Isnin, 14 Julai 2014

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Datuk 48 Cucu, Pernah Kahwin 25 Kali Kantoi Khalwat dengan Isteri Orang

Posted: 13 Jul 2014 07:56 PM PDT



[Sinar Harian] KUALA TERENGGANU - Seorang datuk kepada 48 cucu dan empat cicit didenda RM2,400 selepas didapati bersalah atas pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, semalam.

Alias Salleh, 78, yang masih beristeri dan mempunyai 18 anak itu turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, dia yang juga seorang bekas guru dan berkahwin sebanyak 25 kali itu memilih menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh didapati bersalah berkhalwat mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Berdasarkan pertuduhan, Alias didapati berkhalwat dengan seorang tukang cuci berstatus isteri orang, Zalina Ismail, 31, di sebuah rumah di Taman Perumahan Wakaf Tengah, di sini, kira-kira jam 5 pagi pada 10 Mei lalu.

Sebelum kejadian, Alias dan wanita terbabit yang berasal dari Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, ditahan berdua-duaan di dalam rumah berkenaan oleh sepasukan polis, yang kemudian mendapati mereka tiada sebarang hubungan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan dibuat Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala Alias tidak diwakili peguam syarie. 

Terdahulu, Kamalruazmi dalam penghakimannya menasihatkan warga emas itu bertaubat atas kesalahannya, apatah lagi pada usia emas seperti itu kesalahan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan.

"Dengan peringkat umur kamu ini, bukan waktu yang munasabah dan sesuai untuk kamu buat kesalahan seperti ini. Kamu nak balik menghadap ALLAH dah...hukuman yang mahkamah jatuhkan kepada kamu tidak boleh menebus kesalahan yang kamu lakukan ini. Insaf dan bertaubatlah," katanya. -14/7/14


MB Selangor Nafi Akan Sertai PAS

Posted: 13 Jul 2014 07:40 PM PDT


[The Malaysian Insider] Tan Sri Khalid Ibrahim menafikan khabar angin beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menyertai parti itu selepas penyebaran gambar pertemuan tersebut di laman Facebook miliknya.

Menteri besar Selangor itu berkata, beliau turut bergambar bersama beberapa pemimpin daripada pelbagai parti termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang merupakan pengerusi Barisan Nasional (BN).

"Saya bergambar dengan perdana menteri, selepas itu dengan (Ketua Umum PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan malam tadi bergambar dengan presiden PAS. Kalau berasaskan gambar saya, banyak parti sudah saya masuk," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Selangor untuk Sukma 2014 di Shah Alam hari ini.

Khalid yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu turut menafikan kehadiran beliau bersama Najib dalam program di ibu negeri Selangor itu baru-baru ini sebagai petanda untuk mempertahankan jawatan beliau selaku menteri besar.

"Tidak (pertahankan jawatan menteri besar). Perdana menteri ingin melawat Selangor, hadir di ibu negeri Shah Alam, ada baiknya menteri besar bersama-sama beliau.

"Tujuan kita menghormati beliau. Saya pun dapat pahala berjemaah bersama-sama," katanya.

Gambar Khalid bersama Hadi dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dimuat naik Khalid di laman Facebook miliknya malam tadi.

Penyebaran gambar tersebut menimbulkan spekulasi beliau akan menyertai PAS.

Kedudukan Khalid sebagai menteri besar kini menerima tekanan daripada musuh dalaman parti yang diwakilinya, PKR, apabila terdapat gesaan terbuka agar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu melepaskan jawatan sebagai menteri besar.

Beberapa pemimpin PKR seperti Ketua Pemuda, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Adun Batu Caves, Amirudin Shari secara terbuka meminta Khalid meletakkan jawatan ekoran tewas pertandingan mempertahankan Ketua Cabang Kuala Selangor dalam pemilihan PKR yang masih berlangsung. – 13 Julai, 2014.


Isteri Berjudi, Suami Jaga Anak

Posted: 13 Jul 2014 06:59 PM PDT


[Borneo Post] SIBU : Seorang wanita yang didapati berjudi selepas menjual kuih antara 14 orang yang ditahan dalam satu serbuan perjudian siber malam kelmarin.

Ibu kepada tiga anak itu memberitahu polis bahawa suaminya membenarkan dia pergi ke tempat perjudian siber ini.

Dia berkata suaminya berada di rumah kerana menjaga anak-anak mereka.

Seorang lagi wanita, yang juga seorang penjawat awam turut ditahan kerana menonton ketika orang lain sedang rancak bermain perjudian siber.

Seorang penjawat awam lelaki yang turut dicekup merayu kepada polis untuk melepaskannya kerana dia mahu pergi untuk kerja syif malam.

Bagaimanapun, lelaki itu turut dibawa ke balai polis.

Pasukan D7 yang diketuai Inspektor Mohd Fazirul menyerbu sebuah premis di tingkat satu di Jalan Kampung Datu, di sini pada jam 10.15 malam.

Polis merampas 23 komputer dari premis dan lapan daripada komputer itu didapati positif bagi perjudian hasil analisis ASP Yeoh Chun Shyan yang merupakan seorang pakar dalam menganalisis perjudian.

Semua tahanan dibebaskan selepas polis mengambil kenyataan daripada mereka. -14/7/14




MB Selangor Sertai PAS?

Posted: 13 Jul 2014 06:14 PM PDT


PERTEMUAN antara Abdul Hadi Awang (dua dari kiri), Mustafa Ali (kanan) dan Abdul Khalid Ibrahim (dua dari kanan) di kediaman Menteri Besar Selangor itu, baru-baru ini menimbulkan pelbagai spekulasi. - FB Badrul Hisham Shahrin

Hadi Temui Khalid Secara Mengejut

[Utusan Malaysia] KUALA LUMPUR 13 Julai - Langkah politik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang kini ditekan hebat partinya sendiri semakin menarik apabila beliau dikhabarkan dikunjungi secara 'mengejut' Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pertemuan itu didedahkan Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rembau yang digantung keahliannya, Badrul Hisham Shahrin, menerusi laman Facebooknya dan bagi menguatkan pendedahan tersebut, beliau turut memuat naik gambar pertemuan berkenaan.

Lebih menarik apabila Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard membangkitkan soal apakah pertemuan yang berlangsung di rumah Abdul Khalid mempunyai kaitan dengan khabar angin kononnya Menteri Besar Selangor itu bercadang mahu menyertai Pas.

"Diberitakan secara tiba-tiba semalam diadakan pertemuan tengah malam antara Tan Sri Abdul Khalid, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali di kediaman peribadi Tan Sri Abdul Khalid. Kenapa tiba-tiba dan tengah malam?

"Macam-macam cerita muncul. Adakah ini berkaitan dengan tekanan mutakhir ini dan Tan Sri Abdul Khalid akan masuk Pas? Politik ini seribu kemungkinan," kata Badrul Hisham sebagaimana dipetik dari laman Facebooknya hari ini.

PKR sebelum ini memperkenalkan 'Langkah Kajang' bertujuan untuk menggulingkan Abdul Khalid tetapi seni politik Menteri Besar Selangor itu ternyata sukar diduga kerana beliau masih utuh bertahan walaupun berdepan dengan tekanan dari pelbagai sudut.

Pada Jumaat lalu, tersebar khabar angin kononnya Abdul Khalid mungkin menyertai UMNO berikutan kemesraan yang dipamerkan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat Selangor sehari sebelum itu.- MOHD. ASRON MUSTAPHA/14/7/14




Tiada ulasan: