DUNIACACAMARBA |
- Kes Rogol, Mula-mula SUKA-BERAHI...
- Mat Said Dakwa Dipujuk Bertalu-talu, PAS Nafi
- Kepala Tertinggal di Lokasi Kemalangan
Kes Rogol, Mula-mula SUKA-BERAHI... Posted: 15 May 2014 01:34 AM PDT [SH] SABAK BERNAM – Hasrat bersuka ria seorang pelajar tingkatan tiga bersama rakan-rakannya pergi bercuti ke Port Dickson menjadi igauan ngeri apabila dia dirogol teman lelakinya di rumah rakannya sehari sebelum ke pantai peranginan itu. Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, pelajar perempuan berusia 15 tahun itu dirogol teman lelakinya kira-kira jam 12.55 tengah malam pada 21 Mac lalu. Menurutnya, mangsa dipercayai bermalam di rumah seorang rakan perempuannya di Kampung Nelayan Sungai Besar bersama rakan-rakannya yang lain termasuk suspek berusia 16 tahun sebelum bertolak ke Port Dickson keesokannya. "Difahamkan semasa kejadian, rakan-rakan mangsa keluar makan malam dan ibu bapa rakan mangsa ketika itu sedang lena tidur, sementara mangsa tidak keluar dan berada di ruang tamu sebelum dia didatangi suspek," katanya. Noor Mushar berkata, suspek kemudian mengajak teman wanitanya itu ke bilik tidur sebelum menodai mangsa dengan menyuruhnya membuka pakaian sebelum bertindak merogol mangsa. "Suspek yang seakan ketagih dengan perbuatannya itu, sekali lagi mengajak mangsa datang ke rumahnya di Parit Baru Sungai Air Tawar kira-kira jam 6.45 petang pada 7 April lalu sewaktu ibu bapa suspek tiada di rumah. "Sebaik mangsa sampai di rumah suspek, suspek yang tidak dapat mengawal nafsunya menarik tangan mangsa masuk ke sebuah bilik dan merogolnya sekali lagi," katanya. Noor Mushar memberitahu, mangsa mula curiga dengan suspek yang seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab atas perbuatan tersebut kemudiannya menceritakan kepada ibu bapanya sebelum dia membuat laporan polis pada 8 Mei lalu. "Suspek kemudiannya berjaya ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam keesokannya di Pondok Polis Parit Baru Sungai Air Tawar dan di reman sehingga Jumaat (esok) bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan," katanya. Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. -15/5/14 | ||
Mat Said Dakwa Dipujuk Bertalu-talu, PAS Nafi Posted: 14 May 2014 11:23 PM PDT Ahmad Said Dakwa Dipujuk Sertai PAS [MK] Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mendakwa beliau bertanggungjawab menghalang lebih ramai wakil rakyat Umno keluar parti ketika krisis politik di negeri tersebut memuncak sejak dua hari lalu. Beliau juga mendakwa tindakan itu berjaya menghalang PAS daripada memperolehi majoriti di DUN Terengganu dan membentuk pentadbiran baru. Katanya, jika empat atau lima wakil rakyat Umno keluar parti ketika itu PAS akan memerintah negeri itu dengan jumlah kerusi DUN yang dimiliki lebih tinggi. Dalam suasana getir itu, PAS turut berusaha memujuk beliau untuk menyertai parti Islam tersebut, dakwanya seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian. Ahmad mendakwa dipujuk berkali-kali oleh beberapa orang anggota PAS untuk menyertai parti Islam tersebut namun menolak tawaran berkenaan. "(Ahli PAS) bertalu-talu datang, mereka suruh saya buat keputusan cepat tapi saya tolak tawaran itu dan saya tegaskan saya tak mahu bertemu mereka lagi. "Saya sayang Umno, sebab itulah hanya tiga sahaja ADUN Umno yang umum keluar parti walaupun sebenarnya ada beberapa lagi (yang mahu berbuat demikian)," katanya. -15/5/14 Jawapan PAS PAS Tidak Buat Tawaran kepada Ahmad Said yang 'flip-flop'- Pesuruhjaya Terengganu [TMI] PAS Terengganu tidak pernah membuat apa-apa tawaran kepada bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said untuk menyertai parti itu ketika berlakunya krisis politik dalaman Umno di negeri itu kerana beliau merupakan seorang individu yang "flip-flop." Pesuruhjaya PAS Terengganu Satiful Bahri Mamat menegaskan, pihaknya sudah menjangkakan Ahmad akan membuat pusingan balik dengan menyertai Umno kembali. Katanya, pihaknya sudah menjangkakan Ahmad akan membuat pusingan balik dengan menyertai Umno kembali ekoran kredibiliti beliau yang diketahui sebagai individu yang "flip-flop." "PAS tidak berjumpa Ahmad Said. Kenyataan itu bohong. Kita tidak pernah menawarkan apa-apa. Kalau ada membuat tawaran sepatutnya saya selaku pesuruhjaya," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka. "Dalam isu ini, kita sedar Ahmad ini liabiliti... beliau kita ketahui seorang yang 'flip-flop." "Saya sendiri tidak pernah bercakap dengan beliau," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Terengganu hari ini. – Mohd Farhan Darwis/15 Mei, 2014. Dakwaan Lain: Kenapa Ahmad Said 'turn back'? [FMT] PETALING JAYA: Semalam segala-galanya berakhir apabila tiga ADUN yang buat onar, Datuk Seri Ahmad Said (Kijal), anak sepupunya, Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi) tak jadi meninggalkan Umno. Di saat-saat Umno Terengganu sedang nazak, Umno memerlukan mereka bertiga. Tahniah kepada mereka bertiga yang menyokong Menteri Besar baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman. Razif bersetuju menyediakan bas percuma kepada rakyat Sabtu ini di setiap daerah di Terengganu untuk pergi ke rumah Ahmad Said kerana mengenang jasa beliau sebagai menteri besar Terengganu selama enam tahun. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula merendahkan diri memohon maaf kepada Ahmad Said kerana menganggap majlis perkahwinan anaknya Sabtu ini sebagai masalah peribadi dan bukannya masalah kerajaan. Ahmad Said sebagai manusia biasa tidak sempurna bertindak emosional apabila menyentuh soal perkahwinan anaknya. Malah beliau mengakui anaknya trauma selepas Najib enggan menangguhkan peletakan jawatannya sebagai menteri besar walaupun beliau tahu kontraknya berakhir pada 9 Mei lalu. Alasannya beliau memilih tarikh Sultan Terengganu lapang maka majlis itu diadakan pada 17 Mei dan bukannya dia sengaja melengah-lengahkan majlis perkahwinan anaknya. Ada yang menganggap penangguhan peletakan jawatan itu adalah helah Ahmad Said untuk membeli Exco-Exco yang ada. Ramalan ini tepat apabila seorang Exco yang enggan menyebut nama mengesahkan kepada FMT bahawa bekas menteri besar itu memang berhasrat membawa beberapa exco ke luar negara selepas 12 Mei. Apabila info ini diketahui oleh Najib, maka Najib bertegas supaya Ahmad Said tetap meletakkan jawatan sebagai menteri besar pada hari yang sama. Sebab itu Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dihantar ke Kuala Terengganu pada petang yang sama untuk memaklumkan peletakan jawatan Ahmad Said dan pada malam yang sama diadakan majlis angkat sumpah menteri besar baharu seolah-olah ia diadakan secara tergesa-gesa. Malah ada sumber yang rapat dengan Ahmad Said berkata bekas menteri besar itu tidak dimaklumkan majlis angkat sumpah itu. Sebab itu Ahmad Said tidak hadiri majlis tersebut. Sumber yang rapat dengan PAS memberitahu FMT, dua hari sebelum majlis angkat sumpah menteri besar yang baharu, Ahmad Said telah menghantar Bendahari Umno Bahagian Kemaman, Abdul Sidek atau lebih dikenali sebagai Haji Dol menemui pemimpin PAS. Haji Dol beritahu pemimpin PAS bahawa Ahmad Said akan bawa enam orang Exco keluar dari Umno dan sanggup mengadakan kerajaan campuran dengan PAS di Terengganu. Maka PAS negeri membuat mesyuarat tergempar pada hari yang sama. Seorang pemimpin PAS kanan tidak setuju dengan tindakan Ahmad Said itu. Dia bertanya jika bekas menteri besar itu boleh dipercayai. Dengan Umno sanggup dia kencing, apatah lagi dengan PAS nanti. Katanya, lebih baik buat kerajaan campuran dengan Umno daripada kumpulan Ahmad Said. Sebab itulah pada malam 13 Mei Ahmad yakin enam orang Exco akan keluar bersamanya. Sebaliknya dua orang sahaja yang ikut – Ghazali Taib dan Roslee Daud (Bukit Besi). Tiga orang lain menafikan keluar dari Umno iaitu Datuk Mat Jidin Shafie (Permaisuri), Nawi Mohamad (Hulu Besut) dan Ir Rosli Othman (Kemasik). Misi Haji Dol gagal sebab itu Ahmad Said kata ada orang PAS melamarnya supaya beliau masuk PAS padahal PAS Terengganu tidak setuju kumpulan Ahmad Said buat kerajaan campuran dengan PAS. Apabila dua ADUNnya "turn back" iaitu Roslee Daud dan Ghazali Taib, maka Ahmad Said tidak ada pilihan terpaksa kembali menyertai Umno, jika tidak kes SPRM terhadapnya akan diteruskan. Sumber SPRM memberitahu FMT failnya masih dalam penyiasatan dan berkata ia bukan masa yang sesuai untuk mendakwa Ahmad Said sekarang. Tetapi apabila beliau "turn back" maka fail itu sudah tentu tidak akan dibuka lagi. Maka pilihan Ahmad kembali ke pangkuan Umno dapat menyelamatkan dirinya. Mungkin jawatan Duta sedang menanti beliau selepas ini. Tindakan Ahmad Said, Ghazali Taib dan Roslee Daud tidak jadi keluar dari Umno menyebabkan BN kekal memerintah Terengganu dengan BN 17 kerusi dan 15 PAS. Ahmad Said menyatakan sokongan penuh kepada Ahmad Razif sebagai menteri besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang baharu. Semalam penasihat utama Ahmad Said, Datuk Wan Ahmad Wan Muda ditukarkan dari jawatan CEO Terengganu Incorporated ke jawatan "peti sejuk" di pejabat SUK. Wan Ahmad yang selama ini dianggap sebagai MB Terengganu kedua yang menghuru-harakan pentadbiran Ahmad Said selama enam tahun. Maka tindakan Setiasaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mazlan Ngah adalah tepat. - Zabidi Saidi/15/5/14 | ||
Kepala Tertinggal di Lokasi Kemalangan Posted: 14 May 2014 07:12 PM PDT
[HM] Kota Samarahan: Pasukan petugas Hospital Umum Sarawak (HUS) terkejut apabila mayat seorang wanita mangsa kemalangan dihantar ke situ tanpa kepala sebelum dimaklumkan ia tertinggal di lokasi kemalangan di Kampung Meranek, kelmarin. Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, mangsa, Ninie Asmida Hasbi, 20, maut di tempat kejadian dengan kepalanya terputus dipercayai dilanggar sebuah motosikal dari arah bertentangan. Menurut sumber, mangsa membonceng motosikal ditunggang teman lelaki bersama seorang lagi rakan menaiki motosikal berasingan dipercayai dalam perjalanan ke Kampung Mang. Katanya, motosikal mangsa dipercayai dilanggar sebuah kereta menyebabkan kedua-duanya terjatuh dengan wanita terbabit tercampak ke laluan bertentangan. Bagaimanapun, mangsa tidak bernasib baik apabila sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dari arah bertentangan merempuhnya. -Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail/15/5/14 |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan