Rabu, 17 September 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


[OFF-POLITIK] Ambil Perhatian: Peraturan Baru Bagi Lampu Kereta

Posted: 17 Sep 2014 04:16 AM PDT

KELAB GREENBOC



Peraturan Baru Bagi Lampu Kereta Mulai 1 Oktober 2014


Peraturan baru lampu kereta oleh JPJ mulai 1 Oktober 2014. Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan tegas terhadap pemandu jalan raya yang melakukan kesalahan menggunakan lampu aksesori tambahan pada kenderaan bermula 1 Oktober 2014.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati ianya antara salah satu penyumbang kepada kemalangan jalan raya. Pada masa yang sama, pengguna yang ingkar dengan peraturan itu akan dikenakan kompaun saman sebanyak RM300.

Pemasangan lampu aksesori yang tidak dibenarkan JPJ

* Pemasangan lampu HID secara retrofit. 


* Lampu berkelip-kelip (selain daripada lampu penunjuk arah dan lampu berjaga-jaga) pada bahagian hadapan atau belakang kereta. 


* Pemasangan apa – apa lampu tambahan selain warna putih / amber pada bahagian hadapan dan selain warna merah / amber pada bahagian belakang.

Tarikh Berkuatkuasa
Mulai 1 Oktober 2014

Kadar Kompaun Saman
Maksimum RM300 bagi setiap kesalahan

Dewan Ulama PAS Mahu Tindakan Disiplin Terhadap Dua Adun Sendiri

Posted: 17 Sep 2014 04:11 AM PDT

Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK
 
 
 
 
 
KULAI JAYA: PAS didesak supaya mengambil tindakan disiplin terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mereka kerana bertindak membelakangi parti berhubung krisis politik di Selangor.

Desakan itu disuarakan perwakilan Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-53 apabila sebulat suara meluluskan usul agar PAS mengambil tindakan disiplin terhadap Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin.

Terdahulu, ketika membentangkan usul berhubung isu berkenaan, perwakilan Selangor, Mohd Shamsudin Amran berkata, kedua-dua-dua Adun itu bertindak menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor tanpa pengetahuan PAS.

Malah katanya, Saari dan Hasnul juga dengan sengaja mencabar PAS supaya mengambil tindakan terhadap mereka termasuk dipecat.

"Justeru Dewan Ulama PAS mendesak Jawatankuasa Disiplin menjalankan siasatan atas tindak-tanduk pimpinan yang dengan sengaja menyanggahi dan meremehkan keputusan Majlis Syura Ulama dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang," katanya di sini, Rabu.

Pada 14 Ogos lalu, Dr Wan Azizah ketika sidang media di Subang Jaya mengumumkan beliau telah mendapat sokongan majoriti Adun Pakatan Rakyat Selangor apabila dua Adun PAS iaitu Hasnul dan Saari menyatakan sokongan terhadapnya bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Sokongan Hasnul dan Saari itu dibuat bersama-sama 15 Adun daripada DAP manakala 13 lagi daripada PKR.

Tindakan Hasnul dan Saari itu bagaimanapun dilihat bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada 7 Ogos lalu yang memutuskan bahawa Abdul Khalid tidak boleh digugurkan daripada jawatan menteri besar Selangor selagi beliau tidak disabitkan sebarang pelanggaran terhadap amanah yang mewajarkannya disingkirkan.

Hadi Awang terus sakiti hati PKR

Posted: 17 Sep 2014 04:04 AM PDT

MSO

 
Cadangan Abdul Hadi Awang supaya Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai MB Selangor kononnya untuk menyelesaikan krisis perebutan jawatan MB Selangor dilihat cadangan bukan meredakan keadaan tetapi menambah-sakitkan hari pihak PKR.

Jika orang melihat Abdul Hasi sebagai seorang berwajah agama, tentu orang akan pertikaikan mengenai kecerdikan presiden Pas itu. Kenapa beliau bertindak songsang dan menentang arus dalam Pakatan Rakyat. Adalah baik kalau beliau berterus terang dan tidak membuat tindakan sedemikian yang menunjukkan akan kelemahan beliau sebagai seorang ahli politik.

Sekiranya Abdul Hadi tiada idea untuk menyelesaikan kemelut di Selangor lebih baik beliau mendiamkan diri daripada bercakap menyakitkan hati orang lain. Tanpa disedari cadangan Abdul Hadi itu juga mengesahkan akan agenda kedatangannya ke rumah Abdul Khalid bersama Mustafa Ali pada bulan Ramadhan lalu.

Apabila ada tuduhan mengatakan kunjungan malam Abdul Hadi dan Mustafa itu sebagai untuk mengajak Khalid menyertai Pas, dinafikan oleh mereka berdua. Mustafa telah membuat penjelasan terbuka bahawa kunjungan itu adalah kunjungan biasa sahaja.

Kata Mustafa, kunjungan itu sebagai hendak memenuhi kehendaki Khalid yang ingin bertemu dengan Abdul Hadi kerana Abdul Hadi ketika itu tidak berapa sihat. Tanpa menyedari bahawa cara pertemuan itu bersalah adat dimana sepatutnya Khalid ke rumah Hadi bukan sebaliknya, menjelaskan jawaban Mustafa itu tidak jujur dan benar.

Cadangan tidak profesional Abdul Hadi itu turut mendedahkan niat busuk parti agama itu sebelum ini khasnya oleh Abdul Hadi yang memberi jaminan kepada Khalid agar kekal sebagai MB Selangor. Tindakan Abdul Hadi itu tidak berbangkit kalau ia dibuat secara berterus terang dan berani bukannya klu klik.

Dan apabila semalam beliau mengemukakan cadangan agar Khalid kekal sebagai MB menjelaskan apa yang ada di sebalik tabir yang cuba dinafikan. Benarlah kata orang bangkai apa lagi kalau bangkai manusia ia tidak boleh ditusuk dan selindung kerana bau busuknya akan meruap ke segenap penjuru.

Tindakan atau pun ulasan berententan dilakukan Abdul Hadi itu mudah untuk disimpulkan apa yang ada dalam kepala presiden parti agam itu kini. Bahawa baginya persepakatan Pas dengan PKR dan DAP selagi beliau menjadi ketua Pas tidak akan berjalan lendik lagi.

Apakah teka teki mengenai hubungan Pas dengan PKR dan DAP ini akan terjawab pada muktamar Pas ke 60 yang akan diadakan di Batu Pahat kelak. Saya akan ulas hal ini dalam catatan lain.

Menteri: Krisis dalaman PAS salah Anwar

Posted: 17 Sep 2014 03:59 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Menteri Kabinet, Datuk Abdul Rahman Dahlan menyalahkan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai pencetus kepada masalah yang timbul dalam parti PAS.

Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, Anwar juga mencetuskan "huru-hara" yang sama ketika bekas timbalan perdana menteri itu masih berada dalam Umno.

"Mula-mula Umno, sekarang PAS. Huru-hara dalaman ke atas parti-parti politik akibat tipu helah politik Anwar sangat menakjubkan," katanya.

"Semua orang tahu pemimpin PAS kini bercakaran setiap hari kerana tipu helah politik Anwar," kata ahli majlis tertinggi Umno itu lagi dalam tulisan berbahasa Inggeris di Twitter.

Kenyataannya itu timbul ketika muktamar sayap parti PAS sedang berlangsung di Johor, yang antara lainnya menumpukan soal kerjasama dalam Pakatan Rakyat susulan 'Langkah Kajang'.

Kritikan ke atas Anwar dalam muktamar itu antara lainnya dikesan dari wakil Pemuda PAS Kelantan, yang mendakwa ketua umum PKR itu sentiasa melaksanakan perancangannya secara semberono.

Hukuman diringankan, Uthaya bebas 3 Okt

Posted: 17 Sep 2014 03:55 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Mahkamah Rayuan menolak permohonan pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) P Uthayakumar untuk mengetepikan sabitan kes hasutannya.

Mahkamah bagaimanapun mengurangkan hukumannya penjaranya daripada 30 kepada 24 bulan.

Peguamnya berkata, selepas hukuman diringankan, Uthayakumar akan dibebaskan pada 3 Oktober.

Hakim Aziah Ali mengetuai panel tiga hakim yang membuat keputusan sebulat suara.

"Selepas mengambil kira rayuan migitasi, kami setuju kurangkan hukuman penjara kepada 24 daripada 30 bulan," katanya.

Turut menjadi panel Hakim Mohamad Ariff Md Yusof dan Ahmadi Asnawi.

Bekas MB: Bertenang & hantarlah lebih nama

Posted: 17 Sep 2014 03:53 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menggesa parti-parti dalam Pakatan Rakyat menyerahkan lebih nama kepada istana untuk dipertimbangkan sebagai menteri besar.

Bekas pemimpin Umno yang kini menyertai PAS itu berkata, oleh kerana istana mahukan lebih nama, perkara itu harus dilakukan segera.

Katanya, ketiga-tiga parti bergabung harus bertenang dan memberikan lebih nama.

Bercakap dalam forum berhubung krisis menteri besar di Shah Alam, beliau bagaimanapun berkata, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail lebih daripada layak untuk menjadi menteri besar.

Peringatan TGNA tentang dunia dan akhirat kepada UMNO itu salah sasaran

Posted: 17 Sep 2014 03:46 AM PDT




Tok Guru Nik Aziz mempersoalkan kenapa Sarawak dapat royalti minyak, Sabah pun dapat. Begitu juga Terengganu. Kenapa Kelantan ada JPP (Jabatan Penyelaras Persekutuan) sedangkan rakyat Kelantan ada kerajaannya. Kenapa JPP wujud untuk memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan. Jika royalti minyak diberikan mengikut perjanjian dahulu, orang Kelantan tidak payah diberikan wang ehsan.

Perjanjian pada 1975 dahulu jelas Kelantan mempunyai hak sebanyak 5 peratus dari hasil jualan minyak yang keluar dalam perairan Kelantan berdasarkan kepada harga F.O.B sebanyak dua kali setahun, setiap awal bulan Mac dan bulan Septembar secara tunai. Wang royalti itu sepatutnya dibayar kepada kerajaan pilihan rakyat Kelantan.

TGNA berkata tindakan Kerajaan Pusat itu tidak berkat dan berdosa di dunia dan akhirat. Kata-kata Nik Aziz ini betul dan benar, tetapi salahnya beliau mencari sasaran yang salah dalam menyebut dunia dan akhirat tadi. Mana UMNO faham apa yang TGNA cakap itu. Mana UMNO berfikir tentang dunia dan akhirat ini?

Bagi UMNO dunia pun tidak ada, akhirat pun tidak ada. Bagi mereka 'at all costs' kuasa mesti dipertahankan, tanpa mengira hal moral dan agamanya, maka manakan mereka sensitif jika TGNA menyebut tentang dunia dan akhirat itu?

Mereka tahu yang mereka (Kerajaan Persekutuan) mempunyai tanggungjawab untuk memenuhi janji-janji itu tetapi mereka sengaja tidak mahu memenuhi tuntutan itu kerana rakyat Kelantan memberikan sokongan kepada PAS. Dalam perjanjian itu tidak disebut samada pembayaran royalti itu hanya kepada kerajaan yang dikuasai oleh UMNO.

Satu lagi perkara yang rakyat perlu tahu semua negeri-negeri dalam Persekutuan kita ini mempunyai perjanjian yang sama walaupun negeri-negeri tersebut belum menghasilkan minyak. Perjanjian yang sama ditandatangani diantara Petronas dengan Negeri Selangor, Negri Sembilan, Johor dan lain-lain negeri dalam Persekutuan ini.

Perjanjian itu bukan setakat diperairan negeri-negeri tetapi ia juga termasuk minyak yang dijumpai di daratan. Maknanya jika suatu hari nanti terjumpa minyak di Bahau misalnya, Petronas wajib membayar royalti itu kepada kerajaan Negeri Sembilan kerana perjanjian itu sudah tersedia ditandatangani dengan semua negeri pada tahun 1975 yang lalu.

Tetapi Kerajaan Pusat memilih untuk tidak mahu memenuhi tuntutan oleh Negeri Kelantan kerana negeri itu adalah negeri yang dikuasai oleh PAS.

Oleh yang demikian kata-kata TGNA itu betul dan benar, tetapi mereka di Putrajaya itu ambil pedulikah tentang dunia dan akhirat ini? Jawabnya tidak!!

Justeru TGNA hanya membuang tenaga menyebut perkara yang tidak mahu difahami atau dipedulikan oleh Putrajaya. Putrajaya hanya perlukan kuasa dan menggunakan kuasa itu dengan sewenang-wenangnya.

Saya percaya pemimpin-pemimpin Persekutuan di Putrajaya tidak tersentuh pun hati dan jiwa mereka apabila TGNA menyebut tentang pembalasan di akhirat itu. TGNA hanya membuang tenaga dan masa secara percuma sahaja menyebut isu dunia akhirat itu. kepada Putrajaya.

Mereka tidak tahu apa yang akan dihadapi diakhirat nanti kerana mereka belum sampai lagi ke akhirat. Apabila sudah sampai nanti baru lah mereka tahu. Pendeknya semua akan tahu tentang dunia akhirat ini.

Perbezaannya hanyalah setengahnya tahu tentang dunia akhirat ini sebelum mati, setengah yang lain hanya tahu adanya akhirat ini setelah mati.

Tolak dasar ‘flip-flop’ Najib

Posted: 17 Sep 2014 12:16 AM PDT

 
Dasar-dasar baru perlu dibentuk demi memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan Sarawak, menggantikan dasar-dasar lama yang memihak kepada kroni BN dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.


najib dan lim guan eng


PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberitahu, ini merupakan kali ketiga tindakan 'flip-flop' oleh Najib Razak dalam mengkhianati janji untuk memansuhkan Akta Hasutan.

"Bukan sahaja pemimpin Pakatan Rakyat tetapi juga pensyarah undang-undang. Ramai orang di Sabah dan Sarawak sudah tidak lagi percaya kepada janji-janji pilihanraya 2013 Barisan Nasional.

"BN telah berjanji untuk memperbaiki pembangunan infrastruktur supaya sama taraf dengan Semenanjung Malaysia, menjamin keselamatan orang awam, membasmi kemiskinan, mewujudkan program kesihatan serta memansuhkan dasar kabotaj supaya seluruh rakyat dapat membeli barangan pada harga yang sama," katanya.

Menurut Guan Eng, di waktu sebegini, tiada sesiapa yang mendengar janji-janji yang disebut oleh Najib Razak lagi.

"DAP percaya bahawa masa depan Sabah dan Sarawak adalah bersama Malaysia. DAP percaya bahawa seperti juga usia 307 tahun Scotland bersama United Kingdom, Sabah dan Sarawak akan mendapat lebih banyak faedah lantaran persekutuan mereka membentuk Malaysia.

Atas sebab ini, Sabah dan Sarawak mesti dilayan sebagai rakan kongsi saksama dengan Semenanjung Malaysia. Justeru, dasar-dasar baru perlu dibentuk demi memberi manfaat kepada rakyat Sabah dan Sarawak, menggantikan dasar-dasar lama yang memihak kepada kroni BN dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," jelasnya.

Kata Guan Eng, alasan bahawa rakyat termiskin tinggal di Sabah dan Sarawak tidak boleh diterima lagi, tanpa kemudahan asas bekalan air dan elektrik, serta gejala rasuah dan salahguna kuasa.

"Sudah tidak boleh diterima lagi bahawa rakyat Sabah dan Sarawak membayar lebih untuk barangan yang sama dijual di Semenanjung.

"Begitu juga sebarang kekurangan sekolah, guru dan ketiadaan sambungan internet, sumber asli seperti tanah, balak, serta kemudahan komunikasi dan pelabuhan tidak sepatutnya dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu tetapi mesti dilaksanakan secara tender terbuka kepada rakyat Sabah dan Sarawak," tegasnya.

Sehubungan itu, Sabah dan Sarawak memerlukan suatu anjakan daripada model pentadbiran semasa oleh BN yang menumpukan kepada pelaksanaan kuasa dan kepentingan.

Kaedah Presiden PAS urus konflik dalaman parti

Posted: 17 Sep 2014 12:12 AM PDT

AZIZ MUDA


KUALA LUMPUR: "Lebih mematangkan parti dan menapis siapa yang jujur dan yang tak jujur dengan parti.

"Walaupun perkara itu dalam ilmu Allah, Allah yang menentukan siapa yang benar-benar ikhlas dan siapa yang tidak ikhlas," tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.   

Beliau menyatakan demikian apabila diminta menyatakan bagaimana pandangan beliau selaku presiden parti mengenai krisis dalaman PAS sekarang.

Tuan Guru yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengulas kemelut Menteri Besar Selangor, cabaran getir dan pencapaian manis PAS, tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat, mengapa Muktamar PAS ke-60 diadakan di Johor dan lain-lain.

Berikut ialah petikan jawaban beliau.

Setiap organisasi terutama organisasi besar seperti PAS tidak akan terlepas dengan pelbagai krisis dalamannya sendiri. Ini lebih ketara kebelakangan ini ekoran krisis Menteri Besar Selangor, sehingga terdapat pelbagai pandangan termasuk yang negatif dan positif berhubung dengannya. Bagaimana pandangan Tok Guru selaku Presiden parti mengenai krisis dalaman PAS sekarang. Adakah ia akan lebih mematangkan PAS sendiri atau sebaliknya?

Tuan Guru: Lebih mematangkan parti dan menapis siapa yang jujur dan yang tak jujur dengan parti. Walaupun perkara itu dalam ilmu Allah, Allah yang menentukan siapa yang benar-benar ikhlas dan siapa yang tidak ikhlas.   

Tok Guru sebagai Presiden parti pasti mempunyai kemahiran yang tersendiri dalam menguruskan pelbagai krisis. Apakah kaedah yang digunakan oleh Tok Guru dalam mengurus krisis atau konflik dalaman parti dan bersama parti-parti lain yang terlibat dengan PAS.

Yang paling besar, perlembagaan parti kita sangat kukuh. Al-Quran, Hadis, Ijmak Ulama dan Qiyas, di mana sifat kesabaran kita dan kebijaksanaan kita dipandu oleh petunjuk Islam. Ini yang paling menyelamatkan kita. Dengan sebab itu dalam semua krisis di sepanjang zaman, PAS tetap selamat, mereka yang tidak istiqamah tidak selamat, sama ada dia dipecat dari parti atau pun dia akan terkeluar dengan sendiri, tidak mengira sama ada dia Presiden parti atau pun ahli biasa. Pernah Presiden parti keluar parti, pernah dipecat, bukan sahaja ahli biasa yang dipecat, dalam keadaan PAS terus teguh dan kuat. Yang penting mereka istiqamah dengan perjuangan. Siapa yang istiqamah, dia selamat, yang tak istiqamah walaupun siapapun dia tidak selamat.             

Apa saranan Tok Guru kepada seluruh kepimpinan dan ahli-ahli parti, baik yang membabitkan Muktamar Tahunan PAS ke-60 pada 18 hingga 20 September nanti dan selepas muktamar.

Yang penting bagi kita ialah keimanan dan keikhlasan kita kepada Islam yang kita perjuangkan, Tuhan yang kita abdikan diri kepadanya, rakyat yang kita bela, ahli yang kita pimpin. Seterusnya matangkan kebijaksanaan kita dengan ilmu dan pengalaman, yang perlu dilakukan muhasabah dari semasa ke semasa.

Muktamar Pemuda: Lima usul dibahas, dua diterima

Posted: 17 Sep 2014 12:10 AM PDT

MUHAMMAD FAIZAL


KOTA TINGGI: Sebanyak tujuh usul diterima pada Muktamar Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-55 pada kali ini yang berlangsung di Dewan Choon Moi.

Daripada tujuh usul tersebut dua darinya diterima tanpa dibahas iaitu usul dari Dewan Pemuda PAS Kawasan Ketereh yang meminta semua pihak dalam Pemuda PAS dipelbagai peringkat memberi sokongan terbuka dan berdiri dibelakang kepimpinan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selain itu usul daripada Dewan Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh turut diterima tanpa bahas yang memberi sokongan dan mandat kepada Majlis Syura Ulama untuk mengkaji dan membuat penilaian semula terhadap Tahlul Siyasi ini sama ada peringkat ini menguntungkan atau merugikan PAS dan Islam.

Sementara itu lima usul akan dibahas membabitkan soal organisasi, antaranya usul daripada Dewan Pemuda PAS Sri Gading yang meminta agar tindakan tegas diambil Jawatankuasa tertib PAS Pusat terhadap pelaku-pelaku displin di dalam PAS.

Exco Pemuda PAS Malaysia turut mengusulkan agar menginstitusi pemikiran Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaras dengan perlantikan beliau sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia sebagai pengiktirafan kepada ilmu dan usaha beliau menyelesaikan konflik dunia.

Pemuda PAS Malaysia berpendapat dengan pengiktirafan ini menggesa Kerajaan Malaysia memberi kemudahan untuk menwujudkan sebuah institusi yang mempromisikan idea dan pemikiran Tuan Guru Abdul Hadi sebagaimana pengiktirafan dan kemudahan yang diberikan oleh Kerajaan Qatar kepada Dr Yusuf al-Qardhawi.

Jelas Pemuda PAS lagi, jika dalam waktu tertentu kerajaan tidak diberikan kemudahan ini, Pemuda mendesak agar mana-mana negeri di bawah Pakatan Rakyat melaksanakan kehendak tersebut.

Dalam pada itu di bawah usul politik, Exco Pemuda PAS Malaysia turut mengusulkan tentang pemilikan hartanah yang mengecam tindakan kerajaan membuka ruang kepada warga negara asing untuk memiliki hartanah dalam negara menyebabkan anak-anak tempatan hilang kelayakan untuk memiliki hartanah tersebut.

Tindakan pengecualian Wilayah Iskandar di Johor daripada dikenakan had minima harga hartanah yang  boleh dimiliki oleh warganegara asing menyebabkan sekitar 80 peratus hartanah di kawasan tersebut dimiliki oleh warganegara asing.

Pemuda PAS Malaysia mengusulkan supaya Menteri Besar Johor meletakkan jawatan kerana bertanggungjawab ke atas hilangnya hartanah bernilai tinggi di negeri itu kepada warganegara asing.

Dewan Pemuda PAS Sabah yang turut mengusulkan Akta 750 atau Akta Wilayah Laut yang diluluskan pada 18 Julai 2012, yang mana akta ini telah digunakan secara senjata untuk mengambil hak-hak negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing.

Dewan Pemuda PAS Sabah mengusulkan supaya Akta ini ditolak oleh kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat dalam sidang dun mereka dan mengusulkan ke parlimen bahawa Akta ini tidak memenuhi peruntukan Artikel 2 dan 76 Perlembagaan Persekutuan.

Usul yang terakhir dibawa Exco Pemuda PAS Malaysia dalam usul agama yang menginsafi kejadian pesawat MAS MH17 yang telah ditembak jatuh dan kehilangan MH370 sebagai pengajaran kepada rakyat negara ini.

Melalui usul tersebut Pemuda PAS mengharapkan kerajaan dan pengurusan MAS memberi kebenaran dan kemestian kepada pramugari MAS untuk berpakaian menutup aurat sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara lain. – HARAKAHDAILY

Kementerian pun kena fitnah hingga soalan bocor

Posted: 17 Sep 2014 12:08 AM PDT

AZIZ MUDA


KULAIJAYA: Keburukan fitnah kini menjadi semakin berleluasa ekoran perkembangan media maya di negara ini sehingga menyebabkan pelbagai fitnah tercipta dan tersebar dengan cepat menerusi pelabagai saluran terutama dirujuk kepada WhatsApp dan facebook.

"Akibatnya kini semua pihak terkena fitnah. Institusi raja pun kena fitnah, institusi undang-undang pun kena fitnah, Kementerian Pendidikan pun kena fitnah hingga soalan bocor.

"Jika di negara lain, Menteri Pendidikan pasti akan letak jawatan kerana kejadian itu, tetapi ini tak berlaku di negara ini," kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Dr Haron Din ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat ke-53 yang bertemakan 'Pertegas Prinsip Perjuangan' di IOI Palm Villa Golf & Country Resort di sini, pagi ini.

Menurut Dr Haron Din, selain institusi-institusi itu, PAS yang membabitkan Presiden PAS dan ke semua sayapnya termasuk Dewan Ulamak PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat turut terkena fitnah sehingga menyebabkan pelbagai tanggapan buruk berlaku ke atas PAS dan kesemua sayapnya.

Kesemua itu, katanya, menyebabkan cabaran ke atas Dewan Ulamak PAS Pusat semakin ketara yang perlu ditangani dengan baik oleh dewan itu bagi memperbetulkan dan memperbaiki kembali segala kerosakan yang berlaku itu kerana fitnah.

"Kesemua fitnah yang terkena ke atas Dewan Ulamak termasuk ke atas Presiden PAS adalah perkara-perkara yang direkakan sehingga menyebabkan keputusan yang dibuat dipertikaikan. Ini amat perlu difahami oleh setiap ahli PAS," katanya.

Beliau turut menasihatkan kesemua ahli PAS agar tidak lupa menghayati prinsip wala' atau mentaati pemimpin dalam Islam dalam menyelesaikan permasalahan dalaman parti yang berlaku sekarang yang tidak boleh dipandang ringan sama sekali, kecuali jika pemimpin menyuruh melakukan perkara maksiat. - HARAKAHDAILY

Pemuda Umno Rantau Panjang Buat Laporan Polis Terhadap Exco Kelantan

Posted: 17 Sep 2014 12:00 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Kampung Simpangan
 
 
 
TUMPAT: Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan PAS Kelantan Datuk Mohd Nasaruddin Daud berhubung satu ceramahnya yang didakwa berbaur hasutan.

Ketua pergerakan itu Akbar Salim berkata ceramah tersebut disampaikan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor Ahad lepas.  

Menurut Akbar ceramah Mohd Nasaruddin itu di Kampung Simpangan mempunyai unsur fitnah apabila mendakwa kononnya kerajaan pusat telah membayar sejumlah royalti petroleum kepada kerajaan Thailand kerana pendaratan minyak di Songkhla. 

Kenyataan itu disifatkan amat berbahaya dan boleh menimbulkan huru-hara dikalangan umat Islam dan kebencian rakyat terhadap kerajaan Persekutuan, katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Pengkalan Kubor.   

Mohd Nasaruddin adalah juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam,Dakwah, Penerangan dah Hubungan Serantau Negeri. 

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kelantan ACP Dahlan Mohd Noor mengesahkan ada menerima laporan tersebut.

Pas Nafi Calon Tak Pandai Ceramah Punca Kempen 'Lesu'

Posted: 16 Sep 2014 11:58 PM PDT

Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN
 
 
Wan Rosdi Wan Ibrahim
 
 
 
PENGKALAN KUBOR: PAS menafikan calon parti itu yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim tidak pandai berceramah sehingga menjadikan suasana kempen 'lesu'.

Pengarah Jawatankuasa Operasi PAS PRK Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya mempunyai strategi tersendiri dalam berkempen iaitu mendekati pengundi di peringkat akar umbi dengan membuat lawatan rumah ke rumah.

"Tok Wan Di (Wan Rosdi) mempunyai latar belakang agama. Dia boleh berceramah, bagaimanapun kami menyimpannya seperti 'anak teruna'.

"Fokus calon kami adalah bertemu orang ramai, jadi kita tidak akan mengganggunya dengan program-progam kempen. Dia tidak akan memainkan isu," katanya pada sidang media harian di Markas Besar PAS di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kempen PAS yang dilihat tidak serancak Barisan Nasional (BN) kerana calonnya yang dilihat tidak agresif dalam berkempen, khususnya ketika menyampaikan ceramah.

Sebaliknya, Wan Abd Rahim berkata, slot kempen ceramah PAS akan diisi oleh penceramah yang terdiri daripada pimpinan tertinggi parti.

Mengulas lanjut beliau berkata, kempen secara senyap dan tidak mendapat liputan media adalah disengajakan.

"Bila calon kita pergi rumah ke rumah, ia tidak diberi fokus atau perhatian. Dia pergi secara senyap tanpa diketahui pihak media," katanya.

Menurutnya, PAS menyasarkan untuk berjumpa dengan 75 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Difahamkan, setakat ini PAS telah bertemu dengan 50 peratus daripada pengundi di DUN Pengkalan Kubor

Peguam Awie Pertikai Kelewatan Rozana Hantar Afidavit

Posted: 16 Sep 2014 11:54 PM PDT

Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI 
 
 
Awie (kiri) dan siterinya, Rozana Misbun
 
 
 
KUALA LUMPUR: Peguam Syarie kepada vokalis kumpulan Wings, Awie mempertikaikan tindakan isteri penyanyi itu, Rozana Misbun ekoran kelewatan menghantar afidavit pembelaan untuk mengetepikan perintah injunksi (tegahan) secara ex-parte (sebelah pihak) yang dibenarkan mahkamah terhadap Awie sebelum ini terhadap tiga anak mereka.

Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain dalam hujahannya berkata, pihak Rozana selaku responden kes berkenaan gagal menyerahkan jawapan berkenaan dalam masa 14 hari seperti mana diperintahkan mahkamah pada 21 Julai lalu.

Jelas Mohd Zaidi, Rozana menerusi peguamnya Majdah Muda hanya memfailkan sehari selepas tempoh itu tamat dan ia jelas melanggar perintah yang dikeluarkan.

Hujahan kes berkenaan didengar dihadapan Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu.

Bagaimapun, Majdah dalam hujahannya turut mempertikaikan tentang penyerahan perintah berkenaan yang dibuat oleh pihak pemohon pada 24 Julai sekitar pukul 8 malam.

Majdah dalam hujahan balasannya berkata, sesuatu perintah yang diserahkan selepas pukul 4 petang dan diluar waktu pejabat tidak dikira sebagai tempoh itu bermula pada hari berikutnya.

Mohd Amran bagaimanapun menetapkan Khamis (esok) untuk membuat keputusan berhubung kes berkenaan.

Awie pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.

Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.

Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

'Majlis Syura jangan mudah melatah'

Posted: 16 Sep 2014 11:47 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din meminta agar para pemimpin Majlis Syura tidak mudah melatah apabila diserang melalui Internet oleh "individu yang tidak memahami perjuangan PAS".

Tanpa menamakan pihak terlibat, Haron berkata golongan itu mempertikai dan mengecam keputusan Majlis Syura yang dibuat secara sebulat suara.

"Ulama dalam Majlis Syura tidak mudah melatah dan membuat serangan balas. Tidak itu bukan cara ulama.

"Ulama berlapang dada dan tidak terkeluar daripada prinsip 'agama itu nasihat," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS di Kulaijaya, Johor.

Tokoh agama itu juga membangkitkan isu ketaatan kepada pemimpin dalam sesuatu keputusan yang dibuat selagi mereka tidak menyuruh anggota PAS melakukan maksiat.

"Kepatuhan kepada pemimpin adalah perkara asas dalam (mengelakkan) konflik. Sebab apa (krisis dalaman) yang berlaku sekarang adalah (berpunca) masalah ketaatan kepada pemimpin yang terus dipertikaikan," katanya.

Menganggap satu krisis sebagai asam garam berjamaah, beliau menggesa PAS menyediakan prasarana untuk menyiapkan "pengendali, pejuang dan pembantu" demi menjayakan perjuangan Islam.

"Kalau dalam perjuang Islam, maka mestilah mengetahui sungguh-sunggh bahwa siapa ketuanya, siapa penolongnya. Kita mengambil contoh menjadi imam dalam solat jamaah.

"Dalam solatpun ada kaedah siapa patut jadi imam, maka dalam perjuangan (Islam juga memlih) siapa yang patut jadi ketua dan (siapa yang) mempertahankannya.

"Dan siapa yang patut menjadi ketua kerajaan, siapa patut jadi MB. Menyedari hal ini, kita perlu mengutamakan yang lebih baik daripada yang baik," katanya.

Dalam ucapannya juga, Haron turut membaca dua potong ayat Al-Quran yang menggesa umat Islam supaya mengadakan syura dan bertawakal kepada Allah jika berazam untuk melaksanakan sesuatu perkara.

Beliau turut memberi contoh bagaimana Rasulullah SAW mempertahankan amalan syura khususnya dalam peperangan Uhud dan Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah di mana ada kalanya baginda bertindak sendirian demi kepentingan Islam.

"(Jadi) ada kadang-kadang pemimpin (PAS) membuat keputusan seorang diri dan tidak ada maksiat dan kemudiannya bertawakal kepada Allah.

"Atas perkara inilah, ia perlu menjadi satu bahan untuk kita berfikir dan bertindak," katanya yang juga pengasas perubatan Islam Darul Syifa.

Haron Din: Kaji semula kerjasama dalam Pakatan

Posted: 16 Sep 2014 11:45 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din menyeru agar Dewan Ulama PAS meneliti sama ada kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat perlu diteruskan demi mengelakkan fitnah ke atas pemimpin utama parti Islam itu.

Berucap dalam Muktamar Dewan Ulama hari ini, Haron berkata "setiap hari ada fitnah" yang dilemparkan kepada Majlis Syura Ulama, presiden PAS dan semua anggota PAS.

Beliau yang menyifatkan PAS menghadapi "suasana politik yang gawat" pada ketika ini berkata, PAS perlu mengambil jalan terakhir dengan keluar dari Pakatan sekiranya syarat kerjasama itu tidak dapat dipulihkan.

"Tahaluf (kerjasama) dibina atas nasihat ulama yang mempunyai syarat dan rukun yang perlu dipenuhi. Sekiranya semuanya dipenuhi, ulama mempertahan tahaluf demi kepentingan Islam dan jemaah, bukan untuk kepentingan individu.

"Sekiranya syarat dilanggar, rukun dirobohkan, ulama wajar memikirkan balik kalau ia boleh diteruskan (atau tidak).

"(Jika) syarat-syarat dirobohkan ulama perlu memperbaiki balik, memperbaiki balik, memperbaiki balik. Kalau tak boleh juga, ambillah konsep talak dalam perkahwinan, walaupun ia dibenci," katanya.

"Saya meminta tahaluf diperhalusi semula, dalam suasana politik hari ini, tiap-tiap hari ada fitnah kepada Majlis Syura, presiden dan semua kena fitnah," katanya.

Menurutnya lagi, bagi anggota PAS yang memperjuangkan reda Allah, maka sepatutnya mereka tidak bersengketa sesama sendiri bagi mengelakkan kekuatan mereka hilang.

"Kalau kita tidak kuat, kita akan hilang segala-galanya. Sebab itu kita perlu berada dalam jemaah,"katanya.

Perwakilan Pemuda PAS sokong Abdul Khalid MB berintegriti

Posted: 16 Sep 2014 11:41 PM PDT

SELANGOR KINI


KOTA TINGGI : Perwakilan Muktamar Pemuda PAS ke-55 hari ini menyokong Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai individu berintegriti dalam pentadbirannya.

Perwakilan Pemuda PAS Selangor, Hanafi Zulkapli ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat di Dewan Chon Moi, Kota Tinggi, Johor itu menarik perhatian perwakilan apabila mereka menyokong keupayaan Abdul Khalid mentadbir Selangor.

MB Bagus a"Siapa yang boleh setuju Abdul Khalid hilang integriti dalam pentadbirannya. Bangun!" katanya dipetik The Malaysian Insider.

Namun tiada perwakilan bangun menyangkal kenyataannya sebaliknya sambil menepuk meja, semua perwakilan menyatakan sokongan Menteri Besar Selangor itu berintegriti dalam pentadbirannya.

Hanafi turut mengecam tindakan dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor yang menandatangani Akuan Berkanun (SD) menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail menggantikan Abdul Khalid.

"Kami berbangga dengan empat exco yang kekal mentadbir bersama Abdul Khalid untuk mengelak Barisan Nasional (BN) mengambil alih Selangor.
"Itulah hero kita," katanya.

'Hadi dah banyak kali kecil hati dengan Anwar'

Posted: 16 Sep 2014 11:37 PM PDT


Muktamar
 
 
 
KOTA TINGGI - Pentas Muktamar Pemuda Pas ke-55 yang berlangsung di sini hari ini menjadi medan perwakilan untuk menyatakan sokongan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perwakilan dari Pulau Pinang, Muhamad Aiman Shamsul Baharin berkata, ahli Pas telah ditarbiahkan untuk menyatakan kesetiaan kepada pimpinan.

Oleh itu, katanya, adalah tidak wajar sekiranya ahli mengeluarkan kenyataan yang membidas Presiden.

"Ada yang keluarkan kenyataan membabi-buta dan maki hamun Presiden. Adakah ini perangai kita?

"Jika ada yang tidak setuju dengan Presiden, jumpa secara peribadi dengan beliau dan tidak perlu buat surat terbuka. Atau jadikan muktamar sebagai medan lontar pandangan, bukannya di Facebook," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas.

Sementara itu, perwakilan Kelantan, Nor Azarizan mempersoalkan sikap segelintir ahli yang dilihat lebih menyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding Abdul Hadi.

"Ada yang marah apabila Abdul Hadi buat keputusan yang dianggap bersifat peribadi. Siapa kita nak pertikaikan Abdul Hadi yang selama ini pertahankan Anwar?

"Sebenarnya Abdul Hadi dah banyak kecil hati dengan Anwar yang umum beberapa perkara yang  tidak mendapat konsesus PR. Jadi reaksi yang dibuat Abdul Hadi adalah hasil tindakan rakan PR sendiri," katanya.

Manakala, perwakilan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim mempertikaikan politik budiman yang digagaskan Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat yang dilihat hanya diamalkan untuk menjaga hubungan kepimpinan dalam PR tetapi tidak diamalkan kepada Abdul Hadi.

"Terbukti apabila Ketua Pemuda kita budiman tetapi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) langsung tidak budiman. Apabila dipertemukan dengan Presiden, dia mengeluarkan kata-kata nista yang mengguris hati kita.

"Kita juga minta Ketua Pemuda untuk melihat ke depan dalam kita berfikir mengenai budiman ini sedangkan kita tidak berbudiman dengan Presiden kita sendiri. Saya ikuti perbahasan sejak awal dan menunggu kenyataan Ketua Pemuda menyatakan sokongan padu kepada Presiden Pas secara rasmi," katanya.

Bapa mahu saman pengusaha bot

Posted: 16 Sep 2014 09:37 PM PDT


Ramlan dan Sabarila sebak ketika di Unit Forensik HTJ, semalam. Gmabar kecil: Muhamad Hidayat Ramlan dan Sabarila sebak ketika di Unit Forensik HTJ, semalam. Gmabar kecil: Muhamad Hidayat
 
 
 
SEREMBAN - Selepas lebih seminggu bertarung nyawa, lelaki yang cedera parah akibat dilanggar sebuah bot penarik bot pisang atau banana boat di Pantai Telok Kemang, Port Dickson pada 7 September lalu, meninggal dunia, semalam.

Muhamad Hidayat Ramlan, 23, mengembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarganya kira-kira 5.40 pagi ketika sedang menjalani rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, semalam.

Ibu mangsa, Sabarila Husin, 46, berkata, dia reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggapnya sebagai ujian buat mereka sekeluarga.

"Ibu mana yang mengharapkan pengakhiran anaknya begini, tapi semuanya telah ditentukan dan saya pasrah.

"Pagi tadi (semalam) selepas adik bongsunya mengucup dahinya, dengan tenang dia mengembuskan nafas terakhir di sisi saya dan adik beradiknya yang lain," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTJ, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian menimpa anaknya itu sangat memberi kesan kepada anak ketiganya yang sempat melihat tragedi itu berlaku.

Malah, katanya, dia sentiasa menasihatkan anak-anaknya agar tenang dan menerima kejadian itu dengan tabah.

"Sebelum ini, setiap hari menjadi rutin saya dan sekeluarga untuk berulang alik ke Seremban untuk menjaga arwah memandangkan kami tinggal di Cheras, Kuala Lumpur.

"Sejak arwah dimasukkan ke hospital setiap hari saya akan bercakap dengannya memberi semangat untuk terus hidup, tapi ALLAH lebih menyayanginya," katanya.

Allahyarham Muhamad Hidayat pada mulanya menerima rawatan di Hospital Port Dickson sebelum dikejarkan ke HTJ berikutan keadaan yang kritikal.

Dia bagaimanapun dikatakan masih sempat berbual dengan keluarga, sehinggalah 9 September lalu selepas doktor mengesahkan paru-parunya dimasuki air.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Muhammad Hidayat patah tulang rusuk kiri dan menerima lebih 10 jahitan pada lengan kiri, selain calar di kepala.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke rumahnya Desa Baiduri, Cheras, Kuala Lumpur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cheras Perdana, Kuala Lumpur.

Bapa bela kematian anak

Sementara itu, bapa Allahyarham, Ramlan Pardi, 50,  berkata, dia bukan saja mahu individu yang menyebabkan kematian anaknya menerima hukuman setimpal, malah turut mempertimbangkan tindakan undang-undang.

"Kes ini tidak boleh dibiarkan dan saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang berkenaan," katanya.

Menurutnya, hukuman dikenakan kepada pesalah itu bukan semata-mata demi pembelaan terhadap kematian anaknya, tetapi juga atas kepentingan awam.

"Kes kecuaian seperti ini bukan pertama kali berlaku dan sepatutnya mereka memandang serius tentang keselamatan pengunjung di situ. Jangan apabila sudah terhantuk baru nak tengadah.

"Sebab itu saya akan bawa perkara ini ke mahkamah bukan saja terhadap pemandu bot terbabit tetapi juga pihak lain yang berkenaan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTJ, di sini semalam.

Menurutnya, sepatutnya ciri-ciri keselamatan dititik beratkan, misalnya menyediakan laluan khas lain agar tidak mengganggu pengunjung yang berada di laut.

Ramlan yang juga anggota polis berkata, dia juga difahamkan perkhidmatan bot pisang itu juga tidak dilindungi insurans.

"Saya tengok pemandunya akan menurunkan mereka dengan cara menjatuhkannya dalam laut. Ini tidak sepatutnya," katanya.

MPPD tingkat pemantauan

Satu mesyuarat khas diadakan membabitkan pengusaha bot pisang di Pantai Telok Kemang  bagi memastikan langkah-langkah keselamatan dapat diberi perhatian serius oleh mereka, sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.

Exco Pelancongan negeri, Tun Hairuddin Abu Bakar berkata, pengusaha sepatutnya mengikut peraturan sedia ada kerana ia melibatkan soal keselamatan awam.

"Saya kesal dan sedih dengan kejadian menimpa Muhamad Hidayat. Bagi mewakili kerajaan negeri, saya ucapkan takziah kepada ahli keluarganya dan berharap mereka sabar menerima ujian ini.

"Saya akan pastikan pemantauan dapat dilakukan dari masa ke semasa oleh pihak bertanggungjawab. Paling penting semua pengusaha perlu lebih bersikap prihatin dengan memastikan peraturan dapat dipatuhi," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk Ab Khalid Mat berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha bot pisang di daerah ini yang didapati masih tidak menggunakan laluan khas disediakan untuk mereka di Pantai Telok Kemang.

Menurutnya, peraturan berkenaan sudah lama ditetapkan dengan meletakkan penanda boya untuk menghadkan laluan mereka tetapi telah dihilangkan.

"Kita baru sahaja mengadakan perjumpaan dengan semua pengusaha dan penjaga bot pisang di daerah ini untuk memberi garis panduan dan had laluan ditetapkan untuk mereka berikutan terdapat seorang pengunjung maut akibat dilanggar bot pisang ketika mandi.

"Penguatkuasa MPPD juga akan membuat rondaan dan kita berharap semua pengusaha dapat bersama-sama mematuhi garis panduan bagi memastikan keselamatan pengunjung yang datang ke pantai," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superitendan Zulkifli Adamshah berkata, siasatan terhadap pemandu bot terbabit akan diklasifikasikan semula berikutan kematian mangsa.

Isnin lalu, pemandu bot berkenaan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban di sini, atas tuduhan memandu bot secara gopoh hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Tertuduh, Mohd Amirol Yasli, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Nasrudin: Jadikan peringatan kepada ulama

Posted: 16 Sep 2014 09:29 PM PDT


Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan
 
 
 
KOTA TINGGI - Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mahu golongan ulama menaiktaraf prestasi mereka perlu dijadikan sebagai peringatan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ini kerana sikap tersebut merupakan kriteria utama bagi seseorang ulama.

"Memang menjadi sifat dan kriteria ulama sentiasa mengikuti perkembangan dan ke depan dalam apa juga isu. Kalau setakat diam itu bukan sifat ulama.

"Dalam Pas, golongan ulama memang aktif dan progresif berdepan cabaran. Jadi jika ada yang mencetuskan perkara ini, saya anggap ia sebagai peringatan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Muktamar Pemuda Pas ke-55,  di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas isu Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), beliau berkata, tidak wajar sekiranya penubuhan NGO berkenaan sekadar mahu memecahbelahkan Pas.

"Tidak salah sertai NGO tapi salah jika agendanya mahu huru-harakan parti. Ada yang kata Pasma bertujuan menolak kepimpinan Pas sedia ada.

"Jika itu tujuannnya, gunakan medium seperti pemilihan parti. Bukan tubuhkan NGO begini, " katanya.

Hadi ada kuasa buat keputusan sendiri

Posted: 16 Sep 2014 09:27 PM PDT


Nasrudin Hassan Tantawi - Foto Sinar Harian oleh Azmi Aryanto Nasrudin Hassan Tantawi - Foto Sinar Harian oleh Azmi Aryanto
 
 
 
KOTA TINGGI - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kuasa sebagai ketua untuk membuat keputusan sendiri tanpa merujuk mana-mana ahli mesyuarat.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, hak itu boleh berlaku dalam beberapa keadaan yang mendesak.

"Saya lihat kenyataan-kenyataan seperti ini terlalu banyak dari peguam-peguam.

"Pada saya, memang sebagai seorang ketua...Presiden, dia ada hak dalam keadaan tertentu untuk membuat keputusan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas selesai majlis perasmian Muktamar Pemuda Pas, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan seorang peguam Pas, Zulhazmi Sharif yang menyebut bahawa Abdul Hadi tidak mempunyai kuasa veto untuk bersuara bagi membuat apa-apa keputusan mengenai pencalonan Menteri Besar Selangor tanpa melakukan perbincangan dengan ahli pimpinan parti lain.

Katanya, segala keputusan yang melibatkan kepentingan parti mesti dibincang melalui mesyuarat dan diputuskan bersama.

Sementara itu, menurut Nasruddin berdasarkan pengalamannya menjadi ketua, memang wujud saat di mana beliau perlu membuat keputusan sendiri.

"Memang saya sudah alami pengalaman... apabila kita menjadi ketua memang akan ada detik dan ketika tertentu untuk membuat keputusan segera. Maka dia (ketua) ada peruntukan dipanggil kuasa pemutus untuk menentukan tanpa menafikan keperluan mesyuarat

"Mesyuarat juga menjadi satu keperluan dalam berbincang dengan ahli jawatankuasa mesyuarat untuk membuat keputusan," katanya.

Namun, jelasnya, bukan semua keadaan seorang ketua itu membuat keputusan sendiri.

"Bukanlah maknanya semua keadaan ketua buat keputusan sendiri. Pada keadaan tertentu yang memerlukan tindakan segera. Nak panggil seluruh ahli jawatankuasa mesyuarat dari seluruh negara memerlukan masa.

"Sebab itu ada hadis nabi yang memperingatkan supaya kita taat kepada pemimpin. Walaupun dia seorang hamba. Ertinya ada klausa itu di situ," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan mempertikai keputusan yang dibuat Presiden itu tidak wajar berlaku.

"Saya kira tak patutlah apabila Presiden buat keputusan dipertikai, yang saya kenal sejak saya terlibat (Pas), tidak banyak pun dia buat keputusan sendiri. Hanya satu atau dua kes saja. Sekali dia buat tindakan begitu, mengambil peruntukan dan hak yang dia ada, saya kira itu suatu kebiasaan dalam sebuah parti," katanya.

Khalid jawab kontroversi Bank Islam

Posted: 16 Sep 2014 09:20 PM PDT


khalid ibrahim
 
 
 
ISU penyelesaian luar mahkamah (PLM) antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) merupakan antara "kontroversi" utama yang dikatakan pencetus bagi keraguan munasabah mengenai integriti dan kredibiliti TSKI.

Sebarang rumusan yang cuba mengaitkan PLM dengan unsur penyelewengan atau salah guna kuasa bagi mana-mana transaksi atau keputusan diambil Kerajaan Selangor merupakan fitnah dan tuduhan liar yang tidak berasas, bercanggah dengan fakta dan berniat jahat.

Pertama, fitnah bahawa TSKI tidak mampu dan/atau enggan membayar hutang dengan BIMB sehingga terpaksa diseret ke mahkamah.

Hakikatnya, TSKI merupakan pihak yang mula mengambil tindakan undang-undang terhadap BIMB pada 10 Mei 2007 dengan menamakan BIMB sebagai defendan dan bukan BIMB yang pertama menyeret TSKI ke mahkamah. Pelbagai kes mahkamah yang berkaitan kemudiannya menyusul dan berlarutan sehingga 2014.

Kedua, tohmahan TSKI diberi layanan istimewa sehingga baki hutang tertunggak beliau dengan BIMB bernilai US$18,521,806.12  dilupuskan atau dimaafkan kerana tindakan BIMB bersetuju menggugurkan semua saman berkaitan didakwa "keputusan luar biasa yang sangat jarang berlaku kepada rakyat biasa" sedangkan "peguam BIMB berpendapat BIMB mempunyai kes yang kuat terhadap lawan" atau "TSKI sudah hampir kalah di mahkamah".

Hakikatnya, tiada layanan istimewa diberi kepada TSKI kerana PLM bukanlah sesuatu di luar kebiasaan memandangkan PLM merupakan salah satu daripada mekanisme untuk menyelesaikan pertikaian selain daripada litigasi dan timbang tara. Tambahan pula, BIMB yang mula menawarkan pilihan PLM ini dalam siri rundingan pusingan pertama pada pertengahan 2008 sekaligus menyaksikan semua kes mahkamah terhenti buat seketika. Malangnya, rundingan PLM pusingan pertama menemui jalan buntu kerana TSKI tidak bersetuju dengan beberapa terma dan syarat yang ditawarkan pada masa itu.

Selepas beberapa kes difailkan oleh kedua-dua pihak dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sejak 2009, akhirnya kata sepakat dicapai pada Februari 2014 untuk menyelesaikan di luar mahkamah dalam siri rundingan peringkat kedua. Sebenarnya, PLM ini dilihat lebih memberi manfaat kepada BIMB kerana sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada TSKI, ia akan menjadi kes "precedent" yang mengakibatkan risiko "letusan" kes mahkamah serupa, mempersoalkan kesahihan kontrak Bai' Bithaman Ajil dan Bai' Al-Inah malah keabsahan Akta Bank Negara 2009. Persetujuan TSKI menerima PLM ini sebenarnya boleh disifatkan sebagai sumbangan TSKI kepada industri kewangan Islam di Malaysia demi mengelakkan mudarat yang lebih besar.

Ketiga, dakwaan bahawa TSKI gagal atau enggan memberi penjelasan yang boleh diterima akal secara telus dan terbuka segala terma dan syarat PLM  tersebut untuk menghentikan spekulasi.

Hakikatnya, TSKI telah memberi penerangan serba-sedikit tentang PLM dan sebarang isu berbangkit kepada Majlis Presiden atau pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat dalam satu mesyuarat khas pada 6 Mac 2014 meskipun sebenarnya TSKI terikat dengan "non-disclosure agreement" (NDA) yang lazimnya disertakan dalam sebarang PLM untuk melindungi hak dan kepentingan semua pihak terbabit. Wajib patuh dengan NDA tersebut, TSKI tiada kebebasan atau keperluan untuk mendedahkan perincian spesifik PLM tersebut terutama jumlah "haircut" bagi hutang tertunggak, kaedah pembayaran dan jadual pembayaran.

Butiran bagi sebarang PLM tidak perlu didedahkan kepada awam selagi mana ia melibatkan perkara-perkara bersifat peribadi seperti hutang peribadi TSKI dengan BIMB sejak 1997 yang kemudiannya menjadi kes mahkamah sejak 2007, lama sebelum TSKI dipertanggungjawabkan dengan jawatan awam.

Malah, YB Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS berpendapat bahawa semua yang hadir pada mesyuarat khas tersebut berpuas hati dan bersetuju dengan hujah dan jawapan TSKI. TSKI juga hanya menerima surat pengesahan muktamadnya PLM ini daripada BIMB pada hujung Julai 2014.

Keempat, fitnah bahawa PLM telah dirunding menerusi atau dengan bantuan Tan Sri Rashid Manaf (TSRM), seorang tokoh korporat UMNO dan bekas peguam Tun Daim Zainuddin semata-mata kerana:

1. Pengesahan oleh salah seorang Setiausaha Politik kepada Dato' Menteri Besar Selangor bahawa TSKI bertemu dengan TSRM "beberapa kali"

2. PLM dibuat di luar pengetahuan pihak peguam BIMB, Tetuan Tommy Thomas yang mendakwa diberitahu keputusan tersebut pada saat-saat akhir menjelang pertengahan Februari 2014

3. Penjualan pada 19 Mac 2014 308.72 ekar tanah milik Tropicana Corporation Berhad (sebahagian tanah pembangunan keseluruhan seluas 1,172 ekar yang dibeli daripada Kerajaan Selangor pada bulan April 2013) kepada Eco World Development Group Berhad (Eco World) di mana TSRM merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah dan pemegang saham utama Eko World

4. Penganugerahan projek pembinaan 2,496 unit perumahan mampu milik (PMM) di Sungai Sering, Mukim Hulu Kelang, Daerah Gombak  dianggarkan bernilai RM520 juta kepada Eko World menerusi MoU yang termeterai pada 25 Mac 2014

Hakikatnya, sebagai bekas tokoh korporat tersohor yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, tidak mustahil malah satu kelaziman bagi TSKI untuk mengenali dan pernah berurusan dengan ribuan tokoh lain daripada dunia korporat dan kewangan domestik dan antarabangsa. Ada di kalangan mereka kekal sebagai kenalan rapat TSKI meskipun pendirian politik berbeza. Namun, dari situasi sebegitu untuk seterusnya dituduh menjadi orang tengah atau dalang bagi PLM agak keterlaluan malah simplistik. Dalam Surat Akuan Berkanun bertarikh 4 September 2014, Encik Azman Abidin, Setiausaha Politik kepada Dato' Menteri Besar menafikan butiran perbualan telefon pada 29 Julai 2014 seperti yang didakwa dalam dossier setebal 91 halaman terbitan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan menerangkan sebenarnya apa yang berlaku.

Bukanlah sesuatu yang aneh sekiranya peguam yang mewakili mana-mana pihak dalam litigasi di mahkamah tiba-tiba diketepikan dalam sebarang rundingan PLM memandangkan antara manfaat PLM adalah penjimatan kos guaman serta mengelakkan pembaziran masa dan tenaga di mahkamah. Walaubagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa peguam mewakili TSKI telah memberi nasihat dan terlibat sepenuhnya daripada peringkat awal kes pada Mei 2007 sehingga muktamadnya PLM ini pada hujung Julai 2014.

Untuk penjelasan lanjut mengenai isu Tropicana dan Eco World dalam projek Canal City serta penganugerahan projek PMM Selangorku di Sungai Sering kepada Eco World, rujuk kepada pautan berikut: http://bm.selangorku.com/58631/isu-tropicana-dan-eco-world-dalam-projek-canal-city-diperjelas/ dan http://bm.selangorku.com/58634/isu-pembinaan-perumahan-mampu-milik-selangorku-di-sungai-sering-oleh-eco-world-diperjelas/.

Kelima, fitnah bahawa terdapat timbal balas atau pertukaran bagi menyelesaikan kes TSKI-BIMB ini yang terbukti antara lain dalam bentuk kenyataan dan kemunculan TSKI dalam media Barisan Nasional serta kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan yang kononnya memberi ruang menyerang PKR dan Pakatan Rakyat; beberapa tindakan lain yang didakwa terburu-buru dan menimbulkan syak wasangka; penstrukturan semula industri air Selangor didakwa secara tergesa-gesa termasuk menyegerakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada 26 Februari 2014 dan Perjanjian Induk (HoA) pada 1 Ogos 2014 tanpa merujuk kepada pimpinan Keadilan atau Pakatan Rakyat serta Projek Langat 2.

Hakikatnya, hubungan baik dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan amat dialu-alukan malah dituntut demi kebaikan atau menyelesaikan permasalahan rakyat apatah lagi memandangkan senarai persekutuan, negeri atau bersama dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa dan prerogatif masing-masing.

Agak lucu dan tidak matang sekiranya kenyataan atau kemunculan berkaitan rakyat dan hal-ehwal negeri dalam media nasional yang sememangnya condong malah milik entiti Barisan Nasional sekian lama dikatakan serong dan menimbulkan kesangsian.

Proses penyusunan semula industri Selangor bermula hampir sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran negeri pada 2008 kerana mengembalikan aset air kepada rakyat merupakan antara agenda utama. Maka, menuduh pemuktamadan satu proses yang telah memakan masa lebih enam tahun sebagai tergesa-gesa jelas satu cubaan memesong fakta dan berniat jahat. Untuk penjelasan lanjut mengenai isu penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor, rujuk kepada pautan berikut: http://bm.selangorku.com/57790/isu-penstrukturan-air-selangor-siri-1/, http://bm.selangorku.com/57888/penstrukturan-air-selangor-siri-2/, http://bm.selangorku.com/58217/isu-penstrukturan-semula-air-diperjelas-siri-3/, http://bm.selangorku.com/58626/penstrukturan-semula-air-siri-4/ dan http://bm.selangorku.com/58628/penstrukturan-isu-air-selangor-siri-5/.

Keenam, dakwaan bahawa TSKI memberi penjelasan tidak masuk akal apabila menyatakan antara sebab BIMB bersetuju dengan PLM ada kaitan dengan tuntutan saman bernilai RM300 juta terhadap Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang TSKI yakin akan menang dalam tempoh satu hingga tiga bulan selepas sesi penerangan kepada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat pada 6 Mac 2014 tetapi tiada khabar berita sehingga kini.

Hakikatnya, bukanlah sesuatu yang luar biasa atau mengejutkan sekiranya sebarang tindakan mahkamah mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan. Menurut salah seorang peguam pihak TSKI, Encik Mathew Thomas Philips, "case management" bagi kes saman menentang PNB ini dijadualkan bermula 1 Oktober 2014.

Tuntutan "general damages and loss of profits" yang ditaksirkan bernilai RM300 juta merujuk kepada kes asal difailkan pada 2010 di mana PNB dan BIMB dinamakan sebagai defendan atas dasar hak TSKI memiliki saham Guthrie yang selebihnya dinafikan. Namun, BIMB digugurkan daripada senarai defendan sebagai salah satu daripada syarat PLM dan sudah pasti taksiran nilai tuntutan juga turun kepada satu paras yang lebih rendah.

Haron Din: Cara pilih MB kena sama dengan imam

Posted: 16 Sep 2014 09:15 PM PDT


Muktamar
 
 
 
KULAIJAYA - Kaedah pemilihan ketua kerajaan mestilah mengikut syarat sepertimana pemilihan seorang imam dalam solat yang digariskan oleh Islam, tegas Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din.

Kaedah sama juga ujar Haron terpakai dan perlu digunakan dalam melantik Menteri Besar Selangor.

"Kalau dalam amalan solat ada kaedahnya tentang siapa yang patut dan wajib menjadi imam, dan itu berlaku terus menerus dalam hidup kita dan dalam politik.

"Maka dalam perjuangan, kena kenali, kena hayati siapa yang patut menjadi ketua, dan dipertahankan ketua itu... siapa yang patut menjadi ketua kerajaan, siapa patut menjadi MB, sepatutnya semua maklum," katanya dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama Pas kali ke-53 di IOI Palm Villa Country Resort, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pergolakan politik di Selangor dalam mencari calon yang sesuai untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

Sebelum ini juga, Majlis Syura Ulama Pas menolak pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar atas dasar pemimpin itu dikatakan tiada kelayakan dan pengalaman cukup bagi memikul amanah berkenaan.

Mengulas lanjut, Haron menambah, Dewan Ulama Pas menjadi tonggak parti dalam mengukuh dan menguatkan perjuangan parti Islam itu.

Jelasnya, meskipun ahli Pas khususnya barisan pimpinan sentiasa mengikuti tarbiyah parti, namun masih wujud segelintir daripadanya tidak memahami serta menghayati perjuangan Pas.

"Ada yang kecundang di tengah jalan...ada pula luruh binasa...ada juga meninggalkan perjuangan dan lebih teruk ada yang mengkhianati perjuangan Pas," ujarnya.

Caj Harga Langganan Pakej Internet di Malaysia Mahal Tetapi Kelajuan Internet Masih Lembap Kalah Dengan Kemboja & Vietnam! Respon Anda?

Posted: 16 Sep 2014 09:13 PM PDT




Pakej Internet Malaysia 2014



Analisa dan kajian yang dilakukan oleh ASEAN DNA terhadap kelajuan dan kepantasan Internet di bagi negara-negara di Asia Tenggara menunjukkan satu perkembangan yang sihat dan berita gembira apabila kebanyakan negara dilihat sudah mempunyai akses kepada Internet. Berita kurang baiknya adalah….?

Baru-baru ini Senator Bam Aquino telah tampil menemplak dan mohon diadakan siasatan menyeluruh dengan segera melihatkan kelembapan internet di Filipina dan dalam pada masa yang sama harga yang ditawarkan kepada pengguna Internet mahal. Senator Bam Aquino mahukan ada siasatan dan kajian dilakukan samada perkhidmatan Internet di Filipina berbaloi dengan belanja yang dikeluarkan pengguna dan pelanggan Internet di sana setelah melihatkan pengguna Internet di negara lain berjaya menikmati internet yang laju pada kadar yang berpatutan. Bagaimana pula caj harga langganan pakej Internet di Malaysia?
Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) pernah menemplak tahap perkhidmatan internet di Malaysia sangat mahal tidak berpadanan dengan servis yang kualiti yang ditawarkan kepada pengguna di Malaysia seperti anda, anda di sini. Setuju atau tidak?
Nampaknya penyedia Internet terus mengambil kesempatan melihatkan realiti hari ini yang mana industri mudah alih yang semakin meluas, pengguna media sosial yang meningkat dan pelaksanaan urusniaga elektronik (e-dagang) yang semakin melonjak tinggi statistiknya tetapi malangnya harga caj langgan Internet di Malaysia terus menekan pengguna tidak berpadanan dengan servis yang mereka nikmati.

Kelajuan & kepantasan Internet di Asia Tenggara berbeza mengikut negara.

 

  • Ada negara yang Internet laju, harga berpatutan
  • Ada negara kelajuan Internet serdahana, harga tidak munasabah
  • Ada negara yang yang Internet serdahana & ataupun lembap tetapi caj harga Internet masih lagi munasabah
  • Ada negara menyediakan Internet yang lembap tetapi malangnya harga caj Internet yang membebankan
  • Macam-macam pakej harga yang ditawarkan

Berdasakan semakan Berita Semasa pada gambarajah di atas ini, kelajuan Internet di Singapura adalah terpantas bagi kalangan negara di Asia Tenggara malahan Jepun dengan US boleh kalah dengan negara Kota Singa ini dengan hanya menyediakan purata kelajuan 41.4Mbps & 22.3 Mbps.

Realitinya jikalau dibandingkan dengan negara luar, harga caj langganan Internet di malaysia adalah 5-10 kali ganda lebih mahal berbanding negara-negara maju seperti Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura turut menawarkan kadar harga internet dan jalur lebar lebih rendah berbanding Malaysia.

Perbandingan Caj Harga Internet di Malaysia Vs Singapore Vs Thailand Vs Filipina?

 

  1. Caj Harga Internet di Filipina : RM73 (3Mbps Unlimited)
  2. Caj Harga Internet di Singapore (Singtel) : RM95 (15 Mbps Unlimited)
  3. Caj Harga Internet di Thailand (True Internet) : RM80 (12 Mbps Unlimited)
  4. Caj Harga Internet di Malaysia (TM) : RM199 (10Mbps)
  5. Caj Harga Internet di Korea Selatan (Hanara Telecom) : RM64 (100Mbps Unlimited)
Malah yang menyedihkan lagi melalui kajian global oleh Ookla yang dilakukan terhadap 192 buah negara mendapati kelajuan purata jaur lebar di Malaysia lebih perlahan daripada Kemboja dan Vietnam dan Myanmar pula semakin lama berusaha untuk mengatasi Malaysia ketika ini.

Apa kata anda pula dengan tahap perkhidmatan dan servis penyedia Internet di Malaysia kepada anda ketika ini? Berpuas hati?


Hijrah: TG Nik Aziz Harap Eja Terus Istiqamah

Posted: 16 Sep 2014 09:07 PM PDT

KELAB GREENBOC





KOTA BHARU: Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih dikenali dengan Eja meluangkan masa kira-kira 15 minit bertemu dengan bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Eja bersama suami Mohd Silahudin Jamaluddin bersama anak mereka, Nur Eishal tiba di Kota Bharu Khamis lalu bagi memenuhi program Bicara Selebriti Ke-8 di Balai Islam Lundang, di sini.

Eja dan suaminya mengambil peluang bertemu dengan Tuan Guru selepas solat Asar semalam di Pulau Melaka sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Tuan Guru berharap Eja sentiasa istiqamah dengan penghijrahannya yang kini telah menutup aurat.

Menurut Tuan Guru, segala hasrat panjatkan doa pada Allah kerana manusia itu tidak bersendirian.

"Kita ada Allah, Dia sentiasa mendengar hasrat kita, keinginan kita, jadi jangan lupakan Allah," ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi memenuhi hasrat Eja yang meminta supaya Tuan Guru mendoakannya agar sentiasa istiqamah dengan penghijrahannya itu.

Bagi Eja sendiri hasrat kerajaan negeri yang mengundangnya memenuhi slot selebriti itu diharap dapat memberi ruang kepadanya bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang telah lama dihajatinya.

Eja mula bertudung sekembalinya dari mengerjakan umrah kali keempat tahun ini ketika berusia 41 tahun.

Turut menjayakan selebriti itu, artis Neelofa, Ustazah Fatimah Sharha yang dipengerusikan Amin Rais. -HD

Tiada ulasan: