Ahad, 20 Julai 2014

.

.


Tengku Razaleigh yang tidak pernah berdendam..

Posted: 19 Jul 2014 09:25 PM PDT

CATATAN                                                                                            

Tengku Razaleigh disayangi pengundinya. Foto 2013.
Malam tadi untuk kesekian kalinya saya beriftar Ramadhan di rumah Tengku Razaleigh Hamzah. Alhamdulilah saya termasuk dalam senarai tetamu Ramadhannya. Hampir setiap tahun sejak lebih 10 tahun lalu saya diundang berbuka dan berterawih di rumahnya. Hanya kalau saya kebetulan tidak ada dalam Malay sahaja, saya akan absen majlis penuh bahagia dan berkat itu.

Sepanjang Ramadhan menjadi amalan Tengku Razaleigh mengundang rakan-rakan dan kerabatnya berbuka di rumahnya. Sebagai seorang pemimpin politik dan pernah menjadi jemaah menteri, beliau mempunyai ramai kawan dari berbagai golongan, politician, bisnesmen, korporat dan rakan-rakan sosial lain seperti ketua-ketua Ngo, penulis dan pemerhati politik.

Setiap mereka ini tidak akan dilupakan akan diundang setiap Ramadhan. Tengku Razaleigh sebagai ahli politik bukan seorang pendendam. Beliau terbuka, dapat memisahkan emosi politik dengan naluri persahabatan. Kalau hendak dikira Dr Mahathir Mohamad adalah orang yang menganianya dalam politik, tetapi sebagai sahabat beliau tidak pernah memansuhkan perhubungan politiknya dengan Dr Mahathir.

Pemandangan sebahagian daripada surau rumah Tengku Razaleigh.
Pernah beliau ucapkan kepada saya; "Ambo dengan Dr Mahathir.. dalam politik ambo tidak percaya, tetapi dari konteks persahabatan dia adalah "saing", (sahabat) ambo." Kadang-kadang sakit hati apabila sesekali Dr Mahathir diundang ke majlisnya dan sebaliknya. Begitulah Tengku Razaleigh seorang politik yang berjiwa besar yang jarang dimiliki ahli politik. Biasanya kalau ahli politik lain bila sudah terkeduh hati, perasaan itu akan dibawah sepanjang hajat tidak ada lagi pertemuan dan sebagainya kecuali bertembung di tempat kematian.

Majlis Ramdhan atau keraian lain yang diadakan, yang dianjurkan Tengku Razaleigh tampak bukan bermotif politik seperti mana diamalkan sesetengah ahli politik lain. Setengahnya rancak mengadakan majlis apabila hampir dengan pilihan raya atau pemilihan dalam parti. Manakala apabila sudah tidak berjawatan, majlis-majlis kebajikan itu sudah tidak diadakan lagi. Ertinya peruntukan untuk mengadakan majlis diguna pakai wang kerajaan bukan dari poket sendiri?

Dalam pemerhatian saya rakan-rakan atau tetamu Ramadhan, Rumah Putih itu tidak pernah berubah dan berkurangan. Ertinya mereka yang menjadi tamu tahun lepas tetap akan datang kecuali ada musaqah - uzur syarie. Kesetiaan ini menggambarkan pekerti yang ada kepada Tengku Razaleigh begitu tinggi dan disanjungi. Budibaiknya menjadikan rakan dan sahabatnya tertambat kepadanya dan berasa sukar untuk mengelak bila diundang. Beliau juga tidak pernah kesal atau merasai sedih atas kemalangan politik yang dialaminya.

Mihrab kecil yang indah dan unik.
Mengusir kawan kerana mengkhianatinya atau menjanjikan sesuatu yang tidak betul, bukan fiil perangainya. Sebab itu, malam tadi dan sebelumnya, saya lihat orang-orang yang mempersenda atau melakukan penipuan sokongan kepada anak raja Kelantan itu, masih juga datang, gelak dan menjamu selera tanpa mengenangkan apa yang pernah mereka lakukan kepada Tengku. Dan mereka juga tetap diundang Tengku sebagai rakan dan disambut mersa sebagai tetamu yang dikira membawa rahmat. Inilah menunjukkan jiwa besar dan ketulusan Tengku Razaleigh dalam bersahabat.

Pernah saya menyebut dalam blog ini sesuatu yang tidak ramai diketahui apa yang ada di sebalik Rumah Putih di jalan Langgak Golf itu. Saya sendiri juga pertama kali menjejakinya tahun 1990 dulu terkejut dengan apa yang ada.

Bahawa dibahagian bawah rumah putih itu ada sebuah surau berwarna putih yang cantik. Lantainya dihiasi karpet putih dan dindingnya dipenuhi dengan cermin. Sebuah mihrab kecil seni bina Arab sebagai tanda arah kiblat, begitu menarik dan unik sekali. Surau itu dibahagi dua bahagian, jemaah lelaki dan sebahagian untuk jemaah muslimat. Kapasiti surau itu dalam perkiraan saya mampu memuatkan 200 jemaah serentak.

Di surau inilah majlis-majlis keagamaan yang dianjurkan Tengku diadakan. Sepanjang bulan Ramadhan surau putih bawah tanah ini senantiasa makmur dengan solat terawih, tadarus, zikir dan sebagainya. Selalunya seorang imam khas akan diundang untuk memimpin majlis. Ada juga sesekali diundang imam dari Timur Tengah.

Berbalik kepada majlis malam tadi, seperti dinyatakan tetamu Ramadhan, Tengku Razaleigh bertambah dari tahun ke setahun. Sekurang-kurang tiga wajah yang tidak ternampak yang disenaraikan sebagai tamu bersama saya, ialah Ahli Parlimen Indra Mahkota, Fauzi Abdul Rahman, bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Abdul Rahim Abdul Rahman (Rahmim & Co) dan Idris Tulis bekas penerbit akhbar tabloid. Sebelum ini saya tidak pernah terserempak mungkin diletak dalam senarai lain.

Malam tadi mereka hadir dan sempat berbual dengan saya. Saya setuju kata Fauzi, Tengku Razaleigh adalah seorang ahli politik yang ikhlas dan disayangi orang. Cuma malang katanya Umno tidak memberi peluang kepadanya untuk menjadi perdana menteri walhal pengalaman dan kebolehan yang ada kepada Tengku jauh lebih baik dari PM sekarang dan sebelum ini.

"Saya tidak faham dengan parti Umno," sunggutnya menggantungkan kata. Mungkin apa dikatakan Dr Mahathir benar, bahawa Umno hari ini dipenuhi orang-orang yang tidak cerdik. Ironisnya kenapa orang yang boleh diharap dan berwibawa seperti Tengku Razaleigh Hamzah tidak mendapat kepercayaanya?

Sementara semasa bersembang dengan Rahim, kami sama-sama mengimbau nasib dan politik Umno Kelantan yang dalam pandangannya Umno Kelantan masih belum berpadu dan masih berpecah antara satu sama lain. Beliau menyentuh mengenai kepimpinan Mustapa Mohamed semacam tidak ada wawasan atau agenda khas untuk Umno tawan Kelantan.

"Datuk Pa orang baik, tetapi sayang watak sebagai pemimpin tidak ada kepadanya. Dia lebih kepada akademis bukan politician, kurang tegas. Untuk memimpin Umno perlu ada orang yang berperwatakan seperti Annuar Musa, tetapi bukan Annuar perlu memimpin Umno Kelantan," ujarnya.

Atas kekurangan itu kata  Rahim, hanya Tengku Razaleigh Hamzah sahaja yang mampu menyatukan puak-puak Umno di Kelantan kerana beliau dihormati semua orang. "Saya yakin kalau Tengku menjadi ketua keadaan Umno Kelantan jadi lebih kuat dan perpaduan juga makin utuh," tekannya.

Terkesan majlis malam tadi ia tidak seria sebelum ini. Selalunya selepas morel, para tetamu berbual dna bertanya khabar dan Tengku Razaleigh akan 'bertumas' di meja. Namun keadaan malam tadi agak berubah daripada biasa, kerana tetamu memahami akan perasaan dihadapi Tengku saat ini yang berdepan dengan ujian Allah ke atas isteri tercintanya Cik Puan Nor yang kurang sihat. Semoga Allah s.w.t. memberi kesembuhan dan kesihatan segera kepada Ybhg Cik Puan Noor. [wm.kl.12:00 t/hari 20/07/14]

Tiada ulasan: