DIALOG RAKYAT |
- Saman Pemberi Sedekah RM150 Kerana Tolong Pengemis & Gelandangan. Jangan Beri Muka!
- Fairus: Bukan saja MB, Anwar juga patut undur
- Polis dedah foto suspek militan
- 'Gelandangan bergaji kecil boleh lapor pada KPWKM'
- Hudud: Semakin jelas dolak-dalik Umno
- Zizan Razak Beri Penjelasan Status Kecewa Emma Maembong
- Yusof Haslam Lepaskan 3 Das Tembakan, Penjenayah Larikan Barang Hantaran
- "Tiada Dendam Terhadap Sharifah Aini" - Siti Nurhaliza
- Tabung Haji Agih RM1.7 Juta Zakat Kepada Fakir Miskin
- 'Kalau saman macam mana kami nak makan...'
- PAS pertikai pembatalan status rizab Melayu Perak
- Penduduk padam kereta, selamatkan 4 pegawai kastam
- Bernama didakwa ciplak berita media Indonesia
- MP: Henti jadikan pelajar Tingkat 3 bahan ujikaji
- Cakap-cakap MB undur, wartawan kerumun istana
- Setelah 27 tahun, Harakah dibenci tetapi dirindui
- Dapur Jalanan sedia peguam hadapi saman DBKL
- Pas terus pantau isu jawatan MB
- Geng toreh dan seluk berkeliaran di Puchong
- Solat dua imam serentak di masjid
- Militan: Mashitah usah merepek
- Konvoi Berkebajikan santuni fakir miskin
- PAS bantah pusat judi lumba kuda Hulu S'gor
Saman Pemberi Sedekah RM150 Kerana Tolong Pengemis & Gelandangan. Jangan Beri Muka! Posted: 07 Jul 2014 02:34 AM PDT Saman Pemberi Sedekah RM150 : Dahulu, siapa sangka cadangan saman pemberi sedekah boleh dikenakan saman. Tetapi hari ini sudah menjadi realiti. Kadang kala menteri perlu "ditekan" sekuat mungkin kiri dan kanan supaya kata-kata yang dikeluarkan difikirkan terlebih dahulu sesuai dengan statusnya sebagai seoarang menteri. Dalam banyak-banyak menteri Berita Semasa sangat menghormati figura politik yang bernama Khairy Jamaluddin, beliau bukanlah manusia dan pemimpin terbaik kerana adakalanya "tergelincir" ketika bersilat dalam "pentas" politik" tetapi yang paling penting beliau dilihat cuba memberikan yang terbaik dan dekat kepada rakyat baik dipihak penyokong mahupun pembangkang. Malangnya, ada juga menteri yang dilihat begitu jauh jurangnya antara kapasitinya beliau sebagai menteri dan rakyat sepertimana jauhnya jurang di antara orang kaya di Malaysia dengan orang miskin (SEPERTI DI SINI) Buktinya betapa egonya, Menteri Wilayah Persekutuan menjaga bandaraya Kuala Lumpur dengan hanya mengeluarkan cadangan yang tidak sepadan dengan kapasitinya sebagai menteri :
Berita Semasa sama sekali tidak bersetuju dengan "pukul rata" semua yang gelandangan ini mahu hidup bebas, sudah tidak mahu bekerja, lebih suka membuat kotor di ibukota. Cadangan Menteri Terhadap Masalah : Saman Pemberi Sedekah?Sepatutnya, menteri perlu faham pelbagai faktor yang menyebabkan mereka mengakhiri hidup mereka dengan bergelndangan di ibukota. Ada sebabnya yang bukan mereka mahukan sebenarnya, Itu sebabnya menteri mesti sedikit sebanyak perlu merasai keperitan hidup rakyat marhaen di Malaysia dengan harapan idea dan cadangan yang dikeluarkan selepas ini lebih bernas dan begitu dekat dengan rakyat. Yang mengejutkan apabila ada pihak mahu tampil membantu ditegah setelah melihatkan kumpulan terus tersisih dengan arus pembangunan dan pemodenan bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur malah bertambah teruk lagi mahu disaman. wajarkah?
Hakikatnya hari ini, jumlah pengemis di Malaysia semakin meningkat dan meningkat yang tidak mempunyai tempat tinggal dan tempat berteduh. Pengemis, Gelandangan VS Pusat Zakat & Baitulmal
Sekali lagi harapan Berita Semasa kepada pejabat zakat ni nak turun padang cari asnaf yang layak. Usah sibukkan diri untuk meningkatkan kutipan zakat, mencanang satu Malaysia bahawa kutipan zakat terus meningkat. Tetapi masih dilihat canggung untuk berusah asampaikan zakat kepada asnaf Tengku Adnan merasa jijik dengan peminta sedekah dan gelandangan kerana acapkali dikatakan membuat kotor di bandaraya Kuala Lumpur kononnya berpunca daripada pemberian makanan percuma sedangkan NGO seperti PERTIWI sentiasa menjaga kebersihan ketika memberi makanan kepada golongan itu. Sepatutnya dibantu usaha murni oleh NGO-NGO seperti ini, bukan meletakkan pelbagai beban tambahan di bahu mereka.
Pada Berita Semasa samada gelandangan atau tidak, mereka tetap manusia. Kita tidak tahu asal usul perjalanan hidup mereka. Usahlah dihalang….Apa pula pendapat anda? PP/S : Lebih baik "bersihkan" Kuala Lumpur daripada "pusat maksiat dan pusat perjudian" terlebih dahulu sebelum bertindak "membersihkan" bandaraya Kuala Lumpur daripada gelandangan | ||
Fairus: Bukan saja MB, Anwar juga patut undur Posted: 07 Jul 2014 02:25 AM PDT MALAYSIAKINI Bukan sahaja Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga patut meletakkan jawatan atas dakwaan kegagalan besar menguruskan parti, kata bekas timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang. Datuk Seri Mohd Fairus Khairuddin (bawah) dilaporkan berkata Anwar dan pimpinan PKR lain perlu mengambil langkah itu kerana apa yang berlaku dalam parti jauh lebih memalukan berbanding pentadbiran negeri. Bekas wakil rakyat PKR itu merujuk kepada pemilihan langsung parti itu yang masih berlangsung dan mencetuskan pelbagai kontroversi. "Malah perlu diingat Anwar bukan saya ketua umum PKR tetapi juga penasihat ekonomi Selangor. Kalau Khalid didesak letak jawatan kerana gagal bagaimana pula dengan Anwar? "Perlu juga diingat bahawa keadaan lintang pukang, huru hara dalam pemilihan parti ini bukan sahaja baharu berlaku kali ini tapi sejak pemilihan lalu lagi. "Malangnya kali ini lebih teruk dan memalukan hingga tahap ahli mengheret parti ke mahkamah. Siapa yang patut ambil tanggungjawab ini," soalnya lagi seperti dilaporkan UMNO-Online. Fairus juga melihat desakan Khalid meletakkan jawatan sebagai melucukan kerana Anwar tidak pula dihukum. Fairus seterusnya menambah soal pertukaran menteri besar Selangor akan terus menjadi duri dalam daging berterusan untuk pembangkang kerana menurutnya masing-masing mempunyai kepentingan tersendiri. | ||
Polis dedah foto suspek militan Posted: 07 Jul 2014 02:23 AM PDT MALAYSIAKINI Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak polis akan menyiarkan gambar individu yang terlibat dalam kegiatan militan malam ini. Katanya, foto berkenaan akan didedahkan melalui bahagian perhubungan awam Polis Diraja Malaysia. "Kita akan mengeluarkan lima orang yang dikehendaki. Mungkin kita akan mengedar gambar mereka kepada rakan media," katanya dalam sidang medianya petang ini. Mengulas mengenai penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan di Syria, Khalid berkata polis meneruskan pemantauan ke atas suspek yang disyaki terlibat dalam kegiatan seumpama itu. "Kalau perlu kita tahan, kita akan tahan," katanya. Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi yang bercakap dalam sidang media sama turut mengesahkan bahawa gambar lima individu berkenaan akan didedahkan. "Lima individu yang dikehendaki akan disiarkan malam ini," kata Zahid. Turut hadir dalam sidang media sempena majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Dalam Negeri di IPK Selangor itu ialah timbalannya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar. | ||
'Gelandangan bergaji kecil boleh lapor pada KPWKM' Posted: 07 Jul 2014 02:16 AM PDT MALAYSIAKINI Golongan gelandangan yang mempunyai pekerjaan tetapi memperoleh gaji sedikit boleh membuat aduan kepada Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat melalui talian Nur 15999. Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata meskipun penindasan seumpama itu boleh berlaku, namun kementerian tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana tiada sebarang aduan dibuat. "Kalau ada perkara sebegitu maklumkan kepada kami, jangan simpan sendiri, kerana kerajaan telah menguatkuasakan pelaksanaan gaji minimun," katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan di Putrajaya hari ini. Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang rungutan golongan gelandangan yang mendapat gaji sedikit sedangkan kerajaan telah menguatkuasakan gaji minimum di seluruh negara mulai Januari lepas. Pelaksanaan dasar gaji minimum diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 30 April 2012. Gaji minimum di Semenanjung ialah RM900 sebulan dan RM800 di Sabah, Sarawak serta Labuan. Sementara itu, Rohani berkata sebanyak 735 dari 1,560 gelandangan yang pernah datang ke Anjung Singgah, pusat perlindungan sementara untuk golongan gelandangan berteduh, telah memperoleh pekerjaan sejak 2011.-Bernama | ||
Hudud: Semakin jelas dolak-dalik Umno Posted: 07 Jul 2014 02:06 AM PDT KESUNGGUHAN beberapa pemimpin Umno mahu menyokong Kelantan melaksanakan perundangan syariah dilihat semakin hambar. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Jamil Khir seperti keseorangan sekarang. Keputusan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak membawa masuk enam pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam kabinet 25 Jun lalu memberi cabaran kepada Jamil Khir. Enam pemimpin bukan Islam mendapat hadiah jawatan menteri dan timbalan menteri. Presiden MCA, Dato' Seri Liow Tiong Lai dilantik Menteri Pengangkutan, Presiden Gerakan, Dato' Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA, Dato' Wee Ka Siong diberi jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Tiga Naib Presiden MCA iaitu Dato' Lee Chee Leong dilantik Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datin Paduka Chew Mei Fun (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat). Pada Mei lalu tentunya ramai masih ingat ada pemimpin Gerakan membuat kenyataan, tidak menyertai pilihan raya kecil (PRK) di Bukit Gelugur kerana mahu memberi tumpuan menentang pelaksanaan hudud di Kelantan. Begitu juga Setiausaha Agung MCA, Dato' Ong Ka Chuan dilaporkan parti itu tidak bertanding dalam PRK tersebut kerana mahu memberi tumpuan isu hudud. Secara terang-terangan mereka menghalang usaha dilakukan kerajaan Kelantan. Lebih teruk lagi seorang pemimpin MCA, Gan Ping Sieu dilaporkan mahu Jamil Khir disingkirkan daripada kabinet. Mungkin tidak pernah ada keberanian seperti itu dalam kalangan kompenan BN sebelum ini. Ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi pun tiada kedengaran ada parti kompenan menuntut menyingkir pemimpin Umno daripada kabinet. Apakah penasihat perdana menteri tidak terkesan agenda tersebut. Biar pun nampak seperti ada keikhlasan di lubuk hati Jamil Khir menyokong hasrat Kelantan, namun beliau tidak mampu berdepan dengan rempuhan besar. Kata banyak pihak ia akibat silap percaturan Najib. Naib Presiden KeADILan, Tian Chua sejak dari awal lagi meragui keikhlasan pemimpin Umno menyokong Kelantan melaksanakan hudud. Katanya, kalau Umno benar- benar serius sudah tentu mereka memberi penjelasan kepada parti-parti kompenan BN mengenai kelebihan perundangan hudud. "Inilah sikap hipokrit Umno. Mereka membuat kenyataan awal menyokong usul hudud tidak lebih sebagai strategi politik," katanya di Pasir Puteh, 21 Jun lalu. Pada 28 Mac lalu, ketika berucap di Dewan Rakyat Jamil Khir menegaskan, sekiranya ada kerajaan negeri mahu melaksanakan hudud, kerajaan pusat turut bersedia bersama-sama. "Terpulang kepada ahliahli Yang Berhormat untuk membawa usul persendirian bagi membentang Rang Undang- Undang daripada ahli yang bukan ahli kerajaan di Dewan Rakyat," katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang di- Pertuan Agong. Bagi pensyarah Sains Politik, Prof Madya Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, Umno cuba mengikut rentak PAS berkaitan isu hudud kemungkinan tersembunyi matlamat lain di sebaliknya. "Hudud mungkin senjata paling berkesan untuk merenggang hubungan Pakatan Rakyat. Harapan mereka berlaku pertembungan di medan terbuka antara PAS dan DAP. "Apabila rakyat melihat ada kecelaruan dalam Pakatan Rakyat, mereka bimbang tiada lagi pencabar yang mampu menggantikan BN," katanya ketika ditemui. Namun Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah berhujah biar pun apa keputusan Umno nanti, PAS tetap tidak rugi. Taktik Umno Kata beliau kalau Umno benar-benar bermain tarik tali dalam isu hudud, rakyat akan menilai mereka. "Kalau mereka tidak sokong semasa usul hudud dibawa ke parlimen nanti, nyatalah kata orang sebelum ini Umno itu jahat dan khianat. "Sebaliknya kalau mereka benar-benar sokong usul tersebut, kitalah yang akan untung kerana Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan sudah diluluskan sejak 1993," katanya di Gual Ipoh, baru-baru ini. Hujah yang serupa dipertahankan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mohd Yusnan Yusof. Dalam situasi apa sekalipun baginya PAS dan kerajaan Kelantan akan memperolehi labanya. "Kita tidak tahu sama ada Umno benar-benar ikhlas mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Hudud Kebangsaan bagi memudahkan pelaksanaan hudud di Kelantan atau ada agenda lain di sebaliknya. "Kalau mereka sengaja mahu melengah-lengahkan dan berdolak-dalik, tunggulah rakyat akan menghukum mereka," katanya yang juga Adun Melor. Anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Dr Muhamed Fadzli Hassan berkata, kesungguhan kerajaan Kelantan mahu merealisasikan perundangan syariah tidak dapat dinafikan. Sehingga sekarang dua jawatankuasa diwujudkan iaitu jawatankuasa induk dan jawatan prateknikal. Malah ceramah dan program penerangan digerakkan ke seluruh Kelantan. Adun Kemuning, Ustaz Mohd Roseli Ismail berkata, beliau kasihan melihat ahli Jawatankuasa Induk Hudud berceramah hampir setiap malam bagi menjelaskan isu tersebut kepada rakyat. Kata Roseli, sepatutnya Kelantan mendapatkan surat ìhitam putihî daripada Umno.Kini tumpuan lebih terarah kepada tindakan selanjutnya kerajaan pusat. Kewujudan Jawatankuasa Khas Teknikal Hudud Kebangsaan selepas isu "private member's bill" hangat diperkatakan di Kelantan. Apakah ia dianggap sebagai taktik Umno bagi meredakan keghairahan fenomena hudud di Kelantan. Mungkinkah Jawatankuasa Teknikal Hudud Kebangsaan seperti mengulangi nasib pelbagai jawatankuasa diwujudkan kerajaan sebelum ini. Pada akhir 2012 kerajaan pusat mewujudkan Jawatakuasa Khas Mengkaji bayaran hasil petroleum negeri- negeri Pantai Timur. Perdana Menteri berkata, jawatankuasa khas royalti turut dianggotai wakil dari Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka menyelesaikan kajian dalam tempoh enam bulan. Sekarang melewati lebih setahun setengah, belum lagi ada sebarang keputusan mengenainya. Selain itu kerajaan juga mewujudkan Jawatankuasa Khas bagi meneliti dan mengkaji Laporan Ketua Audit Negara 2012. Namun setiap kali laporan tahunan Ketua Audit Negara dibentang di parlimen, masih banyak ditemui penyelewengan dana kerajaan. Mengambil kira contoh di atas mungkinkah nasib serupa juga berulang terhadap Jawatankuasa Khas Teknikal Hudud Kebangsaan. Bagi peguam veteran, Dato' Wan Mutalib Embong, apabila kerajaan mewujudkan sesuatu jawatankuasa khas bermakna apa yang dihasratkan rakyat tidak akan menjadi kenyataan. Benarkah begitu. Inilah keraguan yang tidak dapat ditepis dalam kalangan rakyat. Tunggulah sejarah tidak pernah berbohong. | ||
Zizan Razak Beri Penjelasan Status Kecewa Emma Maembong Posted: 07 Jul 2014 01:57 AM PDT PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak Zizan Razak menyangkal dakwaan hubungannya dengan Emma Maembong kini bergolak ekoran tindakan aktres itu memuat naik sekeping foto di laman Instagram miliknya yang menggambarkan seolah-olah percintaan mereka sedang dilanda badai. Zizan atau nama sebenarnya, Razizan Abdul Razak, 30, berkata, luahan Emma itu langsung tiada kena mengena dengannya kerana hubungan mereka masih berjalan seperti biasa. "Saya tidak rasa luahan perasaan itu ada kena mengena dengan saya atau hubungan kami sebaliknya percintaan kami masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah. Luahan Emma menerusi sekeping foto di laman Instagram miliknya yang mengundang pelbagai presepsi daripada peminat mereka. "Emma adalah seorang yang suka berkarya dan apa yang dimuat naik itu mungkin salah satu daripadanya," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin. Emma dalam status di Intagramnya pada Ahad menggambarkan seolah-olah hatinya sedang kecewa apabila menulis status dia akan mencari lelaki lain yang boleh mengambil berat terhadapnya. Luahan perasaan Emma itu mendapat perhatian ramai sehingga ramai yang mengandaikan hubungannya dengan Zizan Razak sedang dilanda masalah. Malah peminat turut meminta Emma supaya bersabar dengan dugaan dalam perhubungan cinta dan berharap kemelut yang berlaku diantara mereka dapat diselesaikan secara baik. Dalam pada itu, Zizan berkata, dia dan Emma baharu sahaja menjayakan sebuah majlis di ibu negara pada malam Ahad lalu. | ||
Yusof Haslam Lepaskan 3 Das Tembakan, Penjenayah Larikan Barang Hantaran Posted: 07 Jul 2014 01:53 AM PDT Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI Sumber polis berkata, semasa kejadian Yusof, 60, sedang menonton televisyen dan tiba-tiba terdengar jeritan orang gaji di tingkat bawah yang menyebabkan beliau bergegas ke biliknya untuk mengambil pistol. Ujar sumber itu, Yusof melepaskan satu das tembakan pertama sebagai amaran ke arah tangga rumah dan melepaskan lagi dua das tembakan ke kawasan hutan kerana mengesyaki penjenayah melarikan diri ke arah berkenaan. Polis berkata, pengadu turut mendapati pintu rumahnya terdapat kesan umpilan manakala bilik di tingkat empat rumahnya itu berselerak akibat digeledah. Tambah sumber itu, semasa kejadian terdapat seorang pengawal keselamatan sedang bertugas namun dia tidak menyedari kejadiaan tersebut. Sementara itu, isteri kepada Yusof iaitu Datin Patimah Ismail ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya dengan bantuan polis sedang meneliti rakaman CCTV rumah mereka bagi mengenal pasti ketiga-tiga perompak tersebut. Bagaimanapun kata Patimah, penjenayah berkenaan sukar dikesan identiti mereka kerana ketika kejadian masing-masing memakai topeng bagi menutup wajah. "CCTV di rumah berjaya merakamkan kelibat penjenayah sebelum lensa kamera itu dialihkan bagi mengelak di kesan namun keadaan mereka yang bertopeng menyukarkan kami untuk mengesan wajah mereka," katanya. Patimah turut memberitahu, dua pembantu rumahnya turut dicederakan oleh penjenayah berkenaan ketika kejadian namun bersyukur keadaan mereka selamat. Bagaimanapun katanya, barangan hantaran perkahwinan anak lelakinya, Syafiq Yusof lesap dan berjaya dibawa lari oleh penjenayah itu. "Kesemua penjenayah berkenaan mengacukan pisau kepada pembantu rumah saya namun bersyukur mereka tidak diapa-apakan cuma mereka berjaya mencuri barangan milik Syafiq seperti cincin perkahwinan dan jam tangan berjenama," katanya. Tambah Patimah lagi, tindakan pantas suaminya yang melepaskan beberapa das tembakan amaran kepada penjenayah tersebut berjaya menakutkan mereka namun kesemua perompak itu berjaya melarikan diri. "Apabila terdengar sahaja jeritan daripada pembantu rumah, suami (Yusof) segera mengambil pistol dan melepaskan tembakan amaran dan mereka melarikan diri," katanya. | ||
"Tiada Dendam Terhadap Sharifah Aini" - Siti Nurhaliza Posted: 07 Jul 2014 01:45 AM PDT RAKYATNEWS Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menjelaskan dia tidak pernah menyimpan sebarang dendam terhadap biduanita negara Datuk Sharifah Aini, 61, walaupun pernah terjadi krisis diantara mereka sebelum ini. Siti, 35, berkata, dia tetap menghormati biduanita tersebut sebagai seorang kakak yang banyak mengajarnya mengenai dunia muzik selain memberi jasa besar terhadap industri seni tanah air. "Yang dah lepas itu lepaslah. Saya tak simpan dalam hati dengan apa yang telah berlaku. Kali terakhir saya bertemu dengannya ketika beliau muncul di Anugerah Juara Lagu (AJL) dengan imej bertudung," katanya. Siti ditemui di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Sharifah Aini. Allahyarham meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi Sabtu lalu di Pusat Perubatan Pakar Damansara di sini akibat fibrosis paru-paru atau 'paru-paru berparut' selain virus Influenza A H1N1. Siti dan Sharifah Aini sebelum ini pernah dilaporkan mempunyai krisis sehingga membuatkan mereka tidak bertegur sapa. Bagaimanapun hubungan mereka kembali jernih selepas beberapa wartawan hiburan memainkan peranan untuk mejernihkan kembali hubungan mereka dan detik itu dirakamkan untuk satu sesi fotografi bagi keluaran Hari Raya pada tahun 2010. Sementara itu, Siti yang ditemubual media selepas dia membacakan surah Yasin kepada Allahyarham dengan reaksi wajah yang cukup sedih sehingga membuatkan beliau tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata apabila bercakap mengenai biduanita itu. "Sejak disatukan bersama dalam sebuah sesi fotografi sebelum ini, hubungan kami seperti adik beradik. "Subhanallah, dia pergi ketika di bulan Ramadan dan ia berlaku hanya kepada insan-insan yang terpilih. "Terlalu banyak kebaikan beliau lakukan membuatkan saya begitu kagum dengannya. Bukan hanya saya, arwah ayah saya juga menyanjunginya," ujar Siti. Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara dekat sini sebelum solat Zohor pada Sabtu. | ||
Tabung Haji Agih RM1.7 Juta Zakat Kepada Fakir Miskin Posted: 07 Jul 2014 01:43 AM PDT RAKYAT NEWS KUALA TERENGGANU - Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat pertambahan deposit simpanan sebanyak RM5 juta setahun didorong oleh peningkatan kesedaran masyarakat Islam untuk menabung dalam institusi kewangan yang patuh syariah. Ahli Lembaga Pengarah, Ghazali Awang, berkata hingga kini TH mempunyai 8.4 juta pendeposit dengan jumlah deposit sebanyak RM50 billion dan dijangka terus meningkat hingga akhir tahun ini. "Selain tabungan, TH juga menyasar peningkatan perolehan daripada sumber pelaburan lain termasuk kewangan Islam, perladangan, hartanah, pembinaan, teknologi maklumat, minyak dan gas, hospitaliti, perkhidmatan dan makanan halal. "Lazimnya peningkatan deposit dan pendeposit lebih tinggi dicatat selepas pengagihan dividen dan bonus pada akhir tahun," katanya selepas Majlis Penyerahan Zakat Program Ehsan TH Peringkat Negeri Terengganu 2014, di sini, hari ini. Sebanyak RM1.7 juta zakat akan diagihkan kepada 3,424 asnaf miskin dan fakir seluruh negara melalui program itu. Pengarah TH Terengganu, Mohammad Mokhzani Mukhtar turut hadir pada majlis itu. Hingga kini, TH mempunyai 120 cawangan di seluruh negara termasuk yang terbaharu di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Alor Setar, Kedah. | ||
'Kalau saman macam mana kami nak makan...' Posted: 06 Jul 2014 10:29 PM PDT MALAYSIAKINI Walaupun menteri tegas mahu membersihkan Kuala Lumpur daripada pengemis dan individu tidak berumah, perkara itu nyata tidak membuatkan golongan tersebut berasa gentar. Mereka malah tidak puas hati dengan inisiatif terbaru Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu kerana menjejaskan sumber rezeki mereka. Perkara itu diluahkan oleh seorang peminta sedekah dan penghidap HIV Yahya Abdullah, 52, yang sudah mencari rezeki sebegitu sejak 11 tahun lalu. Bekas tentera itu memberitahu Malaysiakini sejak meninggalkan keluarganya kerana ketagih dadah, dia sudah biasa hidup di tepi jalan dan mencari sesuap nasi dengan meminta sedekah. "Tak patutlah kalau saman. Macam mana nak makan," kata ketika ditemui di tepi jalan berdekatan stesen sistem transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek di ibu negara. Manakala seorang wanita tidak berumah Hazellina Ezriantie Noor Mohamed, 28, pula termenung panjang ketika ditanya cadangan Tengku Adnan itu. Ketika disoal, Hazellina memalingkan wajahnya ke tempat lain dan diam sebentar. Tidak menyatakan setuju atau tidak, dia yang sudah gelandangan sejak dua tahun lalu berkata berkata perkara itu bukan pilihannya ketika tidak pernah diterima bekerja. Walaupun pernah bekerja di sebuah kedai kopi mahal, dia mengaku dibuang kerja kerana ketagih gam. Anak kedua dari tiga beradik itu meninggalkan rumah keluarganya ketika berusia 18 tahun. Sementara itu, seorang peminta sedekah berbangsa Cina memberitahu KiniTV, mereka tidak akan mempedulikan amaran Tengku Adnan itu kerana selama ini pun kerajaan didakwa tidak membantu mereka. "Kami tak peduli, sebab kerajaan bukan hendak tolong kami. Ya, memang mereka bantu dengan hantar kami ke institusi. "Kami tak mahu begitu. Kami ini manusia, kami mahu hidup bebas, semua manusia mahu hidup bebas. Kami bukan burung dalam sangkar. Jadi kami tak peduli. "Biar mereka tangkap, Kami ada peguam. Saya tak boleh beritahu siapa peguam kami," jawabnya bersahaja. Lelaki dalam lingkungan 60-an itu ditemui sedang asyik membaca sebuah akhbar Inggeris, sambil berbaring di atas sekeping kotak dan kepalanya hanya beralaskan beg. Kalau Ku Nan tak ada kerja... Sementara itu, golongan pemberi sedekah juga rata-rata menyatakan tidak puas hati dengan langkah terbaru kerajaan itu, yang turut mahu menghukum golongan itu. Ketika tinjauan Malaysiakini di sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur, seorang pelajar universiti Zulkhairi Tuan Man, 23, berkata cadangan Tengku Adnan itu satu "tindakan kejam". Katanya, saman bersiri RM150 "keterlaluan" dan pesalah menurutnya patut diberi amaran sahaja untuk kesalahan pertama. "Beri sedekah kepada peminta sedekah tepi jalan pun kena saman, agak zalimlah. Sebagai orang Islam dalam agama cakap dalam harta yang kita ada ada bahagian untuk orang miskin. "Jadi bila kerajaan buat macam tu macam kerajaan zalim kepada orang," katanya kepada Malaysiakini. Seorang penulis buku Misnon Jamil yang juga sering menderma kepada peminta sedekah tepi jalan turut mempersoalkan cadangan Tengku Adnan. Misnon juga mendesak supaya menteri wilayah persekutuan itu mengkaji semula perkara itu dari sudut agama. "Kenapa sampai nak saman orang bagi sedekah? tak payah! "OK, saya (pemberi sedekah) mengaku bersalah masuk penjara beberapa bulan sahaja. "Kalau bawa ke mahkamah, mengaku bersalah sahaja. Kita hukum kerajaan Malaysia. Biar masuk penjara padat dengan kesalahan memberi sedekah," katanya dengan nada tinggi. Tambah beliau lagi, Tengku Adnan harus merasai dahulu kehidupan sebagai golongan yang tidak berkemampuan itu. "Sebenarnya Ku Nan patut berhenti kerja, tengok jadi apa bila tak ada kerja, tak ada pendapatan. Kau akan gelandangan juga. Atau ditakdirkan dia jadi gila," katanya. Tak semua tolak 'pembersihan' Bagaimanapun, tidak semua usaha Tengku Adnan itu kerana menihatnya sebagai usaha positif. Seorang pengawal keselamatan Mohd Khairul Azmin, 32, berpendapat cara itu dapat mengurangkan lambakan pengemis dan gelandangan di ibu negara. Bagaimanapun, Khairul (kiri) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bayaran saman bersiri yang dikenakan ke atas pemberi sedekah. "Saya setuju dengan saman itu kurang sikit orang nak minta sedekah, sekarang terlalu ramai kerja ada pun mereka ini malas nak kerja sebab tahu ada nasi percuma. Nak kerja buat apa lagi. "Elok cadangan Tengku Adnan nak buat macam tu. "Tapi cadangan saman RM150 tu harap kerajaan dapat pertimbangkan sikitlah. Kalau macam ini tak payah bagi sedekahlah. Kita nak bagi ikhlas tapi kita yang susah, " katanya. | ||
PAS pertikai pembatalan status rizab Melayu Perak Posted: 06 Jul 2014 10:23 PM PDT MALAYSIAKINI PAS Perak hari ini mempertikaikan pembatalan berterusan tanah rizab Melayu di Lumut yang menurutnya menyebabkan kawasan itu hilang identiti sebagai kawasan pelancongan. Ketua Pemudanya Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob (bawah) berkata, pembatalan status itu di Teluk Senangin dan Teluk Rabiah menyebabkan kawasan hutan tergadai dan pembangunan tidak seimbang. "Kami amat meragui kekerapan pembatalan status rizab tanah Melayu yang dilakukan oleh kerajaan negeri atas alasan pembangunan atau pelancongan atau yang terkini atas sebab perindustrian. "Bagi kami akan terhakisnya entiti daerah Manjung sebagai salah satu kawasan alam sekitar yang cantik yang menarik ramai pelancong untuk hadir," katanya. Beliau membangkitkan perkara itu setelah kira-kira setahun tanah Teluk Senangin seluas 14.67 hektar di mukim Lumut Manjung diwartakan pembatalan status rizab Melayu pada Mac tahun lalu. Beliau juga membangkitkan dua kes pembatalan tanah rizab Melayu di kawasan sekitar itu pada April 2004 (89.83 hektar) dan Teluk Rabiah (163 hektar) untuk pembangunan komersial pada Julai 1989. Dalam kenyataannya hari ini, Raja Ahmad mendesak penjelasan daripada kerajaan negeri atas keperluan pembatalan status itu. Dewan itu juga berkata akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk mendapatkan penjelasan dan melahirkan kebimbangan mereka dengan situasi semasa itu. | ||
Penduduk padam kereta, selamatkan 4 pegawai kastam Posted: 06 Jul 2014 10:19 PM PDT MALAYSIAKINI Seorang lelaki maut selepas kenderaannya bertembung kereta Proton Waja yang dinaiki empat pegawai Kastam dalam nahas di Kilometer 47, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Pasir Puteh dekat Marang petang semalam. Zulkepli Mohd Nor, 50, dari Kampung Pasir Puteh, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah manakala pemandu Proton Waja Baharim Ibrahim, 35, Noorah Mohamad, 46, Wan Nurul Zarina Ahmad, 25, dan Shamsuri Osman, 40, patah tangan, kaki serta cedera di kepala dan muka. Dalam kejadian pada kira-kira 3 petang, empat pegawai berkenaan dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu selepas menghadiri tugas rasmi di Kemaman. Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang dipandu Zulkepli dari arah Marang ke Dungun dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung kereta dinaiki pegawai kastam berkenaan, yang datang dari arah bertentangan. Seorang saksi, Zulkifli Deraman, 49, berkata dia bergegas ke tempat kejadian selepas mendengar satu dentuman yang kuat dan melihat kedua-kedua kenderaan remuk. "Saya bersama beberapa penduduk berusaha memadamkan kebakaran kereta Proton Waja yang dinaiki empat anggota Kastam terbabit dengan menggunakan pasir selepas enjin kereta terbabit terbakar. "Nasib baik kami pantas... kalau tidak, sudah tentu kereta itu akan terbakar dan mungkin keempat-empat anggota kastam itu akan rentung," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Zulkifli berkata dalam suasana kelam-kabut itu, beliau sempat menjenguk ke dalam kereta Perodua Viva terbabit dan melihat pemandunya cedera parah di seluruh anggota badan serta kelihatan seperti sudah tidak bernyawa. Sementara itu, Ketua Polis Daerah DSP Risikin Satiman, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. Beliau berkata pegawai Kastam terbabit dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan manakala mangsa yang maut untuk bedah siasat.- Bernama | ||
Bernama didakwa ciplak berita media Indonesia Posted: 06 Jul 2014 10:12 PM PDT MALAYSIAKINI Sebuah akhbar Indonesia mendakwa agensi berita Malaysia Bernama menciplak dua artikel yang disiarkannya berhubung debat calon presiden Indonesia menjelang hari pengundian 9 Julai ini. Jakarta Globe mendakwa, pada Ahad Bernama menciplak "perkataan demi perkataan" dalam artikelnya berjudul "In Closing Debate, Joko Promises Bureaucratic 'Breakthrough,' While Prabowo Strives for 'A Dignified Nation.'" Arikel itu, kata media itu, sebahagian daripada liputan langsung debat presiden kali kelima dan terakhir, disiarkannya pada 5 Julai. Jakarta Globe mendakwa Bernama turut menyiarkan artikel sama sehari selepasnya dengan judul "Joko Promises Bureaucratic 'Breakthrough,' While Prabowo Strives for 'A Dignified Nation'". Bernama juga didakwa menggugurkan nama pemberita Josua Gantan dan Andrea Wijaya sebagai penulis artikel asal dengan menggantikannya dengan nama wartawannya Elmi Rizal Alias, Jakarta Globe juga mendakwa Bernama menciplak berita seorang lagi pemberitanya Basten Gokkon untuk debat presiden kali keempat "Hatta Says Indonesia Should Take Advantage of Its 'Demographic Bonus'." Artikel itu, tambahnya, disiarkan bernama bawah judul "Indonesia Should Take Advantage of Its 'Demographic Bonus' - Hatta" yang juga didakwa ditulis Elmi. Akhbar itu masih tidak mendapat reaksi daripada Bernama. Malaysiakini sudah menghubungi Bernama dan masih menunggu penjelasannya berhubung dakwaan itu. | ||
MP: Henti jadikan pelajar Tingkat 3 bahan ujikaji Posted: 06 Jul 2014 10:10 PM PDT MALAYSIAKINI Kerajaan perlu berhenti daripada menjadikan pelajar tingkatan tiga sebagai bahan ujikaji dan menjawab banyak rungutan berhubung kekeliruan berkaitan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang menggantikan ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR), kata Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming. Ong berkata beliau menerima beberapa aduan dari ibu bapa, guru dan pelajar yang keliru tentang sistem penilaian baru itu, yang hanya diumumkan pada 31 Mac tahun ini dan dilaksanakan secara tergesa-gesa. Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat DAP pagi ini, Ong menggesa Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Idris Jusoh supaya berhenti menjadikan pelajar Tingkatan 3 sebagai bahan ujikaji. Ong (kiri) menunjukkan beberapa aduan di laman Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di mana perdana menteri mengucap selamat berjaya kepada kumpulan pertama pelajar yang mengambil peperiksaan PT3. Antaranya ialah maklum balas dari Sarala Poobalan yang berbunyi: "Murid mengambil 2 tahun untuk memahami format UPSR. 2 tahun untuk format SPM and 1.5 tahun untuk STPM. Berapa lamakah masa yang diberi kepada murid Tingkatan 3 untuk memahami format PT3? Kurang dari 2 minggu. Merangkak pun belum dah disuruh berlari." Seorang lagi, Nurizam Ibrahim pula menulis: "Sepatutnya pt3 dimulakan utk pelajar tingkatan satu tahun hadapan... kesian anak2 yg menjadi bahan ujikaji... nak cari buku rujukan utk pt3 pun susah... Seorang lagi bapa lain dengan nama Kevin YN Ho berkata beliau sedang menimbang untuk menghantar anaknya ke sekolah swasta walaupun ia akan menjadi beban kewangan yang serius. Ong berkata selepas PT3 diumumkan pada bulan Mac, guru, ibu bapa dan pelajar telah diberi taklimat antara bulan April dan Jun dan pelajar mula menduduki penilaian itu pada 1 Julai. | ||
Cakap-cakap MB undur, wartawan kerumun istana Posted: 06 Jul 2014 10:08 PM PDT MALAYSIAKINI Wartawan berkumpul di hadapan Istana Mestika, Shah Alam dan Istana Alam Shah, Klang hari ini lantaran khabar angin Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan meletakkan jawatan. Walaupun tiada pengumuman rasmi, beberapa kumpulan wartawan berlegar di pintu masuk Istana Alam Shah sebelum berpindah ke Istana Mestika kira-kira jam 10:30 pagi. Sekumpulan yang lain berkumpul di Bangunan Sekretariat Kerajaan Negeri (SUK) dan bangunan Darul Ehsan untuk menyerbu Khalid berkenaan khabar angin ini. Bagaimanapun Khalid yang diberitahu kini sedang bermesyuarat di SUK masih tidak bertemu media. Khabar angin yang berlegar di laman sosial dan aplikasi Whatsapp sejak tengah malam semalam berbunyi: "Latest dari sumber media: "Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka akan mengadap ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada jam 9 pagi esok 7 Julai 2014 bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor. Sidang media khas menyusul selepas itu." Bagaimanapun tiada media yang mengaku memberi sumber itu kepada awam. Pejabat MB kata 'tipu' Pejabat menteri besar Selangor ketika dihubungi menafikan Khalid akan menghadap Sultan dan meletakkan jawatan hari ini. Setiausaha akhbarnya Arfa'eza Aziz (kanan) berkata hal itu hanya khabar angin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab. "Saya dah kata tipu. Tak, beliau tidak berjumpa Sultan (untuk letak jawatan)," kata beliau kepada Malaysiakini. Bagaimanapun Pejabat Menteri Besar masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tetapi menafikan hal ini apabila dihubungi wartawan. Khalid dilihat sedang ditekan oleh parti beliau apabila beberapa pimpinan PKR secara terbuka menyatakan mahu beliau meletakkan jawatan. | ||
Setelah 27 tahun, Harakah dibenci tetapi dirindui Posted: 06 Jul 2014 10:04 PM PDT Harakah kini sudah berumur 27 tahun. Ia diterbitkan pada 27 Mac 1987. Sudah melangkaui alam remaja. Selama itu ia telah berkhidmat memberikan maklumat dari pebagai sudut kepada pembacanya. AKHBARDarinya kita mengetahui pergolakan poitik dalam dan luar negeri. Demikian juga bidang-bidang yang lain, terutama perkembangan Islam dalam dan luar negeri. Dengan membacanya juga kita mengetahui dasar parti, pemikiran pemimpin, kegiatan PAS di sana sini dan pendapat umum. Hampir semuanya tersaji di dalam PAS. Maka itu, sewajarnyalah ahli PAS membaca Harakah. Perlu diingat bahawa Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat telah menjadikan Harakah bacaan pentingnya setiap keluaran. Dari itu perlulah ahli PAS mencontohinya. Harakah jadi perhatian oleh kawan dan lawan untuk mengetahui pandangan PAS dan perkembangan politik tanah air dari perspektif PAS. Harakah juga berisi rencana dan tazkirah dari ulama dan para pemimpin PAS kerana ia adalah mutiara yang berharga. Harakah memang sangat luar biasa. Walaupun pemimpin dan pendukung parti lawan 'membenci' Harakah atas sebab yang diketahui, tetapi dalam masa yang sama mereka mencari-cari Harakah untuk mengetahui isi dan maklumat darinya. Maka jadilah Harakah akhbar yang dibenci, tetapi dirindui, mengingatkan saya akan sebuah lagu nyanyian Broery Marantika,'Benci Tapi Rindu'. Mereka benci dengan Harakah kerana mengkritik parti yang memerintah, tetapi dalam masa yang sama mereka juga mencari-cari Harakah, ingin tahu akan isi kritikan Harakah. Dengan itu walaupun ada orang suka dan ada pula orang yang bencikan Harakah, namun kehadirannya tidak kurang pentingnya kerana telahmemberi makna tertentu dalam sejarah negara, bahkan ia memberi sumbangan penting kepada kehidupan demokrasi di Malaysia. Bahkan Harakah itu sendiri sebagai sebuah entiti adalah sebahagian sejarah dalam dunia pesuratkhabaran di negara ini. Akhbar PAS ini bukan saja berisikan laporan dan ulasan politik dalam dan luar negara, tetapi berisikan tazkirah dari Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang dan para ulama yang memberikan pandangan dalam Harakah. Iaitu pandangan yang berasaskan ilmu. Juga rencana politik, ekonomi, perundangan dan pendidikan serta kemasyarakatan. Pemimpin PAS yang sering muncul memberikan pandangan mereka di dalam Harakah antaranya Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefli Ahmad, Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Hanipa Maidin, Khalid Samad, Dr. Mariah Mahmud dan ramai lagi. Mereka mempunyai peminat yang ramai, bahkan sangat dihormati di kalangan dunia intelektual tanah air .Mereka mengupas pelbagai persoalan dengan hujah ilmu, bukan emosi dan bukan berdasarkan prejudis politik tetapi berbicara dengan fakta. Umpamanya mereka mengupas isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST), isu Hudud, isu kalimah Allah dan isu-isu agama yang lain. Di samping itu juga isu toleransi kaum dan agama, isu rasuah dan pembaziran dan pelbagai isu yang lain. Mereka mengupas dengan hujah rasional dan fakta, berdasarkan hujah Al-Quran, Hadis, Sunnah dan Ijmak Ulama dan pandangan kontemporeri yang tidak bertentangan dengan syarak. Semuanya inilah yang tersaji di dalam Harakah. Justeru selain dari rencana bermutu, Harakah juga memuatkan berita dan gambar pebagai kegiatan ahli PAS seluruh tanah air. Selama 27 tahun Harakah mendambakan dirinya kepada parti dan ahli parti, tentu saja kedudukannya dalam perkembangan gerakan Islam di Malaysia sangat penting. Orang mengenal PAS akan juga mengenal Harakah, demikian juga orang mengenal Harakah akan mengenal PAS. Ia adalah sinonim. Dalam mengharungi usia 27 tahun itu, Harakah telah berdepan dengan pelbagai cabaran, khususnya dari pihak pemerintah sendiri. Pelbagai sekatan, ancaman ditarik balik permit, rampasan jualan Harakah, ugutan demi ugutan dan pelbagai lagi. Namun, dengan penuh tabah dan bertawakal kepada Allah, maka petugas Harakah - dari Ketua Editornya, hingga staf editorialnya, pengurusan dan pengedarnya tetus mampu mengatasi cabaran ini. Hingga kini Harakah terus beredar. Walaupun memang ada pelbagai kritikan kepada Harakah, malah dari pendukung PAS sendiri, tetapi ini tidak mengurangkan pentingnya ahli PAS membeli dan membacanya kerana dengan membeli dan membaca Harakah, anda menyumbang kepada ekonomi parti. Dalam hubungan ini, dengan membaca Harakah, tentu sekali kita dapat sumber maklumat terkini dan sahih dari lidah rasmi parti sendiri. Tidak bergantung kepada sumber luar parti yang belum tentu kesahihannya. Adalah berbeza antara orang yang membaca dengan yang tidak membaca dan tentulah berbeza juga antara mereka yang berimu dengan yang tidak berilmu. Abd Shukur Harun ialah seorang wartawan veteran dan bekas Pengarang Harakah. | ||
Dapur Jalanan sedia peguam hadapi saman DBKL Posted: 06 Jul 2014 10:02 PM PDT KUALA LUMPUR: Organisasi amal, Dapur Jalanan tetap meneruskan aktiviti memberi makanan kepada golongan miskin tegar bandar walapun berhadapan risiko disaman penguatkuasa seperti yang mahu dikuatkuasakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, baru-baru ini. Ahli Dapur Jalanan merangkap jurucakap bagi salah satu kumpulan yang menjalankan aktiviti itu, Wong Kar Fai, berkata hal itu berikutan golongan miskin tegar bandar memerlukan pembelaan sewajarnya. "Seharusnya, ini tanggungjawab kerajaan tetapi mereka tak buat dan bila orang lain nak buat mereka halang pula," katanya ketika ditemui Selangor Kini selpas mengagihkan makanan sekitar Jalan Panggung, Pasar Seni, Medan Pasar dan Lebuh Ampang, di sini, malam tadi. Katanya, sebelum ini kerajaan dijangka meminda Akta Papa 1977 dalam persidangan parlimen sesi Jun-Julai, baru-baru ini bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan lebih keras diambil terhadap golongan miskin tegar bandar yang tidak berumah. Bagaimanapun, pindaan itu tidak berlaku, sebaliknya kerajaan terus membuat persediaan seperti mengadakan pelbagai operasi menangkap golongan tidak berumah sebelum pindaan akta itu dilaksanakan. "Kami tak tahu apa pindaan yang akan dibuat dan bila, tetapi yang pastinya kerajaan dah buat persediaan awal dengan mengadakan pelbagai operasi seperti Operasi Kasih, Operasi Cantas dan Operasi Bersepadu membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Imigresen Malaysia serta polis. "Kami cadangkan, Tengku Adnan turun tanya apa masalah golongan ini, apa mereka mahukan bagi mencari penyelesaian total, bukannya menyembunyikan kewujudan mereka daripada mata masyarakat dengan mengurung mereka. "Antara keperluan utama yang harus disediakan kerajaan seperti peluang pekerjaan yang lebih baik, tempat tinggal dan tempat menyimpan beg," katanya. Beliau berkata, kebanyakan golongan miskin tegar bandar terbabit mempunyai pekerjaan tetapi diberikan upah yang rendah sekitar RM10 hingga RM20 sehari, sekali gus menyebabkan mereka tidak mampu menyewa rumah sebagai kediaman masing-masing. | ||
Pas terus pantau isu jawatan MB Posted: 06 Jul 2014 10:00 PM PDT KUALA LUMPUR - Pas belum membuat apa-apa keputusan berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didesak oleh rakan separtinya, PKR supaya meletak jawatan. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, parti itu akan terus memantau dan berbincang mengenai perkara itu jika ada keperluan untuk berbuat demikian. "Kami akan terus dapatkan maklumat selain mengadakan perbincangan untuk mencapai kata sepakat sebelum isu itu diputuskan," katanya. Mohamad turut mengingatkan ahli parti supaya jangan mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat peribadi. "Kenyataan biarlah datang daripada keputusan parti, perhubungan negeri atau Pas kawasan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan perkembangan politik Selangor di Pejabat Agung Pas Jalan Raja Laut, semalam. Menjawab pertanyaan, beliau mengakui perbincangan melibatkan beberapa pemimpin Pas Pusat dan Pas Selangor yang turut dihadiri Ahli Parlimen di Selangor, Adun-Adun Selangor dan Yang Dipertua Pas kawasan itu, antara lain turut bincang isu kedudukan Menteri Besar Selangor. Ini berikutan desakan yang agak kuat daripada kalangan pemimpin PKR, juga Pas di negeri itu yang mahu Abdul Khalid berundur. Ini dikatakan berpunca daripada sikap Abdul Khalid yang didakwa sering mengetepikan pandangan parti dalam membuat keputusan berkaitan isu-isu di Selangor termasuk isu penstrukturan semula industri air, isu rampasan Bible dan isu Lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex) yang menerima bantahan ramai. Sementara itu, berhubung dakwaan terdapat usaha dalam Pas untuk menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad menafikannya. "Itu rekaan media dan presiden kami masih Abdul Hadi," katanya. | ||
Geng toreh dan seluk berkeliaran di Puchong Posted: 06 Jul 2014 09:58 PM PDT Razimi (tengah) ketika bertanya sesuatu kepada pengunjung pasar pagi Puchong Jaya, pagi tadi. - Foto Sinar Harian oleh NUR FARHANA ABDUL MANAN PUCHONG – Geng toreh dan seluk yang bergiat aktif melakukan jenayah menyeluk saku menjadikan beberapa pasar pagi sekitar kawasan ini dan Serdang sebagai sasarannya. Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad, sindiket terbabit dipercayai dianggotai beberapa wanita warga Vietnam yang mensasarkan wanita sebagai mangsanya. Menurutnya, suspek akan menoreh beg dibawa mangsa menggunakan pisau sebelum melarikan dompet serta telefon bimbit tanpa disedari sesiapa. Perbuatan suspek katanya sungguh licik dan profesional menyebabkan mangsa hanya menyedari wang tunai dan barang berharga hilang ketika hendak membuat bayaran kepada peniaga di pasar. "Bila nak bayar barulah mangsa menyedari dompet mereka sudah hilang dan terdapat lubang kesan torehan di beg dibawa," katanya ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Pasar Pagi Puchong Jaya bersama Adun Kinrara, Ng Sze Han. Sindiket terbabit katanya dipercayai bergerak antara lima hingga enam orang di pasar pagi yang sesak serta mempunyai ramai pengunjung bagi memudahkan kegiatan jenayah dilakukan. Sebanyak tiga laporan diterima pihaknya bersabit kes itu bagi bulan Jun sahaja. Satu pasukan khas akan dibentuk bagi membanteras kegiatan yang menimbulkan kebimbangan kepada pengunjung pasar itu. "Saya nasihatkan pengunjung terutama wanita supaya sandang beg mereka di bahagian depan dan lebih berhati-hati ketika berada di pasar. Sesiapa yang ada maklumat mengenai suspek diminta menyalurkannya kepada polis,"katanya. Sementara itu Sinar Harian difahamkan, suspek mempunyai iras wajah seperti warga tempatan menyebabkan kehadiran mereka langsung tidak menimbulkan sebarang curiga kepada pengunjung. Seorang daripada mereka akan mendekati mangsanya di tempat sesak dan terus memotong beg menggunakan pisau sebelum seorang lagi rakan akan menyeluk beg dibawa mangsa untuk mengambil dompet dan barang berharga termasuk telefon bimbit. Difahamkan, ada mangsa pernah kehilangan wang tunai sebanyak RM3,000 apabila dompetnya dilarikan menggunakan kaedah sama. Sindiket terbabit dikatakan akan 'berpindah' ke pasar pagi berlainan bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa dan pengunjung. | ||
Solat dua imam serentak di masjid Posted: 06 Jul 2014 09:54 PM PDT Wujud dua kumpulan (duduk dan berdiri) sebelum menunaikan solat. RANTAU PANJANG – Ramadan yang mulia dicemari dengan insiden di mana berlaku solat membabitkan dua imam serentak di Masjid Pondok Banggol Stol, Meranti semalam. Kejadian sejak 3 Julai lalu, menyebabkan jemaah terbahagi kepada dua kumpulan dan ia berlaku ketika solat fardu dan tarawih. Kebiasaannya kes seumpama ini dikaitkan dengan fahaman politik tetapi lain pula yang berlaku di kampung ini, kerana kedua-dua pihak mendakwa ia berpunca daripada berbezaan fahaman agama Islam. Perselisihan ini membawa kepada percanggahan pendapat seterusnya perebutan saf hadapan di dalam masjid ketika menunaikan solat. Tinjauan mendapati, perpecahan itu bukan sahaja melibatkan jemaah lelaki, malah golongan wanita yang turut terbahagi kepada dua kumpulan dan dibezakan dengan pengadang. Bagi kumpulan pertama ia diketuai oleh seorang imam dan hampir 30 jemaah menunaikan solat di saf hadapan manakala kumpulan kedua, imam lain menunaikan solat bersama hampir 50 hingga 100 jemaah lain di belakang saf pertama. Pengakuan kumpulan satu Pemilik tapak masjid berkenaan, Ustaz Yahya Zakaria berkata, selepas melanjutkan pelajaran di Mesir, dia pulang ke kampung ini dengan harapan dapat menyambung perjuangan bapa (Tok Guru Zakaria) sebelum ini. Menurutnya, ketika itu tiada masalah berlaku sehinggalah pada tahun 2010 apabila penduduk tidak berpuas hati dia menjemput para ulama dari dalam dan luar negara ke kampung ini. "Mungkin mereka tidak berpuas hati kerana kami tidak mengajak mereka bersama menganjurkan majlis meriah seumpama itu. "Bagi saya, saya amat berbangga apabila ramai para ulama seluruh dunia berkumpul di kampung ini namun tidak pada penduduk, apabila terus menerus melempar fitnah kepada saya," katanya. Beliau yang juga guru di sekolah dekat sini berkata, tiada sebarang perbezaan dilakukan dalam berdakwah mengikut Tarekat Tarjani. Menurutnya, selawat dan solatmengikut ajaran Islam yang sebenar tiada sebarang tokok tambah. Namun katanya, penduduk tidak yakin sehingga sanggup membuat saf baharu meskipun saya bersiap mahu menunaikan solat di masjid ini. "Saya paling kecewa pada 2012 lalu, apabila mereka melarang saya menunaikan solat di dalam masjid yang dibina arwah bapa saya biarpun tanah ini sudah pun diwarisi kepada kami tiga beradik," katanya. Menurutnya, tindakan penduduk kampung diibaratkan menidakkan hak mereka seterusnya sengaja menimbulkan huru-hara. Disebabkan katanya, dia memfailkan saman di Mahkamah Tinggi agar tidak membenarkan penduduk menjejakkan kaki ke dalam masjid ini pada 12 Disember tahun lalu. Kumpulan kedua beri penjelasan Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Nor Razali berkata, kejadian ini bermula pada 2010 lalu namun mula memuncak pada 2011 sehingga 2012 lalu. Ketika itu katanya, penduduk dipelawa mengikut ajaran tarekat berkenaan namun kebanyakannya tidak yakin seterusnya tidak mengikut saranan yang dibawa oleh Ustaz Yahya Zakaria. Beberapa lama selepas itu, Mohd Nor mendakwa Ustaz Yahya membuat perintah mahkamah agar tidak membenarkan 13 penduduk menunaikan solat di masjid ini bermula akhir tahun lalu. Memandangkan masjid ini dibina di atas tanah hak milik tiga anak Allahyarham Tok Guru Zakaria, maka penduduk dilarang menjejakkan kaki di pekarangan masjid kerana didakwa boleh mencetuskan perselisihan. Namun pada 1 Julai lalu, mahkamah membenarkan penduduk menunaikan solat terawih sepanjang Ramadan tahun ini. Menurutnya, jemaah dari kumpulan Ustaz Yahya juga tidak menghalang penduduk memasuki masjid namun keengganan berganjak dari saf depan menyebabkan kejadian solat dua imam serentak. Katanya, penduduk sukar tunaikan solat Maghrib selepas majlis berbuka puasa kerana kumpulan pertama enggan berganjak dari saf hadapan. Maka katanya, jemaah terpaksa membuat saf baharu, satu saf di belakang kumpulan pertama untuk solat Maghrib, Isyak dan solat tarawih. "Mereka hanya duduk di hadapan saf tanpa tunai solat terlebih dahulu dan mendakwa sedang berselawat. "Disebabkan waktu Isyak semakin menghampiri, maka kami terpaksa menunaikan solat di belakang saf mereka, tanpa menunggu mereka selesai berselawat," katanya. Keadaan ini katanya, turut berpanjangan sehingga ke solat tarawih membabitkan jemaah yang sama, mengikut dua imam berlainan. Sementara itu, penduduk, Ismail Awang, 75, berkata, di masjid seramai 500 jemaah dapat menunaikan solat dalam satu-satu masa. Namun katanya, insiden ini menyebabkan ramai tidak dapat menunaikan solat sekali gus menyukarkan penduduk untuk beribadah di bulan Ramadan. Sementara itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan menyiasat punca berlakunya insiden solat dua imam serentak di masjid berkenaan. Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Ir Yusoff Ismail berkata, sebelum ini pihaknya tidak terima selaporan berhubung kejadian ini. Namun katanya, Maik akan hantar pegawai untuk mengetahui masalah yang berlaku membabitkan dua pihak terbabit seterusnya mencari jalan penyelesaian kes berkenaan. "Insiden ini tidak sepatutnya berlaku terutama ketika bulan Ramadan malah berlaku di dalam rumah ALLAH,"katanya | ||
Militan: Mashitah usah merepek Posted: 06 Jul 2014 09:48 PM PDT PENGERUSI Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) Dato' Dr Mashitah Ibrahim mendesak kerajaan menggubal undang-undang bagi memantau kewujudan sekolah pondok yang semakin banyak ditubuhkan tetapi terbabit menyebarkan fahaman ekstremis. Mashitah berkata, ada pihak yang mendekati pondok untuk mengajak warganya menganggotai pasukan jihad yang boleh membawa kepada perjuangan militan. Katanya lagi, Islam tidak pernah mengajar fahaman ekstremis atau keganasan. Entah apa merepeknya orang yang diamanahkan Dato' Seri Najib Razak untuk menjaga pondok ini tiba-tiba mengaitkan pondok dengan keganasan. Realiti yang berlaku di negara ini, begitu ramai ektremis datangnya dari sebuah parti politik asobiyah kaumiyah dan beberapa buah NGO yang jadi rakan sekutu mereka. Itu tidak dipedulikan. Pondok pula yang jadi sasaran fitnah jahat di bulan Ramadan ini. Kumpulan rasis Melayu itu bertindak ganas dalam setiap isu yang melibatkan kononnya penentangan terhadap hak Melayu, Islam dan raja. Mereka paling banyak mengadakan 'himpunan haram' termasuk melakukan provokasi melampau berteraskan semangat rasis seperti mengusung kepala lembu berdarah dan sepanduk yang mengandungi kata nista. Baru-baru kumpulan pelampau tersebut telah menyerang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang. Mujur tidak ada yang terkorban di sebalik keganasan tersebut. Dalam isu tertentu, ada pemimpin kumpulan pelampau itu yang mengugut untuk memancung kepala pihak yang tidak mereka senangi. Tetapi oleh kerana kewujudan kumpulan pelampau ini adalah dari tarbiyah dan (mungkin) arahan parti asobiyah kaumiyah yang sedang menerajui negara maka tindakan ekstremis mereka semuanya 'ditanggung halal' belaka. Usaha pihak tertentu mengaitkan pondok, bahkan PAS dengan kumpulan ekstremis adalah apabila tersebar khabar seorang ahli PAS melepaskan jawatan dalam parti, meninggalkan negara dan pergi mengangkat senjata untuk berperang dengan regim Basyar Assad. Dia pergi bukan atas arahan mahupun pengetahuan pemimpin PAS. Tindakannya secara bersendirian dan ijtihadnya untuk memilih kaedah berperang di negara orang itu pun keputusannya sendiri. Ramai sangatkah warga pondok yang pergi berjihad di Syria? Pihak berkuasa Malaysia tentu ada maklumat. Tetapi kalau hendak dikata habis lengang pondok di Malaysia kerana warganya pergi berperang, tidak masuk akal. Berdasarkan maklumat yang diterima di alam maya, yang pergi berperang di Syria cuma seorang dari Malaysia, yang merupakan bekas anggota PAS. Jika cuma seorang, apalah yang hendah dikepohkan sangat oleh Pengerusi Publisiti MCA, Dato' Chai Kim Sen yang meminta pihak polis agar membuat pemeriksaan ke atas semua ahli PAS berhubung isu jihad di Syria. Nampak sangat Pengerusi Publisiti MCA itu hanya mencari publisiti untuk dirinya. Isu jihad tiada kena mengena dengan MCA. Sukar juga untuk diterangkan konsep jihad kepada pemimpinnya yang aqidah pun tidak betul. Dalam konteks di Malaysia, PAS memilih berjihad secara 'muwajahah silmiyyah' iaitu perjuangan mendapatkan kuasa melalui cara yang aman. Tegasnya adalah melalui sistem demokrasi. Jika ada yang enggan memilih kaedah yang diguna pakai oleh PAS, tiada masalah. Mereka boleh berada di luar PAS. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan bahawa PAS tidak teragak-agak mengambil tindakan serta memecat mana-mana ahlinya yang terlibat di dalam apa jua bentuk aktiviti yang bertentangan dengan prinsip perjuangan yang didokongi PAS selama ini. Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang juga berkali-kali menegaskan bahawa pendekatan politik yang diambil PAS di negara ini adalah secara aman dengan terus terlibat dalam proses pilihan raya dan demokrasi walaupun ianya tempang dan tidak adil. Berhubung isu di Syria, Presiden PAS juga pernah menghuraikan dengan mendalam situasi yang begitu kompleks di sana. Beliau mengambil sikap berhati-hati dan menjauhi dari memihak kepada mana-mana kumpulan, lantaran tidak mahu menjayakan agenda musuh Islam khususnya Barat untuk memecahbelahkan umat Islam sejagat. Sikap tersebut boleh difahami dengan jelas dalam tulisan mahupun ucapannya. Keputusan seorang anggota PAS melepaskan kedudukannya dalam PAS sebelum pergi berjihad di Syria adalah tindakan yang tepat kerana dia tiada mengena lagi dengan apa-apa tanggung jawab dalam PAS. Justeru, penglibatannya tidak perlu dikaitkan dengan PAS untuk tujuan mengaburi mata masyarakat umum bahawa PAS menyokong militan. Elok kerajaan BN mencari isu lain untuk memburukkan pondok atau PAS. | ||
Konvoi Berkebajikan santuni fakir miskin Posted: 06 Jul 2014 09:46 PM PDT KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Batu mengambil inisiatif menyantuni golongan fakir dan miskin dengan mengadakan Program Konvoi Berkebajikan sempena bulan Ramadan yang mulia ini. Dengan tema 'Pemuda Bersamamu', konvoi 15 buah motosikal serta tiga buah pacuan empat roda ini Sabtu lalu telah menyelusuri laluan di dalam kawasan parlimen Batu mencari golongan yang kurang berkemampuan bagi menghulurkan sumbangan. Sepanjang konvoi ini, seramai 15 orang warga Parlimen Batu yang fakir dan miskin, serta orang kelainan upaya (OKU) dari Kampung Padang Balang dan Kampung Batu Muda menerima sumbangan berupa barang-barang keperluan dapur dan wang tunai. Pasukan konvoi juga turut menziarahi mangsa yang rumah mereka di robohkan di Kampung Chubadak Tambahan. Konvoi ini diketuai Nurul Islam Mohamed Yusoff selaku ketua Dewan Pemuda PAS Batu. "Walaupun sumbangan yang kami sampaikan tidaklah seberapa, namun keberkatan menyumbang di bulan Ramadan ini mudah-mudahan dapat meringankan beban mereka untuk meneruskan hidup," katnya. Mengulas isu perobohan perumahan penduduk di Kampung Chubadak Tambahan, beliau berkata Pemuda PAS akan bersama penduduk dan akan membela mereka melalui apa juga saluran termasuk perundangan. Konvoi ini berakhir dengan program "Down to Earth" bersama Ahli Parlimen Batu Tian Chua di Bazar Ramadan Taman Dato' Senu. | ||
PAS bantah pusat judi lumba kuda Hulu S'gor Posted: 06 Jul 2014 09:42 PM PDT Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya telahpun menerima maklumbalas dari ahli-ahli dan masyarakat Islam yang menentang pembinaan itu. "Wakil-wakil PAS di dalam kerajaan pula sentiasa konsisten dengan pendirian tidak bersetuju dengan projek yang boleh memudaratkan itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily Beliau turut mengakui isu permohonan pembinaan pusat judi ini boleh memecahkan Pakatan Rakyat di Selangor jika diluluskan, "Walau bagaimanapun saya yakin isu ini akan dapat diselesaikan dengan kerajaan negeri mengambil kira pandangan rakyat," tegasnya. Beliau juga menggesa agar masyarakat Islam supaya bersabar kerana kerajaan negeri sentiasa prihatin kepada hasrat rakyat. Difahamkan pusat lumba kuda tersebut akan dibina di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor. Sebelum ini, PAS Hulu Selangor turut mengadakan bantahan dan menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Tukiman Nail berhubung pembinaan pusat judi lumba kuda berkenaan. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan