Isnin, 22 September 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Exco: Khalid antara MB terbaik S'gor

Posted: 22 Sep 2014 05:00 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah salah seorang menteri besar terbaik di Selangor, kata Exco Iskandar Abdul Samad.

Beliau yang juga ADUN Cempaka berkata Selangor sebagai "amat bertuah" kerana mendapat menteri besar seperti Khalid sepanjang enam tahun ini.

"Saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Khalid, yang telah menjalankan tugas dengan baik.

"Saya melihat dia antara Menteri besar terbaik yang pernah Selangor dapat," katanya ketika ditemui media di lobi bangunan SUK hari ini.

Hari ini merupakan hari terakhir Khalid menamatkan tugasnya selepas kemelut beberapa bulan di mana pada kemuncaknya beliau dipecat PKR.

Khalid yang hadir hari ini dengan wajah ceria menyatakan akan membuat sidang media terakhir beliau petang ini.

Satu jamuan perpisahan di pejabatnya akan turut dijalankan petang ini.

Iskandar dilaporkan sebagai salah seorang calon yang ditemubual Istana untuk menggantikan Khalid.

Sementara itu, seorang lagi Exco Selangor, Sallehen Mukhyi mengucapkan terima kasih kepada Khalid kerana memberi tunjuk ajar selepas dilantik sebagai exco awal tahun lalu.

"Dia (Khalid) telah menunjukkan pimpinan yang baik, berintegriti, sukar untuk dicari ganti. Jadi kita kehilangan seorang tokoh yang besar di Selangor," katanya.

Selamat tinggal Tan Sri Khalid

Posted: 22 Sep 2014 04:57 AM PDT

Radzi Razak



 
 
 
Pertama kali saya mendengar pidato Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah ketika kempen pilihan raya umum ke 12 pada 2008, di Bandar Tun Razak dan saya dapati ucapan beliau membosankan.

Ramai yang datang tetapi seolah tidak diperdulikan sangat apabila beliau seolah tergagap dan sukar difahami maksud ucapan beliau.

Saya ketika itu membuat tugasan sebagai pelajar kolej  meminta untuk memubual beliau selama lima minit, dan reaksi awal saya terus berubah.

 Walaupun saya telah lupa apa isi temubual itu, namun saya ingat jawapan beliau satu persatu jauh lebih baik dan meyakinkan berbanding ketika berucap di hadapan ratusan hadirin di atas pentas.

Sebulan kemudian, beliau dilantik menjadi menteri besar Selangor dan saya meneruskan pengajian.

Hampir dua tahun selepas itu, saya terjun ke dunia kewartawanan dan ditugaskan membuat liputan aktiviti kerajaan negeri Selangor.

Hari ini merupakan hari terakhir Khalid bertugas sebagai menteri besar dan pastinya satu perubahan dirasakan khususnya bagi warga media di sini.

Khalid sebelum ini pernah menyatakan betapa beliau mahu meninggalkan legasi pentadbirannya sebelum turun dari kerusi menteri besar.

Selepas menandatangani perjanjian induk yang membawa kembali syarikat pembekalan air kepada negeri Selangor, Khalid dilihat menghabiskan hari-harinya dalam kerja-kerja "santai".

Tanpa protokol, karenah

Beliau turut kelihatan lebih ceria selepas menghantar surat peletakan jawatan kepada sultan Selangor dua minggu lalu.

Sabtu lalu, Khalid menghadiri acara perayaan pesta menuai Jepun, "Bon Odori" terakhir beliau sebagai menteri besar di Stadium Panasonic, Shah Alam dan beliau tetap seperti kali pertama pada 2008 - acara yang diakui beliau sebagai sentiasa membuatnya tersenyum dan ceria.

Beliau turun di tengah-tengah bersama menari mengelilingi bulatan dengan senyuman lebar tanpa sebarang kawalan keselamatan, sesuatu yang dilakukan saban tahun setiap kali perayaan ini tiba.

Khalid merupakan sosok yang amat berbeza sekiranya dikenali dengan rapat dan secara peribadi, bukan daripada pandangan politik.

Malah wartawan khususnya dari biro Shah Alam dan Selangor mendapati beliau mudah mesra dan sentiasa bersedia bertemu dan menjawab setiap persoalan yang ditujukan tanpa kerenah keselamatan dan protokol yang ketat.

Beliau yang sering dilihat bersama kakitangan pejabat menteri besar dan seorang "bodyguard" yang mesra tidak menghalang langsung ketika melihat media menuju ke arahnya, kecuali bulan lalu, tatkala krisis ini memuncak.

Saya melihat ramai wartawan yang mengenali Khalid berasa sedih dan marah apabila beliau dipecat dan dikritik hebat oleh pimpinan PKR sepanjang Ogos lalu.

Beberapa wartawan meluahkan kebimbangan pentadbiran Selangor bakal berubah berikutan ketidakyakinan kepada pengganti beliau, baik dari PKR atau PAS.

'Umpama dua sahabat'

Semalam, beliau mengiringi Sultan Sharafuddin Idris Shah ke kejohanan golf Selangor Masters dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Selepas menyampaikan hadiah, sultan dan Khalid, berbual panjang di sudut khemah jamuan, dengan perbualan yang agak peribadi, dan amat santai sekali. Mereka kelihatan umpama dua sahabat yang berbual di kedai makan selepas penat bekerja.

Khalid dilihat agak jauh dari PKR namun sepanjang enam tahun pentadbirannya, beliau  dihormati mereka yang pernah bekerja dengannya.

Jolokan "kedekut" sinonim dengan beliau oleh kedua pengkritik dan pemujinya. Dari satu sudut, beliau dilihat amat berhati-hati dalam membelanjakan wang negeri, dan dari satu sudut lagi, beliau dilihat seperti tidak mahu membantu mengembangkan agenda pimpinan tertinggi parti.

Namun beberapa orang-orang beliau, sama ada baru atau sudah lama bekerja dengannya, mampu memberi kerjasama dan mempertahankan beliau.

Beberapa bulan lalu, seorang pengerusi GLC Selangor yang bukan berlatar belakangkan politik, meluahkan kebimbangan kepada saya terhadap perkembangan yang berlaku ketika itu.

Menurut beliau cara kerja Khalid yang teliti tidak pernah diterima beliau dari seorang ahli politik sepanjang lebih 20 tahun pengalamannya.

Penampilan serabut

Walaupun terkenal sebagai tokoh koporat yang mewah, penampilan Khalid dilihat berbeza dengan rakan kontemporarinya.

Adalah menjadi perkara biasa apabila Khalid keluar dari bilik mesyuarat, beliau dikepung media dengan rambut dan pakaian yang kurang kemas. Bagaimanapun penampilan "serabut' Khalid itu nampaknya menjadikan beliau seorang pemimpin yang mudah didekati rakyat.

Saya masih ingat lagi seorang makcik yang terkesima apabila melihat Khalid bersahaja membeli stokin di pasaraya Giant sewaktu acara pemberian baucer "Jom Shopping" warga emas tahun lalu.

Makcik tersebut yang kebetulan berdiri di sebelah saya, secara spontan melahirkan kekaguman kerana seorang Tan Sri yang membeli pakaian di tempat yang sama dengan beliau.

Dan ini bukanlah gimik politik kerana beliau memang begitu. Namun yang kurang diketahui umum ialah minat Khalid dengan karya sastera khususnya sajak.

Pada tahun 2012, ketika majlis menganugerahkan pengikritafan kepada Datuk A. Samad Said sebagai "Sasterawan Tamu" negeri Selangor, Khalid membaca ucapan yang amat panjang diselang-selikan dengan petikan-petikan sajak.

Walaupun agak lambat dan kurang lancar, kesungguhan beliau membaca menimbulkan kelucuan dan kekaguman mengenali sudut itu.

Masalah Khalid

Bagaimanapun tidak dapat dinafikan beberapa polisi Khalid tetap menjadi kritikan orang ramai khususnya dalam menangani infrasturktur asas seperti jalan raya dan masalah kutipan sampah.

Beliau turut dikritik kerana didakwa terlalu lambat bertindak dalam beberapa isu dan kerenah birokrasi yang keterlaluan, khususnya dalam pemberian dana Selangorku.

Malah cara beliau meminggirkan ketuanya dalam bidang politik, dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada Pakatan Rakyat sendiri dan sudah dijangka bakal menjurus Khalid ke laluan sukar seperti yang berlaku sekarang.

Dan ia turut membuka jalan kepada sebuah politik nilai, daripada politik kelompok, yang hanya setia kepada sosok tertentu dalam aliran politik.

Pemergian Khalid tidak bermakna beliau akan terus hilang dari mewarnai politik Malaysia. Beliau kini merupakan seorang ADUN dan ahli Parlimen Bebas.Selamat jalan Tan Sri.
 

UPSR: Kertas siasatan ke pejabat AG minggu depan

Posted: 22 Sep 2014 04:44 AM PDT

MALAYSIAKINI


Kertas siasatan berhubung kes kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris dijangka diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara minggu depan.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Gan Kong Meng berkata ketika ini pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan.
  
"Tiada tangkapan baharu setakat ini. Semua 14 individu yang ditangkap telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
  
Sehingga semalam, polis telah merekodkan keterangan lebih 30 individu bagi membantu siasatan kes itu.
  
Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid mendudukinya pada 11 Sept manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 terpaksa ditangguhkan sebelum murid mendudukinya pada hari sama.
  
Lembaga Peperiksaan Malaysia menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baru peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran itu.
  
Semalam, polis menerima laporan mengenai dakwaan kebocoran dua lagi kertas peperiksaan UPSR iaitu kertas Bahasa Tamil dan Matematik.    - Bernama

Rasuah: Lima pegawai kastam mengaku tak bersalah

Posted: 22 Sep 2014 04:38 AM PDT


Jabatan Kastam Diraja Malaysia Jabatan Kastam Diraja Malaysia
 
 
 
KUALA LUMPUR - Lima pegawai kastam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima suapan berbentuk bayaran bulanan antara RM500 hingga RM50,000 sejak empat tahun lalu.

Mereka didakwa di tiga mahkamah berasingan sebentar tadi di mana empat daripada mereka telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan sama minggu lepas.

Dr M: Akur pilihan Sultan elak krisis berpanjangan

Posted: 22 Sep 2014 04:18 AM PDT

MALAYSIAKINI


Semua pihak harus akur dengan pemilihan calon Menteri Besar Selangor yang baru oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengelak krisis politik berpanjangan di negeri itu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.
  
Beliau berkata pemilihan Sultan Selangor perlu diterima semua pihak terutamanya Pakatan Rakyat ekoran kegagalan mereka mengemukakan calon tunggal Menteri Besar Selangor yang disokong oleh semua.
  
"Mereka tidak dapat membuat kata putus bersama untuk mengemukakan satu calon... sebab itu Sultan meminta dua tiga calon dan terpulang pada Sultan untuk memilih sesiapa dan saya harap semua pihak akan bersetuju," katanya.
  
Dr Mahathir berkata sekiranya terdapat usul tiada kepercayaan dibawa di persidangan Dewan Undangan Negeri Rakyat yang menyebabkan menteri besar yang dipilih itu 'jatuh', ia hanya memanjangkan masalah di negeri itu.
  
"Berpanjangan masalahnya dan lebih baik mereka sokong siapa yang akan dicalonkan sebagai menteri besar," katanya kepada media selepas melancarkan projek pembangunan bercampur Shapadu Putrajaya Haven di Putrajaya hari ini.

Ditanya adakah pemilihan menteri besar oleh Sultan Selangor menunjukkan pencabulan demokrasi dalam Parlimen, Dr Mahathir berkata :"Demokrasi adalah mengikut suara ramai, kali ini tiada suara ramai jadi terpaksa pihak seperti presiden membuat keputusan.
  
"Kalau ada satu calon yang disokong penuh oleh semua, maka tidak ada kemungkinan usul tiada kepercayaan, malah satu nama dah cukup," katanya.
  
Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor baru bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan diadakan esok di Istana Alam Shah, Klang.
  
Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata nama menteri besar yang baru bakal diumumkan hari ini bergantung kepada perkenan Sultan Sharafuddin.- Bernama

Persetujuan Pusat-MAIK hina mahkamah, kata MP

Posted: 22 Sep 2014 04:14 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


PAS mendakwa tindakan kerajaan Persekutuan mengadakan persetujuan bersama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) berhubung pemberian 50 peratus wang ehsan sebagai menghina mahkamah.

Penasihat jentera pilihan raya kecil PAS Pengkalan Kubor Datuk Takiyuddin Hassan mempersoalkan bagaimana persetujuan itu boleh dicapai walaupun kes itu masih dibicarakan di mahkamah.

"Mahkamah belum putuskan lagi soal tiga batu nautika, itu pun belum diputuskan mahkamah. Saya salah seorang peguam yang hadir bagi kes ini.

"Kes ini dalam mahkamah. Tuntutan (masih) dalam mahkamah. Boleh ke kerajaan pusat mengatasi mahkamah? Ini penghinaan mahkamah," katanya pada sidang media di markas PAS DUN Pengkalan Kubor hari ini.

Bagaimanapun, Takiyuddin yang juga MP Kota Bharu wang ehsan sebanyak 50 peratus akan tetap diterima walaupun kes tuntutan royalti minyak masih dibicaralan di mahkamah.

"Persoalan (pembahagian 50 peratus) tak timbul walaupun diberi atau diterima oleh MAIK," kata pengarah operasi pilihan raya PAS Kelantan.

"Kalau hendak bagi (wang ehsan) boleh, tetapi ini bukan penyelesaian tuntutan dari kerajaan Kelantan terhadap Petronas dan kerajaan Pusat," katanya lagi.

Bukan penyelesaian


Sebelum ini, Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu satu persetujuan telah dicapai antara Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan MAIK untuk membahagikan wang ehsan negeri itu secara 50-50 bermula Januari tahun depan..

Mengulas mengenai dokumen laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Tuntutan Kelantan terhadap royalti minyak yang didakwa akan didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Takiyuddin berkata ia bukan penyelesaian bagi kes tuntutan royalti.

Malah, pengamal undang-undang itu menegaskan, kes tuntutan itu tidak akan ditarik balik walaupun wang ehsan atau perbincangan daripada wakil kerajaan negeri dan Persekutuan telah dibuat.

"Memang ada wakil kerajaan negeri iaitu Tengku Mahkota Kelantan. Itu satu siri perbincangan antara kerajaan Pusat dan negeri, belum habis lagi.

"Pengerusi atau wakil ini akan bentang kepada kerajaan negeri dan tuntutan di mahkamah tetap diteruskan. Ini bukan penyelesaian kes.

"Bukan kata kita dapat 50 peratus kita tarik balik kes di mahkamah, tidak. Tidak ada kena mengena langsung. Dia hendak bagi itu isu lain," katanya lagi

SPR didesak turun kain rentang 'broker, barua'

Posted: 22 Sep 2014 04:04 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau dan menurunkan kain rentang yang memaparkan tulisan "broker dan barua".

Beliau bimbang kain rentang dan poster provokasi dan tidak berkaitan dengan pilihan raya kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor dikhuatiri akan menimbulkan sentimen yang tidak baik di kalangan pengundi di kawasan itu.

Antara tulisan kain rentang itu bertulis: "Kito jange sokong parti hok ado brokar dan barua".

"Kain rentang yang provokasi ini, kita harap pihak SPR boleh pantau dan dapat laksanakan tanggungjawab dan tugas bagi pastikan tidak ada kain rentang yang menimbulkan sentimen tidak baik di kalangan pengundi.

"Kita jangka tiga hari terakhir ini mungkin cuaca politik lebih panas dari biasa," katanya yang pengarah PRK itu dalam sidang media di markas PAS DUN itu hari ini.

Beberapa kawasan di Pengkalan Kubor turut dinaikan kain rentang antara lain memaparkan wajah ADUN Salor Datuk Husam Musa dan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.

Kain rentang itu antara lain memaparkan petikan kata-kata dua tokoh itu yang mengkritik kerajaan negeri dan PAS

Kain rentang itu bertulis: "Haron Din kecewa keputusan Majlis Syura PAS diperlekeh oleh golongan pro Anwar", "Bukan rahsia lagi kepimpinan ulama diserang bertubi-tubi. Orang jual kacang, orang jual cendol pun sudah tahu".

Sebelum ini juga, PAS dan NGO pro-royalti 'R' menggantung beberapa kain rentang mengenai isu royalti minyak antaranya bertulis "Undi calon untuk royalti, tolak pengkhianatan rakyat Kelantan".

Malah terdapat juga papan tanda daripada Urus setia Penerangan Kerajaan Negeri yang bertulis "Royalti perjanjian sama, jarak lebih dekat, royalti tak dapat".

Bagi membalas serangan itu, BN turut menaikkan satu papan tanda besar bagi menangkis dakwaan PAS.

Papan tanda itu bertulis "RM12 bilion fitnah besar PAS. Tetapi demi rakyat, mulai tahun depan wang ehsan akan disalurkan 50% kepada Majlis Agama Islam Kelantan dan 50% disalur terus kepada rakyat Kelantan".

'Biar drama orang politik dikenang selamanya'

Posted: 22 Sep 2014 03:59 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Pada hari terakhirnya sebagai menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap menunjukkan beliau lebih banyak bekerja dari berpolitik.

Bersama dalam majlis yang dimeriahkan lebih 200 kakitangan kerajaan negeri, Khalid menasihatkan mereka supaya bekerja keras tanpa memperdulikan drama orang politik.

"Biarkan orang politik berperang. Biarlah ahli politik berlakon dan berdrama. Kita terus kerja.

"Biar drama mereka jadi lawak jenaka yang akan dikenang selamanya," kata beliau dalam acara di lobi Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.

Sultan S'gor lantik Azmin MB baru

Posted: 22 Sep 2014 03:57 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Sultan Selangor telah berkenan melantik Timbalan presiden PKR Azmin Ali sebagai menteri besar yang baru berkuatkuasa esok.

Majlis angkat sumpah akan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang jam 10.30 pagi esok.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, ketika dihubungi Malaysiakini,  mengesahkan surat pelantikan itu telah dihantar Azmin hari ini.

Azmin akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tamat perkhidmatan sebagai menteri besar hari ini.

Petang tadi, Khalid diraikan dalam majlis yang dimeriahkan lebih 200 kakitangan

Sementara itu, PKR mengadakan mesyuarat petang ini di ibupejabatnya berhubung perkara itu.

MB: 60 peratus Azmin, 40 peratus Pas?

Posted: 21 Sep 2014 04:58 PM PDT


Isu MB Selangor
 
 
 
SOALAN yang sering bermain di fikiran setiap rakyat Selangor, iaitu siapa menteri besar yang baharu, akan terjawab hari ini, apabila pihak istana dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung nama pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pengumuman ini dibuat sehari sebelum istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang, 10 pagi esok.

Ini juga memberi maksud bahawa tempoh perkhidmatan Abdul Khalid sejak lima tahun akan tamat dan diteruskan oleh calon yang baharu.

Sumber Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) memaklumkan, Abdul Khalid mengakhiri tugasnya hari ini sebelum Majlis Angkat Sumpah menteri besar baharu, 23 September ini.

"Pejabat Menteri Besar juga dalam proses pengosongan. Tan Sri pun akan pergi bercuti dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Difahamkan, hari ini Abdul Khalid akan menganjurkan jamuan ringkas untuk meraikan pengundurannya di lobi Bangunan SUK pada jam 4 petang.

Sementara itu, sehingga semalam, pemerhati politik masih belum dapat mengenal pasti siapa yang akan menjadi pilihan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk dilantik mengisi jawatan tersebut.

Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan semalam, terdapat beberapa petunjuk yang boleh dilihat memberi sedikit sebanyak jawapan kepada soalan cepu emas ini.

PKR sejak daripada awal bertegas mahu Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menjadi menteri besar baharu menggantikan Abdul Khalid dan semalam sekali lagi parti itu menerusi Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail sekali menegaskan perkara tersebut.

Beberapa pemerhati politik berpendapat kerusi menteri besar ini bakal diisi oleh calon dari Pas, berikutan tindakan  parti itu menghantar beberapa nama kepada sultan untuk dipertimbangkan.

Peluang Pas nampak lebih cerah apabila sultan tidak pernah dukacita dengan parti tersebut dalam proses pemilihan calon ini, berbeza dengan rakan PR yang lain yang dianggap 'derhaka titah baginda'.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad. Selain beliau, dua exco lain iaitu Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Adun Sabak, Salehen Muhyi.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali tidak boleh diketepikan, tambahan pula kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik PKR.

Sinar Harian difahamkan, Azmin antara calon dipanggil istana untuk ditemuduga menjadi menteri besar, selain beliau, terdapat beberapa calon lain yang turut dipanggil istana iaitu Iskandar dan Ahmad Yunus.

Antara ketiga-tiga calon ini, Azmin dilihat lebih berpotensi dipilih kerana beliau pernah mendapat sokongan Pas untuk jadi menteri besar. Nama Wan Azizah langsung tidak dipanggil sekali gus mengetepikan Presiden PKR itu untuk kerusi paling panas tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dalam kenyataan melalui laman Facebook rasmi PKR menafikan laporan portal berita bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju Azmin menjadi Menteri Besar Selangor.

Segala persoalan ini hanya akan terjawab hari ini apabila pihak istana akan membuat pengumuman penting ini secara rasmi. Sesiapa pun dilantik mestilah mempunyai kebolehan dalam memimpin. Paling penting mesti kelihatan bersih dari segi moral dan integriti.Sama-sama kita nantikan.

Saifuddin: Tiada kompromi isu MB

Posted: 21 Sep 2014 04:46 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


PKR terus menafikan dakwaan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berkompromi dan memberi persetujuan kepada calon lain sebagai menteri besar Selangor.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyatakan laporan bahawa Anwar bersetuju memberi laluan kepada Timbalan Presidennya, Azmin Ali sekiranya dipilih sultan Selangor Selasa ini, tidak tepat.

"Sebagai menjawab beberapa dakwaan yang timbul akibat laporan-laporan media berkenaan isu pelantikan menteri besar Selangor yang baru, saya menegaskan bahawa PKR berpegang teguh kepada keputusan parti yang telah dibuat sebelum ini termasuk seperti yang dipersetujui di dalam mesyuarat Biro Politik minggu lalu.

"Oleh yang demikian, calon PKR bagi jawatan menteri besar Selangor yang baru tidak berubah iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata PKR kekal dengan pendirian mereka dan setia mempertahankan perlembagaan negeri bahawa seorang menteri besar haruslah mempunyai sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri.

Ini kerana Wan Azizah telahpun mendapat sokongan majoriti dewan melalui perakuan bersumpah bulan lalu.

"Keputusan dan pendirian PKR adalah atas kepercayaan mempertahankan undang-undang tubuh Selangor dan sistem raja berperlembagaan.

"Makanya sebarang berita tidak wajar disebarkan untuk memberi gambaran bahawa PKR berganjak dari keputusan mempertahankan undang-undang tubuh Selangor dan sistem raja berperlembagaan ini," kata beliau

Beberapa media melaporkan Azmin telah pun mendapat persetujuan lisan dari Anwar dan PKR untuk menggalas tugas itu.

PKR sebelum ini turut menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan perbincangan perkara itu hanyalah melibatkan "senario" sahaja dan bukannya keputusan.

Malaysiakini difahamkan bahawa Azmin telah pun bertemu Anwar secara peribadi untuk membincangkan hal itu dan mengelak salah faham antara mereka.

Sumber dari kem Azmin turut memberitahu Malaysiakini bahawa "perbincangan" tersebut masih lagi berterusan.

Bagaimanapun butir perbincangan peribadi masih lagi tidak dapat didedahkan lagi buat masa ini.

Azmin sebelum ini secara terbuka menyokong pencalonan Wan Azizah sebagai menteri besar walaupun dicalonkan oleh PAS dalam mesyuarat mereka bulan lalu.

SPR tolak siaran langsung kiraan undi

Posted: 21 Sep 2014 04:45 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Siaran langsung proses pengiraan undi mana-mana pilihan raya kecil (PRK) masih belum sesuai untuk dilaksanakan buat masa sekarang, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata siaran langsung hanya boleh dilakukan apabila calon pilihan raya, parti politik dan masyarakat Malaysia mencapai tahap kematangan dalam berpolitik, supaya SPR tidak dipersalahkan jika berlaku insiden tidak diingini pada siaran itu.

"Wakil calon bertanding dibenarkan berada dalam bilik semasa proses pengiraan dilakukan, dan dibimbangi jika berlaku insiden seperti pertengkaran kecil atau salah faham, ia akan mengundang masalah lebih besar dalam kalangan orang luar yang menonton.

"Mereka mungkin melihat perkara itu dari perspektif berbeza, hanya apa yang disiarkan di televisyen, namun perkara ini kemudiannya diperbesarkan pihak berkenaan sehingga menjadi isu kepada SPR," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

SPR juga bimbang jika ada pihak yang mengambil kesempatan daripada siaran langsung itu untuk mendapatkan perhatian masyarakat dengan 'mengada-adakan' perkara yang tidak wujud semasa proses pengiraan berlaku, tambahnya.

Abdul Aziz berkata pihaknya juga perlu memastikan cara terbaik untuk pihak media menyiarkan siaran langsung itu memandangkan kamera masa kini dilengkapi kemudahan zum, sedangkan kertas undi merupakan suatu perkara yang sangat sulit.

"Kita juga perlu memikirkan bagaimana pergerakan kakitangan media dalam bilik mengira undi, kerana pelbagai perkara di luar kawalan boleh berlaku semasa siaran langsung dalam keghairahan memberikan laporan terbaik," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Aziz menegaskan siaran langsung itu hanya boleh dilakukan apabila semua pihak mengamalkan politik matang dan memahami tanggungjawab masing-masing.

"SPR tidak ada masalah untuk siaran langsung, malah sangat mengalu-alukannya untuk menunjukkan ketelusan kita, namun tidak mahu ia menjadi seperti senjata makan tuan dan keterbukaan itu akhirnya dijadikan isu kepada kami," katanya.

Beliau menambah bagi merealisasikan hasrat itu di masa hadapan, SPR bersedia untuk berbincang dengan Jabatan Peguam Negara dan pihak berkenaan bagi memperhalusi protokol dan tatacara perlaksanaan siaran langsung itu.

Buat masa sekarang, Abdul Aziz memberitahu semua proses pengundian PRK – dari peringkat penamaan calon sehingga ke pengiraan undi - dirakamkan pegawai Filem Negara di bawah seliaan pegawai SPR agar ia tidak melanggar isu kerahsiaan pengundian.

Hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilaporkan memohon supaya SPR mempertimbangkan semula cadangan kementerian itu supaya proses pengiraan undi mana-mana PRK disiarkan secara langsung menerusi Radio dan Televisen Malaysia (RTM).

Langkah itu akan membolehkan seluruh rakyat Malaysia menyaksikan proses penuh pilihan raya yang dijalankan dengan telus dan adil, tambah Ahmad Shabery.

Ahmad Shabery pernah mengutarakan cadangan itu pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada tahun lalu, namun ditolak SPR atas alasan ia melibatkan kerahsiaan pengundian. - Bernama

Tahaluf siyasi: Rakyat mahu lihat PR terus utuh

Posted: 21 Sep 2014 04:42 PM PDT

HARAKAH DAILY


KUALA LUMPUR: Rakyat menaruh harapan yang cukup tinggi untuk melihat sebuah Pakatan Rakyat (PR) yang utuh dan kuat untuk terus membela dan memartabatkan hak mereka.

Sehubungan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengambil maklum pandangan serta kritikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan penangguhan pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat kelmarin dengan penuh keterbukaan.

Timbalan ketuanya, Dr Afif Bahardin berkata tahaluf siyasi atau kerjasama politik sewajarnya dilandaskan di atas nilai kebersamaan dan kepercayaan sebagaimana yang telah dipersetujui di awal pembentukan Pakatan Rakyat iaitu untuk memperjuangkan prinsip keadilan dan kebebasan di Malaysia dalam kerangka yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Maka sewajarnya semangat dan matlamat ini digarap dan dihidupkan semula demi memulihkan kembali hubungan dua hala yang kini kelihatan keruh di antara parti PAS, DAP dan Keadilan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, rentetan beberapa isu sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 termasuk masalah pertindihan kerusi di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat, Kajang Move, hudud dan krisis pelantikan Menteri Besar Selangor telah mengakibatkan perbezaan pendirian di antara parti-parti bertukar menjadi krisis dan pergeseran terbuka sesama pemimpin.

Beliau menambah, ini seterusnya mengundang tafsiran serong di mata rakyat serta menjejaskan reputasi para pimpinan Pakatan Rakyat ke tahap yang cukup membimbangkan.

"Justeru, kami dengan penuh rasa hormat dan rendah diri memohon agar barisan kepimpinan Pakatan Rakyat agar segera mencari titik persamaan dengan kembali ke meja rundingan dan mengangkat semangat muafakat sebagai teras untuk mengukuhkan semula Pakatan Rakyat," katanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Justeru, tambahnya PAS, DAP dan Keadilan perlu bersatu dan kembali kepada mauduk asal Pakatan Rakyat iaitu untuk menegakkan keadilan dan kebebasan demi membentuk sebuah negara Malaysia yang gagah.

"Kami juga berpandangan Pakatan Rakyat juga perlu memulakan inisiatif baru dengan mengalu-alukan penglibatan parti-parti politik lain di seluruh negara termasuk parti-parti dari Borneo untuk berganding bahu untuk mendepani Umno Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY

Ameerah gesa pengundi luar Pengkalan Kubor pulang

Posted: 21 Sep 2014 04:39 PM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Ameerah Malaysia menyeru agar semua pengundi muda Dun Pengkalan Kubor terutama pengundi luar Kelantan untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat yang baru dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Khamis ini.

Pengerusinya, Fareedah Samad berkata, Ameerah melihat kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRK N01 pada kali ini amat penting untuk menghantar signal yang jelas kepada Kerajaan Pusat Umno BN bahawa rakyat luar bandar menolak secara total ketidakcekapan pentadbiran dan pengurusan Kerajaan Pusat dalam mengurus sumber kewangan negara sehingga terpaksa melaksanakan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan berkuat kuasa mulai April tahun hadapan.

Katanya, kerajaan secara jelas menyatakan bahawa melalui pelaksanaan GST pendapatan negara akan bertambah.

Hal ini, ujar beliau menunjukkan bahawa kerajaan begitu lemah dalam mengurus kewangan di mana setiap tahun hampir RM10 billion wang tiris yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya berbelanja secara berhemah dan mendapatkan semula wang tiris negara bagi menampung perbelanjaan pembangunan dan pengurusan negara bukan dengan cara menekan rakyat melalui cukai yang tinggi seperti GST ini.

"Akhirnya, yang sangat terkesan adalah rakyat miskin dan golongan sederhana kerana mereka terpaksa menanggung beban apabila hampir semua barangan dan perkhidmatan dikenakan GST pada tahun hadapan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lebih parah lagi apabila kerajaan sehingga hari ini masih belum memberi jaminan bahawa kos barang api utama seperti petrol, diesel dan elektrik tidak akan dikenakan GST.

"Kita sedia maklum jika ketiga-tiga bahan api ini dikenakan GST, pastilah harga barang-barang semua akan meningkat," tambahnya.

Justeru, kata beliau Ameerah Malaysia sekali lagi menyeru kepada semua pengundi Dun Pengkalan Kubor terutamanya anak muda dan pengundi di luar untuk pulang dan mengundi PAS, Pakatan Rakyat pada hari mengundi akan datang.

"Undi anda teramat penting dalam usaha kita untuk memberi amaran kepada Kerajaan Umno BN bahawa mereka sudah lama ditolak oleh golongan rakyat luar bandar yang terpaksa menanggung beban peningkatan kos sara hidup yang tinggi akibat ketidakcekapan pentadbiran Kerajaan Pusat," katanya. - HARAKAHDAILY

PAS sedia jaga peti undi di lokap

Posted: 21 Sep 2014 04:37 PM PDT

RIZAL TAHIR



 


TUMPAT: PAS bersedia meletak petugas bagi menjaga peti undi pengundian awal yang diadakan hari ini untuk memastikan keselamatannya.

Timbalan Pengarah Operasi PRK Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim berkata, pihaknya bersedia menghantar petugas untuk menjaga peti undi berkenaan.

"Ketika Pilihan raya Umum ke-13, kami meminta untuk menjaga peti undi di lokap, tetapi tidak dibenarkan pihak polis.

"Walau pun petugas kami terpaksa bermalam dalam lokap bagi menjaga peti undi, kami bersedia melakukannya.

"Bagaimananpun permintaan berkenaan ditolak kerana kata mereka lokap hanya untuk menempatkan orang bersalah sahaja," kata beliau pada persiangan media di  Markas Besar PAS hari ini.

Peti undi awal diletak dalam lokap Balai Polis Daerah Tumpat. Pengundian awal diadakan pagi tadi melibatkan 109 anggota polis diadakan di Dewan Delima Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat.

Turut hadir pada sidang media berkenaan, Penasihat Operasi PRK Pengkalan Kubor, Datuk Takiyuddin Hassan dan ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Sementara itu Kamarudin berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan hari mengundi pada mana-mana pilihan raya kecil atau umum diadakan pada hari cuti bagi menyuburkan lagi demokrasi di Malaysia.

"Hari untuk penamaan calon tidak kisah dibuat pada hari cuti atau hari bekerja sekali pun," ujarnya.

Kata beliau adalah menjadi tanggungjawab SPR memastikan rakyat dapat keluar untuk membuang undi dengan selesa.

Ekoran itu tindakan SPR itu, kata beliau menyebabkan kerajaan negeri mengumumkan cuti perisitiwa pada hari mengundi Khamis ini. - HARAKAHDAILY

Laporan JK khas royalti Kelantan dicadang dedah

Posted: 21 Sep 2014 04:35 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata laporan berkaitan hasil penyelidikan dan siasatan Jawatankuasa Khas Mengkaji Tuntutan Kelantan terhadap royalti petroleum dicadang didedahkan kepada awam.

Beliau berkata laporan tersebut telah siap dan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagaimanapun masih menjadi dokumen rahsia yang tidak boleh didedahkan kepada umum.

"Saya sedang berhubung dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang berada di luar negara dan kalau beliau bersetuju dan Jemaah Menteri boleh putuskan pada Rabu ini.

"Maka kita (kerajaan) boleh 'diklasifikasikan' (ubah status) dokumen ini tapi kita akan dapatkan nasihat daripada peguam negara dan perdana menteri sendiri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Timbalan Perdana Menteri di rumah keluarga Allahyarham Haji Mahmod Kamaruddin di Kampung Telaga Bata di Tumpat, hari ini.

Muhyiddin berkata laporan tersebut dihasilkan oleh jawatankuasa berkenaan yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamed dengan beberapa anggota jawatankuasanya termasuk Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra.

Beliau berkata laporan tersebut menyatakan dengan jelas terutamanya pendirian kerajaan persekutuan adalah betul kerana tidak terdapat apa-apa hasil minyak dalam lingkungan tiga batu nautika dari pantai Kelantan. - Bernama

Tiada ulasan: