Isnin, 14 Julai 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PAS: Kami tak cuba pikat MB Khalid

Posted: 14 Jul 2014 04:07 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali menafikan berusaha mengajak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyertai PAS dalam pertemuan mereka sebelum ini.

Mustafa berkata, kunjungan beliau bersama Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke kediaman Khalid lewat malam Sabtu itu hanya sebagai ziarah "bulan puasa."

"Saya pergi (rumah Khalid) pasal puasa. Jumpa bulan puasa. Dia (Khalid) dah lama tak jumpa tok guru (Hadi).

"Orang kalau nak bincang (mesti ambil masa) lama, ini tak sempat datang jam 11 malam selepas tarawih semua," jelas beliau ketika ditemui di sidang media selepas mesyuarat Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat di Petaling Jaya hari ini.

Sebuah gambar yang menunjukkan Khalid duduk bersama Mustafa dan Hadi disebarkan di media sosial sejak Ahad lepas.

Gambar itu menimbulkan spekulasi Khalid akan menyertai PAS kerana parti beliau PKR mahu menggantikannya sebagai menteri besar Selangor.

Mengulas mengenai pendirian PAS dan majlis setiausaha Pakatan Rakyat, Mustafa berkata keputusan mereka akan mengikut keputusan mesyuarat Majlis Presiden gabungan pembangkang.

Beliau menyatakan majlis presiden akan mengadakan satu mesyuarat sebelum hari raya dan pastinya mereka akan membincangkan hal kemelut MB Selangor ini.

"Apa- pa pun perkara ini perlu dilakukan dengan keputusan bersama. Untuk keputusan bersama kena ikut majlis presiden.

"Saya tak letak jangka masa bila perkara ini akan selesai, tapi apa yang dibuat mesti didahului (keputusan) majlis presiden," kata beliau.

Rafizi: Saya bukan dalang


Sementara itu Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli menafikan beliau merupakan dalang SMS menghina sultan Selangor seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata laporan itu dibuat oleh individu yang bukan ahli PKR secara sah dan merupakan fitnah dari musuh politiknya dan Umno.

"Bagi saya ini hanya permainan dari Umno kerana hanya penerbitan (media) milik mereka saja yang memainkan isu itu berulang kali.

"Mereka fikir Langkah Kajang ini amat tidak popular di kalangan PKR dan fikir ini masa sesuai untuk jatuhkan saya. Mereka salah," kata beliau kepada Malaysiakini ketika ditemui hari ini.

Seorang yang mendakwa ahli PKR Kapar membuat laporan Polis di Klang semalam menyatakan Rafizi terlibat dalam membuat fitnah menggunakan nama Sultan Selangor.

Selain itu sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Pasukan Anak Muda Menyokong Menteri Bezar (Pasmeb) turut mengkritik Rafizi atas tuduhan sama di media massa.
 

Pinjaman Deepak didakwa cecah RM215 juta

Posted: 14 Jul 2014 03:59 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mendakwa baki pinjaman berjangka saudagar karpet Deepak Jaikishan kepada Bank Rakyat tidak hanya berjumlah RM32 juta sahaja tetapi mencecah sekitar RM215 juta melalui dua lagi perjanjian.

Beliau yang juga MP Pokok Sena mendakwa Deepak gagal untuk menjelaskan ketiga-tiga pinjaman itu yang dibuat melalui syarikat miliknya dan/atau berkaitan dengannya serta melibatkan beliau sendiri.

"Berdasarkan maklumat hasil penyiasatan yang saya lakukan, baki keseluruhan kedua-dua pinjaman tersebut yang perlu dibayar berserta dengan baki pinjaman RM32 juta (jumlah asal RM40 juta) yang dinyatakan di atas adalah sebanyak sekitar RM215 juta," dakwa Mahfuz.

Beliau membangkitkan perkara itu dalam suratnya kepada Pengarah Urusan Bank Rakyat Datuk Mustafha Abd Razak, yang memohon penjelasan berhubung baki pinjaman RM32 juta melibatkan Deepak dan/atau syarikat berkaitan dengannya.

Jika maklumat yang didedahkannya benar, Mahfuz berkata ia menimbulkan lebih banyak persoalan tentang "layanan istimewa" Bank Rakyat kepada ahli perniagaan itu.

"Apakah tindakan selanjutnya yang diambil Bank Rakyat untuk mendapatkan kembali baki pinjaman yang masih tertunggak bagi ketiga-tiga pinjaman ini?" soal Mahfuz sambil berharap bank itu dapat memberi penjelasan segera.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi Deepak berhubung dakwaan itu.

Sebelum ini, Mahfuz menuntut Bank Rakyat menjelaskan dakwaan campur tangan politik dalam isu pembayaran balik pinjaman sebanyak RM40 juta oleh Deepak dan alasan bank dan kerajaan berkairan pinjaman diluluskan dan pembayaran balik tanpa faedah.

Sementara Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pula dilapor menegaskan bank itu tidak sesekali memberi pinjaman tanpa faedah kepada "mana-mana individu istimewa" termasuk Deepak.

Dihadiahkan bubur lambuk

Sebelum itu, Mahfuz bersama dua lagi pegawainya hadir ke bangunan Bank Rakyat di Jalan Travers, di ibu negara bagi menyerahkan surat memohon penjelasan berhubung pinjaman Deepak daripada Mustafha.

Beliau yang juga pesuruhjaya PAS Kedah menyerahkan surat itu kepada Naib Presiden Kanan Bank Rakyat (Pemasaran dan Kamunikasi) Saliman Zainal di lobi ibu pejabat itu kira-kira jam 2.30 petang ini.

Selepas berbincang beberapa minit, Saliman bermurah hati membalas kunjungan Mahfuz dengan menghadiahkan bubur lambuk kepada pemimpin PAS itu dan petugas media.

"Hari ini rezeki saya," kata yang juga ketua whip MP PAS, sambil senyum dan bersalaman dengan Saliman.
 

Tipu orang ramai, Kementerian Pelancongan digesa siasat syarikat Lohas Premium

Posted: 14 Jul 2014 03:52 AM PDT

zairil

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP hari ini mendesak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan supaya segera mengambil tindakan terhadap syarikat agensi pelancongan, Lohas Premium kerana telah banyak mengaut keuntungan dengan menipu orang ramai.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, walaupun terdapat pelbagai laporan mengenai kegiatan penipuan Lohas Premium, namun sehingga kini kementerian masih tetap berdiam diri.

"Lohas Premium kini sedang disiasat dan diberi kata dua oleh Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) untuk mengemukakan laporan bertulis, sekiranya gagal, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan perlu membuat tindakan.

"Malangnya, pemeriksaan semasa mendedahkan tidak ada sebarang tindakan diambil ke atas Lohas Premium oleh kementerian.

"Lebih mengejutkan, pegawai kementerian mengesahkan bahawa Lohas Premium Travel and Lifestyle Sdn Bhd tidak secara rasmi dilesenkan oleh kementerian. Malah, daripada tiga syarikat dimiliki pengarah yang sama, hanya Lohas Premium Vacation Sdn Bhd memegang lesen sah," katanya dalam satu kenyataan.

Zairil menegaskan, kelicikan Lohas kini menimbulkan tiga soalan yang tidak terjawab.

"Pertama, bagaimana operator boleh mengiklankan pakej pelancongan sebagai Lohas Premium Travel and Lifestyle di laman web rasmi dan Lohas Premium Holidays di Groupon sedang ia dilesenkan dengan nama Lohas Premium?

"Kedua, apakah kementerian dapat mengambil tindakan terhadap mereka apabila Akta Industri Pelancongan 1992 hanya membenarkan denda atau membatalkan lesen pengusaha yang berdaftar?
Secara teknikal, Lohas Premium Travel and Lifestyle tidak wujud dalam pendaftaran.

"Ketiga, walaupun tindakan diambil terhadap Lohas Premium Travel and Lifestyle seperti dijanjikan MATTA, apakah akan ada kesan kepada dua anak syarikat lainnya? Khususnya terhadap lesen mereka?" soalnya.

Tambah beliau, bukan hanya dalam isu ini, terdapat banyak kes-kes seumpamanya yang masih beroperasi menggunakan nama syarikat berbeza.

Tegasnya, ini jelas menunjukkan peraturan-peraturan sedia ada tidak mencukupi dalam menghalang dan menyelesaikan kes penipuan pengusaha pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

"Terdapat keperluan mendesak untuk mengkaji semula rangka kerja pentadbiran sedia ada bagi mencari jalan membendung ancaman daripada agensi pelancongan ini," ujarnya.

Pada 1 Mei lalu, dilaporkan Lohas Premium gagal melunaskan pakej pelancongan ke Kemboja yang dibeli sekumpulan warga emas.

Selepas membayar RM4,996 dan tambahan RM4,050 untuk insurans, bagasi, dan tips, perjalanan tersebut telah dibatalkan dua minggu sebelum tarikh berlepas.

Oktober tahun lalu, pasangan suami isteri dari Pulau Pinang Phua Tat Teik dan Cynthia Lim sehingga kini masih belum menerima bayaran balik daripada Lohas setelah membeli pakej ke Kemboja bernilai RM1785 (RM999 dan tambahan RM786) walaupun perjalanan dibatalkan pada April tahun yang sama.

Berdasarkan laman Facebook Lohas Premium, syarikat itu pada 11 Jun lalu mengumumkan mereka sedang disiasat dan tidak dapat menjalankan sebarang kegiatan perniagaan pelancongan.

Komen pada laman Facebook mereka juga mendedahkan ramai pelanggan lain tidak berpuas hati dan meminta bayaran balik. -Roketkini.com

Isu MB: Majlis Presiden PR bincang sebelum raya

Posted: 14 Jul 2014 03:43 AM PDT


Khalid Ibrahim Khalid Ibrahim


PETALING JAYA - Majlis Setiausaha Agung PR yang bermesyuarat hari ini tidak membincangkan isu pertukaran Menteri Besar Selangor yang kian bertiup kencang sejak akhir-akhir ini.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk membincangkan hal itu dan ia hanya boleh diputuskan oleh majlis Presiden PR yang akan bersidang sebelum hujung bulan ini.

"Kita ada majlis presiden kerana isu MB Selangor itu melibatkan pimpinan tertinggi dalam parti.

"Kita jangka mesyuarat Majlis Presiden itu akan diadakan sebelum raya bagi membincangkan banyak isu termasuk kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Semalam, Mustafa menegaskan pertemuan yang berlangsung lewat malam tadi bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Abdul Khalid hanyalah perjumpaan biasa yang diadakan pada bulan Ramadan.

Tegasnya, ketiga-tiga pemimpin itu langsung tidak menyentuh berkenaan isu politik atau parti masing-masing di sepanjang pertemuan tersebut itu berlangsung.

Mengulas lanjut, beliau juga enggan meletakkan sebarang tempoh tertentu mengenai mesyuarat Majlis Presiden PR itu akan bersidang sebelum hari raya.

Malah katanya lagi, pendirian Pas berhubung isu MB Selangor itu tetap tidak berubah dan keputusan itu mesti dibuat secara bersama dan melalui majlis Presiden PR.

Alkisah Forest City dan Sultan Johor

Posted: 14 Jul 2014 03:41 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kadar pembangunan pesat di wilayah Iskandar Malaysia terbukti sukar diikuti orang awam, tetapi antara pelbagai projek yang tumbuh, berdirinya Forest City.

Pulau buatan hampir 2,000 hektar itu, hampir separuh keluasan Putrajaya, akan diwujudkan di barat daya Johor Bahru di Selat Johor, di mana terletaknya jambatan kedua ke Singapura.

Forest City menghiasi dada-dada akhbar dalam minggu-minggu terakhir ini.

Ia antaranya berhubung kerisauan Singapura berhubung sempadan dan  kebimbangan Penilaian Kesan Alam Sekitar (DEIA) dan dakwaan potensinya merosakkan pelabuhan Tanjung Pelepas tidak jauh daripada tempat itu.

Projek itu dilaporkan meluas sebagai kerjasama antara pemaju tersohor China dan syarikat milik kerajaan Johor, iaitu Country Garden Holdings yang berpusat di Guangdong di Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

Untuk menjayakan kerjasama ini, Country Garden Pacific View (CGPV) Sdn Bhd ditubuhkan bagi menjayakan Forest City.

CGPV dikuasai 66 peratus syarikat gergasi China itu melalui anak-anak syarikat berdaftarnya di Malaysia, Country Garden Waterfront Sdn Bhd, Country Garden Danga Bay Sdn Bhd dan Country Garden Real Estate Sdn Bhd.

Saham kerajaan Johor, atau lebih tepat KPRJ, dipercayai melalui Esplanade Danga 88 Sdn Bhd, yang mempunyai 34 peratus pegangan dalam CGPV.

Bagaimanapun, penelitian lebih dekat terhadap Esplanade Danga 88 Sdn Bhd, Malaysiakini mendapati KPRJ hanya mempunyai pegangan tidak seberapa sebanyak 20 peratus dalam syarikat yang sepatutnya mewakili kepentingan satu pertiga kerajaan negeri dalam Forest City.

Usahasama Country Garden-sultan

Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail dinamakan sebagai pemilik saham terbesar Esplanade Danga 88 Sdn Bhd, yang mengawal pegangan 64.4 peratus yang menjadikan usaha sama itu sebenarnya antara Country Garden dan sultan.

Bagaimana rupanya Foresti City kelak, perkara itu masih tidak jelas.

Bagaimanapun Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris dilaporkan berkata pada Mei, ia akan meliputi stadium baru berkapasiti 50,000 orang untuk pasukan negeri.

Tekanan muncul selepas Singapura mengadu kepada Putrajaya berhubung kebimbangan projek itu akan menjejaskan kawasan pesisir pandai kota itu, sekali gus memberikan gambaran besar kepada kerajaan persekutuan.

Kerajaan negeri akhirnya mengeluarkan perintah henti kerja untuk aktiviti menambak sementara menunggu DEIA daripada pemaju dan perbincangan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Anehnya, kerajaan negeri mempertahankan penambakan sebelum itu, tanpa DEIA, dengan menyatakan kerja-kerja menambak hanya meliputi kawasan 49 hektar, satu hektar kurang daripada pensyaratan, dan dilakukan secara berperingkat.

Carian status tanah di PT4071, tempat Forest City akan dibina, yang dilihat Malaysiakini menunjukkan CGPV sudah memiliki 1,978.1 hektar kawasan itu sejak 8 November 2012 dengan cukai tanah RM8.3 juta.

Sultan: Kenapa terhegeh-hegeh?

Isu EIA untuk projek besar di Iskandar Malaysia bukan baru dan sultan Johor pernah bertitah berkaitannya dalam pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 31 Mei lalu.

"Tetapi malangnya, ada pula pihak tidak bertanggungjawab menggunakan kuasa mereka terhadap EIA sebagai senjata untuk menghalang sesuatu pembangunan yang tidak menguntungkan mereka.

"Contohnya projek pembangunan tanah oleh Syarikat Benelac yang MOU telah ditandatangani 3 tahun lalu dengan disaksikan oleh perdana menteri sendiri, masih tidak mendapat kelulusan EIA sehingga sekarang.

"Mengapa pihak yang terhegeh-hegeh sengaja melambatkan kelulusan tersebut? Tindakan seperti ini akan menghalang pembangunan negeri dan membuatkan pelabur lari ke tempat lain.

"Negeri Johor adalah hak rakyat Johor dan hanya orang Johor yang tahu keadaan dan keperluan untuk negeri Johor. Mengapa ada orang luar cuba campur tangan atau hendak mengajar kita tentang apa yang patut kita buat di negeri kita sendiri? " titah baginda.

Justeru, sultan Johor bertitah, baginda mahukan agar bidang kuasa penjagaan alam sekitar dibuat sendiri oleh kerajaan negeri kerana ia berkait rapat dengan urusan tanah dan air.

"Satu perbadanan alam sekitar negeri hendaklah diwujudkan di bawah Enakmen Negeri Johor sebagaimana yang telah ditubuhkan di negeri Melaka, Sabah dan Sarawak," menurut teks ucapan itu.

Militan: PAS pecat tiga lagi ahlinya

Posted: 14 Jul 2014 03:32 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
PAS memecat tiga lagi ahlinya yang dikaitkan dengan kumpulan militan seperti dilapor media dan semakan parti itu mendapati mereka adalah ahli PAS di peringkat kawasan, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam memecat pensyarah Universiti Malaya (UM) Dr Mahmud Ahmad, kakitangan Majlis Perbandaran Selayang Muhammad Joraimee Awang Raimee dan pemilik kedai fotostat dan alat tulis di UM Mohd Najib Husen berhubung perkara itu, lapor Harakahdaily hari ini.

Sebelum ini, PAS memecat keahlian Lotfi Ariffin kerana menyertai gerakan bersenjata di Syria.

"Oleh kerana kenyataan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sebelum ini menyatakan sesiapa yang terlibat dengan gerakan selain gerakan aman "muajahah silmiyah" ini, kita akan pecat mereka ini.

"Oleh itu jawatankuasa PAS Pusat semalam membuat keputusan, ketiga-tiga mereka dipecat daripada PAS," katanya seperti dilapor portal berita itu.

Laporan itu juga menyebut, Mustafa berkata pihak turut melakukan siasatan dengan bertemu sumber rapat yang mengenali latar belakang bagi mendapat kepastian berhubung dakwaan penglibatan mereka dengan kumpulan militan.

Menurutnya hasil siasatan mendapat ketiga-tiga suspek itu sememangnya ada terlibat dengan misi kemanusiaan di Mindanao, Filipina tetapi sumber tidak boleh mengesahkan secara muktamad keterlibatan mereka dengan militan.

"Sebab mereka semua ini tidak berada dalam negara dan tidak dapat dihubungi. Atas sifat tidak ada dalam negara, saya tidak boleh nak buat pengesahan sama ada mereka terlibat atau tidak," katanya.

Ditanya bagaimana PAS membuat keputusan dalam keadaan tidak mengetahui keterlibatan sebenar mereka, Mustafa berkata keputusan itu dibuat kerana wujud unsur keraguan.

"Walaupun aktiviti sebenar secara muktamadnya tidak dapat kita pastikan, tapi maknanya ada keraguan yang boleh dikaitkan.

"Tetapi demi jaga kepentingan jamaah dan parti, jadi kita ambil keputusan seperti mana yang ditegaskan oleh presiden sebelum ini," katanya sambil menambah ketiga-tiga itu boleh membuat rayuan dengan mengemukan bukti bagi membersihkan tuduhan.
 

Serangan di Pulau Mabul oleh kumpulan sama

Posted: 14 Jul 2014 03:24 AM PDT

Serangan di Pulau Mabul oleh kumpulan sama


KUALA LUMPUR - Kumpulan yang melakukan serang hendap dan membunuh seorang anggota polis marin di Pulau Mabul dua hari lepas dipercayai pernah terbabit dalam penculikan di pantai timur Sabah.

Menurut sumber Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), pihaknya sudah mengenal pasti identiti mereka dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina serta orang awam bagi memperkukuh bukti.
   
Sumber itu yang dihubungi Bernama di sini hari ini turut berkata Esscom juga mempertimbangkan kemungkinan menyiarkan foto suspek bagi memudahkan orang ramai mengecam sekali gus membawa kepada penangkapan suspek.
  
Bernama sebelum ini melaporkan Pengarah Bahagian Perisikan Esscom Datuk Ahmad Nadzer Nordin sebagai berkata berdasarkan maklumat risikan, terdapat 14 kumpulan penculik yang berasal dari selatan Filipina dan sekurang-kurangnya empat daripada mereka pernah melakukan penculikan di perairan timur Sabah.    
  
Dalam kejadian 11.10 malam Sabtu itu, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terbunuh manakala Konstabel Zakia Aleip, 26, hilang dipercayai dilarikan, dalam serangan hendap oleh sekumpulan lapan lelaki bersenjata berat di Mabul Water Bungalow Resort, Pulau Mabul, Semporna.
  
Sumber itu juga memberitahu pihak Esscom mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa Filipina yang mengarahkan pasukan marinnya mengesan suspek di perairan negara tersebut.
  
Sementara itu, Pengarah Operasi Esscom, Datuk Abdul Rashid Harun ketika dihubungi berkata pasukan keselamatan telah diarah meningkatkan kawalan keselamatan di resort-resort di perairan pantai timur Sabah.
  
Ditanya mengenai Zakia, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut memandangkan tiada perkembangan terkini.
  
Zakia merupakan mangsa culik keempat di Sabah tahun ini.
  
Pada 2 April lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata melarikan pelancong wanita warga China dan pekerja wanita warga Filipina dari Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna.
  
Sebulan kemudian lima lelaki bersenjata menculik seorang warga China yang juga pengurus syarikat ternakan ikan di dalam sangkar di Pulau Baik, Lahad Datu.
  
Ketiga-tiga mangsa terbabit berjaya diselamatkan. - Bernama

Kakak Kapten Zaharie akhirnya buka mulut

Posted: 14 Jul 2014 03:22 AM PDT


Sakinah  
Sakinah


SINGAPURA - Kakak kandung juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah, akhirnya tampil ke hadapan demi mempertahankan adiknya dari terus didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab ke atas kehilangan pesawat tersebut.

Sakinah Ahmad Shah yang selama ini memilih langkah untuk berdiam diri dengan segala dakwaan dan spekulasi mengaitkan Zaharie dengan kehilangan MH370 memilih untuk bersuara menerusi satu temubual dalam program 'The Mystery of MH370' bersama sebuah rancangan televisyen NewsAsia Channel.

"Individu yang merancang semua ini mestilah seorang yang cerdik dan bersifat 'Einstein'. Tak akan ada individu yang sanggup memanjangkan masa penerbangan sehingga empat, lima atau enam jam hanya untuk melakukan misi bunuh diri.

"Dia (Zaharie) hanya seorang lelaki yang terlalu meminati dunia penerbangan, dia banyak menghabiskan masa dan duit dengan membeli model-model kapal terbang.

"Kalau boleh, dia mahu pasang sayap pada badannya dan terbang. Itu menunjukkan bahawa dia terlalu meminati dunia penerbangan," katanya menerusi temubual tersebut.

Persoalan demi persoalan mula dibangkitkan sejak kehilangan MH370 menjadi sebuah misteri sehingga membabitkan kerjasama dan siasatan yang melibatkan 26 buah negara berbeza.

Juruterbang pesawat tersebut, Zaharie turut menjadi suspek utama bagi insiden kehilangan kapal terbang itu.

MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk anak kapalnya hilang sejak 8 Mac lalu dan usaha bagi mengesan pesawat tersebut masih dijalankan sehingga kini.

Konflik Gaza: PR desak Malaysia lancar protes

Posted: 14 Jul 2014 03:19 AM PDT


Mustafa Ali  
Mustafa Ali
 
 
PETALING JAYA - Kerajaan Malaysia didesak melancarkan protes ke atas serangan Israel terhadap penduduk Palestin khususnya negara yang menyokong dan bersengkongkol dengan kekejaman itu.
 
Majlis Setiausaha Agung PR yang bermesyuarat hari ini sebulat suara mencapai kesepakatan itu dan mendesak kerajaan supaya menghentikan serta-merta semua perbincangan mengenai perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).
 
"Kekejaman Israel itu berlaku dengan sokongan pada Amerika Syarikat (AS).
 
"Oleh itu PR juga mendesak kerajaan Malaysia supaya tidak menandatangani perjanjian tersebut sebagai tanda protes terhadap AS," kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.
 
Sehingga kini, serangan udara tentera Israel telah mengakibatkan pembunuhan lebih 150 penduduk Palestin di Semenanjung Gaza termasuk orang awam dan kanak-kanak.
 
Mengulas lanjut, Mustafa berkata pihaknya tidak membincangkan soal mahu memboikot produk keluaran Israel di negara sebagai tanda protes tersebut.
 
"Kita tidak bincang soal boikot barang Israel hari ini," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Mustafa juga berkata, pihaknya sebulat suara memutuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu mengadakan satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu serangan tentera Israel ke atas penduduk Palestin.

Jelasnya, usaha tersebut sebagai meneruskan kesinambungan sama yang pernah dilakukan pada Januari 2009.

"PR mendesak agar diadakan sidang khas Parlimen itu seperti yang telah dibuat pada Januari 2009," katanya.

Pakar Malaysia ketuai pembedahan wajah budak lelaki Filipina

Posted: 13 Jul 2014 04:59 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 


MELBOURNE: Pakar bedah Malaysia mengetuai pasukan empat pakar bedah untuk membuang ketumbuhan yang mencacatkan wajah seoang budak lelaki Filipina berusia tujuh tahun di Monash Children's Hospital di sini.

Pakar bedah plastik, Dr James Leong Chin Sek, anak kelahiran Kota Baharu, Kelantan berkata, Jhonny Lameon mengalami ketumbuhan di wajah yang membesar menerusi saraf di tengkorak.

Pakar bedah berkenaan yang berkerja secara pro bono atau percuma, melakukan pembedahan selama lapan jam untuk membuang ketumbuhan itu dan membetulkan wajah Jhonny secara keseluruhan pada Mac lalu.

"Saya menerima e-mel berserta gambar dan kisah Jhonny yang mengalami kecacatan teruk dan kami segera memutuskan untuk membantunya.

"Pasukan kami di Monash Health menggerakkan semua sumber kami untuk membawa Jhonny ke Melbourne", kata Dr Leong, 48, kepada Bernama, di sini.

Budak lelaki itu menjalani rawatan pemulihan di Monash Children's Hospital dan di ladang pemulihan Children First Foundation's di Kilmore, 40km utara Melbourne.

Dr Leong, alumni University of Melbourne berkata, kecacatan seumpama itu jarang berlaku, dengan kira-kira seorang dalam 10,000 bayi dilahirkan dengan kecacatan itu.

Beliau berkata, kebanyakan kes seumpama itu sepatutnya dirawat pada peringkat awal iaitu selepas dikesan melalui pemeriksaan 'ultrasound'.

Tetapi dalam kes Jhonny, dia tinggal di kawasan amat miskin dan sudah hampir berusia tujuh tahun.

Dr Leong berkata, disebabkan tiada kemudahan berhampiran rumah Jhonny, keluaranya tidak mampu mendapatkan rawatan intervensi di Filipina, pembedahan terpaksa dilakukan di Australia.

Jhonny telah dinilai oleh pasukan daripada Interplast, badan bukan berasaskan keuntungan yang dibantu Rotary dan Royal Australasian College of Surgeons yang melakukan lawatan ke Filipina.

Interplast kemudian menghubungi Dr Leong yang bersedia membantu kanak-kanak malang itu.

Jhonny yang buta sebelah mata akibat ketumbuhan itu kini makin pulih.

Dr Leong membenarkan Jhonny, yang ditemani ibunya Chochi, untuk pulang ke kampung halamannya di Mindanao. Bapanya seorang nelayan dan dia mempunyai 10 beradik.

"Ada orang baharu dalam keluarga itu kerana semasa di Australia, Puan Lameon melahirkan anak diberi nama Jack pada Mac. Ini memang tidak dijangka dan benar-benar satu kejutan," katanya.

Pada majlis bersama media, Chochi Lameon berkata: "Dr James melakukan kerja amat baik membuat hidung Jhonny. Jutaan terima kasih kepada Dr James. Saya berasa gembira kami boleh pulang ke rumah sekarang," katanya.

Dr Leong membesar di beberapa negeri di Malaysia, kerana bapanya Leong Teng Boon adalah kakitangan awam sebagai jurukur tanah.

Penghijrahan seseorang bertepatan dengan fitrah insan - Dewan Muslimat PAS

Posted: 13 Jul 2014 04:53 PM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Penghijrahan bekas model majalah dewasa Playboy, Felixia Yeap akan memberi kesan baik kepada ramai lagi umat Islam di negara ini, demikian kenyataan daripada Dewan Muslimat PAS, baru-baru ini.
 
Menganggap ia sebagai kelebihan dari bulan Ramadan, Ketua Penerangannya, Mastura Mohd seterusnya berkata ia bertepatan dengan fitrah insan bertuhankan Allah SWT.
 
"Dewan Muslimat PAS mengucapkan syukur dan tahniah kepada saudari seIslam kami, Felixia Yeap (bekas model) dengan izin ALLAH SWT mengucap dua kalimah syahadah secara rasmi pada 5 Ramadan 1435H bersamaan 3 Julai 2014 setelah tujuh bulan mengenakan hijab dan mendalami Islam," katanya.
 
Selepas 7 bulan tampil dengan fesyen hijab, Felixia akhirnya memeluk Islam pada hari jadinya 3 Julai lalu, bersamaan 5 Ramadan.
 
Model pakaian muslimah itu kini dikenali dengan nama Islamnya, Raisha Rania.
 
Sementara itu, Dewan Muslimat PAS turut menyambut baik penghijrahan dua selebriti popular, Fara Fauzana dan Neelofa yang telah mula berhijab pada awal Ramadan ini.
 
"Dewan Muslimat Pas juga mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada pelakon dan pengacara, Fara Fauzana dan Neelofa, dua orang pengacara Nona TV3 yang turut mengenakan hijab baru-baru ini. Alhamdulillah syukur.
 
"Inilah kecantikan dan ketenangan Islam dan apa yang pasti benarlah firman ALLAH SWT.
 
"Dia lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang Mukmin untuk menambah keimanan atas keimanan mereka (yang telah ada). Dan milik ALLAH bala tentera langit dan bumi, dan ALLAH Maha Mengetahui, Maha Bijaksana". (Al Fath:4)," demikian memetik kenyataan Mastura.
 
Selain Fara dan Neelofa, beberapa artis Malaysia yang turut berhijrah adalah Umie Aida, Ana Dahlia dan Uqasha Senrose.

Keluarga TBH: Kepada tuhan kami berserah

Posted: 13 Jul 2014 04:37 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Selepas lima tahun mencari jawapan, keluarga kepada pembantu anggota parlimen DAP Teoh Beng Hock yang meninggal ketika dalam tahanan, kita hanya berharap kepada campur tangan ilahi.

"Kami harap tuhan akan memerhati dan memastikan sistem perundangan memberikan penghakiman adil kepada kami," kata Teoh Lee Lan dalam ucapan di perkuburan mendiang di Semenyih, Selangor hari ini.

Lee Lan merujuk kepada rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan untuk mencabar keputusan terbuka di mahkamah koroner dalam inkues kematian abangnya.

Keluarganya mahu koroner memutuskan terdapat perbuatan khianat dalam kes yang menyaksikan mayat Beng Hock terlantar di luar bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam selepas disoal-siasat.

Dengan keputusan itu, mereka berharap polis akan membuka semula kes yang mencuri perhatian meluas rakyat Malaysia itu.

"Sudah lima tahun sejak Beng Hock diambil daripada kami dan kebenaran di sebaliknya masih belum tersingkap, keadilan belum ditunaikan," katanya, yang seperti selalu, bergenang air mata.

Beliau juga menceritakan keadaan anak Beng Hock yang masih di dalam janin ibunya ketika bapanya meninggal dunia di usia 30 tahun.

"Kami sudah terlepas banyak tentang Er Jia. Ketika dia belajar merangkak, berjalan, bercakap, membaca, melukis dan berkata mama dan papa.

"Di matanya, kami sentiasa berpakaian hitam," katanya, merujuk kepada potret Beng Hock yang kini diabadikan sebagai bahan kempen, semua dalam hitam putih.

Datuk 48 cucu khalwat dengan isteri orang

Posted: 13 Jul 2014 04:31 PM PDT



KUALA TERENGGANU - Seorang datuk kepada 48 cucu dan empat cicit didenda RM2,400 selepas didapati bersalah atas pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, semalam.

Alias Salleh, 78, yang masih beristeri dan mempunyai 18 anak itu turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, dia yang juga seorang bekas guru dan berkahwin sebanyak 25 kali itu memilih menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh didapati bersalah berkhalwat mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Berdasarkan pertuduhan, Alias didapati berkhalwat dengan seorang tukang cuci berstatus isteri orang, Zalina Ismail, 31, di sebuah rumah di Taman Perumahan Wakaf Tengah, di sini, kira-kira jam 5 pagi pada 10 Mei lalu.

Sebelum kejadian, Alias dan wanita terbabit yang berasal dari Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, ditahan berdua-duaan di dalam rumah berkenaan oleh sepasukan polis, yang kemudian mendapati mereka tiada sebarang hubungan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan dibuat Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala Alias tidak diwakili peguam syarie. 

Terdahulu, Kamalruazmi dalam penghakimannya menasihatkan warga emas itu bertaubat atas kesalahannya, apatah lagi pada usia emas seperti itu kesalahan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan.

"Dengan peringkat umur kamu ini, bukan waktu yang munasabah dan sesuai untuk kamu buat kesalahan seperti ini. Kamu nak balik menghadap ALLAH dah...hukuman yang mahkamah jatuhkan kepada kamu tidak boleh menebus kesalahan yang kamu lakukan ini. Insaf dan bertaubatlah," katanya.

Motosikal polis jatuh sungai ditendang suspek

Posted: 13 Jul 2014 04:19 PM PDT

MALAYSIA KINI


Dalam usaha menyelamatkan diri dalam Ops Cantas, seorang suspek menendang motosikal yang dinaiki seorang anggota polis yang mengejarnya hingga terbabas ke dalam sungai di Ipoh.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Ng Kong Soon berkata kejadian itu berlaku di sekitar Mambang Diawan dekat Kampar malam semalam.
  
"Suspek menendang motosikal yang dinaiki anggota polis itu bagi mengelak dia ditangkap. Motosikal itu kemudian masuk ke dalam sungai," katanya dalam satu kenyataan semalam.
  
Beliau berkata suspek berjaya melepaskan diri di laluan gelap. Anggota polis terbabit tidak cedera. 
  
Sementara itu, beliau berkata dalam operasi itu yang bermula Isnin hingga semalam, polis menahan 29 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
  
Katanya, 20 daripadanya warga Indonesia, Nepal (5), Bangladesh (1) dan Vietnam (3).
  
Beliau berkata enam penjenayah ditangkap atas pelbagai kesalahan seperti kes curi motor, pecah rumah dan dadah.
  
Katanya, 96 saman trafik dikenakan terhadap pengguna jalan raya.  - Bernama

Mayat dikerat dua dalam guni ditemui di hutan

Posted: 13 Jul 2014 04:16 PM PDT

MALAYSIAKINI


Mayat lelaki dipercayai dikerat dua dan satu bahagian disumbat di dalam sebuah guni, ditemui di kawasan hutan berhampiran kebun getah di Sungai Tamu, di Batang Kali semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Shukri Yaacob berkata mayat itu ditemui tanpa bahagian badan dari perut hingga ke kaki.
  
Katanya, mayat itu ditemui orang awam yang sedang mencari katak di kawasan tersebut kira-kira pukul 2.10 petang.
  
"Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat dan dipercayai warga asing.
  
"Kita percaya mayat dibunuh dan dikerat dua sebelum disumbat di dalam guni jerami dan dibuang di kawasan ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata tiada kesan kecederaan lain ditemui pada mayat berusia lingkungan 30-an itu.
  
"Kita temui sebilah pisau pemotong daging dan tali nylon dengan kesan terbakar kira-kira 50 meter dari tempat mayat ditemui.
  
"Bagaimanapun kita akan siasat sama ada senjata ini digunakan dalam kejadian," katanya.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.- Bernama

Dr M: Boikot produk Israel hanya berkesan jika libat masyarakat dunia

Posted: 13 Jul 2014 04:13 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan memboikot barangan yang dikaitkan dengan Israel hanya memberikan kesan jika ia dibuat secara besar-besaran melibatkan masyarakat dunia.
  
Katanya tindakan memboikot melibatkan kelompok yang kecil tidak mendatangkan hasil kecuali ia dibuat secara menyeluruh yang membabitkan seluruh dunia.
  
"Saya menyokong usaha-usaha memboikot barangan Israel supaya dapat ditingkatkan ke seluruh dunia", katanya dalam sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa dan menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim anjuran Jetty Point Langkawi di Masjid Darus Salam Nyior Cabang di Langkawi malam tadi.

Cadangan memboikot produk berkaitan Israel itu berikutan serangan regim Zionis ke atas Palestin hingga mengakibatkan ratusan rakyatnya terkorban.- Bernama

Lagi gadis Melayu cantik taruhan DAP

Posted: 13 Jul 2014 04:12 PM PDT

MALAYSIAKINI



 


Selepas satu Malaysia dilanda demam 'Dyana' apabila DAP mempertaruhkan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon pilihan raya kecil Teluk Intan, kemasukan seorang lagi jelitawan menjadi taruhan untuk meningkatkan lagi minat anak muda terhadap parti itu.

Dalam temuramah eksklusif siri pertamanya dengan organ Bahasa Melayunya, Roketkini, aktivis Syefura Othman, 25, ditonjolkan sebagai penarik minat golongan muda terutamanya Melayu.

Kemasukan Syefura (kanan), gadis Melayu bertudung yang lebih dikenali sebagai "Rara", bulan lalu sudah pun menjadi perbualan hangat, termasuk di kalangan penulis blog anti-DAP.

Poster dan grafik di laman-laman sosial misalnya didakwa memfitnah Rara, ahli seumur hidup DAP, berhasrat menghapuskan hak-hak orang Melayu.

Tidak cukup dengan itu, menurut Roketkini, terdapat pihak memuat naik grafik memaparkan gadis bujang yang menetap di Negeri Sembilan itu sebagai pakar urut batin berserta dengan alamat dan nombor telefonnya sekali.

Bagaimanapun, ia tidak dihiraukan oleh tuan punya badan.

"Tapi disebabkan saya macam dah terbiasa, saya biarkan sahaja. Bila saya kena sekali lagi waktu masuk DAP, saya sudah boleh bersedia. Saya ketawakan saja," katanya dipetik dari Roketkini.

Dari SAMM ke DAP

Walaupun belum diketahui sejauh mana keupayaan anak muda ini, namun ahli Solidariti Anak Muda Malaysia itu menjawab yakin, mengapa memilih DAP dan bukan parti Pakatan Rakyat lain sebagai wadah perjuangannya.

"Saya menyertai DAP kerana ia menyediakan ruang untuk wanita muda Melayu terutamanya," jelasnya.

"Kita kekurangan pimpinan wanita muda. Kita mungkin ada Nurul Izzah (Anwar) dalam PKR, kalau PAS saya tidak pasti siapa. Kalau kenal pun Kak Aiman (Athirah)" tambahnya.

Rara berkata kemasukannya ke dalam DAP dengan cita-cita untuk mengajak lebih ramai wanita untuk turut ke depan dalam perjuangan mengembalikan demokrasi dan keadilan.

Namun biarlah masa menentukan sama ada kemasukan Syefura sama ada beliau bakal menjadi pemangkin kepada perubahan persepsi terhadap DAP yang sering dimomokkan sebagai parti cauvanis Cina dan memusuhi orang Melayu.

"Kita perlukan seseorang untuk ke depan dan menjadi contoh, pemimpin dan pembuka jalan."

"Sekali kita maju setapak, orang yang di belakang akan ikut kita," kata beliau.

Bagaimabapun, sejauh mana Syefura akan diketengahkan DAP, sama ada beliau akan dibariskan di barusan depan sebagai calon pilihan raya seperti Dyana (atas), hanya masa yang akan menentukan.

Situasi dipasti selamat sebelum hantar 50 doktor

Posted: 13 Jul 2014 04:05 PM PDT

adnan


KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memastikan situasi di Semenanjung Gaza selamat dan terkawal terlebih dahulu sebelum Umno menghantar 50 doktor pakar bagi 'Misi Bantuan Kemanusiaan Ke-4 ke Gaza'.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kerajaan dan Biro Kebajikan Umno Malaysia menyedari keadaan di Semenanjung Gaza pada masa ini masih tidak selamat dengan serangan bom tentera Israel yang berterusan.

"Bila selamat, baru kita hantarlah. Kita tahu sekarang keadaan di sana tidak selamat dan tidak menentu, masih lagi dibom puak Israel dalam kawasan-kawasan Gaza. Sehari 300 hingga 400 bom dihantar ke kawasan Gaza," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Nur Ramadan 2014 peringkat Parlimen Titiwangsa di sini, hari ini.

Ditanya cara memasuki Gaza sekiranya pintu sempadan Rafah ditutup, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza mempunyai kaedah tersendiri untuk masuk ke Gaza bagi menyalurkan bantuan.

"Ada cara...saya pasti bila nak hantar (misi bantuan) sukarelawan pasti akan berbincang bagaimana nak hantar dan bagaimana nak masuk," katanya.

Pada majlis itu, Kementerian Wilayah Persekutuan menyampaikan sumbangan cek bernilai RM10,000 kepada Masjid Al-Akram Datuk Keramat.

Selain itu, kementerian turut memberikan sumbangan wang tunai dan barangan makanan kepada 500 fakir dan miskin, anak yatim, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya dan warga emas dalam kawasan Parlimen Titiwangsa. - Bernama

Media sosial jangan perlekeh Esscom

Posted: 13 Jul 2014 04:03 PM PDT

Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi


KOTA BHARU - Media sosial di negara ini diingatkan agar tidak memperlekehkan usaha pasukan keselamatan yang mengawal Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sebaliknya harus bersama-sama kerajaan mendaulatkan negara daripada sebarang pencerobohan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang berlaku di perairan Sabah termasuk terbaru semalam, ia membabitkan soal maruah negara dan ia merupakan masalah bersama dan bukannya kesalahan itu diletakkan di bahu pasukan keselamatan semata-mata.

"Saya minta media sosial atau mana-mana pihak agar jangan merendah-rendahkan usaha yang dibuat Esscom sama ada PDRM (Polis Diraja Malaysia), ATM (Angkatan Tentera Malaysia) ataupun Maritim (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia).

"Ini masalah negara. Pasukan keselamatan kita harus diberi sokongan moral oleh semua pihak. Media sosial harus bersama dan jangan hanya pandai mengutuk sahaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, malam ini.

Turut hadir timbalannya Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas insiden yang menyebabkan anggota pasukan Polis Marin, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terbunuh dan Konstabel Zakia Aleip, 26, hilang, dipercayai diculik penceroboh di sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna.

Pengarah Operasi Esscom, Datuk Abdul Rashid Harun dilapor berkata, penyerang yang menggunakan senjata berat itu membuat serangan hendap dan membunuh anggota polis marin berkenaan kira-kira 11.10 malam tadi.

Mengulas perkara itu Ahmad Zahid berkata, apa yang berlaku merupakan satu cabaran yang terpaksa dihadapi PDRM sebelum pasukan itu mengambil alih pentadbiran dan operasi Esscom mulai 15 Julai ini.

"Saya ingin sahkan kejadian itu merupakan satu tamparan dan pukulan terhadap PDRM sebelum ambil alih Esscom," katanya.

Beliau berkata, tindakan pihak musuh yang melakukan serangan secara gerila itu adalah sangat mencabar namun tindakan pihak musuh sedikit pun tidak melemahkan pasukan keselamatan.
 
Ahmad Zahid berkata, pihak musuh yang terbabit sebenarnya terkenal mempunyai sifat dendam yang sangat tinggi dan dijanjikan upah yang lumayan oleh pihak tertentu untuk melancarkan serangan seperti itu.

"Masyarakat itu sebenarnya golongan yang berada pada paras kemiskinan dan mereka sebenarnya telah digula-gulakan untuk melakukan tindakan itu," katanya.

Beliau juga berkata, sehingga ini nasib Konstabel Zakia Aleip yang hilang itu masih belum diketahui. - Bernama

Blogger ugut bunuh MB Kedah ditahan

Posted: 13 Jul 2014 03:58 PM PDT


SHAH ALAM - Blogger yang membuat ugutan bunuh terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah ditahan polis di sekitar Lembah Klang 5.45 petang tadi.

Blogger berusia 37 tahun itu sebelum ini dikesan membuat ugutan bunuh itu melalui laman Facebook menggunakan akaun 'Padi Jantn'.

Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, susulan insiden itu lebih 20 laporan polis dibuat pelbagai pihak menggesa supaya tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit.

Tiada ulasan: