Ahad, 27 April 2014

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Hudud mahu dilaksana ikut demokrasi berparlimen (27/4/14)

Posted: 27 Apr 2014 03:33 AM PDT


Berikut laporan akhbar rasmi PAS Harakah pada 19 April lalu:
KEMAMAN: "Dalam ilmu Allah, bukan ilmu saya," tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjawab pertanyaan media berhubung masa depan Pakatan Rakyat berikutan usaha Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah termasuk hukum hudud.

Beliau menjelaskan, ini kerana pelaksanaan hukum hudud merupakan agenda perjuangan PAS dan bukannya Pakatan Rakyat.
Begitupun, Ahli Parlimen Marang itu optimis mereka yang memahami undang-undang jenayah syariah itu boleh menerimanya termasuk daripada kalangan bukan Islam.

Menurutnya, terdapat dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang boleh menerima pelaksanaan undang-undang tersebut termasuk hukum hudud.
Sehubungan itu, katanya PAS menunggu keikhlasan semua pihak berhubung usaha Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang tersebut yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 1993.

"Kita terima positif perkara yang berkait dengan Kelantan ini dan kita serah ikut cara Kelantan.
"PAS Pusat sokong sepenuhnya apa yang diusahakan oleh Kelantan itu," tegasnya pada sidang media selepas merasmikan Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu di Kemasik, tengah hari tadi.

Berikutan pengumuman PAS Pusat dan Menteri Besar Kelantan bahawa usaha akan diambil di Dewan Rakyat bagi memastikan Undang-undang Hudud dapat dilaksanakan di negeri Kelantan, ramai pihak bangkit bersuara.
Umno dikatakan akan menyokong usaha berkenaan manakala anggota komponan BN khasnya MCA, Gerakan dan MIC termasuklah beberapa parti di Sabah dan Sarawak terang-terangan menyatakan akan menentangnya.

Yang menarik, rakan-rakan PAS yang membentuk Pakatan Rakyat, iaitu PKR dan terutamanya DAP telah menyatakan tentangan mereka terhadap hasrat PAS itu dan malah kalangan pimpinan DAP secara terbuka menggesa PAS agar keluar meninggalkan Pakatan Rakyat.
Demikianlah ujian dan cabaran yang dihadapi oleh PAS hari ini setelah lebih 60 tahun mengenggam cita-cita mahu melaksanakan Islam sebagai Ad Deen ataupun cara hidup. Bukannya baru semalam PAS menggenggam cita-cita ini tetapi PAS telah berjuang jatuh bangun, senang dan susah, pahit dan manis berpuluh tahun konsisten dengan niat dan matlamat perjuangan yang sama.

PAS tidak pernah sembunyikan agenda perjuangannya. PAS tidak pernah meminda, melupakan atau memadamkan cita-citanya. Samada dengan kawan mahupun ketika berhadapan dengan lawan.
Konsistennya PAS itu sehingga pada tahun 1993 melalui proses demokrasi, PAS telah berjaya meluluskan enakmen Hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan dan kemudiannya mendapat perkenan Tuanku Sultan untuk menjadi undang-undang. Begitu juga apabila menguasai Negeri Trengganu pada tahun 1999.

PAS tidak mengajukan cita-citanya dengan membelakangkan kaedah demokrasi berparlimen, tidak juga mengangkat senjata mahupun mengancam menggunakan kekerasan. Ianya terlaksana atas "sokongan" rakyat yang PAS wakili. Dan kini atas semangat Perlembagaan yang sama, PAS mahu membawa perkara ini ke Parlimen bagi mendapatkan kelulusan sehingga menungkinkan undang-undang yang di sokong rakyat Kelantan itu akhirnya melalui kelulusan Parlimen dapat terlaksana di Negeri Serambi Mekah berkenaan.
PAS telah memikirkan dan menimbang suasana serta rupa bentuk masyarakat sehingga menyarankan agar undang-undang itu nanti hanya terkena dan terpakai ke atas rakyat beragama Islam sahaja sebagaiaman segala peruntukkan dan peraturan yang melibatkan undang-undang syarak negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja.

Secara umumnya di Kelantan, orang Islam yang rata-rata berbangsa Melayu menyokong perlaksanaan undang-undang ini. Ianya "expansion" atau perluasan dari segala Enakmen yang ada yang berkaitan orang Islam di Kelantan.
Hak dan kepentingan masyarakat atau rakyat bukan Islam di Kelantan sedikit pun tidak terjejas oleh undang-undang ini. Mengapa komponan BN dan mengapa komponan PR khasnya DAP dan PKR melenting mahu menolaknya. Tidakkah penolakkan itu sendiri membelakangkan suara majoriti atau suara ramai di Kelantan sekaligus menafikan hak rakyat.

Rakyat di Kelantan mahukan undang-undang ini dan mereka di Dewan Negeri di wakili oleh ADUN-ADUN PAS dan Umno, tiada MCA, tiada MIC, tiada Gerakan dan tiada DAP mewakili suara mereka di DUN Kelantan.
Kenapa mereka perlu tunduk pada suara minoriti, suara yang tidak diwakili di Kelantan?

Kelantan bukan Pulau Pinang, bukan juga Sabah mahupun Sarawak. Mengapa ada pihak mahu menafikan hak rakyat Kelantan dalam menentukan nasib dan masa hadapan mereka?
Negara kita telah ada dwi sistem perundangan sejak sebelum Merdeka lagi dan ianya bukan sesuatu yang baru. Mahkamah Syariah telah wujud disisi Mahkamah Sivil sekian lama. Begitu juga sebenarnya Mahkamah Anak Negeri di Borneo yang membicarakan kes-kes berkenaan adat anak tempatan di sana.

Isabella Bird dalam catatannya "The Golden Chersonese" (1883)ketika mencatat pemerhatiannya di Negeri Melaka pada 21 – 23 Januari 1879 menulis (m/s 135-136):
(Terjemahan) " Mereka (orang-orang Melayu Melaka ketika itu) diperintah oleh undang-undang al Quran, kecuali apabila Imam, yang menterjemahkan kanun al Quran, memutuskan (tidak pada kebiasaannya) bertentangan dengan ekuiti, Majistret Inggeris akan mengiakan keputusan berkenaan. Malah udang-undang Mohammedan (undang-undang Islam) dan undang-undang adat dalam kes-kes sivil serta Imam-imam Masjid mebantu hakim dalam keputusan mereka."

Oleh itu sewajarnya PAS diberi laluan untuk membawa rang undang-undang ini di Parlimen, dan jika memperoleh sokongan yang cukup, kerajaan Kelantan sewajarnya diberi keyakinan untuk melaksanakan undag-undang berkenaan.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat (yang semasa beliau MB Kelantan lah Enakmen ini diluluskan) pernah menyatakan:

Ke-semua ahli Parlimen beragama Islam tanpa mengira parti wajib menyokong rang undang-undang persendirian yang akan dibentangkan PAS di Dewan Rakyat bagi melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 atau hudud di negeri itu.
Usaha Pas untuk melaksanakan hudud di negeri ini telah mendapat sokongan penuh ADUN BN dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan semua pihak ter-utamanya yang beragama Islam wajib mengikut jejak yang sama

Enakmen ini tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan malah ianya diluluskan menurut proses yang ditunjukkan oleh Perlembagaan berkenaan. Rang undang-ndang yang mahu dikemukakan bertujuan menyelaraskan Enakmen berkenaan agar menepati tuntutan Perlembagaan Persekutuan.
Harus disedari bahawa Perlembagaan Persekutuan bukanlah al Quran yang tidak boleh dipinda-pinda. Ianya hidup dan boleh dipinda selagi mana menepati pertrauran yang terkadnung di dalamnya.

Bagi umat Islam dan bangsa Melayu yang merupakan penganut Islam majoriti dalam Negara, undang-undang ini adalah berdasarkan tuntutan aqidah sebagaimana di perintah oleh Allah swt dan Rasulnya Muhammad s.a.w.. Ianya jangan dilihat sebagai "political" iaitu undang-undang "PAS" atau seumpamanya. KIni ada usaha yang sedang dilakukan untuk memungkinkan tuntutan agama ini terlaksana, maka sebagai Muslim yang bertanggungjawab sewajarnyalah kita memberi sokongan tanpa mengira fahaman atau ideologi politik.
Bagi ahli-ahli Parlimen yang bukan Islam, memandangkan undang-undang ini merupakan "expansion" dari undang-undang syariah yang terpakai yang sedia ada yang hanya terkena ke atas orang-orang Islam sahaja, sewajarnyalah laluan diberikan. Sepatutnya hujah dan pandangan diberikan agar kepentingan masyarakat bukan Islam terus terjamin dan terpelihara bukannya berkeras menolak undang-undang ini.

Adakah menolak rang undang-undang ini kelak dilihat sebagai menentang Islam, kalau demikianlah keadaannya, memang benar, mana-mana parti atau pihak yang menolaknya khasnya di Parlimen kelak terang-terangan secara tak langsung menyatakan "protes" nya terhadap Islam dan perlaksanaan Islam.
Kalau PAS diseru agar ditolak oleh masyrakat bukan Islam (atas pandangan orang politik dari BN dan PR) semata-mata kerana mahu memperjuangkan hak orang Islam, maka mereka juga yakni orang politik BN dan PR yang menyarankan demikian mesti bersedia ditolak oleh pengundi Islam kerana mereka menolak "Islam" di Parlimen.

Kesimpulannya berbaik sangkalah kita, PAS mahu melaksana sesuatu yang wajib atas orang Islam, dan mereka punya suara majoriti di Kelantan, izinkanlah mereka berbuat demikian dan kita beramai-ramai menjadi saksi atas kejayaannya atau tidak.
Saya Muslim saya sokong Hudud di Kelantan.

Tiada ulasan: