Khamis, 15 Mei 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Islam apa yang dibawa Isma?

Posted: 15 May 2014 04:10 AM PDT

Muhammad Ismail Ibrahim


SECARA umumnya, kita akui beberapa sumbangan yang telah dilakukan Isma dalam perjalanan gerakan dakwah di Malaysia mutakhir ini. Di peringkat universiti, Isma melalui 'rank-and-file' nya Pembina, turut terlibat dalam program dakwah sebagai seruan kepada mahasiswa Islam untuk mempraktikkan Islam dalam kehidupan seharian. Namun dalam beberapa perkara, kita berbeza pendapat khususnya melibatkan pandangan politik dalam melihat kerangka masyarakat majmuk pada hari ini.

Kenyataan demi kenyataan daripada pemimpin-pemimpin Isma seminggu dua ini telah membangkitkan beberapa persoalan dalam kalangan gerakan dakwah di dalam negara ini tentang apakah versi Islam yang sebenarnya yang cuba ditonjolkan oleh Isma? Beberapa percubaan untuk membangkitkan persoalan kontrak sosial di dalam bulan Mei ini sesuatu yang patut difikirkan kembali.

Pada asasnya, persoalan yang dibangkitkan bukanlah dalam ruang lingkup perbezaan pendapat. Kita akui bahawa setiap pendapat perlu diraikan sebagai menunjukkan kerencaman kehidupan bermasyarakat.  Akan tetapi, pandangan yang cuba digarap dalam pemikiran mereka adalah sesuatu yang aneh dan ganjil! Isma sepatutnya menilai kembali pandangan mereka dalam melihat kerangka dan hakikat sejarah.

Dari fakta sejarah, Islam lebih awal sampai di Sungai Indus dan Ganges di India berbanding Sungai Gombak dan Klang. Islam juga lebih dahulu sampai ke Sungai Yangtze di China berbanding Sungai Kelantan. Itu merupakan fakta yang tak boleh disanggah lagi. Oleh itu, kita tidak boleh menjadikan Islam itu sebagai hak eksklusif pihak-pihak tertentu.

Kenapa Isma tidak melihat kehadiran 'orang lain' 300 tahun lalu akibat daripada pelbagai faktor merupakan suatu peluang untuk dikhabarkan tentang keindahan Islam. Apa yang Isma perhatikan selama ini terhadap non-Muslim adalah kesan daripada proses dakwah yang tidak menyeluruh samada diri sendiri, masyarakat dan negara umumnya. Lihatlah akhlak kita hari ini sebagai seorang Muslim, apakah ianya akhlak al-Quran? Adakah ianya bertitik tolak dari ayat 'Rahmatan lil A'lamin? Adakah ianya menerangkan konsep ar-Rahman dan ar-Raheem? Jika tidak, maka tidak hairanlah mengapa 'orang lain' semakin jauh dari kita dan kita pula mengambil jalan bermusuh dengan mereka.

Pandangan politik

Pada pendapat sesetengah pihak, Isma cuba menjadikan 'Tanah Melayu' ini hanya untuk orang Melayu, yang merupakan respons dari satu sikap yang terhasil berdasarkan pengamatan tentang apa yang berlaku di Singapura. Sikap Xenophobia ini mendorong Isma lebih tegas dalam mengemukakan pandangan politik mereka ketika PRU13 yang berlangsung tahun lalu. Melihat kepada perubahan dan kebangkitan 'orang lain' yang menyokong Pakatan Rakyat, rasa pesimis Isma terhadap perubahan ini mendorong mereka bertindak meletakkan calon di kerusi majoriti Melayu, kononnya mewakili suara sebenar orang Melayu.

Pas pada takwilan mereka sudah "tidak syari'e" lagi kerana bertindak mengadakan bekerjasama dengan bukan Islam. Maka tampillah pemimpin-pemimpin Pas menerangkan konsep tahaluf siasi kepada umat Islam amnya. Barangkali jika Pas tidak bersama Alternatif/Pakatan seperti dalam dekad-dekad 80-an dan 90-an dulu, Isma tidak menunggu lama untuk bersama mereka. Namun usia Pas yang lebih separuh abad sedikit sebanyak mematangkan tindakan mereka yang tidak naif lagi dalam melihat realiti kehidupan di Malaysia hari ini.

Pas terpaksa menyesuaikan beberapa pendekatan dan pandangan mereka terhadap 'orang lain' yang pernah dilakukan sepanjang perjalanan Pas dalam sejarah politik tanahair.

Lahir pemimpin seperti Khalid Samad dan Mujahid Yusuf Rawa yang dilihat bersikap lebih moderate dalam melihat waqi' hari ini. Isma perlu melihat bahawa toleransi yang cuba diwujudkan oleh Pas hari ini tidaklah mencerminkan bahawa mereka mengabaikan dan  menggadai kepentingan-kepentingan yang perlu dan wajib dipertahankan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kader Islam Progresif

Sampai bila kita ingin menjadi Melayu yang regresif. Kita berharap Isma lebih terkehadapan dalam berfikir dan bertindak sebagai terjemahan dari hasil tarbiyah dan usrah yang mereka lakukan. Untuk apa kita hadam teks-teks karangan Syed Qutb, Hassan al-Banna, Mustafa Masyhur dan Fathi Yakan di dalam usrah jika kita gagal melihat konteks yang perlu disesuaikan hari ini.

Kita berharap supaya Isma lebih matang daripada sahabat kita Perkasa dalam 'menggerakkan Melayu' dan bukan sekadar berbeza hanya pada kuffiyah dan songkok! Isma perlu mengambil teladan daripada Abim dalam melihat sesuatu isu yang menjadi keutamaan untuk diperjuangkan. Abim sejak dekad 70-an sangat lantang merespon isu-isu yang membabitkan umat Islam dalam dan luar negara. Mereka tidak memilih pendekatan terbelakang ini, apa yang mereka fahami, inilah hakikat Malaysia hari ini dan kita perlu terus bergerak bersama!

Adik-adik mahasiswa universiti yang baru berkecimpung dalam dunia dakwah khususnya Pembina perlu bersikap bersederhana dan tidak fanatik. Jangan mewujudkan sentimen kebencian di dalam media baru hanya semata-mata menegak kalimah hak 'berkatalah benar sekalipun pahit'. Boleh jadi apa yang kita laung-laungkan selama ini sudah tidak relevan lagi 10 tahun akan datang. Dan kita terpaksa akui dan menelan hakikat bahawa kita terpaksa menjilat kembali ludah semalam. Pengalaman hidup yang kita lalui sedikit sebanyak akan merubah pandangan terdapat sesuatu perkara.
 
(*)  Muhammad Ismail Ibrahim  Editor The Kelantan Times

UMNO tidak memerlukan musuh untuk mempercepatkan kehancurannya. Punca nya ialah kepimpinan Najib yang lemah.

Posted: 15 May 2014 03:50 AM PDT

sakmongkol.blogspot.com/


Zahid Hamidi berkata musuh2 UMNO memang selalu dan beterusan berusaha menjatuhkan UMNO. Takkanlah baru sekarang Dato Zahid sedar dan tahu. Objektif parti2 lain ialah menumbangkan UMNO secara demokratik mengikut cara yang dibenarkan oleh undang2. Ini bukan rahsia. Ya- kami mahu tumbangkan UMNO supaya kita boleh menubuhkan sebuah kerajaan yang demokratik, memerintah mengikut undang2 dan melaksanakan dasar2 yang memaksimakan kebahagiaan dan kebajkan rakyat. tidak ada misteri disini. 

Cara nya ialah melalui peti undi dan pilihanraya. Dalam PRU13, rakyat lebih ramai memilih parti pembangkang yakni Pakatan Rakyat dari BN. PR dapat 51% undi popular manakala BN dapat 47%. 2% di perolehi oleh parti bebas seperti PSM dan sebagainya. Kalau tak faham fakta ini, sia2lah Zahid Hamidi dapat ijazah kedoktoran nya. atau mungkinkah tesis kedoktoran nya ditulis oleh orang lain? Sebab percakapan dan perbahasan Zahid diluar parlimen dan didalam parlimen tidak mencerminkan kesarjanaan nya. 

Apa yang terjadi dalam negeri Terengganu, tidak berkait lansung dengan orang lain. Mat Said adalah orang UMNO. Ini kes sesama UMNO kelahi dan punca segala nya ialah kepimpinan Dato Najib yang tidak tegas. Rakyat harus sedar- tanggapan umum Mat Said kaki gedebe yang menyamun harta benda Terengganu. Dato Najib tahu hal ini. Walaupun tahu, dia kekalkan Mat Said sebab sememang dari mula ketika PRU13 hendak dilansungkan, Mat Said sudah menakutkan Najib mengugut bahawa dia dan geng2 lain akan keluar UMNO. Apatah lagi ketika itu, BN menang 17-15. Najib yang sedia penakut akan hilang kuasa dan hilang negeri Terengganu terpaksa ikut cakap Mat Said. 

Perjanjian antara Mat Said dengan Dato najib adalah penjanjian sesama orang crook. Perjanjian seperti ini adalah perjanjian untuk memusnahkan negeri dan negara. ianya semata mata untuk mengekalkan kuasa yang masing2 ada. Semua dunia tahu, kawasan balak yang Mat Said luluskan lebih besar dari keluasan yang diluluskan semasa Wan Mokhtar jadi MB Terengganu. Dan Wan MOkhtar jadi MB jauh lebih lama dari Mat Said. Dan Mat Said menguasai wang ehsan dari Petronas selama 6 tahun tapi rakyat Terengganu apa dapat? 

Jadi tak payah lah Dato Zahid Hamidi nak bersandiwara dan berdrama mengatakan apa yang berlaku dalam UMNO Terengganu ini angkara orang lain. Kalau sudah ada penjahat dan lanun dalam parti UMNO negeri itu, tak perlu orang lain mengganggu UMNO. Ianya akan hancur dari dalam. 

Saya berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air.

Apa lagi modal dan alasan orang UMNO jika kemudiannya membuat u-turn? Mereka akan mengungkap kata kata cliché kami berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air. Orang Pahang akan sebut-bila mereka jijik mendegar kenyataan ciche ini- kepala bapok awok- orang lain tidak berjuang untuk agama , bangsa dan tanah air kah? 

Perjuangan untuk bangsa Malaysia, Tanah air Malaysia dan agama masing2 bukannya monopoli puak UMNO. 

Boleh kita percaya bila orang UMNO sebut perkara2 ini? Macamlah orang UMNO sahaja yang berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air. Bukannya baru ini UMNO perjuangkan perkara2 yang semua mamat UMNO sebut- sudah 68 tahun. Setelah 68 tahun, rompakan dan rasuah lebih besar dari kemajuan dan pembangunan. Setelah 68 tahun, 20% Melayu tertatas menguasai 65% kekayaan Melayu. Wahai UMNO- yang mesti diperjuangkan ialah kepentingan 40% Melayu terbawah. Mereka ini yang memerlukan bantuan dan pertolongan bukan nya yang 20% teratas itu.

Maka, kepada orang UMNO yang suka sangat mengungkap kata berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air, berhentilah berdrama. Semua orang mempunyai matlamat yang sama. Meluat orang mendengar cakap kosong.

Anwar akan umum tarikh pemilihan semula cabang PKR Selangor, kata Khalid

Posted: 15 May 2014 03:45 AM PDT

TH E MALAYSIAN INSIDER

 

























Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) akan membuat kenyataan rasmi mengenai tarikh pemilihan semula di beberapa cabang PKR Selangor yang ditangguhkan pemilihannya.

Khalid berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik PKR yang dihadirinya malam tadi, antara lain membincangkan tata cara pengundian dan penyeragaman tempat-tempat pengundian untuk pemilihan semula cabang PKR Selangor.

"Kami membuat beberapa ketetapan dalam mesyuarat biro politik di mana hari ini atau pun esok ketua umum akan membuat kenyataan mengenai keputusan biro politik (mengenai isu pemilihan semula cabang PKR Selangor yang ditangguhkan)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan amal sempena "Malaysia Women Marathon 2014" di Shah Alam hari ini.

Khalid berkata beliau tidak akan memberikan sebarang kenyataan terbuka mengenai isu itu, sebaliknya akan memberikan ruang kepada Anwar membuat pengumuman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas 10 daripada 22 cabang PKR Selangor yang terpaksa mengadakan pemilihan semula berikutan bantahan pelbagai pihak berhubung perjalanan pengundian asal cabang itu Ahad lepas termasuk cabang yang ditandingi Khalid di Kuala Selangor.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam yang juga anggota seumur hidup PKR berkata beliau tidak pasti kedudukannya dalam parti sama ada digantung ataupun dipecat ekoran kenyataannya sebelum ini.

Beliau mendakwa seorang daripada pegawai menteri besar Selangor memberi suapan sehingga RM50 kepada pengundi untuk membantu Khalid menang jawatan ketua bahagian cabang PKR Kuala Selangor.

Khalid bagaimanapun menafikan penglibatannya membeli undi untuk mendapatkan sokongan pada proses pemilihan PKR. – Bernama

Media baru dipantau polis berikutan kemelut politik di Terengganu

Posted: 15 May 2014 03:43 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Pihak polis akan terus memantau penyebaran maklumat menerusi media baharu berikutan perkembangan politik semasa di negeri ini, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa.

Beliau berkata walaupun situasi politik di Terengganu kembali tenang tetapi pihaknya tetap berwaspada dan terus menggerakkan pasukan khas untuk memantau laman sosial Facebook, blog dan aplikasi WhatsApp.

"Sekali lagi saya mengingatkan kepada orang ramai agar tidak mencetuskan sebarang kekacauan dengan menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung krisis politik di negeri ini.

"Saya tidak mahu ada pihak yang cuba menggugat keamanan dan keselamatan masyarakat kerana keadaan politik sudah kembali stabil seperti sedia kala," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ghazali Taib dan Roslee Daud sebelum ini bertindak keluar daripada Umno dan mengistihar menjadi Adun Bebas, tetapi kemudiannya ketiga-tiga mereka menyertai semula Umno. – Bernama,

MH370: Najib akui tersalah langkah, patut letak jawatan

Posted: 15 May 2014 02:45 AM PDT

Fiza Halim


Imran Abd HamidKUALA LUMPUR : Pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tersalah langkah dalam pencarian pesawat MH370 adalah sesuatu yang amat memalukan negara, kata Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid.

Justeru kata Imran, Najib dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein wajar meletakkan jawatan.

"Nak tunggu apa lagi? Jadi PM bermaruah sikit. Macam PM Korea yang letak jawatan sebab bertanggungjawab dalam insiden feri karam melibatkan rakyat," katanya kepada Keadilandaily.

Najib dalam tulisannya yang disiar Wall Street Journal semalam mengakui kesilapan dan menggesa negara lain mengambil pengajaran daripada insiden itu.

Najib berkata kerajaan tidak mengutamakan aspek komunikasi, malah mengakui bahawa pengendali trafik udara mengambil masa selepas empat jam untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat.

Imran yang juga bekas ketua staf Logistik Markas Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata setiap radar harus berfungsi dan merekod semua pesawat yang melalui udara.

Menurutnya, pada malam kejadian pesawat itu hilang, ia sepatutnya dikesan segera dan bukannya perlu menunggu sehingga dua atau tiga hari.

"Kalau orang yang jaga radar itu tidur sekali pun, rekod ada. Mereka tahu ke mana pesawat itu pergi. Ini maknanya mereka tak awasi, cakap nampak pesawat tapi sebenarnya tak nampak. Menipu rakyat, bagi maklumat salah.

"Najib tak tahu apa dikatakan, tak tahu apa dia lakukan. Hanya tahu 'disuap' sahaja. Isu ini besar melibatkan ramai nyawa. Dia langsung tak boleh urus," kata Imran

DAP umum calon PRK Teluk Intan Sabtu

Posted: 15 May 2014 02:39 AM PDT

MALAYSIAKINI


DAP akan mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan Sabtu ini, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.
  
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengiringi calon DAP untuk pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh Deo melawat pasar basah Farlim di George Town hari ini.
  
Pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.
  
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Mei sebagai hari penamaan calon manakala pengundian awal 27 Mei dan hari pengundian pada 31 Mei.
  
Dalam pilihan raya umum ke-13, Seah, 48, menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.- Bernama

ADUN PAS dakwa Ahmad Said 'berbohong'

Posted: 15 May 2014 02:38 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


ADUN Batuk Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi mendakwa bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said "berbohong" berhubung dakwaan pihaknya  memujuk beliau menyertai parti Islam itu .

Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahmad itu, Dr Syed Azman sebaliknya mendakwa "pihak Ahmad Said" yang menghubungi PAS untuk menyertai dan menyokong parti itu.

"Ini (dakwaan Ahmad dipujuk sertai PAS) pembohongan semata-mata, PAS tidak pernah sekali-kali berbuat demikian.

"Di kalangan pemimpin PAS memang tiada (tidak pernah menghubungi atau bertemu Ahmad Said).

"Bahkan pimpinan tertinggi parti tidak akan terburu-buru mempelawa Ahmad Said menyertai PAS," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sebaliknya Dr Syed Azman berkata pihaknya yang menerima panggilan daripada "pihak" Ahmad sejurus selepas beliau membuat keputusan keluar Umno dan menjadi ADUN Bebas.

"Malah saya mengesahkan pihak Ahmad Said yang berkali-kali (menghubungi pimpinan PAS Terengganu) 'mempelawa diri sendiri' menyertai dan menyokong PAS untuk menjatuhkan kerajaan BN," kata Dr Syed Azman.

Bagaimanapun, beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat enggan menyebut individu dan jawatan pihak yang menghubungi dan menerima panggilan itu walaupun diminta untuk mededahkannya.

Sinar Harian hari ini melaporkan Ahmad berkata beberapa anggota PAS berkali-kali memujuk beliau menyertai parti itu bagaimanapun beliau menolak kerana amat menyayangi Umno.

Malah, beliau menegaskan tak mahu bertemu mereka lagi dan mendakwa berjaya menghalang lebih ramai wakil rakyat Umno keluar parti ketika krisis politik memuncak.

'Dr M, jadilah orang tua yang segera bertaubat'

Posted: 15 May 2014 02:32 AM PDT

 

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL 


Saya ingin memberi reaksi serangan terbaru Dr Mahathir ke atas Anwar Ibrahim seperti dilapor Bernama bertarikh 14 Mei 2014.

Saya kira Dr Mahathir melatah lagi.

Kali ini beliau menyerang Anwar Ibrahim kerana dijemput menyampaikan syarahan di Universiti Al-Azhar, Jakarta Indonesia. Bahkan penganjur yang menjemput Anwar juga diserang Dr Mahathir.

Kata Dr Mahathir, Anwar tidak layak menyampaikan syarahan tentang Islam kerana moralnya rendah!

Izinkan saya menceritakan kepada Dr Mahathir yang mudah lupa, lama sebelum Anwar berkawan dengan Dr Mahathir, Anwar sudah pun mengenali dan berguru dengan Dr Yusuf Al-Qaradawi, Dr Ismail Faruqi, Dr Sheikh Taha Jabir Al-Awani, Pak Natsir, Pak Hamka, Sheikh Hassan Turabi, Dr Rashid Ghanoushi, Sheik Mehdi Aqif dan ramai lagi.

Anwar terlibat dengan gerakan Islam sejak zaman sekolah, mahasiswa, belia dan tidak pernah bersara hingga hari ini.

Tokoh-tokoh ilmuan dan gerakan Islam seantero dunia seperti Dr Yusuf Al-Qaradawi, Dr Wahbah Zuhaily, Dr Abu Hamid Sulaiman, Dr Ahmad Totonji, Dr Tariq Suwaidan dan Dr Tariq Ramadan sentiasa mengunjungi Anwar setiap kali mereka berkesempatan datang ke Malaysia berbincang isu-isu umat sejagat.

Biarlah saya mengingatkan Dr Mahathir walau bersungguh-sungguh beliau berusaha untuk membunuh karakter Anwar dengan fitnah liwat selama lebih 15 tahun, fitnah jijik itu tidak mampu menjauhkan tokoh-tokoh ilmuan Islam daripada Anwar.

Kalau Dr Mahathir ingin tahu apa sebabnya, jawapannya cukup terang. Islam melarang dan mengharamkan seorang muslim memfitnah saudara muslimnya yang lain dengan fitnah zina atau liwat.

Dr Mahathirlah yang mereka fitnah liwat terhadap Anwar.

Mangsa fitnah

Namun Dr Mahathir tidak pernah berupaya menampilkan empat saksi sepertimana yang Al-Quran wajibkan. Rakan-rakan Anwar dari kalangan tokoh-tokoh Ilmuan Islam ini terus mendokong Anwar kerana kayu ukur mereka ialah Al Quran. Keyakinan mereka ialah Anwar menjadi mangsa fitnah jahat Dr Mahathir.

Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri memperalatkan seluruh jentera pemerintah termasuk media, polis, peguam negara dan mahkamah untuk  melengkapkan fitnahnya terhadap Anwar. Dipenjarakan tujuh tahun, bebas dan Anwar terus berjuang.

Apakah Dr Mahathir berhasil "membunuh" Anwar? Tidak sama sekali!

Kalau dahulu ketika masih berkuasa Dr Mahathir boleh sahaja menyekat dan memenjarakan Anwar. Hari ini pun kerajaan Umno/ BN boleh terus menyekat Anwar menyampaikan syarahan di universiti-universiti awam dan swasta di negara kita.

Kerajaan Umno/BN malah boleh mengugut mahasiswa-mahasiswa Malaysia di luar negara agar jangan mengikuti syarahan Anwar.

Namun Dr Mahathir dan kerajaan Umno/BN tidak boleh menyekat universiti-universiti terkemuka di rantau ASEAN, di Eropah, di Amerika Syarikat dan di Timur Tengah dari terus mengundang Anwar. Anwar sering dijemput mengupas pelbagai tajuk menyentuh persoalan umat Islam dan dunia seluruhnya.

Saya pernah berpergian bersama Anwar ketika beliau diundang menyampaikan syarahan di Mesir, Turki, Singapura, Indonesia dan banyak negara-negara lain. Siapa yang hadir mengikuti syarahan Anwar?

Untuk makluman Dr Mahathir, mereka ialah menteri-menteri, tokoh-tokoh pemikir dan sarjana Islam, golongan korporat, pimpinan media, professor universiti, tokoh-tokoh ekonomi dan teknokrat.

Di Tunisia misalnya Dr Rashid Ghanoushi menjemput Anwar menyampaikan pandangannya kepada seluruh ahli-ahli parlimen dan anggota jemaah menteri Tunisia.

Kupas topik Islam

Di Turki, Perdana Menteri Tayyib Erdogan menjemput Anwar berucap di Istana Presiden mengupas topik Islam dan kebangkitan dunia arab.

Satu ketika di Mesir seingat saya pada 2010, Anwar dijemput menyampaikan ucaputama persidangan antarabangsa Islam dan Demokrasi.

Di Singapura, bertempat di World Trade Center, ucapan Anwar pula ditujukan kepada tokoh-tokoh media dunia.

Di Indonesia pengaruh Anwar bukan kepalang. Seorang teman saya asal Bogor pernah bergurau, katanya tokoh-tokoh Indonesia saling berselisih dan berbeda pendapat antara satu sama lain, namun mereka boleh sahaja bersatu kalau mengkagumi Anwar.

Pesantren, universiti, badan-badan pemikir dan intelektual Indonesia sering mengundang Anwar menyampaikan pidatonya.

Anwar boleh berbicara karangan Shakespeare, Confucius, Mohamad Iqbal, Rabindranth Tagore, Jose Rizal atau mendeklamasi puisi Rendra.

Pada masa yang sama Anwar giat mempelopori maqasid syariah dan membentang kertas seminar Islam dan demokrasi di serata dunia.

Tidaklah menghairankan sebaik keluar dari penjara Anwar dilantik sebagai fellow di Universiti Oxford dan menjadi professor di Universiti New Hopkins Amerika Syarikat.

Anwar juga dilantik penasihat ekonomi Qatar dan beberapa institusi perbankan di negara arab.

Bunuh karekter


Elok juga saya mengingatkan Dr Mahathir bahawa Anwar yang cuba dibunuh karakternya oleh Dr Mahathir cuma manusia biasa. Hormat orang kepadanya bersebab. Fitnah Dr Mahathir hanya "berhasil" di dalam kalangan Umno. Itupun bukan semua.

Ramai kenalan saya di dalam Umno yang kini menduduki jawatan-jawatan utama dalam parti dan kerajaan mengakui hakikat ini. Cuma yang tiada pada mereka ialah keberanian untuk berkata benar di hadapan pemimpin pencipta fitnah.

Bagaimana sebenarnya Dr Mahathir mahu dingati? Berkuasa selama dua puluh tiga tahun legasi yang ditinggalkannya ialah merosakkan institusi kehakiman, menekan kebebasan media, menyuburkan budaya rasuah, memunggah kekayaan negara menjadi kekayaan peribadi, memusuhi institusi raja-raja Melayu dan berkekalan memusuhi ulama.

Ketika Anwar masih terus dengan tradisi ilmu dan rapat dengan Dr Yusof Qardawi, Dr Tariq Suwaidan, Dr Wahbah Zuhaily, Dr Mahathir pula rapat dengan Ananda Krishna, Francis Yeoh dan Syed Mokhtar Bukhary.

Ketika anak-anak Anwar membesar dan membina kerjaya yang cukup sederhana, Dr Mahathir pula cemerlang membantu anak-anaknya mencipta nama tergolong kelompok mahakaya di Malaysia!

Ketika Anwar terus berjuang membela rakyat, menolak politik perkauman, mengajak rakyat mencari titik persaudaraan, menuntut kekayaan negara diagih secara adil, Dr Mahathir pula kekal dengan gaya politik lama, usang, tidak pernah puas menimbun kekayaan dan penuh dendam kesumat.

Saksikanlah pada usia lebih 80-an tahun Dr Mahathir terus menyerang Anwar tanpa henti. Tidak pernah ada tanda-tanda beliau sedar dan insaf perbuatan fitnahnya terhadap Anwar. Pesanan buat Dr Mahathir, sesungguhnya Allah swt menyayangi hamba-hambanya yang sentiasa bertaubat dan membersihkan diri.

Sebaliknya Allah juga bencikan orang yang tidak mahu bertaubat dan paling dibenci-Nya ialah orang tua yang tidak mahu bertaubat. Doa saya agar Dr Mahathir tidak tergolong dalam kalangan jenis itu dan dibuka pintu hatinya. Amin ya Rabb.


SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL ialah setiausaha agung PKR

Dyana Sofya tak gelabah isu 'gambar berbikini'

Posted: 15 May 2014 02:28 AM PDT

MALAYSIAKINI



Walaupun baru saja diura-urakan sebagai calon untuk pilihan raya kecil parlimen Teluk Intan, pemimpin muda Dyana Sofya Mohd Daud terus menjadi sasaran serangan kempen untuk memburuk-burukkannya.

Setiausaha politik pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang itu dikesan menjadi sasaran penulis blog pro-Umno yang menyebarkan gambar seorang wanita berpakaian bikini yang seiras wajahnya.

Dyana, 27, yang baru menyertai DAP dua tahun lalu, bagaimanapun nampaknya tidak tertekan dan tidak memandang serius serangan peribadi seperti itu.

Beliau juga mampu berseloroh apabila para pengikutnya bertanya mengenai gambar tersebut di laman sosial.

"Saya sudah (baca). Sebab itu saya kata saya harap ada badan sebegitu. Perlu lebih kerap ke gimnasium," tulis beliau di Twitter.

Menurutnya lagi, beliau turut menerima panggilan dan pesanan yang bersifat kasar, namun tidak gelabah dengan tekanan seperti itu.

"Beratus panggilan dan mesej kasar yang diterima sejak semalam. Jimatkan kredit anda. Saya tak berganjak. Ini Dyana lah," tulis beliau.

Gambar berkenaan dikesan dimuatkan di blog jomgelakfm.my dan theflyingkick.blogspot.com sejak semalam. Semakan Malaysiakini mendapati gambar berkenaan masih kekal disiarkan di blog berkenaan hari ini.

Gambar itu juga didapati dimuatkan di blog khairulryezal.blogspot.com dan bukti penyiaran gambar tersebut berjaya dirakam oleh pengguna laman sosial semalam.

Gambar wanita seiras wajah Dyana yang berpakaian bikini itu didapati telah dipadamkan hari ini dari blog berkenaan, namun bukti penyiarannya berjaya dirakam pengguna Internet.

Kalangan penulis blog Pakatan Rakyat pula, termasuk darisungaiderhaka.blogspot.com pula menyiarkan beberapa gambar yang menunjukkan bahawa individu dalam gambar tersebut adalah seorang pelakon Filipina, Pauleen Luna dan bukannya Dyana.

Sementara itu, tulisan di blog pro-Umno khairulryezal.blogspot.com turut mempersoalkan pendirian Dyana dan prinsip parti DAP yang didukung peguam muda tersebut dengan mengaitkan kelulusan Dyana dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Penulis blog tersebut mengaitkan UiTM sebagai institusi Bumiputera yang diperjuangkan Umno dan kontras dengan DAP.

Blog tersebut juga mendakwa ibu Dyana adalah orang kuat Wanita Umno di Ipoh Barat.

"Tidak tahu di mana silapnya, Diyana Sofea (Dyana Sofya) sekarang merupakan pejuang cauvinis DAP," blog khairulryezal.blogspot.com dipetik.

Blog berkenaan juga memuatkan satu gambar Dyana berpakaian jubah peguam, gambarnya ketika sedang berkempen untuk DAP dan juga gambar merakamkan beliau menerima satu anugerah dari bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.

PRU14: Jangan anggap segalanya selesai buat Umno Terengganu

Posted: 15 May 2014 02:18 AM PDT



Oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed


Akhirnya, 'ribut' yang melanda Umno Terengganu selesai (saya harap), selepas bekas menteri besarnya, Datuk Seri Ahmad Said memaafkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Najib Razak juga memaafkan beliau, dakwa Ahmad Said dalam sidang akhbarnya semalam.

Sama ada ia benar-benar selesai atau tidak, terpulang kepada mereka, tetapi kerosakan sudah pun berlaku dan oleh itu, ia membuktikan bahawa budaya perebutan kuasa dan jawatan dalam Umno akan terus berlaku.

Sebenarnya, tiada siapa pun, termasuk Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno menyangka bahawa Ahmad Said sanggup melemparkan 'bom' ke Putrajaya dengan membuat keputusan keluar daripada Umno ketika parti masih dalam suasana menyambut ulang tahun kelahiran ke 68 Ahad lalu.

Keputusan Ahmad Said bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu sudah pasti mengiyakan segala telahan dan andaian pemerhati politik negara bahawa Umno masih tidak berubah.

Ketika kedudukan Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno sukar mungkin digugat mana-mana pihak di dalam parti di peringkat Pusat dalam tempoh terdekat ini, tindakan Ahmad Said memberikan pelbagai isyarat, petanda dan persepsi rakyat kepada Umno.

Pelbagai persoalan dan tanda tanya sudah pasti berlegar dalam fikiran semua ahli Umno dan rakyat, apa sebenarnya yang berlaku antara Putrajaya dengan Terengganu dan adakah 'penasihat' Najib gagal menjangkakan tindakan yang akan diambil Ahmad Said.

Pergaduhan dalam Umno jelas ketara, dan disebabkan kedudukan kerusi parti yang tidak cukup kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, menyebabkan Ahmad Said serta pengikutnya berani berbuat demikian, mungkin sebagai pengajaran kepada Putrajaya yang dilihat 'memandai-mandai' untuk membuang beliau.

Seperti kata bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; pergolakan dalam Umno Terengganu bukan perkara baru, ia sudah berlaku sejak PRU12.

Namun di sebalik semua itu, timbul juga persoalan mengapa Putrajaya beria-ia mahu menamatkan perkhidmatan Ahmad Said sebagai menteri besar tanpa mengambil kira kedudukan kerusi DUN Terengganu yang amat tipis iaitu 17-15.

Strategi dan percaturan yang silap jelas memerangkap Putrajaya dan tanpa semena-mena terus terperangkap dalam kemelut politik Umno sehingga mampu menumbangkan kerajaan BN yang baru dimenangi setahun lalu.

Ketika ini, ramai ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) menyalahkan pucuk pimpinan Umno yang secara sengaja memberikan 'peluru' kepada parti pembangkang untuk memanipulasikan fikiran rakyat bahawa Umno sebenarnya memang tidak pernah berubah.

Perubahan yang selama ini dicanangkan hanyalah bersifat retorik kerana pergelutan kuasa, ketamakan pangkat terus menjadi intipati dalam perjuangan segelintir pemimpinnya yang seakan terus bermimpi bahawa Umno akan terus menerajui negara sehingga hari kiamat.

Pada masa yang sama, saya amat simpati kepada Datuk Seri Najib Razak kerana terus dikecam bahawa kepimpinannya yang lemah menyebabkan Ahmad Said mampu berbuat demikian tanpa ada sifat hormat kepada pemimpin.

Selain itu, rakyat juga sudah pasti merasa amat pelik mengapa tindakan 'membuang' Ahmad Said dilakukan sedangkan Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah mengeluarkan kenyataan di media bahawa tidak ada sebarang pertukaran menteri besar akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Rakyat pasti tidak lupa mengenai desas desus pertukaran menteri besar Umno memandangkan ia dilaporkan 'lidah rasmi' parti iaitu akhbar Utusan Malaysia, namun berita itu kemudian dinafikan sendiri oleh Datuk Seri Najib Razak selang sehari selepas ia dikeluarkan.

Jadi, 'tangan ghaib' mana yang begitu berkuasa untuk 'membuang' Ahmad Said tanpa memikirkan secara mendalam kesan yang akan berlaku kepada Terengganu di ketika kedudukan Umno dalam DUN negeri itu sedang berada dalam situasi yang amat tipis.

Selain itu, ramai juga yang mula menyatakan bahawa apa yang berlaku di Terengganu adalah 'karma' kepada Umno atas apa yang berlaku kepada kerajaan Pakatan di Perak pada 2009, ibarat kata pepatah Inggeris 'what goes around comes around'.

Semua ini tidak seharus dan sepatutnya terjadi jika pakar-pakar strategi Umno di Putrajaya dan PWTC membuka fikiran serta mata mereka apa yang sebenarnya sedang berlaku di peringkat akar umbi parti serta rakyat.

Laungan keyakinan bahawa sokongan rakyat kepada parti kembali meningkat hanya disebabkan kedudukan kerusi yang dimenangi di PRU13 lebih besar daripada PRU12, bukanlah sebenarnya penanda aras yang terbaik yang boleh diguna pakai.

Terengganu sudah membuktikan kepada Umno tidak sampai setahun selepas kita memenangi PRU13 bahawa segala-galanya boleh berubah jika parti berterusan berada dalam acuan yang sama sehingga jurang antara pucuk pimpinan dan ahli terus melebar.

Ahli-ahli Umno tidak lagi mahu bersikap membuta tuli dalam menyatakan kesetiaan mereka kepada parti yakni, pucuk pimpinan kerana mereka mengetahui bahawa mereka yang berada di atas tidak mungkin berada di kedudukan itu tanpa sokongan mereka.

Jadi di sebalik Umno sentiasa menuntut kesetiaan ahlinya, perlu juga mereka yang di atas menjenguk apa yang sebenarnya, berlaku di peringkat akar umbi yang selama ini, menjadi akar dan asas kepada perjuangan Umno sejak 68 tahun lalu.

Tidak ada gunanya Umno terus melaungkan bahawa ia adalah parti akar umbi serta memahami denyut nadi rakyat jika pemimpinnya berterusan memperlihatkan sikap angkuh serta ego dalam membuat keputusan tanpa memikirkan perasaan sebenar ahli akar umbi.

Seluruh rakyat kini sudah mengetahui bahawa semua Menteri Kabinet dan Menteri Besar perlu menandatangani surat peletakan jawatan mereka ketika mereka menjawat jawatan masing-masing, seperti yang berlaku dalam kes Ahmad Said.

Perkara ini sudah memberikan persepsi dan imej negatif kepada Umno dan pucuk pimpinannya yang sebenarnya dilihat amat mudah 'membuang' mereka yang dipilih menjawat jawatan berkenaan serta padah ditendang keluar amat besar jika bertindak melawan arus dengan pucuk pimpinan.

Apa pun yang berlaku membuktikan bahawa Umno terus bergelut dalam masalah dalamannya sendiri dan sudah pasti akan memberikan kesan besar kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan apabila BN akan bertanding pada 31 Mei depan selepas tidak bertanding dalam PRK Bukit Gelugor 25 Mei ini.

Tidak mungkin Umno bersedia untuk menghadapi pilihan raya Terengganu kerana itu dilihat sebagai jalan terakhir yang sudah pasti akan memberikan laluan gelap dan sukar kepada parti yang semakin terdesak mendapatkan sokongan daripada rakyat, terutama sekali orang Melayu.

Sudah pasti Menteri Besar Terengganu baru Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman memikul tanggungjawab besar dalam menyatu padukan semula Umno negeri itu ketika masih didengari bahawa sekurang-kurangnya enam Adun di negeri itu, yang masih tidak berpuas hati dengan tindakan Putrajaya yang terus mencampuri urusan parti Terengganu secara terus tanpa mengambil kira pandangan mereka.

Jadi, adakah budaya 'cah keting' akan menimpa Umno Terengganu pada PRU14 kelak, dengan sabotaj dalam parti akan berlaku sehingga membolehkan pembangkang menang.

Bak kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas kemelut yang berlaku di Terengganu "Umno jarang belajar... saya sudah katakan berkali-kali tetapi mereka tidak sedar. Kita akan kehilangan (kuasa) kerana Umno tidak belajar dan buat kesalahan yang sama."

Itu kata dan ingatan Tun Dr Mahathir, tetapi sayangnya pemimpin Umno masih terus berdegil dengan sikap mereka yang akan membawa padah apabila rakyat membuat keputusan pada PRU14 nanti.

Penganalisis: Peluang BN ada di Teluk Intan tapi..

Posted: 15 May 2014 02:13 AM PDT


PRK Teluk Intan  
PRK Teluk Intan
 

[VIDEO] PEMERHATI politik melihat secara dekat peluang parti-parti yang bertanding untuk merebut kerusi kubu kuat DAP di Bukit Gelugor dan Teluk Intan.

Sinar Harian Online berkesempatan mengadakan wawancara khas bersama Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusof untuk mendengar pandangan beliau mengenai peluang parti yang bertanding.


SINAR HARIAN ONLINE: Belum pun bahang PRK Bukit Gelugor bermula, kita dikejutkan pula dengan PRK Parlimen Teluk Intan yang kedua-duanya kerusi DAP. Bagaimana Prof melihat peluang kepada parti-parti  yang bertanding nanti memandangkan kerusi ini dikatakan kubu kuat DAP?

AGUS:
Saya fikir kalau di Bukit Gelugor itu, dengan majoriti besar yang dimenangi oleh parti DAP pada PRU13 yang lalu peluang DAP untuk menang di PRK tersebut itu, cerah dan besar.

Jika kita rujuk pula kepada Teluk Intan justeru kemenangan majoritinya itu 7,000 lebih dalam PRU yang lepas, maka persaingan itu sekiranya kena pada calonnya, jikalau kena isunya, jikalau kena strateginya, maka akan ada persaingan.

... tetapi itu terlalu awal untuk dikatakan buat masa sekarang sebab bergantung kepada siapa calonnya di Teluk Intan dan bagaimana isu-isu  yang akan dimainkan oleh kedua-dua pihak yang bertanding dalam PRK itu nanti.

Satu lagi faktor yang menentukan dalam PRK nanti ialah bagaimana trend kerjasama dalam PR dalam isu hudud yang ada sekarang. Dan bagaimana jika trend kerjasama dalam BN dengan isu yang ada sekarang.


SINAR HARIAN ONLINE: Pada pandangan Prof, kebelakangan ini 'ketegangan' hubungan DAP-Pas timbul apabila Pas Kelantan nekad melaksanakan hudud. Sejauh mana Prof lihat ia akan jejaskan sokongan ahli Pas terhadap DAP?

AGUS:
Saya fikir dalam konteks ini bukan berlaku di Kota Bharu, Terengganu atau pun Kedah, ini merupakan kawasan yang umumnya adalah liberal dan tidak didokongi kuat oleh ulama, maka penyokong Pas yang ada itu, di kedua-dua negeri ini (Pulau Pinang, Bukit Gelugor), (Perak, Teluk Intan), kawasan PRK berlangsung, apabila mereka mengundi nanti saya fikir mereka tidak akan menjadikan isu hudud sebagai isu utama tetapi mereka melihat kepada kejayaan bersama, jalinan kerjasama mereka untuk melawan BN, saya fikir itu senario dalam konteks PRK di kedua-dua kawasan tersebut.

Berbeza sepertimana yang berlaku di Kajang, di Kajang yang lepas kita ingat PRU13, peratusan yang keluar mengundi adalah sebanyak 88 peratus, tetapi dalam pilihan raya kecil yang lepas itu cuma 72 peratus, jadi 16 peratus yang tidak keluar mengundi, dan PRK Kajang lepas itu, siapa 16 peratus ini? Itu yang perlu kita lihat.

Saya tengok tidak ada kerjasama mantap daripada penyokong Pas dan pemimpinnya  untuk turun berkempen, untuk membina pondok Pas yang banyak sepertimana yang berlaku lazimnya, sekiranya mereka belajar daripada kesilapan ini, mungkin di Bukit Gelugor dan Teluk Intan, undian mereka akan lebih melonjak.

Cuma bergantung kepada bagaimana Pas dapat selesaikan isu hudud oleh pimpinan atasan mereka.


SINAR HARIAN ONLINE: Disebalik ketegangan itu, adakah ada peluang untuk BN mencuri sokongan pengundi?

AGUS:
Kesemua parti yang bertanding, sama ada kawasan kuat PR atau BN semua parti akan ada kesempatan, untuk meraih undi pengundi atas pagar.

Kita kena sedar pengundi sekarang tidak taat kepada hanya satu parti, pengundi sekarang adalah pengundi yang celik huruf, pengundi yang mahu lihat calon yang terbaik dicalonkan, isu terbaik yang dimainkan, parti terbaik yang dapat membela mereka, mereka akan dokong.

Jadi saya fikir, soal mencuri undi itu, mana-mana parti dan calon ada kesempatan, bukan hanya bergantung kepada isu hudud, bukan hanya kawasan itu kuat DAP itu bukan, semua parti yang bertanding akan ada kesempatan, kerana pengundi akan berubah sikap pengundi akan berubah, jadi jangan sekali-kali kita melihat pengundi sekarang sama dengan pengundi zaman dahulu.


SINAR HARIAN ONLINE: Mampukah DAP mempertahankan kemenangan di kedua-dua kerusi itu?

AGUS:
Saya tidak melihat DAP ada masalah besar, untuk menang di Bukit Gelugor.

Saya tidak nampak ada masalah besar kerana mereka menang selesa dengan majoriti 42,000 lebih.

Di tambah sebelum itu, dengan kematian Karpal yang merupakan kematian yang tragis dan mengejutkan, dan undi simpati akan dapat diraih.

Kepuasaan mereka (rakyat), penilian mereka kepada pimpinan DAP Pulau Pinang itu saya rasa akan memberi sesuatu kesan besar yang tidak mudah bagi BN untuk menggoncangi dalam waktu yang sekejap.

Manakala di Teluk Intan, majoriti 7,200 lebih kemenangan DAP sebelum ini, kalau senario sekarang, satu yang boleh saya katakan, selagi mana BN gagal untuk memenangi sokongan bukan Melayu, maksudnya pengundi Cina masih bersama PR, pengundi India masih 50-50 atau tidak mahu bersama BN, jadi agak sukar untuk BN memenangi PRK tersebut.

Tetapi masih lagi bergantung kepada apa lagi isu yang akan dimainkan, siapa calon dan sebagainya itu merupakan perkara menarik untuk diberi perhatian, kawasan Teluk Intan ini bukan solid Cina, jadi masih ada persaingan.


SINAR HARIAN ONLINE: Kedudukan BN dan PR seri ketika ini, 2-2 untuk pilihan raya kecil selepas PRU13, adakah kemenangan dan kekalahan dalam PRK selepas ini akan memberi impak besar kepada senario politik semasa?

AGUS:
Tidak, ini cuma PRK, kalau BN menang dengan majoriti yang kecil, atau PR menang majoriti besar, ianya tidak memberi impak sangat.

Tetapi kita akan melihat adakah rakyat sekarang condong kepada BN atau sebaliknya, apakah rakyat akan condong kepada PR, itu jadi kita boleh lihat itu.

Tetapi kedua-dua kawasan PRK ini, bukan kawasan adil untuk kita menilai, penerimaan rakyat terhadap kedua-dua parti. Sebab tradisinya kedua-dua ini adalah kawasan DAP yang telah lama bertapak dan kuat disitu.

Ambil contoh Pengkalan Chepa, itu kawasan Pas jadi kita lihat kalau Umno gagal dikerusi tersebut, kita tidak  adil mengatakan bahawa Umno telah ditolak kerana itu sememangnya kerusi kuat Pas.

Lain kalau kita lihat kerusi tersebut 50-50,45-50 itu saingan yang baru kita boleh lihat.


SINAR HARIAN ONLINE: Akhir sekali, apa yang Prof harapkan dapat dilihat dalam pilihan raya seterusnya di negara ini. Adakah kita perlu berhenti bercakap tentang kematangan politik atau politik kotor?

AGUS:
Kita bercakap tentang politik matang ini sudah lama, itu impian rakyat, itu politik baru, politik kotor siapa pun amalkan politik kotor. Rakyat akan melihat dan  menilai jadi dalam hal ini rakyat akan menolak, PR silap rakyat menilai, BN silap rakyat akan menilai.

Saya harap dalam politik ini, satu lonjakan paradigma boleh dibuat, supaya politik perkauman dan keagamaan dapat dihentikan.

Kedua-dua amalan politik ini, kita perlu hentikan, sebab kedua-dua amalan  politik inilah yang menyekat kematangan politik di negara kita.

Samun: Anggota PGA dijel

Posted: 15 May 2014 02:09 AM PDT


mahkamah


SHAH ALAM - Gara-gara merompak seorang peniaga sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM2,400, dua anggota polis berpangkat lans koperal dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Slamat  Yahya selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes.

Robin Anak Imbal, 30, dan rakan sekerja, Muhammad Fitri Mad Salleh, 30, dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan dengan mengambil wang tunai RM1,000, dua unit telefon bimbit jenama Samsung Note dan Nokia, printer, simkad hotline dan empat digit helai kertas milik Lim Poh Wah, 31, dan Tan Keh Shin, 29.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 53, 55 Restoran Century Court, Jalan Prepat 27/95, Seksyen 27, Shah Alam, jam 4 petang, 14 November 2012.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fazreen Othman mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Nur Fazreen memohon kepada mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal agar menjadi pengajaran kepada masyarakat dan juga anggota polis.

"Sepatutnya, polis dipertanggungjawab menjaga keselamatan masyarakat, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya,"katanya.

Peguam, Awangku Mohd Shaiful Nizam PG Mohd Noor yang bertindak mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman perlaksanaan ditangguhkan ke atas anak guamnya dengan alasan salah seorang daripada mereka akan menyambut Hari Gawai hujung bulan ini.

Hakim membenarkan permohonan tersebut dengan syarat kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Pengerusi UMNO Terengganu : Razif Serah kepada Najib

Posted: 15 May 2014 02:02 AM PDT

RAKYAT NEWS


alt

 

KUALA TERENGGANU  - Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menyerahkan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk menentukan siapa pengerusi baharu Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Beliau berkata, hanya Perdana Menteri sebagai presiden parti yang layak ulas dan menentukan siapa bakal menerajui Umno Terengganu.

"(Datuk Seri) Najib akan berada di Terengganu Sabtu ini (untuk hadir) majlis persandingan anak Datuk Seri Ahmad Said, bekas menteri besar Terengganu," katanya ringkas.

Ahmad Razif dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu pada Isnin
bagi menggantikan Ahmad.

Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang sementara itu berkata, ketika ini jawatan itu dianggap masih dipegang oleh Ahmad Said.

Ahmad bertindak keluar parti dan melepaskan semua jawatan dalam Umno pada Isnin, ekoran peletakan jawatannya sebagai menteri Besar.

Namun semalam beliau menarik balik keputusan itu.

Datuk Tengku Putera berkata mengikut perlembagaan parti, jawatan pengerusi Perhubungan UMNO Negeri adalah atas pelantikan anggota Majlis Tertinggi (MT) di peringkat pusat.

"MT yang dipengerusikan oleh presiden parti (Najib) berhak untuk melantik siapa penyelaras (pengerusi Perhubungan Negeri) di peringkat negeri iaitu pada kebiasaannya ialah menteri besar," katanya ketika di hubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya, Terengganu mempunyai lapan Bahagian dan 1,200 Cawangan UMNO.

UMNO bergaduh sesama sendiri kerana 'harta rampasan' sahaja, bukan kerana isu negara

Posted: 14 May 2014 11:56 PM PDT



Krisis UMNO Terengganu akhirnya selesai. Yang keluar parti telah kembali dan membatalkan tindakan keluar parti. Tindakan ini berlaku agak biasa dalam UMNO. Dalam tempoh dua hari sahaja Ahmad Said, dan dua orang ADUN Terengganu telah kembali kepada UMNO dan kembali 'bersatu' setelah Najib memohon maaf kepada Ahmad Said diatas kesilapannya (kata Ahmad Said) yang cuba-cuba hendak menjadi orang tegas dalam keputusannya. Najib telah bertegas tidak mahu menangguhkan tarikh untuk Ahmad Said bersara hanya seminggu.

Dalam rekod ahli parti keluar UMNO ialah dalam kes Datuk Yahya Lampong dari Sabah yang keluar parti tidak sampai sehari dan kembali kepangkuan UMNO semasa pilihanraya negeri Sabah suatu ketika dahulu. Yang agak lama sedikit keluar parti sebelum kembali kepada UMNO ialah Dr Mahathir semasa beliau marah-marah dengan Abdullah Badawi dahulu. Kalau tidak silap saya tidak sampai setahun beliau kembali kepangkuan UMNO setelah Abdullah meletakkan jawatan dan terus memegang nombor keahlian nombor satu.

Keluar masuk dalam UMNO ini sudah menjadi kebiasaan dan mereka yang keluar parti itu akan kembali setelah apa yang mereka tidak berpuas hati itu telah dipenuhi. Dalam kes-kes ini ia mudah diselesaikan kerana mereka bergaduh dan keluar bukan kerana perjuangan dan kepercayaan, tetapi hanya melibatkan isu persendirian. Oleh kerana isu-isunya adalah isu persendirian maka ia mudah diselesaikan kerana berikan sahaja kehendaknya atau gantian kepada sesuatu yang hilang, maka selesailah perbalahan dan kembali bersalaman dan berpelukan.

Yahya Lampong kembali kepada UMNO setelah keluar dari parti beberapa jam sahaja setelah dipujuk oleh pimpinan UMNO. Apa yang menyebabkan pujukan itu berjaya dilakukan, berbagai-bagai spekulasi boleh dibuat. Yahya Lampong lebih kuat sokongan kepada UMNO setelah kembali kepada parti itu dalam tempoh beberapa jam sahaja.

Ahmad Said juga begitu. Beliau kembali kepada UMNO setelah pucuk pimpinan Najib melalui beberapa orang pimpinan UMNO memujuk beliau untuk kembali. Apakah dia 'benda' yang dijadikan alat pujukan itu, tentunya kita akan ketahui tidak lama lagi. Kita boleh lihat, jika 'benda pemujuk' itu besar tentulah Ahmad Said akan lebih kuat sokongan beliau kepada UMNO.

Dr Mahathir kembali kepada UMNO setelah kemahuannya tercapai, iaitu bersaranya Abdullah Badawi dari jawatan PM pada tahun 2009 dahulu. Tindakan Dr Mahathir itu juga menjadi senjata serampang dua mata kerana ia memberikan kelebihan kepada Mukhriz dan pucuk pimpinan kita memberikan anak bekas Perdana Menteri itu tempat dalam pilihanraya dan akhirnya menjadi Menteri Besar Kedah sekarang ini.

Semua yang berlaku ini berkisar disekeliling kepentingan peribadi diatas nama perjuangan. Gertak menggertak dalam UMNO ini sekarang sangat efektif kerana kelemahan pimpinan. Kelemahan Najib membuatkan seorang pemimpin seperti Ahmad Said yang tidak ber 'consequence' itu penting kepada beliau (Najib) dan memohon maaf kepada beliau (Ahmad Said).

Begitulah budaya dalam UMNO. Budaya ini sudah wujud selama 30 tahun dan ia masih wujud. Mereka tidak bergaduh kerana perbezaan cara dalam perjuangan, tetapi semuanya kerana kepentingan dan ego peribadi sahaja. Itu sebab mudah mendapat penyelesaiannya.

Kalau pergaduhan diantara suami isteri itu selesai kerana memikirkan anak yang sudah besar, pergaduhan dalam UMNO pula selesai kerana ada 'benda' yang mahal-mahal diantara mereka yang bergaduh itu. Bahagi-bahagi sahaja 'benda' itu selesailah pergaduhan.

Yang letih bertekak dan bergaduh ialah penonton diluar padang sahaja. Yang bermain itu dapat banyak wang ringgit dan menjadi kaya raya, yang diluar padang bergaduh, bakar-membakar kenderaan dan membaling botol dan mendapat kecederaan.

Isu-isu besar negara masih tidak terlerai dan masih terbiar tanpa ada usaha konkrit untuk penyelesaiannya. Pimpinan setiap peringkat masih bergaduh sesama sendiri dalam hal-hal 'harta rampasan' perang yang tidak berkesudahan.

Pas pujuk Mat Said ke Mat Said pujuk Pas?

Posted: 14 May 2014 11:46 PM PDT

MSO


Kata Ahmad Said atau Mat Said ketika dia "hilang akal" dua tiga hari lepas ada pemimpin Pas datang memujuk dia agar membuat keputusan cepat. Keputusan apa? Dia juga kata kalau dia tak halang ramai lagi Adun Umno akan keluar parti menyebabkan Umno akan hilang kuasa memerintah.

Benarkah orang Pas yang pergi pujut Mat Said, atau sebaliknya. Kalau boleh Mat Said sebutlah seorang dua yang pergi pujuk dia itu. Atau pun dia sahaja yang berasan. Kita tidak yakin orang Pas jadi selemah dan sepelahap itu untuk pujuk Mat Said. Pas selamanya bermain politik cara baik dan politik munafik bukan cara Pas.

Apa yang didapati Mat Said ada hantar orang dia pergi berjumpa dengan orang Pas. Tetapi pihak Pas tidak berapa layan sebab tidak yakin kepada Mat Said. Mungkin kerana malu dengan keadaan itu dan untuk menghalalkan tindakan masuk balik Umno selepas tidak sampai 48 jam istyhar jadi bebas Mat Said kata Pas pujuk dia.

Mat Said sebenarnya tidak baca yang Najib Razak akan buat keputuan cepat untuk menukarnya dengan Ahmad Razif Abdul Rahman. Dia mengira Najib akan perlewatkan sebabkan itu Mat Said berdalih dan memberi alasan kerana kenduri kahwin anaknya. Tetapi Najib sudah membaca kilat dalam kilau.

Tahu-tahu Najib atur majlis angkat sumpah secara senyap dan Mat Said "selak terkangkang". Najib katanya tahu rancangan Mat Said yang dikatakan hendak bawa dua tiga orang Exco keluar Umno dan berpakat dengan Pas. Dari mana Najib dapat tahu itu kebijaksanaan Najib. Seorang perdana menteri tentu mempunyai info dari berbagai dimensi. Tetapi kalau bukan salah seorang Exco atau orang yang rapat dengan Mat Said memberi tahu, siapa lagi.

Katanya untuk mengelakkan nasi menjadi bubur Najib terpaksa lakukan pertukaran secepat yang boleh tanpa pun memberi tahu kepada Mat Said. Malam angkat sumpah MB Mat Said tidak hadir mungkin kerana tidak pun dimaklumi.

Kepada Mat Said jangan kerana projek gagal diletakkan kesalahan ke atas Pas. Bukankah Pas buat selama-lamanya tidak mempercayai kepada Umno. Apa yang dihitung Pas itu benar, belum sampai kering kain dijemuran Mat Said sudah masuk Umno semula.

Sementara itu Pesuruhjaya Pas Terengganu Satiful Bahri Mamat menafikan dakwaan Mat Said yang kononnya dia dipelawa menyertai Pas. Kata Saiful Pas memang tidak percaya kepada Mat Said kerana ia menjadi liabiliti.

"Pas tidak mengharap untuk membentuk kerajaan menerusi Adun lompat," katanya. Syabas Pas Terengganu kerana bersikap gentlemen.

Ali Rustam Setiausaha Agung Umno yang baru?

Posted: 14 May 2014 11:38 PM PDT

Ramai ahli Umno kecewa cara Tengku Adnan mengendalikan proses pertukaran menteri besar Terengganu 


Ali RustamPETALING JAYA: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dijangka dilantik sebagai Setiausaha Agung Umno yang baru menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut sumber, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat pengumuman tidak lama lagi.

Sumber itu menambah, ramai ahli Umno kecewa cara Tengku Adnan mengendalikan proses pertukaran menteri besar Terengganu yang menyebabkan beliau perlu digantikan.

Jika beliau pandai berdiplomasi dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, maka dua ADUN, Ghazali Taib dan Roslee Daud tidak keluar dari Umno mengikut jejak langkah ADUN Kijal itu.

Bagaimana pun semalam mereka bertiga kembali semula ke pangkuan Umno yang menyebabkan krisis Umno Terengganu selesai dalam masa 48 jam.

"Tambahan pula Tengku Adnan sibuk dengan tugas sebagai menteri, pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan dan ahli parlimen Putrajaya yang menyebabkan beliau tidak dapat beri tumpuan sepenuh masa di ibu pejabat Umno," kata sumber itu kepada FMT.

Ali yang tewas dalam PRU lalu kini dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang tidak ada kuasa eksekutif.

"Justru itu jika beliau dilantik sebagai setiausaha agung, beliau dapat beri tumpuan sepenuh masa di ibu pejabat Umno," kata sumber itu lagi

Kami memang tak percaya pada Ahmad Said, kata Hanafiah

Posted: 14 May 2014 11:36 PM PDT

Pas tidak mahu bergantung kepada ADUN lompat
Hanafiah

PETALING JAYA: Dakwaan yang mengatakan PAS telah mempelawa bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said untuk menyertai parti tersebut telah dinafikan oleh Satiful Bahri Mamat, Pesuruhjaya PAS Terengganu.

" PAS konsisten dari awal. Pemilihan kerajaan harus dilakukan oleh rakyat dengan mengadakan pilihan raya negeri. Kita nafi apa yang disebut oleh Ahmad Said, kami tak pernah pelawa dia," tegasnya.

Sehubungan itu, Satiful menyifatkan Ahmad Said sebagai liabiliti, malahan PAS tidak pernah berharap agar Ahmad Said menyertai mereka.

"PAS telah membuat pendirian tidak mahu bergantung kepada ADUN lompat jika berpeluang membentuk kerajaan", katanya

Ahmad Said mendakwa dipelawa oleh beberapa ahli PAS memujuknya menyertai parti itu selepas beliau mengumumkan keluar Umno.

Ahmad Said ( ADUN Kijal), Ghazali Taib (ADUN Ajil) dan Roslee Daud (ADUN Bukit Besi) antara tiga ADUN BN yang bertindak keluar daripada Umno sejurus selepas perlantikan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai menteri besar baharu.

Akan tetapi, mereka telah mengumumkan untuk menyertai Umno semula sekaligus menamatkan pergolakan politik di Terengganu.

Kedudukan kerusi berubah seketika apabila Pakatan Rakyat memiliki (15), BN (14) dan Bebas (3).

Sementara itu ADUN Chukai, Hanafiah Mat (gambar)  mengesahkan Ahmad Said menghantar Bendahari Umno Bahagian Kemaman, Abdul Sidek (Haji Dol) untuk berunding kerajaan kerajaan campuran dengan PAS kerana bekas Menteri Besar itu mendakwa enam orang Exco akan keluar dari Umno.

Sebaliknya tiga orang sahaja yang keluar dan tiga lagi menafikannya iaitu Datuk Mohd Jidin Shafie (Permaisuri), Nawi Mohamad (Hulu Besut) dan Ir Rosli Othman (Kemasik).

"PAS Terengganu buat mesyuarat tergempar tetapi kami buat keputusan mahu jumpa Ahmad Said sendiri secara empat mata, tak nak melalui orang perantaraan iaitu Haji Dol," dedahnya kepada FMT.

"Kami memang tak mahu kerajaan campuran dengan kumpulan Ahmad Said kerana kami sendiri tak percayainya. Setia usaha Umno Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad beritahu kami bahawa Ahmad Said nak jumpa PAS selepas selesai majlis perkahwinan anaknya pada 17 Mei." dakwanya lagi.

Hanafiah berkata memang PAS tak pelahap nak bentuk kerajaan negeri secara lompatan ADUN.

"Sebab itu kami tak hairan dia masuk semula Umno kerana Ahmad Said gagal tarik enam Exco menjadi ADUN Bebas," katanya lagi.

Beliau mendakwa Ahmad Said mahu kekal jadi menteri besar dan mencadangkan kerajaan campuran dengan bilangan Exco yang seimbang lima orang ADUN PAS dan lima orang ADUN Bebas.

Khalid menang ‘percuma’ di Kuala Selangor

Posted: 14 May 2014 11:34 PM PDT


Bekas ahli parlimen Kapar S Manikavasagam yang mencabar jawatan ketua cabang digantung keahliannya serta-merta kerana melanggar tatetika pemilihan parti.

Khalid Ibrahim


PETALING JAYA: Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mendapat laluan mudah mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor apabila pencabarnya S Manikavasagam hilang kelayakan bertanding.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong dalam satu kenyataan hari ini berkata bekas ahli parlimen Kapar itu didapati melanggar Perkara B.7 Tataetika Pemilihan PKR iaitu "Sebarang perselisihan berkaitan dengan pemilihan parti dilarang sama sekali dibawa kepada media atau dihebahkan kepada umum."

"Beliau telah membuat kenyataan media yang mendakwa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah melakukan politik wang bagi pemilihan cabang Kuala Selangor. Kenyataan ini telah disiar dalam berita TV1 dan Buletin Utama TV3 pada 11 Mei 2014, dan dalam muka serat 6 akhbar Utusan Malaysia pada 12 Mei 2014.

"Saudara S Manikavasagam akan diberi surat tunjuk sebab dan digantung keanggotaan parti serta-merta sehingga siasatan selesai," kata Kee Kwong.

Pengundian cabang Kuala Selangor yang belangsung 11 Mei lalu ditangguhkan ekoran terdapat bantahan dari calon yang bertanding termasuk dakwaan terdapat calon yang menandakan kertas pengundi lain.

Manikavasagam turut mendakwa beliau memiliki rakaman video yang menunjukkan Abdul Khalid, melalui pegawainya, membayar sehingga RM50 untuk membeli undi.

Khalid melalui peguamnya, telah mengarahkan Manikavasagam untuk menarik balik kenyataan ataupun berdepan tindakan undang-undang.

V Bobinath juga digantung

Selain dari Manikavasagam, V Bobinath yang bertanding jawatan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) di cabang yang sama turut digantung keanggotaan parti kerana melanggar peraturan yang sama dengan Manikavasagam.

Pegawai kanan Khalid, Mustapha Mohd Talib turut digantung keahliannya kerana membuat satu ugutan kepada pembantu khas Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati untuk menamatkan khidmat Manikavasagam sebagai penyelaras DUN tersebut.

Tiga lagi ahli, Monniza @ Sarimah Abdul Ghani (Kampar), Md Yusop Kamaruddin (Pasir Salak), Ahmad Jufliz Datuk Faiza (Setiawangsa) turut diambil tindakan yang sama atas melanggar perkara B.7 Tataetika Pemilihan PKR itu.

Calon Ketua Cabang Hulu Selangor K Gunasekaran digantung keahliannya kerana melanggar perkara B.6 iaitu "mana-mana calon atau penyokongnya adalah dilarang dari menganggu sebarang proses dan acara pemilihan parti" kerana didapati bersama beberapa penyokongnya bertindak agresif dengan merempuh pintu masuk dewan pengundian Cabang Hulu Selangor bagi menghentikan proses kiraan kertas undi.

Sementara itu, calon Noor Azman Samsuri digantung keahliannya kerana menipu tandatangan ahli lain bagi mencalonkan dirinya sebagai ketua cabang Tanjung Karang.

Kesemua mereka digantung keanggotaan parti serta-merta sehingga siasatan selesai. Keputusan ini dibuat dalam satu mesyuarat Biro Politik PKR malam semalam yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

DAP desak Paul Low letak jawatan kerana gagal tangani rasuah

Posted: 14 May 2014 11:25 PM PDT

OLEH MD IZWAN
 
 
DAP hari ini menggesa Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low (gambar) supaya meletakkan jawatan berikutan hasil kajian terbaru oleh Transparency International Malaysia (TI-M) yang menunjukkan hanya 28% rakyat percaya kerajaan menangani isu rasuah dengan berkesan.

"Paul Low tidak mampu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pentadbir dan menteri dengan telus.

"Beliau juga wajar mengikut jejak P Waytha Moorthy yang meletak jawatan pada Februari kerana gagal menjalankan tugas," kata Pembantu Setiausaha Publisiti Kebangsaan, Teo Nie Ching dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata peruntukan berjuta-juta ringgit kepada agensi-agensi kerajaan untuk menangani merupakan sesuatu yang sia-sia selepas mendapati peranan pelantikan bekas TI-M itu tidak membantu kerajaan menentang rasuah.

"Kajian terbaru oleh TI-M membuktikan Rancangan Transformasi Kerajaan oleh pentadbiran Najib gagal sepenuhnya," kata Teo, yang juga ahli Parlimen Kulai dalam satu kenyataan hari ini.

DAP menyifatkan transformasi yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Najib Razak gagal dan ianya terbukti dengan hasil tinjauan tersebut.

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang ditubuhkan untuk menguruskan dan melaksanakan Program Transformasi Kerajaan pada 2009 diberi peruntukan sebanyak RM66 juta dan ia meningkat kepada RM250 juta pada 2013.

Bagaimanapun, penubuhan unit tersebut masih tidak berupaya menangani isu berkaitan, Teo mendesak Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala menjelaskan perkara tersebut.

"Sudah tiba masanya CEO Pemandu, Datuk Seri Idris Jala menjelaskan kepada pembayar cukai bagaimana wang mereka dibelanjakan dan sama ada Pemandu berupaya masih menjalankan tanggungjawab mereka," kata Teo.

TI-M semalam mengeluarkan kajian Barometer Rasuah Malaysia (MCB) 2014.

Dalam laporan tersebut, kajian menunjukkan persepsi kerajaan dalam menangani rasuah merosot dengan 38% rakyat Malaysia merasakan usaha tersebut tidak berkesan.

Daripada 2,000 rakyat Malaysia yang menjadi responden, 45% daripada mereka melihat parti politik mengamalkan rasuah tertinggi, diikuti polis (42%), penjawat awam (31%) serta badan perundangan (23%).

Barometer rasuah global tahun lalu mencatatkan 78% rakyat Malaysia percaya polis paling rasuah di Malaysia.

Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata kenyataan itu unik kepada Malaysia kerana parti politik di negara lain tidak dilihat terlalu buruk mengamalkan rasuah seperti di negara ini.

"Ya, kita tidak lihat perkara ini di negara lain. Kita melihat perkara sebegini buat pertama kali," katanya.

Gani Patail perlu nyatakan pendirian, kata peguam

Posted: 14 May 2014 10:29 PM PDT

OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Keputusan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mendakwa semula pemimpin pembangkang Nik Nazmi Nik Ahmad mengejutkan orang ramai dan mereka meminta penjelasan daripadanya. – Gambar The Malaysian Insider, 15 Mei, 2014. Keputusan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk mendakwa semula pemimpin pembangkang Nik Nazmi Nik Ahmad mengejutkan orang ramai dan mereka meminta penjelasan daripadanya. – Gambar The Malaysian Insider,.  






























Para peguam hari ini menggesa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhenti terus berdiam diri dan menjawab beberapa keputusan yang boleh dipersoalkan oleh pejabatnya berhubung dakwaan kepada pemimpin pembangkang yang dibawa ke mahkamah.

Ia amat mengejutkan apabila Gani memutuskan untuk mendakwa semula pemimpin pembangkang Nik Nazmi Nik Ahmad atas kegagalannya memberikan notis 10 hari kepada polis untuk mengadakan perhimpunan seperti yang disebutkan dalam Akta Perhimpunan Aman (PAA).

Keputusan itu tetap diambil walaupun Mahkamah Rayuan membebaskan Nik Nazmi pada 25 April selepas melihat hukuman di bawah PAA tidak berperlembagaan kerana melanggar hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman.

Semalam, tiga aktivis Mohd Bukhairy Sofian, Edy Noor Ridzuan dan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard turut mengalami situasi yang sama, tetapi Mahkamah Sesyen membebaskan tanpa lepas kerana hakim berkata keputusan Mahkamah Rayuan masih terpakai.

Peguam berkata Gani harus sedar rakyat meletakkan jangkaan yang tinggi kepadanya dan beliau kini perlu memberikan penjelasan.

Gani mesti mempertahankan integriti pejabat yang dikepalainya sejak 2001, menurut peguam berkenaan.

Mereka juga mendapati salah guna Akta Hasutan oleh peguam negara bagi menghalang tentangan terhadap Putrajaya, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan untuk memansuhkan undang-undang itu.

Minggu lalu, naib presiden DAP Teresa Kok dituduh menghasut melalui video satiranya, 'Onederful Malaysia' yang dikeluarkan pada Februari.

Terdahulu, ahli parlimen PKR Chua Tian Chang, ahli PAS Tamrin Ghafar dan aktivis Haris Ibrahim, Adam Adli dan Safwan Anang turut dituduh melalui undang-undang kejam itu.

Peguam berkata pemimpin yang menyebelahi Umno seperti Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan bekas naib presidennya, Datuk Zulkifli Noordin terlepas daripada pertuduhan kerana membangkitkan api perkauman dan agama.

Mereka berkata Gani perlu menjawab isu ini dan kegagalan berbuat demikian hanya akan memberikan persepsi negatif kepada diri dan jabatannya mengamalkan pendakwaan terpilih terhadap mereka yang menentang kerajaan.

Peguam jenayah Datuk Baljit Singh Sidhu berkata Gani harus tampil setelah isu yang disebutkan menjadi kepentingan ramai.

"Beliau mesti menjelaskan isu tersebut supaya rakyat merasakan kewujudannya," katanya yang kini merupakan tenaga pengajar di sebuah universiti tempatan.

Baljit berkata rakyat mengharapkan Gani tampil ke mahkamah dan mempertahankan polisi jabatan serta keputusannya.

"Peguam negara seperti Tan Sri Abu Talib Othman selalu tampil dalam pendakwaan. Mengapa Gani enggan berbuat demikian dalam kes berkepentingan seperti hasutan dan PAA?" katanya.

Peguam sivil Syahredzan Johan berkata beliau mahu Gani tampil agar rakyat tidak membuat kesimpulan sendiri berhubung isu yang membabitkan kepentingan ramai.

"Sebelum ini, Gani dan jabatannya tampil ke khalayak ramai dan saya berharap perkara sama dilakukannya," katanya.

Syahredzan berkata Gani mempunyai tanggungjawab melindungi institusi awam yang diketuainya setelah sering mendapat perhatian.

"Saya tidak mengharapkan beliau menjawab semua isu, tetapi sekurang-kurangnya menjawab kes penting agar tiada persepsi buruk terhadap diri dan jabatannya.

Biara gereja diserang dengan topi keledar

Posted: 14 May 2014 10:25 PM PDT

OLEH ELIZABETH ZACHARIAH


Dua biarawati yang diserang di kawasan gereja Seremban semalam didedahkan hari ini dipukul menggunakan topi keledar sebelum dirompak. – Gambar The Malaysian Insider, 15 Mei, 2014. Dua biarawati yang diserang di kawasan gereja Seremban semalam didedahkan hari ini dipukul menggunakan topi keledar sebelum dirompak. – Gambar The Malaysian Insider.  


Dua biarawati yang diserang di kawasan gereja Seremban awal pagi semalam dipukul dengan topi keledar sebelum dirompak, kata seorang biara.

Biara yang tidak mahu dikenali itu berkata Sister Juliana Lim, 60, dan Mary-Rose, 80 dipercayai diserang oleh sekurang-kurangnya dua orang menggunakan topi keledar untuk memukul mangsanya.

Juliana masih lagi dalam koma dan dikatakan dalam keadaan kritikal. Dia juga bernafas dengan respirator.

Mary-Rose sedang lemah tetapi dalam keadaan sedar. Kedua-dua mereka diwadkan di Hospital Seremban.

Biara itu mengatakan Mary-Rose mendedahkan penyerang mereka menggunakan topi keledar untuk memukul mereka sebelum merampas beg mereka yang mengandungi Bible, buku doa, tasbih dan sedikit wang.

Kedua-dua mangsa tiba di gereja Church of the Visitation di Jalan Yam Tuan kira-kira pukul 6.15a, di dalam kereta bersama dua orang lagi biara untuk menghadiri perhimpunan pagi.

Dua lagi biara pergi ke bahagian luar gereja sementara Juliana dan Mary-Rose berjalan ke pintu utama di mana mereka dipercayai diserang.

Beberapa minit kemudian, kedua-dua mereka dijumpai terlentang di tangga pintu utama oleh penjaga gereja yang datang membuka pintu.

Biara itu juga memberitahu The Malaysian Insider bahawa dua mangsa tersebut daripada Infant Jesus Order, berpakaian biasa, bukannya dalam seragam biara mereka.

Biarawati gereja itu tinggal di kawasan perumahan yang sejauh 10 minit dari gereja, sering datang ke perhimpunan pagi.

Biarawati yang lain kini bertukar giliran menjaga mangsa di hospital.

Orang ramai di Internet menyatakan perasaan jijik atas kejadian tersebut, dengan beberapa orang sangsi dengan motif rompakan itu memandangkan ketegangan antara agama yang semakin meningkat dalam negara

PAS kesal RTM tangguh siar wacana hudud di televisyen

Posted: 14 May 2014 10:18 PM PDT




Oleh MOHAMED HANIPA MAIDIN


PADA hari Khamis yang lepas (9 Mei 2014), saya telah dijemput oleh RTM untuk menjadi salah seorang ahli panel program wacana nasional dengan tajuk hudud.

Selain saya, wakil DAP iaitu Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong; wakil Umno, Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Dato' Che Alwi dan wakil ahli akademik iaitu Dr Zubaidah dari Universiti Malaya juga dijemput menjadi ahli panel. Moderator wacana tersebut ialah Syed Munawwar daripada RTM.

Semasa forum itu, saya juga menyentuh jika Umno ikhlas dalam isu hudud ini maka Umno perlu jelaskan kepada rakyat mengapakah Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak dibicarakan di bawah undang undang Islam di Mahkamah Syariah kerana tuduhan ke atas beliau adalah melibatkan kesalahan di bawah undangundang hudud.

Wacana berlangsung selama sejam, di mana para ahli panel telah mengemukakan hujah masingmasing dan perbahasan meskipun adakalanya panas, namun masih dalam suasana yang harmoni dan tidak beremosi.

Saya harus mengucapkan tahniah kepada tuan moderator yang berjaya menghidupkan dan mengawal suasana perdebatan dengan cemerlang.

Selepas selesai program rakaman, kami dimaklumkan rakaman wacana tersebut akan disiarkan tanpa penyuntingan (edit) pada 11 Mei 2014 antara jam 11 hingga12 malam.

Pada malam itu, lebih kurang jam 10 malam saya mendapat makluman daripada pihak RTM bahawa rakaman yang sepatutnya disiarkan malam tersebut telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Saya juga mendapat maklumat bahawa rakaman itu masih belum ditonton oleh Menteri Penerangan.
Saya dengan ini ingin mendapat penjelasan dari Menteri Penera ngan tentang perkara perkara berikut:

1. Mengapakah siaran wacana tersebut ditangguhkan dan adakah Menteri terlibat sama dalam proses penangguhan siaran wacana nasional tersebut?

2. Adakah rakaman wacana itu akan disiarkan selepas ini dan jika ya, bila ia akan disiarkan?

3. Adakah jika rakaman wacana tersebut disiarkan selepas ini, Menteri akan memberi jaminan ianya akan disiarkan secara penuh tanpa sebarang penyuntingan (edit) terlebih dahulu?

4. Adakah menjadi amalan biasa setiap program wacana politik di RTM seperti wacana hudud ini ianya perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada pihak Menteri sebelum ianya dibenar kan untuk disiarkan?

5. Mengapakah RTM enggan mengadakan program wacana seperti hudud ini secara langsung (live) bagi menunjukkan pihak kerajaan benar-benar berpegang kepada amalan demokrasi yang matang dan terbuka.

6. Sekiranya saya tidak mendapat jawapan daripada pihak Menteri di atas soalan-soalan di atas, saya akan membangkitkan isu ini di dalam Parlimen yang akan bersidang pada 9 Jun ini.

>> Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS Pusat dan Ahli Parlimen Sepang.

Undi tidak percaya terhadap MB Negeri Sembilan

Posted: 14 May 2014 10:03 PM PDT




Oleh FAIZ ABDULLAH


SEREMBAN: Mesyuarat Agung Tahunan Umno Cawangan Pantai dan Pantai Setia, di sini, membuat satu kejutan apabila sebulat suara meluluskan usul tergempar membabitkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad Hasan, yang didakwa menyalahgunakan kuasa.

Ketua Umno Cawangan Pantai, Dato' Ishak Ismail mendakwa Mohamad telah melakukan perbuatan sedemikian dalam urusan pemilihan Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Batu 7, Batu 8 dan Batu 9, Pantai, di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Ishak yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng berkata, jelas sekali, keputusan tersebut dibuat tanpa merujuk dan mempedulikan segala cadangan dikemukakan oleh pihak Umno Cawangan Pantai dan Pantai Setia.

"Beliau (Mohamad) selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri langsung tidak mahu mendengar dan mengambil kira suara ahli Umno yang lain.

Maka, tiada gunanya kita bertuankan orang seperti ini lagi," katanya kepada pemberita di Dewan Masyarakat Pantai, dekat sini.

Susulan itu, beliau berkata, Mesyuarat Agung Tahunan Umno berkenaan turut membahas dan meluluskan usul bagi menolak perlantikan jawatan Pengerusi dan Setiausaha JKKK yang telah dibuat oleh kerajaan negeri, baru-baru ini.

"Kita menolak pelantikan terbabit berikutan mendapati individu yang dipilih tidak memenuhi kriteria ditetapkan seperti mempunyai rekod jenayah, bukan ahli Umno tempatan, tidak menetap dalam kawasan jagaan dan membantu pembangkang berkempen semasa Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.

"Justeru, kita akan bawa perkara ini ke Mahkamah Sesyen Seremban. Kita mahu mahkamah membatalkan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri dalam pelantikan jawatan JKKK terbabit," katanya yang bersedia menerima sebarang risiko, termasuk kehilangan jawatan dimiliki sekarang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, MK Ibrahim Abdul Rahman pula bertanya jika Mohamad tidak berlaku adil pada ahli Umno sendiri bagaimana pula ingin berlaku adil pada rakyat biasa?

"Jika benar dakwaan Ishak berhubung perlantikan Pengerusi dan Setiausaha JKKK itu, maka ini menunjukkan Mohamad tidak berlaku adil dan tidak menghormati ahli Umno sendiri. Bagaimana pula beliau hendak berlaku adil dan menghormati pada rakyat biasa?

"Malah jika dakwaan ini benar, ini juga menunjukkan kepincangan pentadbiran Mohamad yang mengamalkan kronisme.

Sepatutnya Mohamad perlu dengar suara akar umbi dan memilih Pengerusi dan Setiausaha JKKK berdasarkan merit atau menepati kriteria tertentu seperti yang dinyatakan oleh Ishak.

"Secara logiknya mestilah melantik orang yang menetap di dalam kawasan jagaan seperti kata Ishak," ujar MK Ibrahim yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Seremban -Harakah

Dilantik senator: Tak payah fikir dulu, kata Ahmad Said

Posted: 14 May 2014 09:28 PM PDT

BERNAMA 


KEMAMAN: Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menafikan dakwaan kononnya beliau sengaja melengahkan tarikh perkahwinan anak perempuannya sehingga bulan Mei.
  
Beliau berkata tarikh perkahwinan anak perempuannya telah ditetapkan masing-masing pada 10 dan 17 Mei, selepas mendapat perkenan keberangkatan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
  
"Bukan senang nak jemput Sultan (Sultan Mizan) ke majlis. Kena hantar jemputan dua bulan awal. Sultan free pada 10 Mei. Jadi, kita buat pada 10 Mei yang lalu," katanya pada sidang media hari ini di kediamannya di Teluk Kalong, di sini, hari ini.
  
Beliau berkata mengikut adat, selepas majlis rasmi yang mendapat perkenan keberangkatan Sultan Mizan pada 10 Mei lepas, maka majlis perkahwinan di sebelah pihak perempuan akan dibuat seminggu selepas majlis rasmi iaitu pada 17 Mei ini di Teluk Kalong.
  
"Selepas 17 Mei di sini, majlis di Kuala Lumpur pula pada 31 Mei ini. Bukan sengaja pilih tarikh pada bulan ini," katanya lagi.

Ahmad berkata anak perempuannya turut trauma dengan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Terengganu Isnin lepas.
  
Ditanya sama ada beliau akan dilantik menjadi Senator selepas peletakan jawatan sebagai menteri besar, beliau berkata: "Tak payah fikir dulu. Selepas ini saya mahu berehat".
  
Ahmad meletak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada 12 Mei lepas, dan berikutan itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik menjadi menteri besar yang baharu dan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.
  
Ahmad yang kemudiannya mengisytiharkan keluar daripada Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum ini, bagaimanapun mengumumkan menarik kembali keputusannya itu semalam. - Bernama

Mahathir 'marah' Anwar beri ceramah agama

Posted: 14 May 2014 09:25 PM PDT

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Dendam bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak pernah berakhir apabila terbaru menyelar bekas timbalannya itu yang memberikan ceramah agama.

Mahathir berkata, Anwar yang juga ketua pembangkang tidak layak untuk menyampaikan kuliah agama kerana berdepan dengan isu moral.

"Kalau nak cakap pasal Islam mesti praktik sekurang-kurangnya, tidak buat yang dilarang oleh agama.

"Saya hairan kerana diterima orang macam ini (Anwar) cakap pasal tajuk yang dia tiada hak sama sekali," katanya semalam dipetik Utusan Malaysia.

Beliau dilaporkan kepada pemberita selepas menerima anugerah Doktor Kehormat dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah di Jakarta semalam.

Anwar sebelum ini dilaporkan diundang untuk menyampaikan ceramah eksekutif bertajuk 'Nilai-Nilai Islam dan Kebangkitan Semula Ummah Islam' di kampus Universiti Al-Azhar Indonesia.

Tidak cukup dengan menghentam Anwar, Mahathir juga turut membidas penganjur yang sanggup mengundang Ketua Umum PKR itu untuk memberi ceramah berkaitan agama.

Beliau berkata ramai dalam kalangan pemimpin yang bercakap mengenai Islam tetapi dari segi amalan dan cara hidup mereka berbeza dengan apa yang dituntut oleh agama.

Tiada ulasan: