Sabtu, 14 Jun 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kes dalam buangan, keluarga PI Bala saman Najib, Rosmah

Posted: 14 Jun 2014 04:31 AM PDT

MALAYSIAKINI



 


Keluarga mendiang P Balasubramaniam menyaman sembilan individu termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Rosmah Mansor untuk memohon ganti rugi, kerana dipaksa berada dalam buangan di India selama hampir lima tahun.

Tindakan tersebut diambil selepas penemuan "bukti baru", kata peguam keluarga mendiang, Americk Sidhu dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Menurutnya, tuntutan itu difailkan susulan terdapat bukti baru yang mengaitkan urutan peristiwa yang berlaku pada malam 3 Julai dan pagi 4 Julai 2008 dan yang mengaitkan kesemua defendan yang didakwa memainkan peranan penting dalam melakukan salahlaku terhadap plaintif dan mendiang.

Antara defenden yang dinamakan dalam tindakan saman itu termasuk adik Najib, Nazim Razak, peguam Tan Sri Cecil Abraham dan ahli perniagan Deepak Jaikishan.

Writ saman dan kenyataan tuntutan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 jun lalu. Plaintif dalam tuntutan itu ialah isteri Bala, AS Selvi dan tiga anaknya.

Isu penjagaan anak: Rohani bidas IGP

Posted: 14 Jun 2014 04:30 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim membidas cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menempatkan kanak-kanak yang berdepan pertikaian hak penjagaan supaya ditempatkan di pusat penjagaan.

Beliau menegaskan semua pihak perlu mematuhi keputusan terbaru yang ditetapkan Mahkamah Rayuan dengan merujuk kepada kes pertikaian hak penjagaan anak bagi pasangan S Deepa dan Izwan Abdullah.

"Kes ini dah dipulangkan balik ke mahkamah. Ketua polis negara pun dah tak ada kena mengena dah. Kes ini berbalik kepada mahkamah.

"Ia tertakluk kepada keputusan yang paling baru," katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Bapa peringkat Kebangsaan di Midvalley, di ibu negara hari ini.

Rohani menjawab soalan pemberita mengenai pendirian Khalid bahawa polis akan menempatkan anak dalam kes hak penjagaan membabitkan mahkamah syariah dan sivil, di pusat penjagaan sebagai jalan tengah.

Bulan lalu Mahkamah Rayuan menolak permohonan N Viran atau Izwan Abdullah, untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memberi hak penjagaan dua anaknya kepada ibu mereka S Deepa yang beragama Hindu.

Mengulas lanjut, Rohani berkata kedua-dua anak mereka itu mesti diletakkan bawah jagaan ibu bapa mereka sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang wajar mengenai kes itu.

Patuh keputusan mahkamah

"Kanak-kanak itu sekarang, seorang dengan ibu, seorang (lagi) dengan bapa. Jadi biar mereka tinggal sehingga Mahkamah Persekutuan buat keputusan.

"Saya harap setelah mahkamah buat keputusan sekali lagi, ikutlah. Itulah saranan kami," katanya sambil mengulangi pendirian bahawa institusi penjagaan kanak-kanak sebagai tempat terakhir bagi kanak-kanak itu.

Malah, katanya, kementerian pula sedia menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada kanak-kanak dan ibu bapa yang terlibat.

"Peranan kami pulak kalau dihantar ke institusi jagaan kanak-kanak, bagi kami, ini adalah tempat terakhir.

"Kami nak anak ini bersama ibu dan ayah mereka. Tetapi apa yang kami boleh tawarkan, kami buat kaunseling untuk kanak-kanak dan ibu bapa.

"Kami tunggu keputusan mahkamah tapi jika memerlukan anak itu berada di pusat jagaan (kementerian akur). Sekarang kita tunggu keputusan dan berharap kes ini segera (diselesaikan)," katanya.

Kes penjagaan anak: IGP tidak layak pikul tugas

Posted: 14 Jun 2014 04:25 AM PDT

MALAYSIAKINI


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata keengganan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk melaksanakan perintah mahkamah berkaitan kes hak penjagaan anak bagi ibu bapa berlainan agama, menunjukkan beliau tidak layak untuk menjawat jawatan itu.

"Keengganan Ketua Polis Negara untuk mematuhi perintah mahkamah sivil jelas melanggar kewajipan berkanun yang telah mendedahkan Khalid Abu Bakar tidak layak sepenuhnya bagi apa-apa kedudukan yang tinggi lagi penting," kata Lim dalam sidang medianya hari ini.

Lim berkata Khalid sudah lupa salah satu tugas polis bawah Seksyen 20 Akta Polis 1967, iaitu untuk melaksanakan sebarang perintah saman, sepina, waran, dan undang-undang lain yang dikeluarkan oleh mahkamah.

Beliau turut membidas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kontroversi hangat yang sedang diperkatakan, dengan mengatakan bahawa kes itu perlu merujuk Mahkamah Persekutuan untuk diselesaikan.

TLDM sah anggota ditahan bantu kes militan

Posted: 14 Jun 2014 04:23 AM PDT

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan seorang anggotanya yang berpangkat Laskar Kanan ditahan polis di Sandakan, Sabah semalam selepas disyaki terbabit dalam kegiatan militan.
  
TLDM dalam satu kenyataan berkata anggota yang ditahan dalam operasi khas Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman itu kini masih dalam siasatan polis.
  
"Anggota yang ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas 2012) itu masih dalam siasatan polis dan kes akan dikendalikan pihak polis," kata kenyataan itu.

Sementara itu Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata pihaknya akan mengambil tindakan selanjutnya selepas kes itu selesai disiasat pihak polis.

"Kita tidak mengetahuinya. Kita tidak memaafkan aktiviti sedemikian. Ini merupakan kes polis dan kita akan biarkan pihak polis menyiasat. Kita akan mengambil tindakan selepas siasatan mereka selesai," katanya kepada Bernama.  
  
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata seorang daripada tiga individu yang ditangkap merupakan anggota kanan sel militan yang disyaki telah menjalankan latihan ketenteraan di kem milik Kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina sejak 22 April lalu.
  
Manakala dua lagi suspek termasuk seorang anggota TLDM yang bertugas di Sandakan ditahan kerana disyaki membantu anggota militan itu menyusup masuk ke Sandakan dan melindunginya. - Bernama

Lagi kilang mee guna logo halal tidak diiktiraf

Posted: 14 Jun 2014 04:19 AM PDT

BERNAMA


BUKIT MERTAJAM: Sebuah kilang mee sanggul di Kampung Sama Gagah, di sini didapati menggunakan logo halal tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
  
Pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Md Nasir Mohamad berkata perkara itu terdedah selepas kilang itu diserbu pihaknya pada 5 petang semalam hasil maklumat awam dan risikan.
  
"Sebanyak 1,800 bungkus mi sanggul menggunakan logo halal tidak diiktiraf dirampas. Kita turut menyita 400 bungkus mee teow dan 352 bungkus mee suah mengunakan logo halal tidak diiktiraf serta 780 unit kotak kosong tertera logo halal tidak diiktiraf. Nilai rampasan semalam adalah sebanyak RM4,184.
      
"Berdasarkan siasatan kita, kilang berkenaan yang beroperasi sejak 15 tahun lepas pernah diserbu pada 2010 atas kesalahan sama dan pemiliknya menyalahi Akta Perihal Dagangan (Pengakuan dan  Penandaan Halal) 2011," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
  
Katanya, pihaknya telah merekodkan keterangan pemilik kilang berkenaan  dan menjalankan siasatan menurut Seksyen Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menyalahgunakan logo halal dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau  penjara tidak lebih tiga tahun.

Sementara itu, pemilik kilang yang enggan namanya disiarkan berkata beliau akan memohon sijil halal daripada Jakim secepat mungkin.
  
Wanita itu mendakwa pernah ditipu dalam usaha mendapatkan sijil halal Jakim
dan kerugian lebih RM3,000.
  
Menurutnya hampir 95 peratus pekerja di kilangnya terdiri daripada wanita Islam.

Hudud: Beza antara Speaker Dun PR dengan BN

Posted: 14 Jun 2014 04:17 AM PDT

SELANGOR KINI


SHAH ALAM: Umno tidak ikhlas membincangkan pelaksanaan hukum hudud sebaliknya hanya berminat mempermainkan isu itu dengan menjadikan sebagai senjata politik.

Ini dapat dilihat apabila Speaker Umno dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu sendiri menolak usul membahaskan isu hudud yang cuba dibawa Adun PAS kerana bimbang menimbulkan kemarahan parti komponen Barisan Nasional, MCA dan Parti Gerakan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh yang merupakan Adun daripada DAP pula memutuskan untuk membenarkan isu hudud dibahaskan di persidangan DNS berbanding Umno di Terengganu.

"Umno bukan sahaja tidak mempunyai kesungguhan malah tidak pernah berniat untuk melihat undang-undang Islam dilaksanakan atau sekurang-kurangnya menaikkan taraf institusi Mahkamah Syariah di Malaysia.

"Mereka tidak membawakan usul hudud ini di negeri dikuasai mereka sebab isu hudud ini adalah senjata untuk melagakan PAS dan DAP," kata Khalid ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Pada 15 April lalu, Speaker Dun Terengganu, Mohd Zubir Embong menolak usul yang dibawa oleh Adun Bukit Payong (PAS), Mohd Nor Hamzah di bawah peraturan mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap Dun.

Mohd Nor meminta persidangan ditangguh mengikut Fasal 30 Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan dewan merundingkan isu pelaksanaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1432H/ 2002M yang diluluskan oleh dewan itu pada 7 Julai 2002.

Mohd Nor berkata, tindakan menolak usul itu berikutan Umno Terengganu cuba melepaskan diri dan takut dengan tekanan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) terutama MCA dan MIC.

Dahulukan tuntutan syarak dalam berfesyen

Posted: 14 Jun 2014 04:15 AM PDT

BERNAMA 


KUALA LUMPUR: Wanita muslimah harus mendahulukan tuntutan syarak dalam aspek pemakaian bagi memastikan pakaian mereka mencerminkan keperibadian muslimah sebenar, demikian kata penceramah motivasi terkenal Prof Dr Muhaya Mohamad.
  
Menurut beliau, terdapat wanita muslimah yang sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mengikuti trend fesyen terkini sehingga terlupa tujuan sebenar berhijab dan menutup aurat.
  
"Alangkah ruginya wang yang dibelanjakan, kalau niat adalah untuk kecantikan dan pandangan manusia dan bukannya kerana Allah, kerana hijab bukan sahaja di
luaran tetapi juga di dalam hati," katanya yang juga seorang pakar opthalmologi.
  
"Bercantik itu sederhana. Islam menggalakkan kesederhanaan dan sebaiknya kita pakai bukan untuk tampak anggun semata-mata tetapi untuk sopan dan menjaga aurat," katanya kepada Bernama selepas mengadakan sesi ceramah motivasi pada Pameran Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIHF) 2014 di sini.
  
Menurutnya, ada juga golongan wanita muslimah yang berhijab tetapi tidak menjaga aurat di tempat lain serta mengabaikan kewajipan lain seperti solat dan
puasa.
  
Dr Muhaya juga menasihati agar pengeluar fesyen muslimah memainkan peranan
penting dalam memastikan pakaian yang direka dan dijual menetapi ciri fesyen
seorang muslimah.
  
"Kalau boleh, buat fesyen kerana Allah. Kejarlah untung di akhirat daripada untung di dunia kerana orang yang mengejar akhirat pasti akan dapat dunia sekali," katanya.
  
KLIHF diadakan buat julung kali di Pusat Dagangan Dunia Putra bermula semalam hingga esok dengan penyertaan 250 gerai pameran fesyen muslimah termasuk 50 daripada kalangan usahawan antarabangsa.

Tiada ulasan: