SIASAH |
Posted: 10 Apr 2014 05:30 PM PDT Pilihan raya 30 Mac lalu akan tercatat dalam sejarah sebagai satu lagi kejayaan politik perdana menteri Turki yang berkuasa, Recep Tayyip Erdogan. Purata kebangsaan undi yang dimenangi partinya - 43 atau 45 peratus daripada keseluruhan undi - jelas sekali satu kejayaan besar. Walaupun sekiranya semua tuduhan pemalsuan undi didapati benar, terutama di Ankara, jelas bahawa Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP, masih popular selepas 11 tahun berkuasa. Kejayaan besar Erdogan melibatkan pembangunan ekonomi - banyak lebuhraya, bangunan tinggi, pusat membeli-belah dan hospital dibina semasa pemerintahannya - menjadi satu tanda pengenalan pihak kanan sederhana. Retorik dan simbolisme Islam beliau disanjung oleh kelompok kanan Islam. Oleh itu, bagi pengundi kanan sederhana dan Islamis Turki, yang merupakan separuh daripada masyarakat, tidak ada sebab untuk mereka menarik balik sokongan kepada Erdogan dan memilih pesaingnya pada masa ini. Pembangkang utama Parti Rakyat Republikan, CHP, tidak mendapat sokongan kuat kerana dua sebab: Parti ini kelihatan tidak cekap berbandign AKP dalam hal ekonomi dan pentadbiran. Masa silam ultra sekularis CHP juga, yang ditakrifkan oleh penindasan dan pencabulan terhadap konservatif agama melalui dasar-dasar seperti pengharaman tudung kepala masih menjadikan parti ini dinilai sebagai orang jahat oleh kelompok kanan. Hakikatnya, CHP sedang cuba mengubah imej di bawah kepimpinan Kemal Kilicdaroglu, tetapi perubahan yang dibawanya amat sedikit dan dangkal. CHP perlu berubah lebih banyak dengan bergerak lebih dekat ke tengah. Ini dijelaskan melalui sokongan kuat diterima Mansur Yavas, calon CHP di Ankara, seorang calon yang berpendirian politik kanan sederhana. Bagaimana pula dengan skandal korupsi yang sebelum ini dijangka akan menjejakan Erdogan? Sebenarnya, menurut satu syarikat tinjauan pendapat, "Dakwaan korupsi tidak ada kesan dalam pilihan raya tempatan." Satu sebabnya ialah pengundi Turki biasanya mengingati yang setiap kerajaan sebelum ini terlibat dalam korupsi, dan AKP bukan satu pengecualian. (Ramai menyebut, "Mereka mencuri tetapi sekurang-kurangnya mereka bekerja keras.") Sebab kedua ialah ramai daripada kalangan konservatif agama juga percaya bahawa apa yang kelihatan seperti korupsi sebenarnya ialah satu bentuk pencarian dana secara tidak formal untuk "tujuan yang baik" - seperti membiayai yayasan Islam dan kebajikan. Tambahan lagi, ramai pengundi pro-Erdogan menunjukkan sokongan kuat kepadanya disebabkan skandal yang didedahkan itu. Hakikat bahawa kebanyakan tuduhan berdasarkan rakaman rahsia yang didedahkan di internet memberi gambaran yang wujud konspirasi terhadap kerajaan oleh "negara dalam negara." Tindakan Erdogan mengharamkan Twitter dan YouTube, yang dikecam oleh pihak liberal dan Barat sebagai serangan terhadap kebebasan, dilihat oleh kem pro-Erdogan sebagai wajar dalam usaha menentang kempen"jahat" tersebut. Isu terakhir juga membawa kepada gerakan Gulen, komuniti Islam paling berkuasa di Turki, yang dikecam Erdogan sebagai mengetuai sebuah "negara dalam negara" dan menjadi alat "kuasa asing" yang mahu melemahkan Turki. Apapun realiti berhubung "negara dalam negara," gerakan Gulen - sebelum ini sekutu kuat Erdogan - telah bersungguh-sungguh menentang Erdogan dalam pilihan raya ini, sehingga memberi sokongan kepada CHP, yang dianggap dosa besar oleh pihak konservatif. Satu akibat utama keputusan pilihan raya ini ialah peningkatan peluang Erdogan untuk memenangi pilihan raya presiden, yang dijadual pada 10 Ogos. Malah, masih belum jelas sama asa Erdogan akan bertanding, atau mungkin menyokong Presiden Abdullah Gul untuk penggal kedua dan kekal sebagai perdana menteri. Keputusan terbaharu memberi isyarat kepada Erdogan yang beliau boleh menang pilihan raya presiden pada pusingan pertama dengan mendapat majoriti mudah, iaitu dengan mengekalkan jumlah 45 peratus yang dimenangi AKP dan menambah undi nasionalis Kurdi, yang kini muncul sebagai sekutu politiknya. Kesimpulannya ialah Erdogan terus memenangi pilihan raya di Turki, dan amat kecil kemungkinan akan kalah dalam masa terdekat. Tetapi, sementara kemenangan ini menjadikan kem pro-Erdogan gembira, pihak yang lain - hampir separuh daripada masyarakat - berasa terdesak, marah dan benci. Kerana inilah Turki cenderung untuk terus berdepan polarisasi, kalau pun bukan ketidakstabilan, sekiranya Erdogan tidak mengambil langkah memenangi hati dan minda penentangnya dan menuju ke arah perdamaian nasional. Artikel ini dipetik dan diterjemahkan daripada laman Al-Monitor. |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan