Sabtu, 23 Ogos 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Lanjutan Kes Lelaki Rogol Ibu Mentua

Posted: 22 Aug 2014 08:37 PM PDT


[Borneo Post] SIBU: Menantu durjana yang didakwa merogol ibu mentuanya dalam kejadian 15 Ogos lalu dijatuhi hukuman 14 tahun penjara serta 10 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Tertuduh, Mohammad Abdullah @ Su Ngiek Tiing, 42, dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga ibu mentua tertuduh didatangi oleh tertuduh ketika sedang duduk di atas tilam di ruang tamu rumahnya di Kampung Jeriah, Jalan Oya di sini pada 15 Ogos lalu, kira-kira jam 4 petang.

Tertuduh kemudian bertindak menolak mangsa berusia 68 tahun ke atas lantai sebelum menanggalkan pakaian mangsa dengan menggunakan kekerasan.

Selepas itu, tertuduh bertindak membuka seluarnya sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap ibu mentuanya.

Pada masa sama, mangsa cuba menjerit meminta tolong namun mulut mangsa ditutup oleh tertuduh menggunakan kain selimut.

Selepas merogol mangsa, ayah kepada lapan orang anak itu kemudian memasuki bilik mandi sebelum meninggalkan kediaman mangsa.

Pada keesokan harinya kira-kira jam 7 pagi, mangsa kemudian menceritakan apa yang berlaku kepada anak perempuannya yang juga isteri kepada tertuduh.

Anak perempuannya kemudian menasihatkan mangsa membuat laporan polis sebelum menjalani pemeriksaan di Hospital Sibu.

Berikutan laporan dibuat, tertuduh ditahan awal pagi pada 17 Ogos di rumah yang sama sebelum ditahan reman selama seminggu.

Hasil siasatan tertuduh mengaku merogol ibu mentuanya.

Dalam rayuan, Mohammad yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan.

Tertuduh juga memberitahu kesalahan itu merupakan kesalahan pertamanya selain berkeluarga serta mempuyai lapan orang anak berusia antara satu hingga 23 tahun. - 23/8/14


PAS Mahu Sultan Campur Tangan Krisis MB Selangor, Kata Pakar Perlembagaan

Posted: 22 Aug 2014 08:21 PM PDT



Bekas akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Abdul Aziz Bari semasa forum 'Selangor Crisis: The Constitution & Democracy' di Dewan Himpunan Cina di Kuala Lumpur semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 23 Ogos, 2014.

[The Malaysian Insider] Tiada keperluan bagi pihak istana meminta nama selain dari Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti menteri besar Selangor kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang itu memiliki sokongan majoriti DUN, kata Dr Abdul Aziz Bari.

Pakar Perlembagaan itu berkata, dengan berlakunya hal sedemikian, ia memperlihatkan pihak istana cuba mencampuri hal ehwal politik negeri yang sebelum ini menjadi urusan kerajaan negeri dan rakyat. 

"Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) selepas PAS mesyuarat 17 hari bulan sebulat suara mahukan Dr Wan Azizah sebagai MB, tiada nama kedua. Kenapa nama kedua? Ini bukan kerja Sultan. Saya tidak nampak kenapa mesti dua nama?

"Jika kita beri dua nama, kuasa itu (terletak) pada Sultan. Di Selangor, saya tidak nampak mengapa Mohamed Azmin Ali diletakkan sebagai pilihan kedua? PAS sendiri sudah berkata tidak tuntut jawatan MB, tetapi mengapa letak nama Azmin?

"Pada pandangan saya, Sultan ada sebab untuk masuk campur. PAS menjemput Sultan untuk masuk dalam perkara ini," katanya kepada kira-kira 50 hadirin dalam forum Krisis Selangor di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur malam tadi.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka kembali ke Malaysia dari luar negara hari ini selepas diyakinkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa menteri besar Selangor itu masih mendapat sokongan majoriti Adun Selangor.

Khalid juga sempat mendapat perkenan Sultan Selangor bagi memecat Exco PKR dan DAP selepas kenyataan Exco itu yang dilihat enggan memberikan kerjasama kepada kerajaan pimpinannya.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah berjaya membuktikan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti apabila 30 Adun PR Selangor termasuk dua dari PAS menyatakan akuan bersumpah hilang kepercayaan kepada Khalid dan menyokong Dr Wan Azizah sebagai menteri besar.

Aziz berkata pihak istana sewajarnya memudahkan proses peralihan kuasa menteri besar sebagaimana yang berlaku dalam kelaziman negara Komanwel.

Katanya, kerumitan dalam proses peralihan menteri besar tidak berlaku di negeri yang dikuasai Barisan Nasional (BN) dan ini terbukti semasa pengunduran Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar Terengganu.

"Khalid Samad betul apabila kata Sultan tidak mempunyai kuasa mutlak dalam hal ini.

"Apa yang Sultan perlu lakukan adalah menyerahkan surat pelantikan. Semudah itu. Dengan itu, kerajaan boleh menjalankan tugas mereka," katanya.

Aziz berkata jika Sultan Selangor berpandangan kerajaan negeri sudah tidak dapat diselamatkan, maka baginda boleh memanggil satu sidang tergempar DUN bagi melihat sokongan Adun.

Katanya, pertemuan awal Khalid untuk meyakinkan Sultan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Adun tidak didukung dengan bukti kukuh.

"Jika baginda berasa kerajaan tidak dapat diselamatkan, biarkan kerajaan buktikan dalam Dewan. Beliau (Khalid) memberikan Sultan yang bukan kepunyaan baginda.

"Saya tidak faham mengapa Sultan mengambil masa lama kerana pada saya ia hal mudah. Tugas Sultan adalah memastikan kerajaan berfungsi sepanjang masa," katanya dalam forum yang dipengerusikan bekas pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.

Ambiga berkata terdapat perbezaan apa yang berlaku dalam krisis perlembagaan Perak dengan krisis yang sedang berlaku di Selangor sekarang.

Katanya, krisis di Perak mewajarkan bekas menteri besarnya, Datuk Seri Nizar Jamaluddin untuk mencadangkan kepada Sultan membubarkan DUN.

"Di Perak kita mesti ingat, 3 Adun melompat parti dan majoritinya kecil. Kedua, (senarionya) kelmarin rakyat undi PR, tetapi esok jadi kerajaan BN.

"Apabila berlaku perkara ini, betul jika Nizar minta pembubaran kerana biar rakyat pilih kerajaan mereka," katanya.

Beliau berkata kini jelas Khalid tidak berhak mencadangkan kepada Sultan untuk membubarkan DUN kerana jelas semua Adun PR Selangor akan memberi sokongan kepada Dr Wan Azizah.

Katanya, jika Sultan bersetuju untuk membubarkan DUN maka ia tidak memberikan keadilan kepada rakyat yang memberikan mandat kepada PR untuk mentadbir Selangor.

"Di Selangor, kerajaan tidak berubah. Mereka masih kerajaan PR dan Sultan hanya perlu tentukan majoriti. Ia bukan 29 lagi tetapi 43 Adun.

"Bilangannya mesti ditentukan melalui proses dan mungkin baik diadakan sidang tergempar untuk mengundi di Dewan," katanya. – HASBULLAH AWANG CHIK/23 Ogos, 2014.


13 ADUN PAS Masih Enggan Ikrar Sokongan kepada Wan Azizah

Posted: 22 Aug 2014 08:02 PM PDT


[Malaysia Kini] 13 ADUN PAS Selangor masih enggan menandatangani sokongan secara hitam putih kepada calon menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hal ini merumitkan PKR yang mahu memastikan kesemua 43 ADUN Pakatan di Selangor menyatakan kesetiaan kepada presiden PKR itu.

Malaysiakini dimaklumkan bahawa hal ini merupakan agenda utama mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat semalam.

Perbincangan tersebut bagaimanapun masih belum menemukan sebarang penyelesaian, kata seorang pemimpin PKR yang enggan dinamakan.

Beliau mengakui bahawa PAS dalam mesyuarat semalam tidak bersetuju memberi sokongan secara bertulis kepada PKR untuk menyokong Wan Azizah.

Difahamkan, para pemimpin pimpinan Pusat PAS tidak bersetuju untuk menandatangani sokongan mereka kerana ia "bukanlah salah satu persetujuan dalam perbincangan sebelum ini."

Oleh yang demikian, satu lagi mesyuarat akan diadakan "dalam masa terdekat" bagi mendapat sokongan tersebut dalam bentuk hitam putih, katanya.

Malaysiakini difahamkan, perakuan bertulis itu akan dipersembahkan ketika menghadap sultan Selangor bagi membuktikan sokongan majoriti dewan kepada Wan Azizah yang juga ADUN Kajang.

Wan Azizah dalam sidang medianya sebelum ini mengumumkan bahawa beliau mendapat sokongan 30 dari 56 ADUN Selangor termasuk dua dari PAS.

Sementara itu satu sumber rapat dengan PAS Selangor mengesahkan 13 ADUN PAS termasuk empat Exconya tidak muncul untuk menyokong Wan Azizah.

Menurut sumber tersebut, para wakil rakyat tersebut berbuat demikian kerana "tidak mendapat arahan" dari pimpinan PAS Pusat untuk menandatangani sebarang sokongan atau perakuan untuk menyokong Wan Azizah.

Setakat ini, hanya dua orang ADUN PAS yang menandatangani dokumen tersebut, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Hubungan antara PAS dan Pakatan Rakyat sedikit bergolak kerana parti Islam itu tidak menyatakan sokongan secara terbuka ke atas keputusan memecat menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR, 9 Ogos lalu.

PAS juga tidak menyatakan sokongan bulat ke atas usaha PKR untuk melantik Wan Azizah sebagai menteri besar baru.

Sikap yang ditunjukkan PAS itu merumitkan PKR, lebih-lebih lagi apabila parti Islam itu turut mencadangkan Azmin Ali sebagai calon alternatif, walau timbalan presiden PKR itu sendiri menolak cadangan tersebut. -23/8/14


Tiada ulasan: