Isnin, 5 Mei 2014

.

.


6 Mei genap setahun Ahmad Yaakub jadi MB Kelantan

Posted: 04 May 2014 11:25 PM PDT

SUSUPAN TENGAHARI                                                                       

AHMAD genap setahun jadi MB.
Selasa ini 6 Mei, genaplah setahun Ahmad Yaakub menjadi menteri besar Kelantan. Tampaknya tidak banyak halangan dan dugaan yang ditempuhi selama 360 hari lalu. Beliau dapat bekerja sebagai seorang MB dengan baik. Walaupun ada beberapa polisi dan pendekatan pentadbirannya menjadi persoalan. Hal itu biasa kerana kata orang alah bisa tegal biasa.

Tidak ada cabaran besar buatnya sepanjang sedekad lalu. Cabarannya kecil saja umpama rumput melintasi jalan, dapat di langkahi dengan selesa dan selamat. Semua cabaran tidak sampai melelah dan menyebabkan beliau kena urut dada dengan minyak cap kapak, lantaran kesempukan.

Perubahan hubungan diplomatik kerajaan Kelantan dengan kerajaan Persekutuan dibawah kepimpinannya selepas mengambil alih daripada Tokguru Nik Aziz jelas. Ahmad memperkenalkan pendekatan berbaik-baik dengan pusat. Perubahan ini memberi kesan baik, bila mana media massa kroni Umno yang sering menyerang kerajaan Kelantan bertubi-tubi telah mula berkurangan.



Media massa mengambil sikap ceasefire. Media massa tidak begitu menggerami lagi kerajaan Kelantan. Bahkan diberi lapuran yang positif dan melunakkan mata memandang. Strategi Ahmad untuk mengendurkan serangan musuh berhasil.

Kejayaan itu menyebabkan Ahmad membina ruang nafas yang panjang. Ini satu daripada langkah dan kelebihan yang ada kepada Ahmad. Selain itu, beliau juga mengelak dari terjebak dengan kontroversi. Tindakan populis diketepikan, dan lebih menumpukan kepada kerja sebagai menteri besar. Bagaimana pun sesetengah daripada tindakan diambil dilihat kontras dengan apa dilakukan Nik Aziz sebelum ini. Tetapi itu mungkin satu ukuran yang adil.

Kerana terlalu ralik membina hubungan diplomatik dengan Pusat, menyebabkan Ahmad seakan terabai untuk memberi fokus kepada beberapa aspek lain yang juga penting diberikan tumpuan. Seperti membentuk sebuah pentadbiran yang cekap, bersistemetik dan efektif. Ini menyebabkan beberapa kelemahan dan kecacatan di zaman Nik Aziz dahulu masih wujud atau belum diperbaiki.

Yang ketara penjagaan alam sekitar, kebersihan dan kecekapan pegawai kerajaan dan mengurangkan perbelanjaan tidak mustahak dan berbentuk entertainment.

Urusan pejabat seperti dipejabat tanah masih ditahap lama. Kemudahan peralatan moden seperti komputer dan program seperti tidak berfungsi bila ia tidak digunakan seoptimanya. Kelemahan ini menyebabkan kerja-kerja pemerosesan masih lambat dan terpaksa menunggu masa yang lama. Permohonan pertukaran hak milik, kelulusan permohonan tanah dan pecah lot sebagainya masih tidak berubah. Sedangkan pembangunan ini boleh dilaksanakan tanpa memerlukan pindaan perlembagaan negara atau pun mendapat sokongan dari Umno.

Begitu juga dengan pembaziran wang kerajaan yang digunakan untuk mengadakan siri lawatan sambil belajar keluar negeri oleh pihak PBT atau pun jabatan dan agensi tertentu, perlu diawasi dan dihadkan. Boleh dikatakan setiap tahun semua PBT mengadakan lawatan sambil belajar ke luar negara yang memerlukan perbelanjaan yang banyak. Walaupun wang itu dikhaskan untuk tujuan itu, tetapi ia boleh dijimatkan dan dibelanjakan untuk keperluan lain yang lebih mendesak.

Selain kelemahan itu, kejayaan Ahmad ialah dapat mengurangkan perbalahan didalam parti kerana beliau tidak begitu "ikut erel" dengan cocokan pihak-pihak tertentu. Husam Musa yang cuba diangkat menjadi pengkritik dalaman oleh sesetengah pihak, tidak dipedulikan Ahmad. Beliau masih bersangka baik dengan Husam. Ahmad tidak melihat Husam sebagai musuh dalaman. Walaupun ada sogokan kepadanya agar terus nyahkan Husam tetapi tidak diikutkan?

Ahmad masih waras melihat siapa dia Husam Musa. Malam esok, sempena berlangsungnya majlis kesyukuran genap setahun beliau jadi MB, khabarnya Husam diundang untuk memberi ucapan dan sama-sama merai ulang tahun pentadbirannya. Perkembangan ini sesuatu yang positif dan menunjukkan Ahmad mula mahu menjadikan dirinya sebagai seorang abang yang adil dan saksama.

Barang kali sebagai seorang bekas Exco yang kreatif dan bijak dalam tatacara perundingan mungkin Husam boleh memberi sedikit idea berhubung kontroversi isu hudud yang melanda sekarang ini. Tentu Ahmad memerlukan pandangan berbeza daripada Husam untuk mendapat solusi terbaik. Jadi diharap Husam tidak akan menghampakan harapan umum untuk melihatnya mengulas mengenai hudud.

Dalam suasana kini adalah tidak bijak kalau Husam atau mana-mana pihak menegangkan keadaan dengan tanpa memberi komitmen. Dan pihak-pihak lain juga yang berterusan berusaha untuk mengasingkan Husam, perlulah insaf dan sedar. Hentikan perasaan curiga dan bermusuh sesama sendiri kerana ia sama sekali tidak menguntungkan Pas.

Alangkah baiknya kalau Ahmad dapat mengumumkan malam Selasa ini projek pembinaan stadium di Bukit Merbau yang digagaskan Husam diteruskan, dengan meminta atau memberi tanggungjawab itu kepadanya selepas urusan membina lebuh raya sudah pun beres. Ahmad dijangka mengumumkan nama syarikat yang berjaya mendapat tander membina lebuh raya rakyat dari Machang ke Kuala Krai sempena majlis kesyukuran genap setahun beliau menjadi MB.

Semoga majlis kesyukuran malam besok berjalan lancar dan ia menjadi permulaan ke arah landasan baru kerajaan dan Pas Kelantan. Sudah tentu apa diharapkan, semua pemimpin veteran juga akan hadir sama sebagai pemberian semangat. Yang paling baik juga selepas ini tidak ada lagi kritikan sesama sendiri sehingga membawa kepada fitnah. Ingatlah siapa di antara kumpulan di dalam Pas mereka adalah dari rumpun yang sama.

Kepada Ahmad Yaakub diucapkan selamat semoga beliau dapat mengemudikan kerajaan dengan baik dan selamat tiba ke destinasinya. Jangan ralat hudud akan dilaksanakan 2015. [wm.kl.2:17 pm 05/05/14]

Nik Amar kata tidak ada agenda tersembunyi di sebalik hudud

Posted: 04 May 2014 09:23 PM PDT

REAKSI                                                                                                

Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud, Nik Amar Abdullah menafikan bahawa kesediaan Umno untuk menyokong pelaksanaan hukum hudud di Kelantan mempunyai motif politik. Katanya spekulasi mengatakan ada agenda politik di sebalik kerjasama Umno berhubung perkara itu adalah mengarut.

Beliau membuat respon itu terhadap satu catatan saya dalam blog dua hari lepas yang mahu Pas menyiasat ada pimpinan Pas berjumpa dengan Umno dan ditawarkan jawatan bertaraf menteri sekiranya isu hudud selesai.

Baguslah kalau tidak ada motif yang tersirap. Di dalam politik setiap kata-kata dan kenyataan kena nilai. Satu masa dahulu Nik Amar mengatakan akhbar Utusan sebagai sampah yang tidak boleh dipercayai. Apabila hari ini kenyataannya disiarkan oleh akhbar berkenaan orang akan konfius, apakah ia bukan sampah lagi.



Apakah akhbar Utusan sudah bersih dan tidak menjadi sampah lagi. Mungkin Nik Amar boleh mengityharkan bahawa laporan Utsaun boleh dipakai. Ini membuktikan bahawa kata-kata dalam politik tidak statik atau bersifat qadim.

Mengenai agenda tersembunyi disebalik kesediaan Umno menyokong hudud itu, sesiapa pun tidak akan mengakui kalau ia benar. Satu masa dahulu bekas timbalan presiden Pas, bermati-matian menafikan yang beliau ada berjumpa dengan pemimpin Umno membincangkan kerjasama untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

Sampai Nik Aziz sendiri menghalau bekas timbalan presiden itu keluar Pas sekiranya masih terus membawa agenda untuk bekerjasama dengan Umno. Akhirnya agenda itu terdedah apabila Abdullah Badawi sendiri mendedahkan pertemuan dengan pemimpin Pas berlaku beberapa kali. Apakah makna dan erti semua itu?

Demikian juga rahsia pertemuan pemimpin Pas dengan Tengku Razaleigh Hamzah menjelang pilihan raya lalu dalam proses hendak menukarkan jawatan Perdana Menteri daripada Anwar Ibrahim kepada Tengku Razaleigh.

Tidak ada seorang pun pemimpin Pas yang bertemu dengan Tengku Razaleigh berani menjelaskan perkara itu dan kalau diajukan pertanyaan mereka akan menafikan. Kerana pertemuan itu sulir dan bukan semua pemimpin Pas yang lain diberi tahu.

Saya menetahuinya apabila Tengku Razaleigh menyebut seorang demi seorang pemimpin Pas yang berjumpa dengannya dan siap menunjukkan tempat kerusi yang mereka duduk di ruang pejabat di tingkat satu dirumahnya.

Pendirian saya mengenai cadangan Kelantan hendak melaksanakan hudud, jelas. Saya menyokong seratus peratus. Apa yang dipertikaikan ialah makenismenya sahaja yang perlu diperkemaskan agar yang dikejar tidak dapat yang dikendur berciciran. Mengingatkan agar Pas tidak terperangkap di dalam mainan Umno. Jangan nanti kerana excited hendakkan hudud Pas akan kehilangan kuasa.

Mungkin orang lain tidak berpeluang bercakap dengan mana-mana pemimpin Umno bertanyakan mereka mengenai tabiat mereka dengan tiba-tiba menyokong hudud. Saya bernasib baik kerana dapat bercakap dan mengetahui apakah motif mereka di sebalik sokongan itu.

Mustapa Mohamed mungkin ikhlas untuk melihat perpaduan, kerana beliau sendiri mungkin menyesal kerana sebagai anak Kelantan tidak membawa apa-apa pembangunan di Kelantan. Tetapi dari prinsipnya, hudud itu bukan agenda utama partinya. Begitu juga dengan Jamil Khir. Inilah yang perlu diwaspada dan dikaji mendalam kenapa tiba-tiba mereka bersetuju.

Tidak semestinya orang bersetuju dengan kita, kita menerimanya tanpa usul periksa. Di dalam Islam pun menyuruh kita berbuat baik dengan musuh yang hendak berbuat baik, tetapi hendaklah berwaspada.

Tetapi kalau kerajaan Pas Kelantan merasakan mereka boleh melakukannnya dan mempercayai sokongan Umno itu ikhlas, dan tanpa ada motif politik bersifat kepentingan diri, ya teruskan. Kita mendoakan semoga ianya berjaya.

Kepada cucu cicit pak pandir dalam politik saya nak ingatkan bahawa di dalam politik tidak ada keikhlasan dan kejujuran. Perjanjian di dalam politik bukan untuk disetiai tetapi untuk dimungkiri. Saya hanya memberi ingatan tidak ada lain dari itu.

Sewaktu penububuhan kerajaan campuran 1971 dahulu alasan untuk bersamalah yang digunakan oleh Tunku Razak kononnya demi perpaduan Melayu. Apa jadi kepada kerjasama itu, akhirnya Pas ditendang keluar daripada BN selepas apa yang dikehendaki Tun Razak diperoelehi. Najib yang menjadi PM hari ini adalah anak sulung Tun Razak.

Semua orang Islam yang beriman tidak akan tolak hudud, tetapi yang dibimbangi kelak nasib Pas takut jadi selepas tongkat yang akan dilempar selepas tuannya (si buta) menyeberangi jambatan. Itu sahaja. [wm.kl.12:11 pm 05/05/14]

Malaysia keladai dadah dan Amerika

Posted: 04 May 2014 08:25 PM PDT

BLOGER JEMPUTAN                                                                       

[Catatan: Dipostkan tulisan SH Alattas]
Ramai yang melihat dengan mata hati betapa sedihnya keluarga penumpang MH370 yang hilang macam itu saja tanpa meninggal sebarang pesanan kepada keluarga. Tak pasal – pasal perempuan yang yang dulunya isteri menjadi janda, anak menjadi yatim, dimana tempat hendak mengadu? Dimanakahkan ku cari ganti? 'Sesiapa saja yang mata kepala dan hatinya masih menyimpan sehiris perikemanusiaan akan menyalahkan yang salah dan menghentikan kesalahan itu daripada terus berlaku' patutkah kita salahkan Tuhan? Tuhan tidak pernah zalim, ini kerja manusia durjana. Memang kita percaya hidup, mati, jodoh pertemuan, tanah kubur, adalah ketentuan dari Allah Subhana Wa Taala kepada mereka yang percaya pada rukun Iman. Berat mata memandang, tentu berat lagi bahu memikul begitu kata pepatah melayu.
Apakah selaku seorang pemikir penulis yang punya tanggungjawab, saya sekadar pandang, tengok macam lembu? Atau macam beruk? Kerana beruk ada persamaan dengan manusia. Manusia makan pisang beruk pun makan pisang juga. Mereka yang percaya pada teori Darwin mengaku datuk nenek mereka beruk, tak percaya yang manusia itu khalifah Allah diatas muka bumi. Tak ada consciences. Asal – usul saya dari Allah yang menciptakan Adam dan Hawa. Saya makan daging macam singa dan harimau sebab itu saya berani, tapi saya tak sanggup makan daging manusia seperti haiwan politik yang berideologi materialistik. 

Saya bukan seperti orang yang buta pekak dan bisu tanpa rasa kepedulian? Itulah antara tanggungjawab 'ulama pewaris nabi' untuk menyampaikan hatta sepotong ayat. Sebesar – besar jihad adalah berani berkata benar di hadapan pemimpin yang zalim. Manusia adalah makhluk yang alpa, Islam adalah agama yang nasihat dan menasihati. Ada masanya kita perlu berperang, kita perang dan bersedia mati syahid.
"Pelik Altantuya wanita yang datang dari Mongolia yang nak tuntut commission, jasad dan maklumat passportnya pun hilang. Apakah selepas terbitnya buku ini saya pun mungkin hilang. Lu Fikirlah Bro!"
-MH370 Hilang Ke Mana Najib Nak Menghilang

Satu perkara penting yang tak banyak orang tanyakan pada diri sendiri. Bagaimana dia menghabiskan masa mudanya? Ketika dewasa dari mana dia dapat duit atau kekayaan? Dan bagaimana dia membelanjakannya? Itulah yang sedang saya fikirkan tentang nasib umat Islam yang berada di dalam MH370. Apakah mereka mati diluar atau didalam iman?
Jika di umur muda, ketika nafsu menguasai diri, jika mereka tidak sempat meminta ampun, marilah kita berdoa semoga Allah akan mengampunkan dosa – dosa mereka, dan kita mengambil iktibar, kita tafakur dan muhasabah diri, untuk mengingatkan kita, apakah kita tahu bila dan bagaimana kita akan mati? Siapa sangka Karpal Singh mati ketika kemalangan. Dia akan dikenang sepanjang zaman, seorang lagenda yang tak ada ganti. Mari kita meminta keampunan semasa ada lagi waktu untuk bertaubat kerana Allah Maha Pengampun. Apakah kita sudah bersedia untuk melakukan taubat nasuha? Apakah kita sudah bersedia untuk mendekatkan diri dengan Tuhan kita? Kenapa tunggu tua nanti baru mahu beribadat. 

Sudahkah kita bersedia menjawab dari mana kita dapat jutaan ringgit? Rasuah Berjemaah? Menyamun merompak guna imuniti dan kekebalan? Lu jawab sendiri dengan Tuhan Bro. Namun yang penting, Bagaimana kita mahu menghabiskan masa hari tua kita? Selain melakukan amal jariah meninggalkan anak yang soleh, apakah kita telah meninggalkan ilmu yang bermanfaat? Sekurangnya kita menghadiahkan buku yang boleh memberi manfaat dunia dan akhirat. Ahli politik namanya jika buku – buku pun tak mahu membaca?
Apakah kita tidak nampak bala bencana yang lebih besar yang mungkin akan diturunkan? Iktibar dari MH370 rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap manusia yang bergelar pemimpin, kerana mereka tak pandai jadi pembohong, bohong yang disampaikan tak cukup hebat, hingga diragukan, kalau nak berbohong pun kena pro hingga orang tak tahu yang ianya satu pembohongan. Betul ke MH370 terhempas dilautan Hindi? 

Cara Perdana Menteri Australia membuat pengumuman menambahkan keraguan kita, kerana mereka akan turun mencari hingga bulan 9. Hari ini sudah 53 hari hilang, kalau adapun serpihan sudah tenggelam. Kata beliau. Jawabnya pasti tak terjumpa di laut Hindi. Ia menjadi seperti peristiwa 9/11 bangunan dan rakyatnya korban di Amerika untuk merosakkan imej Islam. Jika terhempas di laut Andaman, kenapa pergi cari di lautan Hindi yang mustahil boleh terjumpa? Lu fikirlah bro! Please don't insult my intelligent.
Apakah tidak cukup dengan bala bencana yang sedang kita hadapi oleh umat Islam di negeri ini? Nasib baik kita telah melakukan Selawat Perdana dan Selawat Cinta Allah dan Rasul di beberapa tempat di Malaysia di mana ulama Wahabi tidak berkuasa. Untuk tahu peranan Wahabi baca bab Sejarah Ringkas Fahaman Wahabi dalam dalam buku MH370 Hilang Ke Mana Najib Nak Menghilang? Jangan nanti nasib Wahabi jadi macam nasib Syiah.
Obama selepas meninggalkan Malaysia pergi ke Filipina dan akan menjadikan negara tersebut untuk pertahanan Amerika selama 10 tahun. Sampai bila kita mesti jadi bodoh tak buat apa-apa? Untuk memerangi perang dingin yang dilakukan terhadap China di mana kita umat Islam menjadi mangsa. Akibat kita takut hendak menyoal disebabkan minda sudah terperangkap 'Captive Mind' disebabkan terlalu mengagung dan mendewa – dewakan manusia. Terutama Amerika musuh Islam yang mahu mematikan pengaruh Islam diseluruh dunia menggunakan pemimpin Islam sebagai alat.
Saya tidak pasti apakah yang bermain dalam otak manusia yang kononnya mempunyai 'minda kritikal', sepanjang tragedi kehilangan misteri pesawat MH370?
Ada orang kata kita kena main. Betul ke? Pelik, kena main dan kena tipu pun, kita tak tahu akibat 'bebal'. Ini yang buat saya naik darah hingga terpaksa menulis buku. MH370 Hilang Kemana Najib Nak Menghilang? Tapi saya tak emosi.

Pandainya pemain silap mata menggunakan media massa hingga tak sempat kita terfikir apakah tak mustahil MH370 telah diletupkan di Lautan Andaman, ketika kita sedang sibuk menumpukan perhatian ke Laut China Selatan, apakah tak mustahil 'kotak hitam' sudah pun ditemui di Andaman supaya cerita sebenar apa yang berlaku di dalam MH370 dan semua rampasan ia telah disembunyikan siapa pun tak tahu melainkan yang menipu dan mempermainkan kita, hingga terpaksa pergi ke lautan Hindi untuk cari 'kotak hitam' yang memang tak ada disitu. Hebat sandiwara.
Saya tak peduli apa orang hendak kata tentang tulisan saya, macam sampah, saya pemfitnah mencari keuntungan dalam kesempitan, yang penting saya telah melakukan 'fardu kifayah' yang tak banyak orang mahu buat hari ini pertama mereka yang cinta dunia takut mati. Saya mengajak orang berfikir, apakah tak mustahil MH370 diletupkan dan semua penumpang dimatikan diatas pesawat lagi seperti yang di sampaikan oleh "AAIB memaklumkan kepadanya syarikat pembekal data satelit, Inmarsat telah melakukan perkiraan terhadap semua data menggunakan analisis yang tidak pernah digunakan sebelum ini sehingga berjaya mengesan laluan terakhir pesawat" kata Najib Tun Razak. Apakah tragedi ini berlaku disebabkan Hakcipta Drone yang dimiliki oleh 4 orang China Amerika yang membawa kelengkapan untuk dipasang di China bersama seorang rakyat Amerika? Yang dikatakan 4 tan Buah Manggis.
Bayangkan mereka yang mengata saya ikut sedap mulut sekadar cakap di kedai kopi di facebook, apa yang mereka tahu mengenai bahaya Drone, pesawat yang terbang tanpa pilot yang digunakan di Yaman untuk membunuh mereka yang di musuhi tanpa sedikit belas ikhsan. Ketika mereka berada ditanah perkuburan atau di majlis kenduri, sebab itu kalau nak kritik buku saya, MH370 Hilang Ke Mana Najib Nak Menghilang, baca dulu buku itu. Tengok gambar Drone, baca bab bagaimana dan siapa sebenarnya yang membunuh mereka yang ada di menara kembar 9-11? Kalau mereka sanggup menghancurkan sebuah bangunan dan membunuh rakyatnya sendiri apa sangat 239 penumpang dalam MH370 kerana yang mendapat nama buruk Malaysia. Manusia jangan jadi seperti anjing "seekor anjing menyalak anjing yang lain turut menyalak sama". Kita ini pun haiwan juga, tapi haiwanunatik. Haiwan yang punya akal fikiran dan ada hubungan dengan alam kerohanian, manusia bukan sekadar haiwan yang pandai berkata, maka kenapa kita mengagungkan manusia yang lebih hina dari haiwan. Lebih setan dari setan. Selaku umat Islam kita ada dunia dan akhirat, ada roh dan jasad, ada awal dan akhir. Kita punya tanggungjawab selaku Khalifah Allah di muka bumi, itulah mesagge yang cuba saya sampaikan, selain mengisikan nama dan gambar – gambar penumpang kerana ramai yang masih menunggu kotak hitam akan hampa kerana setakat ini berita hanya di internet dan media massa, belum ada dalam bentuk buku.
Sudah tentu banyak pengajaran yang dapat kita pelajari dari Tragedi MH370 jika saja kita mahu berfikir. Bayangkan jika kita mati dalam keadaan arak dalam perut, kerana dalam MAS boleh minum tak ada undang – undang yang boleh tangkap walaupun kita orang Islam. Bayangkan badan kita tak bersih kerana tak mandi bersih. Belum sempat solat Isyak? Sebab itu dalam perjalanan jauh perlu solat musafir dan berdoa kerana di mana juga kita berada, pada bila – bila masa, maut boleh cari kita. Apakah kita sempat mengucap dua kalimah syahadah La illahail Allah Muhammadur Rasulullah. Mati dalam Iman?
Kebetulan saya telah dilabel sebagai penulis yang Pro UMNO. Bukan mudah bagi seorang penulis untuk menggalas misi berat untuk memastikan Malaysia tidak terpesong dari landasan yang di iktiraf sebagai masyarakat antarabangsa yang maju sebab itu kita perlu menjaga nama baik bangsa dan negara dan berani berperang dengan siapa saja yang bersubahat dengan musuh – musuh negara kerana mereka adalah pengkhianat seperti Si Kitol di Melaka dan Sang Rajuna Tapa di Singapura. Penderhaka kepada agama, bangsa dan negara.
Tanggungjawab mempertahankan agama, bangsa dan negara bukan seorang Perdana Menteri dan para pemimpin politik, tapi ianya menjadi tanggungjawab penulis, para pemikir dan para ulama yang mempunyai jiwa jihad. Cintakan negara adalah sebahagian dari Iman.
Hebat macam manapun lakonan Hishamuddin di pentas sandiwara, orang tahu dia bukan seorang penipu yang professional, dia gagal hendak membohongi kita, cara menjawab soalan media tak dapat menyelesaikan masalah jangka panjang hal – hal yang berkaitan dengan 'common sense' payah akal kita nak terima. Bukan semua rakyat Malaysia bodoh.
Ibarat "sepandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah". Jika Najib berhenti selaku Perdana Menteri sejauh manakah Hishamuddin boleh menguasai kementerian, yang perlu menyelaras antara satu sama lain? Memanglah dia hebat kalau di banding dia sebelum tragedi MH370 dari segi Image Building dia menang. Jika dia bertanding kerusi Naib Presiden sekarang pasti dia dapat undi terbanyak meninggalkan Mukhriz Tun Mahathir jauh kebelakang. Saya tak setuju, dia mewarisi kerusi PM. Bukan kerana saya dengki iri hati, bukan ada anak saya yang mahu jadi Perdana Menteri, kerana bapa Hishamuddin Tun Hussein tak sehebat Tun Razak atau Tun Mahathir. Jika tuan menebang jati biar serpih jangan tumbang, jika tuan mencari ganti biar lebih jangan kurang. Itulah kerja saya selama ini selaku king maker dalam politik Malaysia. Buku – buku saya sebagai bukti. Bermula dengan Siapa Selepas Musa. Klimax Challenger Siapa Lawan Siapa. Baca buku Musa Hitam Lawan S.H Alattas oleh Halim Mahmood
Integriti dan kredibiliti penulis menjadi ukuran sejauh mana dia layak diiktiraf selaku The Writer, tugasnya sebagai penyampai suara hati nurani rakyat yang perlu menyuarakan suara Tuhan, bukan suara TUAN KAU, selagi berTuankan Allah sebagai Boss. Allahu Akbar Allahu Akbar. Takbir.
Apakah kita buta atau bodoh 'Bebal' melihat Najib dan Hisham gagal membohongi kita semua. Kalau hendak jadi pembohong, berbohonglah dengan pintar (credible lie) kerana rakyat yang bersifat intelek, boleh tahu sama ada fakta yang digunakan untuk menyokong pembohongan itu, fakta yang dicipta (manufactured fact) atau fakta asli (natural fact).
Itulah sebabnya saya terpaksa menulis buku 'JANGAN JADI BODOH'. Kalau hendak berbohong, bohonglah sehingga diri sendiri pun percaya bahawa cerita karut marut yang disampaikan itu satu cerita benar. Baru best. Macam Obama menyatakan dia terlalu sibuk hendak berjumpa Anwar Ibrahim, sebenarnya dia hendak bunuh karier politik Anwar untuk menaikkan imej Najib dan Hishamuddin.
Kita adalah makhluk tiga dalam satu. Minda, jasad dan roh. Asal dari tanah kembali ke tanah. From dust to dust. Mati ditengah laut ini perkara biasa bagi mereka yang dulu pergi mengerjakan Haji, mati dilaut diturunkan ke laut, dibawah laut ada tanah juga. Yang kita tinggalkan sesudah mati dua benda, nama baik dan nama jahat. Apa yang saya dokumentasikan dalam tulisan dibuku saya mengingatkan kita nama baik atau nama jahat yang akan kita tinggalkan. Apakah kita seperti Firaun, Namrud atau khalifah Umar bin Abdul Aziz atau Sultan Ibrahim Adham atau seperti Imam Khomeini atau Ghandi, Abraham Lincoln atau Buddha. Kita hanya terhutang nyawa pada pencipta, tidak terhutang hidup dengan mana manusia, sebab itu saya tak takut berkata benar. Jika kita takut pada Allah pasal apa hendak takut dengan manusia. Lu fikirlah Bro.
Bolehkah kita, hentikan cakap – cakap rakyat yang semakin hari semakin kencang ketika kredibiliti kabinet yang memerintah diragui dengan kedatangan Obama? Obama pun badut Joker dia buat apa saja yang disuruh takut hilang jawatan. Setiap orang yang memasuki politik, 'fikir' dialah yang paling layak jadi Perdana Menteri. Ingat pesan pepatah jangan ukur baju di badan orang ukur di badan sendiri.
Dulu dulu dulu, jangan nak kata hendak jadi Imam apalagi nak mengaku Ulama, hendak jadi ketua darjah pun kebanyakan murid menolak, kenapa? Kerana kita sedar diri, kita ada maruah, kita kenal siapa diri kita, jangan ular lidi nak jadi ular sawa, cicak mengkarung biawak berlagak macam naga. Kerajaan yang ada adalah kerajaan kita, government of the people, by the people for the people, bila telah disalah gunakan menjadi kerajaan keluarga mereka yang berkuasa. Apakah salah jika kita bersuara? Dulu Sultan saja, yang boleh bersultan di mata beraja dihati. Berikan sesuatu jawatan kepada orang yang tidak layak maka tunggulah akan kehancurannya. Bolehkah saya tidur nyenyak ketika bangsa dan negara kita sedang menuju jurang kehancuran akibat jawatan diberikan kepada yang bukan ahlinya.
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Perdana Menteri telah menyiapkan pengganti yang baik iaitu Tun Razak bukan Putranya Tengku Nerang Putra. Tun Hussein Onn merasakan dia tidak layak, meletak jawatan bila Suleiman Palestin bertanding kerusi Presiden UMNO dan mendapat sokongan pemimpin dan ahli UMNO. Akhirnya Mahathir terpilih, penggantinya terbukti jauh lebih baik dan berjaya memerintah negara selama 22 tahun. Kelemahan Tun Mahathir tidak membuat persiapan untuk calon menggantikannya, sedih bila pengganti macam Abdullah Badawi, Menteri Tidur diganti Najib, Menteri Takut Bini.
Atas kesedaran bahawa Perdana Menteri dan negara kita berada bawah tekanan dan ugutan pihak tertentu, terutama Amerika yang merasakan negaranya sebagai 'Super Power' dan Polis Dunia dan pengaruh media masa arus perdana cuba mengkagumi Obama sebagai Presiden yang datang untuk menyelamatkan kita dari China selaku kuasa besar dari rantau ini dan betapa baiknya Amerika datang menolong mencari MH370 kita terlupa bertanya, apakah tidak ada agenda yang tersirat, hidden agenda? Mungkin apa yang dikatakan buah Manggis dalam Kargo itu rahsia Negara. Ingat senang ke nak dapat hingga bertan – tan buah Manggis ketika bukan musim buah Manggis. Mungkin China pun tahu kemana hilangnya MH370 itu dan kemana MH370 menghala? Tapi untuk menjaga rahsia Manggis mereka pun terpaksa turut mengiyakan cakap Najib. Apakah tak mustahil Amerika memilih Selat Melaka untuk dijadikan Pengkalan Tentera Amerika? Supaya dia dapat menguasai Selat Melaka? Untuk menguasai nusantara?
Untuk pengetahuan Najib dan para pemimpin sekelian, zaman dan era rakyat boleh kena bodoh mudah di kelentong dan digula - gulakan sudah berlalu, itupun mereka belum baca lagi buku saya 'Jangan Jadi Bodoh'. Rakyat sekarang ini berada di zaman langit terbuka mereka sudah mahukan Islam selaku Addin. Inilah yang ditakuti oleh Amerika dan sekutunya. Musuh – musuh Islam tahu bila umat Islam sudah tidak lagi mempercayai sesama manusia terutama orang politik mereka dan mahu mempelajari ilmu kenal diri dan Tuhan dan alam kerohanian. Tak ada lagi benda – benda yang boleh disembunyikan dalam kain, atau di mana saja bila mata hati sudah celik. Ramai yang jadi bodoh hari ini kerana mereka tak kenal diri dan tak kenal Tuhan yang disembah. Dan mata hati mereka buta.
Saya sedih bila Malaysia sudah jadi macam kuih bakar, atas api bawah api, oleh dua kuasa besar China dan Amerika. Apakah tragedi MH370 ini akan menjadikan Malaysia sebagai keldai dadah Amerika? Lu fikirlah bro!

Kedudukan hukum hudud sama dengan MH370

Posted: 04 May 2014 05:38 AM PDT

CELOTEH SENJA                                                                             

Hari ini kita jadi pening kepala kerana banyak memikir soal hukum hudud. Macam-macam kenyataan dan ulasan mengenai hudud termasuk ada yang menceritakan sejarah bermula hukum hudud. Saking banyaknya perbualan menyebabkan hudud jadi macam pesawat MH370 yang hilang. Dunia aviation yang kita tidak tahu sebelum ini, menjadikan kita tahu sedikit sebanyak. Elok juga.

Hukuman sebat ke atas pesalah hudud di Aceh. 
Sejak MH370 ghaib kita tahu soal-soal teknikal mengenai pesawat. Tahu bagaimana sebuah pesawat itu dioperasi. Tahu macam mana pesawat itu dikawal menerusi radar. Tahu juga berapa banyak radar yang merakam perjalanan sesuatu pesawat atau ketika pesawat di udara. 

Ekoran kehilangan pesawat MH370 kita juga mendengar berbagai teori untuk mengesan dan meramalkan apakah terjadi kepada pesawat berkenaan. Begitu juga dengan orang bercakap mengenai dunia aviaiton dan mengenai kehilangan itu termasuklah mereka yang tidak memahami dan jahil mengenai tentangnya ikut sama bercakap.

Paling anih lagi, sampai bomoh pun turut sama mengambil bahagian melakukan perkara-perkara bidaah dan tahayul untuk ikut sama berpartisipasi mencari kapal terbang yang hilang itu. Dan diri kita juga berpeluang untuk mengemukakan teori kita sendiri bagi meramal ke mana dan apa yang terjadi kepada 239 penumpang bersama anak kapal MH370.

Nah, begitu juga dengan isu hukum hudud hari ini, semua orang bercakap dan menyentuhnya. Golongan agama, pakar perlembagaan, bekas hakim, lebai kampung dan sebagainya ikut sama bercakap. Sudah semestinya orang politik tidak kering ketinggalan. Bukan sahaja pemimpin Pas, pemimpin Umno, juga bercakap. Lagi anihnya pemimpin MCA, Gerakan, DAP juga bercakap. Bahkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga ikut sama bercakap. 

Setakat ini hanya tukang potong daging sahaja yang namanya diheret sama belum bersuara. Mungkin esok lusa akan ada mana-mana pusat penyembelihan memberi komen mengenai hudud. Al hasilnya hudud yang serius sudah jadi main-main dan dipersendakan.

Memang hudud hak semua orang seperti mana MH370 itu, semua orang berhak bercakap. Tetapi tidak bermakna semua orang boleh mengulas tentang kehilangannya mengikut nafsu masing-masing kerana ia boleh mengelirukan. Mereka yang tidak mahir dan pakar dalam sesuatu bidang tidak berhak campur tangan dalam bidang yang dia tidak tahu. Misalnya, apa dilakukan seorang bomoh itu, kononnya MH370 itu begitu dan begitu, ia bukan sahaja mengelirukan, tetapi melucukan. Paling teruk gara-gara aksinya menyebabkan negara diketawakan dunia luar.

Begitu juga dengan hudud ini negara-negara yang awal menerima Islam seperti di Timur Tengah mungkin ketawa dan mengeluh memerhati kita membicarakan soal hukum hudud di negara ini. Mereka gelak melihat gelagat kita yang hendak menjadi Islam lebih daripadanya. Orang Melayu selalu terjadi terlebih hulu dari mata.

Begitu juga mengenai hukum hudud ini. Perbicaraan dan pergaduhan sesama sendiri menyebabkan ia melucu dan boleh membingungkan pendengar. Bagi mereka yang arif mengenainya, sama ada keinginan melaksanakan sebagai satu kewajiban agama atau dijadikan modal politik, akan ketawa. Hanya orang yang tahu ia modal politik akan tersenyum kambing melihat implikasi daripada apa yang timbul di sebalik hudud kini. Manakala mereka yang dibiuskan hudud itu sebagai satu perjuangan menuju syahid, akan terus mendengar sebagai para pandir-pandir sahaja.

Yang anihnya ialah orang kampung dan budak-budak politik fanatik yang disogok dengan hukum-hukum "leper" mengenai keperluan hukum hudud perlu dilaksanakan. Mereka jenis ini dengan mudah menganggap kalau hukum hudud dilaksanakan, semuanya akan beres, kes jenayah, rogol, cabul akan selesai kerana penjenayah itu akan disebat. Bagi mereka apabila hukum hudud, sebat 100 rotan, tangan dipotong maka bereslah segalanya.

Mereka yang berfikiran mudah begitu tidak mempunyai kajian mendalam dan bersikap rasional untuk melihat realiti. Orang yang menganggap mudah itu samalah seperti orang yang mencadangkan doktor pakar untuk melaksanakan potong tangan. Mereka tidak terfikir, apakah perbuatan jenayah (bunuh) selesai walaupun kanun jenayah sudah lama dilaksanakan di negara ini. Sudah banyak pengedar dadah digantung dan pembunuh dihukum gantung (kecualilah pembunuh Altantuya sahaja yang terlepas), tetapi apakah semua jenayah itu beres?

Berfikir secara mudah (simplistik ala pak pandir) begitu samalah dengan orang yang tidak tahu dengan hal ehwal dunia penerbangan dan mudah mempercayai kata-kata para pakar pencarian kononnya kapal MH370 itu tenggelam di lautan Hindi dan akan diketemui apabila gerakan mencarinya secara besar-besaran dilakukan. Jelas mereka yang berangapan demikian tertipu dengan segala teori dan keyakinan yang palsu itu. Jauh sekali untuk merasakan mereka dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar.

Nah, kini hukum hudud telah jadi sebiji macam pesawat MH370. Perlaksaanya di negara ini dengan adanya Perlembagaan yang sedia ada,  dengan kemajmukan komunitinya, sama seperti harapan untuk menemui MH370 yang hilang entah di mana lokasi itu. Ia bukan "semesek" untuk dilaksanakan. Ia hanya menjadi igauan dan angan-angan sahaja, seperti igauan untuk menemuinya MH370 itu yang sebenarnya mungkin disembunyikan.

Hudud tidak akan dapat dilaksanakan selagi Perlembagaan tidak dipinda. Manakala kerja untuk meminda Perlembagaan itu saling tidak tumpah samalah dengan kerja untuk menghalau orang Cina, India dan bukan Islam lain agar pulang ke benua kaum mereka. Ia tidak mungkin terjadi kerana mereka adalah warganegara ini. Jadi apa? 

Apa yang kena dilakukan terlebih dahulu ialah memberi kefahaman kepada mereka sedalam-dalamnya seperti mana mereka tahu orang Islam (Melayu) terikat dengan hukum-hukum syariat seperti termaktub dalam rukun Islam. Ertinya orang Melayu kena menjadikan hudud itu sebagai rukun Islam. Apakah proses penyedar dan dakwah ke atas mereka sudah dilakukan sesempurnanya? 

Apa lagi angan-angan dan harapan hudud itu akan "terlepai" begitu saja kalau isunya sengaja dilambung tinggi-tinggi kerana ingin untuk mendapat political mileage dan bukan dibuat atas nawaitu kerana Lillahitaala. 

Di sini satu perkara saja saya nak sebut dan tegaskan, hudud akan jadi seperti MH370 dan ianya semacam dibuat secara acuh tidak acuh sahaja. Kenapa? Pertama, Pas sendiri tidak pernah bersungguh untuk melaksanakan hukum hudud. Dalam masa 21 tahun selepas Kanun Jenayah Syariah II diluluskan oleh DUN Kelantan, sampai sekarang ini ia tidak diwartakan walaupun ia diperkenankan Sultan.

Kedua, kerajaan negeri tidak pernah menubuh sebarang institusi untuk merangka persiapan ke arah pelaksanaannya termasuk persediaan hakim, pendakwa, pegawai penyiasatan, pegawai sebatan dan potong tangan serta penjara walaupun ia pernah dicadangkan dan dipersetujui bekas MB Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ada pimpinan kerajaan Kelantan menyebut kononnya sudah ada beberapa orang hakim sebagai persediaan untuk melaksanakan hudud. Kita meragui apa yang dikatakan pemimpin berkenaan. Untuk melantik hakim bukan boleh dibuat seperti hendak lantik ahli majlis daerah atau penghulu tanpa mukim. Ia mesti memenuhi undang-undang guaman dan kehakiman. Sekali lagi ia terikat dengan kehendak Perlembagaan. 

Dan apabila disoal oleh wartawan siapa yang hendak melaksanakan hudud hudud (potong tangan) pemimpin berkenaan terus menunjukkan ke arah seorang doktor yang juga ahli Parlimen yang kebetulan berada berhampiran dengannya.  Mudah sekali caranya. Selepas orang mempertikaikan dengan jawaban bodoh beliau itu, baru beliau mengatakan ia akan menggunakan khidmat pakar bedah. Sekali lagi jawaban dan cadangan pemimpin itu dipertikaikan pula oleh Presiden Perubatan Malaysia (MMA) cadangan itu bertentangan dengan kod etika perubatan.

Nampak jelas bahawa kerajaan Kelantan tidak mempunyai prasarana dan man power (pelaksana) hukum berkenaan. Ia semacam bomoh yang guna teropong buluh kasat sahaja. 

Ketiga, tidak ada jawatankuasa teknikal dan mekanisma pelaksanaan ditubuhkan. Jawatankuasa teknikal baru ditubuhkan pada 2011, iaitu setelah 18 tahun kanun hudud itu diluluskan. Kenapa begitu lama? Dan sepanjang hayatnya, hanya sekali saja jawatankuasa berkenaan bermesyuarat iaitu pada April 2014. Itupun tanpa kehadiran seorang ahli jawatankuasanya yang tinggal di Kuala Lumpur, kerana sebaik Ajk berkenaan tiba di lapangan terbang Kota Bharu beliau berpatah balik semula ke Kuala Lumpur kerana tidak ada yang datang mengambilnya.

Kelewatan penubuhan jawatankuasa teknikal, kekurangan ia mengadakan mesyuarat serta kanun itu masih belum digezetkan menjelaskan sikap sebenar kerajaan Kelantan berhubung hudud. Apakah ia tidak cergas apabila Dr Mahathir Mohamad mengutuskan surat menghalangnya, di mana kalau diusahakan juga kononnya Kelantan akan darurat? Kenapa Pas takut kepada darurat, kerana takut hilang kerajaankah? Di sini boleh dipersoalkan kerajaan Pas rela bergeluamang dalam dosa kerana tidak laksananya kerana cintakan kepada kuasa.

Bagaimana pula dengan situasi hari ini. Apakah Pas Kelantan tidak berkemungkinan akan kehilangan kerajaan apabila ura-ura untuk melaksanakan hukum hudud itu kerana ia kini ditentang oleh rakan-rakan Pas dalam Pakatan Rakyat? Apakah Pas mengira rakyat Kelantan semuanya sudah menerima hudud berpandukan kepada undi diperolehi dalam pilihan raya? Tetapi apakah Pas tidak mengira rakyat Kelantan yang undi UBN dalam pilihan raya lalu mereka adalah yang tidak hendakkan hudud? Kalau mereka ingin hudud sudah pasti mereka akan undi Pas.

Atau pun Pas berfikir Umno hari ini sudah bersama mereka kerana berpandukan kepada beberapa aksi ditunjukkan oleh pemimpin Umno. Iya dikuatkan lagi dengan persetujuan menubuhkan jawatankuasa teknikal seperti mana disebut Muhyiddin Yassin. Dan pertemuan TMB Kelantan Nik Mohd Amar Abdullah dengan Jamil Khir Baharum semalam mungkin memperkuatkan lagi keyakinan Pas bahawa Umno ikhlas, tulus dan redha dengan hudud?

Ingin saya menarik sedikit sahaja perhatian untuk difikirkan oleh para pemimpin Pas yang obses untuk melaksanakan hukum hudud dalam suasana hari ini. Kenapa selama ini Umno tidak pernah bersetuju degan Pas dengan agendanya ini. Selama 23 tahun Pas memerintah Kelantan, Umno tidak pernah memberi muka kepada Pas. Dan Umno sendiri menjadi kerajaan selama 59 tahun tetapi parti itu tidak pernah pun menyebut ingin laksanakan hudud usah mengusahakannya. Apa yang pemimpin Umno tidak hina dan perli hasrat Pas itu. Kononnya kalau hudud dilaksanakan ramai yang kudung tangan di Kelantan bahkan ada yang "menganjing" kalau hendak makan sup tangan sila ke Kelantan.

Apakah telah berlaku transfomasi hebat didalam Umno dibawah pimpinan Najib Razak hari ini maka mereka insaf dan sedar terus menerima hudud? 

Hakikat yang perlu diketahui, Umno hari ini sudah kehilangan banyak darah. Sokongan kerajaan yang ditulanginya sudah berkurangan 2% suara popular, dan sudah dua penggal kehilangan majoriti 2/3 di parlimen. Umno menyedari akan bahaya di hadapan. Kerjasama tiga buah parti dalam Pakatan Rakyat, DAP, Pas dan PKR diinsafi boleh menyebabkan mereka kehilangan kerajaan. Jadi Umno kini sedang mencari talian hayat untuk mengekalkan kerajaanya.

Tidakkah tali hayat itu dengan bergantung kepada Pas menerusi hudud. Umno ikut apa kehendak Pas agar Pas berjalan ke arahnya. Lagak Umno bagaikan seorang tahanan penyamun yang akan ikut saja apa yang dipinta asalkan ia boleh selamatkan diri. Salah satu yang begitu dighairahi Pas ialah hudud, maka mereka menggunakan hudud untuk pancing. Percaya dan yakinlah Umno tidak menjadi baik kalau tidak ada sesuatu. Tempua tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada mengadakan.

Dalam hal ini Umno lebih licik berpolitik berbanding dengan Pas. Ia sedia menukar arah dan menjadi munafik untuk mempertahankan kuasa. Keikhlasan Pas dan iltizamnya untuk melaksanakan hukum hudud diambil kesempatan untuk kepentingannya. Seperti mana kata Tokguru Nik Aziz, Umno baru boleh dipercayai sekiranya parti itu menukarkan perlembagaanya dari sekular kepada Quran. 

Tidak arif pula saya mungkin dalam diam-diam Umno sudah pun menukarkan perlembagaanya daripada sekular kepada Quran. Namun kesahihan hal ini akan terbukti apabila Nik Aziz mencadangkan agar Pas dibubarkan semua ahli akan masuk Umno? Sebab beliau pernah bermadah sekiranya Umno menukarkan perlembagaannya kepada al-Quran dan al-Hadith beliau sendiri akan nasihatkan Pas agar dibubarkan. Tetapi yang nyata pengisytiharan itu masih belum didengari.

Hudud lebih kurang dan kurang lebih dengan MH370 dimana penyelesaian terhadapnya terus misteri dan tertanya-tanya bagi mereka yang tidak dapat membaca kilau dalam kilat di dunia politik. Bagi mereka sudah arif yang bangau boleh berdiri satu kaki dalam air, tidak merasai hairan dan pelik lagi dengan ulah dan perangai Umno. [wm.kl.6:38 pm 04/05/14]

Tiada ulasan: