Ahad, 8 Jun 2014

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Kes murtad terbaru: Selangor terburu-buru (8/6/14)

Posted: 08 Jun 2014 04:39 AM PDT


Satu-satunya parti politik yang kekal mempertahankan kepentingan Islam dan memperjuangkan perlaksanaan syariatnya di Malaysia adalah PAS.
Tidak hairan apabila meletus atau tercetusnya isu-isu berkaitan Islam, samada melibatlkan politik antarabangsa dan dunia Islam mahupun isu-isu tempatan, maka PAS lah yang akan ke hadapan menyatakan pendirian dan membuat desakkan.

Sesuatu yang janggal jika ada isu Islam, PAS senyap membisu tidak bersuara atau menegur.
Murtad adalah tindakan seorang Muslim keluar meninggalkan Islam. Ia satu kesalahan, jenayah besar dalam Islam, kerana mampu menggugat dan mengancam kestabilan dan kekuatan Islam itu sendiri. Kerana itu sejak dari dahulu lagi samada ia punya kuasa dan suara atau tiada kuasa dan suara PAS lah yang akan ke hadapan menentang sebarang gejala murtad demi memelihara kesucian dan kedaualatan Islam.

Satu kes kontroversi yang sedang hangat diperbahaskan hari ini adalah kes melibatkan Zarena bt Abdul Majid, 32 tahun.

Ahad lalu para pegawai Jabatan Agama Islam Selangor yang bertindak atas laporan telah pergi ke Kuil Seri Sakhti Easwari di Jalan SS1/25 Sg. Way, Petaling Jaya kerana seorang Muslim, Zarena Abdul Majid dikatakan akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki Hindu mengikut kepercayaan agama Hindu.

Tindakan JAIS itu telah mendapat kritikkan banyak pihak sehingga kerajaan Selangor sendiri melalui Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan bahawa para pegawai JAIS yang terlibat akan dikenakan tindakan tatatertib kerana menceroboh kuil dan menganggu majlis perkahwinan.
MB dalam kenyataannya menyebut kerajaan negeri akan membantu Zarena yang kononnya dibesarkan sebagai seorang Hindu untuk memohon menukar status agamanya pada kad pengenalan beliau.

Laporan awal menyebut Zarena dan adik-beradiknya "dimasukkan" Islam oleh bapanya Abdul Majid, memetik akhbar The Malay Mail bertarikh 4 Jun 2014:
Khalid explained that he was informed by Jais this morning that Zarena had been registered as a Muslim by her father but has never practiced the faith and had been brought up by her Hindu mother her whole life .

(Khalid menjelaskan yang beliau dimaklumkan oleh JAIS bahawa Zarena didaftarkan sebagai seorang Muslim oleh bapanya tetapi tidak pernah mengamalkan ajaran Islam kerana dibesarkan sebagai seorang Hindu oleh ibunya sepanjang usianya)
Menurut akhbar yang sama lagi:

Zarena had claimed that she and her siblings were secretly converted by her Muslim convert father when they were children, but they have long been practising Hindu since their father divorced their mother and abandoned the family over 20 years ago.
(Zarena mendakwa yang beliau dan adik beradiknya telah di Islamkan secara rahsia (tanpa pengetahuan) oleh bapanya ketika kanak-kanak, namu mereka telah sekian lama mengamalkan ajaran Hindu sejak ibu-bapanya bercerai, dan ayahnya mengabaikan keluarga mereka 20 tahun lalu)

Laporan awal dan kenyataan Zarena serta tekanan politik pihak-pihak tertentu telah memaksa kerajaan negeri Selangor mengambil pendirian, iaitu tindakan JAIS itu salah dan Zarena perlu diberi laluan untuk menukar agama menjadi seorang Hindu demi melangsungkan perkahwinannya itu.
Ternyata satu hak asasi penting iaitu "right to be heard" atau "hak untuk didengari" iaitu hak pada bapa Zarena, seorang "player" penting dalam kes ini telah dinafikan. Dinafikan oleh pihak-pihak berkepentingan, dinafikan oleh kerajaan Selangor dan MB.

Mengapa Abdul Majid bin Gulam Kader, 54 tahun, bapa kandung kepada Zarena, suami kepada Vasantha, ibu Zarena yang menurut surat beranak mereka bernama Zainab dan beragama Islam, tidak dipanggil? Sudahkah kerajaan negeri, sudahkah MB memberi peluang kepada Abdul Majid untuk memberikan versi beliau dalam kes ini sebagai bapa?
Kerajaan negeri dan MB Selangor menafikan hak "right to be heard" Abdul Majid, dan telah membuat keputusan pada saya yang terburu-buru tanpa menyaisat secara terperinci kes ini. Begitu juga seorang ahli Parlimen PAS, tanpa usul periksa terus memihak kepada Zarena, dengan maklumat "half truth" dan membuat kesimpulan:

"Isu murtad mesti dibezakan antara yang asal Islam dan yang memeluk Islam kerana berkahwin atau namanya dan status agamanya ditukar menjadi Islam sedangkan dia beramal dengan agama lain…."
Saya dengan seorang sahabat, seorang Ustaz melalui bantuan seorang wartawan telah menjejaki Abdul Majid siang tadi demi mendapatkan versi seorang ayah yang merupakan individu penting dalam kes kontroversi ini.

Saya yakin ramai kita mahu tahu dari Abdul Majid sendiri, apa sebenarnya berlaku sehingga anak kandung beliau boleh mendakwa dirinya Hindu dan mahu dikahwinkan dalam upacara Hindu
Benarkah beliau sebagaimana didakwa oleh seorang ahli Parlimen PAS, nama asalnya adalah S Mahendran dan memeluk Islam dengan menggunakan nama Abdul Majid?  Benarkah ibu Zarena, Vasantha,  sebagaimana dakwa ahli Parlimen tadi ….. "sedangkan ibunya kekal pada agama asal" seorang yang kekal pada agama asal iaitu Hindu? Benarkah Zarena dan adik beradiknya tidak pernah dibesarkan sebagai anak-anak Muslim? Dan banyak lagi soalan-soalan penting.

Adapun maklumat yang dapat saya pungut dari batang tubuh Abdul Majid sendiri adalah seperti berikut:

1. Bapanya Gulam Kader berketurunan Pakistan, seorang Muslim dan ibunya berketerunan India dan memeluk Islam. Lantas menjadikan Abdul Majid seorang Muslim sejak lahir (menyanggah anggapan ahli Palimen PAS di atas tadi)

Berikut saya berikan gambar kad pengenalan Abdul Majid yang sempat saya rakamkan.

2. Beliau mengenali Vasantha (ibu Zarena) dan kemudiannya bernikah dengannya atas dasar suka sama suka setelah Vasantha di Islamkan di Ibupejabat PERKIM KL dan mengambil nama Zainab pada tahun 1979 (sekali lagi menyanggah anggapan bahawa Vasanta adalah seorang Hindu dan tidak pernah memeluk Islam).

3. Kesemua anak-anaknya iaitu Zarena, Shahull Salleh 30, Zaleha 28, dan Abdul Gulam 24 adalah Muslim kerana beliau (Abdul Majid) adalah Muslim dari lahir dan ibu mereka Zainab telah memeluk Islam apabila bernikah dengannya pada tahun 1979. Buktinya nama Zainab sebagai ibu terkandng dalam surat beranak kesemua anak-anaknya itu.

4. Semasa kecil anak-anak beliau telah disekolahkan dan bercampur dengan anak-anak jiran yang Muslim dan terdedah sedikit sebanyak kepada amalan dan pendidikan Islam memandangkan mereka masing-masing memegang surat beranak sebagai seorang Muslim.

5. Sejak berkahwin 1979 itu beliau dan Zainab tinggal sebumbung sehingga mendapat anak-anak. Pada tahun 2000 beliau dihalau keluar oleh isteri dan anak-anaknya semata-mata kerana beliau menegur anak perempuannya agar menjaga diri dan memelihara maruah. Insiden 14 tahun dahulu itu berlaku ketika Zarena sudah dewasa (berumur kira-kira 18 tahun). Sedangkan kita diberi gambaran seolah Abdul Majid tidak pernah terlibat dalam pembesaran anak-anaknya.
Abdul Majid akui isterinya sangat berpengaruh ke atas anak-anak mereka. Isterinyalah yang telah membawa anak-anaknya menjauhi Islam.

Soalnya sebagai seorang Muslim, yang tahu dan sedar bahawa anak-anaknya semua adalah Muslim, Abdul Majid enggan memberikan persetujuan sehingga memungkinkan mana-mana anak-anaknya menjadi murtad dan menukar agama.
Apakah sahih dan benar belaka kata-kata Abdul Majid ini? Pihak bertanggungjawab perlu siasat dan ruang seluas-luasnya perlu diberikan agar penyiasatan terperinci dibuat sebelum sesuatu pendirian atau keputusan dibuat. "Right to be heard" perlu dihormati dan diberikan kepada semua pihak yang terlibat.

Berdasarkan apa yang saya kaut dari Abdul Majid, beliau adalah seorang Muslim sejak lahir, isteri yang beliau nikahi, Vasantha telah memeluk Islam dan mengambil nama Zainab sejak 1979. Anak-anak mereka semua Muslim kerana beliau dan isterinya tetap Islam dan tiada permohonan murtad dari mana-mana pihak.
Jika saya dalam situasi dan suasana Abdul Majid saya juga tidak akan rela dan redha melihat anak-anak saya menukar agama.

Apa pun kebenaran mestilah dibongkar. Jangan dengar dan raikan suatu pihak sahaja dalam kes sensitif dan kontroversi ini. Keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri boleh disemak semula kiranya ada "new evidence" atau bukti-bukit baru.
Bagaikan menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

PAS mesti ke hadapan dalam kes ini dan biarlah kebenaran terserlah sejelas-jelasnya.

 

 

Tiada ulasan: