DUNIACACAMARBA |
- Ceramah Anwar Ibrahim: Hudud, MH370
- MH370: Penyiasat Antarabangsa Kaji Kemungkinan MH370 Mendarat di Suatu Tempat
- BATERI Kotak Hitam MH370 Sudah HABIS
- Warga Emas Diserang Sawan, Mulut Berbuih Ketika Berasmara dengan Kekasih Gelap
Ceramah Anwar Ibrahim: Hudud, MH370 Posted: 21 Apr 2014 12:07 AM PDT Tolak hudud: Saya bukan Dr Mahathir, Kata Anwar [TMI] Model dan pelaksanaan hudud yang bakal diguna pakai oleh kerajaan negeri Kelantan perlu difahami terlebih dahulu sebelum Pakatan Rakyat (PR) mengambil keputusan bersama untuk mempersetujuinya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketua pembangkang itu berkata, kerajaan perlu membincangkan beberapa perkara asas dalam Islam terlebih dahulu seperti masalah ajaran sesat dan anti hadis sebelum membawa hudud ke satu peringkat yang lebih serius. "Kita sebagai orang Islam, kita tidak boleh pertikai undang-undang Al-Quran. Saya bukan Mahathir. Kita kena terima. Hal ini harus difaham. Kalau tunggu fatwa, semua fatwa kena pada kita. "Curi duit tak nampak, kenyataan Mahathir tak nampak, Mahathir sokong Kassim Ahmad anti hadis tak mengapa. Kita yang kena," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,500 hadirin dalam Himpunan Reformasi 2.0 di Kuala Lumpur, malam tadi. Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat menyelar tindakan pihak berkuasa agama menangkap dan membicarakan Kassim kerana tindakan tersebut mencalarkan identiti Malaysia sebagai negara Islam sederhana. Bekas perdana menteri itu berkata, dalam keadaan Kassim yang bertongkat dan tidak sihat, pegawai agama Islam dan dibantu polis tergamak menahan aktivis berusia 80 tahun itu. "Saya sedih. Saya sedih kerana Kassim umur 80 tahun, bertongkat dan sakit ditangkap dan akan dibicara. Kenapa Kassim? Kenapa tidak orang lain? Yang menghina agama Islam di Malaysia ramai," tulisnya dalam artikel di blognya chedet.cc. Anwar berkata, hudud hanya dapat dilaksanakan sekiranya pembaharuan dilakukan terhadap jabatan agama Islam dan kaedah penguatkuasaan. Katanya, hudud perlu dilaksanakan secara telus menepati kehendak ajaran Islam sebenar dan tidak memberi kepentingan politik kepada pihak tertentu. "Kalau dilaksana digunakan undang-undang, curi RM500 juta dari Tan Sri naik Tun. Kamu curi motor, tangan dipotong. Dalam Islam bukan begitu. "Semua perubahan baru kita kena bincang undang-undang itu macam mana. Saya saman Saiful, empat tahun Mahkamah Syariah tak sidang pun," katanya merujuk kepada bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan. Anwar yang baru tiba selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal Singh di Pulau Pinang berkata, pelaksanaan hudud di Kelantan akan diteliti dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob akan memberikan penjelasan. "Itu yang kita jemput menteri besar Kelantan untuk datang dalam mesyuarat kita mencari muafakat supaya (hudud) tidak digunakan untuk menekan sesiapa dan menjamin undang-undang itu difahami," katanya. Berhubung isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, Anwar mempertikaikan senarai kargo pesawat itu yang masih belum disiarkan kepada umum. Katanya, ekoran daripada sikap kerajaan yang enggan memberikan lebih maklumat mengenai pesawat itu, Malaysia terus mendapat kecaman serata dunia. "Mengapa cuba tutup maklumat itu? Apa barang yang dibawa? Saya tanya mana dia senarai kargo? Setiap kali ada penerbangan dikomputerkan. Bila tanya, sampai hari ini tak dapat jawab. "Sekarang saya tuduh, kamu sengaja menyembunyikan bukti. Ada bukti, kamu padamkan. Dia kata ada manggis 4 tan tetapi tiada musim. Di Thailand pun bukan musim manggis," katanya yang berpakaian serba hitam malam tadi. Hujung bulan lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya mengesahkan selain empat tan manggis yang dibawa di dalam pesawat itu, ia turut memuatkan bateri lithium-ion. Katanya, bateri lithium-ion pada asasnya bukan barangan berbahaya tetapi ia diisytiharkan sebagai bahan berbahaya di bawah ICAO. "Kami bawa beberapa bateri kecil lithium-ion, ia bukan bateri yang besar dan ia pada dasarnya diluluskan di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah barangan berbahaya," katanya. – Hasbullah Awang Chik/ 21 April, 2014. |
MH370: Penyiasat Antarabangsa Kaji Kemungkinan MH370 Mendarat di Suatu Tempat Posted: 21 Apr 2014 12:00 AM PDT Kes MH370: Penyiasat lihat kemungkinan baru [MK] Pasukan penyiasat antarabangsa dilaporkan sedang melihat semula kemungkinan bahawa penerbangan Malaysia Airlines pesawat MH370 mungkin mendarat di satu lokasi tertentu dan tidak berakhir di Lautan Hindi. Laporan New Straits Times yang memetik satu sumber tidak dinamakan menyebut, ia merupakan antara kemungkinan baru yang sedang diteliti. Ia memandangkan pencarian yang dijalankan sehingga hari ini masih belum menemui sebarang serpihan pesawat, lapor akhbar itu. Sumber-sumber yang tidak dinyatakan itu juga menyebut, pesawat tersebut juga mungkin terhempas di satu lokasi terpencil. Bagaimanapun, pencarian di selatan Lautan Hindi yang masuk hari ke-45 hari ini masih perlu diteruskan, kata sumber tersebut dalam laporan NST. Selain itu, pasukan penyiasat juga sedang mempertimbangkan untuk menggunakan lebih banyak aset dalam pencarian, dan meliputi kawasan lebih luas di Lautan Hindi. Menurut laporan berkanan, pencarian tersebut mungkin dijalankan di kawasan yang salah. "Kita mungkin terpaksa berkumpul semula untuk melihat kemungkinan ini jika tiada hasil positif dalam tempoh beberapa hari lagi... tapi pada masa sama, pencarian di Lautan Hindi mesti diteruskan. "Sangkaan bahawa ia mendarat di satu tempat itu tidak mustahil kerana kami masih belum menemui sebarang serpihan yang mungkin berkaitan dengan MH370. "Bagaimanapun, kemungkinan bahawa terdapat negara tertentu menyembunyikan pesawat tersebut ketika lebih 20 negara mencarinya nampak tidak masuk akal," kata sumber tersebut seperti dipetik NST. Sumber berkenaan turut menimbulkan kesangsian terhadap pengiraan saintifik ke atas data komunikasi satelit – yang memberi kesimpulan bahawa penerbangan tersebut berakhir di Lautan Hindi. "Satelit komunikasi hanya dimaksudkan untuk komunikasi... namanya itu sendiri menjelaskannya. "Penyiasat terpaksa mengguna algoritma untuk mengira lokasi terakhir MH370 yang diketahui kerana tiada sistem GPS selepas transponder pesawat dimatikan 45 minit dalam penerbangan," kenyataan sumber itu dipetik. -21/4/14 |
BATERI Kotak Hitam MH370 Sudah HABIS Posted: 20 Apr 2014 11:35 PM PDT [HM] Perth: Semua isyarat bawah permukaan laut yang dikesan dalam pencarian pesawat MH370 minggu lalu telah hilang sepenuhnya menandakan kotak hitam cari telah kehabisan bateri. Bagaimanapun, gerakan mencari sebarang bukti sama ada serpihan pesawat mahupun isyarat membabitkan operasi dalam laut, atas permukaan dan di udara diteruskan di selatan Lautan Hindi hari ini. Gerakan mencari bakal memasuki fasa ketiga iaitu penggunaan jentera selam Bluefin 21 apabila pihak berkuasa yakin tiada lagi isyarat dikesan oleh alat pengesan ping (towed ping Locator/TPL) yang ditunda oleh kapal Ocean Shield Australia. Penggunaan robot bawah permukaan laut itu lebih menumpukan kepada usaha mencari bangkai pesawat dan pergerakannya lebih perlahan berbanding penggunaan TPL. ANGGOTA Tentera Udara Diraja New Zealand diberi taklimat sebelum usaha mencari, Jumaat lalu. FOTO AP "Kita sudah memasuki hari ke-37 dalam tragedi ini. Bateri kotak hitam sepatutnya hanya mampu bertahan 30 hari. Kita harap ia boleh sampai 40 hari. "Bagaimanapun, sudah empat hingga lima hari berlalu sejak ping terakhir dikesan. Apa yang diharapkan hanya satu atau dua ping lagi supaya mereka dapat mengesan puncanya dan mengecilkan kawasan pencarian," kata pakar penerbangan Geoffrey Thomas. Usaha mendapatkan data penerbangan dan rakaman perbualan dalam kokpit adalah kunci utama siasatan tragedi MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing ketika hilang awal pagi 8 Mac lalu. Gerakan mencari disertai pelbagai negara ditumpukan ke bahagian selatan Lautan Hindi di bahagian barat daya Australia berdasarkan analisis data manakala siasatan pihak berkuasa Malaysia dibantu pelbagai pasukan penyiasat mengambil kira tiga motif utama iaitu rampasan pesawat, sabotaj atau masalah psikologi di kalangan penumpang atau kru penerbangan. Dua isyarat dikesan Ocean Shield seminggu lalu didapati konsisten dengan isyarat kotak hitam manakala dua lagi ping yang diterima dari kawasan pencarian berkenaan Selasa lalu. Perdana Menteri Australia Tony Abbott melahirkan keyakinan bahawa siri ping yang dikesan Ocean Shield adalah berasal dari kotak hitam MH370, namun beliau turut menyatakan usaha itu bakal memakan masa dan tidak menentu hasilnya. Pasukan pencari memerlukan lokasi yang lebih khusus sebelum mengerahkan Bluefin 21 sedangkan zon pencarian sekarang membabitkan kawasan dasar laut seluas 1,300 kilometer persegi. Jentera selam itu bergerak enam kali lebih perlahan berbanding TPL manakala zon pencarian bawah laut itu memerlukan masa antara enam minggu hingga dua bulan untuk dicarta. Isyarat ping yang dikesan setakat ini datang dari kedalaman 4,500 meter iaitu tahap paling dalam yang boleh dicapai kapal selam manakala pencarian serpihan di permukaan laut setakat ini membabitkan kawasan seluas 57,506 kilometer persegi kira-kira 2,200 kilometers di barat daya Perth membabitkan 12 pesawat dan 14 kapal. - AP/21/4/14 |
Warga Emas Diserang Sawan, Mulut Berbuih Ketika Berasmara dengan Kekasih Gelap Posted: 20 Apr 2014 07:01 PM PDT [HM] Miri – Seorang lelaki warga emas dikejarkan ke hospital selepas diserang sawan ketika melakukan hubungan seks dengan teman wanitanya di sebuah hotel, di sini, kelmarin. Kejadian berlaku jam 11.30 pagi itu menyebabkan teman wanitanya berusia 20-an panik dan segera menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan selepas lelaki berusia 60-an itu mengalami kekejangan di seluruh tubuh. Difahamkan, lelaki itu sudah mendirikan rumah tangga tetapi dipercayai mengunjungi hotel terbabit bagi memadu asrama dengan wanita berkenaan, dipercayai kekasih gelapnya. Menurut sumber, sepasukan paramedik bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan. "Tindakan pantas paramedik Hospital Miri berjaya menyelamatkan warga emas terbabit yang dipercayai kekejangan seluruh badan selain mulutnya berbuih. "Lelaki itu dilaporkan stabil sebaik menerima rawatan di hospital dan dibenarkan keluar hari ini (semalam)," katanya. Menurut sumber itu, selepas disoal siasat, wanita terbabit mengakui mangsa diserang sawan secara tiba- tiba ketika mereka melakukan hubungan seks. Sementara itu, jurucakap Hospital Miri berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan sebelum membawa lelaki itu ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemeriksaan lanjut. Katanya, keadaan lelaki itu stabil dan dibenarkan keluar sehari selepas itu. -20/4/14 |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan