Khamis, 31 Julai 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PR boleh hilang Selangor

Posted: 31 Jul 2014 01:38 AM PDT


Dr Jeniri Amir  
Dr Jeniri Amir


SHAH ALAM –  Kemelut terkini dihadapi PR dalam isu kerusi Menteri Besar Selangor perlu diselesaikan segera, kata Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir.

Katanya, jika dibiarkan berlarutan terlalu lama, PR bakal berdepan risiko kehilangan Selangor seperti mana krisis yang melanda negeri ditadbir mereka, Kedah, satu masa lalu.

Beliau berkata, PR sepatutnya menjadikan isu itu pengajaran dan tidak mengulangi kesilapan sama, sehingga menggambarkan pimpinan tertinggi parti tiada kesepakatan dan tidak mampu menangani krisis dalaman mereka.

"Ini beri gambaran yang amat buruk kepada rakyat, bukan sahaja di Selangor, malah seluruh negara terhadap keupayaan PR yang dikatakan menjadi pengganti BN di masa hadapan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, lebih membimbangkan jika lewat ditangani secara bijaksana dalam waktu terdekat akan menimbulkan keretakan yang amat besar dan mungkin kesudahannya berlaku perpecahan komponen PR.

"Saya fikir mereka tidak harus membiarkan isu ini terlalu lama. Mereka perlu belajar dengan  kegagalan urus tadbir di Kedah yang akhirnya terlepas kerana rakyat kecewa.

"Jangan hairan hal ini juga berlaku di Selangor dan pentadbiran negeri bakal kembali semula akan kepada BN," katanya.

Bagaimanapun, katanya itu terpulang kepada kepimpinan parti menyelesaikan segera konflik tersebut.

Astaghfirullah, Tergamak Dia Membuang Bayi Ke Lubang Tandas....

Posted: 31 Jul 2014 01:25 AM PDT

KELAB GREENBOC

Mayat bayi dalam lubang tandas


KUALA KANGSAR - Sadis dan kejam, seorang bayi perempuan dibuang ke dalam lubang tandas Pasar Awam Kuala Kangsar sejurus selepas dilahirkan.

Gambar: Mayat seorang bayi perempuan tersangkut dalam lubang tandas Pasar Awam Kuala Kangsar. Mayat seorang bayi perempuan tersangkut dalam lubang tandas Pasar Awam Kuala Kangsar.

Lebih menyedihkan, mayat bayi malang tersebut dijumpai orang awam sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, ketika masuk ke dalam tandas terbabit, dia ternampak banyak darah di atas lantai.

"Pada mulanya saya nampak ada darah banyak di depan tandas. Saya ingatkan itu darah haid, tak sangka pula itu darah orang yang membuang bayi," katanya ketika ditemui di sini.

Wanita itu berkata, ketika berada dalam tandas, dia melihat satu tandas berkunci sebelum terdengar bunyi sesuatu terjatuh.

"Saya terdengar bunyi seperti ada benda jatuh dalam tandas itu disusuli orang menjirus air dengan banyak dan ada darah banyak juga," katanya.

Dia yang berkunjung ke pasar tersebut untuk membeli kelengkapan menyambut lebaran berkata, beberapa minit selepas keluar dari tandas terbabit, dia nampak orang ramai mengerumuni kemudahan awam tersebut.

Katanya, dia yang kembali meninjau keadaan di tandas itu dimaklumkan mengenai penemuan mayat bayi dalam lubang tandas di situ.

"Saya pasti kejadian yang saya lihat tadi adalah waktu ketika wanita itu sedang cuba untuk membuang bayi.

"Jika saya tahu pada waktu itu ada orang buang bayi, saya akan ketuk pintu kuat-kuat dan paksa wanita itu keluar dari tandas itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, bayi perempuan cukup sifat yang baru lahir itu dijumpai dalam tandas terbabit pada kira-kira jam 10 pagi pada 28 Julai lalu.

"Berat bayi itu mungkin dalam lingkungan tiga kilogram dan ketika dijumpai, tali pusat masih melekat pada badannya.

"Kes ini masih dalam siasatan dan kita sedang cuba untuk mengesan orang yang membuang bayi itu.

"Maklumat kes telah dimaklumkan kepada pihak hospital dan ketua kampung untuk menjejaki individu terbabit," katanya. ~SH

Perlukah Pas kekal dalam Pakatan Rakyat?

Posted: 31 Jul 2014 01:22 AM PDT


Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
 

MENJAWAB pertanyaan di atas, penyokong Pas akan terbelah tiga — ada yang mahu kekal dalam PR, ada yang mahu Pas menyertai BN, dan ada mahu Pas keluar dan berdiri dengan kekuatan sendiri.

Bagi yang menyokong untuk keluar, mereka menyatakan Pas yang banyak membantu PR untuk menang besar dalam pilihan raya. Pas yang banyak bertolak ansur dengan onar yang dibuat oleh PKR dan DAP. Pas yang mempunyai sokongan akar umbi yang kuat. Pas yang telah teruji banyak dalam politik tanah air.

Tidak cukup dengan itu, mereka menyatakan Pas adalah parti ideologi yang jelas dan tegas untuk menegakkan negara Islam. Oleh itu, perjuangan Pas tidak sama dengan perjuangan PKR dan DAP.

Dan dengan alasan itu, mereka yakin sekiranya bertanding sendirian pun Pas tetap boleh memenangi kerusi yang banyak dalam pilihan raya.

Tepatkah alasan Pas tersebut?

Saya bersetuju parti Pas mempunyai sokongan bawahan yang kuat dan mempunyai pendirian politik tentang Islam yang tegas. Tetapi saya tidak bersetuju untuk menyatakan Pas sebagai parti yang kuat jika bertanding sendirian.

Sejarah pilihan raya telah menunjukkan jika Pas bertanding sendirian, maka kerusi yang dimenanginya sikit sahaja. Adalah amat sukar untuk Pas menyaingi kekuatan Umno sebagai parti orang Melayu dan Islam.

Pas hanya kuat pada tahun 1974 apabila menyertai BN, kuat pada tahun 1990 apabila bersama dalam pakatan APU, dan kuat pada tahun 1999 hingga 2014 apabila bergabung dengan parti lain dalam BA dulunya dan PR sekarang.

Saya cukup yakin sekiranya Pas bertanding sendirian, maka kerusi yang dimenangi oleh Pas adalah sedikit sahaja, malah belum tentu boleh membentuk kerajaan negeri di Kelantan.

Jika meragui kenyataan saya ini, Pas boleh mencubanya dengan mengambil tindakan keluar dari PR. Kita tengok pencapaian Pas dalam pilihan raya yang akan datang.

Perlukah Pas menyertai BN?

Jika Pas sudah tidak boleh bekerjasama lagi dengan PR, maka baiklah Pas keluar dari PR. Selagi Pas dalam PR, maka akan selalu ada pandangan bahawa Pas adalah parti yang kuat dan boleh bertahan sendirian, sedangkan realitinya adalah sebaliknya.

Jika Pas keluar dari PR, apakah Pas perlu menyertai BN? Saya fikir bagus untuk keluar dari PR dan menyertai BN. Ada tiga keperluan. Pertama, untuk mengukuhkan kedudukan politik orang Melayu dan Islam. Kedua, untuk membolehkan BN mendapat sokongan dua pertiga majoriti dan seterusnya meluluskan persempadan baru kawasan pilihan raya.

Ketiga, saya mahu tahu kekuatan Pas selepas meninggalkan PR. Apakah Pas akan kekal kuat? Apakah Pas kekal disokong oleh anak muda? Apakah Pas boleh kekal baik dalam BN? Apakah peristiwa Pas dipecat dari BN pada tahun 1978 tidak berulang lagi? Dan paling penting, saya mahu tahu apakah Pas ini parti yang boleh bertahan kerjasamanya dengan parti lain?

Jika merujuk kepada sejarahnya, Pas gagal berrtahan dalam BN, gagal bertahan dalam APU, gagal bertahan dalam BA, dan sekarang saya mahu tengok pula bagaimana kesudahan kerjasamanya dalam PR?

Apa yang perlu Pas lakukan?

Pada saya, yang menghadapi krisis sekarang bukan PR. Yang menghadapi krisis ialah Pas. Bagi mengatasi kemelut ini, sudah sampai masanya pemimpin Pas memanggil perhimpunan agung tergempar.

Biarkan pemimpin akar umbi mengundi membuat keputusan sama ada untuk keluar dari PR, menyertai BN atau keluar PR untuk berdiri dengan kekuatan sendiri. Keputusan majoriti itulah yang perlu diterima sebagai penentu hala tuju masa depan Pas.

Saya fikir sudah sampai masanya pemimpin Pas berfikir dan mengambil keputusan tegas tentang hal ini. Jika sekejap ada pemimpin kata tidak boleh sepakat dengan PR dan sekejap pula ada yang kata boleh sepakat, itu politik yang tidak ada jiwa, tidak ada semangat setia kawan, tidak menentu pendirian politiknya dan tidak ada hala tuju yang jelas.

Yakinlah, jika Pas sudah membuat keputusan tegas, sekurang-kurangnya kemelut politik hari ini boleh reda seketika.

Rakyat minta kerajaan jangan sisih golongan gelandangan [TONTON VIDEO]

Posted: 31 Jul 2014 01:10 AM PDT

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic



SHAH ALAM: Rakyat Malaysia memang tidak boleh dipisahkan dengan sifat prihatin dan peri kemanusiaan yang tinggi.
Lihat saja di mana ada peminta sedekah, apatah lagi yang mengendong anak kecil sambil menadah tangan, pasti hati kecil cepat merasa simpati lantas terus menghulur wang buat meringankan beban golongan itu.
 
Justeru, langkah kerajaan yang mahu mengetatkan undang-undang berkaitan gelandangan dan pemberi sedekah, mengundang rasa kurang senang segelintir masyarakat di negara ini.
 
Pada pendapat mereka, kerajaan secara tidak langsung menghalang golongan penderma untuk melakukan kebaikan, selain menganggap undang-undang baru itu sebagai 'kejam' dan tidak sesuai.
 
Seorang peniaga, Mariam Kortubi langsung tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Katanya, golongan peminta sedekah atau gelandangan ini sangat memerlukan sokongan moral daripada masyarakat sekeliling.       
 
"Kita tak tahu latar belakang mereka macam mana, kisah mereka macam mana. Memang tak setuju kalau pemberi sedekah disaman," katanya.
 
Shahmi Sazali, seorang pekerja swasta pula mencadangkan golongan gelandangan ini diletakkan di satu pusat jagaan khas yang dilengkapi dengan kursus kemahiran tertentu.
Ini katanya secara tidak langsung golongan gelandangan mampu melakukan sesuatu yang berfaedah.    
 
"Sepatutnya kalau mereka benar-benar susah, kita kena tolong. Kalau mereka ada kemampuan atau kemahiran, ambil mereka dan letak di satu tempat di mana kemahiran mereka boleh diguna untuk menghasilkan sesuatu yang bagus," ujarnya.
 
Manakala seorang suri rumah, Azihan Sufian Arifin pula amat bersetuju dengan langkah kerajaan membina satu penempatan khas bagi golongan ini.
 
Selain memulihkan imej kota raya, ia memudahkan mana-mana pemberi sedekah atau pemberi makanan untuk datang dan menghulurkan bantuan di satu tempat saja.   
 
"Bagi saya, sediakan satu tempat yang betul-betul menjadi pusat untuk memberi makan kepada mereka. Jadi mana-mana yang nak menolong atau memberi derma boleh ke pusat itu sahaja," ujar wanita berusia 33 tahun ini. 
 
Namun tidak kurang juga, ada yang melihat langkah kerajaan yang mahu mengetatkan undang-undang dan mendenda pemberi sedekah atau makanan, sebagai tindakan yang wajar bagi mengelakkan lebih ramai peminta sedekah berkeliaran di kota raya.  
 
"kalau kita asyik memberi kepada mereka, mereka ada yang mengambil kesempatan untuk malas bekerja. Saya tengok ada antara mereka yang sihat pun ambil makanan sedangkan tenaga kuat lagi. Saya galakkan usaha kerajaan itu," ujarnya. 
 
Selain Hasnah, seorang peniaga yang dikenali sebagai Fariz Bashar juga melahirkan pendapat yang sama. Malah katanya, ada di antara golongan gelandangan atau peminta sedekah hanya berpura-pura bagi mendapatkan simpati.
 
Saran Fariz, masyarakat perlu tahu membezakan peminta sedekah yang benar-benar memerlukan dengan yang palsu sebelum menghulurkan wang sedekah. 
 
"Kebanyakan mereka yang minta sedekah ini tipu. Sebab kami ini peniaga kami sedar tapi kami buat tak tahu saja. Kita kena memilih, kena tahu mana yang memerlukan dan mana yang tidak memerlukan.
 
"Malaysia saja yang bermurah hati. Kita paling kurang akan beri RM1... jumlah itu besar sebenarnya," ujar Fariz.
 
Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan langkah itu diambil bagi membersihkan kawasan bandaraya daripada peminta sedekah terutamanya di pusat beli-belah Lot 10 dan Pavilion.
 
Kata Tengku Adnan, kementeriannya juga akan memperketat undang-undang bagi mengatasi masalah ini, seterusnya merangka prosedur operasi standard (SOP) bagi tujuan itu.
 
Dalam pada itu, kementerian berkenaan turut membenarkan pemberi makanan meneruskan pemberian makanan di kawasan ibukota selepas Aidilfitri, iaitu sehingga tarikh penguatkuasaan baru pada 16 Ogos 2014 dan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk memperincikan proses pengedaran makanan.
 

SPAN bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kualiti air

Posted: 31 Jul 2014 01:02 AM PDT

Oleh Nur Shakira Buang

 
Post Pic



PETALING JAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kualiti air yang dibekalkan kepada pengguna di seluruh negara.
 
Malah, menurut Pengarah Komunikasi, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman SPAN akan segera menghentikan penyaluran bekalan air kepada penguna jika mendapati ianya tidak selamat. 
 
"Proses bekalan air sekarang ini apabila sampai di peringkat rawatan kepada pembahagian adalah dibawah bidang kuasa SPAN maksudnya di situ bidang kerajaan negeri adalah di peringkat air mentah maksudnya bila dia sampai ke kitaran seterusnya adalah di bawah SPAN.
 
"Jadi, SPAN lah yang sebenarnya memastikan bekalan air yang akan sampai kapad pengguna itu adalah selamat dan sekiranya SPAN mendapati air yang dibekalkan itu tidak selamat untuk pengguna maka mereka perlu menghentikan penggunaan air tersebut," katanya dalam temubual bersama Antarapos.
 
Oleh itu, Yusof berkata penglibatan SPAN amat penting dalam hal ini sekali gus meminta badan tersebut meneliti perkara tersebut dari segi kajian kerana perkhidmatan mereka selepas itu demi kepentingan pengguna.  
 
"Sebab itu pengilabatan SPAN ini amat penting kerana katakanlah mendapati bahawa air lombong itu tidak selamat dan mereka juga perlu terlibat dari segi kajian kerana perkhidmatan mereka adalah selepas itu. Kalaulah air mentah itu dah tak selamat maka sudah pasti air yang akan sampai kepada pengguna itu pun tak selamat," tegasnya.
 
"Jadi, sebab itu kita minta supaya SPAN dapat melihat dan meneliti perkara ini demi untuk kepentingan pengguna," katanya.
 
Katanya, ini kerana SPAN merupakan satu agensi yang diamanahkan untuk memastikan bekalan air yang sampai kepada pengguna adalah secara berterusan dan selamat.  
 
"Memang timbul kerisauan daripada pengguna bahawa kita bimbang air lombong yang digunakan mungkin mengandungi bahan berbahaya yang bila sampai kepada pengguna ia akan menimbulkan kesan-kesan sampingan.
 
"Jadi, peranan ini yang bagi saya yang perlu dimainkan oleh SPAN agar perkara-perkara ini tak berlaku," tambahnya. 
 
Kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini dikritik banyak pihak kerana dikatakan sedang dalam perbincangan untuk menggunakan air lombong bagi menampung permintaan air bersih di negeri itu.
 
Bagaimanapun, tiada keputusan muktamad bersabit isu itu, sehingga kini.

ADUN PAS gesa pemimpin pastikan parti tidak keluar daripada Pakatan

Posted: 31 Jul 2014 01:01 AM PDT

 Oleh Nur Shakira Buang

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Seorang pemimpin PAS Selangor hari ini melahirkan harapan kepimpinan parti itu akan menggunakan kebijaksaan  bagi memastikan PAS  kekal dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP di samping mengatasi kemelut Menteri Besar Selangor. 
 
ADUN Hulu Kelang Saari Sungib berkata setahu beliau, semua pimpinan PAS sebulat suara untuk kekal dalam Pakatan Rakyat namun mengakui perbezaan pandangan pimpinan PKR dan PAS harus diatasi. 
 
"Pimpinan mengatakan kita akan terus bersama PR namun perbezaan pandangan itu patut diselesaikan pada tahap semua peringkat ikut kebijaksanaan semua peringkat dan berharap kebijaksanaan itu terus dikekalkan," katanya kepada Antarapos
 
"Tidak ada mana-mana pemimpin PAS mana-mana peringkat mengatakan PAS akan bersendirian, tak ada. Semua mengatakan kita akan bersama Pakatan Rakyat," tegasnya.
 
Saari akur kepada hakikat parti itu tidak boleh menggenggam kuasa politik seperti sekarang jika ia keluar daripada Pakatan Rakyat. 
 
ADUN Hulu Kelang itu berkata sejarah membuktikan PAS memperolehi kejayaan terbesar apabila  bergading dengan parti pembangkang lain menerusi Barisan Alternatif dan kemudiannya Pakatan Rakyat. 
 
Beliau mengulas ramalan DAP Selangor bahawa PAS berkemungkinan kalah teruk di Selangor jika parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat dan menghadapi pilihan raya negeri mengejut jika bertegas mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai Menteri Besar. 
 
"Kalau PAS tanding sendiri pun memang payah nak menang.  Kita sedar itu sebab itu kita dari awal-awal bersama-sama Barisan Alternatif. Kemudian bila DAP keluar pun kita kekalkan Barisan Alternatif ini pada pilihan raya 2008 dan bila menang rakyat nak PR bergabung," kata beliau.
 
" Pada pilihan raya  2013 PAS memang banyak kerusi apabila bersama-sama PR," kata Saari kepada Antarapos.
 
Beliau meredakan kebimbangan DAP bahawa parti itu cenderung untuk menarik keluar daripada Pakatan kerana mahu Khalid terus memimpin Selangor walaupun beliau ditolak oleh partinya sendiri, PKR dan DAP.
 
"Sehingga kini komitmen kami (dan) saya sebagai ADUN dan ADUN PAS akan terus mengukuhkan PR dan tak berhasrat untuk bertanding sendiri-sendiri," katanya.
 
Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua hari ini memberi amaran Barisan Nasional berkemungkinan merampas kembali Selangor daripada Pakatan Rakyat jika pilihan raya negeri mengejut diadakan. 
 
Beliau memberi amaran perpecahan Pakatan Rakyat boleh menyebabkan PAS kalah di kebanyakkan daripada 15 kerusi DUN yang disandang sekarang. 
 
Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang, Majlis Ulama dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat bertegas mahu Khalid terus menjadi Menteri Besar dan menolak cadangan PKR yang mahu menggantikannya dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
Kemelut itu berpaksi kepada keengganan PAS menyokong  hak PKR menentukan calon Menteri Besar walaupun parti itu (PKR) menerajui kerajaan negeri Selangor sejak 2008.  
 
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad ketika dihubungi Antarapos enggan mengulas ramalan Pua itu kerana diarahkan oleh parti untuk kunci mulut. 
 
"Tak boleh komenlah sebab semalam dah dapat arahan, kalau buat kenyataan akan dikenakan tindakan. Kita tak boleh komen sebab setiausaha agung kata tak boleh komen," katanya ketika dihubungi Antarapos.       
 
Sementara itu, Saari ketika diminta mengulas berhubung tindakan yang bakal dikenakan terhadap Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan, Dr Mohd Zuhdi Marzuki di atas kesan tulisan beliau dalam WhatsApp AJK PAS Pusat beliau berkata PAS Pusat wajar memberi penjelasan berhubung perkara tersebut.
 
"Atas kebijaksanaan PAS Pusat kita berharap Pusat memberi penjelasan yang sejelas-jelasnya tentang isu tersebut," tambahnya.  
 
Zuhdi dilaporkan membayangkan scenario PAS keluar daripada Pakatan Rakyat dan bersekongkol dengan Umno dan Khalid untuk terus menerajui Selangor. 
 
Beliau dilaporkan berkata  scenario sedemikian akan turut memantapkan kuasa politik Melayu di negeri berkenaan

MH17: Zahid, KPN Berlepas Ke Kiev

Posted: 31 Jul 2014 12:55 AM PDT




MSTAR ONLINE




Ahmad Zahid bersama Khalid sebelum berlepas untuk misi siasatan nahas pesawat MH17 di Ukraine di Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur pada Rabu malam.
 -fotoBERNAMA



SEPANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar berlepas ke Kiev, Ukraine pada Rabu malam dalam misi siasatan lanjut nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.


Ahmad Zahid berkata beliau bersama KPN akan mengetuai 68 anggota polis dari pelbagai unit untuk bersama pasukan keselamatan antarabangsa bagi melakukan siasatan lanjut.

"Setakat ini tiga negara menganggotai siasatan insiden MH17 iaitu Belanda, Malaysia dan Australia. Saya dijadualkan akan menemui Presiden Ukraine Petro Poroshenko untuk mengemukakan surat rasmi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Surat berkenaan sebagai tanda terima kasih Malaysia atas kerjasama yang diberikan oleh kerajaan Ukraine kepada anggota pasukan siasatan khas MH17 yang berada di negara berkenaan baru-baru ini," katanya pada sidang media di sini.

Pasukan Siasatan Khas MH17 Malaysia itu terdiri daripada pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan pegawai perubatan, katanya.

Ditanya berapa lama pasukan PDRM itu akan berada di Ukraine, Ahmad Zahid berkata tiada tempoh masa ditetapkan kerana proses penyiasatan itu sangat sukar dijalankan berikutan keadaan tidak aman di sana.

Beliau berkata pasukan PDRM akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum menuju ke lokasi MH17 yang terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine.

Sementara itu, Khalid berkata pihaknya akan mengawal lokasi nahas dan mengumpul bahan bukti termasuk barangan peribadi milik mangsa, serpihan bahagian pesawat dan cebisan tulang mangsa.

Menurutnya, semua anggota pasukan diminta menggunakan peralatan keselamatan termasuk baju kalis peluru, topi balistik dan topeng keselamatan ketika berada di lokasi nahas.

Khalid berkata berdasarkan laporan media yang terkini melaporkan bahawa tentera Ukraine sedang bertempur dengan pemberontak bagi menguasai lokasi kejadian nahas MH17.

Justeru, katanya Ahmad Zahid akan mengadakan pertemuan khas dengan pihak berkuasa bagi membincangkan soal keselamatan anggota polis sebelum mereka memasuki lokasi.

Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, terhempas dipercayai ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, pada 17 Julai lepas.

MH17: 70 Keranda Telah Lalui Proses DVI

Posted: 31 Jul 2014 12:46 AM PDT



MSTAR ONLINE




Subramaniam pada sidang media bersama wartawan Malaysia sempena lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Netherlands.



AMSTERDAM: Sejumlah 70 keranda mayat mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas telah diperiksa untuk proses forensik dan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) di fasiliti ketenteraan di Hilversum, di sini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata daripada 227 keranda, yang diterbangkan dari Kharkiv, Ukraine, sehingga semalam 70 keranda telah dibuka.

"Berdasarkan kepada pasukan DVI kami di fasiliti itu, dijangka proses itu boleh diselesaikan dalam tempoh dua atau tiga minggu," katanya kepada pemberita Malaysia di sini.

Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal dipercayai ditembak jatuh tetapi setakat ini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab.

Dr Subramaniam berkata kementerian itu telah mengumpulkan semua cap jari, DNA dan rekod pergigian untuk 43 warganegara Malaysia yang menaiki MH17.

Beliau berkata rekod pergigian itu siap minggu lepas manakala cap jari dikumpulkan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran.

"Semua data rekod telah dimuat naik ke sistem penyiasatan Interpol di Belanda untuk pramortem," katanya.

Dr Subramaniam menjelaskan kementerian itu juga telah mengumpulkan DNA saudara-mara di Malaysia untuk keluarga yang terdiri daripada ibu dan bapa serta anak mereka, yang terkorban dalam tragedi itu.

Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Malaysia, tinggal di Belanda dan Australia.

Beliau berkata semasa lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amsterdam esok, kementerian itu akan menawarkan bantuan kepada Belanda untuk mempercepatkan proses DVI.

Desakan Pemuda PAS di tolak PAS Pusat

Posted: 31 Jul 2014 12:39 AM PDT

Parti tetap menyambut baik desakan Pemuda untuk menangani krisis dalaman parti dengan segera.


suhaizan kayatKUALA LUMPUR : Ketua Pemuda PAS hari ini berkata, PAS Pusat telah menolak desakan Pemuda PAS untuk mengadakan mesyuarat PAS Pusat yang bertujuan untuk menangani krisis dalaman parti serta isu menteri besar Selangor, lebih awal dari yang di jadualkan pada 10 Ogos 2014.

Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata, "PAS Pusat tetap menyambut baik saranan dan desakan Pemuda PAS untuk menangani krisis yang tercetus akibat dari mesej WhatsApp kontroversial Dr.Zuhdi yang terdedah kepada umum tempoh hari."

"Justeru kerana masih ada 10 hari lagi sebelum mesyuarat PAS Pusat, saya menyeru kepada semua pihak (PAS) agar tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang akan merugikan parti," mintanya melalui satu kenyataan di laman Facebooknya.

Semalam Suhaizan mendesak supaya PAS Pusat mengadakan mesyuaratnya lebih awal dari yang di jadualkan supaya kontroversi-kontroversi dan perbedaan pendapat di antara anggota parti PAS yang menimbulkan kegelisahan di media massa dapat di atasi dengan segera supaya keyakinan akar-umbi dan rakyat terhadap parti tidak terjejas.

Ceramah berbaur perkauman Shahul Hameed disiasat

Posted: 31 Jul 2014 12:37 AM PDT

Seramai 30 wakil daripada MIC, PPP dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan Hindu membuat laporan polis.


ustaz_shahul_300PETALING JAYA: Ketua Putera MIC negeri, NG Senthelnathan menggesa supaya polis membuat siasatan terhadap naib juara program realiti Pencetus Ummah, Shahul Hameed Seeni Mohd yang didakwa membuat provokasi berunsur rasis dan berbaur perkauman dalam ceramahnya.

Sebelum ini seramai 30 wakil daripada MIC, PPP dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan Hindu membuat kenyataan dan laporan di Balai Polis Jalan Patani, Pulau Pinang.

"Saya berharap Shahul berhenti mengadakan sebarang ceramah sehingga siasatan selesai dijalankan oleh pihak polis.

"Ustaz boleh memberi ceramah berkenaan agama Islam tetapi janganlah sehingga menyentuh sensitiviti berkenaan agama lain," katanya.

Ketua Pemuda MIC negeri, A Murugan menolak permohonan maaf daripada Shahul berkenaan insiden tersebut.

"Saya mahu kes ini diambil tindakan yang tegas jika didapati bersalah," jelasnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asst. Comm. Mior Faridalathrash Wahid, berkata siasatan akan dijalankan dan berharap orang ramai dan penceramah bebas yang lain tidak menyentuh sebarang isu yang boleh menimbulkan  sensitiviti dalam menyampaikan ceramah agama masing-masing.

"Kes akan dirujuk kepada Bukit Aman untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi oleh FMT.

Noh Omar : Khalid cukup matang

Posted: 31 Jul 2014 12:34 AM PDT

Khalid dapat menentukan sendiri sama ada beliau akan terus memegang jawatan menteri besar atau mengundur diri tanpa campur tangan mana-mana pihak.

noh omar


KUALA LUMPUR : Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar melalui satu kenyataan semalam berkata bahawa BN Selangor tidak mahu terjebak dalam permainan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu penukaran menteri besar Selangor.

"Kami tidak mahu ikut terjebak di dalam konflik "rumah tangga" ini yang tidak membawa apa-apa manfaat dan tidak menguntungkan rakyat Selangor," tegasnya.

"Konflik ini juga telah menjejaskan imej Pakatan Rakyat (PR) di mata umum. Rakyat boleh menilai sendiri dari pelbagai pergolakan yang melanda PR."

"Di dalam politik, tidak ada istilah kawan tetap kawan atau musuh tetap musuh, semua boleh berubah tergantung kepada situasi politik semasa."

Menurut beliau, Tan Sri Khalid Ibrahim cukup matang untuk menentukan sama ada beliau akan terus memegang jawatan menteri besar atau mengundur diri tanpa campur tangan mana-mana pihak.

"Walau apa pun, UMNO Selangor tetap sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal terjadi, termasuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor," tegasnya.

"Fokus kami adalah kepada nasib rakyat Selangor."

Angka kematian Gaza cecah 1,232, Israel tiada respon terima genjatan

Posted: 30 Jul 2014 05:01 PM PDT

SELANGOR KINI

 

GAZA: Israel yang masih meneruskan bedilan terhadap beberapa kawasan penempatan di Gaza masih tidak memberi sebarang respon terhadap usul gencatan senjata walaupun Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) melahirkan kesediaan untuk menerima cadangan itu.

Menurut jurucakap perkhidmatan kecemasan, Ashraf al-Qudra pula, serangan tentera Israel yang memasuki hari ke-23 hari ini menyebabkan dua kanak-kanak Palestin terkorban termasuk seorang kanak-kanak kurang upaya di Utara Gaza.

Smoke and fire from an Israeli bomb rises into the air ove Gaza City

Angka korban di pihak Palestin kini terus meningkat menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 1,232 orang awam terkorban dan manakala di pihak rejim Israel pula, 53 askar dan tiga orang awam Israel dilaporkan mati dalam serangan balas termasuk roket dari pejuang Islam. 

Sebelum ini menurut laporan agensi berita AFP, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry berkata, Presiden Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sudah meminta bantuan Amerika Syarikat yang cuba menjadi orang tengah gencatan senjata berkenaan.

Sementara itu dalam satu perkembangan lain, pasukan sukarelawan kemanusiaan daripada pelbagai negara dikatakan gagal memasuki Palestin bagi menghulurkan bantuan makanan dan perubatan kepada rakyat.

Bagaimanapun, semua bekalan makanan dan perubatan itu cuba disalurkan melalui beberapa terowong rahsia di sepanjang sempadan negara itu tanpa disertai pasukan sukarelawan terbabit.

PKR Cipta Budaya 'Rampasan Kuasa' - Mohd Zuhdi

Posted: 30 Jul 2014 04:54 PM PDT

Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK 
 
 
Mohd Zuhdi Marzuki.
 
 
 
PETALING JAYA: Walaupun dikecam selepas mesej WhatsApp kumpulan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bocor kepada umum, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki tetap konsisten menolak idea untuk menggulingkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Terbaharu Mohd Zuhdi berkata, strategi rampasan kuasa yang cuba diamalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menjadi budaya yang tidak sihat dalam sistem politik di negara ini.

"Sekali kita mencipta budaya baharu...turunkan pemimpin dengan cara tidak biasa atau seperti rampasan kuasa di Thailand, budaya itu akan terus melekat.

"Selepas Tan Sri Khalid diganti (dan) bila ada yang tidak puashati (dengan Menteri Besar baharu) budaya yang sama akan diikuti. Hinggakan kepentingan rakyat diabaikan oleh kemelut ahli-ahli politik," katanya menerusi akaun Facebook pada Rabu.

Baru-baru ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan isterinya sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon bagi menggantikan Abdul Khalid.

Pencalonan Dr Wan Azizah dibuat dengan alasan ia bakal menyelesaikan banyak perkara khususnya di Selangor.

Tambah Mohd Zuhdi, PKR yang menjadi sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) seharusnya mencontohi amalam demokrasi dalam usaha untuk menurunkan pemimpin.

"Berikan mandat kepada beliau (Abdul Khalid) walaupun ada perkara yang kita tidak suka selagi beliau tidak menyeleweng dan rasuah.

"Lepas tamat tempoh mandat, kita boleh lantik yang lain. Bukankah ini tatacara yang lebih teratur dalam mengikut budaya demokrasi," katanya.

Sejak Isnin lalu, nama Mohd Zuhdi hangat diperkatakan selepas mencetuskan kontroversi apabila mesejnya dalam kumpulan AJK PAS Pusat berhubung cadangan supaya PAS keluar daripada PR bocor dan menjadi viral di Internet.

Menerusi mesej paparan skrin yang disebarkan itu, Mohd Zuhdi memberi analisis senario bagaimana PAS boleh membentuk kerajaan negeri Selangor baharu dengan kerjasama 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang, milik Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan satu kerusi tambahan milik Adun PKR.

ESSCom Tubuh 6 Pasukan Pemantau

Posted: 30 Jul 2014 04:51 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Datuk Abdul Rashid Harun (kanan) ketika melakukan pemantauan di perairan Sabah.
 
 
LAHAD DATU: Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menubuhkan enam pasukan pemantau bagi menilai tahap kesiapsiagaan anggota di lokasi penugasan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), terutama sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun berkata pasukan pemantau yang terdiri daripada gabungan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu memulakan tugas mereka Sabtu lepas.

Beliau berkata pasukan itu diamanahkan untuk melawat semua penugasan di ESSZone termasuk pos kawalan di pulau-pulau dan darat serta pasukan pemintas.

"Alhamdulillah setakat ini semangat semua anggota yang bertugas di ESSZone berada di tahap tinggi walaupun terpaksa bertugas dan berjauhan daripada keluarga sepanjang musim perayaan ini.

"Doakan semoga anggota keselamatan kita berada dalam keadaan selamat dan dipermudahkan dalam segala urusan demi kedaulatan, keselamatan dan keamanan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Abdul Rashid berkata jumlah pemantau itu mungkin akan dikurangkan selepas Hari Raya Aidilftri kerana "mereka ini semua dari ESSCom yang perlu juga membuat tugasan lain".

ESSZone meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna.

MH17: Persediaan sambut jenazah di KLIA

Posted: 30 Jul 2014 04:46 PM PDT

BERNAMA 


SEPANG: Persediaan telah dibuat untuk menerima kepulangan jenazah rakyat Malaysia yang maut dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 terhempas di Ukraine.
  
Ketika tinjauan Bernama di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, van-van jenazah sudah tersusun rapi.

Beberapa khemah turut didirikan di perkarangan kompleks.

Dalam satu raptai, anggota tentera daripada Rejimen Askar Melayu Diraja yang lengkap beruniform kelihatan mengusung keranda dengan penuh hormat untuk diberi penghormatan terakhir.

Namun jenazah 43 rakyat Malaysia hanya dijangka tiba di tanah air dalam tempoh tiga minggu lagi.
  
Seorang pegawai yang terlibat dalam urusan pengendalian jenazah berkata persediaan awal dibuat bertujuan untuk memastikan proses ketibaan jenazah bakal berjalan lancar.

"Hari ini hanya satu raptai untuk menyambut jenazah. Ia masih dalam peringkat perancangan dan ia masih belum dimuktamadkan. Terdapat beberapa perkara lagi yang perlu dilakukan.

"Satu mesyuarat akan diadakan esok (Khamis) untuk membincangkan secara terperinci proses menyambut ketibaan jenazah nanti," katanya.

Pada 17 Julai lalu, pesawat Boeing 777 MAS yang membawa 283 orang penumpang dan 15 anak kapal terhempas dipercayai akibat ditembak. Tetapi sehingga kini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab melakukannya.

Setakat ini sejumlah 227 keranda yang mengandungi jenazah mangsa pesawat telah diserahkan kepada pihak berkuasa Belanda yang mengetuai pasukan siasatan antarabangsa.
      
Kini 21 pakar Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) Malaysia yang terdiri daripada lapan ahli patologi, lapan ahli forensik odontologi, empat pakar penyiasat lokasi jenayah (CSI) dan seorang pakar DNA berada di Utrecht, Belanda dalam usaha mengenal pasti identiti mangsa nahas.

Datuk Seri Najib Tun Razak yang ke Belanda hari ini dijangka menyegerakan proses membawa pulang jenazah rakyat Malaysia.

Perdana Menteri dijangka bertemu rakan sejawatannya Mark Rutte di The Hague yang akan mengadakan perbincangan termasuk soal urusan pengecaman mayat, membawa pulang jenazah dan mengheret pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat ke muka pengadilan. - Bernama

Anwar jamin Pakatan tak berpecah

Posted: 30 Jul 2014 04:43 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak melihaty wujudnya bibit perpecahan dalam Pakatan Rakyat walau PAS tidak bersetuju dengan usaha menggantikan menteri besar Selangor.

Menurutnya, komunikasi di antara beliau dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih terbuka dan beliau turut mengirim ucapan "Selamat Hari Raya" kepada Hadi dan mendoakan kesihatannya.

Anwar bagaimana pun mengakui wujud salah faham di kalangan parti Pakatan Rakyat dalam isu penukaran MB Selangor.

Salah faham itu itu termasuklah "ulasan kurang sesuai daripada peringkat bawahan", kata Anwar sewaktu ditemui di Permatang Nibong, Seberang Jaya.

Jelasnya, beliau enggan melayan sentimen dan beberapa tuduhan dari akar umbi kerana setahunya, beliau berkeyakinan penuh dengan polisi kepimpinan Pakatan Rakyat.

Katanya, apabila masanya tiba, pemimpin dari DAP, PAS dan PKR akan sedar betapa pentingnya kerjasama di antara parti dalam Pakatan.

Anwar berkata, kesedaran itu akan mendorong mereka bekerjasama dengan lebih jauh lagi seperti dilakukan selama ini.

PAS S'gor ikrar setia bersama Pakatan

Posted: 30 Jul 2014 04:37 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


PAS Selangor hari ini memberi jaminan kepada rakannya dalam Pakatan Rakyat ia akan terus kekal dalam pakatan itu "walau dalam apa jua keadaan sekalipun".

Setiausahanya Mohd Khairuddin Othman berkata PAS Selangor tidak tahu menahu perihal anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki berbincang melalui rangkaian kumpulan WhatsApp anggota jawatankuasa itu tentang kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno di Selangor serta mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR sebagai Menteri Besar.
  
"Tidak ada langsung perbincangan tentang perkara itu dan PAS Selangor komited serta setia kepada Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Mohd Zuhdi dilaporkan menyuarakan tentang kemungkinan PAS bekerjasama dengan Umno di Selangor dan mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Perbualan itu didakwa terkandung dalam mesej kumpulan WhatsApp antara anggota Jawatankuasa Pusat PAS.

'Tiada yang lompat'

Mohd Khairuddin berkata PAS Selangor mengekalkan rekodnya yang tidak mempunyai sebarang wakil rakyatnya di Selangor menyertai Umno atau Barisan Nasional (BN).
  
"Dalam rekod kami, tidak ada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kami yang menyeberang kepada Umno atau BN. Dan kami akan mengekalkan rekod ini," katanya.

Beliau berkata perkara tersebut adalah pandangan peribadi Dr Mohd Zuhdi dan tidak memberi kesan kepada PAS Selangor. 

Para pemimpin PKR, PAS dan DAP menyuarakan pelbagai pandangan berikutan keputusan PKR untuk menggantikan Abdul Khalid dengan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, anggota jawatankuasa DAP Selangor Charles Santiago, yang juga Anggota Parlimen Klang, berkata para pemimpin PAS perlu memisahkan diri mereka daripada mesej WhatsApp itu.

Beliau menggesa presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pendirian beliau tentang "isu WhatsApp" itu dengan menegaskan bahawa kepimpinan PAS Selangor setia dan komited kepada Pakatan Rakyat.
  
"Bagi DAP Selangor, kami sentiasa setia dan komited kepada Pakatan (Rakyat)," katanya kepada Bernama.

Abdul Hadi dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyuarakan sokongan mereka kepada Abdul Khalid, dengan berkata beliau perlu terus menyandang jawatan Menteri Besar Selangor hingga berakhirnya penggal sekarang.

Surat terbuka kepada pimpinan Pakatan Rakyat

Posted: 30 Jul 2014 04:28 PM PDT



Oleh Ooi Kok-Hin


Terlebih dahulu, saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Malaysia sama ada yang di tanah air atau di perantauan.

 Mudah-mudahan juga dalam "mood" perayaan ini, para pemimpin Pakatan Rakyat dan barisan penyokong dapat menyusun gencatan senjata dan merenung kembali perjalanan 15 tahun bersama.

Ianya bukan satu jalan yang lurus, bahkan berliku-liku. Kadang-kadang kamu berkongsi gembira, bermuzarakah dalam mesyuarat sehingga lewat malam, bersolidariti dalam demonstrasi, dan bertolak-ansur demi kepentingan yang lebih besar.


Ada kalanya pula kamu bertekak, mempertikaikan posisi dan kenyataan yang lagi satu, atau tidak mengendahkan satu sama lain. Apa pun, pahit manis diharungi bersama di bawah satu rumah sehingga sekarang.

Lima belas tahun lalu, PAS membentuk Barisan Alternatif (BA) bersama-sama Parti Keadilan Nasional, DAP dan Parti Rakyat.

Keempat-empat presiden parti, iaitu Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang dan Dr Syed Husin Ali menunjukkan solidariti dengan membentuk BA dan mengeluarkan "manifesto bersama ke arah Malaysia yang adil".

Antara fokus manifesto bersama itu adalah menentang korupsi dan percabulan hak asasi, mengukuhkan ekonomi dan mengurangkan beban rakyat, dan membina demokrasi, perpaduan nasional dan kontrak sosial yang menuju alaf baru.

Lihat sahaja isu ini masih kritikal pada masa sekarang dan ini merupakan bukti kepada satu fakta yang tidak begitu mendapat perhatian media dan disklusi politik: perjuangan belum selesai!

Benar, DAP keluar daripada BA selepas PAS tegas dengan komitmen menubuhkan Negara Islam. Saki-baki BA berpecah berikutan perundingan kerusi yang panas.

Akibatnya bukan sahaja hasrat mana-mana pihak termasuk impian Negara Islam tidak tercapai, malah Umno-Barisan Nasional menang besar dalam pilihanan raya seterusnya.

DAP tidak ke mana, Keadilan hampir pupus dan PAS kehilangan Terengganu sampai hari ini.

Kegagalan politik menyediakan "check and balance" menimbulkan pelbagai isu yang melanda negara – rasuah berleluasa, pihak berkuasa angkuh, kroni semakin rakus, golongan pelampau menjadi berani dan sombong, ekonomi "stagnant" dan rakyat berpecah.

Negara semakin jauh dari semua fokus dan impian yang digariskan dalam manifesto bersama kerana ahli politik kehilangan fokus.

Fokus itu amat penting dalam kehidupan. Kita tidak boleh berlari sana sini dan mengejar segala apa benda setiap hari.

Kita tidak akan mencapai mana matlamat tanpa prioriti dan "sense of purpose".

Begitu juga dalam politik. Para pemimpin dan penyokong parti politik tidak harus berharap untuk mencapai "perfect justice" (jika berminat mengetahui lebih lanjut, boleh khatam buku "The Idea of Justice" oleh Amartya Sen).

Sebaliknya, para pejuang boleh mencapai lebih banyak matlamat dengan mengenalpasti ketidakadilan yang boleh dihapuskan atau dikurangkan. Usaha ini perlu ada prioriti.

Jika tidak ada fokus dan "sense of purpose", pemimpin politik seolah-olah menunggu isu berbangkit kemudian baru memberi respons, seperti yang berlaku sejak PRU13 berakhir.

Dari sudut pandangan seorang rakyat biasa yang tidak ada maklumat dalaman, kelihatan Pakatan kehilangan fokus selepas PRU13 dan hanya bertindak "reactive" sejak itu. Lebih "direct" lagi, semangat itu dah hilang.

Tiada fokus, makalah tiada arah tujuan dan tiada disiplin dalam kalangan ahli. Segala apa benda keluar dari mulut kerana masing-masing tidak dapat melihat gambaran yang lebih besar.
Sampai pula peringkat sindir-menyindir dan "name calling, all out in the open".

Tidak boleh melakukan sebegini jika hendak menyelamatkan rumah. Orang suruh padam api, bukan bakar api.

Sekali lagi dari perspektif rakyat biasa yang terpisah dari perbincangan politik pada peringkat tertinggi, kebanyakan dari kami tidak tahu apa yang berlaku (atau sekurang-kurangnya "we don't know enough to really care to act").

Sebab itu, bagi kami rakyat biasa yang terlalu jauh daripada sumber kuasa, siapa jadi menteri besar, kita tak kisah.

Asalkan individu itu dengan pasukan dapat mentadbir negeri dengan berkesan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat selaras dengan impian Malaysia yang lebih besar, kami redha.

Untuk keluar dari kemelut Selangor, kita harus tahu dan ingat fokus kita ialah untuk menyelesaikan masalah, bukan sebaliknya.

Metodologi kita mudah: dua soalan perlu dijawab secara berperingkat.

1) adakah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim begitu tersasar dari fokus matlamat Pakatan Rakyat sehinggakan ianya satu kemestian ("necessity") untuk beliau berundur? Persoalan ini turut termasuk pertimbangan kesediaan para pemimpin lain untuk terus bekerjasama dengan beliau dan kapasiti kumpulan Pakatan Rakyat di Selangor untuk mengekalkan Selangor dan membantu usaha mendekati Putrajaya. Persoalan ini harus dimuktamadkan dahulu.

2) Jika jawapannya ya (kalau tidak, tak perlu pun soalan ini. Boleh buat kompromi dan deal), siapakah calon yang wajar mengganti beliau untuk mengecapi apa yang Khalid tidak atau tidak dapat kecapi? Dari segi personal capacity dan pengalaman pengurusan, Khalid memang sukar ditandingi.

Akan tetapi, keadaan yang tidak memihak pengganti Khalid itu dapat diimbangi dengan kekuatan sepasukan ("team strength and teamwork").

Misalnya dalam persiapan Belanda menghadapi juara dunia, mereka bermain formasi 4-3-3 dengan cemerlang. Namun kecederaan yang dialami pemain tengah Kevin Strootman menyebabkan dia tidak dapat beraksi di Brazil.

Louis Van Gaal tidak mencari pengganti Kevin Strootman yang boleh bermain sebiji macam pemain itu. Sebaliknya beliau mengubah sistem mereka kepada 3-4-1-2, 4-3-1-2, 5-4-1 atau formasi 4-3-3 yang sama tapi peranan pemain pertahanan dan tengah diubah sedikit.

Mengikut ungkapan pengurus Manchester United yang baru itu, "We don't talk about individual players. We talk about a team." Maaf, pengajarannya, keberkesanan sesebuah organisasi itu dapat mengatasi kekurangan individu.

Dua soalan itu yang perlu dijawab sekarang. Soalan dan isu lain boleh dikemudiankan, ingat prioriti dan fokus.

Bukan mudah untuk sampai tahap kerjasama hari ini. Kamu lebih mengenali daripada kami.
Dari perjumpaan Sekretariat kecil-kecilan hingga konvensyen Pakatan Rakyat yang dihadir seribu delegasi.

Kerjasama secara lisan dan peribadi berkembang kepada manifesto bertulis dan gabungan Pakatan yang ada institusi dan prosedur.

Tidak dilupakan, kerjasama menubuhkan dan menguruskan lima kerajaan negeri. Memang mudah untuk berfikir kerjasama ini sekadar untuk memenuhi cita politik ke Putrajaya.

Namun sebahagian daripada rakyat mengganggap kerjasama ini sebagai satu usaha idealis untuk merealisasikan Malaysia yang lebih adil.

BA dan Pakatan ada fokus dan prioriti seperti yang digariskan dalam manifesto bersama. Dan matlamat itulah yang memperoleh sokongan dan amanah rakyat. Makalah pemimpin mesti mengembalikan fokus kepada perjuangan jika tidak ingin mengecewakan harapan dan kepercayaan rakyat.

Rumah yang didiami bersama itu agak retak sekarang. Seolah-olah seperti keretakan dalam sebuah rumah tangga, kamu boleh memilih untuk meninggalkan rumah begitu sahaja, bercerai dan hidup seorang atau mencari pasangan lain.

Atau kamu boleh memilih untuk kekal, memperbaik keadaan dan mematangkan hubungan. Dengar kata orang tua, ketika sesuatu perkara buruk melanda sebuah rumah tangga, sama ada rumah tangga itu akan hancur berkecai atau bertambah kukuh.

Saya berhenti setakat ini sahajalah. Harap air setitik tidak dijadikan laut, rumah yang mengambil masa 15 tahun untuk dibina dan harapan rakyat untuk sistem politik yang lebih matang dan negara yang lebih adil dimusnahkan begitu sahaja dalam sekelip mata.

Dalam masa yang mencabar ini, wajarlah para pemimpin merenung kata sang pencinta dalam "The Fault in Our Stars" – "Grief does not change you, Hazel. It reveals you."

PAS Perlu Uruskan Krisis Segera

Posted: 30 Jul 2014 04:24 PM PDT




Oleh SUHAIZAN KAIAT


Merujuk kepada isu-isu yang melanda PAS sekarang, saya berpendirian bahawa perbezaan pendapat adalah perkara biasa bahkan ia turut berlaku dalam rakaman sejarah perjuangan Islam sejak dahulu lagi. Yusuf Qardhawi turut ada mengarang sebuah penulisan ilmiah bertajuk Adaab al-ikhtilaf (Adab berbeza pendapat).

Pepatah Inggeris ada menyebut "Two heads are better than one". Kerana itu saya yakin perbezaan pandangan yang sedang berlaku dalam PAS mutakhir ini adalah bertujuan demi melihat PAS lebih berjaya.

Walaubagaimanapun perbezaan akan bertukar kepada krisis jika tidak diurus dengan betul. PAS tidak boleh berselindung dan berada dalam sindrom penafian. Hakikatnya PAS sedang berada dalam keadaan krisis yang meruncing sekarang.

Justeru, PAS perlu mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam menguruskan konflik atau krisis khususnya yang terhasil daripada kepelbagaian yang wujud. Kegagalan menguruskan krisis dengan berkesan sehingga ke akar umbi parti, akan menyebabkan isu ini terus berulang-ulang. Lebih malang lagi, imej serta kepercayaan rakyat terhadap PAS akan terhakis sebelum PAS dan Pakatan Rakyat dapat menguasai Putrajaya lagi.

Pemuda juga amat bimbang jika krisis atau konflik ini tidak diurus dengan baik, ia akan memberi ruang kepada musuh-musuh PAS khususnya UMNO menggagalkan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Putrajaya dalam PRU ke-14 bagi meneruskan agenda perubahan dalam urustadbir dan tatakelola Malaysia.

Akhirnya, Pemuda mendesak supaya mesyuarat PAS Pusat diadakan segera. Tarikh 10hb Ogos terlalu lewat untuk mengurus krisis yang sedang berlaku. Rakyat Malaysia sedang memerhatikan PAS menguruskan masalah dalamannya. Saya yakin dengan kebijaksanaan kepimpinan PAS mampu mendepani masalah yang sedang berlaku.

SUHAIZAN KAIAT
Ketua Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: