Isnin, 28 Julai 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Isu MB: Khalid Beri Bayangan Bubar DUN

Posted: 27 Jul 2014 10:56 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
PETALING: Peralihan kuasa di Selangor dilihat bakal berdepan situasi sukar apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membayangkan bahawa kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor perlu ditentukan oleh rakyat menerusi proses pilihan raya.

Menyedari ditolak partinya, beliau menegaskan, perubahan jawatan Menteri Besar negeri itu seperti yang dirancang Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat di negeri itu.

Bagaimanapun, Abdul Khalid tidak menyebut mengenai kemungkinan beliau akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri (DUN) diadakan sebagai salah satu cara mempertahankan kedudukannya.

"Dalam bidang politik pentadbiran, pemimpin sentiasa bersilih ganti manakala kerajaan yang memerintah kerap bertukar corak dan gaya.

"Bagaimanapun, peralihan pemimpin dan kerajaan terbukti lebih lancar dan menguntungkan rakyat serta negara sekiranya ditentukan oleh majoriti rakyat melalui pilihan raya umum," katanya melalui perutusan sambutan Hari Raya Aidilfitri 2014 pada Ahad.

Sebelum ini banyak pihak meramalkan bahawa Abdul Khalid berkemungkinan mengambil langkah untuk membubarkan DUN jika beliau dipaksa melepaskan jawatan.

Baru-baru ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan isterinya sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon bagi menggantikan Abdul Khalid.

Pencalonan Dr Wan Azizah dibuat dengan alasan ia bakal menyelesaikan banyak perkara khususnya di Selangor.

Mengulas lanjut Abdul Khalid mengingatkan semua pihak supaya menghormati institusi diraja sebagai pemerintah negeri.

"Sebagai peneraju kerajaan negeri yang terkaya dan termaju, saya wajar mengingatkan diri saya dan rakyat supaya kita menghormati institusi raja berperlembagaan sebagai pemerintah negeri ini dan terhadap barisan pemimpin yang menerajui kerajaan negeri sekarang," katanya.

Cuti Raya Penghuni Pengasih Tanpa Paksaan

Posted: 27 Jul 2014 10:54 PM PDT

Yunus Pathi
Yunus Pathi. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI / THE STAR
 
 
 
KUALA LUMPUR: Rumah rawatan dan perlindungan untuk bekas penagih dadah yang dikendalikan  Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) meluluskan sebanyak 60 peratus permohonan penghuninya beragama Islam untuk bercuti sempena Aidilfitri. 

Pada masa ini, terdapat 350 penghuni beragama Islam daripada 500 penghuni di lapan rumah Pengasih seluruh negara.

Presiden Pengasih, Datuk Yunus Pathi berkata, cuti sempena hari raya perlu dimohon dan mendapatkan persetujuan bersama antara penghuni dan keluarga.

"Jika ada persetujuan bersama untuk penghuni pulang berhari raya dan penghuni boleh memberikan komitmen untuk memanfaatkan cuti maka kita akan benarkan.

"Kelulusan bergantung kepada sesi temuramah dan penilaian kelakuan pemohon. Ini termasuk kelayakan pemohon menghuni rumah Pengasih, sekurang-kurangnya selama tiga bulan," katanya kepada mStar Online di rumah Pengasih di sini, baru-baru ini.

Permohonan cuti raya dilakukan lebih awal sebelum Ramadan dan ditutup pada minggu pertama Ramadan, manakala kelulusan dapat diketahui pada minggu ketiga.

Proses permohonan akan melibatkan sesi temuramah pemohon dan mengkaji aspek keselamatan dan pengaruh penghuni serta siapa akan bersama mereka sepanjang tempoh bercuti.

Yunus berkata, apa yang lebih penting ialah sejauh mana pemohon sudah bersedia dan kesungguhannya untuk bercuti sempena hari raya.

"Bersedia bukan dalam konteks hendak berseronok-seronok bercuti tetapi persediaannya berhadapan dengan cabaran dunia luar ketika bercuti.

"Walaupun musim perayaan seperti hari raya mempunyai elemen positif seperti ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan tetapi tidak terkecuali menjadi ruang kepada bekas penagih dipengaruhi melakukan aktiviti negatif seperti berjudi dan mengambil minuman keras selain mengambil dadah," tambahnya.

pengasih
Sebahagian penghuni pengasih sedang mengikuti sesi taklimat bersama penasihat di rumah Pengasih.
 
Beliau bagaimanapun berkata, terdapat segelintir penghuni Pengasih yang tidak mahu pulang berhari raya bersama keluarga kerana bimbang dengan cabaran dan pengaruh dunia luar.

"Dalam aspek ini, kita di Pengasih sangat demokratik dengan memfokuskan kepentingan penghuni termasuk hak-hak mereka.Kalau mereka tak nak balik kerana masih belum bersedia dan takut terpengaruh kepada perkara tidak baik, kita tidak boleh paksa mereka," katanya.

Dalam tempoh proses permohonan, penghuni tidak boleh melakukan kesalahan-kesalahan seperti tidak berpuasa, atau insiden yang boleh mencetuskan emosi dan tidak menghadirkan diri dalam program tertentu yang disediakan Pengasih seperti solat berjemaah dan solat terawih.

Permohonan yang diluluskan akan dimaklumkan kepada pemohon dan keluarganya akan dipanggil untuk diberikan taklimat sebelum penghuni dibenarkan pulang bercuti.

"Dalam taklimat itu, kita menasihatkan keluarga mengenai pengawasan pergerakan penghuni seperti waktu keluar dan tidur dan menasihatkan agar tidak memberikan wang tunai terlalu banyak, jangan beri kad kredit, ada batasan dari segi penggunaan telefon," katanya.

Mengenai cuti hari raya, tempoh bercuti yang diberikan ialah sehingga seminggu dan mereka mula dibenarkan pulang berhari raya pada minggu terakhir Ramadan.

Menurut Yunus, tempoh bercuti itu juga dilihat sebagai proses penilaian 'pasca-rawatan' penghuni mengenai sejauh mana perubahan dan kawalan dirinya.

"Kita akan lihat sekiranya penghuni berjaya melakukan perubahan positif. Tidak semestinya kejayaan pertama akan menghasilkan kejayaan seterusnya.

"Tetapi sekurang-sekurangnya ia sebagai permulaan mereka berhadapan dunia luar. Pengasih akan membantu penghuni terus melakukan perubahan positif dalam menjalani kehidupan baharu," katanya.

Pesakit HIV Rela Berduka Demi Keluarga Di Aidilfitri

Posted: 27 Jul 2014 10:52 PM PDT

Sebahagian daripada penghuni Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah sedang mengikuti sesi soal jawab agama dan kelas kerohanian yang disampaikan oleh kakitangan Mais.
 
 
 
INSAN terpilih ini sangat mengerti dan faham tentang persepsi masyarakat terhadap diri mereka.

Namun apakan daya, mereka tidak dapat lari daripada persepsi itu walaupun naluri untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang meronta-ronta di sanubari.

Bukan pakaian baharu atau mahal yang mereka pinta, cukuplah sekadar dapat mencium tangan dan dahi insan tersayang di pagi 1 Syawal.

Itulah sebenarnya rasa yang terpendam di dalam hati penghuni-penghuni Rumah Perlindungan HIV Darul Ukhuwah, menurut pengurusnya, Khairul Azmy.

"Masing-masing punya keinginan untuk bersama keluarga, tetapi apakan daya jika kehadiran mereka pada pagi mulia dipandang 'sepi' oleh keluarga sendiri.

"Mungkin ada keluarga yang reda dan dapat menerima takdir bahawa ahli keluarga mereka menghidap HIV, namun sejauh mana penerimaan itu, hanya empunya diri yang lebih tahu," katanya kepada mStar Online, ketika rumah perlindungan yang terletak di Puchong itu dikunjungi baru-baru ini.

Menurut Khairul, rumah perlindungan HIV ini adalah di bawah kelolaan Yayasan al-Ijabah dan mendapat sokongan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Sebelum ini, ia beroperasi di Petaling Jaya sebelum berpindah ke Puchong pada Mac 2011.

Khairul berkata, sempena Aidilfitri, kesemua 34 orang penghuni di sini diberi cuti seminggu, namun tidak semua yang gembira dengan peluang yang diberikan.

"Stigma masyarakat terhadap golongan ini masih perlu diperbaiki.

"Saya berharap ahli keluarga dan masyarakat lebih terbuka dan dapat menerima mereka sebagai manusia normal. Manusia mana yang tidak pernah melakukan kesilapan," katanya.

Tidak Ambil Hati



 
Khairul (bukan nama sebenar), 39, gembira untuk bertemu ayahnya yang sudah tua di kampung halamannya di Kelantan, Aidilfitri tahun ini.

Dia yang disahkan dijangkiti HIV pada 2008 berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri, hatinya meronta-ronta untuk berkumpul bersama ahli keluarga dan sanak-saudara di kampung.

Walaupun sedar kehadirannya 'kurang disenangi', namun dia menganggap perkara itu sebagai ujian untuk dirinya yang selama ini telah banyak melakukan dosa dan perkara terkutuk.

"Sebelum saya sakit, hubungan kami sesama keluarga amat mesra tapi sekarang saya dapat rasakan perbezaannya.

"Tapi tak apa, saya tak ambil hati dengan mereka. Saya boleh terima apa yang berlaku. Apa-apa pun mereka tetap keluarga saya," katanya yang ditemui lima hari sebelum pulang ke kampung.

Dia berkata, walaupun merancang untuk berhari raya di kampung, namun dia belum pasti sama ada mahu pulang bersama abangnya yang tinggal di Kuala Lumpur atau menaiki bas.

"Tengoklah, kalau abang saya OK, saya balik dengan dia, kalau sebaliknya, saya pulang naik bas saja," katanya penuh makna.

Khairul yang gemar makan nasi himpit dan kuah kacang pada pagi raya berkata, walaupun menerima layanan dingin, dia amat bersyukur kerana sekurang-kurangnya ahli keluarganya masih menganggapnya sebagai sebahagian daripada keluarga.

"Saya selalu berdoa semakin hari mereka dapat menerima keadaan saya.

"Apa yang paling penting, saya dapat bersalam-salaman dengan mereka di Aidilfitri," katanya.

Tidak Mahu Susahkan Keluarga




Cerita Roslan (bukan nama sebenar), 49, pula berbeza sama sekali dengan cerita Khairul.
Roslan yang sudah tujuh tahun di rumah perlindungan ini mengambil keputusan untuk tidak balik beraya demi kepentingan dirinya sendiri dan untuk kebaikan anak perempuannya.

"Balik pun banyak 'benda' yang tak elok. Kawan-kawan banyak yang hisap dadah, saya bimbang tak mampu kawal diri.

"Lagipun anak perempuan saya baru saja berkahwin, saya tak mahu ganggu kegembiraan mereka sekeluarga," katanya yang disahkan menghidap HIV pada 1998.

Menurut Roslan, anaknya yang menetap di Kuala Lumpur itu telah berjanji untuk datang melawatnya selepas mereka pulang dari beraya di kampung di Melaka.

"Sedih jugaklah sebab tak beraya bersama keluarga, tapi saya yang pilih untuk beraya di sini.

"Rasa lebih tenang dan tidak menyusahkan sesiapa," katanya yang telah bercerai dengan isterinya pada 1996.

Roslan berkata, sebelum ini dia telah berpengalaman menyambut Aidilfitri di merata-rata tempat termasuklah di penjara dan di pusat pemulihan dadah.

Katanya, rumah perlindungan yang didiaminya sekarang adalah tempat terbaik untuk dirinya menyambut Aidilfitri kerana di situ dia diberi pendekatan kerohanian dan memperoleh ketenangan.

Bapa Saudara Tempat Mengadu




Lokman (bukan nama sebenar), 45, hanya mempunyai seorang bapa saudara untuk dia meluahkan isi hati tentang takdir hidupnya.

Justeru, rumah bapa saudaranya itulah satu-satunya tempat yang akan dituju setiap kali Aidilfitri tiba.

"Saya akan bersama pakcik saya dan keluarganya setiap kali hari raya. Pernah juga kami bercuti sama-sama.

"Tapi isteri dan anak-anaknya tak tahu tentang penyakit saya. Pakcik kata buat masa ini biarlah dirahsiakan dulu, takut mereka terkejut dan tak dapat terima saya pula," katanya yang pernah berkerja di sebuah butik pakaian terkenal dan sebagai sebagai perancang perkahwinan tidak lama dulu.

Lokman berkata, dia adalah anak yatim piatu sejak kecil dan mempunyai latar belakang keluarga yang tidak baik.

Detik hitam dalam hidupnya bermula selepas dia bercerai dengan isterinya dan berhijrah dari Kuching ke Kuala Lumpur.

Katanya, dia sudah 16 tahun memeluk Islam dan menyambut Aidilfitri, tetapi tidak pernah berpuasa.

"Saya tak pernah solat dan puasa tetapi saya menyambut hari raya macam umat Islam yang lain.

"Sejak peluk Islam, tahun inilah kali pertama saya berpuasa sejak memeluk dan saya mula tahu nikmat dan hikmah semua ini berlaku ke atas diri saya," katanya.

MB: 4 juta rakyat terima manfaat MES

Posted: 27 Jul 2014 10:25 PM PDT

SELANGOR KINI


SHAH ALAM : Sekitar empat juta daripada lebih 5.7 juta penduduk Selangor menerima manfaat daripada sekurang-kurangnya satu program atau skim dalam Dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemberian air percuma sehingga 20 meter padu setiap bulan adalah bantuan yang dinikmati oleh semua lapisan penduduk di rumah kediaman yang bermeter individu.

mesKatanya, golongan berpendapatan di bawah RM5 ribu sebulan juga menikmati pelbagai bantuan lagi yang disediakan.

"Misalnya, mereka layak memohon membeli rumah mampu milik yang sedang dibina di beberapa daerah.

"Bantuan dalam bentuk latihan dan kemahiran pula diberikan kepada golongan belia menganggur, ibu tunggal, orang kurang upaya, pesara dan orang Asal bagi membolehkan mereka berniaga secara kecilan atau memohon pekerjaan yang sesuai," kata Abdul Khalid dalam Perutusan Aidilfitri.

Abdul Khalid berkata, usaha dan tindakan ini dilakukan disebabkan golongan ini terus terbeban dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang masih gagal disekat oleh pihak yang berwajib.

Mulai 2014 ini, beberapa program baharu dilancarkan. Antaranya, program memperkasa pembangunan kampung-kampung tradisi dan baru.

"Usaha ini dilakukan bagi meningkatkan pendapatan per kapita penduduk luar bandar agar setanding dengan pendapatan penduduk di bandar-bandar.

"Tambahan pula kajian kami mendapati program pembangunan luar bandar oleh Kerajaan Pusat gagal meningkatkan pendapatan rakyat kampung atau desa," kata Abdul Khalid.-EZY

Jangan buat pelbagai tuduhan terhadap pemimpin

Posted: 27 Jul 2014 08:37 PM PDT

ABD SHUKUR HARUN 


TIDAK dapat dibayangkan bagaimana dengan tiba-tiba Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru  Abdul Hadi Awang dihina dan dilemparkan pelbagai tuduhan oleh sesetengah ahli parti sendiri berikutan ketegasan beliau mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Seingat saya, sepanjang 30 tahun lebih di dalam PAS, belum pernah terjadi hal demikian dan tidak pernahpun membayangkan akan terjadi hal seperti itu, tetapi telahpun terjadi.

Berikutan kenyataan tegasnya menyokong Tan Sri Abdul Khaid Ibrahim itu pelbagai andaian dan tuduhan dibuat terhdap Presiden PAS. Ada yang mengatakan kononnya ini isyarat bahawa PAS akan bersendirian, yakni akan berpisah dengan dari Pakatan Rakyat.

Ada pula yang berteori bahawa perkembangan ini akan membuka peluang PAS untuk menghidupkan kembali apa yang dinamakan 'Kerajaan Perpaduan', iaitu kerjasama PAS dengan Umno.

Semua tuduhan dan andaian ini sama sekali tidak berasas, malah ia menggambarkan bacaan dan pemikiran politik pihak yang mereka-cipta ini sangat naïf, suatu andaian yang penuh kecelaruan dan tidak berasas.

Saya dapat memahami kesedihan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abd Samad terhdap perbuatan sesetngah pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan dan prasangka terhadap pemimpin PAS sendiri. Dalam twitternya, beliau sendiri tidak pernah menyangkan hal seperti ini berlaku.

Secara lojik bahawa Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempunyai hak untuk mengeluarkan pendapat dan tidak ada siapapun yang boleh menghalangnya. Ini sewajarnya difahami oleh semua pihak walaupun sudah ada usaha PKR untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejak projek Langkah Kajang.

Rundingan selanjutnya oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat pada 10 Ogos ini juga sama sekali tidak boleh menafikan hak Presiden PAS untuk membuat kenyataan menyatakan pendiriannya.

Adapun kenyataan Presiden PAS itu tidak ada sebarang isyarat – secara tersurat atau tersirat – bahawa PAS tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat. Maka sebarang andaian ke arah itu, walau dalam apa cara dan hujahpun, hanyalah memberi peluang kepada musuh Pakatan untuk memecah-belahkan Pakatan. Hendaknya perkara ini mesti dihindarkan.

Sangat aneh untuk melihat lingkaran isu ini di mana secara jelas ialah masalah antara PKR dengan Tan Sri Khalid yang dicetuskan dalam Projek Langkah Kajang, iaitu PKR hendakkan menggantikan MB itu dengan tokoh lain.

Bagaimanapun oleh kerana PAS adalah salah satu komponen dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP, maka masalah ini dihadapkan juga kepadanya. Tetapi secara lojiknya isu ini lebih kepada masalah PKR dengan Tan Sri Khaid.

Oleh itu mengapa PAS dengan tiba-tiba diheret begitu jauh ke dalam dalam isu ini. Sama seperti 'pihak lain yang karam mengapa orang PAS pula yang lemas'. Analogi seperti ini muncul ketika pelbagai pihak, khususnya sesetengah pendukung PAS sendiri, melemparkan pebagai tuduhan terhadap Presiden PAS berhubung dengan kenyataannya.

Memang benar, PAS berada dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP oleh itu segala masalah Pakatan dikongsi bersama mengatasinya.

Tetapi jangan lupa projek Langkah Kajang yang hendak menukarkan Tan Sri Khalid adalah dicetuskan oleh PKR. Maka itu, sewajarnyalah PKR lebih dulu menyelesaikannya dan PAS sebagai anggota Pakatan telahpun memberikan pandangan.

Sama ada diterima atau ditolak oleh Pakatan sama sekali tidak mengurangkan hak Presiden PAS menyatakan sikap. Dengan itu terimalah hakikat ini serara rasional dengan segala kewarasan.

Presiden PAS dalam kenyataannya secara jelas mempertahankan Khalid supaya kekal sebagai Menteri Besar Selangor kerana tokoh ini tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Menurut Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, alasan pihak yang mahu menukar Menteri Besar Selangor adalah tidak kukuh dan beliau secara peribadi tidak setuju kerana melihat Khalid tidak terlibat masalah besar.

"Kalau beliau (Abdul Khalid) terlibat dengan skandal, pecah amanah, salah guna duit Selangor, itu ya (sememangnya) kita boleh tukar. Tapi kalau alasan yang lain, itu kita boleh urus tetapi bukanlah dengan cara tukar menteri besar dan biarlah dia habiskan tempoh penggalnya.

"Isunya ialah menunaikan amanah pemimpin. Kita dapati Tan Sri Khalid tidak sampai kepada peringkat khianat terhadap amanah ini, adalah salah sekiranya kita turunkan beliau," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di rumahnya di Rusila Jumaat lalu.

Oleh itu tidak apa yang boleh menimbulkan kekeliruan yang mencetuskan kontroversi terhadap kenyataannya itu. Ini kerana kenyataannya itu berdasarkan pandangan syarak dan hasil penyelidikannya dari pebagai sumber.

Bagaimanapun, Insya-Allah, kemelut di Selangor ini, tidak akan menjejaskan keutuhan Pakatan Rakyat. Oleh itu jangan terperangkap akan jerangkap samar musuh Pakatan dalam isu ini.

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya muafakat dalam Pakatan Rakyat akan tetap kekal dalam menghadapi isu sekitar pertukaran Menteri Besar Selangor.

"Saya percaya semangat muafakat dalam Pakatan akan terus dikekalkan dan seterusnya mendukung perubahan dengan menjana pertumbuhan ekonomi mampan yang lebih prihatin akan permasalahan rakyat," katanya.

Akhirnya semua pihak dalam Pakatan supaya bertenang, sabar, mengekalkan kewarasan fikiran, tidak mereka-cipta pelbagai andaian dan tuduhan mengenai isu ini. Dengan berbuat demikian, dengan izin Allah s.w.t. boleh menyelamatkan Pakatan Rakyat dan pemerintahannya di Selangor.

Selamat menyambut Idul-Fitri, maaf zahir batin kepada para pembaca.

Tiada ulasan: