Rabu, 18 Jun 2014

.

.


Pas Kelantan Pasca Nik Aziz (Pertama)

Posted: 17 Jun 2014 05:13 AM PDT

GELORA AWAL                                                                                

[SIRI INI AKAN MUNCUL TANPA BERKALA]

Pembentukan kerajaan Kelantan selepas pilihan raya ke-13 pada 6 Mei 2013 dalam tempoh tidak lebih 48 jam selepas selesai pilihan raya, dan tanpa Nik Abdul Aziz Nik Mat menyambungkan jawatan MB menimbulkan riak dan gelora khususnya dalam kalangan pemerhati politik di luar Kelantan.

Pemerhati melihat kerajaan Kelantan tanpa Nik Aziz itu sesuatu yang mengejutkan. Mungkin ia tidak bagi orang dalaman Pas Kelantan, tetapi "keterkejutan" itu jelas kepada pemerhati luar dan juga dalam kalangan marhaen Pas Kelantan sendiri.

Ini berlaku kerana sebelum itu tidak ada "riak risik" mengkhabarkan secara rasmi Nik Aziz tidak lagi akan menjadi MB selepas pilihan raya ke-13 itu. Hujah atau pun keyakinan kuat ialah apabila Nik Aziz masih menjadi calon di DUN Chempaka.

Dengan penglibatan beliau itu menyebabkan pemerhati serta mereka yang yakin dan senang dengan keperibadian dan kepimpinan beliau tidak menduga Nik Aziz akan meninggalkan kerusi MB yang telah diterajuinya selama 22 tahun. Apa lagi Pas dalam pilihan raya ke-13 itu menang dengan masih bergaya dan selesa.

Sekiranya Nik Aziz tidak bertanding di DUN Chempaka dalam pilihan raya lalu, semua orang tidak akan terkejut dan membuat tanggapan liar yang berbagai-bagai apabila pada 6 Mei 2013 itu beliau tidak ke Istana Kubang Kerian untuk mengangkat sumpah sebagai MB seperti mana dijangka dan diharapkan sesetengah pihak.

Pengundurannya juga sudah pasti akan dinanti-nantikan. Tidak adalah pelbagai versi agakan (spekulasi) mengenai pengundurannya. Kalau beliau tidak jadi MB orang tidak merasa pelik dan ganjil sekiranya sudah ada isyarat awal daripada belia atau Pas Kelantan.

Tetapi kerana beliau masih bertanding, menyebabkan pengundurannya menimbulkan sedikit persoalan dan menyebabkan ada anggapan Nik Aziz telah dimainkan. Ertinya pengundurannya sudah diatur dan dicaturkan demikian rupa? Pengunduran di luar dugaan dan rasanya sendiri.

Suka dinukilkan satu versi popular juga di sebalik persaraan Nik Aziz itu. Kononnya dia tidak menyedari apa sebenarnya yang berlaku. Maksudnya beliau masih belum bercadang untuk berhenti sebagai MB pada masa itu. Apa yang berlaku beliau hanya menyatakan sekiranya berlaku sesuatu terhadapnya, penggantinya ialah Ahmad Yaakub. Itu sahaja.

Sesuatu itu boleh ditafsirkan sekiranya beliau sudah tidak mampu lagi menjadi MB. Tetapi penggantinya bukan Ahmad Yaakub?

Apa menjadi tanda tanya dan kekhilafan beliau kenapa beliau tidak berterus terang mengenai kedudukan dan hasratnya? Selama ini beliau beberapa kali mengatakan soal penggantinya akan berlaku dengan sendiri. Saya sendiri pernah bertanya soal siapa penggantinya, beliau menjawab secara berkias; Rasulullah s.a.w. sendiri tidak pernah menunjuk siapa bakal penggantinya. Jadi mungkin Nik Aziz mengambil iktibar berkenaan. Beliau tidak sedia untuk menunjuk penggantinya dan tidak cuba membina karektor penggantinya.

Justeru apabila di hujungnya beliau dikatakan memilih Ahmad Yaakub sebagai penggantinya bermakna beliau akhirnya memungkiri kata-katanya sendiri. Dalam hal ini kita tidak percaya kalau Nik Aziz "belawak" atau munafik. Tidak ada kelas untuk orang sedarjatnya berbuat demikian. Beliau adalah dianggap insan maksum yang terhindar dari sifat-sifat mazmumah oleh segelintir pentaksud kepada pimpinannya.

Makanya pengunduran beliau pada saat itu, adalah kerana diatur dan dicatur demikian rupa. Penggunduran sudah didesign begitu indah dan cantik sekali dengan tujuan mencapai maksud dan niat-niat tertentu. Tidak ada di dalam mana-mana mesyuarat tertinggi parti baik di Kelantan mahupun di Kuala Lumpur beliau menyatakan hasrat itu secara tegas.

Siapakah yang menjadi pengatur dan pencaturnya kepada pengundurannya? Bersambung. [wm.kl. 8:05 pm 17/06/14]

Berikan kuasa agama sepenuhnya kepada sultan

Posted: 17 Jun 2014 04:29 AM PDT

ULASAN SENJA                                                                              

Cadangan empat ahli parlimen Pas dari Selangor supaya kerajaan negeri meminda undang-undang untuk menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) agar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menerima arahan majlis itu, bagi saya tidak relevan dan menyelesaikan masalah.

Apa yang patut didesak ialah agar kerajaan Selangor meminda perlembagaan negeri untuk membolehkan penguatkuasaan terhadap apa-apa kesalahan jenayah agama di Selangor diletak dibawah tanggungjawab pihak Istana atau Sultan Selangor sepenuhnya.

Sesuai dengan Mais dibawah bidang kuasa sultan, maka elok penguatkuasaan agama juga diletak dibawah sultan. Untuk tujuan itu undang-undang tubuh kerajaan Selangor perlu dipindah ataupun mewujudkan satu enakmen khas membolehkan kuasa itu berada dibawah sultan. Mungkin penubuhan Lembaga Perumahan dan Tanah Johor (LPTJ) 2014 boleh dijadikan ilham.

Hari ini empat orang ahli parlimen Pas dari Selangor, Abdul Khalid Samad (Shah Alam), Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Hanifa Maidin (Sepang) dan Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) sepakat mahukan agar kuasa eksekutif Mais dihapuskan untuk membolehkan Jais tidak mengikut arahan majlis berkenaan.

Cadangan itu dibuat ekoran tindakan Mais dan Jais yang enggan memulangkan 321 kitab Bible yang dirampas kepada Persatuan Bible Malaysia (PBM) walaupun sudah diarah berbuat demikian oleh Menteri Besar Khalid Ibrahim.

Keperluan kuasa eksekutif itu juga menurut mereka perlu dihapuskan memandangkan Mais dilihat rapat dengan sultan dimana ia boleh mencemarkan institusi raja itu sendiri kalau kuasa itu tidak dipecat.

Kalau pun kuasa itu dihapuskan ia tidak dapat mengindarkan apa-apa tindakan daripada bayangan Istana sebab hal ehwal agama terletak di bawah kuasa Raja-Raja atau Sultan. Sejajar itu elok kalau kuasa penuh termasuk dalam soal penguatkuasaan, pendakwaan, penghukuman dan sebagainya diletak dibawah sultan kesemua sekali.

Ia juga sesuai memandangkan perlembagaan memberi kedudukan tertinggi dan istimewa terhadap Islam itu dibawah raja-raja.

Tindakan ini juga bagi mengelakkan kerajaan negeri akan terlepas dari apa-apa tuduhan dan pengkaitan apabila berlaku sesuatu isu agama. Secara pratikalnya Jais sepatutnya mengikut arahan kerajaan negeri dan bukannya dibayangi mana-mana institusi seperti Mais. Apa yang berlaku sekarang ini di Selangor jadi sebaliknya.

Apabila Jais diletakkan terus dibawah sultan ia juga boleh menyelamatkan kerajaan negeri menerima apa-apa tuduhan buruk dan "celaka" apabila mereka bertindak menerusi Jais. Kerajaan negeri juga dalam keadaan serba salah kerana bertindiah kuasa yang ada hari ini.

Percayalah penghapusan kuasa eksekutif itu tidak akan menyelesaikan masalah seperti dikatakan itu kerana selepas ini ia akan ada pula ruang lain untuk meneruskan tindakan seperti hari ini. [wm.kl.7:22 pm 17/06/14]

Tiada ulasan: