DUNIACACAMARBA |
- [Gambar] MH17: 120 Mayat Ditemui - RT.com
- Pesawat Asia BERHENTI Guna Laluan MH17 Ditembak Sejak Berbulan Lalu - AFP
- [Video] Penumpang Sempat Muat Naik Video di dalam Pesawat MH17
- [Video] Israel Mulakan Serangan Darat di Gaza
- Pemberontak Ukraine Akui Tembak Pesawat di Kawasan MH17 Terhempas
- [Video] Rakaman Pesawat MH17 Terhempas, Gambar Pelancar Peluru Berpandu yang Mungkin Digunakan dalam Kejadian Itu
- MH17: Gurauan Penumpang Warga Belanda, Cor Pan Jadi Realiti
- MH17: Ban Ki-Moon Mahu Satu Siasatan Penuh dan Telus oleh Pasukan Antarabangsa
- MH17 Terbang di Ruang Udara Tanpa Sekatan - IATA
- Mayat Ditemui di Lokasi, Serpihan MH17 Bersepah, Tweet Awal Kejadian
- Kenyataan PM tentang Tragedi MH17
[Gambar] MH17: 120 Mayat Ditemui - RT.com Posted: 18 Jul 2014 02:14 AM PDT [Mstar] PETALING JAYA: Sebuah portal berita Rusia, RT.com melaporkan sekurang-kurangnya 120 mayat telah dijumpai dari kawasan nahas pesawat penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dipercayai terhempas. Portal tersebut yang memetik Kementerian Kecemasan Ukraine sebagai berkata, seramai 95 anggota penyelamat dan 18 kenderaan terlibat dalam operasi mencari mayat penumpang pesawat malang itu di Donetsk. MH17 hilang dari radar sebaik memasuki ruang udara Timur Ukraine kira-kira pukul 1415 waktu tempatan pada Khamis, sejam selepas pesawat jenis Boeing 777, berlepas dari lapangan terbang Schiphol, Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur. Difahamkan, insiden itu berlaku 50 kilometer dari sempadan Ukraine-Rusia. Kesemua 298 penumpang di dalam pesawat itu termasuk 43 rakyat Malaysia dikhuatiri terbunuh. -18/7/14 | ||
Pesawat Asia BERHENTI Guna Laluan MH17 Ditembak Sejak Berbulan Lalu - AFP Posted: 17 Jul 2014 11:47 PM PDT [The Malaysian Insider] Beberapa negara Asia berhenti menggunakan laluan penerbangan Malaysian Airlines (MAS) MH17 yang ditembak semalam sejak berbulan lepas kerana konflik di Ukraine. Dua penerbangan Korea Selatan, Korean Air dan Asiana serta Australia Qantas tidak lagi menggunakan laluan tersebut sejak Mac selepas tentera Rusia bergerak ke Crimea. "Kami berhenti terbang merentasi Ukraine atas faktor keselamatan," kata jurucakap Asiana Lee Hyo-Min yang dipetik daripada agensi berita, Agence France-Presse (AFP). Korean Air juga menukar laluan ke 250km selatan Ukraine "kerana keadaan politik tidak stabil di wilayah tersebut, kata pegawainya, dipetik daripada AFP. Jurucakap Qantas juga berkata mereka menukar laluan merentasi Ukraine sejak beberapa bulan lalu. Hari ini, syarikat penerbangan Thailand, Thai Airways International (THAI) mengumumkan penukaran laluan tidak merentasi negara bergolak tersebut. Terkejut dengan insiden tersebut, MAS hari ini juga mengumumkan menukar semua laluannya di Eropah ke laluan alternatif bagi mengelak ruang udara Ukraine selepas pesawat MH17 Boeing 777 terhempas di kawasan itu semalam. Malaysia hari ini digemparkan dengan berita pesawat MAS Boeing 777 ditembak jatuh dari udara selepas empat bulan pesawat MH370 hilang dari radar. Pesawat MH17 yang terbang 300 meter di atas kawasan larangan apabila ditembak jatuh kumpulan pemberontak di timur Ukraine mengorbankan 298 nyawa. Pesawat malang itu membawa seramai 154 penumpang warga Belanda, Australia (27), Malaysia (45, termasuk 15 anak kapal dan 2 bayi), Indonesia (12 termasuk 1 bayi), Britain (9), Jerman (4), Belgium (4), Filipina (3), Kanada (1) serta penumpang yang masih belum dikenalpasti seramai 41 orang. Menurut pelbagai pihak, kumpulan pemberontak pro-Rusia dipercayai terlibat dalam tembakan itu. Ekoran itu, semua pihak membantahnya dan mengharapkan siasatan terperinci dibuat dan penjenayah itu dibawa ke muka pengadilan. – Md Izwan/18 Julai, 2014. | ||
[Video] Penumpang Sempat Muat Naik Video di dalam Pesawat MH17 Posted: 17 Jul 2014 11:43 PM PDT [Bernama] KUALA LUMPUR – Seorang penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine, Md Ali Md Salim, 30, sempat memuat naik video terakhir dalam akaun laman sosial Instagram miliknya ketika berada di tempat duduk pesawat itu sebelum berlepas. Video dengan nama akaun @masa1777 berdurasi 15 saat itu dimuat naik kira-kira pukul 12 tengah hari waktu Amsterdam dengan kapsyen: "Bismillah…#hatiadasikitgentar". Dalam video itu juga kelihatan beberapa penumpang serta seorang pramugari MAS, sedang sibuk menyimpan barang-barang di ruang bagasi bagi bersiap-sedia untuk berlepas. Rakannya, Mohd Zaem Nordin, 24, yang berkongsi video itu dalam akaun Instagramnya tidak menyangka Md Ali berada dalam pesawat malang itu. "Apabila saya melihat videonya yang dimuat naik kira-kira 15 jam lalu, saya sangat terkejut dan tidak menyangka beliau berada dalam pesawat itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Menurut Mohd Zaem, Md Ali sedang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang psikologi di sebuah universiti di Armsterdam, dijangka menamatkan pengajiannya tahun hadapan. Dia yang kali terakhir berhubung dengan Md Ali pada 25 Jun lalu dalam laman sosial Facebook berkata, "Kami sentiasa berhubung melalui Facebook dan kali terakhir itu beliau menyatakan hasrat kepada saya untuk pulang beraya bersama anggota keluarganya pada tahun ini. "Saya tidak sangka hasratnya itu tidak kesampaian dan video itu merupakan video terakhir beliau, " katanya. Mohd Zaem, yang mengenali Md Ali sejak 2010 menyifatkan beliau seorang yang periang dan suka mengambil berat akan rakan-rakannya. "Kami mula kenal ketika beliau bertugas sebagai Felo di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) cawangan Kuala Lumpur dan beliau sangat peramah dan disenangi ramai," katanya. Penerbangan MH17 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang pada 6.10 pagi ini. – 18/7/14 | ||
[Video] Israel Mulakan Serangan Darat di Gaza Posted: 17 Jul 2014 07:36 PM PDT [Astro Awani] BAITULMUQADDIS: Tentera Israel memperluaskan Operasi Perlindungan Sempadan yang dilancarkan sejak 10 hari lalu dengan mengerahkan tenteranya masuk ke Semenanjung Gaza dan memulakan operasi serangan darat awal hari ini. Ia memaklumkan operasi ketenteraan itu diperluaskan sebagai tindak balas kepada serangan roket oleh kumpulan pejuang Palestin dan bertujuan mahu melumpuhkan Hamas yang menguasai Gaza. Hamas dalam reaksi balas menegaskan rejim Yahudi itu akan berdepan dengan tentangan yang sengit dan "akan membayar harga yang mahal" ekoran tindakannya itu. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Moshe Yaalon mengarahkan operasi serangan darat itu bagi memusnahkan rangkaian terowong bawah tanah dari Gaza yang menganjurkan masuk ke wilayah Palestin yang diduduki oleh rejim Zionis itu. Kumpulan pejuang Hamas dilaporkan masuk ke kawasan Israel menggunakan terowong berkenaan untuk melancarkan serangan pada Khamis. Israel mendakwa berjaya mematahkan serangan itu. Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum memberitahu CNN bahawa "pencerobohan darat oleh tentera Israel itu adalah satu langkah bahaya yang tidak diketahui kesannya. Israel akan membayar harga yang mahal untuk ini." Serangan darat ini dilancarkan beberapa jam selepas gencatan senjata selama lima jam dipatuhi pada Khamis. Gencatan senjata bermula pukul 3 petang waktu Malaysia itu berakhir pada pukul 8 malam. Tidak lama selepas gencatan senjata itu tamat, kedua-dua pihak kembali berbalas serangan. Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan tujuh kanak-kanak terbunuh dalam masa tiga jam selepas gencatan senjata berakhir. Operasi ketenteraan sejak 10 hari lalu itu setakat ini membunuh 230 warga Palestin dan seorang rakyat Israel. Hampir 2,000 orang warga Palestin cedera. Agensi bantuan kemanusiaan antarabangsa mendedahkan kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak, wanita dan orang awam. Kabinet Israel dijadual mengadakan satu mesyuarat khas pada Jumaat bagi membincangkan perkembangan operasi ketenteraannya ini. -18/7/14 Anwar Ibrahim: Keganasan & Kebiadapan Negara Zionis Israel Sudah Sampai ke Kemuncaknya | ||
Pemberontak Ukraine Akui Tembak Pesawat di Kawasan MH17 Terhempas Posted: 17 Jul 2014 06:56 PM PDT [The Malaysian Insider] Kumpulan pemberontak Ukraine pro-Rusia, Donetsk People's Army mengaku kumpulannya menembak sebuah pesawat pengangkut tentera di tempat terhempasnya pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang menjurus kepada andaian bahawa mereka tersalah tembak. Pemimpin kumpulan pemberontak itu, Igor Girkin yang juga dikenali sebagai Strelkov berkata, pesawat itu berjaya dijatuhkan. "Pesawat itu baru saja dijatuhkan sekitar Torez (Donetsk Oblast). Ia di sana sekarang di belakang Progress Mine. "Kami memberi amaran kepada kamu – jangan terbang di 'ruang udara kami'," katanya melalui akaun VK, Facebook versi Rusia. Progress Mine adalah pekan perlombongan yang didiami 80,000 penduduk, lapor media. "Dan ini adalah bukti, 'seekor lagi burung' jatuh. Burung ini jatuh di belakang slagheap, bukannya kawasan perumahan. Jadi orang ramai tidak tercedera. Ada juga maklumat satu lagi pesawat ditembak," tambahnya. Stelkov dan kumpulannya, Donetsk People's Army, dipercayai tersalah tembak pesawat itu yang disangka mereka milik tentera Ukraine. Donetsk People's Republic dengan bangganya memaklumkan pada 29 Jun lalu mereka mengambilalih satu kem tentera Ukraine dan mempunyai Buk, iaitu peluru berpandu darat ke udara, tetapi tidak memberitahu jumlahnya, lapor Kyiv Post. Peluru berpandu Buk boleh pergi sejauh 25 kilometer, tiga kali ganda ketinggian MH17 yang sedang terbang. Namun sumber lain berkata, pemberontak itu menafikan mereka bertanggungjawab. "Ia boleh berlaku hanya melalui pesawat tempur atau peluru berpandu darat ke udara (yang menembaknya)," kata seorang pemberontak yang memberi nama Sergei kepada Reuters. Beliau menambah, mereka tidak mempunyai senjata yang mampu menembak pesawat yang terbang setinggi itu. Namun Anton Gerashenko, penasihat Kementerian Dalam Negeri berkata berjaya merakamkan gambar peluru berpandu Buk seminit selepas ia dilancarkan. – 18 Julai, 2014. | ||
Posted: 17 Jul 2014 06:16 PM PDT Berdasarkan laporan sebelum ini, pesawat MAS MH17 yang membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal dilaporkan terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia. Pesawat itu terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Menurut laporan, MH17 dipercayai ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan konflik berhampiran dengan Donets.
Yang berikut adalah antara video awal tentang kejadian ini. P/s: DCM ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan anak kapal MH17. Moga-moga mereka tabah menghadapi ujian ini. | ||
MH17: Gurauan Penumpang Warga Belanda, Cor Pan Jadi Realiti Posted: 17 Jul 2014 05:59 PM PDT [Astro Awani] KUALA LUMPUR: Muat naik laman sosial Facebook oleh salah seorang yang dipercayai penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 meraih perkongsian yang banyak di laman sosial apabila beliau berjenaka mengenai pesawat terbabit bersama gambar kapal terbang tersebut. Penumpang yang menggunakan nama Cor Pan di Facebook itu memuat naik gambar pesawat terbabit sebelum ia berlepas dari Amsterdam. Bagaikan dapat mengagak tragedi ini, Cor Pan memuat naik pesawat Boeing 777 itu dengan kapsyen "Jika pesawat ini hilang, inilah rupanya". Gambar tersebut dikongsi lebih 12,000 kali dan ruangan komen terus dihujani dengan pertanyaan serta doa daripada para pengguna lain. Melalui perbualannya di laman Facebook, Cor Pan merancang untuk bercuti di Bali, Indonesia sebelum meneruskan percutian di Gili Trawangan, Lombok juga di Indonesia. Pengguna media sosial turut membuka laman khas mengenang Cor Pan setelah perkongsian gambar dan cerita mengenai Cor Pan menjadi viral di media sosial. -18/7/14 | ||
MH17: Ban Ki-Moon Mahu Satu Siasatan Penuh dan Telus oleh Pasukan Antarabangsa Posted: 17 Jul 2014 05:56 PM PDT
[Astro Awani] NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan satu sidang tergempar pada Jumaat bagi membincangkan insiden pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang terhempas di timur Ukraine. Mesyuarat 15 negara anggota yang dipengerusikan oleh Rwanda itu akan diadakan pada pukul 10.00 pagi waktu New York (1400 GMT). Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dalam kenyataannya mahu "satu siasatan penuh dan telus oleh pasukan antarabangsa" berhubung insiden itu. Britain sebelum ini menggesa satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB bagi membolehkan satu pasukan siasatan diketuai oleh PBB ditubuhkan bagi menyiasat insiden itu. -Agensi/18/7/14 | ||
MH17 Terbang di Ruang Udara Tanpa Sekatan - IATA Posted: 17 Jul 2014 05:53 PM PDT [Bernama] SINGAPURA: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 yang dilaporkan terhempas di Ukraine, dipercayai terbang di ruang udara tanpa sekatan. Dalam kenyataan dari Geneva, persatuan syarikat penerbangan itu menyatakan: "Berdasarkan maklumat semasa yang diperoleh, adalah dipercayai ruang udara yang direntasi pesawat itu tidak tertakluk kepada sekatan." "Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan penumpang serta anak kapal MH17," kata IATA. Media asing melaporkan sebuah pesawat penumpang Malaysia Boeing 777 yang membawa 295 orang terhempas di Ukraine berdekatan sempadan Rusia. Penerbangan MH17 berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu tempatan Amsterdam) dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada 6.10 pagi (waktu tempatan Malaysia) pada hari berikutnya. -18/7/14 | ||
Mayat Ditemui di Lokasi, Serpihan MH17 Bersepah, Tweet Awal Kejadian Posted: 17 Jul 2014 05:45 PM PDT [Astro Awani] KUALA LUMPUR: Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terputus hubungan pada kira-kira 1415 (GMT) dari waypoint Tamak, sekitar 50km dari sempadan Ukraine dan Rusia telah disahkan terhempas menurut laporan AFP. AFP turut melaporkan beberapa mayat telah ditemui di sekitar lokasi pesawat terhempas dan serpihan dikatakan bersepah sejauh beberapa kilometer. Ekor pesawat malang itu dijumpai di sebuah ladang jagung berhampiran manakala pasukan mencari dan menyelamat kelihatan di lokasi. Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengahari (waktu tempatan) dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi Jumaat. Terdahulu, pesawat Malaysia Airlines MH17 dikatakan terhempas di Ukraine, lapor Reuter. Pesawat terbabit membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal. Dalam pada itu, sebuah pusat operasi telah dibuka dan akan beroperasi 24 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Malaysia Airlines (MAS) dijadual mengadakan satu sidang media pada pukul 4 pagi di KLIA. Peta menunjukkan lokasi terakhir pesawat MH17 sebelum ia terputus hubungan dengan pusat kawalan. -AstroAWANI Wisma Putra kini sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Rusia dan Ukraine susulan laporan bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 telah terhempas di Ukraine, lapor Bernama. Laporan itu menyebut Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin mengesahkan perkara berkenaan. "Kami sedang bekerjasama rapat dengan kedua-dua kerajaan untuk mendapat maklumat. "Buat masa ini, kami mempunyai beberapa maklumat, cuma tunggu nak mengesahkan sahaja", kata beliau ketika dihubungi Bernama hari ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa terkejut dengan kejadian yang dilaporkan menimpa pesawat Boeing 777 milik MAS penerbangan MH17. Perdana Menteri menerusi akaun Twitternya berkata, kerajaan akan menyiasat segera kejadian tersebut. I am shocked by reports that an MH plane crashed. We are launching an immediate investigation.— Mohd Najib Tun Razak (@NajibRazak)July 17, 2014 Bagaimanapun Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi akaun twitternya menjelaskan, masih belum ada pengesahan bahawa pesawat itu ditembak jatuh. "Pihak tentera telah diarahkan untuk menyiasat kesahihan dakwaan itu. Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan (berhubung insiden tersebut)," katanya. I am also in touch with MOT "@AircrewBuzz: RT@FHavg: Msia's defence minister H2O says he has asked his ministry 2 confirm#MH17— Hishammuddin Hussein (@HishammuddinH2O)July 17, 2014 No comfirmation it was shot down! Our military have been instructed 2 get on it! "@Nessie43:@tenoqUkr Gov report plane was shot down— Hishammuddin Hussein (@HishammuddinH2O)July 17, 2014 Yup - i have directed mindef to get comfirmation "@tenoq: If the 'shot down' part is true, then@hishammuddinh2ohas 2 get on d case, too."— Hishammuddin Hussein (@HishammuddinH2O)July 17, 2014 MAS melalui Twitternya mengesahkan pihaknya gagal menghubungi pesawat MH17 yang dijadualkan dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Kedudukan terakhir pesawat Boeing 777 itu dikesan berada di ruang udara Ukraine berhampiran sempadan Rusia. Malaysia Airlines has lost contact of MH17 from Amsterdam. The last known position was over Ukrainian airspace. More details to follow.— Malaysia Airlines (@MAS)July 17, 2014 Malaysian passenger airliner flying from Amsterdam to Kuala Lumpur crashes in Ukraine near Russian border: Interfax:http://t.co/G1LQbIu9mF— Reuters Top News (@Reuters)July 17, 2014 Malaysian airliner did not enter Russian airspace when expected, crashed in Eastern Ukraine: Russian aviation industry source tells Reuters— Reuters Top News (@Reuters)July 17, 2014 #BREAKING: Interfax agency says Malaysian passenger airliner was shot down at altitude of 10 km above Eastern Ukraine— Reuters Top News (@Reuters)July 17, 2014 #BREAKING: Ukrainian Interior Ministry adviser says 280 passengers, 15 crew dead in Malaysian airliner crash: Interfax— Reuters Top News (@Reuters)July 17, 2014 #BREAKING: Malaysian plane was brought down by a ground-to-air missile: Interior Ministry adviser, quoted by Interfax— Reuters Top News (@Reuters)July 17, 2014 #BREAKING: Ukrainian Interior Ministry adviser said the Buk missile was fired by separatists: Interfax— Reuters Top News (@Reuters)July 17, 2014 #BREAKING: Boeing spokesman says "we are aware of the media reports and we are gathering information" on Malaysian Airlines plane crash— Reuters Top News (@Reuters)July 17, 2014 #BREAKING: Ukraine prime minster orders investigation into Malaysian "airplane catastrophe", says plane was en route from Amsterdam— Reuters Top News (@Reuters)July 17, 2014 -18/7/14 | ||
Kenyataan PM tentang Tragedi MH17 Posted: 17 Jul 2014 05:40 PM PDT [Bernama] SEPANG: Berikut ialah kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang berita mengenai tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, di Hotel Sama-Sama di sini. "Petang semalam, saya dimaklumkan mengenai berita yang amat dahsyat dan sangat mengejutkan bahawa sebuah pesawat Malaysia Airlines terhempas di timur Ukraine. "Malaysia Airlines telah mengesahkan bahawa pesawat itu adalah Malaysia Airlines Penerbangan 17 yang dalam penerbangan berjadual dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. "Penerbangan itu berlepas pada 12.15 tengah hari, waktu tempatan. Ia dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi waktu tempatan Malaysia. "Pesawat itu adalah Boeing 777-200". "Laluan penerbangan pesawat itu telah diisytiharkan selamat oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa. "Dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa telah menyatakan bahawa ruang udara yang direntasi pesawat itu tidak tertakluk kepada sekatan. "Malaysia Airlines mengesahkan bahawa pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan. "Penerbangan itu membawa sejumlah 295 orang – merangkumi 280 penumpang dan 15 anak kapal. "Malaysia Airlines kini dalam proses memaklumkan kepada waris penumpang dan anak kapal. Semua bentuk penjagaan yang sebaik mungkin akan diberikan kepada waris. "Kerajaan Malaysia akan menghantar penerbangan khas ke Kiev, yang membawa Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia serta satu pasukan perubatan. "Menurut maklumat yang diberikan oleh Menara Trafik Udara Kiev, lokasi isyarat kecemasan pesawat itu ialah 48 darjah 7 minit dan 23 saat Utara; dan 38 darjah 31 minit dan 33 Timur. "Pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat itu telah ditembak. "Pada peringkat awal ini, bagaimanapun, Malaysia tidak dapat menentukan punca tragedi ini. "Tetapi kami perlu - dan kami akan - mendapatkan maklumat tepat mengenai apa yang berlaku kepada pesawat itu. "Kita akan berusaha sedaya upaya. "Sekiranya pesawat itu benar-benar ditembak jatuh, kita akan mendesak pihak yang bertanggungjawab melakukannya dibawa ke muka pengadilan dengan segera. "Pusat-pusat operasi kecemasan sudah pun ditubuhkan. Dalam beberapa jam lepas, pegawai-pegawai Malaysia sentiasa berhubung dengan rakan sejawatan mereka di Ukraine dan tempat lain. "Dan saya akan bercakap dengan beberapa pemimpin dunia dalam beberapa jam lagi. "Saya telah pun beberapa kali bercakap dengan Perdana Menteri Netherlands. "Saya juga telah bercakap dengan Presiden Ukraine. Beliau berjanji akan menjalankan siasatan penuh, menyeluruh dan bebas, dan pegawai-pegawai Malaysia akan dijemput menyertainya. "Presiden Ukraine juga mengesahkan bahawa kerajaannya akan berunding dengan pemberontak di timur negara itu bagi menubuhkan satu koridor kemanusiaan di tempat pesawat itu terhempas. "Sebentar tadi, saya menerima panggilan daripada Presiden Obama. "Saya dan beliau bersetuju bahawa siasatan itu perlu dijalankan tanpa sekatan. "Sebuah pasukan antarabangsa perlu mempunyai akses sepenuhnya ke tempat pesawat itu terhempas. "Dan tiada siapa pun patut mengganggu kawasan itu, atau mengalihkan sebarang serpihan, termasuk kotak hitam. "Ini merupakan hari yang tragik, dalam tahun yang begitu tragik, bagi Malaysia. "Sambil kita cuba memahami apa yang berlaku, doa dan harapan kita adalah untuk keluarga dan rakan mereka yang berada dalam penerbangan itu. "Saya tidak dapat bayangkan apa yang sedang mereka alami pada saat-saat memilukan ini. "Penumpang dan anak kapal penerbangan ini adalah dari banyak negara berbeza. "Namun, hari ini, tanpa mengira kewarganegaraan, kita semua bersatu dalam kesedihan. - 18/7/14 |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan