SIASAH |
Posted: 24 Apr 2014 11:36 PM PDT Oleh ROBERT KAPLAN Satu perubahan geopolitik yang bakal memberi kesan meluas sedang berlangsung, tetapi belum mendapat perhatian media. Pada masa depan, satu bahagian besar tentera laut Amerika Syarikat di Asia Barat mungkin akan menghabiskan masa yang kurang di Teluk Parsi berbanding di Lautan Hindi di sebelahnya. Manama di Bahrain akan kekal menjadi ibu pejabat Armada Kelima. Tetapi kapal perang dan kru AS, dan juga pelbagai perkhidmatan penyelengaraan dan bekalan yang diperlukan, mungkin akan tertumpu pada pelabuhan baharu Duqm di Oman, yang terletak di luar Teluk Parsi, dekat Laut Arab, bahagian barat Lautan Hindi. Pegawai-pegawai tertinggi pertahanan AS, daripada kalangan tentera dan pegawai awam, banyak melawat Oman, terutama Duqm kebelakangan ini. Beberapa tahun lepas, di atas peta Duqm hanya satu tempat kosong, menghadap laut dan membelakangi padang pasir. Kini, sebanyak AS$2 bilion telah dilaburkan untuk membina jeti sepanjang berkilometer, dok kering, jalan raya, landasan kapal terbang dan hotel. Menjelang masa Duqm muncul sebagai sebuah bandar nanti, AS$60 bilion akan siap dibelanjakan, kata seorang pegawai Oman. Pembangunan jelas nampak tidak asli. Ia tidak bermatlamat menjadi pusat media, kebudayaan atau hiburan seperti Doha atau Dubai, tetapi sebuah tempat yang menjadi sebahagian daripada satu rangkaian pengangkutan bekalan, yang asas kewujudannya semata-mata geografi dan geopolitik. Duqm tidak mempunyai sejarah yang menarik, maka ia akan hanya muncul sebagai lokasi untuk perdagangan dan perniagaan. Jika dilihat pada peta, Duqm berada betul-betul di luar kawasan yang berkemungkinan berkonflik di Teluk Parsi, tetapi cukup dekat untuk mengambil manfaat daripada laluan bekalan tenaga di sana. Duqm juga berada di tengah Laut Arab, di antara India dan Afrika Timur yang sedang pesat membangun, dengan kelas menengah yang berkembang. Bagi Oman, Duqm ialah satu anak kunci bagi pembangunan negara, kerana ia akan menghubungkan lagi wilayah Dhofar di barat daya dan pelabuhannya Salalah dengan pelabuhan-pelabuhan di Muscat dan Sohar di timur laut Oman. Bagi AS, Duqm akan dapat menyaingi, walaupun tidak sepenuhnya, pelabuhan Gwadar yang terletak tidak jauh dari sana, di Pakistan. Pada masa China meneruskan penglibatannya dalam pelabuhan Lautan Hindi (seperti yang saya tulis dalam buku tahun 2010 saya, Monsoon: The Indian Ocean and the Future of American Power), AS akan terus berusaha mengekalkan imbangan kuasa di Lautan Hindi melalui kehadiran ketenteraan dan perdagangan. Penekanan baharu pada Duqm bakal menjadi satu lonjakan besar menjadikan tentera laut AS satu pasukan Lautan Hindi-Pasifik dan bukan lagi Atlantik-Pasifik. Dari Duqm, tentera laut AS akan kekal dekat dengan Teluk Parsi untuk mengebom Iran, tetapi tidak mendedahkan kapal AS kepada serangan seperti halnya sekarang dengan penempatan di Bahrain. Peralihan ini akan berlaku dengan berperingkat dan mengambil sedikit masa. Tentera laut AS bukan meninggalkan Bahrain dan Teluk Parsi. Bagi China, Duqm boleh menjadi hab bagi pengangkutan barangannya ke benua kecil India dan Afrika Utara - terutama untuk ke pasaran baru muncul di Tanzania dan Mozambique. Dalam kata lain, kapal kontena akan tiba dari China, kontena diturunkan di Duqm dan kemudian dibawa dengan kapal kecil ke banyak tempat di Afrika, India dan Asia Barat serta kawasan sekitar. Salalah, yang kedudukannya agak jauh ke barat daya, telah berfungsi seperti ini. Tetapi pegawai tempatan bertegas yang akan banyak lagi kapal komersil akan tiba dan menjadikan Duqm juga berdaya maju. Walaupun China telah menunjukkan minat untuk menggunakan pelabuhan di Duqm, pegawai Oman berpandangan China tidak akan berpengaruh ke atas pelabuhan baharu ini seperti pengaruhnya di pelabuhan lain di Lautan Hindi. Pembangunan pesat di sini jelas menunjukkan kepentingan geopolitik yang semakin meningkat berhubung Lautan Hindi. Dalam satu perjalanan saya ke sana, jalan antara Muscat dan Duqm hanya kawasan tandus dan hanya ada unta dan kambing. Di Duqm, selain pembangunan pelabuhan yang telah kelihatan, juga kelihatan kapal perang dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk yang sedang bersedia untuk satu latihan perang. Dok kering dipenuhi kapal menunggu untuk diperbaiki. Kapal perang AS juga semakin sering singgah di sini. Pihak berkuasa pelabuhan ini juga sedang merancang fasiliti lebih lengkap untuk menyelenggara kapal pengangkut pesawat dan kapal selam AS berkuasa nuklear. Pegawai-pegawai Oman memberi taklimat tentang perancangan pembangunan Duqm, yang akan mempunyai kemudahan perumahan, penapisan minyak, hab transit pertrokimia, jalan keretapi, pembuatan berasaskan galian, fasiliti penapisan air laut, hospital, pusat membeli-belah, sekolah antarabangsa, pusat bandar dan kawasan pelancongan. Lapangan terbang akan dilengkapi kemudahan kargo. Landasan di lapangan terbang cukup panjang untuk menerima penerbangan dari Eropah. Dengan 80 km pantai baharu di pesisir Duqm, bandar ini berpotensi menjadi lebih besar daripada Bahrain atau Singapura. Semua ini hanya sebahagian daripada fasa satu, dan menunjukkan Duqm menjadi bukti pentingnya geografi pada abad ini, seperti juga abad sebelumnya. Penemuan gas asli di kawasan padang pasir bakal menyumbang kepada tenaga yang diperlukan Duqm, yang dijangka mempunyai populasi 67,000 menjelang tahun 2020. Rangkaian keretapinya akan menghubungkan dengan Muscat, Dubai dan pelabuhan-pelabuhan lain hingga ke utara di Kuwait. Sekiranya pemulihan hubungan antara AS dan Iran berjaya, Duqm akan menjadi boleh menjadi satu lokasi penyelenggaraan kapal Iran dan pangkalan luar bagi ekonomi Iran yang berkembang, dan sekiranya tidak, Duqm akan masih menjadi pilihan kerana kedudukannya yang agak jauh dari Teluk Parsi yang lebih tidak stabil. Untuk meningkatkan lagi pembangunan, Duqm akan memperkenalkan rangka perundangan baharu dan akan membenarkan pemilikan 100 peratus perniagaan tempatan oleh pihak asing. Saya diberitahu syarikat asing yang melabur di sini akan menikmati status bebas cukai dan dibenarkan beroperasi tanpa kekangan dan syarat tukaran wang. Kelebihan terbesar Duqm bagi AS ialah Oman selama berdekad lamanya kekal sebuah negara paling stabil, diurus tadbir dengan baik dan paling kurang menekan rakyatnya di seluruh rantau Asia Barat dan kawasan berdekatannya. Pihak China pula bermasalah kerana Gwadar di Pakistan pula sebaliknya. Kedudukan geografi yang strategik bagi sebuah pelabuhan memerlukan bukan hanya kelebihan lokasi berhubung laut, tetapi juga dengan daratan. Apa yang menjadikan tempat-tempat seperti Salalah, Sohar dan Duqm menarik ialah jalan, landasan keretapi dan saluran paip gas atau minyak dari pelabuhan Oman di luar Teluk Parsi yang menghubungkannya dengan pelabuhan dalam Teluk, dari Dubai ke Kuwait. Sekiranya Duqm berjaya - pada tahap ini semua masih belum pasti - tempat ini akan menjadi satu nama besar dalam abad ke-21, seperti Aden pada abad ke-19 dan Singapura pada abad ke-20. Perkembangan demografi yang pesat dan prospek dinamisme ekonomi di India dan Afrika Timur - pada masa Eropah berdepan pertumbuhan populasi sifar dan ekonomi yang terlalu dikawal dan tidak bergerak - Lautan Hindi, seperti yang telah bertahun saya jelaskan dalam tulisan saya, bakal menjadi pusat geopolitik era pascamoden. Saya yakin Duqm akan membuktikannya. Robert Kaplan baru menerbitkan buku Asia's Cauldron: The South China Sea and the End of a Stable Pacific. Artikel ini diterjemahkan daripada tulisan beliau yang diterbitkan di Stratfor. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan