anwar. 
 
"Kami memahami bahawa keputusan (menghantar satu nama) berdasarkan amalan sebelum ini dalam pelantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB dan juga akuan bersumpan 30 daripada 56 ADUN Selangor menyokong Wan Azizah," kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. 
 
Lim berkata DAP tetap setia dan mendokong kepada institusi raja dan parti itu akan mengadakan perbincangan dengan Anwar mengenai titah Sultan Sharafuddin. 
 
Kenyataan Lim itu menyusul 24 jam selepas Istana Selangor menyifatkan DAP dan PKR biadap kerana hanya mencalonkan Wan Azizah sungguhpun Sultan Sharafuddin menitahkan supaya lebih dua nama dicalonkan. 
 
"Tindakan DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah Sultan Selangor," kata kenyataan Istana Selangor.  
 
Kerusi MB kosong selepas Sultan Sharafuddin menerima peletakan jawatan Khalid berikutan pemecatannya daripada PKR bulan lalu. 
 
Khalid akan terus menyandang jawatan itu sehingga baginda melantik calon dari kalangan ADUN Pakatan Rakyat sebagai pengganti.

Perjanjian air Selangor dikhuatiri tidak sah

Posted: 09 Sep 2014 04:38 AM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic



SHAH ALAM: Perjanjian air antara kerajaan negeri Selangor dan persekutuan dikhuatiri tidak sah, memandangkan ia ditandatangani oleh menteri besar sementara, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Santiago berkata ia akan menimbulkan persoalan tentang keabsahan perjanjian bernilai RM9.5 bilion itu memandangkan semua pihak maklum yang Selangor sekarang berada dalam proses peralihan kepimpinan.
 
"Sesiapa yang mengikuti perkembangan di Selangor tahu yang Khalid sebenarnya adalah menteri besar sementara.
 
"Peletakan jawatannya diterima sultan yang memintanya kekal sehingga penggantinya diputuskan.
 
"Bagaimanakah seorang MB sementara dengan anggota kabinet kerangka sahaja, boleh menandatangani perjanjian RM9.5 bilion?
 
"Ia akan memberi implikasi kewangan besar dan implikasi lain kepada negeri," kata Santiago dalam kenyataannya.
 
Beliau seterusnya menyeru agar kerajaan Persekutuan tidak tergesa-gesa untuk memuktamadkan perjanjian itu.
 
"Kepimpinan baru kelak patut diberikan mandat sepenuhnya dalam menandatangani perjanjian penstrukturan air di Selangor itu.
 
"Mereka tidak seharusnya diletakkan dalam kedudukan yang sukar terutamanya jika perjanjian itu dicabar di mahkamah," katanya.
 
Santiago seterusnya mencadangkan agar perjanjian itu ditangguhkan dahulu sehingga kepimpinan baru mengambil alih pentadbiran.
 
Menurutnya, ia selaras dengan prinsip urus tadbir yang baik dan ketelusan.
 
Pada masa sama, penangguhan itu juga perlu mengambil kira rundingan yang masih berterusan di antara kerajaan Persekutuan dan operator rawatan air, SPLASH.
 
Khalid dilaporkan akan memuktamadkan perjanjian penstrukturan air dalam minggu ini.
 
Pakatan Rakyat pula masih gagal mengemukakan lebih daripada dua nama calon MB untuk menggantikan Khalid.
 
DAP dan PKR hanya mengemukakan satu nama, presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon jawatan tersebut.

Pengurus hotel didakwa menyamar 'unit risikan khas'

Posted: 09 Sep 2014 04:35 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Seorang pengurus hotel hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Melaka atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam dengan jawatan 'Unit Risikan Khas' Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Keselamatan Negara, bulan lepas.
  
Mohd Shamsul Azreen Atan, 30, didakwa melakukan penyamaran itu untuk melepaskan seorang rakannya dengan menunjukkan dokumen berbentuk kad kepada pegawai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.
  
Tertuduh melakukan kesalahan itu di Pusat Hiburan Hitz Club, Jalan Melaka Raya 8, Taman Melaka Raya di sini pada 3 pagi, 30 Ogos lepas.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
  
Majistret Mohd Firdaus Saleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 15 Oktober untuk sebutan semula dan pengurusan kes.
  
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Abd Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Faiezad Razali.-Bernama

Pas ada peluang cerah duduk kerusi MB

Posted: 09 Sep 2014 04:33 AM PDT


Penganalisis Politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain Penganalisis Politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain
 
 
 
SHAH ALAM - Calon Pas mempunyai peluang cerah menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar baharu selepas Istana Selangor menganggap tindakan PKR dan DAP yang hanya mengemukakan satu calon sebagai biadab kepada titah Sultan Selangor.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain membidas tindakan PKR membelakangkan keputusan Pas dan mendakwa ia punca pergolakan dalaman PR.

"Dengan tindakan PKR dan DAP yang hanya menghantar calon tunggal, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menyebabkan Sultan Selangor murka, lagi senanglah kerusi menteri besar jatuh ke tangan Pas.

"Tindakan mereka ini melampau kerana tidak mengikut titah dan derhaka terhadap sultan," katanya, semalam.

Menurut Ahmad Atory, tindakan Pas yang mendahului PKR dalam membuat keputusan menghantar calon sendiri yang dikritik hebat pimpinan PKR mencerminkan pergolakan dalaman antara mereka semakin teruk.

"Pas selama ini menyokong saja tindakan PKR dan DAP, tetapi dalam isu Menteri Besar Selangor, apa salahnya mereka sendiri ada pendirian? Mengapa PKR dan DAP tidak mahu sokong Pas dalam isu ini sebagaimana Pas yang  tidak pernah kurang menyokong rakan mereka.

"Pas pun lebih layak terajui Selangor kerana mempunyai lebih kerusi dalam Dun, jadi PKR tidak sepatutnya mempertikaikan tindakan Pas. Silap-silap nanti, percaturan mereka letakkan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar terkubur begitu saja," tegasnya.

Tambah beliau, tindakan sultan yang meminta setiap parti dalam PR menghantar lebih dari dua nama bukanlah dilihat sebagai menolak Dr Wan Azizah.

Pasma 'signal' rasa bosan PR suka bercakaran

Posted: 09 Sep 2014 04:31 AM PDT


Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi
 
 
 
KUALA LUMPUR - NGO Persatuan Ummah Sejahtera (Pasma) menegaskan badan itu buat masa ini tidak berhajat untuk menubuhkan parti politik, sebaliknya hanya mahu memberi isyarat kepada PR.

Menurut Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi, penubuhan Pasma adalah kerana mereka sudah bosan dengan sikap bertelagah dalam PR.

"Aktiviti Pasma kita hendak beri signal kita tidak selesa PR bercakaran.

"Saya ingat Pasma tidak jadi parti politik, Pasma adalah sebuah NGO buat peringkat ini.

"Namun politik adalah seni serba kemungkinan," katanya pada Forum Pas Campur Umno: Ke mana Hala Tuju? di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, malam tadi.

Berkata lanjut, Phahrolrazi menegaskan bahawa untuk menubuhkan sebuah parti politik ianya memerlukan komitmen yang tinggi.

"Untuk peringkat ini kita hendak kukuhkan PR, tubuh parti bukan mudah pelbagai rintangan yang perlu dilalui," tegasnya.

Isu Pasma sebagai sebuah parti politik mula menjadi 'buah mulut' apabila dikatakan bahawa pemimpin dalam Pas menubuhkan parti baharu bagi mengantikan Pas.

Pasma kononnya diwujudkan bagi mengelak berlakunya perpecahan dalam PR, sejak tercetusnya isu pencalonan nama pengganti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut hadir pada forum tersebut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mujahid Yusof Rawa dan bekas pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari.

Ibrahim: PERKASA tak tanding, bodoh

Posted: 09 Sep 2014 04:22 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali menegaskan, beliau tidak akan menyahut cabaran Pemuda Gerakan untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor, Kelantan.

Ini kerana, tegasnya, tindakan itu akan menyebabkan undi BN berpecah dan menyebabkan parti itu kalah sekiranya beliau bertanding.

"Satu cabaran bodoh oleh seorang budak bodoh. PERKASA bukan parti politik. Jika saya bertanding, saya akan menjadi calon bebas dan undi akan pecah, BN akan kalah.

"Tunggulah pada pilihan raya umum yang ke-14, kami akan beritahu orang Melayu untuk tidak mengundi Gerakan.

"Lelaki yang hebat seperti presiden PERKASA mempunyai otak untuk berfikir dan cabaran daripada Pemuda Gerakan tidak memberikan kesan kepada saya," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Selain itu, Ibrahim juga berkata, Gerakan sebenarnya parti yang 'kalah' apabila hanya memenangi 200 undi majoriti pada Parlimen Teluk Intan.

Malah, Ibrahim turut memberi amaran akan meminta pengundi Melayu agar tidak mengundi Gerakan pada pilihan raya umum akan datang.

"Gerakan memenangi kerusi Teluk Intan dengan 200 majoriti, ia bukan sesuatu yang bagus. Malah, PERKASA yang membantu untuk mendapatkan undi Melayu. Kita buat bukan disebabkan Gerakan, tetapi disebabkan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

"Tunggu sehingga pilihan raya umum ke-14, kita akan minta orang Melayu supaya tidak undi Gerakan," katanya.

Pemuda Gerakan: PERKASA tak relevan


Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pemuda Gerakan William Chang Yoong Hsi yang mencabar Ibrahim supaya bertanding pada PRK Pengkalan Kubor.

Dalam kenyataan hari ini, William (kiri) mencabar Ibrahim supaya bertanding pada PRK Pengkalan Kubor bagi membuktikan NGO itu masih relevan dan diterima oleh pengundi Melayu.

Menurut William, pada pilihan raya umum yang lalu, Ibrahim gagal mempertahankan kerusinya di Parlimen Pasir Mas yang mempunyai hampir 96 peratus pengundi Melayu.

Berbeza dengan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong yang memenangi pilihan raya kecil Teluk Intan, William turut berpendapat, PERKASA kini sudah tidak relevan lagi di negara ini.

"Pada pilihan raya umum ke-13 lalu, Ibrahim tidak dapat mempertahankan kerusinya di Pasir Mas yang mana 96 peratus merupakan pengundi Melayu.

"Jadi, bagaimana dia boleh kata Melayu menyokong PERKASA?

M'sia tunggu permohonan NZ hantar Rizalman

Posted: 09 Sep 2014 04:13 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kerajaan Malaysia sedia menghantar bekas diplomat tentera Muhammad Rizalman Ismail kepada New Zealand bagi menghadapi perbicaraaan, kata Kementerian Luar Malaysia.

Seorang jurucakap kementerian itu berkata kepada Malaysiakini bahawa pihaknya kini sedang menunggu pemohonan rasmi dari kerajaan New Zealand bagi tujuan tersebut.

Rizalman berdepan dengan tuduhan pecah rumah dan menyerang dengan niat untuk merogol di mahkamah Wellington.

Pada 26 Ogos lalu, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata penilaian psikiatrik terhadap Muhammad Rizalman telahpun siap tetapi tiada tarikh ditetapkan untuk menghantar beliau ke sana.

Kes piket: 8 lagi anggota RUM dibuang kerja

Posted: 09 Sep 2014 04:09 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM)  Abdul Razak Abdul Hamid berkata, seramai lapan orang lagi anggotanya dikenakan tindakan penyingkiran oleh majikan mereka hari ini.

Seramai 15 orang lagi digantung tugas berkuat kuasa hari ini oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) atas penglibatan mereka dalam piket 9 Mei, katanya.

"Seramai 110 orang menerima notis tunjuk sebab," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini.

Jumlah 110 orang itu sebelum ini dibimbangi akan turut disingkirkan oleh KTMB, apabila mereka berjaya dikesan oleh majikan sebagai peserta piket 9 Mei.

RUM akan mendedahkan maklumat lanjut berhubung perkembangan tersebut dalam satu sidang media pada 11 September di Kuala Lumpur, katanya.

Tindakan KTMB itu antara lainnya mendapat kecaman oleh NGO yang bersolidariti dengan RUM, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT).

Menurut NGO hak asasi itu, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) mengemukakan "tuntutan yang sah demi kebaikan organisasi dan masa depan pekerja".

"Adalah tidak wajar bagi pihak majikan, iaitu KTMB membuang pimpinan dan melanggar semangat keharmonian industri.

"Maka, kami JERIT bersolidariti dengan pimpinan kesatuan dan keseluruhan (anggota RUM) dan mengecam tindakan KTMB," menurut JERIT dalam kenyataan hari ini.

NGO tersebut berpendapat bahawa piket anjuran RUM pada 9 Mei itu dijalankan dengan mengikut undang-undang.

Tindakan KTMB itu bermula dengan pemecatan Abdul Razak dan timbalan presiden RUM, R Subramaniam pada 29 Ogos lalu.

Seterusnya, seramai tiga orang pekerja KTMB diberhentikan kerja tanpa notis pada hari Jumaat lalu.

Piket yang disertai ratusan anggota RUM itu bagi mendesak presiden KTMB Datuk Elias Kadir melepaskan jawatan kerana didakwa menunjukkan prestasi yang kurang cemerlang sepanjang perkhidmatannya.

DAP mohon ampun pada Sultan Selangor

Posted: 09 Sep 2014 04:02 AM PDT


Lim Guan Eng Lim Guan Eng
 
 
 
SHAH ALAM – DAP hari ini memohon ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana parti itu telah menyebabkan tuanku berasa dukacita terhadap keputusannya mengemukakan hanya satu nama iaitu Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai  calon menteri besar baharu.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng bagaimanapun berkata, meskipun parti itu gagal memenuhi permintaan tuanku supaya mengemukakan lebih dua nama bagi jawatan itu, namun pihaknya sentiasa setia dan mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan itu.

"Saya ingin memohon ampun kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor kerana telah menyebabkan tuanku merasa dukacita terhadap keputusan parti DAP mengemukakan nama Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sahaja sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Keputusan DAP itu telah dicapai selepas rundingan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia mengikut konvensyen yang dituruti sebelum ini berkaitan dengan lantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor pada 2013," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Semalam, Sultan Selangor melalui Setiausaha Sulitnya menzahirkan rasa dukacita dengan tindakan PKR dan DAP yang ingkar dengan titah baginda supaya parti-parti dalam PR mengemukakan lebih dua nama bagi calon jawatan menteri besar. 
 
Datuk Mohamad Munir Bani berkata, tindakan PKR dan DAP itu menggambarkan kebiadaban kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah baginda.
 
Menurutnya, Sultan Sharafuddin telah menerima senarai calon menteri besar daripada ketiga-tiga parti dalam PR namun hanya Pas yang akur titah baginda dengan menyenaraikan tiga nama.
 
Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, DAP akan berunding dengan Ketua Pembangkang itu berkenaan dengan titah Sultan Selangor terbaru itu secepat mungkin.
 
"DAP mengulangi kesetiaan kepada institusi Raja Berperlembagaan yang tidak berbelah bagi dan akan berunding dengan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang titah Tuanku DYMM Sultan Selangor yang terkandung dalam kenyataan akhbar oleh Setiausaha Sulit Tuanku," katanya lagi.

PKR beri laluan Pas tanding PRK Pengkalan Kubor

Posted: 09 Sep 2014 03:58 AM PDT


PRK Pengkalan Kubor
 
 
 
SHAH ALAM - PKR telah memutuskan untuk memberi laluan kepada calon Pas bertanding di kerusi Dun Pengkalan Kubor pada 25 September ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dicapai selepas pihaknya dalam memastikan kerjasama dan muafakat PR berterusan.

"Untuk berhadapan dengan Umno-BN secara berkesan, keutuhan dan kesepakatan dalam PR perlu dipertahankan agar kita bersatu menentang parti itu.

"Saya percaya ini hanya dapat dicapai melalui tolak ansur, saling memahami dan berjiwa besar dan kita perlu kembali kepada hasrat rakyat agar PR terus menumpukan usaha menggembleng semula tenaga rakyat berhadapan Umno-BN," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Ahad lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, PKR Kelantan bersetuju memberi laluan kepada Pas bagi mengambil alih kerusi Dun Pengkalan Kubor untuk ditandingi oleh calon Pas, 25 September ini.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui bersama pihak Pas Kelantan dan PKR Kelantan dalam satu perbincangan yang diadakan, baru-baru ini.

Kerusi Dun N01 Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia akibat kanser pada 20 Ogos lalu.

Allahyarham yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kelantan meninggal dunia di Ghuangzhou, ketika mendapatkan rawatan.

Pada PRU13 lalu, Noor Zahidi menang dengan majoriti 1,763 undi walaupun pilihan raya itu berdepan dengan pertandingan tiga penjuru dengan calon PKR, Shahrun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary.

Rompak, paksa lakukan seks oral

Posted: 09 Sep 2014 03:55 AM PDT

Rompak, paksa lakukan seks oral

Rompak, paksa lakukan seks oral
 
 
 
KOTA BHARU - Padah merompak dan memaksa mangsanya melakukan seks oral, seorang penjual sayur dihukum penjara 20 tahun dan dikenakan 10 sebatan rotan oleh mahkamah sesyen, di sini, petang tadi.

Tertuduh, Amran Yunus, 36, dari Kampung Chica, di sini, dihukum selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim, Mohd Yusoff Yunus.

Tertuduh didakwa pada tuduhan pindaan merompak wanita yang berusia 29 itu dengan mengambil wang tunai RM50, seutas gelang emas; lokat emas dan kunci kereta jenis Suzuki Swift di ladang kelapa sawit di Batu Jong, Kuala Krai, antara jam 7.20 dan 9 pagi, 4 Mei 2014.

Sebelum itu, mangsa behenti di sebuah stesen minyak menyedari salah satu daripada tayar keretanya pancit.

Tertuduh kemudian mendekati mangsa dan menawarkan bantuan untuk menunjukkan kedai tayar, namun kedai yang ditunjukkan tutup.

Tertuduh kemudian menawarkan bantuan untuk membaikinya, namun tiba-tiba mangsa ditarik dan diikat pada kerusi belakang kereta.

Dia kemudiannya memaksa mangsa melakukan oral seks. Enggan melakukannya, tertuduh bertindak mencurahkan gam ke dalam telinga dan memukul mangsa di mata serta perut.

Mangsa ditinggalkan di kawasan itu selepas barangan berharga diambil.

Pada prosiding itu, peguam bela, Mohd Faizal Abdul Rahman merayu hukuman tertuduh diringankan dengan mengambil kira tertuduh yang mempunyai lima anak serta isteri, namun Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ahmad Salam Yusof memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat.

"Jenayah yang dilakukan tertuduh sangat serius. Saya mohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan diri tertuduh. Mohon juga supaya mahkamah mempertimbangkan trauma yang dialami mangsa seperti mana laporan perubatan daripada pihak hospital," katanya.

Presiden PAS calon 3 nama selari perlembagaan

Posted: 09 Sep 2014 03:49 AM PDT

SELANGOR KINI


SHAH ALAM : Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan) berpendapat bahawa tindakan mencalonkan tiga nama sebagai calon Menteri Besar Selangor kepada Sultan Selangor oleh Presiden PAS adalah tepat dan tidak melanggari perlembagaan PAS.

hadi awang konvesyen PR 2013 01Ketua Kluster Undang-Undang Ilmuan, Aminuddin Omar berkata tindakan Datuk Seri Presiden ini adalah bagi memenuhi titah DYMM Sultan Selangor yang menitahkan agar lebih dari dua nama dicadangkan sebagai calon Menteri Besar.

Kenyataan penuh beliau seperti di bawah.

Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan) mengikuti dengan rapat perkembangan semasa isu Menteri Besar (MB) Selangor, seperti mana kenyataan media awal Ilmuan bertarikh 4 Ogos 2014 yang lalu. Perkembangan isu MB Selangor ini semakin menarik dalam masa terkini kerana ianya juga telah melimpah dan menyebabkan perbahasan dalaman PAS, terutama melibatkan bidang kuasa Presiden PAS, YB Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ilmuan telah meneliti perkara-perkara yang berkaitan berkenaan isu di atas:

1. Fasal 26(1) Perlembagaan PAS. – Tugas-Tugas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat – Presiden.

2. Fasal 8(1)(a) Perlembagaan PAS – Majlis Syura Ulamak.

3. Fasal 26(9)(m) Perlembagaan PAS – Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja.

4. Titah DYMM Sultan Selangor melalui surat yang bertarikh 27 Ogos 2014.

5. Kenyataan sokongan Dewan Ulamak PAS Pusat yang bertarikh 7 September 2014 yang menyokong hak YB Datuk Seri Presiden untuk mengguna pakai kuasanya sebagaimana di peruntukkan oleh Fasal 26(1) dan Fasal 8(1)(a) perlembagaan PAS.

6. Kenyataan sokongan Majlis Syura Ulama PAS Pusat yang bertarikh 7 September 2014 yang mengesahkan YB Dato'Seri Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti sesuai dengan Fasal 26(1) dan Fasal 8(1)(a) perlembagaan PAS.

Berdasarkan rujukan-rujukan di atas, Ilmuan berpandangan:

1. Fasal 26(1) telah memberi peruntukan yang amat jelas tanggungjawab Presiden dalam melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan ini mengikut dasar yang diperuntukan dan juga bagi menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS serta membuat ketetapan mengenainya.

2. Walau bagaimanapun Fasal 26(1) haruslah dibaca bersama Fasal 8(1)(a) yang terpakai dalam situasi wujudnya kesamaran dalam maksud dan tujuan peruntukan fasal 26 (1) ini digubal.

Dengan erti kata lain, Majlis Syura UlamaK diberi kuasa di bawah fasal 8 (1)(a) untuk menghurai, menjelas dan menafsirkan peruntukan fasal 26 (1) tersebut seterusnya membuat ketetapan mengenainya. Secara khususnya, Majlis Syura Ulamak mempunyai kuasa untuk mentafsirkan apakah yang dimaksudkan dengan "bertanggungjawab sebagai ketua".

3. Merujuk kepada Fasal 8 (1)(a), Ilmuan seterusnya berpandangan bahawa mekanisma yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan bagi Majlis Syura Ulamak melaksanakan kuasa mereka dalam menjelas, menghurai dan menafsir peruntukan Fasal 26 (1) adalah melalui "purposive approach".

Dengan erti kata lain, peruntukan ini dilihat memberi kuasa kepada Majlis Syura Ulama' dalam menjelas, menghurai dan menafsirkan kesamaran dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan PAS dengan melihat kepada semangat (spirit) PAS itu sendiri.

Ilmuan juga berpandangan bahawa YB Datuk Seri Presiden berada dalam kekangan waktu yang amat terhad, berlegar antara tarikh titah DYMM Sultan Selangor pada 27 Ogos 2014 dan tarikh tutup penghantaran tiga nama calon MB, iaitu pada 3 September 2014.

Ini disulitkan lagi dengan cuti umum Hari Kemerdekaan yang berlaku dalam tempoh yang sama.
Maka dalam situasi yang terbatas ini adalah tepat YB Datuk Seri Presiden mengguna pakai kuasa dan hak beliau selaku Presiden PAS seperti mana yang termaktub di dalam Fasal-Fasal yang tersebut di atas.

Justeru itu, Ilmuan dengan ini berpendapat bahawa tindakan mencalonkan tiga nama sebagai calon Menteri Besar Selangor kepada DYMM Sultan Selangor oleh YB Datuk Seri Presiden adalah tepat dan tidak melanggari mana-mana peruntukkan perlembagaan PAS.

Apatah lagi tindakan YB Datuk Seri Presiden ini adalah bagi memenuhi titah DYMM Sultan Selangor yang menitahkan agar lebih dari dua nama dicadangkan sebagai calon Menteri Besar. -

Nik Aziz saran Abdul Khalid ambil tindakan perundangan

Posted: 09 Sep 2014 03:45 AM PDT

Oleh: AFIX REDZUAN


SHAH ALAM: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan sokongan dan nasihat kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya mengambil tindakan perundangan  ekoran dipecat PKR ketika beliau masih memegang jawatan Menteri Besar Selangor.

Nasihat ini diberikan kerana tindakan pemecatan dibuat bekas partinya disifatkan sebagai tindakan memalukan.

Nik Aziz-Grafik"Kalau saya jadi Menteri Besar Selangor, saya (akan) bawa kes ini ke mahkamah kerana memalukan saya.

"Kenapa pecat saya (kerana) soal pecat ini bukan perkara main-main, memalukan" katanya kepada media dipetik SuaraTV.

Beliau yang ditemui di Pulau Melaka turut melahirkan rasa kesal dengan tindakan parti itu yang dilihat membelakangkan PAS dalam membuat keputusan.

"Dua keputusan yang dia (PKR) buat (sebelum ini) tidak diberitahu kepada kami, sebagaimana yang disebut oleh Tok Guru Abdul Hadi.

"Saya merasa risau" katanya lagi.
Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegur PKR yang membuat keputusan tanpa berbicang terlebih dahulu dengan PAS ketika mahu melaksanakan 'Langkah Kajang' pada sesi dialog dengan pemimpin dan ahli PAS di Terengganu.

"Tiada mesyuarat (perbincangan) sedar-sedar kita (PAS) diberitahu dan kita menyatakan tidak bersetuju.

"Ini bukan caranya, rakyat baru sahaja mengahadapi pilihanraya (umum) kemudian nak adakan pilihanraya (PRK DUN Kajang) pula, ini tidak betul,″ kata Hadi menerusi rakaman video yang dikongsikan di Youtube.

Pada 9 Ogos lalu, parti itu memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana enggan mematuhi keputusan parti agar memberi laluan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikannya sebagai Menteri Besar Selangor.

LIHAT VIDEO INI
EZY

Krisis MB: Kedegilan PKR, DAP Kemuka Lebih Calon Undang Kemurkaan Sultan

Posted: 08 Sep 2014 05:23 PM PDT

Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK 
 
 
Sultan Sharafuddin
 
 
 
PETALING JAYA: Kedegilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk mengemukakan lebih daripada dua nama bagi calon menteri besar Selangor akhirnya mengundang kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kedua-dua sekutu Pakatan Rakyat itu dianggap mengingkari titah Sultan Selangor apabila hanya mempersembahkan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal untuk dilantik ke jawatan eksekutif itu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, hanya PAS yang bertindak mematuhi titah Sultan Sharafuddin apabila mempersembahkan tiga nama seperti yang dititahkan baginda menerusi surat bertarikh 27 Ogos lalu.

"Manakala parti DAP dan PKR masing-masing mengemukakan hanya satu nama yang sama iaitu Datuk Dr Wan Azizah.

"Sultan Selangor amat merasa dukacita di atas tindakan DAP dan PKR yang ingkar terhadap baginda.
"Tindakan DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah Sultan Selangor," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Selain itu Mohamad Munir berkata, titah Sultan Selangor supaya setiap parti politik dalam Pakatan rakyat mengemukakan lebih daripada dua calon merupakan amalan atau konvensi yang diamalkan baginda.

"Ini adalah bagi membolehkan baginda membuat pilihan terhadap bakal menteri besar Selangor dengan melihat bukan sahaja sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri malah dari segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang Adun tersebut," katanya.

Selain itu Mohamad Munir berkata, walaupun parti dalam Pakatan Rakyat sudah mengemukakan calon masing-masing, Sultan Sharafuddin juga mempunyai kuasa untuk meneliti nama wakil rakyat lain dalam pakatan itu sekiranya mempunyai kelayakan.

"Dengan penerimaan senarai calon yang telah dikemukakan ini maka Sultan Selangor akan meneliti senarai berkenaan dan akan mengambil kira segala aspek dalam menilai setiap calon sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Dalam masa yang sama memandangkan kuasa melantik menteri besar Selangor terletak pada budi bicara tuanku, maka baginda juga akan meneliti nama-nama Adun yang lain dari Pakatan Rakyat yang berkelayakan dan pada fikiran baginda mendapat kepercayaan majoriti Dewan Undangan Negeri," katanya.

MH17: Hishammuddin Ke Kiev, Najib Harap Buahkan Hasil

Posted: 08 Sep 2014 05:21 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap lawatan kerja Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Kiev, Ukraine untuk meneruskan misi siasatan di tapak nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, akan membawa hasil yang baik.

"Hope for a good outcome (mengharapkan hasil yang baik)," kata Najib dalam ulasan di laman Twitternya yang dipautkan dengan catatan Twitter milik Hishammuddin pada Isnin.

Catatan Hishammuddin itu berbunyi: "Getting ready to leave 4 Kiev (Bersiap sedia untuk berlepas ke Kiev). Doakan semua selamat berjalan lancar di sana. Akan maklum perkembangan melalui Twitter #MH17".

Hishammuddin berlepas ke Kiev malam tadi bagi memastikan keselamatan pasukan penyiasat Malaysia terjamin ketika memasuki kawasan nahas pesawat itu di timur Ukraine.

Sebanyak 30 anggota petugas khas Polis Diraja Malaysia termasuk pegawai dan anggota dari cawangan Komando Vat 69, Forensik, Cawangan Foto, Persenjataan dan Unit Simpanan Persekutuan berlepas ke Ukraine bersama Hishammuddin.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia ditembak jatuh di wilayah Donetsk pada 17 Julai lepas.

Sejumlah 43 rakyat Malaysia berada di dalam pesawat Boeing 777-200 itu dan setakat ini 32 mangsa tragedi warga Malaysia telah dikenal pasti dengan 31 daripadanya dibawa pulang ke tanah air.

Pemimpin Majlis Peguam dilarang masuk Vietnam

Posted: 08 Sep 2014 05:18 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Andrew Khoo dilarang daripada memasuki Hanoi sejurus selepas mendarat di bandar di Vietnam itu.

Khoo berkata, beliau diiring kembali ke pesawat yang dinaikinya dan tidak diberikan sebarang alasan berhubung larangan itu.

Beliau berkata dimaklumkan perkara itu ketika dibawa ke pejabat imigresen di lapangan terbang selepas pasportnya dicop.

Di situ, katanya, beliau melihat pekerjanya sibuk mengisi borang tertentu, membuat panggilan telefon dan pasportnya disalin beberapa kali.

"Selepas kira-kira 20 minit, saya dimaklumkan bahawa saya dilarang masuk ke Vietnam, cop masuk saya dibatalkan dan saya diiring semula ke pesawat Malaysian Airlines MH753 yang membawa saya ke sini," tulisnya di Facebook.

PKR akui berdepan sedikit kesukaran

Posted: 08 Sep 2014 05:15 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menyeru semua pemimpin dan anggota PKR bertenang dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan suasana politik khusus berkaitan kemelut menteri besar Selangor.

Beliau mengakui parti itu sedang berdepan "sedikit kesukaran" tetapi yakin kepimpinan parti mampu mengatasinya berdasarkan pengalaman dan semangat muafakat dalam Pakatan Rakyat.

"PKR komited dengan Pakatan Rakyat. Perpaduan Pakatan perlu diperkukuhkan.

"Justeru itu, saya berharap pimpinan dan anggota tidak melatah, sebaliknya sentiasa berhemah, tenang dan berhikmah dalam semua keadaan.

"Insya-Allah kita akan menggunakan kebijaksanaan untuk menjernihkan kekeruhan sekarang," katanya dalam satu kenyataan.

Pagi ini Istana Selangor menyifatkan tindakan PKR dan DAP yang hanya mengemukakan nama Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sahaja sebagai "engkar" kepada titah Sultan yang meminta mereka mencalonkan lebih daripada dua nama sebagai calon MB.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata istana menganggap perbuatan kedua-dua parti itu sebagai "menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja" dan "merupakan perbuatan derhaka" kepada baginda.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga MP Gombak menegaskan dasar parti yang mendukung sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi salah satu tunggak kerajaan.

"Saya yakin kita akan keluar dari kemelut sekarang dan kita perlu menggilap iltizam dan azam untuk maju ke hadapan dan membangunkan Selangor dan menjaga kepentingan rakyat jelata," katanya.

Muslimat: Hilang percaya pada Azizah sejak 2008

Posted: 08 Sep 2014 05:14 PM PDT

MALAYSIAKINI


 



Kewibawaan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah sebagai calon pengganti menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim terus dipertikaikan pemimpin PAS.

Kali ini giliran Timbalan Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan Dr Rosni Adam pula membangkitkan kepimpinan Azizah ketika dilantik ketua pembangkang selepas pilihan raya umum 2008.

Rosni berkata, PAS ketika itu menyokong Azizah dan tidak timbul isu gender tetapi isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu didakwa hanya mampu bertahan kurang enam bulan sebelum meletakkan jawatan pada 28 Ogos.

"Apa jua alasan beliau ketika itu, rakyat telah hilang kepercayaan dan tidak dapat melihat keseriusan beliau sebagai pemimpin dan ahli politik dalam melaksanakan amanah pengundi yang mengundi beliau enam bulan sebelumnya," katanya.

Dua pemimpin kanan PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (presiden) dan Datuk Haron Din (timbalan mursyidul am) sebelum ini telah menjelaskan Azizah ditolak kerana isu kelayakan.

Dalam kenyataannya hari ini, Rosni juga membangkitkan prestasi Azizah selepas terpilih sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang pada awal tahun ini.

"PAS khuatir jika prestasi sedemikian diteruskan, dan rakyat akan terus mempertikaikan kemampuan Pakatan melahirkan wakil rakyat dan MB yang berkaliber," katanya lagi.

Rosni juga mendakwa PKR tidak pernah membuka ruang kepada pemimpin PAS membahaskan setiap calon yang ingin dicadangkan sebagai menteri besar sebelum ia diputuskan sebelum ini.

Muslimat PAS Wilayah Persekutuan juga berkata, sayap wanita ketiga-tiga parti dalam Pakatan harus berbincang mencari penyelesaian dan mengelakkan sengketa dengan istana dan bukan saling mengkritik dan "memfitnah".

Kenyataan Rosni itu dikeluarkan sebagai reaksi terhadap dakwaan Wanita DAP bahawa perangai Hadi dalam isu itu memecah belahkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: