Ahad, 6 April 2014

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Utusan Akui Tidak mustahil Kehilangan MH370 Berkait Dengan CIA, Tapi...

Posted: 06 Apr 2014 01:01 AM PDT


Utusan Malaysia: Tidak mustahil kehilangan MH370 berkait dengan CIA

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini tidak menolak kemungkinan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 ketika dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac itu angkara Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS).

Penolong Pengarangnya, Ku Seman Ku Hussein berkata jika serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001 dirancang oleh CIA, maka tidak mustahil kehilangan pesawat MH370 itu juga dapat dikaitkan dengan agensi risikan itu.

"Marilah kita berfikir di luar kotak mengenai tragedi paling besar bagi negara kita dan sejarah penerbangan dunia. Apakah tidak boleh diterima akal misalnya tragedi ini dirancang oleh pihak tertentu untuk menjejaskan hubungan dengan China?

"Konspirasi peringkat tertinggi melibatkan CIA dalam tragedi 11 September bukan perkara baru. Banyak fakta dan hujah yang meyakinkan dibentangkan. Banyak pihak menerima hakikat 11 September adalah rancangan AS untuk mendapat 'tiket' menyerang Afghanistan dan Iraq," katanya menerusi akhbar edisi Ahad Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia hari ini.

Misi pencarian MH370 hari ini memasuki hari ke-29 dan semalam kapal peronda China, Haixun 01, yang menyertai misi pencarian MH370 mengesan isyarat detik di perairan selatan Lautan Hindi.

Agensi berita China, Xinhua, menyatakan kapal itu mengesan isyarat detik pada frekuensi 37.5 kilohertz (kHz) sesaat kira-kira 25 darjah latitud selatan dan 101 darjah longitud timur.

Ku Seman berkata Malaysia perlu menaruh rasa curiga dengan pihak luar yang ada sejarah liarnya, bertujuan mengeruhkan hubungan dua hala dengan negara China.

Katanya, konspirasi 11 September yang dianggap karut kini menjadi satu fakta dan pihak berkuasa perlu melihatnya daripada perspektif berbeza.

"CNN kelihatan begitu beremosi apabila Malaysia tidak membenarkan CIA mengetuai pencarian pesawat MH370. Kemudian bertindak menyemarakkan kemarahan keluarga penumpang warga China hingga menggugat hubungan Malaysia - China.

"Tidak semua pandangan yang dianggap karut hanya teori konspirasi kosong semata-mata. Saya percaya pihak berkuasa tidak anggap semuanya karut. Mereka lebih bijak daripada CIA." katanya.

Mengambil contoh insiden 11 September, Ku Seman mempersoalkan bagaimana CNN berjaya merakam WTC runtuh dalam tempoh beberapa saat.

Katanya, dalam satu undian menjelang Pilihan Raya AS 2006, satu daripada tiga rakyat AS percaya tragedi itu dirancang oleh George W Bush dan peringkat tertinggi CIA.

"CNN antara alat perang psikologi bagi mencapai agenda AS menguasai dunia. Cuba bertanya, bagaimana jurukamera CNN mendapat shot daripada pelbagai sudut menara WTC ketika dirempuh oleh pesawat?

Serangan itu berlaku dalam masa "hanya beberapa saat", tetapi CNN sempat merakamkannya daripada pelbagai arah. Wah, sungguh luar biasa.

Soalnya adakah jurukamera CNN sudah bersedia di sekeliling WTC? Kalau benar begitu, bagaimana mereka tahu serangan itu akan berlaku?" katanya. – TMI

ULASAN GB

Apa yang Penolong Pengarang Utusan Malaysia itu tidak sentuh ialah mengenai tragedi 911 telah dijadikan sandaran dan bahan Amerika untuk menyerang Afghanistan kerana yang membawa pesawat itu terdiri dari pengganas Islam Afghanistan dalam misi berani mati.

Apa kurangnya dengan tragedi MH370 apabila ada pemimpin di negara ini yang melemparkan tuduhan (samada didiktasikan oleh Amerika atau tidak), kononnya pesawat MH370 hilang kerana juruterbangnya telah merampas pesawat berkenaan dan membawanya ke ke satu arah yang tidak diketahui di dalam misi bunuh diri (berani mati)! Bukankah suara pemimpin BN itu menyerupai alasan yang diberikan oleh Amerika terhadap tragedi 911? Hal ini tak disebut oleh Utusan.



Menteri Pula Bercanggah Dengan KPN, Penumpang Dibersihkan Atau Belum?

Posted: 05 Apr 2014 08:23 PM PDT


Tiada Krew MH370 Yang Dibersihkan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR - Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan penyiasatan ke atas anak kapal pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 masih lagi berjalan dan tiada siapa yang telah dibersihkan.

"Saya tidak fikir sesiapapun telah dibersihkan daripada sebarang penyiasatan.

"Sepanjang senarai yang ditunjukkan, ia termasuk juga anak-anak kapal.


"Empat kemungkinan Ketua Polis Negara (KPN) ingatkan kami, siasatan ke atas keganasan, rampasan, psikologi atau peribadi.

"Itu, saya tahu masih berjalan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media berkaitan siasatan anak kapal MH370 pada sidang media mengenai pencarian MH370 di ibu negara, Sabtu.

Rabu lepas KPN Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis telah membersihkan kesemua penumpang MH370 daripada siasatan rampasan, sabotaj, psikologi dan masalah peribadi tetapi masih menyiasat anak-anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau tiada masalah dalam mendapatkan maklumat tentera dan data radar dari negara-negara ASEAN terutama yang terlibat dalam operasi menyelamat yang kini masuk hari ke-29.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 tengah malam 8 Mac lepas hilang daripada skrin radar kira-kira sejam kemudian semasa melintasi Laut China Selatan.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Usaha mencari yang disertai oleh pelbagai negara pada mulanya dilakukan di Laut China Selatan, tetapi setelah didapati pesawat itu melencong daripada haluannya, dan terbang sepanjang dua koridor - koridor utara yang menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand dan di koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Berikutan kaedah menganalisis data satelit yang tidak pernah digunakan sebelum ini, syarikat satelit komunikasi British Inmarsat dan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) merumuskan penerbangan MH370 terbang sepanjang koridor selatan and kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, ke barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac lepas, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu bahawa penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi."

Rakaman perbualan antara juruterbang MH370 dengan pengawal trafik udara tidak boleh dikeluarkan kerana ia masih lagi dalam siasatan.

Hishammuddin berkata pencarian pesawat itu akan berterusan melampaui nilai wang.

Ditanya mengenai peluang kesemua penumpang dan anak kapal selamat, beliau berkata itulah yang diharapkan oleh anggota keluarga mereka.

"Walaupun tipis untuk selamat, itu masih jadi pegangan mereka (keluarga penumpang).

Biarpun jika ianya satu keajaiban, biarpun ianya tidak mungkin tercapai.

Jika itu adalah keinginan keluarga, saya fikir adalah wajar jika kami dapat menghormati keinginan mereka," katanya.

Sementara itu ketika ditanya sama ada Malaysia bersedia memohon maaf untuk tragei MH370, beliau berkata itu bukan sebahagian daripada penyelesaian.

Hishammuddin berkata mendapatkan pesawat itu dan kotak hitamnya untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku masih merupakan tugasan yang besar dan mencabar dan beliau berterima kasih kerana ramai yang dapat melihat insiden itu secara positif.

"Itu adalah sesuatu yang memberikan kekuatan kepada kami kerana jika ia berlanjutan lebih lama, kami memerlukan segenap tenaga yang boleh kami dapat untuk mendapatkan kebenaran tentang apa sebenarnya berlaku kepada MH370," katanya. -BERNAMA


Siasatan Mendapati Penumpang MH370 "Bersih" Daripada Empat Elemen - KPN

KUALA LUMPUR - Polis mendapati semua penumpang pesawat Malaysia yang hilang "bersih" daripada elemen rampas, sabotaj dan masalah psikologi dan peribadi, tetapi masih menjalankan siasatan terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata siasatan terhadap 227 penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 itu mendapati mereka "bebas" daripada empat elemen itu.

"Mereka didapati bersih daripada empat (elemen) itu. Ia (adalah) menurut prosedur (siasatan) kami sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemantapan kualiti pasukan polis di sini Rabu.

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan berdasarkan empat elemen itu terhadap anak kapal termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang.

Khalid berkata setakat ini polis telah merekodkan kenyataan daripada lebih 170 individu berhubung kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu dan menurutnya polis akan merekodkan lebih banyak kenyataan.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Khalid berkata polis tidak akan mendedahkan sebarang maklumat hasil siasatan insiden itu kerana ia akan menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

"Maafkan saya, terdapat perkara yang kami tidak boleh dedahkan kepada anda; bukan saya tidak mahu dedahkannya kepada anda tetapi kami tidak boleh berbuat demikian. Kerana ia adalah penyiasatan jenayah, sedang berjalan; kami belum memuktamadkan segalanya dan kami masih menunggu laporan daripada pakar di luar negara dan dalam negara.

"Anda perlu faham. Saya fikir kami amat konsisten (tentang siasatan). Siapa tahu, mungkin akan ada pendakwaan kemudiannya. Jadi, ini akan menjejaskan kes pendakwa raya sekiranya kami mula mendedahkan hasil penyiasatan kami," katanya.
-- BERNAMA




ULASAN GB

Kenyataan menteri pula bercanggah dengan KPN. Inilah akibat dari terlampau banyak rahsia yang disorokkan dari pengetahuan rakyat. Ada agenda tersembunyi sehingga seorang kata bersih seorang lagi kata belum bersih.

GB sudah ulas sebelum ini.

Ini semua kerja gila. Sekejap begini sekejap begitu. Dari awal-awal lagi segala-segalanya bercanggah. Patut pun keluarga dari China berang dan marah, tak satu maklumat yang diterima boleh dipercayai.

Mari kita akan terus berdoa agar kebenaran itu menjaid kenyataan!

اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه
1) Allahumma arinal haqqa haqqan, warzuqnattiba'ah,
wa arinal bathila bathilan, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).

وقل رب أدخلني مدخل صدق وأخرجني مخرج صدق
واجعل لي من لدنك سلطانا نصيرا
وقل جاء الحق وزهق الباطل إن الباطل كان زهوقا

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nasiiran
wa qul ja alhaqqu wa zahaqal bathil innal bathila kana zahuqan


Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

[BERCANGGAH LAGI] DCA Kata MH370 Tak Buat Pusingan "Loop"

Posted: 05 Apr 2014 04:15 PM PDT


MH370: DCA sahkan pesawat tidak buat pusingan "loop"

KUALA LUMPUR: Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 tidak membuat satu pusingan "loop" seperti yang dipercayai telah dimaklumkan kepada keluarga penumpang di China oleh wakil kerajaan dalam satu sesi taklimat di Beijing .

Perkara ini disahkan oleh Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang berkata apa yang diberitahu kepada keluarga penumpang di China itu tidak benar.

"Cara pesawat itu membuat pusingan seperti yang dilaporkan di Beijing kepada keluarga terdekat, adalah tidak benar. Pesawat itu tidak membuat pusingan dan membelok ke kiri. Ia tidak benar, "kata Azharuddin semasa satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang tadi.

Beliau berkata demikian apabila ditanya adakah gambah rajah laluan pesawat MH370 yang dipercayai disediakan oleh kerajaan kepada keluarga di China adalah benar dan telah disahkan.

Sebelum ini, pesawat itu disahkan telah membelok ke arah kiri menuju ke Lautan Hindi sebelum hilang dari radar. -astroawani


MH370 – Dulu pesawat pusing kiri, kini pusing 270 darjah ke kanan!!


Gambar terkini laluan pesawat MH370 dipercayai disediakan kerajaan kepada keluarga di China telah mengubah anggapan awal tentang kes tersebut.

Gambar yang merupakan satu "pencerahan baru" yang kini bercanggah dengan informasi terdahulu yang mengatakan pesawat membuat satu pusingan ke arah kiri, kata bekas Ketua Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Kapten Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain.

Paparan peta itu antaranya menunjukkan pesawat telah membuat satu pusingan 270 darjah ke arah kanan, katanya.

"Teori ini menguatkan lagi segi teori human interference (perbuatan disengaja)," kata Kapten Nik kepada Agenda Awani.

Jika laluan itu benar, ia menunjukkan satu tindakan yang telah difikir semasak-masaknya dan teliti oleh pelakunya.

"Pusingan tu besar, tu nampaknya tiada cornering… maknanya pesawat dikendali sepenuhnya, ia tiada kerosakan," kata Nik Huzlan yang mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam bidang penerbangan.




ULASAN GB

Persoalannya siapakah "wakil kerajaan' yang memberi taklimat untuk ahli keluarga penumpang di Beijing, China? Dari mana dan siapa yang membekalkan maklumat pelik itu? Mengapa DCA tidak memantau hal-hal taklimat kepada penumpang dari awal?

Ini semua kerja gila. Sekejap begini sekejap begitu. Dari awal-awal lagi segala-segalanya bercanggah. Patut pun keluarga dari China berang dan marah, tak satu maklumat yang diterima boleh dipercayai.

Buat penat Datuk Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain buat analisa dan ulasan. Mujur GB tidak siarkan analisa beliau kerana awal-awal lagi GB tengok semacam ada yang tak betul pada gambarajah MH370 yang dikatakan buat pusingan 270 darjah itu.

Tiada ulasan: