Khamis, 15 Mei 2014

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Sarawak: Sembilan ADUN, dua ahli Parlimen tinggalkan parti

Posted: 15 May 2014 08:18 AM PDT

KUCHING: Persidangan hari terakhir Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-17 pada Khamis dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan Tan Sri William Mawan Anak Ikom sebagai Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP ) yang juga merupakan Ahli Parlimen P205 Saratok.

William Mawan membuat pengumuman tersebut kepada pihak media selepas selesai majlis penangguhan persidangan di bilik media Dewan Undangan Negeri Sarawak di mana William Mawan turut mengumumkan beliau akan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) .

Selain William Mawan, turut membuat pengumuman keluar dari SPDP adalah empat orang ADUN iaitu ADUN Tasik Biru, Datuk Peter Nansian, ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri, ADUN Batu Danau Paulus Palu Ngumbang dan ADUN Bekenu Rosey Yunus. Turut mengumumkan keputusan meninggalkan parti ialah ahli Parlimen Baram Anyie Ngau.

"Bagi menyelesaikan masalah dalam SPDP, saya ingin mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Presiden SPDP. Ini bukan kes kapten meninggalkam kapal, tetapi kerana kurang berpuas hati," kata William Mawan.

Beliau juga menyatakan bahawa dia percaya Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem telah maklum tentang peletakan jawatannya dan beliau bersedia untuk mengambil risiko berkenaan.

Tindakan William Mawan dan beberapa ahli SPDP yang menyertai parti TEGAS turut diikuti oleh empat ADUN Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang terdiri daripada ADUN Bawang Assan iaitu Datuk Seri Wong Soon Koh, ADUN Bengoh, Datuk Jerip Susil, ADUN Opar Ranum Mina dan ADUN Engkelili Johnichal Rayong Ngipa.

Selain itu, ADUN Pelagus dari Parti Pekerja Sarawak (SWP) iaitu George Lagong juga turut membuat keputusan untuk menyertai parti TEGAS.

Dalam pada itu, Datuk Peter Nansian yang merupakan ADUN Tasik Biru memaklumkan bahawa parti TEGAS akan membuat permohonan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menyertai parti komponen BN negeri.

Peter turut menyatakan jawatan dalam parti TEGAS akan ditentukan kemudian selepas segala urusan selesai.

"Kami telah membuat permohonan kepada BN untuk menyertai parti komponen BN dan selebihnya kami serahkan kepada mereka. Selepas ini kami akan menghantar permohonan secara formal," kata Peter.

Namun demikian, kesemua mereka yang membuat pengumuman keluar parti SPDP masih lagi memegang beberapa jawatan menteri memandangkan mereka masih lagi bersama BN.

SPDP ditubuhkan pada November 2002 dan sebelum ini terdapat beberapa kekecohan dalam parti berkenaan dimana Ketua Wanita SPDP telah mengadakan serta meluluskan usul undi tidak percaya terhadap presiden parti.

Dalam satu mesyuarat yang diadakan oleh sayap Wanita pada Sabtu lepas, 18 daripada 20 orang yang hadir bersetuju untuk meluluskan usul tersebut.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak enggan memberi komen berkaitan penubuhan parti baru di Sarawak yang menjadi bualan ramai di negeri itu ketika ini di mana ramai di antara ahlinya merupakan individu-individu yang membuat pengumuman keluar parti SPDP mulai Khamis.

Ketika ditanya tentang parti TEGAS serta pengumuman William Mawan tentang keputusan beliau keluar parti, Tan Sri Adenan Satem berkata, buat masa ini beliau hanya akan bertindak melihat dahulu perkara berkenaan dan akan membuat kenyataan rasmi kepada pihak media dalam masa terdekat.

Presiden SPDP umum keluar parti

Posted: 15 May 2014 03:51 AM PDT

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak SPDP Tan Sri William Mawan Ikom mengumumkan keluar parti hari ini.

Turut mengumumkan tindakan sama ialah pemimpin kanan SUPP Datuk Seri Wong Soon Koh.

Dua orang menteri kanan negeri itu akan menyertai parti mesra BN, Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Sidang media pengumuman peletakan jawatan tersebut sedang berlangsung di bangunan DUN Sarawak.

Mawan sebelum ini terlibat dengan perebutan kuasa dengan timbalannya Tiong King Sing manakala Wong pula terlibat dengan satu pertikaian dengan SUPP.

Kemelut Politik Negeri Terengganu Amat Kebudak-Budakan

Posted: 14 May 2014 05:52 PM PDT



Warga Prihatin
KEMELUT POLITIK NEGERI TERENGGANU AMAT KEBUDAK-BUDAKAN

Semenjak isu ini berlegar hangat dan dipenuhi pelbagai kontroversi, kami hanya memerhatikan keseluruhan drama itu berlaku melalui akhbar dan media dari kedua-dua belah pihak. Kami ikuti dari media pro-BN dan juga media pro-Pakatan. Banyak pelajaran dari kemelut itu untuk kita dan juga anak cucu kita belajar dari kesilapan orang sebelumnya.

Semasa salinan surat perletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Said dan beberapa ADUN yang lain beredar, kami kurang mengendahkannya. Pada kami, itu mungkin permainan kanak-kanak nakal yang suka membuat surat-surat menggunakan nama bekas MB ini, kononnya ia meletak jawatan kerana PM tidak memberikan penangguhan sehingga selepas majlis perkahwinan anaknya.

Kami agak terkejut apabila menonton pengesahan dari Ahmad Said secara live pada siang harinya. Rupanya benar beliau merajuk disebabkan PM masih mahu perletakan jawatan dilakukan sebelum majlis perkahwinan anaknya. Salinan surat-surat perletakan jawatan yang kita dapat itu juga seperti telah di deraf oleh orang yang sama, hanya tukar nama sahaja. Ia juga hanya dicetak di atas kertas A4 biasa, tanpa kepala surat rasmi.

Begitu murahnya martabat ADUN dan karisma pemegang jawatan itu jika dinilai dari kekalutan tindakan dan rupa paras surat perletakan jawatan ini.

KERAJAAN FLIP FLOP DAN BURUKNYA BUDAYA LOMPAT PARTI

Agak anih juga bila Penasihat Undang-undang Negeri Datuk Azhar Abdul Hamid umumkan BN masih kekal memerintah kerajaan Terengganu kerana merujuk kepada kerajaan mana yang memerintah selepas PRU13. Prinsip yang sama tidak pula berlaku dalam kes DUN Perak sebelum ini.

Pemimpin itu dipilih oleh rakyat secara demokrasi. Itu sistem yang kita pilih, biarpun ia tidak Islamik. Secara prinsipnya, jika seorang itu telah menang pilihanraya atas tiket satu parti, tidak wajar ia sewenang-wenang tukar jadi bebas atau lompat parti. Demi menjaga hak rakyat yang memilih, maka jalan keluar yang paling adil ialah bertanding semula DENGAN TIKET YANG BARU walaupun terpaksa membazir masa, tenaga dan belanja.

Kami menjangkakan pada hari pertama lagi bahawa kemelut ini boleh membawa kepada kerajaan yang flip flop. Ini kerana walaupun Pakatan menaiki kuasa untuk memerintah, mereka juga mempunyai masalah yang sama. Apa yang berlaku di Perak, juga pada beberapa wakil rakyat lain menunjukkan mereka mangalami fenomena yang sama.

Team Pakatan yang kini sebahagiannya ingin berpatah arang dengan parti DAP telah membuatkan terbitnya team pro-Pakatan (menentang Hudud) dan team yang pro-hudud. Memang DAP tiada dalam DUN di Terengganu tetapi DAP sudah berjaya memecahkan PAS kepada 2 bahagian itu. Flip flop juga boleh terjadi dalam status quo yang berlaku antara kerusi BN dan kerusi PR di negeri ini yang komposisinya adalah hampir 50:50.

Dalam menangani krisis ini, Datuk Seri Mat Said seperti tidak mengggunakan keputusan melalui perbincangan secara kolektif ataupun syuro. Disebabkan isu kenduri itu juga, beliau bertindak nekad untuk keluar parti bersama khabarnya 6 orang ADUN lain ketika itu. YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin Yassin, terus ke Terengganu sebagai utusan bagi menyelesaikan kekalutan itu. Keadaan mula berubah sedikit demi sedikit sehingga semuanya kembali kepada UMNO semula.

Sebaik saja kemelut ini berlaku, secara permukaan pihak PR, khususnya PAS pantas sekali keluarkan kenyataan tidak akan memujuk mereka yang tukar kapal ini, atau akan merampas kuasa sepertimana yang berlaku di Perak dahulu. Ternyata apa yang berlaku sebenarnya jauh berbeza. Itu tersingkap apabila YB Mat Said dedahkan sepantas itu juga dia telah di 'pinang' dengan pelbagai bentuk pinangan.

ADAKAH INI KIFARAH?

Kami ada pengalaman pahit bersama YB Mat Said sewaktu Kembara Sekolah Alam ke Pantai Timur hujung bulan mac lalu. Misi kembara itu ialah untuk meneliti sirah dan latar belakang yang membentuk seseorang pemimpin. Kami mita izin temukan anak-anak dengan YB Mat Said, samada di Kuala Trengganu atau semasa 2 hari kami berada di Kemaman. Seperti satu keangkuhan juga apabila wakil beliau kembali kepada kami dengan jawapan yang menyatakan YB sibuk tetapi meminta kami membuat surat rasmi jika ingin memohon makanan.

Kami terasa agak terguris dan terhina dengan jawapan itu. Seolah-olah anak-anak kami ini ialah pengemis yang meminta-minta makanan atau sumbangan dari seorang menteri besar ketika itu. Kami faham jika dikatakan tiada kelapangan sahaja, namun meminta kami tulis surat jika ingin sumbangan makanan sangat mengguris hati.

Bukanlah pelawaan untuk bertemu beliau supaya kami boleh meminta sebarang peruntukan atau makanan pun. Kita faham kesibukan seorang Menteri Besar. Kami lihat jawapan itu bukanlah satu kematangan sahsiah seorang pemimpin atau wakilnya. Padahal beliau boleh sahaja hantar wakil jika mahu memenuhi pelawaan itu. Maklumbalas yang agak angkuh itu lalu diterima dengan hati berkata, "Tak lamalah kalau macam ini".

Keduanya, sikap Robin Hood beliau yang menahan 2 lori roti yang sedang dalam perjalanan untuk diberi kepada mangsa banjir juga menampakkan beliau tidak kompeten dalam perancangan bantuan. Mungkin ramai yang setuju dengan tindakan beliau, tetapi kami melihatnya dari perspektif yang berbeza, malah tidak etikal selaku pemimpin tertinggi sebuah negeri.

Isu sumpah menggunakan Quran untuk isu bola sepak juga satu yang kami lihat tidak wajar di peringkat seorang Menteri Besar. Allah larang kita sewenang-wenang bersumpah menggunakan nama Allah. Jikalah bersumpah dengan menjunjung Quran itu dikatakan mengikut sunnah, sunnah siapakah yang diikuti? Adakah Nabi SAW menjunjung kitab itu? Quran bagaimana pula yang nabi junjung sedangkan pembukuan kitab Quran ini hanya berlaku 30 tahun selepas kewafatan Nabi, semasa dalam kepimpinan Khalifah Usman RA.?

Kemungkinan ini satu kifarah turut ditambah dengan keangkuhan DUN Terengganu pimpinan beliau yang menolak HUDUD mentah-mentah pada pertengahan bulan lepas. Rata-rata hati umat islam terguris dengan cara penolakan itu. Sebagai hamba tuhan, kami lihat penolakan itu terlalu berani dan tidak beralas sama sekali, tatkala kerajaan pusat sudah mula berjinak-jinak untuk mencari jalan secara teknikal dengan kerajaan Kelantan. Padahal ia telah diluluskan didewan itu pada 2002 lagi.

Kifarah yang sama pernah diramalkan dan telah pun berlaku pada beberapa Menteri Besar lain sebelum ini. Semuanya disebabkan oleh tabiat sombong seorang pemimpin yang telah mendapat kuasa. Kebanyakan mereka lupa adanya kuasa lain yang sentiasa memerhatikan tindak tanduk mereka. Ingatlah bahawa doa anak yatim dan orang yang teraniaya antara yang sangat makbul. Yang jelas, semuanya telahpun mendapat bahagian masing-masing hanya tidak berapa lama selepas kesombongan terhadap marhaen dilakukan. Tidak perlulah kami ceritakan satu persatu.

USWAH PEMIMPIN YANG BAIK

Kisah YB Mat Said tadi amat berbeza sekali dengan TGNA yang sempat kami lawati dalam kembara yang sama itu juga. Walaupun sakit dan uzur, walaupun singkat, beliau tetap memberi ruang untuk anak-anak bertemu dan bermesra. Puas juga semua warga yang hadir tawaf ke seluruh perkarangan rumah serta kompleks beliau di Pulau Melaka. Alhamdulillah, banyak sekali kami pelajari sejarah hidup beliau.

Kehidupan TGNA sangat zuhud. Tiada kereta dan perabut mewah di rumah papan di sebelah masjid itu, tiada polis dan pengawal pun yang melarang anak-anak kami mengelilingi kompleks itu. Tidak ada secawan kopi pun yang kami minta semasa bertemu dengan TGNA. Hanya sekadar memberi penghormatan dan mengkaji sendiri latarbelakang beliau melalui orang-orang yang dekat dengannya. Keizinan sebegitu pun sudah amat kami syukuri.

Tidak kurang juga kemesraan YAB Perdana Menteri yang pernah menjemput kami dan wakil anak-anak secara peribadi ke pejabat beliau di PutraJaya. Anak-anak tidak menyangka yang beliau begitu prihatin dan mesra. Pertemuan yang dijangka 10 minit berlanjutan kepada 30 minit. Terlalu indah apabila YAB PM sendiri bangun dan mengiringi kami anak beranak sampai ke luar pejabat.

Ternyata anak-anak sangat gembira dan bersyukur sekali dapat bertemu dengan beliau. Di pertemuan itu juga dibacakan doa tulus untuk kesejahteraan beliau. Bukan itu sahaja, pulang di rumah, mereka ambil inisiatif mengadakan majlis doa selamat untuk menterjemahkan kesyukuran dan kegembiraan itu. Demikian janji Allah dan rasul. Selagi seseorang itu masih menghargai dan membela anak yatim serta menghargai ibu bapanya, maka ada nilaibaik pada dirinya.

Pendekatan yang sangat baik telah juga diberikan oleh YB Sulaiman (BN - Tanjung Karang) dan juga Dr. Shafie (PAS – Bangi). Kami faham benar jika pemimpin-pemimpin ini sibuk tetapi contoh yang kami berikan ini ialah orang yang tidak sombong dan tidak meletakkan protokol yang terlampau lalu mudah didekati dan mendekati masyarakat.

Dalam Kembara Sekolah Alam ke-4 kami di Tanjung Karang, kami jemput kedua-dua belah penguasa kampung iaitu dari pihak pusat (BN) dan juga negeri (PR). Alhamdulillah, YB Sulaiman terus sahaja menjengah walaupun tidak kami jemput dengan surat menyurat yang berprotokol.

Ternyata YB Haji Sulaiman sangat mudah didekati dan sangat prihatin. Sama juga dengan YB Dr. Shafie ADUN PAS Bangi (sebelum ini). Beliau sangat rapat serta mesra dengan ketua kampung dan penduduk setempat. Beliau mudah bertemu rakyat serta sering dilihat meronda kawasan sendirian dengan pacuan 4 roda dan seorang pembantu sahaja. Pernah sebahagian dari kompleks kami terbakar, beliau dan ketua kampung merupakan orang pertama yang hadir, lebih awal dari bomba.

KEKALUTAN POLITIK TERENGGANU

Dalam kemelut ini juga, kami lihat YAB Perdana Menteri seolah-olah kalut dengan apa yang berlaku. Kedaulatan sesebuah organisasi itu adalah atas kesetiaan serta sikap pemimpin dan ahlinya. Islam itu cara hidup. Dalam islam, orang yang keluar agama (MURTAD) tidak akan ada ampunnya. Ini mendidik manusia agar sentiasa berfikir panjang sebelum bertindak. Sifat kebudak-budakan pemimpin yang kita lihat sehari dua ini betul-betul menggelikan hati.

Merelakan orang yang telah keluar untuk masuk semula seperti ia satu permainan sahaja. Benar jika dibiarkan mereka yang keluar parti itu keluar, mungkin Negeri Terengganu akan jatuh ke tangan PAS. Tetapi saf UMNO akan jadi lebih bersih dari orang-orang yang mudah berpaling tadah dalam perjuangan hanya dek kerana kenduri anak yang sangat berbentuk peribadi.

Mujurlah tidak perlu berlaku pilihanraya negeri semula. Alangkah membazirnya jika ia terpaksa dilakukan semula, hanya selepas 1 tahun menjalankan pilihanraya, hanya kerana melayani perangai kuat merajuk seorang bekas menteri besar. Semua ini adalah pembaziran dan akan ditanya di akhirat sana kerana pembazir adalah kerabat syaitan.

Kita juga dapat membaca dan menilai komen dan status beberapa pemimpin UMNO yang agak prominen. Masing-masing seperti sudah boleh meramalkan apa yang akan berlaku beberapa jam selepas perletakkan jawatan beramai-ramai itu. Masing-masing mengatakan penasihat-penasihat YAB PM lebih kepada PUNAHSIHAT berbanding penasihat. Kami serah kepada anda untuk menilai kenyataan sarkastik mereka.

Kami harap khabar angin bahawa mereka telah diberikan dana penyenyap mulut itu tidak benar. Jika ia benar, kami hanya boleh geleng kepala sahaja. Ingatlah, Allah firmankan bahawa emas sepenuh bumi sekalipun tidak akan mampu menyatupadukan manusia. Jika wang yang kita gunakan untuk menyatukan manusia, kelak dengan wang itu juga manusia itu dipecahkan. Dan itu telahpun banyak berlaku.

Sekalipun YB Mat Said telah membuat pusingan 'U' berpatah balik kepada UMNO, kerosakan yang telah dibuat dari perangai rajuk dan bertindak melulu itu telahpun merosakkan nama parti itu secara kekal.

Rajuk-merajuk ini sifat semulajadi wanita. Ternyata Allah benar dengan memerintahkan hanya orang lelaki sahaja wajar menjadi pemimpin. Bukan sekadar lelaki pada kelaminnya sahaja, tetapi pada tabiat dan pendiriannya juga. Kalau tidak, habislah rajuk-merajuk ini menjadi agenda pemimpin kita setiap minggu gamaknya.

Allah berfirman "..Pada kisah-kisah mereka terdapat pelajaran". Semuga kita mampu mengambil iktibar.

Hasil muhasabah
WARGA PRIHATIN

Tiada ulasan: