DIALOG RAKYAT |
- Isu keselamatan: Pesawat MAS patah balik
- PKR pecat ketua cabang, gantung lima ahli
- Bekas MB berdepan tuduhan fitnah jenayah
- Perwakilan: Jangan hanya tagih kesetiaan
- MB Kelantan hadir sambut jenazah Noor Zahidi
- Misteri di sebalik 'projek sakit' berpagar zink
- TPM bayangkan calon muda tanding Pgln Kubor
- Beri peluang PAS bertanding PRK Pengkalan Kubur
- Ketua AMK: JPP PKR terkilan Nik Nazmi diboikot
- Pengiktirafan besar ulama dunia kepada PAS
- 'Warga tentera diperlaku seperti hamba abdi'
- Perwakilan: PAS injak, buli PKR di T'ganu
- ESSCom Masih Buru 3 Lelaki Larikan Diri
- UMNO Kelantan Jangan Ambil Mudah PRK Pengkalan Kubor
- London, ISIS dan Gaza
- Mahkamah lucut hak jaminan RM20,000 terhadap Alvin Tan
- Wan Azizah masih tunggu jawapan istana
- Exco baru AMK boikot ucapan sulung Nik Nazmi
- Salah lapor, Khalid timbang saman akhbar
- MH17: 'Jumpa kamu di syurga'
Isu keselamatan: Pesawat MAS patah balik Posted: 23 Aug 2014 03:58 AM PDT MALAYSIAKINI Satu pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH70 yang dalam perjalanan ke Tokyo terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur pagi ini disebabkan satu masalah keselamatan yang ditemui semasa dalam penerbangan. Perkara itu diumumkan oleh juruterbang kira-kira 50 minit selepas perlepasan, kata seorang penumpang pesawat tersebut ketika dihubungi Malaysiakini. Pesawat itu yang menuju ke lapangan terbang Narita, Tokyo itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 10.50. Selepas mendarat, penumpang diberitahu bahawa mereka akan berlepas ke Tokyo pada jam 1.15 petang dengan menggunakan pesawat lain. "Skrin radar (paparan laluan penerbangan di tempat duduk penumpang) menunjukkan pesawat itu membelok ke kiri, lama sebelum pengumuman tersebut. "Saya pada mulanya keliru, tetapi ia semakin jelas apabila mereka membuat pengumuman," kata penumpang tersebut, Victor Tan. Laman web MAS menunjukkan bahawa penerbangan MH70 "dijadualkan semula" dan dijangka tiba di Tokyo pada jam 9.25 malam. Laman menjejak pesawat Flightradar24 menunjukkan MH70 hanya membuat pusingan di kawasan perlepasan sebelum berpatah balik. Malaysiakini masih menunggu maklum balas syarikat penerbangan tersebut. |
PKR pecat ketua cabang, gantung lima ahli Posted: 23 Aug 2014 03:49 AM PDT SHAH ALAM - Akibat memaparkan aksi membakar bendera PKR dan dimuat naik dalam laman sosial Facebook, seorang pemimpin Cabang parti itu telah dipecat Lembaga Displin PKR, hari ini. Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, tindakan tegas itu diambil selepas perbuatan ahlinya itu telah menjejaskan nama baik parti dan memberi implikasi buruk kepada masyarakat. "Ketua AMK Cabang Kuantan, Aidil Haryman Mat Nor secara terbuka melalui laman sosial Facebook memaparkan gambar beliau membakar bendera parti, yang memberi implikasi buruk kepada imej dan kredibiliti parti kepada masyarakat umum. "Beliau turut mengakui tindakan membakar bendera parti dan mencabar agar beliau dipecat dari parti," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini. Sebelum ini, Lembaga Disiplin PKR telah meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan beberapa kes berkaitan tatatertib dan disiplin ahli parti itu. Kes-kes itu telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam yang dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anggota-anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang lain. Dalam pada itu, seramai empat ahli parti itu telah digantung keahliannya dan diberikan surat tunjuk sebab selepas mereka terlibat dalam satu gerakan mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. "Mereka didakwa terlibat dalam satu sidang media Pertubuhan Anak-anak Selangor Sokong Menteri Besar (Pasmeb) bersama NGO lain yang mempertahankan Abdul Khalid pada 20 Ogos lalu. "Antaranya ahli Cabang Pasir Mas, Dr Wan Suhaimi Wan Daud; ahli Cabang Sepang, Nasiruddin Mohamad; ahli cabang Selayang, Abdul Rahim Abdul Wahab dan ahli Cabang Batu, Rosmah Suly. "Ahli-ahli parti ini akan diberi surat tunjuk sebab dan digantung kehlian serta-merta sehingga siasatan selesai," katanya lagi. |
Bekas MB berdepan tuduhan fitnah jenayah Posted: 23 Aug 2014 03:43 AM PDT MALAYAIAKINI Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijangka akan dihadapkan ke mahkamah dengan pertuduhan fitnah jenayah pada hari Isnin. Beliau merupakan antara beberapa pemimpin Pakatan yang menghadapi tuduhan jenayah sejak pilihan raya umum ke-13. Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dalam kenyataannya berkata Nizar akan diheret ke mahkamah atas kenyataannya berhubung Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu forum pada 2011. "Jika perdana menteri berasa Nizar memfitnahnya, Najib patut mengupah peguam untuk menyaman (Nizar) untuk gantirugi, bukannya menggunakan badan kehakiman untuk menganiaya pemimpin pembangkang," katanya. Tambahnya, tuduhan fitnah jenayah juga amat jarang digunakan dan akan menjejaskan imej Najib sebagai pemimpin yang berjanji untuk melaksana dasar demokratik. Ketika dihubungi, Nizar mengesahkan bahawa beliau akan dituduh mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan. "Isnin, 9 pagi di Mahkamah Sesyen Ipoh untuk pertuduhan," katanya dalam satu kiriman SMS kepada Malysiakini. Nizar, yang juga ketua pembangkang Perak, berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika didapati bersalah. Sekiranya disabit kesalahan atau dipenjara sekurang-kurangnya sebulan atau dendan RM2,000 atau lebih, Nizar yang juga ADUN Changkat Jering akan gugur kelayakan sebagai ADUN. Nga meminta para penyokong memakai pakaian berwarna hitam pada hari Isnin sebagai tanda protes. |
Perwakilan: Jangan hanya tagih kesetiaan Posted: 23 Aug 2014 03:41 AM PDT MALAYSIAKINI Seorang perwakilan di Kongres Nasional PKR ke-10 mengingatkan para pemimpin tertinggi parti bahawa mereka juga akan disingkirkan sekiranya hanya berebut-rebut untuk mendapatkan kuasa. Wakil PKR Pahang, Ahmad Nizam Hamid berkata demikian bagi mengingatkan para pemimpin tersebut ke atas empat kelemahan utama yang dikenalpasti melanda PKR pada waktu ini. Beliau antara lainnya melihat bahawa kewibawaan parti kini merosot, manakala "sendi disiplin parti" juga semakin lemah. Sambil menuding kepada para pemimpin tertinggi parti di atas pentas, beliau berkata parti itu juga semakin sukar untuk bertolak ansur, manakala para pemimpinnya juga didakwa dilanda "krisis keperibadian". Nizam seterusnya menggesa anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar menjaga tingkah laku mereka dan tidak hanya sekadar menagih kesetiaan pengikut bawahan. "Yang di atas ini, jangan kamu pula buat 'ulah' (perangai buruk). Jangan kamu berebut-rebutan. Orang bawah, kamu kata 'taat, taat, taat, disiplin, disiplin'. "(Pemimpin) yang di atas, hubaya- hubaya (berawaslah), atau kamu akan dibuang dalam bakul sejarah," katanya seraya disambut tepukan gemuruh daripada perwakilan. Dalam ucapannya itu, beliau turut menggesa agar PKR Selangor mengerahkan sekurang-kurangnya 200 orang anggota dari setiap cabang untuk hadir ke kongres dan memenuhkan kerusi kosong di dalam Stadium Malawati di Shah Alam. |
MB Kelantan hadir sambut jenazah Noor Zahidi Posted: 23 Aug 2014 03:38 AM PDT KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, antara mereka yang menunggu ketibaan jenazah Adun Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar, di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, malam tadi. Pesawat yang membawa jenazah mendarat jam 10.15 malam. Antara pimpinan kerajaan negeri yang hadir, Exco kerajaan negeri, Mejar (B) Datuk Anizam Abdul Rahman, Mumtaz Md Nawi dan Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kob. Turur hadir sama ialah Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Tan Sri Annuar Musa. Sebelum itu, jenazah Noor Zahidi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Guangzhou sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Subang yang kemudian diterbangkan ke Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa menggunakan pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia. Jenazah seterusnya dibawa ke kediaman allahyarham di Kampung Surau Pasir Pekan untuk disembahyangkan sebelum dikebumi sekitar jam 11.50 malam. Noor Zahidi, 57, meninggal dunia akibat kanser hati seaktu menerima rawatan di sebuah hospital di Guangzhou, China pada jam 5.45 pagi, Rabu lepas. - HARAKAHDAILY |
Misteri di sebalik 'projek sakit' berpagar zink Posted: 23 Aug 2014 03:36 AM PDT MARAN: 'Projek sakit' Akademi Usahawan Tani Kampung Awah, dekat sini, yang pernah ditegur oleh PAS Pahang dua tahun lalu, semalam sekali lagi didedahkan misterinya yang berpagar dengan zink setinggi 20 kaki. Misteri tersebut ialah rupa-rupanya bangunan dalaman yang mendapat kritikan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011, sedang dirobohkan dan akan dibina bangunan baru. Pusat latihan yang sepatutnya digunakan untuk kursus-kursus keusahawan tani itu mulai dibina pada tahun 2005 dengan menelan kos sekitar RM9 juta, tetapi banyak bahagian di dalamnya tidak boleh digunakan kerana tidak mengikut spesifikasi. Berdasarkan laporan audit, terdapat beberapa kelemahan dalam perancangan dan pelaksanan projek melibatkan konkrit bangunan asrama dan blok pentadbirannya. Dalam program Cakna Rakyat PAS Pahang, media diberitahu kerajaan dipercayai telah mengeluarkan tender baru untuk meruntuh bangunan sedia ada dan membina yang baru, berdasarkan pemasangan zink di sekeliling kawasan tersebut. "Sepatutnya kontraktor terdahululah yang perlu dipertanggungjawabkan, kenapa perlu tender projek lain. Justeru PAS Pahang merasakan berlaku penyelewengan, kedua pembaziran wang rakyat dan yang ketiga menyusahkan bakal usahawan tani yang sepatutnya mendapat manfaat. "Dalam suasana muram hari ini dengan rakyat disuruh berjimat, di pihak kerajaan pula berlaku pembaziran dengan jutaan ringgit lagi wang rakyat digunakan," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Md Jusoh Darus. Hadir sama Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Saad, Bendahari Musaniff Abdul Rahman, Yang Dipertua PAS Maran Hasenan Harun dan Adun Kuala Semantan Syed Hamid Mohamad. "Pembaziran terus berlaku, wang rakyat sekali lagi digunakan untuk menampung kecuaian pihak yang tidak bertanggungjawab. "Dengan ini PAS menuntut satu siasatan telus demi hak dan kebaikan rakyat," katanya. - HARAKAHDAILY |
TPM bayangkan calon muda tanding Pgln Kubor Posted: 23 Aug 2014 03:35 AM PDT MALAYSIAKINI BN yakin dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Kelantan, meskipun terpaksa berhadapan cabaran daripada PAS, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin, yang juga timbalan pengerusi BN, berkata walaupun DUN Pengkalan Kubor adalah kubu kuat parti namun BN tidak boleh ambil mudah, sebaliknya perlu bekerja keras untuk mempertahankan kerusi itu. "Kita tahu kawasan itu bukan mudah tetapi terbukti kawasan ini memang telah diwakili calon kita. Kita akan mengambil peluang ini untuk jelaskan dasar-dasar perjuangan Umno dan BN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran Umno bahagian Pagoh, dekat Muar hari ini. Beliau turut memuji keperibadian penyandang kerusi DUN Pengkalan Kubor, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, yang semasa hayatnya sentiasa berpijak di bumi nyata, bekerja keras dan sering memberi perkhidmatan cemerlang dari segi pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan kepada pengundi tanpa mengira latar belakang mereka. Allahyarham Noor Zahidi, 57, yang menjadi Adun Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua Umno Bahagian Tumpat selama empat penggal, meninggal dunia akibat kanser hati pada pukul 5.45 pagi, Rabu lepas ketika menjalani rawatan di sebuah hospital di Guangzhou, China. Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno, turut membayangkan BN akan menurunkan calon muda untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Kubor kali ini. "Kita sudah kenal pasti ramai tokoh muda berwibawa yang boleh diketengahkan. Saya harap ini dapat diputuskan dalam tempoh bila tarikh pengumuman calon itu diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya," kata Muhyiddin. Ketika ditanya sama ada kemelut yang menyelubungi pakatan pembangkang bakal memberikan kelebihan kepada BN, beliau berkata pengundi sentiasa peka mengenai isu seperti ini. "Semuanya akan menjadi pertimbangan buat pengundi seperti juga contoh kemelut krisis politik di negeri Selangor...pertembungan dan perbezaan pendapat yang agak ketara antara komponen pakatan pembangkang, baik PAS, DAP dan PKR," kata Muhyiddin. BN, katanya, boleh mengambil iktibar daripadanya untuk memberi penjelasan kepada pengundi tentang apa yang berlaku, sekali gus menerangkan kepada pengundi bagaimana BN berjuang untuk rakyat dan menguruskan hal negara. Kira-kira 20,000 orang hadir memeriahkan majlis sambutan Aidilfitri kali ini. Turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.-Bernama |
Beri peluang PAS bertanding PRK Pengkalan Kubur Posted: 23 Aug 2014 03:30 AM PDT Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof, berkata berdasarkan rekod pilihan raya yang lepas, calon Pakatan Rakyat berpotensi untuk memenangi semula Dun tersebut sekiranya meletakkan calon PAS. Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas majlis perasmian muktamar dewan itu ke-41 oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, di sini hari ini. Muktamar berkenaan diadakan di Putik, dekat sini yang turut dihadiri tetamu jemputan daripada beberapa NGO Islam seperti Abim, Ikram, wakil Hamas Palestin dan muslimat PAS Pusat. Menurutnya, pengalaman lalu bukan hanya calon PAS yang pernah memenangi Dun tersebut, sebaliknya apabila meletakkan calon PKR mewakili Pakatan Rakyat, undi Dun lebih rendah berbanding peringkat Parlimen. "Kita melihat ianya tidak begitu seimbang antara pengundi di peringkat Dun dan Parlimen seolah-olah ada sesuatu yang tidak diingini berlaku di situ," ujarnya lagi. Katanya, kajian yang dibuat juga rata-rata menunjukkan pengundi inginkan calon dari PAS dicalonkan setiap kali pilihan raya ketika kajian dibuat di peringkat bawah. "Jadi saya mengharapkan untuk pilihan raya kecil ini pimpinan kita mempertimbangkan cadangan untuk meletakkan calon kita bagi merampas semula Dun Pengkalan Kubur," ujarnya yang juga Ketua Muslimat PAS Malaysia. Pada masa yang sama beliau turut berharap pimpinan PKR dan penyokong memahami hasrat dewan berkenaan tanpa memandang sebarang rasa prejudis terhadap mereka. Ketika ditanya PAS mungkin sukar untuk mengembalikan kemenangan itu walaupun meletakkan calonnya disebabkan ianya pilihan raya kecil, Zailah memberitahu ia akan dimulakan pada pilihan raya kecil ini dahulu. Tambahnya, memang ia sukar tetapi tidak mustahil untuk parti itu mencubanya. Pilihan raya kecil itu diadakan apabila Adunnya, Datuk Noor Zaidi Omar meninggal dunia dua hari lalu di China akibat penyakit barah yang dihadapinya. Noor Zaidi memenangi Dun Pengkalan Kubur pada PRU 2004, 2008 dan 2013. Pada PRU13 lepas, allahyarham yang juga Ketua Umno Bahagian Tumpat mendapat 10,174 undi menewaskan calon PKR, Saharun Ibrahim (8,438) dan Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (65). - HARAKAHDAILY |
Ketua AMK: JPP PKR terkilan Nik Nazmi diboikot Posted: 23 Aug 2014 03:27 AM PDT Pengerusi JPP PKR Datuk Johari Abdul berkata, sepatutnya anak muda tidak seharusnya menunjukkan sikap sedemikian kerana merekalah yang akan menerajui kepimpinan parti pada masa depan. "Rakyat akan melihat pimpinan muda membawa obor ke tahap lebih tinggi. Kita akan masuk dalam pilihan raya dan akan dipimpin oleh anak muda," katanya. Tegasnya, pengiktirafan anak muda hari ini merupakan peluang yang terbaik untuk mereka menunjukkan kepimpinan mereka. "Kenapa harus kita boikot? Hentilah isu boikot, kita masuk gelanggang untuk memimpin. Kepimpinan Nik Nazmi akan membuatkan kuota melangkah lebih bergaya ke Putrajaya," katanya. Beliau berkata demikian ketika secara rasminya mengumumkan barisan kepimpinan baru PKR yang dimenangi dalam pemilihan baru-baru ini. Para pimpinan tertinggi PKR yang baru memenuhi ruang pentas kongres sebaik diumumkan JPP satu persatu. Bagaimanaoun jawatan Setiausaha Agung yang ada sekarang dilanjutkan sehingga pemilihan jawatan itu dibuat mengikut Fasal 27 parti. Sidang kongres PKR esok akan dibarisi kepimpinan baru PKR iaitu Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan, Mohamed Azmin Ali, tiga naib, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Rafizi Ramli serta 20 pimpinan Majlis Tertinggi. – HARAKAHDAILY |
Pengiktirafan besar ulama dunia kepada PAS Posted: 23 Aug 2014 03:25 AM PDT Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata perlantikan itu juga sebagai pengiktirafan yang jelas kepada parti Islam di negara ini. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan ke-41 di sini hari ini. "Kita begitu berbangga apabila Tuan Guru Presiden kita dilantik sebagai orang kedua tertinggi dalam kesatuan ulama dunia," ujarnya. Menurutnya, untuk itu beliau menyeru seluruh anggota parti seluruh negara khususnya muslimat mempergiatkan lagi gerak kerja parti ke arah yang lebih baik bagi mencerminkan perjuangan parti itu kepada masyarakat. Dewan Muslimat PAS Malaysia juga turut mengucapkan tahniah di atas pengiktirafan itu. Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof, berkata apabila Tuan Guru Presiden dilantik Naib Ketua Ulama Sedunia di bawah Sheikh Dr Yusof Qardhawi, ianya memperlihatkan bukan sahaja pengiktirafan terhadap Tuan Guru, sebaliknya juga kepada PAS. "Ia suatu pengiktirafan yang begitu tinggi terhadap perjuangan PAS di peringkat dunia," katanya ketika ditemui hari ini. Sehubungan itu, Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, berkata semoga tidak ada lagi pihak yang tidak puas hati serta mengkritik pimpinan Tuan Guru dalam parti. "Ketika dunia mengiktiraf, kita anggota parti sendiri dan rakyat Malysia mengkritik serta masih mengeluarkan suara yang tidak berpuas hati, ianya amat tidak wajar sekali," ujarnya. Sehubungan itu, masyarakat seluruh dunia diminta jangan memperlekehkan perjuangan Islam apa lagi setelah pengiktirafan itu diberikan di peringkat dunia. Jelasnya tidak ada ulama dalam Umno atau mana-mana aktivis di negara ini setakat ini dianugerahkan kedudukan yang begitu tinggi selepas Pengerusinya, Dr Yusof Al-Qhardhawi. Dua lagi yang turut dilantik sebagai naib ketua bersama Tuan Guru Abdul Hadi adalah Syeikh Raisuni dari Maghribi dan Syeikh Ahmed Al-Khalily Mufti Kesultanan Oman. Pelantikan mereka dipersetujui oleh ulama dunia yang bersidang di Turki, semalam. Sementara Presiden Sekretariat Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abdul Ghani Samsudin dipilih salah seorang daripada 20 ahli jawatankuasa kesatuan itu. - HARAKAHDAILY |
'Warga tentera diperlaku seperti hamba abdi' Posted: 23 Aug 2014 03:17 AM PDT MALAYSIAKINI Perwakilan dari Perak Laksamana (B) Imran Abdul Hamid hari ini mempertikaikan penggunaan anggoita tentera untuk istiadat penghormatan jenazah mangsa pesawat MH17. Katanya, tentera yang gugur mempertahankan negara dalam insiden pencerobohan Lahad Datu tidak pula diberikan penghormatan yang sebegitu gah. Imran yang juga MP Lumut juga berkata, pihak tentera digunakan secara "berlebih-lebih" dalam upacara perkabungan seluruh negara semalam. "Apabila kita lihat, kematian sepuluh perwira kita disambut secara ala kadar berbanding dengan (sambutan) kematian MH17 yang diatur begitu rapi. "Yang jadi mangsa (adalah) warga tentera (yang diperlakukan) macam hamba abdi untuk menguruskannya. "Bukan kita tak puas hati tetapi kita tengok terlebih-lebih untuk meraikan mangsa MH17. "Bukan kita tak bersimpati tetapi mengapa sampai begitu sekali. "Sedangkan, pejuang kita mati di Lubnan dan Lahad Datu pun tidak ada sambutan yang sebegitu," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden PKR hari ini di kongres parti itu hari ini. 'Beri penjelasan' Beliau juga mendesak kerajaan menjelaskan rasional di sebalik penggunaan tentera dalam sambutan itu. "Inilah yang kita minta kerajaan bagi penjelasan," katanya Semalam, seluruh negara bertafakur selama seminit tepat pada jam 10.54 pagi bagi memberi penghormatan kepada 20 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi pesawat itu. Dinamakan Hari Perkabungan Negara, jenazah yang tiba di Kuala Lumpur dengan sebuah pesawat khas dari Belanda, diberikan penghormatan menurut istiadat ketenteraan. Yang di-Pertuan Agong dan Permaisuri Agong juga berkenan mencemar protokol dengan memberi tunduk hormat kepada jenazah yang melintas di hadapan mereka. Pesawat angkatan tentera C130 juga diguna untuk menerbangkan dua jenazah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan tiga lagi ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh. Selain itu, helikopter EC725 digunakan untuk menerbangkan jenazah dua lagi mangsa ke Pagoh dan Segamat, Johor. |
Perwakilan: PAS injak, buli PKR di T'ganu Posted: 23 Aug 2014 03:13 AM PDT MALAYSIAKINI Seorang perwakilan tidak dapat menahan kesedihannya kerana didakwa "dibuli" oleh sekutu mereka, PAS di Terengganu sehingga tidak mampu memenangi kesemua kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya umum lalu. Wakil negeri itu, Azlan Che Mat dengan nada sayu berkata, PKR Terengganu amat kecewa kerana PAS turut merampas kerusi yang berpotensi untuk dimenangi mereka dan enggan memberi kerjasama semasa kempen pilihan raya. "Kami menangis, kerana di dalam PRU yang lepas, kami dimomok, dihinjak-hinjak. Alhamdulillah, walaupun kita diinjak-injak oleh parti Umno kita menang satu kerusi. "(Tapi) yang kita cukup sedih, cukup menangis, kita diinjak-injak oleh rakan kita PAS Terengganu," katanya dalam perbahasan untuk menyokong Usul Antarabangsa di Kongres Nasional PKR ke 10 hari ini. Beliau seterusnya berharap agar presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta timbalannnya, Azmin Ali dapat membantu memulihkan kerjasama Pakatan di negeri itu. "Saya minta jangan takut kepada PAS Terengganu, bukan PAS Pusat. Saya minta YB presiden, tolonglah, tolong Terengganu. Masalah kerjasama "Kami nak kembalikan semula kemenangan dari tangan Umno untuk Pakatan rakyat tapi kami melihat PAS Terengganu masih tidak bersedia untuk bersama Pakatan Rakyat," kata beliau. "Saya ucap taniah kerana dia (Azmin) menang, sebab itu saya minta dia tolong, datang ke Terengganu buat pembetulan balik, atau bantu bentuk satu sekretariat Pakatan Rakyat Terengganu," kata beliau. Dalam pilihan raya tersebut, PKR pada asalnya diberi peluang bertanding di enam kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen. Walaubagaimanapun, PAS tetap meletakkan calon mereka di kerusi PKR sehingga berlaku pertindihan calon Pakatan di DUN Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir. Selain kerusi parlimen Kemaman, tiga lagi kerusi DUN yang ditandingi PKR ialah Permaisuri, Bandar dan Telemong. PKR tewas di semua kerusi DUN dan parlimen kecuali di DUN Bandar yang ditandingi oleh Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail. |
ESSCom Masih Buru 3 Lelaki Larikan Diri Posted: 22 Aug 2014 05:00 PM PDT RAKYATNEWS KOTA KINABALU - Anggota pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) masih memburu tiga lelaki yang melarikan diri selepas terserempak dengan kapal Pasukan Polis Marin di kawasan perairan antara Tanjung Sirongol dan Pulau Maiga, Semporna awal pagi tadi. Komander ESScom, Datuk Abdul Rashid Harun berkata operasi memburu dijalankan di kawasan Pulau Gaya serta Pulau Bohey Dulang. Difahamkan, suspek yang menggunakan bot laju melarikan diri sebaik terserempak dengan kapal PPM kira-kira pukul 5.45 pagi ke arah Pulau Gaya dengan anggota keselamatan terpaksa melepaskan tembakan ke arah mereka. |
UMNO Kelantan Jangan Ambil Mudah PRK Pengkalan Kubor Posted: 22 Aug 2014 04:59 PM PDT RAKYATNEWS KOTA BHARU - UMNO Kelantan diminta tidak mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor sekalipun kawasan itu dilihat sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak tiga penggal lalu. Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata beliau telah berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkenaan persiapan awal itu bagi memastikan kemenangan kekal berpihak kepada BN. "Segala persiapan untuk menghadapi PRK Pengkalan Kubor perlu dibuat lebih awal kerana kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita,Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pengkalan Chepa 2014 di sini, hari ini. Ahmad berkata beliau mewakili UMNO merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, dari Barisan Nasional, yang meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China Rabu lepas. Jenazah Allahyarham Noor Zahidi dibawa pulang dari Guangzhou hari ini dan dijangka tiba di rumahnya di Pasir Pekan, Tumpat pada malam ini. "Kami rakamkan ucapan terima kasih di atas jasa-jasa Allahyarham selama ini di peringkat negeri terutamanya kerana Allahyarham merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan. "Pengganti beliau (Noor Zahidi) ada tanggungjawab yang besar dan buat masa ini mesyuarat berkenaan calon masih belum dibuat," katanya. Sebelum ini, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan Mohamad Mahmud berkata pihaknya akan menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor selepas menerima surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi itu daripada Speaker DUN Kelantan Abdullah Ya'kub. Allahyarham yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat selama empat penggal meninggal dunia pada jam 5.45 pagi, Rabu. Pada pilihan raya umum tahun lalu, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. |
Posted: 22 Aug 2014 04:54 PM PDT MALAYSIAKINI Saya di London. Sudah dua minggu lebih di sini. Cuti sabatikal yang kedua saya ini selama sembilan bulan lama. Tidak pasti lagi berapa lama di sini dan ke mana pula hendak hendak pergi. Kajian saya sedikit kaitan dengan isu-isu semasa hadis yang membabitkan pandangan Barat. Jika tidak kaitan dengan Barat, mungkin elok saja saya ke negara Arab. Saya sudah pernah tinggal di Jordan selama lima tahun. Di Barat ini jika campur tolak, tidak sampai dua tahun pun. Kali ini mungkin mencukupkannya. Awal saya bercadang hendak ke Amerika Syarikat sebab sudah dua kali saya di UK. Tapi mengenangkan kos yang agak tinggi ke sana, ditambah pula dengan isu-isu politik Amerika di peringkat antarabangsa yang memualkan, saya tukar rancangan. Apatah lagi, cuti sabatikal kedua ini, USM tidak biayai kos ke luar negara. Semua tanggung sendiri. Pada awalnya saya fikir macam tidak mampu, Alhamdulillah dengan doa maka Allah berikan sedikit rezeki dari pelbagai sumber. Salah satunya royalti buku 'Aku Ingin Kembara Lagi' yang diterbitkan beberapa bulan lalu. Cukup untuk kembara seorang diri dengan kehidupan yang serba sederhana. Wartawan disembelih Semasa artikel ini ditulis, isu wartawan Amerika Syarikat James Foley yang disembelih oleh ISIS di Iraq menjadi tajuk utama akhbar-akhbar di sini. Apatah lagi apabila lelaki bertopeng yang menyembelih Foley dengan pisau itu bercakap dengan pelat British London. Maka tajuk seperti "US journalist James Foley beheaded by ISIS fighter "with London accent" mengambil tempat bagi banyak akhbar dan berita TV dan internet. Warga muslim British telah menjadi pembunuh yang sangat ganas atas nama Islam. Itulah mesej yang terlekat pada kepala ramai pembaca. Saya tidak pasti apakah 'game' kali ini yang akan tempias kepada muslim di United Kingdom ini dengan berita seperti itu. Jika kita lihat orang Islam memang ramai di UK ini khususnya London. Iklan pun ada yang gambar perempuan muslimah bertudung. Pasti Islamophobia akan meningkat lagi. Hanya apa yang boleh kita tegaskan bahawa apa yang ISIS buat pastinya bukan ajaran Islam. Kita juga hairan bagaimana ISIS itu begitu kuat dengan segala senjata dan anggotanya. Siapakah sebenarnya di belakang mereka? Memotong kepala musuh untuk dipertontonkan kepada orang ramai bukan perbuatan yang diiktiraf oleh Islam. Apatahlagi membunuh mereka yang tidak terlibat di medan perang seperti wartawan. Ia sama sekali diharamkan oleh Syariat Islam yang mulia. Tokoh besar tabi'i (murid para sahabat Nabi SAW) iaitu al-Zuhri menyatakan: "Tidak pernah dibawa kepada Rasulullah satu kepala pun, tidak sekalipun dalam Perang Badar. Pernah dibawa kepala kepada (Khalifah) Abu Bakar, beliau membantahnya". (Sunan Said bin Mansur, al-Mu'jam al-Kabir oleh al-Tabarani, Marasil Abi Daud dan Sunan al-Baihaqi) Pada zaman dahulu, peperangan dan pembunuhan memang membabit pancung kepala. Semua pihak tanpa mengira agama. Pelbagai cara pembunuhan dilakukan dan pancung termasuk salah satu dari cara manusia membunuh. Kristian dalam sejarahnya sangat kejam, sering membakar manusia hidup-hidup. Sementara itu, Islam pula menjadikan pancung kepala sebagai cara hukuman bunuh dijalankan kerana ia paling pantas membunuh pesalah dan mengelakkan kesakitan. Apabila dengan pantasnya terputus badan dan kepala maka tiada lagi nyawa. Bukan menyembelih manusia seperti yang ISIS lakukan. Nabi SAW bersabda: "Allah telah menetapkan simpati untuk setiap perkara. Apabila membunuh maka elokkanlah cara pembunuhan." (Riwayat Muslim) Disebut Perang Badar dalam kenyataan al-Zuhri tadi disebabkan perang tersebut membabitkan ramai musuh utama umat Islam termasuk Abu Jahal yang sangat zalim yang telah menyeksa dan membunuh dengan kejamnya ramai pengikut Nabi SAW. Dalam Perang Badar Abu Jahal telah dibunuh. Pun begitu tidak dibawa kepalanya kepada Nabi SAW. Cerita kepala al-Aswad al-'Ansi yang dibawa kepada Nabi SAW juga satu kekeliruan kerana al-Aswad itu dibunuh pada tahun ke sebelas Hijrah, pada masa Nabi SAW telah pun wafat. (lihat: Ibn Hajar al-'Asqalani, al-Talkhis al-Habir jld 4 ms 287. Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah) Ketika dibawa kepala musuh iaitu Yannaq yang menjadi ketua di pihak Rome kepada Khalifah Abu Bakar as-Siddiq, beliau membantah. Lalu mereka berkata: "Wahai Khalifah, mereka itu melakukan yang sama kepada kita!" Jawab Khalifah Abu Bakar: "Apakah kamu jadikan Parsi dan Rome sebagai contoh teladan? Jangan bawa kepadaku kepala, cukuplah sekadar surat dan berita." (Riwayat Said bin Mansur) Abu Bakar As-Siddiq membantah perbuatan seperti itu sekalipun pada zaman tersebut yang manusia memang membunuh dengan demikian cara. Bahkan Abu Bakar tidak benarkan umat Islam meniru teladan buruk musuh sekalipun mereka berbuat demikian pada umat Islam. Perbuatan ISIS di samping tidak menyanggahi Islam, ia hanya menimbulkan fitnah terhadap umat Islam terutama di zaman ini. Pasti, tiada siapa yang waras menyukai apa yang dibuat oleh ISIS. Siapa dibelakang ISIS? Presiden Obama ketika mengulas apa yang ISIS lakukan terhadap James Foley menyebut: "No just God would stand for what they did." Kita memang membantah apa yang ISIS buat cuma kita mesti bertanya adakah di sana tuhan yang adil yang akan mempertahankan apa yang Israel telah dan sedang lakukan terhadap rakyat Gaza. Ribuan kanak-kanak, wanita, orang tua dan rakyat yang dibunuh dengan kejam oleh senjata Israel setiap hari. Hampir setengah juta kehilangan tempat tinggal. Sekolah, hospital, rumah dan segalanya di bom saban hari. Bukan seorang wartawan, tapi ratusan ribu menjadi mangsa yang tidak berdosa. Bukan mereka pergi melapor berita yang mungkin sebahagiannya propaganda untuk media yang berat sebelah, tetapi mereka berada di rumah mereka sendiri. Tapi Amerikalah mempertahankan dan membekalkan senjata untuk Israel. Kenapa Obama tidak menyebut 'no just God would stand for what Israel did!'. Sebaliknya, beliaulah 'the demon behind the mask'. Di saat kota-kota Eropah bangkit melakukan demonstrasi membantah Israel atas kekejaman mereka terhadap Palestin, berita ISIS menyembelih dijelmakan menjadi tajuk utama keseluruhan media di Barat. Rakyat Barat yang mempunyai kesedaran tentang hak-hak kemanusiaan kali ini dengan perkembangan media sosial mula nampak kejahatan zionist. Anti-semitism yang merujuk kepada Yahudi yang lama dipendamkan, mula bangkit semula di Eropah. Namun dengan isu terbaru ini maka mereka semacam mendapat modal untuk mengalih pandangan umum terhadap Israel. Mereka seakan menyuruh rakyat melupakan kekejaman terhadap ratusan ribu manusia, berikan perhatian terhadap seorang wartawan yang disembelih oleh ISIS. Padahal ISIS sebelum ini telah menyembelih begitu banyak rakyat di Iraq. Siapakah sebenarnya di belakang mereka? Islam tidak pernah meredhai kezaliman terhadap umatnya, juga terhadap orang lain. Sifat rahmat Islam itu merangkumi setiap kehidupan termasuk setiap juzuk alam ini. Namun semua menjadi keliru. Atas keadaan yang tidak adil dan kejam terhadap masyarakat yang lemah maka ramai muslim yang keliru antara ajaran agamanya dan emosinya yang memberontak. PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. |
Mahkamah lucut hak jaminan RM20,000 terhadap Alvin Tan Posted: 22 Aug 2014 04:52 PM PDT MALAYSIAKINI Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melucutkan hak jaminan sebanyak RM20,000 terhadap blogger kontroversi Alvin Tan, yang didakwa mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan, kerana masih gagal hadir ke mahkamah tanpa alasan yang munasabah. Hakim Abdul Rashid Daud membuat keputusan itu selepas mendapati dua individu yang menjadi penjamin Tan dalam kes itu gagal memenuhi tanggungjawab mereka dalam memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah. "Selepas mendengar penjelasan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan... Bagaimanapun, mahkamah bersetuju untuk hanya melucutkan RM20,000 daripada RM30,000," katanya. Tan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin iaitu sepupu, Loo Ching Ching, 44, dan ibunya, All Kim Lian, 57. Mahkamah menetapkan 3 Oktober ini untuk sebutan semula kes. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nee memohon mahkamah melucutkan hak jaminan terhadap Tan secara keseluruhan memandangkan kedua-dua penjamin gagal memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah sebanyak dua kali dan menyerahkan jaminan itu kepada kerajaan atau Yang di-Pertuan Agong. "Kedua-dua penjamin, iaitu sepupu dan ibunya, merupakan orang yang terdekat untuk memastikan kehadiran tertuduh dan mereka tiada usaha dibuat selain menghubungi mangsa dan menghantar mesej," katanya. Bagaimanapun, peguam Chong Joo Tian berkata penjamin terbabit hanya gagal memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah namun mematuhi syarat tambahan lain iaitu melaporkan diri sebulan sekali ke balai polis. Selain itu, Chong berkata penjamin berjaya memastikan anak guamnya tidak menggunakan sebarang aplikasi teknologi bagi memuat hantar sebarang komen yang boleh mengundang masalah. Hari ini, sepupu dan ibu Tan hadir ke mahkamah untuk memberi sebab mengapa wang jaminan itu tidak sepatutnya dirampas oleh mahkamah. All berkata beliau sehingga kini masih mencari, menghubungi dan menghantar mesej kepada anak lelakinya itu biarpun tiada jawapan. "Saya tidak tahu lokasi dia... saya gagal menghubungi dia, saya tinggalkan mesej tetapi dia tidak balas... saya merinduinya," katanya. Pada prosiding hari ini, Yong turut memaklumkan bahawa pihaknya akan mendapatkan bantuan polis antarabangsa atau Interpol bagi mengesan tertuduh. Pada 13 Jun lepas, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap blogger itu kerana gagal hadir untuk mengembalikan semula pasport antarabangsanya yang sebelum ini diberikan bagi tujuan melakukan penggambaran di Singapura. Blogger berusia 26 tahun itu juga gagal hadir ke mahkamah ketika kesnya disebut pada 18 Julai. Tan dan teman wanitanya, Vivian Lee atau Lee May Ling, 25, didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian-Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers mengikut Akta Hasutan 1948. Mengikut pertuduhan, ia mengandungi gambar dan komen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan!!!)' yang mengandungi logo halal. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 11 dan 12 Julai tahun lepas di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini. Pasangan itu turut berdepan pertuduhan mempamer gambar lucah di https://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama antara 6 dan 7 Julai tahun lepas mengikut Akta Penapisan Filem 2002. Pada 23 April lepas, pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menggugurkan satu daripada tiga pertuduhan terhadap Tan dan Lee mengikut Seksyen 298A (1)(a) Kanun Keseksaan.- Bernama |
Wan Azizah masih tunggu jawapan istana Posted: 22 Aug 2014 04:50 PM PDT MALAYSIAKINI Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail masih menunggu jawapan sama ada beliau akan diterima masih menghadap sultan Selangor. Bercakap kepada Malaysiakini dalam wawancara eksklusif pagi tadi, Wan Azizah berkata pihak istana mengesahkan menerima permohonan itu. "Datuk (Mohamad) Munir (Bani) memaklumkan permohonan itu sudah dipanjangkan kepada baginda dan kami sedang menunggu jawapan," katanya, merujuk kepada setiausaha sulit Sultan Sharafuddin Idris Shah. Ini adalah permohonan kedua selepas istana menolak surat permohonan pertama yang ditandatangani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Permohonan pertama itu ditolak kerana sultan menyatakan bahawa baginda sudahpun dimaklumkan mengenai krisis politik Selangor oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim. Mengulas tentang tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadap Sultan Selangor berkenaan isu MB, Wan Azizah berkata perkara itu hanya diketahuinya selepas ia berlangsung. Namun, beliau mengetahui mengenai pertemuan tersebut sebelum ia dilaporkan di media, dan menganggapnya sebagai ziarah sempena sambutan Syawal. "Rasanya beliau (Hadi) mengadap Sultan pada Hari Raya ketiga atau keempat (dalam bulan) Syawal. "Jadi ia mungkin satu perjumpaan sempena Hari Raya. Bila jumpa masa Hari Raya, kita tak perlu maklum pada orang lain," kata ADUN Kajang itu. Tindakan Hadi mengadap Sultan itu meniupkan spekulasi bahawa Wan Azizah bukan calon yang menjadi pilihan pihak istana untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Wan Azizah berkata, ia hanya spekulasi yang dibangkitkan oleh individu tertentu, sedangkan beliau sendiri masih belum mendapat kepastian sebenar dari baginda. Berikut adalah sedutan daripada wawancara pagi tadi: Malaysiakini: Adakah terdapat sebarang halangan untuk Datuk Seri menjadi MB? Wan Azizah: Kita ada penguasa negeri di negeri kita ini. Tuanku (Sultan Selangor) adalah pemerintah tersebut dan baginda adalah pemerintah negeri yang sangat berpendidikan. Dan saya fikir, beliau pastinya ada 'pilihannya' yang tersendiri. Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri menetapkan pemimpin yang disokong majoriti akan mentadbir negeri. Justeru, perkara ini pastinya akan dipertimbangkan oleh Tuanku dengan sewajarnya. Malaysiakini: Datuk Seri sebut tadi Tuanku ada pilihannya sendiri dan jika baginda tidak menggemari Datuk Seri. Siapa yang akan PKR calonkan? Wan Azizah: Kalau begitu kita perlu kembali kepada parti, kerana saya adalah presidennya. Malaysiakini: Mungkinkah Azmin orangnya (sebagai calon MB alternatif)? Wan Azizah: Tidak, tidak kerana dalam mesyuarat Pakatan Rakyat, saya rasa (Lim) Guan Eng orang yang sebut bahawa memandangkan PAS mencalonkan nama Azmin dalam mesyuarat Pakatan - dan saya tiada kerana saya adalah pihak berkepentingan - DAP berpandangan kita perlu kembali kepada kepimpinan Pakatan untuk memilih nama lain. Malaysiakini: Adakah Datuk Seri mengatakan Sultan sebagai halangan, kerana soalan yang ditujukan sebelum ini bertanya tentang apakah halangan tersebut? Wan Azizah: Tidak, itu adalah perkara yang orang cakap-cakapkan. Mereka dakwa Tuanku suka orang itu, suka orang ini. Saya masih menunggu untuk mengadap baginda. Dia (Aidila) bertanya tentang halangan sebagai satu cara... Malaysiakini: Jadi Tuanku sebagai halangan satu persepsi? Wan Azizah: Ya, itu apa yang disebut-sebut, tetapi saya masih ada sedikit keraguan kerana baginda perlu dilihat dan menerima saya memohon mengadap untuk menjelaskan duduk perkara kepada baginda. Sehingga kini saya belum pernah mengadap baginda secara langsung. |
Exco baru AMK boikot ucapan sulung Nik Nazmi Posted: 22 Aug 2014 04:47 PM PDT MALAYSIAKINI Seramai 16 exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baru dipilih bertindak meninggalkan dewan persidangan sebelum ketua baru mereka, Nik Nazmi Nik Ahmad menyampaikan ucapan sulungnya dalam Kongres AMK lewat petang ini. Timbalan Ketua AMK yang baru dipilih Dr Afif Bahardin berkata kesemua exco dari kem AMK Baru itu berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan ketua AMK di cabang Pensiangan yang sebelum ini memihak kepada regunya Amirudin Shari. Ketika dihubungi Malaysiakini, beliau berkata keputusan terbaru pemilihan di kawasan itu yang menyebabkan calon ketua mereka Amiruddin tewas sedangkan permilihan pertama kemenangan memihak kepada ADUN Batu Caves itu. "Ia sebab situasi di mana keputusan pemilihan dah jadi banyak kumpulan. Ada beberapa perkara (yang tidak puas hati) termasuk (keputusan) ketua AMK," katanya sambil menegaskan sokongan terhadap Nik Nazmi. "Bukan mudah untuk bekerja dan nak rapatkan saf semua pihak menjadi satu AMK. Keputusan (Nik Nazmi menang) diumum semalam, jadi ada banyak perkara yang belum selesai," katanya. Bagaimanapun, Dr Afif yang juga exco kerajaan negeri Pulau Pinang berkata beliau optimis dan yakin perkara itu boleh diselesaikan dalam tempoh segera jika semua pihak dalam AMK duduk berbincang. "Saya menunggu arahan Nik untuk menyelesaikan perkara ini. Saya menerima keputusan JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti). Tetapi selepas ini kita mahu pemilihan lebih cermat, baik dan memuaskan hati semua pihak," katanya. Terima keputusan Sementara itu, Nik Nazmi berkata beliau tidak mahu mengulas mengenai isu teknikal berhubung keputusan di cabang itu dan menggesa semua pihak menerima keputusannya. "Saya memimpin AMK untuk Malaysia. Musuh kita bukan dalam parti kita, musuh kita adalah Umno-BN," katanya kepada pemberita selepas Kongres AMK ditangguhkan. Dalam ucapan penggulungannya sebelum itu, Nik Nazmi menegaskan antara lainnya mempertegaskan sokongan ke atas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya AMK tidak akan membiarkan Anwar dipenjara sekali lagi atas tuduhan liwat yang dianggapnya "tuduhan jahat yang jelas bermotif politik". "Kita akan sama-sama bangkit untuk menggerakkan masyarakat dan menghumban Umno-BN ke dalam tog sampah sejarah sebagai parti yang tidak bermaruah," katanya dalam ucapan sulungnya itu. Beliau berkata pihaknya akan menentang tekanan politik kepada pemimpin Pakatan Rakyat seperti N Surendran dan Tian Chua sekaligus menolak penindasan terhadap masyarakat sivil dan kezaliman. Beliau juga bertekad untuk memberi fokus 100 hari pertama bermula hari ini untuk menggariskan dasar AMK pada penggal ini termasuk memperkasakan cabang yang lemah. |
Salah lapor, Khalid timbang saman akhbar Posted: 22 Aug 2014 04:39 PM PDT Menurut Khalid, beliau secara peribadi tidak mengeluarkan kenyataan mempersoal kuasa mutlak Sultan Selangor dalam perlantikan Menteri Besar seperti dilaporkan media. Sebaliknya, beliau hanya menyatakan pandangan awam dari pengguna internet. "Media salah petik kenyataan saya. Saya berkata itu pandangan pengguna internet. Bukan pandangan saya. "Hakikat bahawa saya sebut PAS beri dua nama jelas menunjukkan saya tiada masalah dgn amalan memberi dua nama tu dan saya sebut "ada pandangan...." Bila ditanya pandangan siapa, maka saya jawab "di alam maya, luar sana, ahli akademik, Tun Mahathir," katanya kepada Harakahdaily. Jelasnya beliau lagi, beberapa media telah membetulkan semula laporan mereka selepas ditegur termasuk The Malaysian Insider dan Malaymail. "Tapi New Straits Times (NST) masih mengekalkan yang tidak betul. "Saya memberi peluang 24 jam kepada mereka untuk membetulkan laporan mereka. Jika tidak, saya akan mengemukakan notis saman," tegasnya. Semalam beberapa media melaporkan kononnya Khalid menyatakan bahawa Sultan Selangor tidak sepatutnya diberi kuasa mutlak melantik menteri besar. Laporan itu didakwa dibuat Khalid pada satu sidang media semalam. Ekoran itu juga, PAS melalui setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali mendakwa kenyataan Khalid itu hanya bersifat peribadi dan bukan pendirian rasmi PAS. Dalam pada itu, Khalid turut memuat naik rakaman video sidang medianya semalam di blog beliau www.khalidsamad.com. Dalam video itu menunjukkan, beliau ditanya wartawan tentang siapa memberi pandangan begitu. "Di dalam internet di luar sana, di alam maya, di mana-mana, daripada ahli akademik, Tun Mahathir. "Kamu ini saja nak kena sebut nama," jawabnya sambil ketawa.- HARAKAHDAILY |
Posted: 22 Aug 2014 04:37 PM PDT SEPANG: Waris mangsa Pembantu Juruterbang Pesawat MAS MH17 Ahmad Hakimi Hanapi yang berasal dari Kelantan melahirkan rasa syukur, akhirnya jenazah Allahyarham dapat di bawa balik ke Putrajaya. Salah seorang bapa saudaranya Amran Daud, 50, yang turut menyambut ketibaan jenazah Hakimi menerima kejadian yang menimpa ahli keluarganya dengan pasrah atas ketentuan ilahi. Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan yang menguruskan jenazah Mohd Hakimi sehingga Allahyarham tiba ke pangkuan keluarga. "Perasaan sedih dikalangan kami sukar untuk disembunyikan tetapi kami redha dengan apa yang berlaku,"katanya. Amran merupakan salah seorang ahli keluarga yang ke Amsterdam bagi menuntut jenazah Hakimi sebelum ini. Menurut beliau, jenazah Allahyarham Hakimi antara yang dalam keadaan sempurna. "Saya sempat ke Amsterdam, jenazah Allahyarham masih lengkap dan baik. Saya sempat melihatnya," katanya. Hampir 30 ahli keluarganya turut serta untuk sama-sama memberi penghormatan negara serta mengiringi jenazah Hakimi untuk dibawa ke Putrajaya. Pihak keluarganya juga akan mengadakan majlis tahlil di kediaman mentua Allahyarham di Taman Tun Doktor Ismail dan di rumah Allahyarham di Putrajaya. Kebanyakan mereka memakai t-shirt hitam yang tertera "Co-pilot Ahmad Hakimi Hanapi. MH17, 17.7.2014 "see you in jannah".- HARAKAHDAILY |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan