Rabu, 23 April 2014

SIASAH

SIASAH


Krisis air dan ancaman keselamatan bukan tradisional

Posted: 23 Apr 2014 09:02 AM PDT

Lembah Klang masih berdepan masalah bekalan air yang telah memaksa catuan besar-besaran dimulakan lebih sebulan yang lalu.

Masih belum jelas sama ada catuan ini akan ditamatkan dalam masa terdekat atau diteruskan lagi untuk beberapa bulan lagi, walaupun hujan lebat telah mula melanda banyak kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Seiring dengan krisis air ini, tumpuan ahli politik, media dan orang ramai ialah pada isu pengurusan air di Selangor, yang menjadi tempat tumpuan jutaan penduduk.

Isu air, walau bagaimanapun, hanya satu daripada bahagian penting sumber penting yang semakin kritikal pada masa ini dan perlu diberi perhatian lebih serius oleh semua.

Sumber air berkait rapat dengan dua sumber lain iaitu tanah dan makanan, dan ketiga-tiganya saling memberi kesan kepada yang lain.

Sumber air menjadi semakin penting dalam keadaan negara kita hari ini, dan menjadi salah satu topik penting dalam keselamatan bukan tradisional.

Krisis air yang terjadi pada masa ini berlaku dalam keadaan negara kita boleh dikatakan masih dalam keadaan yang baik, tanpa krisis bencana dan ancaman keselamatan, sama ada yang tradisional mahu pun bukan tradisional.

Ini bermakna negara kita berada dalam keadaan agak terdedah kepada ancaman keselamatan berhubung air, walaupun perkembangan baharu menunjukkan infrastruktur dan industri air di Lembah Klang bakal ditingkatkan lagi.

Hanya dengan catuan dan bukan krisis yang lebih besar, dapat diperhatikan suasana kesukaran, kelam-kabut dan malah panik dalam kalangan orang ramai.

Malah, catuan yang dibuat ini pun telah diumumkan agak awal, dan masih memberikan masa kepada orang ramai untuk bersedia.

Sukar untuk dibayangkan sekiranya krisis yang lebih meluas dan berpanjangan berlaku dalam keadaan persediaan kita menghadapi krisis berada di tahap yang rendah.

Tambahan pula keadaan bandar-bandar besar, seperti bangunan kediaman tinggi dan sebagainya, mempengaruhi dan memburukkan lagi keadaan jika berlaku krisis yang besar.

Ini diburukkan lagi oleh sentimen politik yang sangat tebal pada masa ini, dan kelihatan mempengaruhi banyak hal yang sepatutnya dapat ditangani dengan lebih cekap.

Dalam peristiwa krisis, misalnya bencana alam seperti kemarau, banjir dan sebagainya, sumber air biasanya menjadi yang pertama terjejas.

Kesukaran yang melanda meningkat tahapnya dengan segera, dan mudah mencetuskan pula masalah lain yang boleh menambahkan lagi risiko keselamatan.

Isu air perlu dilihat melalui perspektif yang lebih menyeluruh, dan disedari kedudukannya yang kritikal dalam keselamatan bukan tradisional yang semakin perlu diberi perhatian.

Perancangan jangka panjang, termasuk melibatkan budaya kesedaran yang tinggi berhubung hal ini, perlu diusahakan untuk menjadikan kita bersedia berdepan suasana yang semakin tidak pasti.

Pihak yang terlibat, terutama kerajaan yang bertanggungjawab, wajar lebih memberi perhatian kepada isu ini secara khusus, agar tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang telah disaksikan dalam menangani bencana. - April 18, 2014

Lawatan Obama ke Asia: Harapan dan implikasi

Posted: 23 Apr 2014 04:59 AM PDT

Oleh HARIS ZALKAPLI

Lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia dan tiga negara Asia lain ialah sebahagian daripada satu agenda besar AS di Asia-Pasifik, pada masa China sedang pesat bangkit dan sekutu-sekutu di Asia-Pasifik berdepan masa depan yang sukar.

Hal ini mungkin kurang dirasakan di Malaysia disebabkan kedudukan Malaysia yang agak jauh dari China, dan kejayaan pemerintah mengimbangi hubungan dengan kedua-dua kuasa AS dan China dalam mengemudi hubungan luar negara.

Dari segi Obama sebagai presiden yang berada di penggal terakhir, harapan yang besar bagi beliau ialah menyempurnakan atau sekurang-kurangnya membawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, TPPA, ke peringkat akhir.

Tanda-tanda menunjukkan agenda ini tidak mudah, terutama ekoran isu yang masih tidak selesai dengan Jepun, sekutu kuat AS sendiri, antaranya melibatkan akses untuk produk pertanian dan pembuatan automobil, dua bidang yang menjadi tunggak penting ekonomi kedua-dua negara.

Pada masa sama, Obama berdepan tentangan kuat daripada dalam Parti Demokratik sendiri, yang melihat janji-janji seperti peluang pekerjaan akan hanya tinggal janji, seperti yang telah disaksikan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara, Nafta.

Malah, menjelang lawatan Asia Obama, tiga anggota Kongres AS daripada Demokrat, George Miller, Rosa DeLauro dan Louise Slaughter menulis dalam akhbar Los Angeles Times, menyimpulkan, "Kita tidak patut secara membuta mengesahkan lebih banyak perjanjian-perjanjian seperti Nafta yang tidak adil, yang dirundingkan di balik pintu yang tertutup, yang membawa ancaman mengkhianati para pekerja Amerika, membawa sektor pembuatan kita ke negara luar dan mempercepatkan gaji dan faedah pekerja menjunam jatuh."

Malaysia yang terlibat dalam rundingan TPPA dan dilihat sebagai tidak mempunyai kelebihan dalam rundingan dan semakin tertekan, mungkin boleh terselamat daripada tekanan untuk segera menyempurnakan perjanjian ini ekoran masalah yang masih tidak selesai melibatkan sekutu kuat AS sendiri dan tentangan dalam kalangan Demokrat di AS.

Malah, lawatan Obama juga dilihat sesetengah pemerhati sebagai lebih bersifat simbolik berbanding substantif berhubung agenda TPPA, dan lawatan ini berlaku agak lewat, dalam penggal kedua selepas dasar berpasak di Pasifik dimulakan semasa penggal pertama Obama.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dielakkan faktor operasi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia yang hilang, dipercayai di Lautan Hindi, yang melibatkan bantuan yang besar daripada AS dan juga sekutu kuatnya Australia.

Tragedi pesawat MH370 telah merapatkan lagi Malaysia dengan AS, dan menampakkan keperluan terhadap kemampuan bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana tentera AS di rantau Indo-Pasifik, mengulangi dan menegaskan apa yang ditunjukkan melalui tsunami 2004 dan taufan di Filipina hujung tahun lalu.

Hubungan yang semakin rapat ini memudahkan lagi usaha untuk Malaysia menyelaraskan dasar dan tindakan dengan AS, terutama melibatkan dua bahagian yang saling melengkapi dalam infrastruktur untuk berdepan kebangkitan China di rantau ini, iaitu TPPA melibatkan perdagangan dan kerjasama dan penyusunan politik dan ketenteraan yang lebih rapat, termasuk melibatkan Asean.

Dalam bab kerjasama keselamatan, ancaman China yang jelas kepada negara-negara jiran yang terlibat dalam pertikaian di Laut China Selatan dan Timur menjadikan peranan AS semakin diperlukan, seperti yang ditunjukkan oleh Filipina terutamanya.

Tindakan-tindakan China kebelakangan ini merapatkan persefahaman negara-negara Asia Tenggara yang terlibat dalam pertikaian, walaupun persefahaman yang lebih bersifat formal - seperti kenyataan sesetengah pemerhati yang membayangkan penubuhan "Nato Asia" - sukar untuk dilihat berlaku, memandangkan keperluan memelihara hubungan dengan China, yang dijangka akan terus bangkit dari sudut ekonomi dan juga ketenteraan.

AS juga dinilai lebih menumpukan pada rantau Asia Barat selama ini, walaupun mengisytiharkan tumpuan pada rantau Asia-Pasifik, sehingga menimbulkan kebimbangan sekutu-sekutu, kebimbangan yang masih tidak dapat dihilangkan oleh lawatan Setiausaha Pertahanan Chuck Hagel beberapa minggu lalu.

Negara-negara Asia termasuk Malaysia, lokasi laluan penting perdagangan Selat Melaka, menyedari keperluan pragmatik dan realistik memelihara hubungan dengan China, memandangkan faktor geografi yang tidak dapat dielakkan dan perdagangan.

AS kini berada dalam peringkat pengunduran atau secara relatif semakin merosot kuasanya berbanding negara-negara baharu muncul dan pesat membangun, dengan China menjadi ancaman yang paling jelas dan kredibel pada masa ini.

Dari sudut persaingan dalam pembentukan orde baharu dunia, China ialah ancaman yang paling perlu ditangani, kerana ia melibatkan kedua-dua ekonomi dan juga politik yang sentiasa berkait. 
 
China menjadi pesaing ekonomi dan perdagangan kepada AS, dan pada masa sama berhubungan baik dari segi politik dengan Rusia dan Iran yang mempunyai pandangan alam yang bertentangan dengan visi AS.

Malaysia, dalam perkembangan yang rancak ini, jelas kelihatan lebih cenderung untuk bersama AS, walaupun tidak secara jelas merendahkan kerjasama dengan China akibat keperluan praktikal, dan lawatan Obama bakal menjelaskan lagi hal ini.

Selain dua isu ini, kehadiran Obama juga menuntut pemerhatian terhadap isyarat-isyarat penting lain, khususnya melibatkan agenda liberal kebebasan, termasuk penyebaran demokrasi yang menjadi tonggak dasar luar AS.

Malaysia menjadi satu-satunya negara Islam dalam siri lawatan Obama kali ini, yang bakal menyaksikan mesej berhubung hal ini disampaikan, walaupun mungkin tidak menyamai "ucapan kepada dunia Islam" di Universiti Kaherah di Mesir pada 4 Jun, 2009.

Isyarat berhubung kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju - dan juga isu Islam yang lebih besar - dijangka menjadi salah satu tumpuan penting dalam lawatan Obama nanti, pada masa Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mahu menonjolkan imej Malaysia sebagai negara Islam progresif.

Ucapan Obama di Kaherah itu ditunggu-tunggu untuk menilai pandangan pentadbiran baharu AS terhadap dunia Islam, dan menariknya, perubahan politik yang besar kemudian berlaku di Mesir, dan sesetengah pihak mengaitkan ucapan Obama dengan perubahan yang tercetus lebih setahun selepas itu.

Tiada ulasan: