Rabu, 23 April 2014

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Harta Karun di Melaka : Pintu ke bilik harta sudah ditemui

Posted: 23 Apr 2014 09:45 PM PDT

  • Pintu ke bilik harta sudah ditemuiPintu ke bilik menyimpan harta karun ditemui syarikat terlibat.
 1 / 1 
AYER KEROH - Usaha bagi mengenal pasti kewujudan harta karun di Pulau Nangka, semakin menampakkan hasil apabila pintu ke bilik yang menyimpan harta berkenaan disahkan sudah ditemui.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, kejayaan itu bakal membuktikan sama ada kewujudan harta karun hanya satu mitos atau sebaliknya.

Menurutnya, pihaknya sudah dimaklumkan bahawa syarikat dilantik, Smart Partnership International Sdn Bhd berjaya menemui pintu berkenaan selepas kajian dijalankan di pulau terbabit.

"Sekiranya tiada aral melintang, saya dan wakil kerajaan negeri akan ke pulau berkenaan pada 28 April ini untuk membuka pintu ke bilik itu.

"Berdasarkan perkembangan ini, saya yakin mereka dapat sampai ke bilik itu menjelang 30 April iaitu tarikh akhir yang diberikan kerajaan negeri kepada syarikat ini," katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, semalam.

Idris berkata, penemuan pintu ke bilik rahsia itu merupakan satu kejayaan memandangkan usaha mencari harta berkenaan telah dilakukan sejak 1980, bagaimanapun gagal.

Mengikut kajian, katanya, terdapat lebih 20 bilik di sebalik pintu berkenaan yang menyimpan pelbagai harta dipercayai milik Kesultanan Islam Melaka.

Menurutnya, kerajaan negeri akan menyerahkan tugas-tugas mengeluarkan harta berkenaan kepada Jabatan Warisan Negara apabila ia berjaya ditemui.

Bagaimanapun, beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan berkongsi harta berkenaan dengan Kerajaan Melaka apabila selesai tugas mengeluarkannya, memandangkan hasil dari harta berkenaan boleh digunakan untuk pembangunan negeri ini.

Malah, katanya, kerajaan negeri telus dalam menyenaraikan setiap barangan yang ditemui di dalam bilik itu kelak dan akan diumumkan kepada orang ramai.

"Kita tidak mahu mana-mana pihak kelak membuat tuduhan bahawa kita mengambil barangan di dalam bilik itu untuk diri kita sendiri," katanya.

Beliau berkata, fasa kedua nanti membabitkan usaha mengenal pasti sama ada harta ditemui ini merupakan harta peninggalan Kesultanan Melaka atau sebaliknya.

PRK Bukit Gelugor: Mengundi 25 Mei, Penamaan Calon 12 Mei

Posted: 23 Apr 2014 09:08 PM PDT


Diterbitkan: Khamis, 24 April 2014 10:32 AM
Abdul Aziz Mohd Yusuf

PUTRJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor ditetapkan pada 25 Mei, manakala hari penamaan calon pula akan diadakan pada 12 Mei ini.

Tempoh berkempen adalah selama 12 hari.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, suruhanjaya itu juga menetapkan bahawa hari pengundian awal ialah pada 21 Mei ini.

Perkara itu diumumkan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berhubung kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gelugor di Bangunan SPR di sini, Khamis.

Kerusi Parlimen Bukit Gelugor kosong selepas penyandangnya, Karpal Singh, 74, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di KM306.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar pada 1.10 pagi, pada 17 April lalu.

Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Teh Beng Yeam.

PRK Bukit Gelugor adalah yang keempat selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei tahun lalu.

Tiga PRK sebelum ini ialah di DUN Kuala Besut di Terengganu yang diadakan pada 24 Julai tahun lalu diikuti DUN Sungai Limau, Kedah pada 4 November lalu.

Terbaharu, kira-kira sebulan yang lalu negara turut menyaksikan PRK ketiga diadakan di DUN Kajang, Selangor pada 23 Mac.
Seramai 82,431 pemilih akan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi yang terdiri daripada 82,255 orang pengundi biasa, 148 pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir luar negara.
Menurut Abdul Aziz, anggaran kos perbelanjaan bagi PRK Bukit Gelugor adalah sebanyak RM1.9 juta.
"Sebanyak 21 buah pusat mengundi akan dibuka iaitu 17 buah bagi pengundian biasa dan empat bagi pengundian awal.

"Dewan Sri Pinang akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi rasmi," katanya.

Mengapa begitu cepat sijil kematian penumpang MH370 mahu dikeluarkan?

Posted: 23 Apr 2014 03:01 AM PDT

Mengapa begitu cepat sijil kematian penumpang MH370 mahu dikeluarkan?
Meskipun belum ada sebarang bukti serpihan pesawat MH370 dan cebisan mayat penumpangnya ditemui sehingga ini, kerajaan dilaporkan sudah mahu mengeluarkan sijil kematian, iaitu pengesahan rasmi bahawa kesemua mereka ditakrifkan sudah meninggal dunia.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata bahawa kerajaan memutuskan untuk mengumumkan status penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dalam tempoh terdekat ini.
Pengumuman tersebut, katanya, diambil selepas mendapat pengesahan daripada pakar berkaitan dan bertujuan supaya waris penumpang itu dapat meneruskan kehidupan mereka walaupun sukar menerima hakikat kehilangan anggota keluarga tersayang mereka.
Keputusan mahu mengeluarkan sijil kematian ini dipercayai diambil setelah pencarian memasuki hari ke 47 masih juga gagal menemui sebarang bukti pesawat itu terhempas di Lautan Hindi sebagaimana yang disimpulkan melalui pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Najib Razak.
Beberapa isyarat "ping" yang dikesan, serpihan yang ditemui serta tompokan minyak yang diuji, ternyata tidak berkaitan langsung dengan pesawat atau kotak hitam milik MH370 itu.
Pada masa yang sama, penyiasat antarabangsa juga dikhabarkan mula menyiasat kemungkinan pesawat itu sebenarnya tidak terhempas di Lautan Hindi sebagai yang dipercayai sebelum ini, tetapi kemungkinan ianya didaratkan di sebuah lokasi yang lain atau terhempas di kawasan terpencil selain daripada Lautan Hindi.
Laporan yang disiarkan oleh NST itu menyebut, ia adalah kemungkinan baru yang sedang diteliti ketika ini.
Sebelum ini, laporan dari Russia juga menyebut MH370 tidak terhempas di Lautan Hindi, sebaliknya dirampas dan semua penumpangnya disembunyikan di sebuah perkampungan kabilah antara Afghanistan dan Pakitan.
Sementara itu, dalam masa yang sama, Hamzah juga berkata misi pencarian di Lautan Hindi masih perlu diteruskan dengan kemungkinan menggunakan lebih banyak aset atau kawasan pencarian diperluaskan lagi.
Jika misi pencarian masih diteruskan dan skalanya pula berubah ke kawasan lain serta lebih banyak aset mungkin digunakan, mengapakah begitu cepat kerajaan mahu mengeluarkan sijil kematian?
Apakah ini menandakan misi pencarian akan ditamatkan dan kes akhirnya akan ditutup dengan cara membayar sejumlah wang pampasan kepada waris mangsa?
Apakah wang benar-benar cukup bernilai kepada waris mangsa berbanding ahli keluarga yang masih belum diketahui nasibnya itu?
Sehingga ini, memang dilaporkan ramai waris mangsa tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mahu mengeluarkan sijil kematian itu sehingga mereka benar-benar diberikan bukti bahawa pesawat itu telah terhempas dan penumpangnya meninggal dunia.
Bagi kebanyakan waris, bukti nyata tentang kematian adalah perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum mereka diberikan sijil kematian yang diikuti dengan pemberian sejumlah wang pampasan.
Ramai waris yang menolak tindakan kerajaan mahu mengeluarkan sijil kematian tanpa sebarang bukti itu dan menganggapnya sesuatu yang tidak patut dilakukan ketika ini.
Setelah mengeluarkan kenyataan bercanggah, tidak telus dan tidak tepat mengenai misteri kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu, tindakan mahu mengeluarkan sijil kematian hanya setelah misi pencarian gagal menemui sebarang bukti dalam tempoh 47 hari, ia adalah satu lagi bukti kegagalan kerajaan bertindak waras dan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan perikemanusiaan.
Tidakkah tindakan mengeluarkan sijil kematian ini menunjukkan prosesnya menuju ke arah penutupan kes? Walaupun misi pencarian akan diteruskan, tetapi setelah sijil kematian dikeluarkan, sudah tentulah usaha tidak dilakukan dengan bersungguh-sungguh lagi?
Kenapakah hanya setelah 47 hari misi pencarian, kerajaan seolah-olah sudah berputus asa dan lebih selesa ianya diakhiri dengan kematian?
Bukankah Islam menetapkan pengisytiharan kematian hanya setelah 4 tahun manakala undang- undang negara pula setelah 7 tahun?
Bagaimana jika setelah sijil kematian dikeluarkan, pesawat itu akhirnya dapat ditemui dan semua penumpangnya masih hidup?
Dalam hal ini, kerajaan tidak seharusnya terlalu awal mahu membuat kesimpulan penumpangnya telah meninggal dunia.
Jika kesimpulan pertama yang diumumkan Najib sebelum ini bahawa pesawat itu berakhir di Lautan Hindi dan kemudian merakamkan usul takziah di Parlimen, ternyata masih gagal dibuktikan kebenarannya serta menyinggung perasaan waris mangsa, kesimpulan penumpangnya telah meninggal dunia melalui pengeluaran sijil kematian ini sekali lagi mengguris perasaan mereka.
Seharusnya, sebagaimana yang kerapkali dijanjikan bahawa pencarian akan diteruskan sehingga bangkai pesawat, cebisan mayat dan kotak hitam ditemui, ia benar-benar menjadi ungkapan janji yang ditepati. Janganlah cepat membuat pusingan U atau menuju ke persimpangan lain sebelum tiba ke destinasi yang dijanjikan.
Jika tidak, ia lebih mendedahkan kelemahan kerajaan dan seolah-olah benarlah tanggapan bahawa banyak yang cuba disembunyikan di sebalik kehilangan pesawat itu. – shahbudindotcom.blogspot.com

 Oleh Shahbudin Husin 

Tiada ulasan: