Khamis, 17 April 2014

SIASAH

SIASAH


Qaradawi uji hubungan Qatar-GCC

Posted: 17 Apr 2014 03:05 AM PDT

Ilmuan Islam terkemuka, Dr Yusuf al-Qaradawi kini menjadi ujian yang getir kepada pemerintah Qatar dalam hubungannya dengan negara-negara jiran Majlis Kerjasama Teluk, GCC.

Al-Qaradawi yang kini mempunyai kerakyatan Qatar dan mempunyai hubungan sangat baik dengan istana selama ini, telah muncul menjadi satu faktor yang menjejaskan hubungan Doha dengan GCC ekoran kelantangannya menyuarakan pandangan politiknya yang menyokong agenda dasar luar Qatar dan pro-Ikhwan al-Muslimin.

Awal Mac lalu, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait memanggil pulang duta masing-masing kerana tidak berpuas hati dengan pendirian Qatar terus menyokong Ikhwan al-Muslimin. Doha didakwa tidak memenuhi perjanjian keselamatan yang memerlukannya bertindak terhadap kumpulan-kumpulan yang dikaitkan dengan ancaman keselamatan.

Di bawah emir baharu, negara-negara GCC diketuai Arab Saudi mendesak Qatar menjarakkan diri daripada Ikhwan, yang diberikan sokongan kewangan dan politik yang besar sejak beberapa tahun lalu.

Di Syria, Qatar dan Arab Saudi berkongsi agenda buat satu tempoh, tetapi kemudian bertembung apabila masing-masing menyokong pihak yang berbeza ideologi politik. Persaingan proksi di Syria juga menjadi satu faktor tekanan Arab Saudi terhadap Qatar.

Al-Qaradawi pada Februari lalu mencetuskan ketegangan antara UAE dan Qatar apabila mengkritik keras pemerintah UAE yang didakwa menolak pemerintahan Islam, ekoran hukuman mahkamah negara itu menghukum penjara sekumpulan 30 warga negaranya dan Mesir kerana dituduh menubuhkan sel Ikhwan al-Muslimin di UAE.

Beliau juga menyelar sikap pemerintah UAE menyokong kerajaan sementara Mesir, yang berkuasa selepas Presiden Mohamed Morsi dijatuhkan, sekaligus menamatkan penguasaan Ikhwan al-Muslimin di Mesir.

Kerajaan UAE telah memanggil duta Qatar ke Abu Dhabi untuk menyampaikan protes formal atas kenyataan tokoh yang dekat dengan Doha itu. GCC turut mengeluarkan kenyataan mengecam al-Qaradawi, yang disifatkan sebagai satu provokasi.

Ilmuan Islam itu sentiasa peka dengan perkembangan politik di Mesir, negara asalnya sebelum berpindah ke luar, dan sering menyuarakan pandangan yang menyebelahi Ikhwan, kumpulan yang disokong Doha.

Beliau juga menunjukkan sokongan dan memberikan endorsemen kepada tokoh tertentu dalam kalangan Ikhwan untuk bertanding sebagai presiden Mesir, menjelang pilihan raya presiden Mesir.

Pada masa konflik di Libya, beliau menunjukkan sokongan kuat kepada agenda menjatuhkan Muammar Gaddafi, dan mengeluarkan pandangan supaya Gaddafi dibunuh.

Qatar pada masa itu telah memulakan tindakan dasar luar memberi bantuan kepada kumpulan yang boleh melanjutkan lagi pengaruhnya di seluruh rantau Arab. Libya ialah tempat pertama Doha menunjukkan agenda dasar luar baharunya itu. Kemudian, al-Qaradawi juga menunjukkan pandangan yang selaras dengan Doha berhubung Syria.

Jumaat lalu, al-Qaradawi tidak muncul untuk memberikan khutbah di Doha seperti biasa, perkembangan yang dilihat sebagai satu petanda pemerintah Qatar telah menunjukkan satu perubahan sikap dalam menguruskan krisis dengan negara-negara GCC lain.

Khutbah al-Qaradawi dan kenyataan-kenyataannya kebelakangan ini dilihat sebagai satu pemangkin utama yang mendorong reaksi keras daripada Saudi, UAE dan Kuwait, sehingga menyebabkan negara terbabit memanggil pulang duta masing-masing.

Sekiranya pemerintah Qatar mengambil tindakan yang lebih drastik, peranan dan pengaruh al-Qaradawi juga bakal berubah, dan mungkin akan tidak menikmati kebebasan seperti yang dinikmati selama ini dalam menyuarakan pandangan, terutama yang menyentuh sensitiviti negara-negara jiran GCC.

Tahun lalu, semasa emir baharu mengambil alih pemerintahan di Qatar, ada khabar yang menyebut al-Qaradawi bakal menyaksikan peranannya semakin berkurangan, tetapi perkembangan kemudian menafikan berita itu.

Terkini, satu laporan akhbar yang berpangkalan di London, United Kingdom menyebut Qatar mencapai satu perjanjian dengan Tunisia untuk memindahkan al-Qaradawi ke negara Afrika Utara itu, sebagai satu langkah oleh Doha untuk meredakan ketegangan dengan anggota GCC yang lain.

Berita ini timbul ekoran lawatan Emir Syeikh Tamim bin Hamad al-Thani ke Tunisia untuk bertemu dengan Presiden Tunisia, Moncef Marzouqi minggu lalu. Laporan ini walau bagaimanapun dinafikan oleh pejabat presiden Tunisia dan pejabat al-Qaradawi sendiri.

Perkembangan selepas ini akan menunjukkan sejauh mana Qatar bersedia bertindak terhadap al-Qaradawi atau meneruskan dasar luar yang bebas daripada pengaruh jiran-jirannya yang lebih berpengaruh, atau terus melaksanakan usaha sukar mengimbangi dasar luar yang pragmatik dengan memuaskan hati rakan-rakan GCC. - April 14, 2014

Tiada ulasan: