Isnin, 19 Mei 2014

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Perintah melakukan keadilan

Posted: 18 May 2014 05:54 PM PDT

ANTARA nilai utama kemanusiaan yang dibawa oleh Islam ialah nilai keadilan. Ia akan
menjadikannya sebagai pengukuh kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Al-Quran menjadikan penegakan keadilan di antara manusia sebagai matlamat semua risalah samawi sehingga diutuskan kepada mereka rasul-rasul a.s dan kerana faktor penegakan keadilan, maka dibangunkan langit dan bumi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan, supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan; Dan betulkanlah cara menimbang itu dengan adil, serta janganlah kamu mengurangi barang yang ditimbang. (al-Rahman: 7-9)

Maksud keadilan ialah memberikan hak kepada mereka yang berhak, sama ada yang berhak itu individu atau kumpulan manusia. Islam memerintahkan agar setiap orang berlaku adil terhadap dirinya dengan menyeimbangkan antara hak dirinya, hak Tuhannya dan hak orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi matamu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamu ada haknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas adalah teguran Rasulullah SAW kepada Abdullah Ibnu Amru r.a apabila dia mengabaikan hak dirinya dengan terus menerus berpuasa pada siang hari dan berqiamullail pada malam harinya.

Adil kepada keluarga

Begitu juga Islam telah memerintahkan agar berlaku adil pada keluarga, sama ada kepada suami, isteri dan anak-anak. Ketika Basyir ibnu Saad Al-Ansari hendak mendapatkan persaksian Rasulullah SAW terhadap hibah atau pemberian tertentu, dia mengutamakan pemberian tersebut kepada sebahagian anak-anaknya.

Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya, "Adakah semua anak kamu berikan yang seumpama ini?" Basyir menjawab, "tidak." Rasulullah SAW bersabda, "Carilah penyaksian ke atas pemberian tersebut selain daripadaku, aku tidak akan membuat persaksian atas ketidakadilan." (riwayat Nasaie)
Ini menggambarkan keadilan harus diberikan, sama ada kepada yang disayanginya atau tidak disayanginya supaya perasaan sayang seseorang itu tidak bersekongkol dengan kebatilan.
Alangkah hebatnya perintah untuk berbuat keadilan ini sehingga al-Quran meminta kepada kita agar berlaku adil, walaupun terhadap orang yang kita musuhi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalamkan apa yang kamu lakukan. (al-Maidah: 8)

Keadilan sosial

Antara bentuk keadilan yang paling jelas ditekankan oleh al-Quran ialah keadilan sosial di mana ia memberi maksud keadilan dalam pembahagian kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada rakyat, mendekatkan jurang yang luas antara yang kaya dan miskin, membataskan monopoli orang-orang yang kaya dan mengangkat taraf hidup orang-orang miskin.

Al-Quran turut menganjurkan supaya diberi perhatian penting kepada orang-orang yang kurang bernasib baik dan pengabaian terhadap perkara ini dengan ancaman neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Lalu diperintahkan malaikat penjaga Neraka): Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia, kemudian bakarlah dia di dalam Neraka Jahiim; Selain itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya 70 hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin. (al-Haqqah: 30-34)

Agama juga memerintahkan kepada kita untuk berlaku adil dalam perkataan. Kemarahan kita tidak boleh menjadi alasan untuk kita tidak berkata benar dan kerelaan kita kepada seseorang tidak menjadi pendorong kepada kita untuk kita berkata suatu yang tidak benar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu). (al-An'aam: 152)

Tiada ulasan: